Categories
BUDAYA RENCANA

Rokok dan sebiji gula-gula strawberry

Oleh Nieyna J

 

D menjadi vibes aku untuk kali ini—

Di ruang tamu, D duduk di sofa sambil mengunyah keropok kentang. Pandangannya jauh dilepaskan ke luar balkoni apartment L, melihat pinggir malam yang sepi. L, mati dalam khayalan. Kaku dalam imejan-imejan ciptaannya sendiri sambil memandang susuk tubuh D yang tidak memandangnya. Namun L melebarkan senyuman. Khuldi di batang tengkuknya bergerak-gerak menelan rasa manis dari gula-gula perisa mangga dan debar dari raut wajah D yang bagi L menawan tetapi bagi aku cuma biasa-biasa sahaja.

L pernah bercerita perihal D kepadaku. Katanya dia suka melihat D tercomel-comel ketika Ali, hamster peliharaannya dilepaskan bebas di ruang tamu. Aku hanya mengangguk kepala dan mendengarnya dengan tekun. Aku melihat L seperti sebuah televisyen dan D adalah sebuah fiksi bertih jagung yang diputar-ulang siarannya. 

L pernah kata, D cantik hanya dengan sekali pandang dan aku membalas kenyataan itu dengan, perempuan sebelum dilihat lelaki mereka melihat diri sendiri berpuluh-puluh kali. L merajuk. Demi sebuah cerita, aku segera mengiyakan kata-kata L itu lalu memujuknya.

Ada sebuah cerita tentang D yang bakal diceritakan. Sebelum L memulakan sesi, dia menyoal “kita nak makan mana malam ni?” Pen di tanganku berhenti bergerak dan buat pertama kalinya D memandang L dengan bersungguh-sungguh. Tiba-tiba dunia ini begitu senyap sehinggakan air menitis di dalam sinki juga dapat didengar.

“Tak boleh keluar rumah, sekarang perintah berkurung.” Aku terpaksa bersuara dan mengekang niat L. L menepuk dahinya sekali dan membalas, “Oh!” D kembali mengalihkan pandangannya ke luar balkoni sambil memutar kepingan keropok kentang di dalam mangkuk kaca, aku kembali menulis sesuatu pada buku catatan dan air di sinki berhenti berbunyi.

L menyalakan sebatang rokok, menyedut kemudian hembus ke arah titik pandang D yang melihat langit tanpa bintang dan bulan. L menyandarkan tubuhnya di sofa kemudian menyeluk kocek seluar dan menghulurkan gula-gula perisa strawberry kepadaku. Aku ambil, buka dan segera memasukkannya ke mulut.

“Kau rasa sajak itu apa?” Soal L bersahaja. Seperti yang aku tahu L gemar membaca sajak tetapi tidak pernah menulisnya. Aku meletakkan pen di atas meja dan membetulkan duduk, mencari titik selesa.

“Aku tak tahu. Sejujurnya aku tak tahu apa yang harus ditulis untuk membentuk sebuah sajak. Aku hanya menulis tentang jalan-jalan lengang yang aku lalui setiap hari dan percakapan-percakapan rutin yang biasa didengar.” Balasku.

L ketawa kemudian, “sama ada kau sedar atau tidak, nada suara dalam tulisan kau selalu berubah. Kadangkala aku berasa seperti membaca diri sendiri dan kadangkala aku seperti membaca diri kau yang berperwatakan aku,” kata L. Aku hanya senyum dan memandang sekilas ke arah D yang sedikit pun tidak menghiraukan kehadiran aku dan perbualan antara aku dengan L.

 Bagi kau, sajak itu apa?” soal aku, kembali kepada tajuk perbualan kami. Aku yakin pasti ada sesuatu tentang D yang terselit pada makna sebuah sajak.

“Sajak tu macam kau hisap rokok. Nikmat dan sedap. Bila habis, kau nyalakan lagi, lagi dan lagi. Kau tahu ia memudaratkan diri kau sendiri. Tapi kau dah ketagih,” balas L.

L mematikan rokoknya yang masih separuh di asbak kecil yang terletak di atas meja. Kemudian dia membuka plastik gula-gula berperisa mangga lalu dimasukkan ke dalam mulut. “Satu lagi, sajak tu macam kau hisap gula-gula. Manis, santai dan selamat. Apabila habis rasa manis itu, lidah kau kembali tawar tanpa rasa. Kau akan bosan dengan rasa manis yang tidak membawa apa-apa makna dan kepuasan.”

Aku terjeda untuk beberapa ketika. Kata-kata L membuatkan aku melihat dirinya di luar lingkungan kebiasaan aku melihatnya. L menarik senyuman manis di bibirnya dan saat ini kami berkongsi tatapan yang sama. Aku pandang L, L pandang aku. Semilir malam yang menjengah masuk dari pintu balkoni yang terbuka luas menyentuh rambut L yang kerinting. Membelai gerak rambutnya ke kiri dan ke kanan. Hati aku berdebar.

“Roy, hati kau keras!” Aku dan L tersentak. Lamunan kami terhenti dek bunyi yang keluar secara tiba-tiba dari televisyen, dialog yang diucapkan oleh seorang pelakon di dalam filem Gila-Gila Remaja. D memohon maaf kerana tertekan volume pada paras maksimum dengan mata yang dibuat bulat-bulat, menyengetkan kepala kemudian berkelip laju-laju seperti pari-pari dari kayangan. Begitulah D, gerak tubuhnya lebih banyak bercakap daripada mulutnya.

“Comel,” bisik L secara spontan yang dapat didengar oleh telingaku tetapi aku berpura-pura tidak mendengarnya.

“Aku dah faham sekarang, sajak adalah proses. Itu sebenarnya yang kau maksudkan, betul kan?” Aku menebak.

L terkekeh ketawa. Entah apa yang mencuit hatinya aku malas hendak bertanya lebih. 

“Ya betul. Sajak itu proses. Setelah selesai dan aku tahu bagaimana membentuknya aku akan berhenti.”

“Kenapa?” Aku meminta penjelasan.

L menyalakan rokok kedua. Hisap dan hembus ke arah mukaku. Aku terbatuk-batuk manakala L ketawa kecil memandang aku yang mengibas asap rokok jauh dari ruang pernafasanku dengan buku catatan.

L berpusing ke arah D sekali lagi kemudian, “sebab aku letih dan aku nak nikmati sajak yang sebenar-benarnya sajak,” balas L.

 Dia diam seketika, menyedut rokok kemudian hembus dan, “sajak seharusnya membuatkan kau berdebar, berenigma dan tidak seharusnya kau bogelkan ia dengan merungkai maksudnya satu-persatu. Biarkan ia terbentuk begitu, ia cantik begitu. Macam kau makan gula-gula. Kau koyak bungkusan plastik dan nikmatinya sampai habis. Apabila habis kau akan terfikir, alangkah bagusnya jika aku tidak membuka bungkusan itu, hati dan seluruh deria rasaku akan sentiasa berdebar untuk tahu seperti apa manisnya dia. Aku suka perasaan seperti itu.” Terang L dengan panjang lebar.

“Macam rasa kau untuk D?” tanya aku. L senyum nipis dan menggelengkan kepalanya perlahan-lahan sebagai jawapan dan aku hanya tersengih.

Nada panggilan telefon aku berbunyi, tiba-tiba segala menjadi pegun dan berubah bentuk. L kaku sambil memegang sebatang rokok, D kaku berbaring di atas sofa. Pintu balkoni tertutup, gula-gula kembali ke dalam bungkusan plastik, rokok-rokok di asbak kembali ke dalam kotak, ruang tamu apartment L perlahan-lahan berubah menjadi halaman buku catatan. Sambil menghisap manis dari gula-gula strawberry aku menekan dakwat hitam dengan kuat ,membunuh L dan D dengan tanda noktah. Maka tamatlah idea tentang D yang digerakkan oleh L.

 Aku tersenyum puas kemudian mengangkat panggilan, “Hello, cerpen dah siap!” 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

P[i]lih

 

serangkai dekri digazet pemerintah:
tatkala pawaka wabak membahang
mengerdip bara derita diunggun merana
membakar setiap keangkuhan
membunuh seluruh keegoan insan
hangus bersama kepintaran memilih

rupanya kedangkalan meruap ganas
kedegilan bak prahara tersebar pantas

(bagaikan Sisyphus; di daun keladi
air terjirus, sebatas nihil usaha diurus,
digalang lewa dipandang tak endah,
ingkar pun ditekuni—menolak dekri)

ah! begitu juga kedunguan
jelas mendebu kebebalan

(ayuh! p[i]lih untuk p[u]lih)


AttOkz Dikulgai

Categories
BUDAYA RENCANA

Pasar sunset di Kota Kinabalu

 Oleh Nasser Mikraj

 

SAYA mungkin seekor rusa di rahang singa apabila dia merenung saya seperti segerombolan dubuk di padang savana. “Kau tahu selepas saya, ada sesuatu yang lebih menarik di sini.” Tanpa sempat saya mengeyakan apa-apa mahupun bertanyakan makna renungan itu, dia terus menyambung. “Sebenarnya di sini, sunset boleh dibeli.” Saya terdiam yang hampir menyamai fiksyen ‘dia terdiam’ dalam ranah media pasca politik baharu. Angin berlari di antara kami. Kesibukan kota lalu-lalang pada penglihatan tetapi kata-katanya telah duduk dalam pemikiran saya.

“Di mana?” saya dapat merasakan soalan saya itu membentuk susuk Andre Breton yang tersenyum sambil membacakan manifesto surealis beliau. “Masuk ke sini,” ujarnya serius sambil membuka dompet. “Jangan risau, saya ejen bertauliah. Saya boleh tunjukkan jalan,” tambahnya. Pandangan saya bersilih ganti antara memandang dia serta pintu pada dompetnya yang mula terbuka. Seorang penyambut tetamu dengan tanda nama ‘Afi’ muncul dari daun pintu dompet itu dan mempelawa saya masuk. Saya memeriksa dompet saya sendiri sebelum akhirnya bersetuju untuk mengikuti dia.

Di dalam dompetnya, kami menaiki tren sebelum berhenti di salah sebuah stesen. Saudara boleh menuduh saya mereka-reka cerita, tapi percayalah genap seminit saya di sini, saya sudah boleh menyediakan satu set jawapan mengenai misteri kehilangan wakil-wakil rakyat kita tidak kiralah sewaktu persidangan parlimen ataupun ketika kehidupan marhaen menjadi begitu menakutkan di luar sana.

“Ayuh ke sana,” ujar dia semena-mena. Suaranya timbul tenggelam dalam keriuhan. Di udara, saya melihat frekuensi suaranya terumbang-umbang dalam banjir suara. Pendengaran saya bingkas menyelamatkannya. Di hujung stesen, kaunter masuk ke pasar sudah mula dibuka. Kami mula beratur. Barisan memanjang membelit perut stesen sama seperti barisan ketika saya dan marhaen lain beratur untuk mendapatkan bantuan kewangan di pejabat kerajaan yang cuma ada satu kaunter dibuka. Mujur kami dapat mencelah di barisan yang terawal.

“Tuan juga mahu beli sunset?” Saya menyapa seorang lelaki tua berbadan sintal di belakang saya. Beliau berdehem.

“Oh maaf. Errr.. Datuk Sri? Tan Sri?”

“Tan Sri!” tegas beliau. Saya cepat-cepat memohon maaf dan kembali mengulang soalan yang sama. “Saya mahu membeli malam yang selesa untuk tidur,” jawab beliau sebelum disibukkan dengan panggilan telefon. Saya hanya mengangguk. Ketika tiba giliran kami, saya sempat mendengar kesuk-kesik suara yang berharap stok hujan dan matahari masih ada untuk dibeli.

“Nama?” soal penjaga kaunter sambil bersedia untuk menuliskan nama saya di buku pendaftaran. Saya memberitahu nama sambil memindahkan persoalan “apa fungsi dia menjadi ejen kalau saya sendiri harus menyelesaikan urusan ini di kaunter” kepada dia yang hanya mengisyaratkan untuk saya meneruskan saja. “Kamu politikus?” Saya menggelengkan kepala. “Justeru, atas kelayakan apa kamu masuk ke sini?” pertanyaan itu seperti muncung AK47 yang siap dibidik tepat ke dahi saya. “Err.., saya penyair!” Penjaga kaunter mengangkat muka memandang saya. “Oh, penyair. Tidak ubah juga seperti politikus. Kerap bermulut manis.” Penjaga kaunter tersengih sebelum menyelesaikan urusan pendaftaran saya. Tiket dihulur.

Dia yang sedari tadi tidak berbuat apa-apa bingkas menarik tangan saya menyerbu masuk ke perut pasar. Ironinya pasar di sini tidak sehingar pasar malam di tempat saudara. Proses tawar-menawar berlangsung rancak namun masih dalam frekuensi suara yang terkawal. “Sunset yang menarik harus memiliki senja yang cantik. Jadi kita harus membeli senja terlebih dahulu,” ujar dia sambil membawa saya kepada peniaga senja.

“Senja yang manakah tuan mahu? Ada harga ikut ikat, timbang kilo atau tuan juga boleh ambil harga borong,” peniaga senja membuka tawaran. Melihat saya kebingungan, peniaga senja mendekati saya dan mula berkata separuh berbisik; “Kalau tuan mahu yang lebih istimewa, boleh ambil ini,” ujarnya sambil mengeluarkan senja berbentuk sampul surat dari poketnya. Saya teragak-agak. “Ini senja Seno untuk Alinanya yang berjaya saya curi. Tuan boleh milikinya sekarang dengan harga diskaun,” ujar peniaga senja lagi sambil tersengih. Saya pantas menolak dan terus menyelesaikan urus niaga membeli senja sebelum mengeluarkan semua duit yang ada untuk membeli sunset yang paling indah. Selesai urusan, kami bergegas meninggalkan pasar yang kian sesak, mengambil tren kembali ke stesen sebelum diringi oleh Afi keluar dari dompetnya.

“Selepas semua ini, apa yang patut saya buat dengan sunset ini?”

“Cubalah jual di kota. Ramai marhaen memerlukannya,” ujar dia sebelum memakai topeng muka dan menghilang dalam keheningan. Atas dasar mempercayainya, saya cuba menjual sunset tersebut di tepi jalan raya dengan kain rentang tertulis ‘Sunset Para YB’ namun dari pagi beranjak petang, cuma seorang tua sahaja yang singgah hanya untuk bertanya dari mana saya mendapatkan sunset tersebut. “Aneh kau ini. Siapa mungkin mahu memiliki sunset pada saat begini? Tapi, di pasar dalam dompet yang kau ceritakan tadi, masihkah ada dijual topeng muka dan hand sanitizer?” Tanya beliau pula sambil membelek seikat sunset yang mulai mengecut.

Categories
BUDAYA RENCANA

Setiap malam (sahaja) dia lupa merapatkan

(tak siapa tau jam berapa)

menggelora keheningan, seperti itu
ingatan memilih menjelaskan rindu
memencar kantuk yang cuba mengabu:

lelehan air titik
demi titik dari muncung paip
setiap ia jatuh memecah
pertanyaan-pertanyaan baru.
dan dia mahu meyakinkan
kalau yang sedikit tertakung
di dasar menjawab
sebagaimana laut — berani dan berahi
mengombak apa-apa keresahan ketepi.

apalah ingatan, kalau bukan hukum
yang sentiasa mendinding dari akan
dengan masih:

dan banyak kali, masih
bererti jagapaksa
malam hari, rayau somnambulis
diselirati igau sesesatnya.
tanpa henti dan kerawakan
titik demi titik, suara
mengocak dalam kepala.

Suatu pagi di atas ranjang
yang asing, siang dan kesedaran
celik di matanya sebagai luka.

Meor Izzat Mohamad
Errachidia, Maghribi

Categories
BUDAYA RENCANA

Potretrauma

Oleh Azrin Fauzi

 

“LAGIPUN aku tak melukis muka. Aku hanya melukis sengsara,” ujarku kepada Polan yang terkejar-kejar nafas sendiri di sepanjang Lebuh Chulia itu, menarik lanca yang dibeban aku. Sepasang kaki tak berkasut semakin ligat tatkala mulutku luahkan kata cepat. Terpaksa kutolak pelawaan seorang teman untuk menonton wayang gambar, kerana baru kuteringat:

“Tamu,” balas Madam Poh separa berbisik, “Malam ni, mesti kaulukis t–,” seraya kata tamu itu tangkas menghiris hatinya, juga jari rentanya. Kalaupun bukan sepenuh kata, tetapi t itulah yang tertajam. Sedari awal lagi mataku dan mata pisau bertaut. Tidak semena-mena mata satu itu yang terlebih dahulu bertindak di luar duga ketika kata tamu yang terluah jatuh ke pisau di tangannya. Langsung dia masukkan jari hantu yang terluka ke dalam mulut. Darah tua sempat menompok di alas meja. Titis-titis pun mengembang mekar di antara kuntuman kecil lain yang menghidup.

“Cerita apa yang tuan tengok?” soal Polan di celah-celah cungapnya sewaktu membelok ke Lebuh Pitt. Belakang tubuh gelap tak berbaju itu semakin dikilatkan keringat, dipercik lampu jalan hangat.

“Patutnya cerita orang halimunan,” jawabku, “Tapi tak jadi. Baru teringat, ada kerja lain malam ni.” Entahkan sampai entahkan tidak kata-kataku ke telinganya. Lanca yang melaju selalu tinggalkan apa-apa yang terluah di belakang – melainkan kata cepat. Ngauman enjin motokar, gerincing loceng basikal, derap langkah kolonial dan niat menonton “cerita orang halimunan” di panggung wayang gambar di Penang Road: segala-galanya pun tertinggal di belakang. Semata-mata kerana tamu yang akan datang.

Sehingga mataku melantun di atas anak tangga sebelum tergantung pada jari perempuan tua itu yang sudah berbalut. Tatkala menuruni tangga itulah kusedari darah tua yang menguntum di alas meja hilang di bawah bayang pinggan, mangkuk, cangkir, teko, penyepit kayu, pisau-sudu-garpu, segala jenis kutleri. Sepertimana darah dagingnya yang hilang entah ke mana dan suami – “Sampai, tuan!” pintas Polan serentak teriak bang dari Masjid Kapitan Keling yang turut terhenti di kaki lima. Entah bagaimana kegelapan membungkus siang lebih awal hari ini.

Hanya pada waktu tanganku hulurkan duit itulah baru dapat kutatap tampang mukanya. Dengan lekuk dan garis paling sempurna untuk kupotretkan. Sekonyong-konyong Polan longgarkan gulungan seluar pendek yang mengetat di pinggangnya, “Kerana kerjaku menarik yang di belakang, aku selalu nampak apa-apa yang di depan,” lalu dikeluarkan sebilah pisau dengan mata yang lebih tajam daripada mata kami berdua pada malam itu. Katanya, “Untuk tamu,” sebelum laju berlalu tinggalkan aku. Dengan bisik-bisik yang turut tertinggal di aspal seperti mengatakan, semacam amaran: agar tidak disebut nama tamu pada kala pisau ini di tangan. Sama ada aku atau ia, siapa tahu yang mana dahulu akan terluka?

Lantas kulangkah masuk ke dalam dengan harapan tiada siapa-siapa di tokong hadapan sana terlihat kelibatku dengan sebilah pisau tadi. Moga-moga tidak terlaknatlah aku oleh Guan Yin atau Mazu.

Pintu telah kukunci tetapi ada pertanyaan yang ingin kubuka: Di mana Madam Poh? Sedangkan dialah yang beria-ia meminta, sehingga aku bersetuju untuk melukis potret tamu. Walaupun berkali-kali kutegaskan, “Tapi sekarang saya hanya memotret diri,” sebelum ditanya, “Kenapa?” sebelum kubalas, “Kerana itulah yang paling sengsara.” Sebelum ditambah olehnya, “Tapi ia pun dari Szago. Yang pernah tinggal di sini.” Sejak aku hadir ke rumah tumpangannya beberapa hari yang lalu lagi sudah ditanya itu-ini. Suaranya yang berombak-ombak dengan debar dan harap akhirnya terdampar lega sebaik sahaja aku luncurkan “baiklah” yang mengapung-apung di atas upah yang memuaskan: untuk lanjutkan waktu-waktuku di pulau ini.

“Baiklah,” keluhku di atas setiap anak tangga sebelum masuk ke dalam bilik dan tanggalkan baju yang pekat berbau laut. Dari celahan jendela, kedengaran dengkur gereja bermimpikan Santo George menombak naga dari hujung simpang sana. Kapal-kapal pun mendengus kepulan-kepulan kantuk dari serombongnya. Dari dalam bilik ini juga, selalunya sering kedengaran keletak terompah Madam Poh di bawah sana. Tetapi tidak malam ini. Malah bau tang hoon goreng, telur dadar tiram, dan tauhu serta sajian Hokkien yang lain pun tidak terjamu seperti selalu (betapa perempuan tua ini benar-benar menjaga makan minumku). Tiada apa-apa di atas meja. Sedangkan sebelum keluar dari sini untuk bertemu kenalan dari galeri siang tadi, mataku terpaku akan bagaimana jari tua yang berbalut itu dengan upaya yang bersisa mengatur segalanya di atas meja makan ini – demi tamu.

Di laman sebelah dalam ini, aku dirikan kekuda. Segala alat lukis pun sudah tersedia. Di bawah satu-satunya bahagian rumah yang berbumbungkan langit hitam ini, bulan terlebih dahulu menumpahkan cahayanya ke atas kulit bahuku, ke atas kanvas kosong yang tersandar kaku. Malam ini, kumahu Dia melihatku bekerja. Sesekali mataku merayap ke dinding yang mengelupaskan curiga. Sesekali pula menangkap bunga-bunga kecil yang sudahpun melayu pada alas meja, ditindih pinggan, mangkuk, cangkir, teko, penyepit kayu, sudu-garpu, segala jenis kutleri. Lalu menyedarkan: di mana kuletak pisau yang diberi Polan tadi?

Segaris sunyi diseliratkan deringan telefon di ruang depan, meresahkan. Kerana tangan Madam Poh yang selalu mencapai gagang dahulu. Dialah orang pertama yang menghubungiku (daripada siapa dia dapat nombornya?) lewat pameran soloku di Galeri Gerhana, Lebuh Light bulan lalu. Dia memuji-muji “garis-garis kasar” yang “ekspresif” di potret-potret diriku dengan “lingkaran-lingkaran yang melukakan” (oh, aku harap perempuan tua ini tahu apa yang dia katakan). Langsung mengalirkan ingatanku kepada Potret Diri & Topeng-topeng Kehidupan oleh Affandi. Apabila dia katakan potretku “untuk memusnah, untuk mengabadi,” aku tahu ada nada lain yang berselindung di antaranya: nada dendam dan duka. Dan kata tamu di telinga pun tergantung dengan tanda tanya. Kataku kepada Madam Poh, “Kita kena berjumpa.”

Telefon: membisu semula. Dan tamu: belum tiba-tiba. Meja: mengosongkan selera. Kulihat sekilas ketakutan yang terpantul di pinggir pinggan. Pisau: di mana engkau? Di atas bangku, dengan sekeping kanvas kosong, kami menunggu dan menunggu dan menunggu kedatangan tamu. Selama tiga belas tahun. Langit hitam berubah merah. Dentuman demi dentuman dari Fort Cornwallis telah membasahkan pelabuhan dengan darah. Sehinggalah telefon berdering lagi dengan raungan yang memeritkan. Bingkas ke ruang depan, kurentap gagang sebelum menyedari sebilah pisau yang dicari-cari terjaga daripada lena di sebelahnya. Lalu kutoleh ke arah pintu yang belum diketuk pertanyaan:

Akan selamatkah ia tiba ke sini?

Akan selamatkah aku tiba ke sini!

Categories
BUDAYA RENCANA

Kuarantin

 

langit dikarati nafas matahari. pagi
menyangkut topeng pada muncungnya;
mengetuk setiap pintu rumah
tapi tak siapa yang membuka.

kota berkulit pucat
meminjam warna jendela.
sunyi menanggalkan pijama
dan berbaring
di jalan raya.

khuatir tak mengenal
tangga gaji atau warna uniform.
gedung-gedung berpintu murung
tak lagi mengunyah pengunjung.
mesin tunai tersedak
meludah
resit-resit kosong.

di sofa apartmen
orangorang kenyang
sibuk berdebat
tentang angka kematian.

di dapur PPR
orangorang lapar
menumis
angka dari muka jam.

 

Fahd Razy

Categories
BUDAYA RENCANA

Kuncitara

Oleh Saiful Ghazali

 

PANAS. Sempit lagi merimaskan. Bagaikan haiwan dalam zoo yang terperosok di dalamnya. Menjerit dan memekik bagai kera kena belacan. Adik-beradik serupa iblis. Aku menyampah, aku meluat. Berapa lama lagi perlu aku tempuhi azab dari pemerintah ini?

Dengan muka Marwan yang bagaikan mawas itu, perangainya juga saling tak tumpah sepertinya. Terkinja-kinja dalam rumah flat yang sempit ini. Menyeksakan dan merimaskan. Mahu sahaja aku terajang belakang adik bongsuku itu kuat-kuat. Biar mukanya tersembam atas lantai. Biar giginya terpokah tiga atau empat batang. Jenis tidak faham bahasa.

Jannah walau tidak buas tetap menjengkelkan. Terbongkang di hadapan televisyen sehari suntuk. Bukannya ditonton. Kerjanya menatal telefon dari celik mata sehingga pejam. Langsung tidak berguna. Teman lelaki dua-tiga orang. Aku pun sudah tidak kenal dengan siapa dia berkawan. Asyik bertukar tangan seperti bulu tangkis badminton. Jenis tidak setia.

Aku masih menimbang-nimbang untuk keluar. Sudah tidak tahan. Duduk di dalam rumah ibarat sangkar ini amat merimaskan. Sesak. Bising dan busuk. Jiran tetangga sudah tidak segan-silu. Memaki hamun anak-beranak dengan pekikan yang bingit. Kata-kata kesat menjadi amalan zikir harian. Hari-hari mencarut di mulut. Sehingga mustajab menjadi doa yang dimakbulkan Tuhan. Agaknya semua orang di dalam flat ini sudah terdidik dengan persekitaran yang rancu.

Mati? Sudah dua-tiga orang budak-budak yang tinggal di flat ini mati. Jatuh tersepuk dari tingkat yang tinggi apabila besi pengadang yang sudah berkarat dan reput, patah. Penyakit akibat kawasan pembuangan sampah yang dipenuhi tikus dengan bahan buangan yang busuk lagi membusung ulat-temulatnya. Lagi mahu kurung kami di dalam flat ini? Aku tidak faham. Ini mustahil bagi aku.

Emak. Emak sahaja yang aku fikirkan sekarang ini. Dia sungguh-sungguh melarang aku keluar rumah. Dia bantah aku keluar merayau macam selalu. Emak tidak mahu aku mati akibat wabak yang melanda. Emak bimbang kalau aku dijangkiti lalu dimasukkan ke hospital dan kami tidak lagi dapat bertemu. Emak kata kalau aku mati disebabkan wabak, aku akan ditanam tanpa boleh dihadiri ahli keluarga terdekat. Emak sayangkan aku. Dan aku juga sayangkan Emak.

Tetapi, siapa boleh tahan dengan rumah yang sempit sebegini? Hanya Emak yang sanggup terperuk di rumah. Mungkin inilah masanya Emak berehat sekejap. Sebelum ini, aku susah hendak nampak Emak berehat. Emak bekerja di kilang sarung tangan. Aku dengar cerita, Emak bekerja di kilang itu sejak dia masih anak dara. Habis sahaja SRP, Emak tidak toleh ke belakang dan terus menjadi ‘minah kilang’ sehingga kini. Kemudian berkenalan dengan Ayah. Seorang warga Indonesia. Ayah mati jatuh bangunan sewaktu bekerja sebagai buruh binaan.

Aku dalam dilema. Hendak keluar bebas atau terperangkap di dalam flat yang menyesakkan ini? Perintah siapa hendak aku ikut? Emak, pemerintah atau kata hatiku sendiri? Jika mengikut pandangan Emak, dia mahu aku tinggal sahaja di rumah. Emak sayangkan aku. Dan aku juga sayangkan Emak. Pemerintah mengeluarkan arahan kawalan pergerakan selama dua minggu sebelum dilanjutkan dua minggu lagi. Hari ini baru hari kelima. Marwan bagai kera kena belacan. Jannah pula macam badak kemalasan. Jiran-jiran seperti puaka, tidak sudah-sudah mencarut.

Jika menurut kata hatiku, aku mahu keluar. Keluar dari persekitaran yang merancu fikiran. Aku mahu bertemu rakan-rakan. Aku mahu lepak bersama-sama mereka dan balik lewat malam. Dapatlah aku mengelak daripada Marwan dan Jannah. Dapatlah aku hindari maki hamun jiran-jiran. Esoknya akan aku keluar semula lalu bertemu rakan-rakan dan balik lewat malam lagi. Sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan tamat.

Praaanggg! Bunyi seperti gelas pecah di luar bilik. Aku lantas keluar. Aku nampak Marwan menundukkan mukanya. Televisyen jatuh dan kacanya pecah. Sebiji bola bergolek tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku memahami apa yang sedang berlaku. Marwan Si Kera bermain bola di dalam rumah. Aku tidak membuang masa. Aku hanya mengambil beberapa langkah lalu aku terajang belakang Marwan sekuat hati. Marwan terjatuh dan mukanya tersembam di atas lantai. Giginya aku lihat patah tiga batang. Darah dari gusi Marwan bercucuran keluar dari mulutnya. Jannah yang terbongkang di atas sofa cabuk bangun terpinga-pinga. Emak yang sedang memasak di dapur segera datang. Emak terkejut melihat Marwan parah. Aku puas.

“Engkau keluar sekarang!” bentak Emak. Perintah Emak kali ini aku patuhi. Itu perintah Emak dan aku sayang akan Emak.

Aku menelefon sahabatku untuk mengetahui keberadaannya. Katanya mereka sedang berkumpul di sebuah bengkel motosikal yang terletak di Hulu Langat. Aku tidak membuang masa. Terus aku dapatkan motosikalku dan menunggangnya ke sana. Aku berasa lapang. Sepanjang jalan yang aku lalui tidak terlalu banyak kenderaan. Laluan lengang. Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi rakyat. Tetapi aku mematuhi perintah Emak. Emak telah memerintahkan aku keluar rumah. Marwan lebih disayangi Emak. Tetapi aku tetap menyayangi Emak.

Tidak lama kemudian aku sampai di bengkel yang rakanku maksudkan. Mereka berkumpul beramai-ramai. Rupanya bengkel itu menjadi tempat lepak baharu sementara menunggu Perintah Kawalan Pergerakan tamat. Rata-ratanya aku kenali. Mereka sahabatku. Tetapi ada seorang gadis yang tidak aku kenali. Rupanya lawa. Badannya bulat dan aku mahu berkenalan dengannya. Aku terpesona. Lantas aku pergi mendapatkannya.

“Namamu siapa?”

Dia tidak menjawab. Sebaliknya mulutnya ditekup kedua-dua tangan untuk menutup bersinnya yang datang tiba-tiba.

“Maaf,” katanya, tersenyum, menyedari kekagetanku dengan bersin diikuti batuk kuatnya selepas itu.

Aku membalas senyumannya dan menghulurkan salam. Dia menyambut lalu kami berjabat. Aku mencium tangannya. Dia hanya merelakan.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Mensemayam rajuk

 

Seperti cuaca yang sentiasa beralih
kau cenderung tersasar
aku memilih daerah yang paling jauh
mensemayamkan rajuk
hujan masih menghantar simpati
ke rekah yang paling lekuk
debu-debu menggeliat
bawah lokos tempurung yang dibedal taufan
masihkah ada pelangi tumbuh di langit setia
membenihkan rindu saat berpaling kasih
disambar guruh yang selingkuh?

 

Siti Zaiton Ahmad

Categories
BUDAYA RENCANA

Balapan Masa

Oleh Ilya Alias

 

DIA homo sapiens yang suka berlari. Lariannya sangat luar biasa dan melangkau segala sempadan masa. Barangkali dia memiliki genetik Chrono-Impairment, dan mindanya sendiri seperti kapal angkasa Naboo. Tetapi lebih menarik, dia boleh memilih masa untuk dilawati dengan hanya memejamkan mata dan mula berlari. Setiap kali dia berlari ke dimensi yang dipilih, dia akan melihat jam pasir yang sentiasa terjuntai di pinggang. Jam pasir yang bergerak seiring dengan kualiti masa. Kehidupannya laju bagaikan libasan seekor buaya paling besar yang mampu menghancurkan rangka manusia sekelip mata. Seumur hidup, jauh sekali dia menikmati rasa seperti siput babi yang merangkak. Berlari persis nyawa dan dia tidak membenarkan sehelai lalang pun tumbuh dan berakar dalam darahnya kerana setiap lariannya ke dimensi lain akan membuka jiwa yang lebih besar.

Dia ada seorang nenek yang trauma sehingga gila apabila diperkosa puluhan tentera Jepun di kamar paling gelita ketika Perang Dunia Kedua. Sungguh, dia tidak pernah kenal kerana wanita tua itu sudah berada di alam seberang. Cerita langka itu dikisahkan ibunya ketika lewat tidur dan melekat sehingga membenihkan keinginannya untuk berlari ke sempadan masa tiga hari dalam bulan Ogos tahun 1945 yang tidak akan hilang dalam sejarah peperangan nuklear dunia. Dia berlari laju-laju melihat pasca kehancuran yang dihadiahkan Amerika Syarikat melalui Little Boy dan Fat Man. Ketika dia sampai di sana, lariannya kian kencang apabila melihat susuk-susuk roh manusia bergentayangan di udara, korban virus hasad negara terkaya dunia. Rata-ratanya terpasung oleh masa – kerana dendam kesumat dari ledakan maha besar yang membunuh kira-kira 75,000 nyawa, masih belum lunas. Bahkan, bayangan cendawan asap yang menerjah udara setinggi sebelas batu dari hipopusat masih berulang kali hadir dalam laman sejarah mereka. Pandangan mereka yang menakung dendam seolah-olah mampu menerobos ke segenap inci soldadu dunia yang kini memperkosa sejarah tamadun paling agung dunia. Lantas, dia terus berlari ke muka bandar Chernobyl yang meneguk ludah sendiri apabila Loji Nuklear Chernobyl bocor dan memberikan kejutan seratus kali ganda malapetaka daripada kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki.

Keghairahannya berlari menghumbankannya ke episod peralihan kuasa di Malaysia, saat seorang Perdana Menteri diangkat memikul tanggungjawab tersebut kembali selepas bersara, dan seluruh negara bagaikan tidak tidur, meredah siang dan malam semata-mata untuk mengetahui keputusan pilihan raya yang bakal termaktub dalam sejarah negara. Legasinya bagaikan memercikkan api dari bara lama, tetapi rakyat masih waras untuk tidak mengulangi peritiwa hitam 13 Mei 1969. Ingatannya pada tarikh 1969 membuatkan otaknya menggelegak dan mahu bersepai. Dia salah seorang daripada mereka yang diminta berkurung kerana perbalahan kaum dan kehancuran perpaduan yang kian menipis dalam jati diri rakyat, sekali gus mendekatkan kembali igauan Perang Dunia pertama dan Perang Dunia kedua. Memori yang terukir rapat pada deretan generasi tidak mungkin hilang persis selut yang menyalut kaki, ke mana pergi, baunya tetap menusuk.

Hari itu dia tiada selera makan apabila melihat beberapa kumpulan manusia berpakaian serba kelabu dan pudar warna menguis sisa dari jalanan, cepat-cepat mengunyah baki makanan dari tong sampah sebelum sempat diangkut majlis bandaran. Seperti ada batu yang berat di bahu dan tekak sehingga dia tidak dapat mengujarkan walau sepatah kata. Dia terus berlari sehingga jiwanya dibawa ke tebing Kemboja dan Gaza. Mereka dua koloni yang berbeza; pelupusan etnik serta peperangan agama. Dia berlari sambil menarik cebisan-cebisan daging manusia yang bertebaran di jalan dan sama-sama mengumpul perca-perca pakaian yang boleh dicantumkan semula agar dapat disatukan menjadi alas tidur. Dia berlari di sela-sela mortar yang membedil bangunan sehingga ranap dan membenamkan lolongan manusia sehingga udara menjadi debu dan kabur. Asap menjadi udara dan air liur jadi pengganti makanan. Dia berlari dengan mata yang terbuka luas tanpa sekelumit cahaya. Bedilan tanpa henti yang kejam, dan Gaza adalah bayangan Chernobyl. Hitam pekat.

Rentetan lariannya menerjah ruang masa dunia tahun 2001 hingga 2004. Secara peribadi, dia golongkan Jack Ma sebagai lelaki genius dengan strategi pemasaran Ali Baba yang mampu bertahan ketika dunia dilanda Sistem Pernafasan Akut Teruk pada tahun-tahun tersebut. Wabak ini telah mengorbankan ratusan manusia di seluruh dunia. Dia berlari lebih laju saat gelung masanya berputar dan kembali jauh ke medium kehancuran apabila Spanish Flu 1918 menguji barisan perubatan dengan mengorbankan ribuan soldadu dan rakyat hingga terpaksa dibiarkan bergelimpangan tanpa bantuan perubatan kerana tidak mencukupi dan katilnya berganti mayat tanpa henti. Lariannya tidak pernah surut. Dia terus berlari sehingga memasuki dunia realiti yang kian runcing.

Pada saat ini, dia berlari sambil melirik pada senyuman ibu yang tersemat di jiwa setelah seminggu mengasingkan diri ke dunia paling abadi. Dia menyentuh nafas-nafas sengsara yang lahir dari mulut-mulut pejuang barisan utama yang kental mematikan serangan Covid-19, virus mutasi yang menjadi pandemik dan meragut ribuan nyawa di seluruh dunia. Pasaran saham global merudum, meningkatkan angka para muflis melebihi kematian hakiki. Dia berlari laju melewati kawah besar yang dikorek jentera gergasi untuk menghumbankan jasad-jasad yang kaku tanpa nadi kerana tidak ada seorang pun berani menyentuh jasad tersebut tatkala virus masih hinggap di tubuh. Dia terkesima melihat kepantasan virus ini menyalut ketakutan ke segenap pelusuk dunia.

Dia terus berlari kencang dan pasir di dalam balang kaca jatuh lebih pantas. Lariannya laju, mengalahkan kelajuan memori yang sentiasa hadir dalam nurani saban hari. Tiba-tiba, langkahannya terhenti di muka hospital, yang terpampang sehelai nota, “Sukarelawan vaksin Covid-19 diperlukan segera”. Nafasnya tercungap-cungap dan lariannya terhenti apabila dia sudah bersedia di atas katil kecil untuk memulakan kehidupan sebagai bahan uji kaji. Dia berjanji tidak mahu berlari lagi terutamanya apabila presiden negara paling angkuh menyatakan perintah berkurung diri dan tidak mahu bertemu sesiapa sehingga pandemik ini sirna kerana negaranya mencatat jumlah kematian tertinggi dunia. Dan, jam pasirnya seolah-olah mati tanpa isi.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Bagaimana kita menanggapi rusuh (dalam kemelut Covid-19)

Bagaimana kita mahu menanggapi
rusuh musim yang mengingkari, teguh
alun di perbukitan, atau
meluruhkan dedaun tanpa
peduli lidah banir.

Alam tidak pernah menzalimi
memilih murkanya
dia mencabul tanpa mengenal bebutang
di baju
atau corak warna topeng
di wajah.

Alam sejuk di perjabatan tangan
kerana akur pada Tuhannya
bahawa kemurungan bukan pakaian
mutlak
dan dosa buta pada ukir nisan
di kuburan.

Lalu bagaimana kita memilih untuk menanggapi
rusuh musim yang mengingkari
sedang alam sejuk di perjabatan
kerana akur;
Tuhan berkehendak memanusiawikan
segala ciptaan-Nya.

 

Matahati

Categories
BUDAYA RENCANA

Apa difikirkan Virginia ketika terjun Sungai Ouse?

Oleh Ruhaini Matdarin

 

DIA mengangkat cawan kopi ketiganya (padahal dia harus mengurangkan kafein) seraya mengingati akan bait-bait puisi Adimas Immanuel “selama pagi masih tersusun dari mendung cinta akan selalu seputar rindu dan murung” dan kopi hangat Robusta yang dibelinya di Bandung pada Tahun Baharu Cina dahulu, terasa sangat nikmat. Rutin itu membuatnya ketagihan dalam mentaati arahan sekatan pergerakan. Dia memutuskan untuk bermenung setelah dinihari tadi dia bermimpi bertemu arwah ibunya dan ibunya bertanya jika dia bersedia untuk mati. Mimpi itu menguatkan alasannya untuk tidak membaca apa-apa dan menulis apa-apa selain melarutkan diri dalam keheningan waktu yang mengasyikkan.

Di kaca televisyen penyampai berita membaca statistik kematian akibat virus Corona. Di media sosial orang-orang yang cemas menghalakan anak panah kekesalan kepada selebriti yang pentingkan diri sendiri kerana menayang-nayang foto percutian ke luar negara dan jemaah tabligh yang terlibat dengan perhimpunan keagamaan. Dia sebaliknya berangan-angan ingin membela burung serindit. Haiwan bersayap itu meniru apa pun yang diucapkan Albert Einstein dan tidak mustahil satu masa nanti bahasa manusia diambil alih burung-burung kerana pada saat ini manusia memenjarakan sosial.

Umat manusia sedang melawan saat-saat buruk. Sekiranya Marquez dan Bukowski masih hidup, dia tidak perlu resah akan ‘karya unggul mewakili zaman’ yang pastinya akan lahir di tangan pengarang-pengarang itu. Ah! Siapa yang ambil peduli tentang sastera. Memang bukan mudah duduk di rumah mengelak virus kerana ada ego yang perlu dijaga yang selalu orang nampak melalui perkongsian foto-foto, status-status muluk pekerjaaan, serta idea-idea yang hanya nampak nyata di luar pintu rumah dan di jalan raya. Kini semua orang mengurung diri dan orang mulai bosan membaca cerita pembelian cemas dan ahli falsafah jadi-jadian.

Di sebalik aroma kopi yang enak dia terhidu bau ketakutan dan di antara pagi yang hening dan perutnya yang mulai lapar dia teringat akan larva lebah madu betina yang boleh tumbuh menjadi ratu atau pekerja – tergantung makanan apa yang diberikan kepadanya. Dia tak ingin makan ketakutan-ketakutan masyarakat di media sosial dan di jalan raya. Dia mahu jadi seperti pasaran bebas, bukan sebab Adam Smith mengatakan pasaran bebas adalah sistem ekonomi terbaik, tetapi kerana inilah hukum-hukum alam yang membentuk manusia.

Siapa yang akan menghasilkan tulisan paling tepat (meskipun fiksyen) mewakili zaman kita sepertimana Tolstoy membawa pembacanya masuk ke dalam gambaran Moscow seratus tahun lampau, dan kita boleh merasa kita masuk ke dalam terowong masa, ke dalam hati dan fikiran masyarakatnya yang bergelora dengan idea-idea revolusioner? Buah hatinya – peminat tegar Leo Tolstoy – bertanya semalam, sekali gus mencabarnya untuk memikul peranan (hendak menyebut tanggungjawab dia berasa sungguh segan) tersebut secara diam-diam bersenjatakan komputer riba, pembacaan meluas dan hobi suka mengembara. Dahulu dia pernah berharap Agustinus Wibowo mengambil alih misi tersebut tetapi selepas Titik Nol, pengarang dan pengembara beg galas itu nampaknya memperlahankan kayuhan mata penanya.

Buah hatinya skeptikal terhadap buku sastera yang dihasilkan pengarang tanah air. Kegagalan buah hatinya mencari buku sastera yang enak dibaca membuatkan dia berfikir; apa yang difikirkan Virginia Woolf ketika terjun ke Sungai Ouse bagi menghabiskan nyawanya pada usia 59 tahun? Adakah kerana Perang Dunia kedua? Atau kerana tekanan mental dan bebanan emosi akibat terlalu banyak berfikir dan mentafsir kehidupan sekeliling?

“Kecuali Anwar Ridhwan yang mampu melakukannya,” kata buah hatinya. “Bila kali terakhir beliau muncul dengan novel baharu yang enak dibaca?”

Krisis tidak cukup membangunkan kecerdasan emosi dan akal pengarang; kata hatinya yang masih memikirkan apakah perasaan Virginia Woolf ketika memasukkan batu-batu ke dalam bajunya untuk tenggelam jauh ke dasar Sungai Ouse, 79 tahun lalu. Setiap hari orang bunuh diri kerana kehabisan pilihan untuk hidup meskipun mereka percaya dan taat kepada Tuhan. Setiap hari orang bergelut untuk meneruskan hidup meskipun penyakit kronik dalam tubuh mereka sudah mendekati garisan paling hujung dan kekayaan gagal membeli kesihatan.

“Sayang, kau harus melakukannya!” Buah hatinya memberikan semangat. “Kita sedang hidup pada zaman krisis yang pernah dilalui semua pengarang handal dunia yang kau kagumi. Wabak ini harus diketahui masyarakat dunia seratus tahun akan datang.”

Dia berkira-kira ingin berhenti menulis fiksyen dan mengikuti jejak Virginia Woolf – bukan dengan cara terjun sungai atau gantung diri atau menjual personaliti dekat media sosial dengan status kenabian. Orang memilih beras dan keretek, bukannya buah fikiran. Mujur menulis hanya hobi. Akan tetapi, virus yang berperingkat-peringkat mencemaskan penduduk dunia, menyedarkannya akan sesuatu. Dia belum bersedia mati dan bertemu ibunya dalam keadaan kebingungan dan tangan kosong. Dia ingin menulis sajak untuk ibunya dengan kata-kata sederhana tetapi melekat dalam ingatan dan mengena pada rasa serta apabila dibaca orang akan segera berasa jadi pintar seperti yang dirasainya ketika menikmati sajak-sajak Pablo Neruda.

Buah hatinya menyuruh dia mengambil kesempatan dengan situasi yang berlaku sejak awal Januari lalu untuk menjadi bahan dalam tulisan masa depannya. Januari sehingga Februari dia berkelana ke beberapa kota negara Asean. Sekembalinya ke Kota Kinabalu, tubuhnya mulai merosot dan demam serta batuk berhari-hari. Dia cukup menyedari akan gejala-gejala yang dihidapinya dan mengurung diri sendiri dua minggu lebih awal sebelum kerajaan melaksanakan arahan mengawal pergerakan perjalanan. Sejak hari itu, dia memutuskan untuk tidak menulis apa-apa. Barangkali disebabkan itulah Virginia Woolf terjun ke Sungai Ouse, kerana semua yang bergelar pasca, tidak mudah ditulis dari hati yang lelah. Dan kebenaran sukar difiksyenkan.

Sejak beberapa hari lalu, di meja tempatnya menikmati bercawan-cawan kopi di tingkat lima balkoni kondominium, dia mendapat ilham untuk menulis (dan bagi menyahut cabaran buah hatinya) tetapi egonya menghalang dia memulakan kerana bimbang tulisannya kelak akan menjadi seperti paparan Wikipedia dan laporan berita. Barangkali apa-apa yang dirasainya pada saat ini sama seperti yang dirasai Darwin yang diganggu kera-kera besar di Galapagos.

Jawabnya kepada buah hati. “Semua pengarang handal yang kita kenal itu, mereka menulis setelah segala-galanya menjadi pasca ….”

Demi mencapai tahap pasca (masak dan matang) dia harus memberi sepenuh tumpuan kepada virus yang sedang duduk di sisi, merenungnya dengan mata penuh lingkaran gelap. Virus itu mengikutinya sejak dia ke luar negara dan dosa terbesarnya bukan kerana tidak menyertai masyarakat mengutuk Pasar Wuhan yang mencetus malapetaka global, tetapi dia kesal kerana mementingkan diri sendiri dengan beranggapan virus itu tak akan sampai ke pintu rumahnya.

Virus itu adalah egonya sendiri.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Tetamu

 

Keterasingan adalah sosok pagi
yang merawat malam
dengan mimpi-mimpi berbalut
atau hening yang telah sekian lama
membenci kekalutan, dan rumah
menjadi mahligai tidak berpintu
tidak berjendela, tiada sesiapa
ingin keluar melainkan doa-doa
yang menggigil memanjat langit;
“Pintu rumah yang mana
akan IzrailMu ketuk hari ini, Tuhan?”

 

Dayana Dian