Categories
KENYATAAN MEDIA

Protes Turun: Polis serbu rumah CheguBard dan Edy Noor

Oleh: Isamuddin Sanusi

Sekitar jam 8 malam, rumah Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan di Setia Alam dan rumah Pengasas SAMM, CheguBard di Bukit Chedang telah didatangi pihak polis dari IPK Kuala Lumpur bagi tujuan menghantar sapina.

Pihak polis hadir dengan kekuatan lebih kurang 10 anggota dengan tiga kenderaan polis hampir serentak di kedua-dua rumah pimpinan SAMM.

sammMenjadi persoalan, mengapa begitu ramai anggota polis yang diguna untuk menghantar sapina? Lebih 20 anggota polis untuk hantar sapina di dua lokasi adalah pembaziran sumber tenaga, sepatutnya boleh mengekang lebih banyak jenayah malam ini.

CheguBard dan Edy Noor yang berada di rumah masing-masing menerima sapina tersebut, telah diminta hadir ke mahkamah di Jalan Duta pada Rabu ini pada jam 8 pagi bagi menjawab pertuduhan kononnya telah menganjurkan sebuah himpunan di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember, 2013.

Menurut sapina yang dikemukakan, ia bersangkutan perlanggaran Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, kesalahan Seksyen 9(5) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

SAMM sekali lagi menegaskan bahawa himpunan protes Turun pada malam ambang tahun baru adalah anjuran rakyat yang terkesan dengan kenaikan berangkai kos sara hidup, mengapa ini sukar difahami?

Perhimpunan pada malam tersebut juga berlangsung dengan aman, tidak seperti yang digambarkan secara melampau oleh pihak polis kononnya ada kerajaan yang bakal terguling, kononnya terdapat bom tangan.

SAMM minggu lalu telah membuat laporan polis terhadap timbalan ketua polis Kuala Lumpur yang menabur tomahan dan telah mendesak supaya PDRM mendedahkan hasil siasatan “himpunan guling kerajaan” tetapi sehingga hari ini pihak polis masih berdiam diri.

Justeru itu, CheguBard dan Edy Noor juga telah menyatakan kesediaan untuk hadir perbicaraan Rabu ini. Pengamal media dijemput hadir bagi membuat liputan.

Rakyat yang menyokong penurunan kos sara hidup juga diminta untuk terus bersama dalam perjuangan membebaskan tanahair ini dari segala bentuk penindasan. – 27 Januari, 2014.

* Isamuddin Sanusi adalah Pengarah Sekretariat Solidariti Anak Muda Malaysia.

Categories
NASIONAL

SAMM: Ejekan kangkung pada PM sentimen seluruh negara

SHAH ALAM 16 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membidas kenyataan seorang blogger pro-Umno yang cuba mengaitkan sebuah flashmob parodi kangkung dengan sentimen perkauman.

Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan, berkata tindakan blogger itu hanya mengambil kesempatan dari satu aksi semata-mata, namun tidak melihat dari pelbagai sudut yang lebih menyeluruh.

Kangkung3 (1)“Apa yang berlaku dalam negara hari ini ialah, 1Malaysia telah ditindas pemerintah dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal dan tidak ada kaum yang terkecuali.

“Respon daripada menteri pula dilihat kurang bijak dan mendapat kritikan umum,” kata Edy dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, kemuncaknya, lahir parodi disensasikan secara meluas berpunca daripada respon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis di Kemaman.

“Semua kaum di atas nama rakyat Malaysia terlibat dalam menjayakan ‘parodi kangkung’ yang bermula di laman sosial, dan tidak menolak kemungkinan ianya akan diperluas dalam bentuk flashmob yang mana trend ‘kangkung’ ini akhirnya mendapat perhatian dunia,” kata Edy.

sammBeliau berkata, jika blogger Umno menuduh flashmob berunsur kangkung hanya melibatkan kaum Cina, apakah blogger itu mahu melihat 1Malaysia melakukan ‘flashmob kangkung’ selepas ini.

“Justeru, SAMM bersetuju dengan saranan pelbagai pihak agar kempen #Kangkung1Malaysia dilancarkan bagi mengisi keharmonian kepelbagaian kaum yang bersatu meluahkan perasaan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Barang naik: SAMM seru pengguna FB hantar mesej ‘#Kangkung 1 Malaysia’ di FB Najib

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 16 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengajak lebih ramai pengguna laman sosial, Facebook menyatakan protes terhadap dasar Kerajaan Pusat yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup rakyat dengan menaip mesej ringkas, ‘#Kangkung 1 Malaysia’ di akaun rasmi Facebook Perdana Menteri (PM).

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata kempen itu dijalankan sebagai kesinambungan ke atas kesedaran sendiri orang ramai yang terbeban ekoran peningkatan harga perkhidmatan dan barangan keperluan.

samm“Sebenarnya sekarang pun sudah ramai yang berani menyatakan bantahan secara terus dan berani ke Facebook PM dan ini satu perkembangan baik kerana rakyat semakin berani dan sedar mereka dipermainkan.

“Kalau dahulu mungkin orang ramai teragak-agak untuk menghantar mesej protes di Facebook PM tetapi sekarang tidak lagi, malah ada lebih berani menghamburkan kemarahan secara terbuka, sindiran dan bermacam lagi. Ini berlaku disebabkan hilang rasa hormat bila rakyat mula tertekan.

“Bila semakin tertekan, akhirnya rakyat bukan sahaja berani turun ke jalan raya malah bila tiba masanya dengan sendirinya mereka berani untuk turun berdemo secara aman di Putra Jaya sekalipun,” kata Edy Noor ketika dihubungi Selangor Kini.

Mengulas lanjut, perkembangan isu kos sara hidup ini ditambah burukkan lagi dengan sikap pemimpin BN sendiri yang gemar mengamalkan tabiat suka membazir dan bermewah tatkala rakyat disuruh mengikat perut untuk berjimat cermat.

najib n“Rakyat disuruh berjimat, potong itu dan ini, makan kangkung sebab murah tetapi mereka bermewah menggunakan jet, belanja perkahwinan, sambutan hari jadi yang tinggi dan sebagainya. Ini semua menunjukkan sikap tidak peka di kala rakyat dalam kesusahan.

“Mungkin ada golongan tidak terkesan dengan penipuan pilihan raya sebelum ini sebab tak jejas poket mereka tetapi bila penipuan yang menjejaskan perbelanjaan seharian mereka, ini menyebabkan rakyat marah,” kata beliau lagi.

Baru-baru ini, Najib dalam ucapan beliau, mengeluh terhadap tindakan pengguna internet menyamakan akronim BN kepada ‘Barang Naik’ sebagaimana ungkapan popular yang sering digunakan di ruang siber termasuk di Facebook.

EZY

Categories
NASIONAL

SAMM: Jawatankuasa Siasatan Diraja perlu diwujud siasat kemewahan luar biasa Najib,Rosmah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan Pusat didesak untuk mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Diraja bagi menyiasat semua dakwaan kemewahan luar biasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau dilantik memegang jawatan PM pada tahun 2009.

Ini ekoran kontroversi yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur yang didakwa membiayai sebuah filem Hollywood melalui anaknya Riza Aziz, yang merupakan penerbit filem itu berjumlah RM326 juta.

Riza RizzPengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan, berkata semua dakwaan ini telah dilaporkan secara meluas oleh media yang berwibawa, bukan dipetik dari blogger politik semata-mata.

Jelasnya, sebelum ini ramai pimpinan politik anti-kerajaan yang ditangkap dan didakwa hanya dari sumber pihak yang tidak kredibel.

“Dakwaan tersebut dilaporkan oleh beberapa media arus perdana termasuk M-star Online yang menyatakan terdapat tuduhan bahawa filem terbitan Riza Aziz mendapat sumbangan kewangan dari ibunya.

“M-Star Online bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sumber tuduhan tersebut.

najib n“SAMM dengan tegas mempersoalkan dari mana datangnya kemewahan luar biasa keluarga Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Riza Aziz merupakan anak Rosmah bersama bekas suaminya, Abdul Aziz Nong Chik sebelum ini turut dikaitkan dengan pembelian sebuah kondominium mewah bernilai RM111 juta di New York.

Selain itu, SAMM juga menggesa agar Najib Razak dan Isterinya diberi cuti sehingga siasatan selesai dan pucuk pimpinan negara harus dipangku oleh mereka yang layak.

“Ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, keluarga Perdana Menteri dan menterinya pula bermewah-mewahan. Dalam masa yang sama, mereka seru rakyat supaya berjimat – ini sangat berlawanan,” katanya lagi.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua-SAMM

Oleh: Ahmad Anwar Asyraf

MENGINJAK tahun 2014, negara kita masih terus bergelut dalam isu-isu agama. Agama merupakan satu perkara yang penuh dengan sensitiviti yang boleh mengancam asas keharmonian dan kerukunan ukhwah di antara masyarakat dalam negara ini sekiranya tidak diuruskan dengan penuh hikmah. Ia tidak boleh ditangani dengan kegopohan untuk menjadi hero.

Berzaman hidup dalam negara majmuk penuh warna warni agama, budaya dan bahasa.Kenapa kita masih terus ingin bermain dengan isu sebegini.

Belajar dari sejarah. Pertembungan antara agama dan bangsa yang akhirnya menyaksikan kemusnahan keharmonian malah lebih buruk lagi ketamadunan sesuatu negara bangsa itu turut musnah.

Kuala LumpurMengapa perlu ada tindakan-tindakan provokasi dari satu pihak kepada pihak yang lain. Celaan demi celaan, hinaan demi hinaan, tindakan demi tindakan terus dilakukan.

Apa yang ingin dibuktikan? Agama itu lebih supreme dari agama lain? Atas alasan mempertahankan agama masing-masing kita menghalalkan tindakan-tindakan yang akan terus melahirkan prejudis dan buruk sangka antara satu sama lain?

Perlembagaan kita telah menggariskan 2 artikel berhubung agama iaitu Artikel 3 Agama Rasmi Persekutuan dan Artikel 11 Kebebasan Dalam Mengamalkan Ajaran Agama bukan untuk menjadi bahan bacaan semata-mata tetapi sebaliknya untuk mengelak perkara sebegini dari terus mengancam keharmonian antara kita.

Nenek moyang kita telah mewariskan negara ini bukan untuk melihat kita bergaduh atas nama agama dan bangsa. Mereka berjuang bermandi darah membebaskan negara ini untuk melihat kita semua hidup berkasih sayang antara satu sama lain.

Dalam menghadapi isu agama ini, kita perlu tangani dengan penuh toleransi, berhikmah tanpa rasa syak wasangka di antara satu sama lain. Dalam realiti dunia seharusnya kita tidak mengamalkan prinsip “winner takes all”. Prinsip itu hanya berlaku di Las Vegas saja.

putrajayaYang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Bagi penganut Islam mungkin menang dengan penghakiman tetapi ia hanya di Semenanjung.

Manakala bagi Kristian mungkin kalah dalam penghakiman tetapi pengumuman 10 perkara oleh PM bagi Sabah dan Sarawak tidak menyebabkan mereka kalah semuanya.

Perdana Menteri harus segera melaksanakan pelan rekonsiliasi nasional yang ditaja beliau. Jangan berlengah-lengah lagi.

Seharusnya sidang meja bulat yang menghimpunkan pihak-pihak berkepentingan perlu diadakan segera bagi mencari titik pertemuan yang dapat menyatukan kesemua rakyat.

Jangan terus berdiam dan membiarkan sahaja pelbagai bentuk provokasi agama berlaku di dalam Negara.

Politisi-politisi juga tidak harus menjadi jaguh. Menjadikan agama sebagai medan meraih populariti politik tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada kestabilan dan kerukunan Negara.

Cukuplah menjadikan agama sebagai alat untuk kepentingan hayat politik masing-masing. Agama perlu dicerna sebagai medium yang memandu setiap daripada kita untuk terus kekal berada dalam kebenaran yang hakiki dan akhlak yang baik.

Cukuplah mengadu domba rakyat dengan bersandarkan agama. Tiada untungnya.

SAMM2Rakyat juga tidak harus terperangkap dalam permainan sentiment yang cuba ditonjolkan bagi terus memastikan kita sentiasa berpecah belah dan tiada kesepakatan.

Isu agama dan bangsa akan kekal dimainkan bagi memastikan perhatian kita akan terpesong dari isu-isu lain yang sedang menjerut leher kita.

Percayalah, selagi kita terus terpecah kerana sentiment agama dan bangsa ini, mereka-mereka yang sedang memegang kuasa sedang menari gembira kerana perhatian kita telah Berjaya mereka pesongkan.

* Ahmad Anwar Asyraf adalah Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan

Categories
NASIONAL

Satu lagi himpunan protes naik kos sara hidup dirancang 1 Mei

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 2 JAN: Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan terlibat dalam satu lagi perhimpunan membantah peningkatan kos sara hidup disebabkan dasar Kerajaan Pusat menaikkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata perhimpunan yang akan diadakan pada 1 Mei nanti turut melibatkan beberapa NGO lain dengan memberikan penekanan bantahan ke atas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksankan pada April 2015 nanti.

SAMM2“Ketika ini kita sedang menyusun massa dan perbincangan dari semasa ke semasa diadakan agar perhimpunan nanti berjalan lancar. Kita akan maklumkan secara rasmi butiran himpunan ini pada masa yang sesuai nanti.

“Kita sudah ada banyak pengalaman mengadakan jadi SAMM yakin perhimpunan itu nanti boleh berjalan lancar seperti mana malam tadi,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perhimpunan ini juga akan diadakan di Dataran Merdeka seperti mana perhimpunan yang berlangsung malam tadi.

“Lokasi sebenar akan diputuskan nanti sebab bergantung kepada pelbagai keperluan semasa ketika itu,” katanya lagi

Katanya, perhimpunan seumpama itu akan terus diadakan selagi Kerajaan Pusat meneruskan dasar tidak prihatin dengan bebanan kehidupan terpaksa ditanggung rakyat gara-gara pembaziran, rasuah dan ketirisan kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan sumber kewangan negara.

“Perhimpunan bantahan seperti ini akan terus diadakan selagi Kerajaan Pusat tidak menghiraukan kesusahan rakyat dan menipu rakyat dengan janji manis kononnya tidak menaikan harga barang untuk menang pilihan raya,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Dakwaan senjata dalam longkang, modus operandi ‘basi’ salahkan perhimpunan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 1 JAN: Dakwaan polis menemui parang dan pisau dalam longkang berhampiran Kompleks Daya Bumi merupakan satu modus operandi ‘basi’ yang sudah kerap kali digunakan.

Ia untuk memberi persepsi buruk sekaligus bertujuan menguatkan tohmahan perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) malam tadi bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.

parangPengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan, berkata modus operandi sama juga pernah digunakan ketika kerajaan menghadapi beberapa siri kebangkitan rakyat khususnya dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum ini.

“Masa perhimpunan Bersih 2.0 dahulu juga sama, kononnya ada jumpa molotov cocktail (bom petrol) yang diperbuat dari botol plastik, senjata tajam dan baju tertera logo Bersih 2.0 tetapi sehingga sekarang polis senyap dalam isu itu. Apa hasil siasatan mereka?

“Lagi pun malam tadi bolehkan menggulingkan kerajaan hanya dengan menggunakan parang dan pisau sedangkan pihak berkuasa memiliki anggota dan kelengkapan secukupnya? Ini tak masuk akal,” kata Edy Noor ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

sammPada April 2011, sebelum Perhimpunan BERSIH 2.0 berlangsung pihak polis mendakwa menemui molotov cocktail yang diperbuat dari botol plastik, senjata tajam dan baju tertera logo Bersih 2.0 di satu lokasi yang kurang tersorok di Jalan Tunku Abd Rahman Kuala Lumpur.

Menurut polis kononya terdapat saksi yang melihat lelaki bertopeng membuangkan beg plastik berhampiran pasu bunga di lokasi terbabit.

Laporan itu bagaimanapun dipertikaikan masyarakat umum kerana dianggap melucukan umpama Pak Pandir yang menaman wang rompakan di satu lokasi dan meletakkan papan tanda ‘tiada duit ditanam di sini’ di atasnya.

EZY

Categories
NASIONAL

SAMM serah individu pakai jersi ‘Chelsea’ baling botol kepada polis

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 JAN: Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengesahkan  menahan dan menyerahkan individu terlibat dalam kejadian membaling botol minuman plastik ke arah polis ketika Perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) berlangsung di Dataran Merdeka, malam tadi.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata tindakan itu perlu demi mengelakkan perhimpunan yang disertai kira-kira 10,000 orang itu dicemari kejadian tidak diingini sekaligus memburuk-burukkan imej perhimpunan bagi menyatakan bantahan kenaikan kos sara hidup dengan aman.

ambang2o14“Kami tidak berkompromi dengan pihak yang cuba menimbulkan suasana huru-hara dalam perhimpunan sebab itu kami serahkan pemuda itu kepada polis bertugas malam tadi di Dataran Merdeka.

“Berhimpun secara aman itu adalah hak yang dilindungi perlembagaan tetapi bertindak ganas tetap menyalahi undang-undang dan membahayakan orang ramai dan anggota keselamatan sendiri,” katanya kepada Selangor Kini hari ini.

Kata beliau lagi, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut mengesahkan individu itu bertanggungjawab membaling botol minuman plastik terhadap anggota keselamatan.

“Individu yang membaling botol itu tidak memakai baju warna hitam sebaliknya memakai baju jersi Chelsea berwarna biru.

“Ada ramai saksi nampak memang dia seorang sahaja yang baling botol dan masa dia ditahan dia sendiri pun tidak menafikannya,” kata Edy Noor.

Selain dari kejadian membaling botol minuman plastik, SAMM mengesahkan perhimpunan malam tadi berjalan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

samm“Tahniah kepada orang ramai khususnya golongan anak muda yang mampu mengawal emosi mereka ketika menyertai perhimpunan walaupun kecewa dengan tindakan kerajaan yang tidak memikirkan tekanan akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya lagi.

SAMM turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak polis yang memberikan kerjasama bagi membolehkan perhimpuan berjalan lancar.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

‘Amar Singh, minta maaf atau disaman RM100juta’ – Chegu Bard

Dengan ini saya merakamkan rasa terkejut dan kecewa dengan tuduhan Timbalan Ketua Polis K.Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang mengaitkan saya dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan tuduhan menganjurkan himpunan untuk mengulingkan kerajaan pada 31 Disember nanti.

Tuduhan tersebut lebih jijik lagi apabila disambung dengan propaganda jahat iaitu konon wujud perancangan mengebom dan sebagainya.

Polis SAMMRakyat terhimpit dengan kenaikan kos hidup. Ini berkait rapat dengan kegagalan regim pemerintah selama ini dengan memungkiri janji janji pilihanraya yang belum setahun berlalu. Di masa pilihanraya Bn telah berjanji untuk menurunkan tol dan perbagai lagi usaha pengurangan kos hidup.

Tetapi akhirnya mereka sendiri menipu, bukan sahaja gagal mengawal kos hidup tetapi mereka sendiri mengumumkan kenaikan berantai bermacam macam lagi keperluan asas yang lain seperti minyak ,elektrik, gula dan lain lain lagi.

Sedar dengan kegagalan dan penipuan regim ini maka muncul cadangan untuk rakyat turun ke Dataran Merdeka bagi menunjukkan protes terhadap kenaikkan kos sara hidup. Cadangan ini bermula dengan persetujuan yang diolah dalam media baru seperti Facebook.

Ekoran itu beberapa ngo seperti SAMM menyambut baik persetujuan yang diolah secara organik ini dengan menyusun promosi dan seumpamanya, malah satu seketeriat ditubuhkan bukan sebagai penganjur tetapi penyelengara untuk melicinkan perbagai urusan.

Namun regim yang sentiasa menganggap kebangkitan kesedaran dan kecerdikan rakyat sebagai tekanan telah memulakan propaganda dengan memunculkan persepsi jahat terhadap himpunan protes kenaikkan kos sara hidup sebagai himpunan menggulingkan kerajaan.

Media arus perdana digunakan sepenuhnya bagi mengalih isu dari kenaikkan kos sara hidup kepada menggulingkan kerajaan.

Badrul Hisham-SAMMSAMM antara yang bersetuju dengan hak rakyat berhimpun dan menyatakan protes terhadap kos kehidupan serta penipuan janji janji pilihanraya Bn, telah berkali kali menegaskan melalui kenyataan persendirian dan kenyataan bersama bahawa himpunan ini cuma himpunan rakyat menyatakan protes bukan berbentuk keganasan tetapi aman.

Malah pra himpunan banyak telah di adakan atas nama flashmob di banyak tempat sama ada di dalam atau diluar lembah Kelang. Semua berjalan baik,begitulah bentuk himpunan ini cuma ia dalam skala yang besar di Dataran Merdeka pada malam tahun baru nanti.

Tidak di nafikan banyak juga pihak termakan dakyah jahat yang mengaitkan himpunan malam tahun baru nanti dengan keganasan menggulingkan kerajaan. Cuma tidak pasti PDRM merupakan pihak yang terpedaya propaganda jahat tersebut atau dengan sendirinya terlibat menjayakan propaganda tersebut.

Kemuncaknya adalah semalam apabila Timbalan Ketua Polis KL telah membuat sidang media seolah mempunyai maklumat gempar.

Ia kelihatan seperti lidah propaganda jahat menyebut nama beberapa individu dan beberapa organisasi termasuk nama saya dan gerakan Solidariti Anak Muda Malaysia sebagai terlibat menganjurkan himpunan guling kerajaan malam tahun baru yang bukan sahaja bersifat ganas tetapi terkait juga dengan bom dan sebagainya.

Amar Singh kononya ada maklumat mengenainya. Lebih lawak jenaka kerana dalam begitu serius membawa tuduhan mengenai himpunan besar menggulingkan kerajaan, dia sendiri pula berkata bahawa NGO – NGO yang disebut itu cuma NGO kecil sahaja dan himpunan tersebut hanya akan dihadiri oleh ratusan orang sahaja. Saya amat kasihan dengan Amar Singh, seoprang pegawai polis kanan begitu kelihatan bodoh ketika menjadi alat aparat dakyah regim.

Saya dengan ini menafikan dakyah Amar Singh ini. Mohon semua pihak bertenang, ini semua usaha mengalihkan isu sebenar – rakyat susah, kos hidup naik, regim gagal, janji PRU Bn menipu. Saya dengan ini mendesak fitnah ini ditarik balik oleh Amar Singh dan memohon maaf.

Dia harus dedah sumber pembohongan ini. Saya akan mengambil tindakan undang – undang terhadap dia dan semua media jahat yang menjadi penyambung fitnah tersebut. Isnin 30 Disember) akan menghantar notis undang – undang terhadap Amar Singh dan media – media terbabit. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100juta ke atasnya.

Semua harus datang secara aman, jika ada bersenjata dan membuat provokasi menghasut keganasan, ia agen jahat maka rakyat sendiri akan tangkap dan serah kepada polis.

Polis juga sudah tentu tidak mahu menandakan permulaan tahun baru ini dengan titik hitam hubungan polis dengan rakyat. Hanya bersenjatakan banner, poster dan laungan kita jumpa di Dataran Merdeka 31 Disember ini.

Badrul Hisham Shaharin

Categories
KENYATAAN MEDIA

Penangkapan Azan Safar dikutuk, rakyat digesa sedia himpunan besar 31 Disember

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk tindakan pihak berkuasa yang mengheret seorang mahasiswa ke Balai Polis tanpa alasan yang munasabah.

Azan Safar, Pengerusi Turun yang juga Presiden GAMIS dikahabrkan dicekup polis kira – kira jam 11.30 malam tadi ketika sedang makan di sebuah kedai makan di ibu kota. Penangkapan ini dipercayai ada kaitan dengan demo malam tahun baru nanti.

poster 31Kini masih dalam rumah pasung. SAMM mempersoalkan apa keperluan tangkapan seperti ini ? Boleh sahaja panggil elok – elok datang ke balai polis untuk ambil maklumat.

SAMM mendesak pembebasan segera Azan Safar sambil menyeru semua agar tenang termasuk pasukan keselamatan dan jangan sesekali termakan provokasi BN.

Pihak berkuasa harus rasional dalam membuat keputusan, tidak perlu mengikut telunjuk kerajaan BN yang dilihat telah ‘goyang’ oleh gerakan rakyat mutakhir ini.

Bagi SAMM, penangkapan Azan Safar akan terus membangkitkan lagi semangat anak muda dan orang ramai untuk turun bersama dalam protes raksasa 31 Disember 2013

Sheikh Yaser Abd Rahman
Penyelaras SAMM Kebangsaan

Categories
BERITA UTAMA

Ayuh, protes kenaikan harga pada Ambang 2014

Oleh: Edy Noor Reduan

MUKTKHIR ini, rakyat dikejutkan oleh pelbagai kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan kos sara hidup secara mendadak.

Ia menerbitkan kegelisahan orang ramai terpancar melalui pelbagai laporan media termasuklah di media sosial. Malah, respon kebanyakkan menteri terhadap kenaikan ini turut memacu kemarahan rakyat.

logo SAMM2Justeru itu, hasil perbincangan melalui media sosial, hadir idea untuk bersama menyatakan protes terhadap peningkatan kos sara hidup secara melampau.

Sambil menyifatkan tahun 2014 adalah tahun yang begitu mencabar, malam 31 Disember / ambang tahun 2014 yang disambut di Dataran Merdeka setiap tahun dipilih sebagai waktu dan lokasi yang paling sesuai untuk sebuah protes rakyat besar-besaran.

Inisiatif rakyat ini boleh dilihat melalui sebuah laman FB yang mengumpul kehadiran orang ramai ke Dataran Merdeka pada malam tersebut.

Usaha ini berhasil apabila lebih seribu pengguna FB mengesahkan kehadiran dalam masa hanya beberapa jam.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyahut cabaran mempromosi protes rakyat ini secara maksima, menyeru kepada semua pihak termasuk NGO, aktivis dan orang ramai tanpa mengira warna kulit dan fahaman kepartian.

SAMM percaya semua tidak terkecuali, samada penyokong kerajaan atau sebaliknya, merasai bebanan kenaikan harga barang serta perkhidmatan yang melampau dan bertindan-tindan.

cukainaikAntara bebanan yang dimaksudkan ialah kenaikkan harga petrol pada September lalu diikuti kenaikan harga gula pada Oktober, kenaikan tarif elektrik pada Januari depan, semakan harga gas, semakan harga tiket pengangkutan awam seperti LRT dan tambang bas sekolah, dan juga peningkatan kadar tol yang melibatkan 15 lebuhraya. Maka himpunan bantahan ini adalah bertepatan.

Melalui media, SAMM difahamkan sebuah gabungan NGO TURUN turut berhasrat untuk bersama rakyat memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi protes. SAMM menyambut baik keputusan tersebut dan menggalakkan lebih banyak NGO untuk turun protes bersama di Dataran Merdeka.

Dalam perkembangan sama, tidak dinafikan ada pihak / individu tertentu yang bertindak agresif cuba untuk menganjur perhimpunan di lokasi sama dengan harapan menggulingkan kerajaan. SAMM menafikan sama sekali sebarang keterlibatan.

Dataran MerdekaNamun sekiranya kerajaan yang lemah ini terguling dengan sendirinya hasil dari ‘polisi’ yang diperkenalkan, maka tidak boleh disalahkan sesiapa melainkan kerajaan itu sendiri.

Bagi SAMM, jelas himpunan di Dataran Merdeka adalah sebuah protes anjuran rakyat marhein. Ia sebuah protes yang aman selari dengan seruan supaya orang ramai hadir tidak membawa apa-apa senjata.

Akhir sekali, SAMM akan kemaskini segala perkembangan memandangkan terdapat banyak pihak yang sudah menghubungi SAMM menyatakan kesediaan untuk bersama rakyat pada malam ambang tahun 2014. Satu gabungan lebih besar mungkin akan direalisasikan.

* Edy Noor Reduan adalah Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia

JURNAL BERITA : Exco, ADUN tidak dibenar buat ‘kerja sampingan’

1- MB : Naik gaji elak buat ‘kerja sampingan’

2- MB : Pindah lokasi burung walit bagi selaras penempatan

3- Selangor, SPAN jalin kerjasasama, pastikan air bersih cukup

4- Gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur 17 Disember ini

5- FOMCA puji Selangor tawar bas percuma galak rakyat guna pengangkutan awam

6- Warga KL diseru hadir bantahan cukai taksiran depan DBKL 16 Disember ini

7- SAMM lancar misi bantuan banjir kali ke-6

8- Kerajaan Pusat perlu serius bela nasib pekerja

9- Program Tuisyen Rakyat Selangor lahir pelajar cemerlang