Categories
BUDAYA RENCANA

Kepada kekasih kupuisikan pertanyaan

 

di antara jarak dan sunyi
kataku, adalah dirimu-
yang bersembunyi
di debar dadaku.

di antara sunyi dan jarak
katamu, adalah aku-
yang berkepak
di semesta kalbu.

kekasih,
cahayaku bayangmu
bayangku cahayamu
lalu benarkah sunyi
tak sempat nyala
dan jarak pun padam
tak benar ada?

Aina Nabila Ahmad
Shah Alam

Categories
BUDAYA RENCANA

Kau apa hari ini Melissa

Oleh Md Fariq Khir

 

AKU mengenalinya waktu dia seorang perempuan. Secara biologinya memang dia seorang perempuan. Aku bukan orang sini. Aku dari benua lain. Di sini aku ditempatkan sebagai guru dalam program pertukaran demi memahami adat dan budaya negara aku dan negaranya.

Satu hari waktu berbual dengan rakan (dalam bahasa Inggeris) aku mengguna kata ganti nama she dan her. Melissa was a woman yesterday and is a man today kata dia. Mulanya aku tak faham kemudian rakan aku itu kata tentang fluiditi gender dan Melissa seorang gender fluid. Aku tak biasa pada mulanya. Aku bukan tak biasa pada konsep fluiditi gender tetapi kepada kata nama bila berbicara tentang Melissa.

Melissa boleh jadi lelaki untuk berminggu-minggu dan boleh jadi perempuan hanya dalam tempoh masa dua jam. Melissa pernah datang bulan waktu dia seorang lelaki dan aku tanya are you a woman now dan dia kata no I am still a man with a woman body.

Kadang aku guna namanya saja berbanding he/him/her/she. Dengan itu aku tak pernah tersilap.

Aku fikir aku hanya suka Melissa sebagai seorang perempuan — aku secara lahiriah meminati perempuan — sebab selalunya ketika dia perempuan Melissa akan berpakaian secara feminin dan sebaliknya bila dia lelaki. Tetapi tak juga. Aku nampak Melissa hanya sebagai Melissa biar apa pun gendernya waktu itu. Cinta telah membutakan gender. Tak. Bukan. Melissa yang telah membutakan gender. Aku pernah jatuh cinta dengan seorang transnita tetapi bila tahu dia trans aku membatalkan cinta itu.

Tetapi Melissa lain.

Melissa tidak tahu aku menyukainya. Yang pasti bila aku ingin meluahkan perasaan padanya nanti aku mahu ketika dia sebagai perempuan. Ini bukan sebab orientasi seksual aku itu tetapi lebih mudah bila aku ceritakan kisah itu kepada sesiapa.

Kalau waktu itu dia lelaki aku kena guna ayat ini: Aku dah luahkan perasaan aku kepada lelaki yang aku suka. Kawan-kawan aku pasti akan pelik sebab sejak bila pula aku minat lelaki. Ia akan membuang masa aku untuk ceritakan tentang fluiditi Melissa. Sebaliknya aku akan kata: Aku dah luahkan perasaan aku kepada perempuan yang aku suka. Perbualan akan terus kepada di mana, bagaimana dan kenapa. Aku lebih suka untuk berbicara tentang momen meluah itu berbanding perkara yang boleh diceritakan lain kali. Ia akan potong mood aku melamuni cinta.

Setengah tahun tinggal di sini bahasa Melayu aku semakin baik dan kami berdua makin kurang berbual dalam bahasa Inggeris. Kami tidaklah rapat dan amat jarang berbual berdua. Pada Sabtu kala September aku menemuinya di McD. Aku dekati mejanya dan kata sorang je. Ya sorang je dia kata. Kami berbual bermacam-macam hal dan dari situ aku tahu lebih banyak tentang latar belakangnya.

Kenapa kau tak menukar nama kau kata aku. Aku tidak nampak keperluan untuk menukar nama seperti nenek aku tidak nampak keperluan untuk memanggil aku dengan nama yang lain. Nenek aku orang yang pertama tidak bertanya kenapa bila mengetahui tentang situasi diri aku kata dia. Memang aku pernah ada nama lain tapi nenek tak pernah panggil aku dengan nama tu. Aku pernah bertanya kepadanya kenapa dan dia cuma kata hang jadilah apa pun hang tetap Melissa jugak. Aku terkesan dengan kata-katanya.

Malam itu dia memakai sweater dan jump pants hitam kosong. Aku tak dapat tangkap gendernya kala itu. Aku ingin tanya kau apa hari ini di kala jeda perbualan. Tetapi dia kata dia ingin ke tandas dan aku kata okay. Aku jagakan barang.

Terlepas satu peluang.

Aku melihatnya pergi. Berjalan membelakangi aku dan mata aku tajam mencari-cari pentunjuk apakah dia malam itu. Cara berjalannya nampak seperti entahlah. Kalau aku kata lelaki ya juga. Perempuan pun boleh jadi. Dan tubuhnya hilang di balik dinding. Aku melihat barang-barangnya di atas meja: telefon hitam, beg tote hitam. Itu saja. Aku tak tau apa di dalam begnya. Adakah sikat bulat atau sikat rata. Aku terlalu takut untuk menggeledah dan takut juga untuk mengintai dia ke tandas yang mana tapi tak ramai malam itu maka aku tekadkan juga diri. Aku bangun. Dia muncul dari balik dinding. Aku duduk semula.

Terlepas satu lagi peluang.

Waktu dia berjalan ke sini aku meneliti lagi tapi sama saja. Waktu dia duduk aku terus kata kau apa malam ini. Dia kata tekalah (di dalam bahasa Inggeris) kemudian ketawa. Aku senyum saja kemudian aku katakan padanya Melissa aku tidak ingin lagi bercakap di dalam bahasa Inggeris. Dia kata kenapa. Kau tahu Melissa aku pada waktu bersama kawan-kawan duduk berbual aku kerap kali menggunakan her/she/him/he untuk merujuk kau. Apa kena-mengenanya dengan itu kata dia. Kalau aku berkata-kata seratus peratus di dalam bahasa Melayu tidak akan ada lagi her/she/him/he bila aku bercerita tentang kau Melissa. Hanya dia. Kau bayangkan kalau ada orang tanyakan dekat aku apakah kau semalam, apakah kau hari ini dan apakah kau esok aku cuma perlu kata:

Semalam dia.
Hari ini dia.
Esok dia.

Aku faham. Fluiditi aku telah menyusahkan kau dan semua orang. Jadi bahasa Melayu bagi kau adalah jalan keluar. Macam tu kan.

Bukan macam tu. Aku tak pernah merasa susah soal itu. Ia bukan tentang bahasa. Ia adalah kerana kau.

Okay. Tahniah untuk kau sebab memandang aku macam tu. Terima kasih. Tapi apa maksud kau. Apa maksud kau ia adalah kerana aku.

Bahasa Melayu adalah jalan untuk aku menunjukkan bahawa gender kau di dalam mata aku dah runtuh. Mencair dan lutsinar. Kata dia memberikan penekanan dan penegasan terhadap apa yang aku dah pegang dan aku nak orang lain tahu dan sedar.

Semalam dia.
Hari ini dia.
Esok dia.

Aku ulangi lagi kata-kataku tadi.

Kau bercakap macam orang baca puisi dia kata dan apa pula kepentingan untuk orang tahu pegangan kau. Aku kata memang pun. Puisi tu aku tulis untuk kau. Tajuk dia dwigender yang aku cinta setiap hari. Yang kau apa kata dia. Yang aku cinta setiap hari. Aku cintakan kau Melissa.

Melissa ketawa. Aku tak tau nak kata apa dia kata. Kau hanya perlu jawab soalan aku: apakah kau malam ini. Melissa menghulurkan tangannya dan kata aku Melissa.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Parsel

Oleh A.J.F

 

PANGGIL saja aku Parsel. Dunia aku mengembara. Selagi ada kehidupan selagi itu aku tak henti dihantar ke mana-mana pun. Kerana itu, aku dapat bercerita gelagat manusia. Pendek kata, semua rahsia mereka di tangan aku.

Baru semalam aku tinggalkan Putrajaya setelah aku dihantar di mahkamah persekutuan. Gila korang. Sebut nama mahkamah sesiapa pun akan seriau. Ketika aku betul-betul mendarat di meja seorang kerani mahkamah, aku ingatkan ada kisah membawang kes berprofil tinggi,  rupa-rupanya ada kes panas mahkamah. Aku mendengar sebutir demi sebutir disebut kerani itu kepada rakan sebelahnya, “mahkamah memutuskan anak-anak orang Islam dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.”

Ah, orang Melayu memang pandai cakap berlapik. Kan mudah disebut anak haram. Bila bercerita tentang haram, pengalaman dihantar ke sebuah kondo di ibu kota menceritakan segalanya. Dalam perjalanan ke sana, aku tidak tahan mencium bau getah latex. Aku menjadi mual. Setiba di pintu rumah, seorang wanita bertubuh seksi berumur 30-an menyambut kehadiran. Aku sempat menjeling ke dalam rumah, ada seorang lelaki muda sedang menyedut vape. “Kenapa abang order lagi? Tak guna pakai, Zah dah berisi. Abang kena bertanggungjawab” Glupp. Dialog ini aku pernah dengar. Ini dialog drama Melayu. Boleh pula mereka berbalah tanpa segan silu. Korang selesaikanlah masalah korang. Aku tak masuk campur.

Mungkin nak dijadikan cerita, esoknya aku mendengar kondo sama menjadi tular bila ada serbuan pihak berkuasa. Khabarnya ada parti dadah. Dengarnya juga ada orang kenamaan terlibat. Aku pun tak nak masuk campur.

Oh ya, bila demam membeli-belah dalam talian menjadi sohor kini, akulah paling gembira kerana dapat lagi mengembara. Kerana itu cita-cita sejak azali. Mesti korang tidak percaya, keturunan aku berasal campuran Jerman dan Austria. Dipendekkan cerita, keturunan kami lahir atas permintaan penghantaran uniform menggunakan kereta api zaman dulu kala. Kalau aku petik tahun 1857 mesti korang tak percaya.

Bila sebut uniform, aku teringat minggu lepas aku dihantar ke sebuah butik pakaian terkenal. Aku diarahkan membawa busana dan kostum dengan kuantiti yang banyak. Ketika mendarat di kaunter pertanyaan aku cuba memasang telinga mendengar perbualan juruwang dengan pereka tersebut. “Kostum ini sure meletup. Itu belum campur dengan make up hang, tak percaya tengok televisyen malam ini”.

Esoknya tular di media sosial, sebuah band dikecam warga maya kerana membuat persembahan kontroversi. Ya, inilah busana dan kostum yang aku hantar. Khabarnya, versi penuh klip video pun dipotong di saluran Youtuba.

Youtuba mengingatkan aku tentang promosi penghantaran aku ke serata dunia. Terasa glamer bila tontonan mencecah jutaan mengalahkan klip Di Matamu, Suffian Suhaimi dan Vroom, Vroom Vroom, Nabila Razali. Cuma aku terkilan kerana komen ditutup gara-gara warga maya terlebih pandai menjadi pakar ekonomi, pakar undang-undang, pakar kesihatan, pakar agama. Berjuta-juta komen dicatatkan tetapi paling banyak komen tersasar daripada isu sebenar. Bila tulis mereka mesti kaitkan dengan politik. Aku memang tidak berminat hendak masuk campur.

Tak seperti zaman nenek moyang aku, dunia sekarang semua di hujung jari. Dari Youtuba, Fesbuk, Instagaram, Wasap, Telegaram hingga Ladaza, Sopie hinggalah Pergi Kedai. Dengan pesatnya teknologi melalui aplikasi dalam talian, aku masih boleh mendabik dada kerana peranan mengembara masih lagi menjadi mata pencarian.

Namun, segalanya berubah ketika suatu hari, sebuah kedai atas talian  memperkenalkan aplikasi visibleparcel (v-parcel). Penghantaran barang dipesan pembeli muncul terus kepada penerima melalui mesin ajaib. Ya. bunyi macam pelik tetapi aku pernah diberitahu seorang peminat tegar durian hanya menunggu buah itu muncul di mesin ajaib. Penjual berada di ladang sahaja. Tak perlu syarikat penghantaran. Tak payah guna orang tengah.

Satu lagi kegilaan yang aku dengar, sebuah kedai dalam talian sedang menguji aplikasi ghostparcel (g-parcel) untuk menandingi v-parcel dengan penghantaran barang muncul terus di telefon. Dengan tagline “every parcel is a ghost”, mereka menawarkan penghantaran secara percuma. Bunyi memang tidak logik. Tetapi aku perlu menghadapi semua ini kala teknologi menguasai dunia.

Aku yakin untuk hidup. Meskipun e-mel dan SMS pernah membaham industri surat hingga penghantaran berkurangan tetapi dunia penghantaran tidak akan mati. Ya belum mati. Keturunan aku sudah hidup lebih 160 tahun. Jasa keturunanku banyak membahagiakan warga dunia. Setiap kali aku sampai, akan muncul lirikan di bibir penerima. Paling tak kurang juga ada yang berduka kerana ditipu pembelian dalam talian. Paling sadis penghantaran tasbih buatan China menggantikan telefon pintar.

Sejak pagi tadi penghantaran barang dari China penuh di tempat pengumpulan. Aku sempat mendengar perbualan petugas sebelum dibawa menaiki pesawat ke negara jiran. Katanya barang dari Wuhan masuk ke sini luar daripada kebiasaan. Setibanya di pintu imigresen negara jiran, aku ditahan penguasa kesihatan kerana disyaki pembawa Covid-19. Sesegera itu, pandangan menjadi gelap. Lebih  gelap daripada menghadapi cabaran v-parcel atau g-parcel.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Pisau, pemetik api dan seekor lipas

Oleh Nik Aidil Mehamad

 

Siang: “Matahari muncul, mengeringkan air mata yang membasahi langsir bilik”.

Katakan aku adalah pisau dalam laci almari di dapur. Aku adalah pisau yang melukakannya.

Luka di jari manisnya. Daging jarinya terhiris seperti dia menghiris bebola daging menjadi kepingan-kepingan nipis. Jarinya mengucurkan darah. Kesedaran kepada kesakitan luka itu tidak dirasainya.

Semangkuk soto untuk menu tengah hari kami. Tentunya dengan tambahan kepingan-kepingan bebola daging dalam soto.

Pisau di dapur menghiris jari manisnya lagi. Darah menitis-nitis dalam sinki seperti botol sirap sebelum kubaling ke dinding berada dalam genggaman tangan amarahku – menitis-nitis sirap pekat merah. Dia menahan pedih luka. Makan malam kami dibatalkan.

Ketika darah jari manisnya masih mengucur laju pada malam aku tiada di rumah. Panggilan telefon darinya kujawab. Suaranya gementar. Dia mengatakan kepadaku bahawa darah dalam tubuhnya berkurangan. Aku tidak percaya.

Telefon pintar terlucut dari genggaman tangannya. Kedengaran kepalanya terhantuk di bucu meja. Aku memanggilnya beberapa kali. Dia tidak lagi menjawab dan bunyi pancutan air akuarium dalam rumah kami masuk ke dalam corong telefon pintarku.

Jika dia masih tidak lupa, kejadian itu sering berlaku pada tahun pertama perkahwinan kami. Dia akan merengek meminta aku mencuci luka dengan iodin. Biarpun keghairahannya berada di dapur, memasak masakan yang selalu saja buat jiran sebelah kami lapar dengan tiba-tiba.

Sejak itu aku mengurangkan buku-buku fesyen dalam rumah dan melanggan lebih banyak buku masakan secara atas talian. Resipi masakan dunia yang kadangnya terasa agak aneh untuk lidah aku merasainya.

Pada pagi jerebu menggila, setelah agak lama aroma masakan tidak bertebaran dalam rumah ini. Dia mengejutkan aku lagi dengan kecelakaan baru. Apron putih susu yang melekat di badannya berlumuran dengan darah. Isteriku membelakangi Kanye West dalam kaca televisyen.

Kecelakaan baru pagi ini, katanya. Aku sambut kata-kata itu dengan merangkul tubuhnya. Tidak mungkin lagi aku dengar dari mulut doktor, “Tubuh isterimu kekurangan darah”. Badanku lemah apabila aku panik. Pemanduanku merosot apabila aku dalam kepanikan yang sarat di dalam dada.

Tiga puluh minit kemudian, selepas aku menekan butang merah pada skrin telefon pintar. Van ambulans datang dengan sirennya yang nyaring di hadapan rumah. Lantai mozek di bahagian dapur dan ruang televisyen berlumuran dengan darah. Bau hanyir darah bertebaran dalam rumah. Makan tengah hari kami ditunda hari itu.

Pemandu van ambulans panas hati denganku. Dia ingin maki aku pada mulanya, namun dia lupakan – rayuan aku dituruti. Van ambulans menuju ke sebuah restoran dan menunggu kami di hadapan restoran. Lampu siren tidak dimatikan. Cahaya siren menampar-nampar pipi kami yang berada dalam restoran ketika Maghrib baru lahir.

Kami menunggu pesanan sampai ke meja. Dia tidak lagi kepucatan. Darah di jari manisnya mula berhenti mengalir.

Ia menjeratku – seolah-olah aku adalah pisau di dapur yang selalu saja akan disimpannya dalam laci almari dapur selepas saja masakan siap terhidang di atas meja makan.

Malam: “Matahari menghilang, lipas dalam gerobok baju pun keluar berpesta”

Dia baling kasut tumit tujuh incinya ke arah lampu kalimantang dalam bilik.

Aku dan dia teraba-raba mencari pemetik api. Aku memarahinya berkali-kali dalam kegelapan. Kemarahan itu dibalasanya dengan dengusan nafas yang tidak putus-putus keras seperti dia diminta untuk sengaja membazirkan tenaganya untuk menggelapkan bilik ini.

Bilik tidur kami gelap dan emosi kami pelan-pelan padam.

Tololnya, aku lupa kali terakhir aku mengeceh pemetik api untuk sedutan rokok yang pertama malam ini. Dia memarahiku kerana aku lupa meletakkan pemetik api. Aku pula memarahinya kerana kasut hadiah ulang tahun perkahwinan dibalingnya untuk menggelapkan bilik ini.

Kami tidak pernah tidur dengan lampu tidur. Kami suka lena dalam gelap. Jika ada orang asing dalam bilik masuk seperti pencuri – kami tidak akan rasa takut kerana apa yang dilihat selalunya akan menambahkan ketakutan. Jadi kami biarkan lena kami dalam kegelapan.

Pada suatu malam, aku pura-pura dengkur kerana aku juga dengar apa yang dia dengar. Isteriku mendengar jejak kaki seseorang dalam bilik.

Dia menyiku perutku beberapa kali. Selimutnya ditarik membaluti seluruh tubuhnya. Juga kepalanya tenggelam dalam selimut seperti pocong. Aku jadi takut dengan isteriku pada waktu itu daripada susuk asing yang berlegar dalam bilik tidur kami.

Boleh jadi malaikat yang datang singgah bilik kami. Gampangnya bukan malaikat.

Dia bangun keesokan paginya dan menuju ke tandas dengan muka mamai. Isteriku sasau. Jeritannya menggegarkan apartmen kami. Aku terjaga dan bilik tidur kami sangat Zen – yang tinggal hanya tabung van Combi seramik kuning di atas meja solek.

“Awak ingat tak peristiwa malam pencuri mengosongkan bilik kita?” tanya aku kepadanya yang sedang duduk di hadapan meja solek.

“Saya tak lupa tetapi ada hal yang lagi penting untuk awak selesaikan malam ini, di mana awak letak pemetik api?” balasnya.

Seekor lipas merayap di pahaku. Masuk ke dalam pijama yang kupakai. Pijama sudah seminggu tidak dibasuh dan aku dapat rasakan lipas yang kupicit mengeluarkan jus – meleleh.

Categories
BUDAYA RENCANA

Feliz Navidad

sekali lagi kita menuju januari
menggengam cermat feliz navidad
di selang-seli antara sumpah dan bisik angin
tatkala matahari tiba-tiba menjadi kecil

air menjadi matahari
peluh menjadi matahari
angin menjadi matahari
dan matahari-matahari kecil pun membakar
dari setiap ruang

ruang pecah menjadi kaca-kaca
berselerak, feliz navidad adalah doa
yang menjadi sumpah
dan kita tetap laju menuju januari
kerana bisik angin telah menjadi taufan.

Najmuddin Yusoff

Kok Lanas

Categories
BUDAYA RENCANA

Objek di dalam kotak fakta

OLEH LOKMAN HAKIM

 

1. Kita pegang hipotesis ini, dunia bukannya terdiri daripada objek tetapi fakta. Benar, segala-galanya hanya fakta. Kita anggap kenyataan ini selaku sahih seratus peratus.

1.1. Seekor kucing bernama Tommy tahu tuan rumah A akan keluar tepat pada pukul 8:25 pagi.

1.2. Dia menanti. Dia meninjau persis seorang ejen perisikan sebuah negara yang harus dirahsiakan namanya.

1.3. Dalam kepala tuan rumah A pula, dia syak kucing itu merupakan ejen perisikan tersebut.

1.4. Tommy tahu beberapa ketika nanti dia akan turun dari bonet kereta itu, menyorok di bawah kereta lain yang tuannya takkan keluar dari rumah sehingga malam menjelma.

1.5. Tommy syak pemilik kereta yang nokturnal itu seorang yang memiliki keabadian hayat.

1.6. Tuan rumah A tadi, lebih mengharap kucing itu sejenis makhluk asing berbanding dengan ejen perisikan. Terlalu klise, katanya. Selaku seorang pembaca tegar, dia lebih banyak menemui karya-karya thriller ala-ala Dan Brown berbanding dengan karya-karya fiksyen sains ala-ala Douglas Adams.

1.7. Tommy sudah tidak peduli pada tuan rumah A itu. Perutnya lapar. Ia akan menyondol-nyondol kepalanya di betis seorang gadis rupawan jiran kepada makhluk abadi merangkap sang nokturnal.

1.8. Tuan rumah A meninggalkan kawasan perumahan dan memusatkan fokusnya pada pemandu-pemandu biadap yang disyakinya zombi. Cara pemanduan mereka itu rata-ratanya seperti tiada hala-tuju. Mereka membelok ke lorong kanan ketika memberi isyarat mahu ke lorong kiri. Kadangkala mereka berhenti dan berundur sebelum mematikan enjin. Mungkin tidak betah memakai perisian Waze atau Google Map.

2. Kita letakkan Tommy, tuan rumah A, gadis rupawan dan makhluk abadi selaku fakta. Fakta di sini pula adalah kenyataan yang fleksibel inti patinya. Putar belitkan ia seiring dengan kehendak diri. Engkau sedang menciptakan naratif bukan? Naratif adalah lambakan fakta yang bersusun kemas membawa logiknya yang tersendiri. Kita boleh bermula begini:

2.1. Engkau anggap Tommy tidak rasional. Tiada salahnya kerana Tommy adalah seekor kucing. Kucing tidak berakal seperti manusia.

2.2. Engkau memintaku mengemukakan fakta bahawasanya tuan rumah A itu seorang yang suka berangan.  Katamu, tidak mustahil tuan rumah itu seorang pengarang fiksyen. Jika tidak cerpen, pastinya novel.

2.3. Aku menanyakan perihal kemungkinan tuan rumah itu sebenarnya pandai tulis puisi. Engkau menafikan kerana tiada maklumat seumpama itu dalam kenyataaan dalam poin-poin 1.1 hingga 1.8.

2.4. Hujah engkau adalah fiksyen ini terlalu melangkah luar daripada norma logik kerana bagaimana seekor kucing boleh mempercayai seorang manusia itu sebenarnya sejenis makhluk abadi?

2.5. Aku kata tiada salahnya kerana ini adalah fiksyen. Fiksyen sepatutnya ada jalan cerita. Kita nampak pergerakan setiap subjek dengan jelas. Tambahan pula ia mendukung logik fiksyennya yang tersendiri. Tidakkah itu memadai?

2.6. Engkau kata ini cerpen yang teruk, aku menafikan. Kita berkelahi.

2.7. Tiada konklusi melainkan perkelahian. Engkau mungkin tidak mahu berdebat mengenai objek di dalam kotak fakta tetapi sekadar mahu mencari sebab untuk menumbuk mukaku. Engkau berjaya. Mulutku berdarah.

3. Sebenarnya, kita tidak patut berdebat mengenai adakah dunia ini terdiri daripada lambakan fakta mahupun objek.

Dalam perjalanan ke hospital, kau meminta maaf. Aku mahu maafkan tetapi mukaku kebas. Bibirku juga pecah-pecah. Tekak terasa perit. Jangan minta aku berbicara pada waktu ini, tetapi nampak gayanya aku tiada jalan mahu melarang engkau berkata-kata. Sesudah meminta maaf, engkau memulakan kes baharu. Aku pasrah. Aku pejamkan mata, tetapi kau tidak mahu berhenti. Aku mengeluh, tetapi kau tak peduli.

4. Kita patut balik ke rumah dan teruskan hidup seperti biasa. Tommy, Tuan Rumah A, gadis yang dikatakan rupawan (masih boleh didebatkan) dan juga makhluk abadi nokturnal boleh meneruskan hidupnya tanpa sebarang pengaruh kita. Harus diingat, sebuah cerita tidak wajar dinaratifkan oleh lebih daripada seorang narator. Engkau patut berhenti menjadi sesuatu yang omnipresence biarpun engkau merangka cerita ini dan watak-wataknya. Dunia terdiri daripada objek dan bukannya fakta. Bersetuju atau tidak itu kita boleh bincangkan. Tidak perlu bertumbuk seperti tadi.

5. Seperti yang engkau tahu, Tommy, Tuan Rumah A, si gadis dan makhluk abadi nokturnal itu sesuatu yang sahih. Sahih itu boleh jadinya duduk di dalam fakta mahupun objek. Katakan sahajalah definisi fakta dan objek itu bertindihan. Apabila kita melihat ia begitu, kita tidak perlu bertelagah mengenai definisi. Kecederaan aku ini objek atau fakta? Kesakitan ini, dirasai, tetapi tidak dapat disentuh. Engkau tidak akan merasai kesakitan yang aku alami biarpun engkau berempati.

6. Soalnya sekarang bagaimana kalau kita menjadi objek di dalam fakta dan menjadi inti pati realiti ini? Ya, kita adalah pembaca kepada naratif ini, di mana fakta dan objek saling menduduki di dalam setiap satunya lalu menjadi apa yang kita boleh anggap selaku – diri kita yang sahih.

Categories
BUDAYA RENCANA

Blessé

Bukan kesunyian yang membuatku bersedih
tetapi ketiadaan upaya mengungkap kata-kata
memujuk diri. Bukankah aku di kamar mandi—
ruang paling intim, paling selamat
apakah lagi yang kau takuti?

Bukan senyuman yang merawat luka tetapi cermin
berlumut di hadapanku ini. Teman yang jujur
mengukir derita dan merakam air mata—
Betapa hidup tidak adil, air mata yang mengalir
hanya dapat dilihat mata asing sedang aku
tak punya sesiapa.

Bukan ketiadaan suara dan bunyi yang meramas
dadaku tetapi kebisingan di dalam kepala ini
tak kau fahami. Aku terpisah dari pejal dunia
seperti teriak bayi terpisah dari rahim ibu,
mengapa dunia bergembira kerana itu?

Aku memeluk diri sendiri tetapi dakap dan hangatnya
terasa palsu. Kutahu lengan ini tercipta semata untuk
menoreh, menampar, menikam musuh; akukah itu
yang ingin kaubunuh?

Shafiq Said
Mentakab

Categories
BUDAYA RENCANA

Salju rindu

Barangkali kutunggui kau
seperti salju pertama jatuh tiap tahun
semua orang turun ke tanah, jadi kanak-kanak
semua orang menadah basah, nyanyi dan teriak-teriak.

Barangkali kau begitulah
begitu menyenangkan
begitu membuatku girang
memanggilmu datang
membawaku pulang
mengasuhku cinta.

Barangkali aku begitulah
begitu tak tentu
dipeluk kau aku lari
ditakluk kau aku mati
tapi aku turun menyapamu dulu
aku yang dulu
mendepang tangan
aku yang dulu
menari
kau cair di tapak tanganku
dicumbu ribuanmu aku beku.

Barangkali kita begitulah
lima minit
sepuluh minit
belum kau hilang
aku pulang
berkurung selimut
berkelubung kerekot
menjauh

dari apapun.

Hidayu Hatta

Categories
BUDAYA RENCANA

Saman

Oleh Zul Azlin

 

“KITA saman!”
“Tak boleh.”
“Kenapa pula?”
“Eh, ini bukan perkara main-main.”
“Haji, ini hal rumah tangga saya. Tak akanlah saya anggap ini benda main-main.”
Mata tunak menikam wajah Haji Wahid seolah-olah memberitahu kejengkelan dalam jiwa saya sudah mula bercambah. Pengdingin hawa menderu dengan angin sejuk bersuhu 18 darjah Celsius pada kekuatan kipas satu takah. Sedikit pun tidak mampu menyamankan hati seorang perempuan yang remuk dihenyak kecewa. Permaidani Kashmir dan kerusi empuk Lorenzo yang mungkin disusun atur untuk menggamit klien-klien itu langsung tidak menenteramkan saya.
“Kita tak boleh saman benda macam ini. Mahkamah tak terima.”
“Tapi kalau haji yakin dia punca segala masalah saya, tentu haji boleh yakinkan peguam dan hakim.”
Pelik, geram, marah, sedih, bingung, bengang. Kerencaman emosi ibarat bagasi se-orang badut amatur sarkas pinggiran. Percampuran yang tidak koheren. Saya mula memikirkan hidup ini satu jenaka buruk yang panjang. Entah kenapa Haji Wahid pun saya nampak seperti satu lawak ulangan rancangan petang-petang. Saya memang tak puas hati. Dia yang beria-ia menyalahkan benda itu tapi dia sendiri tidak mahu tegakkan keadilan.
“Kita kena ikhtiar supaya jadi pengajaran kepada orang lain.” Rupanya ada geletar suara yang cuba saya tahan. Dek kerancuan emosi tadi.
“Kita serahkan sahaja pada Tuhan. Kita terus berdoa. Itulah ikhtiarnya.”
Kalau setakat berdoa buat apa saya jumpa tuan haji. Saya tak suarakan kata hati ini. Bukankah dia seorang haji? Saya perlu hormat. Dia juga seorang yang tersohor. Kata pembantunya tadi, di belakang saya ada berpuluh lagi orang menunggu.
Cumanya prinsip hidup saya adalah an eye for an eye. Saya tidak boleh biarkan hanya pembalasan di akhirat. Di dunia, kita ada tangan dan akal untuk selesaikan segala yang berselirat. Ada tangan dan akal untuk menegakkan keadilan dan membasmi kebodohan zulmat.
Namun, masuk akalkah semua ini? Tiga tahun lamanya berkenalan dan kami semakin mesra. Tiada gelora, tidak peduli orang kata, hanya ada hari-hari yang membenih cinta. Cinta yang terpateri pada janji yang terungkap dan cincin yang tersarung kemudiannya.
Memang tidak masuk akal. Cinta (yang saya sangka) murni itu hanya menatijahkan dua kali peleburan intim di ruang yang kami gelar kamar pengantin. Sepanjang tiga bulan hidup bersama hanya dua kali sahaja! Terus terang saya tidak boleh menerima keadaan ini. Sudah tentu, semua perempuan moden yang melalui emansipasi seharusnya mementingkan hal ini. Apa lagi puncak kebahagiaan paling suci untuk sepasang makhluk yang terbenam dalam asmara?
Dua kali sahaja dalam tiga bulan. Memang tidak masuk akal. Beratur alasan yang dimuntahkan. Haid yang terlalu panjang – sepuluh hari tidaklah terlalu panjang. Migrain – yang dibeli hanya Panadol, di mana ubat-ubat tahan sakit yang lain? Penat – kau kerja pereka grafik sahaja, bukannya buruh binaan. Belum bersedia – oh, come on!
“Jadi macam mana, haji?”
“Kita tak boleh saman jin.” Haji Wahid menjawab tegas.
Ini lebih tak masuk akal. Kita tak boleh saman jin? Kalau kita boleh mendiagnosis penyakit jin – ya kamulah haji antaranya, kalau orang boleh bercakap dengan jin – menurut tajuk buku terkenal, kalau ada yang bela jin, atau tangkap jin, atau nampak jin, kenapa pula kita tak boleh bawa jin ke muka pengadilan dan saman berjuta-juta ringgit?.
“Kalau haji tak boleh buat begitu apa gunanya saya datang ke sini? Baik saya jumpa ahli terapi psikologi.”
“Ini sihir pemisah. Kamu tak percaya jin?”
“Mestilah saya percaya. Haji kata ada orang hantar, bos tempat dia bekerja. Saya boleh upah orang untuk siasat dan uruskan perempuan gatal itu. Biar dia rasakan akibat mengganggu perhubungan kami ini. Tapi jin itu pun mesti terima balasan. Yang itu haji kena bantu.”
“Ish, tak logik cara kamu berfikir. Mana boleh kita saman jin.”
Logik hanya ada pada templat kebenaran masing-masing. Logik orang lain barangkali lain acuannya dengan kita. Semua ada kebenaran sendiri. Saya teringat semula kata-kata kawan saya. Sebenarnya bukan kawan, tetapi pemandu Grab yang memandu saya dalam perjalanan satu jam dari Nilai ke Pandan Jaya. Saya luahkan perasaan seolah-olah kusyen belakang kereta itu adalah sofa terapi si Freud. Oh ya, Freud itu seorang ateis. Saya masih ingat nasihat pemandu muda ini bahawa ayat Quran yang menyebut tentang sihir pemisah ini (tentulah saya tak ingat ayat yang mana, Al-Baqarah seratus berapa entah) tak semestinya bermaksud jin tapi maksud lebih umum seperti batu api atau fitnah.
Dia sarankan saya berjumpa kaunselor perkahwinan. Ujarnya lagi, walaupun saya tidak minta pun nasihatnya tapi saya relakan, kebanyakan masalah perkahwinan ada isu-isu psikologi yang sering disapu ke bawah ambal. Pandai sahaja pemandu Grab ini berlagak seperti pakar psikiatri. Sudah tentulah saya tak peduli sangat kata-katanya. Dia pemandu Grab. Haji Wahid pula seorang… yalah, seorang haji. Pasti iktikad saya lebih kepada Haji Wahid. Saya mahu masuk syurga. Seperti ratusan pelanggan-pelanggannya yang lain.
“Kamu teruskan datang berubat di sini. Banyak bersabar. Sihir ini kena buang perlahan-lahan. Jangan gopoh.”
Mesej masuk. Notifikasi WhatsApp.
Saya mengangkat tangan pada Haji Wahid. Bukan saya suruh dia bercakap kepada telapak ini tapi saya mengisyaratkannya menunggu sebentar. Entah kenapa saya rasa perlu untuk membaca mesej waktu itu juga.
Maaf sayang. Saya telah kembali. Ringkas mesej di bawah gambar.
Saya terduduk. Bagasi emosi saya tadi terburai. Bergolek dan bertabur di atas permaidani gebu. ‘Rasa dicurangi’ tidak cukup untuk mewakili situasi dan perasaan ini.
Foto di tepi pantai. Cinta saya tidak lagi berambut gaya potongan undercut, berkemeja Flanel dan bercelana Denim. Dalam busana dan hijab itu, saya akui dia lebih cantik daripada saya.
Haji Wahid masih menunggu jawapan sambil tersengih-sengih.
Categories
BUDAYA RENCANA

Lanskap kota pada suatu duha

 

Penghuni kota perlahan-lahan kembali
meriuhkan kehidupan pada suatu duha
mengisi ruang yang ditinggalkan semalam
cahaya tenteram gugur ke segenap kota
hinggap di lampu, papan tanda, skrin mega
juga mengepung gelap keinginan di dada
menjelmalah malaikat, hamba atau raja
bertopeng dan tersenyum di sebaliknya.

Di antara pejalan kaki yang bersesakan
seorang gadis memikul beban di bahu
“ini ialah peninggalan masa silam
kubawa bersama ke kekelabuan,”
katanya, kini tanpa air mata di pipi
beban jelas kelihatan di belakang
namun tak dipedulikan manusia
sibuk mengejar dan mengutip
cebis kesempatan di jalanan.

Matahari bertukar sekuntum bunga putih
mekar di atas kepala para penghuni kota
yang tertinggal roh dalam potret malam.

 

Ariff Mustaffa Hamzah
Melaka

Categories
BUDAYA RENCANA

Bicara apa lagi, sang puntianak

 

Bicara apa lagi
kebenaran terpaku di peti keranda
suara dikapan di gaung demokrasi.

Kesetiaan
rantai yang membelenggu
di leher sang politikus.

Perlukah kali ini
berselingkuh dengan puntianak
di bawah bulan pucat.

Tak perlu lagi berahsia musim ini
paku kebebasan
terbenam di kepala
kebaya merahmu tak lagi berdarah.

 

Baharuddin Sairi
Sungai Nibong, Sekinchan

Categories
BUDAYA RENCANA

Minit mesyuarat

Oleh Makna Nurjihad

 

MINIT mesyuarat adalah satu dokumentasi di atas kertas putih yang mempunyai kuasa untuk merubah dunia. Zalia percaya apa yang dicatatkan olehnya adalah hitam atau putih keputusan tindakan yang bakal digerakkan. Minit mesyuarat adalah susunan-susunan aksara dalam ayat pasif untuk tindakan yang dipersetujui dalam mesyuarat. Nuansa mesyuarat mewujudkan humor, sedih, gembira, menyayat hati, kemurungan dan kebimbangan.  Si polan A menyatakan dia pejuang kemashalatan ummat, disahut si Polan B yang mengakui dia lebih lagi. Ramai menyanggupi projek dengan peruntukan puluhan dan ratusan ribu Ringgit Malaysia. Apabila peruntukan sedikit mereka akan bertarik tali dengan alasan bukan dalam skop tugasan masing-masing. Mereka berdebat untuk menunjukkan warna diri masing-masing dari sisi yang paling indah. Hakikatnya mereka adalah seperti sesumpah yang bertukar warna mengikut dalam puak mana mereka berada pada ketika itu.

Kesimpulan dari kata-kata mereka dicatat Zalia, sebelum diringkaskan dan diserahkan kepada pengerusi mesyuarat kemudiannya. Minit mesyuarat adalah merupakan satu seni kata-kata untuk pencatat dan penulis seperti Zalia. Hasil kerjanya walaupun tidak diiktiraf seagung karya seni sastera Tolstoy, Shakespeare, Nabokov, Kurosawa, A. Samad Said atau Usman Awang. Minit mesyuaratnya ada peminat tersendiri. Buktinya sebelum dicetak dia akan menerima mesej-mesej dari telefon pintar mohon untuk diperindahkan ayat supaya beban yang bakal dipikul dapat diperingankan. Namun, Zalia yakin apa dipertanggungjawabkan padanya bakal dipersoalkan di negeri abadi kelak. Dia wajib hati-hati dalam mengisi kata-kata dalam lembaran minitnya.

Drama sebenar bermula apabila pengerusi menandatangani dengan pen berdakwat cair pada ruangan disahkan pada lembaran minit mesyuarat. Zalia membuat salinan, dilakukan pada mesin pengimbas dan diedarkan kepada ahli mesyuarat melalui e-mel. Bilik pengerusi mesyuarat akan mula dikunjungi tidak henti-henti, puluhan kertas kerja dimajukan, bahagian perakaunan mula sibuk melayani pelbagai sebut harga yang masuk. Masing-masing mencari kenalan untuk masuk tender, aliran wang mula aktif. Wang mengalir pada sekecil jamuan mesyuarat jawatankuasa pelaksana sehingga ke tender pembekalan. Jantung jabatan berdenyut laju, minit mesyuarat persis CPR kepada tubuh badan jabatan. Pada ketika itu akan kelihatan masing-masing mengakui mempunyai hak untuk mencari dan mencadangkan pembekal terbaik.

Maka minit mesyuarat akan dibawa menghadap pengerusi sekali lagi. Zalia terpegun dan geli hati apabila dua tiga pegawai eksekutif berada di dalam bilik pengerusi dengan salinan minit mesyuarat. Mereka mengulang-ulang ayat pada lembaran tadi seperti deklamator puisi sebelum disahut pada sebelah pihak yang lain pula. Zalia menanggapi pengerusi sebagai pengacara majlis dan dia sebagai pengadilnya. Kata akhir baginya adalah apabila dia mengumumkan pegawai eksekutif yang paling tepat dalam mentafsir minit yang ditaipnya dengan pengesahan pengerusi mesyuarat. Akhirnya akan ada pihak yang kecewa tidak dapat memanipulasi minit mesyuarat menurut nafsunya.

Minit mesyuarat adalah juga skrip kepada drama bersiri jabatan. Isu-isu berbangkit akan dibawakan ke mesyuarat seterusnya. Awal-awal lagi seminggu atau dua tiga hari sebelum tarikh mesyuarat bermula. Setelah agenda dan surat pangggilan mesyuarat dikeluarkan. Ahli mesyuarat akan berjumpa dengan  Zalia. Membawa senyuman beserta muka yang manis. Kadang kala membawa  hadiah berupa makanan, ajakan makan tengah hari dan kadang kala wang tunai. Hati Zalia juga terkadang goyah, tambahan dia merupakan seorang Dara yang sedang mencari Udanya. Mereka mengharapkan dapat menjampi hati Zalia dengan hadiah-hadiah, jampi mereka supaya Zalia akan teringat-teringat muka mereka dan menaip nama mereka dalam mengendalikan projek-projek mega dan melepaskan mereka dari beban kerja yang remeh temeh.

Pada permulaan mesyuarat seterusnya. Masing-masing ahli eksekutif tertunduk menancap meja. Tidak seorang berani mengangkat muka. Sebaik pengerusi membuka mesyuarat dengan surah al-Fatihah satu-satu nama disebut dengan sikap dan tingkah masing-masing. Zalia juga tertunduk bergemuruh jantungnya. Tangannya kaku untuk menaip dan fikirannya kosong untuk menyusun kata dan mentafsir maksud di sebalik patah-patah ayat dikemukan pengerusi. Pada kesudahan pengerusi menyatakan pada Zalia tidak ada minit pada kali tersebut. Memandangkan mesyuarat kali ini tidak lain hanya bertujuan untuk tujuan amaran dan peringatan semata.