Categories
BUDAYA RENCANA

Tiga seru

dahi adalah tangga licin
dipanjat air suci dan sekuku permintaan
akan melompat di rumah ibadat

nyanyian turun naik sepanjang tengkuk
ruang menjinakkan kesepian dari waktu lampau
pada kepingan roti digigit tanpa bahasa
makan sempat dimulai
kegelapan melarut di tubuh menyusuri
lencun bulan ; dua permainan
yang bergantian menua

sehingga cahaya di tengah parkir
merangkak ke pedal basikal
di situ, keraguan para penganut
sempat dilocengkan atau
beredar meninggalkan rumput di bawah
yang telah menundukkan salibnya.

 

Clariessa Kesulai

Categories
BUDAYA RENCANA

Dosa plagiat tidak terlangsai

Oleh Za’im Yusoff

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

HANYA ada satu jenis dosa dalam hidup ini, hanya satu. Dan dosa itu adalah mencuri. Setiap dosa hanyalah nama lain bagi mencuri. Kalau anda membunuh seseorang, anda mencuri kehidupannya. Anda mencuri seorang suami dari isterinya, merompak seorang ayah dari anak-anaknya. Kalau anda menipu, anda mencuri hak seseorang untuk mendapatkan kebenaran. Kalau anda berbuat curang, anda mencuri hak seseorang untuk mendapatkan keadilan. Tidak ada perbuatan yang lebih keji selain mencuri.

Jelas sekali wujud unsur plagiat kata-kata di atas jika berhenti di sini. Tetapi jika dimaklumkan bahawa kata-kata itu adalah terjemahan petikan daripada novel Kite Runner magnum opusnya Khaled Hosseini, hal ini seraya mengubah unsur plagiat yang bersifat mencuri kepada bersifat berkongsi akan betapa bijaksananya tulisan Khaled berkenaan.

Jika status plagiat begitu mudah berubah hanya dengan menjelaskan daripada mana sumber petikan karya, apakah yang ada dalam minda seorang pelaku plagiat untuk terus melakukannya? Malah, tanpa segan silu mengaku kata-kata itu miliknya dalam sebuah penulisan yang didakwa tulisan aslinya?

Sukar untuk dipercayai otak pelaku yang waras boleh menerima logik kalau-kalau dia terlupa memetik sumber asal sedangkan dia pernah menulis “cuba renungi ayat yang saya tulis dalam sebuah puisi” ketika cuba menghuraikan konsep sastera tertentu tetapi jelas sekali ayat-ayat itu adalah diksi-diksi puisi penyair lain. Hanya ada satu penjelasan. Plagiat berlaku kerana ada masalah yang belum selesai di kalbu.

Siapa tidak cemburu walau sekelumit menyaksikan rakan-rakan penulis berhasil menghasilkan karya bermutu. Tidak salah berasa cemburu, itu lumrah. Yang menjadi masalah apabila cemburu itu tidak diuruskan dengan munasabah. Apatah lagi mengambil jalan singkat untuk menempa nama dan tempat dalam masyarakat sastera dengan jalan plagiat. Kalbu yang punya sebiji sawi iman pasti berasa ralat kendati seribu hujah membenarkan plagiat itu disungguh-sungguhkan nafsu. Kalbu pasti gagal tenang.

Sepandai-pandai pelaku plagiat mengelat, akhirnya terbongkar ke khalayak juga. Tiada jalan lain yang paling tepat melainkan si pelaku mengaku salah dengan pengkarya asal dan sedia menanggung akibat daripada pihak yang menerbitkan karya. Menjustifikasikan plagiat dengan jargon-jargon sastera seperti intertekstual, hipogram, mimesis, proses kreatif penulisan (kononnya) hanyalah melanjutkan perbuatan menjerat diri dengan tali membelit yang semakin berselirat panjang.

Tiada maruah

Masalah pula tidak selesai dengan hanya menyahaktifkan akaun media sosial. Masalah semakin menuju penyelesaian dengan kesudian menyahaktifkan diri dari terus menulis. Jika pelaku berjawatan dalam komuniti pula, segeralah undur diri dengan terhormat lantaran diri mungkin sudah hilang kredibiliti sebagai penulis tetapi diri masih tersisa dengan maruah sebagai seorang insan yang tahu, mampu dan mahu berubah dengan bertaubat dan berhenti dari merembat.

Kebanyakan ruang tulisan yang diterbitkan acapkali disertai dengan imbuhan atau honorarium sebagai balasan atas jerih usaha penulis. Lalu jika karya plagiat dibayar, ia seperti membayar kepada seorang pencuri. Dalam agama, untuk melupuskan kesalahan adalah dengan mengembalikan semula hasil kecurian. Maka, permohonan maaf sahaja tidak cukup. Hasil imbuhan karya wajar dikembalikan memandangkan perbuatan memplagiat itu adalah perbuatan mencuri terang-terang haram.

Namun, ada realiti yang jauh lebih dikesalkan. Sudahlah khalayak sastera tidak besar, ruang penerbitan juga terhad maka karya-karya yang bagus terpaksa sabar beratur menunggu giliran disiarkan. Apabila karya plagiat tidak sengaja diluncurkan, keadaan itu menafikan hak pengkarya lain untuk mendapatkan ruang penerbitan bagi hasil karya mereka yang lebih asli. Maka, para penikmat sastera tempatan terpaksa menanti lebih lama untuk membaca karya-karya baru yang lebih berintegriti memandangkan tulisan plagiat tidak lebih dari mengulang karya yang pernah dikarang.

Persatuan penulis tidak kira tua atau muda, indie atau arus perdana pula wajib menyatakan sikap atas nama perkumpulan. Kita tidak perlukan seorang presiden persatuan penulis kalau hanya setakat menelefon editor atau pihak penerbit untuk menyatakan keprihatinan. Itu peranan seorang sahabat, bukan seorang presiden. Seorang presiden persatuan penulis bersama saf kepimpinannya paling minimum perlu menyatakan sikap khusus bagi kes yang melibatkan maruah kepengarangan seperti isu plagiat.

Tidak menyatakan sikap adalah penzahiran sifat bacul lalu fungsi persatuan akan segera dilihat mandul kerana untuk menyatakan yang mana salah yang mana betul pun, jemaah penulisan ternyata mati pucuk. Mungkin terlalu awal untuk menghukum, maka memadailah dengan menyatakan sokongan dan dorongan agar siasatan terperinci segera dilakukan. Termasuk gesaan jika benar plagiat berlaku, si pelaku perlu diberikan amaran keras dan dikenakan tindakan susulan seperti menyenaraihitamkannya.

Senarai hitam

Senarai hitam nama pelaku itu pastinya di tangan penerbit apatah lagi kalau rumah penerbitan terbabit adalah sebuah institusi bahasa yang punya locus standi bagi menentukan keabsahan perbuatan plagiat. Sejarah akan menjadi saksi sejauh mana institusi bahasa benar-benar berintegriti menjalankan siasatan terperinci. Hasil siasatan itu pula perlu dimaklumkan kepada orang ramai lantaran perbuatan plagiat bagi karya yang sudah diterbitkan menjadi sebuah kebimbangan awam, selain menjadi tugu peringatan yang agam agar plagiat tidak diulang di masa mendatang.

Karya pengkarya adalah hak justeru maruah pengkarya. Apabila karya diplagiat, maksudnya hak dan maruah pengkarya diperkotak-katik ibarat seorang isteri yang dijual beli sedangkan sang suami pemilik mutlaknya. Pengkarya itu dayus jika terus menikus membiarkan kesalahan plagiat tidak diambil serius. Bukankah diam tanda setuju? Paling kurang, hubungilah pihak penerbit nyatakan rasa terkilan akan perbuatan berkenaan kalaupun segan untuk menularkan kesalahan plagiat itu atau masih mahu kasihan sekalipun tidak bertempat.

Siapa tidak kasih dengan sahabat sendiri tetapi sahabat yang bersalah akan segera ditegur jika kita benar-benar kasih. Tentang kesalahannya, serahkanlah kepada pihak berautoriti. Rasulullah sendiri ketika isteri baginda difitnah memilih sikap untuk tidak menghukum atau membela akan Saidatina Aisyah sebaliknya menyerahkan keputusan itu kepada Tuhan Maha Adil untuk memutuskan melalui firman. Persahabatan tidak gugur hanya kerana sahabat kita bersalah tetapi persahabatan itu jelas sekali dilacur-lacur apabila bangkai sebesar gunung ditutup dengan sepelepah nyiur.

Bersabar dalam menulis bukan sekadar menunggu giliran karya tersiar. Sabar menulis yang lebih mustahak adalah menunggu kepengarangan kita menghasilkan karya yang semakin besar atas jalan benar menurut hak. Karya tersiar itu rezeki yang pasti ada halal dan haramnya. Penulisan adalah perbuatan yang menjadi bola tanggung penulis kelak di Mahsyar.

Bersabarlah, bulan pun memerlukan beberapa fasa sebelum jadi purnama. Ini boleh jadi sebuah lagi plagiat kalau tidak dimaklumkan bahawa ambilan ini adalah dari mafhum penyair besar, Nizar Qabbani. Hanya ada dua jalan menghentikan plagiat – berhenti memplagiat dan berhenti berdiam diri dengan perbuatan plagiat.

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Ada nelayan di Laut China Selatan

 

Saat tertembaknya seorang nelayan menangkap ikan
negeri ini pun pecah bersorak semalaman
mayat penangkap ikan dibawa pulang
ke negerinya di tanah besar jauh ke utara
tetapi yang menangis adalah rakyat negeri ini
melihat keadilan dipaksa kepada untung
nilai yang telah dibahagi-bahagikan
kepada yang menang.

Kebahagiaan nelayan kepada laut
telah berkurun-kurun turun-temurun
ia tidak mengenal bangsa
tidak juga mengenal negara
hanya sayangnya kepada Laut China Selatan
sejak bermulanya tamaddun manusia
empayar ganti-berganti
dan Maharaja tidak pernah berkata
laut ini kita paksa milik kita
kita bunuh mereka yang derhaka.

Saat tertembaknya seorang nelayan menangkap ikan
sejak itu kemuliaan laut mula tercemar
riak gelombang membangunkan resah
dan perang hampir terjadi
angkara keinginan manusia
membangunkan kemewahan
dari dasar laut.

 

Hipani Alwi

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Haji Borhan, Husin dan WhatsApp Kampung Besen

Oleh Fadli Zainal Abidin

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

HAJI Borhan, Ketua Kampung Besen telah letak jawatan tiga hari yang lalu. Ini semua gara-gara tersebar videonya memukul punggung monyet belaannya, si Kuntum.

Orang kampung kata, tindakan Haji Borhan itu sebagai tidak berperikemanusiaan. Si penyebar video, Husin menuntut agar orang kampung tidak berdiam diri. Kata Husin perkara sebegitu harus dilapor pada Jabatan Kebajikan Haiwan. Dalam perbualan kumpulan WhatsApp Kampung Besen, siang malam pagi petang Husin menuntut Haji Borhan letak jawatan. Memalukan! Memalukan! Memalukan! Perkataan itu diulang 100 kali oleh Husin dalam kumpulan WhatsApp Kampung Besen.

Setelah tidak tahan dengan desakan orang kampung, Haji Borhan akhirnya letak jawatan. Maka posisi Ketua Kampung kini kosong. Jika ikut Undang-undang Tubuh Kampung, kekosongan jawatan itu perlu diisi dalam tempoh 66 hari melalui proses pemilihan.

Maka dalam kumpulan WhatsApp Kampung Besen ramai yang memberi cadangan calon untuk mengisi kekosongan jawatan itu. Kak Limah yang meniaga kuih Keria Tawar merangkap bendahari kampung mencadangkan agar Rahman anak kepada Haji Borhan diberi peluang untuk menjadi ketua kampung. Kata Kak Limah, Rahman itu muda berusia awal 30-an, pendidikan sampai diploma dan rajin solat berjemaah di surau setiap kali pulang ke kampung.

Cadangan Kak Limah itu dibantah keras oleh Husin. Kata Husin, jawatan Ketua Kampung bukan untuk diwarisi. Tambahnya lagi, Rahman tidak bermastautin di kampung, tapi di Kuala Lumpur, berfahaman Liberal. Senang kata, Rahman ini bahaya untuk masyarakat konservatif Kampung Besen.

Kalau Rahman anak Haji Borhan pun dirasakan tidak sesuai untuk jawatan itu maka siapa yang paling layak? Hajah Rokiah, Ketua Wanita Kampung Besen yang juga isteri kepada Haji Borhan tampil dengan cadangan agar jawatan ketua kampung diisi oleh seorang wanita. Menurut Hajah Rokiah, wanita perlu diberi peluang memimpin. Maka dia mencalonkan dirinya sendiri. Ramai juga dalam kumpulan WhatsApp Kampung Besen menyokong jika Hajah Rokiah diberi mandat sebagai ketua kampung.

Bahaya, bahaya, bahaya. Tiga kali Husin ulang perkataan itu. Tegas Husin, kalau Hajah Rokiah sendiri tak boleh menegur perbuatan suaminya, bagaimana dia nak menjadi pemimpin yang dihormati. Silap hari bulan, Hajah Rokiah mungkin sekadar proksi kepada Haji Borhan. Mudah cakap, Ketua Kampung Boneka.

Maka Haji Borhan pun membuat satu tawaran. Dia minta agar diberi sedikit masa untuk memilih pengganti sesuai. Sementara calon itu ditemui, dia berhasrat menjadi ketua kampung interim. Katanya lagi, sekarang bukan masa yang sesuai untuk dilakukan pemilihan ketua kampung, bimbang kalau nanti kes Covid-19 di kampung mereka mencanak naik.

Husin membantah keras cadangan Haji Borhan itu. Majoriti penduduk kampung telah lengkap dua dos vaksin. Surau pun telah mula menerima kehadiran jemaah, warung Wak Karto pun telah dikunjungi pelanggan untuk makan disitu, jadi di mana logiknya pemilihan ketua kampung harus ditangguh? Husin ugut untuk bawa isu tersebut kepada Tuan Pegawai D.O. Kata Husin, demokrasi tidak harus dibunuh oleh ketakutan pada Covid-19.

Kata Husin, biar isu tersebut selesai ikut peraturan yang jelas. Maka Haji Borhan sekali lagi membuat kenyataan di kumpulan WhatsApp Kampung Besen. Kata Haji Borhan, kesihatan dan keselamatan penduduk kampung perlu diutamakan. Jawatan ini, kalau nak direbut sampai dunia kiamat pun tak akan habis. Haji Borhan turut meminta Husin agar muhasabah diri, jangan terlalu ikut hati kelak binasa.

Saranan itu tidak dipeduli oleh Husin. Kelihatan di kumpulan WhatsApp Kampung Besen dia telah muat naik karikatur Haji Borhan sedang memukul punggung seekor monyet bersama tulisan huruf besar berbunyi “Ketua Kampung Zalim”

Haji Borhan tidak mendiamkan diri, dia kemudian memuat naik rakaman video perutusan khas. Kata Haji Borhan, bukanlah dia tak mahu meletak jawatan, tetapi demi kepentingan penduduk kampung dia akan terus memelihara amanah dan tanggungjawab yang digalasnya selama 17 tahun ini.

Haji Borhan juga turut menjelaskan yang tindakan dia memukul punggung Si Kuntum bukannya tanpa sebab. Haji Borhan dalam nada sedih memberitahu, monyet belaannya itu telah mencuri sesikat Pisang Emas dari dapur rumah Tauke Ah Seng, jiran sebelah rumah Haji Borhan. Maka kata Haji Borhan, dia tak mahu nanti dituduh sebagai bersubahat dengan monyetnya itu. Tindakan memukul punggung Si Kuntum adalah satu pengajaran agar perbuatan tersebut tidak diulang.

Kata Haji Borhan, manusia kalau mencuri pun akan dihukum, inikan monyet, mesti turut dihukum sesuai dengan caranya. Haji Borhan turut menjelaskan yang dia telah ganti semula pisang yang dicuri oleh Si Kuntum.

Maka Tauke Ah Seng tidak mahu panjang cerita, menerima saja permohonan maaf Haji Borhan. Solidariti namanya. Haji Borhan juga sedar yang Husin ada merakam perbuatannya itu. Malah Haji Borhan turut buat pendedahan yang mengejutkan.

Jelas Haji Borhan, Husin beberapa kali dilihat merakam anak perempuannya ketika menjemur baju di belakang rumah. Haji Borhan turut menunjukkan bukti video perbuatan Husin itu. Rupanya sekeliling rumah Haji Borhan ada di pasang CCTV. Memang terkena Husin kali ini. Hampir seminggu Husin tidak bersuara di kumpulan WhatsApp Kampung Besen. Pedih menanggung malu. Malah dia dilihat telah left group.

Ramai penduduk kampung seperti tidak percaya Husin yang dilihat tegas rupanya ada sisi gelapnya. Di surau kelibatnya tidak kelihatan, di warung Wak Karto juga tidak nampak bayangnya. Rumahnya pula sentiasa gelap dan bertutup.

Semua orang tahu, Husin tinggal bersendirian sejak kematian isterinya lima tahun lalu. Dia tiada anak, malah perihal keluarganya juga tidak diketahui. Husin ini memang terkenal sebagai kaki bangkang. Semua perkara dia nak bangkang.

Suatu masa dulu, ada kumpulan nasyid hendak buat persembahan di kampung sempena Maal Hijrah. Tapi dibatalkan saat akhir kerana Husin persoalkan bayaran yang terlalu mahal. Kata Husin daripada membayar kumpulan nasyid tersebut lima ribu ringgit, baik duit tersebut dibuat jamuan makan untuk orang kampung. Persembahan nasyid pada malam itu tetap diteruskan, namun oleh kumpulan Marhaban Wanita Kampung Besen secara percuma. Ramai juga orang kampung yang hadir bukan kerana persembahan nasyid, tetapi kerana jamuan Nasi Arab Kambing Bakar.

Sebulan berlalu sejak pendedahan yang dibuat Haji Borhan berkait perilaku tidak senonoh Husin. Berita terbaru yang diterima, Husin telah meninggalkan Kampung Besen. Rahman, anak Haji Borhan beritahu yang Husin kini berada di Kuala Lumpur. Tambah Rahman lagi, Husin kini menjadi pemandu kepada seorang ahli politik. Di Facebook milik Husin, kelihatan gambar profilnya yang terbaru segak memakai kopiah putih dengan cop hijau bulat di sebelah tepi kopiah itu. Status terbarunya menyebut “Bumi Tuhan itu luas, selagi kita berusaha pasti ada bahagian untuk kita. Teruskan berusaha kawan-kawan kerana Tuhan sayang kita.”

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Bekas pemburu menjerat udara

dia muncul dengan wajah pucat
menyerahkan kepadaku sebuah perangkap
bersama bacang sebagai umpan
“aku mahu seekor landak.”

apalah gunanya kini
pokok-pokok habis ditebang
hutan dan bukit licin digondol
suaraku menyalin kicau burung

dia tercengang, “dah lama aku nak rasa, buat ubat, buat badan kuat.”
cahaya sunti mengghairahi kulit kami
percikan suria menyelar ubun kepala

jam tiga, dan aku menolaknya
ke dalam pusaran habuk yang menggila
kutanggalkan baju seluar
kutinggalkan di sisi tunggul
lalu terjun ke sungai debu

seperti ini setiap hari
aku terjaga dan membunuh diri
hanya kau tak kesal-kesal
selalu terpacul dan basah meminta.

kaujebaklah udara kering ini.

 

Abdullah Hussaini

Categories
BUDAYA RENCANA

Tiada apa (itu) sakral

Oleh Jack Malik

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

SAYA tidak pasti ketepatan tahun bilakah sastera Melayu Malaysia mengalami trauma. Tenaga dan masa peribadi saya tidak mengizinkan untuk menggali maklumat ini sebetul-betulnya. Polemik dan wacana ini juga tidak saya temui secara nyata. Hanya beberapa buku dan pautan dalam talian sahaja saya jumpa. Pun begitu, saya masih lagi mencari ‘trauma’ yang ditinggalkan oleh Allahyarham Salleh Ben Joned, seperti dinyatakan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Kalau ada pun perkara yang ‘membekas’ pada sastera Melayu tanah air, bagi saya, ia melahirkan beberapa pemuisi yang senada dengan Salleh.

Daripada siniar (podcast) Salleh Ben Joned: A Most Unlikely Malay part 2 yang dihasilkan oleh Perbadanan Penyiaran Australian (ABC) dan diriwayatkan oleh anak perempuannya, Anna Salleh. Antara temu bual dalam siniar ini, Prof. Muhammad menerangkan “Allen Ginsberg pun tidak menulis seperti Salleh…beliau nakal dan menyindir orang.” Sambung Prof. Muhammad, “Salleh menulis dengan gaya yang berlainan, daripada jiwa yang berlainan. Daripada budaya yang berbeza: ia bukannya budaya Malaysia dan saya fikir ia bukan juga Australia. Ia budaya Salleh. Apabila Salleh menulis cara Salleh, menggunakan perkataan-perkataan yang dia gunakan, dia menghasilkan trauma.” Salleh kemudian mengkritik semula kritikan Prof. Muhammad di dalam eseinya Is Nothing Sacred? (1990)’.

Bagi Salleh, “tiada” atau “ketiadaan” itu sendiri ada nilai sakralnya. Dan beliau mengaku dalam pendahuluan buku kumpulan eseinya Nothing is Sacred, sebagai seorang pemuisi dan kolumnis, tiada apa-apa yang ‘sakral’ baginya. Setiap sudut pandang dibenarkan, tanpa kira sebesar mana sebuah budaya mahupun masyarakat tersebut. Ini mengingatkan saya pada permainan video Asssassin’s Creed (berdasarkan daripada novel Alamut) yang berkisar tentang pembunuh upahan di zaman Perang Salib dan kurun ke-16. Dalam dunia AC (Assassin’s Creed), “Tiada apa yang benar, semua diizinkan” merupakan kredo para pembunuh upahan ini. Bunyinya agak sinikal “jika ia adalah sebuah doktrin, namun ia hanyalah pemerhatian sifat realiti ini. Untuk menyatakan ‘tiada apa yang benar’ merupakan kesedaran bahawa masyarakat tapaknya rapuh dan kitalah yang perlu menjadi pemacu sebuah ketamadunan; untuk menyatakan ‘semua diizinkan’ adalah untuk memahami kitalah sang jurubina bagi segala tindak-tanduk kita, serta kita perlulah hidup dengan akibatnya—sama ada gemilang mahupun sebaliknya,” jelas Ezio Auditore, watak utama permainan video AC: Revelations.

Kembali kepada Salleh, beliau juga menerangkan “terdapat maksud lain yang melangkaui etika, sosial, agama dan politik. ‘Tiada’ yang dimaksudkan kini bukanlah selalunya ‘tiada’. Dan ‘tiada’ juga boleh menjadi sakral.”

Bicara puisi

Ketepikan trauma dahulu, ketiadaan dalam puisi bukanlah perkara yang baharu. Matthew Zapruder di dalam bukunya, Why Poetry menulis, “dalam banyak-banyak penggunaan bahasa, puisi berbicara, pada masa sama menunding pada dan mengingatkan kita akan ketiadaan.” Halaman kosong. Kata-kata yang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dunia berputar dan matahari kekal terbit dan terbenam. Bulan berkitaran dan pasang surut pantai berterusan. Bintang di langit malam satu per satu terpadam dan mana gemerlapan berbaki hanyalah peninggalan berjuta tahun cahaya yang lepas. Namun, dalam ketiadaanerti semua ini, pemuisi agung Amerika Syarikat, Emily Dickinson, masih tetap menzahirkan: ““Ketiadaan” adalah daya / yang mengubahsuai Dunia—“. Maka, apa yang saya faham daripada Zapruder (sedikit-sebanyak Dickinson), ketiadaan yang dimaksudkan oleh puisi mungkin adalah untuk “menajamkan lagi kepedihan ilmu pengetahuan.” Kepedihan dalam mengetahui kehidupan ini dipenuhi dengan ketiadaan. Namun, saya percaya ia bukan kekosongan.

Perbezaan ‘kosong’ dan ‘tiada’, walaupun berkait, menariknya bagi saya merupakan dua talam berlainan yang mempunyai sisi yang hampir seiras. Kalimah syahadah kaum Muslimin juga mengingatkan saya akan ketiadaan ini. Tan Sri Bulan dan Yang Yang, puisi masing-masing berjudul ‘Ada Yang Tiada’ dan ‘Tiada’, nukilan Abdul Ghafar Ibrahim membuka mata saya mengenai tajuk ini:

Ada Yang Tiada
Di hadapanMu
ada yang tiada—
mereka yang tiada.

Di hadapanMu
ada yang tiada—
Engkau yang tiada.

Sedang mereka itu ada di hadapanMu
Engkau juga ada di hadapan mereka.

(Tan Sri Bulan, hlm. 19)

 

Tiada
bila mereka berkata tiada
bukannya tiada sebenarnya
yang tiada ialah kata-kata yang benar.

bila mereka berkata tiada
tentang Engkau Allahku
bukannya tiada sebenarnya
kerana yang tiada itu ialah Engkau.

(Yang Yang, hlm. 12)

Alam misteri

Dan apakah yang paling suci lagi sakral jika bukan Illahi? Melalui dua sajak Abdul Ghafar di atas, ia mengukuhkan pemahaman saya tentang “tiada juga boleh jadi sakral” yang dinyatakan oleh Salleh. Ketiadaan ini juga membawa kita memasuki alam yang penuh misteri dan ketidakpastian, seperti diterangkan oleh Jane Hirshfield di dalam bukunya Nine Gates: Entering the Mind of Poetry, tentang Kemampuan Negatif John Keats. Di sini, Hirshfield menerangkan, bagi Keats, perwatakan seorang pemuisi itu “bukanlah dirinya semata—ia tiada dirinya—ia adalah semua perkara serta tiada apa-apa.” Di ambang kematiannya di tangan tentera Mongol, seorang biksu dan penyair Zen Jepun bernama Sesson Yubai, menulis rangkap berikut: “sukacitanya aku mengatakan manusia itu tiada apa-apa, segalanya tiada apa-apa, / seribu dunia lengkap dalam sangkarku nan sebuah.”

Sehingga kini, ketiadaan dan kekosongan secara ironiknya memenuhi kepala saya. Setiap kali saya membaca puisi dan menjumpai bait-bait sebegini, saujana pa(n)dang(an) sarwa puisi saya semakin luas dan lebar. Sebuah puisi yang baru dibaca mencampak fikiran saya ke setiap pelusuk puisi, kalimat, baris dan kredo yang serupa. Jadi, usahlah kita terlalu lekas mengambil hati atau tersinggung jika dikatakan “tiada apa yang kita hormat” atau sesuatu perkara yang penting bagi kita, dikatakan “tiada apa-apa” oleh orang lain. Penyair tersohor Poland, Adam Zagajewski dalam puisinya ‘Square D’Orleans’ menjelaskan hal ini: “Senja September perlahan-lahan menghitam, / bayu halus merentasi Paris / seperti pelakon Kabuki yang berumur / memainkan peranannya sebagai gadis desa. / Jika adapun apa-apa yang mengganggu kita – namun tiada / apa-apa pun – ia hanyalah kekosongan.”

Demikian, sebagai seorang jurubina, kitalah yang menentukan erti ‘tiada’ dan ‘kosong’. Maksud penghinaan dan pencabulan; kudus serta mulus. Di Zurich sekitar tahun 2014, tempatnya tanah perkuburan Fluntern; seorang seniman berasal daripada Simpang Pulai, berdiri di hadapan pusara sasterawan agung Ireland dan dunia—James Joyce. Di situlah, Mohd Jayzuan, meneruskan pusaka ‘ketiadaan’ dalam dunia puisi dengan mengabadikan pertemuan beliau dalam Sajak-Sajak Gustavo: “James / petang ini / hanya / hang dan aku / lepak di kuburmu / melayan hantu.” Seterusnya, saya turut tergelak-bahak bersama Jayzuan dalam mengetawakan diri saya sendiri serta para “badut-badut fasis / pseudo intelektual lawak” yang barangkali mengambil diri mereka dan sastera terlalu serius; terlampau segalanya—walhal “Sastera is nothing / terajang terpelanting.”

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Meneliti kebenaran

Oleh Petak Daud

SAYA jarang-jarang menulis. Atau menaip. Dan dalam rungkai maksud yang lebih luas, saya sudah lama tidak duduk di depan kertas memegang pensil ataupun di depan komputer riba sambil memikirkan dalam-dalam, tentang isi kandungan yang akan saya tuliskan.

Kali terakhir saya menulis, benar-benar menulis, ketika berada di lewat semester empat. Pada waktu itu saya menumpang di sebuah rumah kawan, kebuntuan, kerana tidak tahu untuk tinggal di mana. Kampus pengajian saya tidak menyediakan asrama bagi para pelajar, kecuali pelajar semester satu. Walaupun masih banyak bilik, malah bangunan kosong yang terbiar tidak diguna, tetapi masih juga dikekalkan sebegitu, walaupun telah berkali-kali rayuan dilakukan saya.

Saya terpaksa keluar dari bilik sewa yang dibayar setiap bulan sebanyak seratus ringgit. Saya tidak mampu membayar duit sewa bilik selama dua bulan berturut-turut, menyebabkan Kak Ema terpaksa bercakap sambil menunduk-nundukkan muka dan mengulang-ulang soal anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Ketika saya ingin menulis pada kali yang terakhir itu, saya tidak dapat berfikir dengan tenang tentang apa yang harus saya ucapkan kepada ibu. Tangan saya sedikit menggeletar kerana kelaparan. Perkara terakhir yang saya jualkan untuk membeli makanan adalah telefon bimbit. Ia berlaku pada Disember yang lepas. Malah pada waktu itu, sebenarnya, saya sudahpun menggantung pengajian selama beberapa semester kerana kos pengajian yang sangat tinggi.

Yuran, buku rujukan, dan peralatan pengajian adalah sangat mahal (walaupun katanya yuran telah dikurangkan), malah makanan dan minuman juga telah naik harga sebanyak beberapa peratus. Untuk meneruskan pengajian dengan sumber yang tidak ada apa-apa adalah sebuah perjalanan yang membazirkan. Saya terpaksa mengakuinya juga, bahawasanya kita tinggal dalam dunia yang serba memperdagangkan. Termasuklah pendidikan.

Saya memegang pensil dan mengambil waktu yang sangat lama untuk memulakan sebuah perkataan. Remukan di atas kertas lebih banyak jumlahnya berbanding tulisan. Saya menggeletar tidak putus-putus. Kerana, ya, kelaparan, dan ketakutan.

Takut untuk menerangkan. Kerana apakah yang sepatutnya ditulis saya? Apakah yang harus diberitahu saya kepada ibu? Apakah cerita dan kisah yang akan direka-reka saya untuk mengaburi rasanya? Apakah kesakitan yang akan saya tanamkan selepas apa yang ibu ada di dunia ini hanyalah saya? Bagaimana ingin saya terangkan kepada ibu tentang bayangan kejayaan yang bakal saya raikan kelak, telahpun tamat, tanpa ada kesudahannya?

Mengenangkan betapa ibu seorang diri di rumah, yang mengisi perutnya dengan wang kebajikan dari kerajaan negeri, saya tidak sampai hati. Saya tidak mampu membayangkan kegembiraan ibu akan hancur dan lebur ketika membaca kebenaran yang akan saya tuliskan. Saya tidak mampu memikirkan betapa ibu akan terduduk ke tanah, memikirkan bahawa anaknya tidak mampu meraih kejayaan, mahupun dengan nasi sepinggan.

Jadi, pada kali terakhir saya menulis itu, benar-benar menulis, apa yang saya mampu tuliskan adalah sebuah kepalsuan. Sebuah cerita yang manis dan bergula-gula. Tentang kehibaan keseronokan, tentang kesebakan keindahan. Tentang peluang yang datang, dan rumah baharu yang tidak akan bergoyang. Saya tidak mampu menyenaraikan kebenaran, bahawa anak ibu tidak mampu membuat ibu terharu. Kerana saya takut memikirkan, bagaimana ibu akan sesak kebuntuan.

Saya jarang-jarang menulis. Atau menaip. Dan dalam rungkai maksud yang lebih luas, saya sudah lama tidak duduk di depan kertas memegang pensil ataupun di depan komputer riba sambil memikirkan dalam-dalam, tentang isi kandungan yang akan saya tuliskan.

Oleh itu, saya sedikit terkejut apabila selepas berapa lama juga saya tidak membuka komputer riba, ada sebuah dokumen di bahagian ‘desktop’ yang diletakkan namanya sebagai – Kebenaran. Saya merenung dokumen Kebenaran itu tanpa berbuat apa-apa, sambil jenuh memikirkan, bila tarikhnya ia dicipta, dan apakah sebabnya ia ditulis saya. Kerana saya tidak ada apa-apa langsung ingatan tentang menulisnya.

Saya menekan butang kiri di tetikus komputer riba, dua kali, pada dokumen tersebut. Ia mengambil masa beberapa saat untuk muncul sepenuhnya memandangkan komputer riba yang digunakan saya sudah terlalu lama usianya. Dan apabila dokumen tersebut muncul sepenuhnya – terpapar luas di skrin komputer riba – apa yang kelihatan hanyalah; tiada.

Tidak ada apa-apa perkataan. Sebuah lampiran kosong berwarna putih yang normal sekiranya kita membuka Microsoft Word. Saya tercengang di depan komputer riba, memikirkan kelucuan yang baru berkesudahan; tentang bagaimana kita akan terlalu takut dan memikirkan soal-soal yang tidak pernah berlaku.

Lalu kerana kekosongan yang tidak membawa erti dan maksud apa-apa itu, saya memegang tetikus, menekan butang kiri lama-lama pada dokumen bernama Kebenaran, dan menariknya masuk ke arah Recycle Bin.

Saya mengeluh kelegaan. Mungkin selepas ini, selepas membuang perkara-perkara yang tidak perlu itu, komputer riba saya akan berfungsi dengan lebih laju dan pantas. Dan tidak lagi berat kesakitan, menanggung sebuah kandungan yang tidak langsung memberikan pengertian.

Categories
BUDAYA RENCANA

Tangisan pelabuhan (Gaun malam)

(untuk nf)

pelabuhan mengesakkan segala hal di luar mampu; usia, tunggu dan rentang waktu. menyisihkan bibir dari gerak. memisahkan temu dengan jarak. namun di sini, prosa tumbuh tidak berbatas. aku konkrit, kekasihku terbit dari langit, dan angan bukan lagi perawan yang berpingit.

di telapak tanganku, rintik mahu menyisir gurat nama, tapi cepat memercik! tak sempat singgah menyambung titik–berpencar di latar ingin, lalu menembus. menyebar sepelusuk dingin, lalu berkabus. akhirnya aku tidak dapat menyentuh apa-apa, selain semburat kenyataan.

dadaku bergema geruh-gerah. ruang mencabuh kata-kata. angin gundah dalam suara. lantas membeku bersama kisah-kisah sepi di hitam awan berbentuk roti. akhirnya, hanya senja yang gugur membawa rinai rindu. tak pernah janggal, dan meminta untuk tetap tinggal.

ia bukan berasal dari kelmarin, namun jatuh begitu pias. wajahku dapat menikmati titisannya satu demi satu; tangan yang lembut menyulam, tubuhnya berbau alam. aku terpaku, menghadap langit seolah bersedia untuk dipotret. satu, dua, tiga, aku tersenyum. klik!

udara basah dengan lekas mendesah, mengembangkan bayang di lipatan tubuh. aku kira, tiga puluh minit cukup melatakan tiga puluh tahun masa depan. shhhh… perlahan suara debur menyuruhku pulang–atau bayu. aku memulas kunci, debur berubah menjadi deru motor.

mata lampu memandang jalanan yang semakin keruh, seraya mata pintu memandang kelibatku dengan ragu-ragu. aku mendekat tanpa menyedari di rumahku, remang kekasihku sedang menunggu; anggun bergaun malam.

 

Jed Stellarose

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Menjadi fetus semula

Oleh Haniff Yusoff

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

SESI makan malam yang sepatutnya menjadi medan waktu yang begitu membahagiakan telah beralih kepada fragmen yang menyedihkan [atau menakutkan] kerana saya akan ditelan semula oleh ibu. Saya tidak pasti sama ada ini adalah jalan yang terbaik buat masa ini ataupun sebaliknya. Saya pasti akan merindui hidangan tomyam yang dipesan dari sempadan juga nasi kandar yang begitu masyhur di negeri sebelah utara. Ayah saya seorang wakil rakyat, dalam pendefinisian sebenarnya-ayah merupakan entiti yang akan mendahului sekelompok masyarakat dalam segala perlakuan. Jangan tersilap, ayah saya hanya wakil rakyat, bukan seorang menteri. Oleh kerana kuasa yang dimilikinya, dapatlah dia memanjangkan kakinya melangkahi persempadanan daerah, mahupun negeri. Begitulah penjelasannya apabila saya bertanya tentang sekatan jalan raya.

Wabak semakin menular, menjelajah di setiap pojok dan paksi. Sesungguhnya semakin mengepung wilayah kami, wilayah tercinta ini. Sebegitulah dikhabarkan pembaca berita yang berada dalam kotak televisyen menerusi siaran berita pada waktu perdana. Petiakanlah, laporan mengenai wabak yang kian membuas menjadi berita utama dalam setiap siaran televisyen, di corong-corong radio, di pangkalan portal-portal berita dan juga dalam helaian surat-surat khabar pelbagai bahasa.

Kata ayah, kami perlu melakukan persediaan menangani wabak ini, wabak bahaya yang sudah membunuh jutaan manusia di dunia. Wabak ini akan membataskan kami dari keluar daripada kawasan perumahan kami waima wilayah ini sekalipun atau mungkin memenjarakan kami daripada menjalani kehidupan seperti biasa. Kata ibu pula, telah tiba pada suatu titik masa, zaman ini ialah zaman yang diperintah oleh wabak. Ah, saya menjadi teruja tiba-tiba. Pelbagai andaian yang melingkari pemikiran. Apakah wabak ini akan memungkinkan kita menyaksikan sebuah perbalahan seperti dalam kisah-kisah fiksyen dan kita juga akan melihat adiwira kita membuka langkah menentang penjarah dengan penuh magis? Saya beranggapan penuh imaginasi.

“Wilayah kita semakin tidak selamat. Dalam beberapa jam sahaja lagi mungkin virus itu akan mengetuk pintu rumah kita,” ayah berpendapat.

“Kehidupan akan menjadi sesuatu yang amat membosankan apabila kita terpaksa berkurung sahaja dalam rumah,” ibu pula seolah-olah mengeluh.

Apabila ibu menamatkan kata-katanya dan saya menangkap perkataan ‘bosan’ yang diujarkan, imaginasi saya yang sebelumnya tergantung di biru langit, jatuh berderai di lantai ruang tamu rumah kami. Saya fikir wabak ini akan mengubah rutin harian saya sebagai seorang pelapis pemimpin negara. Sudah tentunya wabak ini akan mematikan segala kreativiti saya untuk menyantuni alam, malah membantutkan proses kematangan mentafsir segala kejadian.

“Han, ayah dan ibu telah membuat keputusan demi kesejahteraan bersama bagi menempuh zaman dicengkam wabak,” ayah bersuara tegas. Saya tahu ayah sebagai wakil rakyat telah membuat keputusan secara rasional. Saya menaruh percaya sangat-sangat.

“Han akan ditelan oleh ibu, dan hiduplah dalam kandungan ibu semula seperti pernah Han lalui beberapa tahun dahulu.”

Malam itu, saya memejamkan mata, sebelum ibu menganga seluasnya, lalu menelan saya perlahan-lahan sehinggalah saya menjadi fetus semula dan berada dalam kandungan ibu. Saya dapat mendengar suara bahagia ibu. Ibu seolah-olah begitu gembira setelah saya menjadi fetus semula. Mungkin ibu begitu bimbang akan keselamatan saya memandangkan penularan wabak yang tidak terbendung lagi di wilayah kami.

Menjadi fetus semula merupakan pentafsiran saya kembali kepada sejarah. Sejarah yang menumbuhkan sesiapa sahaja di dalam dunia. Sejarah yang menjadi dasar permulaan segala-galanya. Sepertinya diri kita sendiri juga adalah sebahagian daripada sejarah hatta tak terpisahkan walaupun dengan satu garisan. Saya kembali menekuni naratif-naratif agung bangsa yang kaya dengan kearifan tempatan serta keluhuran budi bangsa. Saya fikir menjadi fetus semula adalah suatu nikmat kebahagiaan. Sungguh, saya tidak menafikan. Setiap detik begitu bermakna apabila saya hidup berteman mesra dengan watak-watak tradisi. Saya tidak seperti rakan sebaya yang lainnya, yang terpaksa bergelumang dengan kepayahan menghadapi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Saya mengheret pengamatan selama pandemik yang mengekang. Proses pembelajaran menjadi tidak menentu apabila menghadirkan diri ke sekolah bukan lagi pilihan yang selamat. Guru-guru terpaksa bertungkus-lumus untuk memastikan anak-anak murid tidak ketinggalan biarpun dihimpit tekanan yang datang dari pelbagai arah. Saya teringatkan Naim, sahabat saya yang berasal dari keluarga yang sederhana taraf ekonominya, tiada telefon bimbit pintar seperti saya, apatah lagi memiliki komputer riba. Tentunya sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah mendatangkan kegusaran padanya, apatah lagi Naim seorang anak yang baik, yang tidak mahu menyusahkan orang tuanya. Menyedari libang-libu hati dan pemikirannya melalui telepati, saya hadiahkannya sebuah komputer riba dengan harapan kecerdikannya terus lestari, tidak terbazirkan.

Perhitungan demi perhitungan yang saya catatkan, saya maklumi tarikh saya dilahirkan semakin hampir. Ibu juga dengan segala persiapan telah bersedia untuk menyambut kelahiran saya, dan seorang bidan peranakan istimewa telah dijemput oleh ayah untuk memeriksa kandungan ibu-memeriksa keadaan saya yang menjadi fetus semula.

“Datin, anak dalam kandungan ini janganlah dilahirkan.”

“Maksud Nenek Bidan?”

“Maksud saya, biarlah anak dalam kandungan ini menjadi fetus selamanya. Datin pernah dengar kisah kebijaksanaan seorang budak yang mengusul batang pohon pisang sebagai benteng tujahan todak?”

“Tidak pernah pula saya dengar.”

“Maklumlah, kisah ini dari lamanya masa, ketika Nenek Bidan masih kecil lagi. Ketika itu, kawasan perairan di selatan tanah air telah diserang todak yang berlaksa-laksa. Pada awalnya, pemerintah ketika itu mengutus pemuda berkubukan betis masing-masing, namun kesemuanya mati tanpa sempat mengecap nikmat dunia. Kasihan. Lalu, muncul seorang anak kecil mengusulkan betis digantikan batang pohon pisang, dan ternyata menghindari kematian dan permasalahan mayat bergelimpangan di persisir pantai. Namun, pembesar berpendapat kebijaksanaannya mampu menggugat kedudukan pemerintah ketika itu, lalu dijatuhi hukuman ekspansi menurut Intertekstualiti dengan dihantar ke masa hadapan.

“Lalu, apakah keterlibatan kisah yang terlalu renta itu dengan anak dalam kandungan saya?”

“Berdasarkan tilikan dan renungan panjang, anak dalam kandungan datin ini merupakan entiti kebijaksanaan yang akan menuntut keadilan terhadap generasinya akan kekhilafan serta pendustaan oleh susur galur keturunan sebelumnya.”

“Sungguhkah? Kalau sebegitu Nenek Bidan mengungkapkan, saya rela tidak melahirkan, biarlah Han menjadi fetus selamanya.”

***

Dan sebegitu lama dalam kandungan, saya dilahirkan melalui rahim kebenaran. Saya dilahirkan di sebuah negeri yang akan dilanggar todak tidak lama lagi!

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Battle Royale

one two som
kau atau dia harus mati.

pemenang mendaki menara. setingkat
demi setingkat. seseorang bersedia
dengan pistol, pisau atau penumbuk,
bakal memangkah namamu
demi menyambung nadi sendiri.

kerana nyawa adalah habuk roti
atas meja, manusia saling menumpahkan
merah. dam haji, ting ting, congkak –
sebutlah apa saja permainan, kau
sekadar hiburan antik
para penguasa.

kautiba di puncak menara.
lawanmu sang pengatur permainan.
lontarkan dadu, majukan buahmu.
ke petak nasib mana akan kauhenti,
atau tali-temali masih menarikan
anggota tubuh, menyusun segala
kemungkinan tingkahmu?

A’riff Mustaffa Hamzah

Categories
BUDAYA RENCANA

Kerana bebola daging

Oleh Wan Nor Azriq

AMEERA Hanbali Jones menikam bebola daging dengan garpu dan bersedia untuk menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia belum membalas komen peminat di Instagram. Tetapi dia belum membeli pencuci muka di Watson. Tetapi dia belum menonton video terbaru Zico di YouTube. Tetapi dia belum membeli pengecas bateri di Mac City. Tetapi dia belum like gambar kucing Adira Salahudi. Tetapi dia belum komen swafoto Cupcake Aisyah. Tetapi dia belum retweet kata-kata dorongan dan motivasi Yang Amat Mulia Tuanku Permaisuri.

Tetapi Ameera terlupa nak tanya Puteri Awani semalam di mana parti hari jadinya. Tetapi dia terlupa untuk rakam video TikTok di atas tangga eskelator. Tetapi dia terlupa untuk tangkap swafoto di depan cermin tandas. Tetapi dia terlupa minum pagi tadi susu kurma di atas meja dapur dan dia terlupa jenama susu kurma itu kerana secara peribadi dia tidak minum susu kurma atau susu pisang atau susu soya atau susu badam atau susu strawberi melainkan dia dibayar untuk minumnya.

Tetapi dia patut baca doa sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut tengok orang di kiri dan kanan sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut buat Instagram Live sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut pakai gincu Marc Jacobs sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya.

Tetapi kenapa Ameera selalu rasa gelisah? Tetapi kenapa kulit tangannya semakin gelap? Tetapi kenapa hidungnya sentiasa basah? Tetapi kenapa Kim Jonghyun bunuh diri? Tetapi kenapa Haziq main dengan lelaki lebih tua? Tetapi kenapa Sofia Jane pakai bikini dalam filem Harry Boy? Tetapi kenapa Ameera cepat marah? Tetapi kenapa dia rasa semua orang dengki dengannya di Twitter? Tetapi kenapa semua orang benci sangat PU Abu?

Tetapi Ameera tidak peduli kena kecam. Tetapi Ameera tidak peduli kena pulau. Tetapi Ameera tidak peduli kena block. Tetapi Ameera tidak peduli kena unfriend. Tetapi Ameera tidak peduli kena fitnah. Tetapi Ameera tidak peduli kena saman. Tetapi Ameera tidak peduli orang samakan pipinya dengan badak air dan punggung babi.

Tetapi rekod peperiksaan Ameera sentiasa cemerlang. Tetapi Ameera selalu pakai anak tudung dan sarung kaki panjang ke sekolah. Tetapi Ameera selalu galas beg sekolah di bawah tudung dan bukan atas tudung. Tetapi Ameera tidak pernah meninggalkan solat. Tetapi Ameera sentiasa membaca ayat kursi sebelum tidur. Tetapi Ameera masuk MRSM Pasir Salak. Tetapi Ameera couple dengan pelajar terbaik MCKK. Tetapi Ameera menangis di tapak tangan Fynn Jamal selepas konsert Maskara. Tetapi Ameera ulang baca lebih daripada sepuluh kali buku puisi Sofa Biru dan Bandaraya Bougainvilla.

Tetapi Ameera ingin melihat dunia. Tetapi dia ingin menaiki gondola di Venice. Tetapi dia ingin menaiki belon panas di Cappadocia. Tetapi dia ingin minum susu coklat bersama Ruhainies di Switzerland. Tetapi dia ingin melihat konsert Sehun dan SuperM. Tetapi dia ingin minum kopi arang di Jogja. Tetapi dia ingin berbulan madu bersama bakal suaminya di atas bumbung rumah di Santorini.

Tetapi baru semalam Ameera menonton video seorang rider Panda mati kena langgar lori simen di depan Times Square. Tetapi baru semalam dia menonton video seekor kucing mati dicampak ke dalam mesin basuh kedai dobi. Tetapi baru semalam dia menonton video seekor anjing mati ditembak di dalam sangkar. Tetapi baru semalam dia menonton video seorang perempuan Cina kena cabul oleh penunggang motosikal di Kota Bharu. Tetapi baru semalam dia menonton video tular seorang perempuan Melayu yang ditahan polis kerana tidak memakai coli. Tetapi baru semalam dia terlupa tutup gas dapur sebelum keluar rumah. Tetapi baru semalam dia pijak seekor lipas sampai mampus. Tetapi baru semalam dia teringat arwah bapanya yang mati tercekik biji buah cempedak.

Tetapi baru hari ini Ameera warnakan rambutnya hijau. Tetapi baru hari ini Ameera dan Lydia menyahut cabaran “Say So” di TikTok. Tetapi baru hari ini dia mute seorang rakan sekolah rendah di Twitter. Tetapi baru hari ini dia tahu San Francisco Coffee ialah syarikat tempatan. Tetapi baru hari ini dia tahu Singapura dulu sebahagian daripada Malaysia. Tetapi baru hari ini dia tahu mantan kekasihnya dari MCKK ialah homoseksual.

Tetapi bila kali terakhir dia memandang matahari? Tetapi bila kali terakhir dia tidur tanpa iPhone di bawah bantal? Tetapi bila kali terakhir dia keluar tengah malam untuk makan nasi lemak di Petaling Jaya? Tetapi bila kali terakhir dia minum teh tarik? Tetapi bila kali terakhir dia memeluk seseorang dengan jujur? Tetapi bila kali terakhir dia tidak bercakap dengan dirinya di dalam cermin? Tetapi bila kali terakhir dia membaca novel Fixi sehingga selesai?

Tetapi Ameera suka menerima hadiah. Tetapi Ameera suka meninggalkan komen di Instagram Sharifah Amani walaupun Sharifah Amani tidak pernah membalas komennya. Tetapi Ameera suka meratah sup tulang. Tetapi Ameera suka lelaki yang pakai subang dan kasut sukan. Tetapi Ameera suka filem yang boleh membuatnya menangis. Tetapi Ameera suka Putera Harry berkahwin dengan Meghan Markle.

Tetapi Ameera tidak suka Ernie berkahwin dengan Syamel. Tetapi Ameera tidak suka kawan-kawan lelakinya yang suka muzik Iqbal M. atau SXPH atau Couple atau Ramayan atau Satwo atau Bittersweet atau Countrywolves. Tetapi Ameera tidak suka hujan turun pada hari yang cerah. Tetapi Ameera tidak suka naik teksi dengan pemandu India. Tetapi Ameera tidak suka grafiti Fahmi Reza. Tetapi Ameera tidak suka lelaki yang muka mirip Jokowi atau Ustaz Idrus. Tetapi Ameera tidak suka lelaki yang lipat duit kertas di dalam dompet. Tetapi Ameera paling tidak suka lelaki bernama Rohaizat atau Fazilah atau Ghazali atau Zubir atau Zamri atau Mazlan atau Sazali.

Tetapi adakah bebola daging ini sebenarnya daging kuda? Tetapi adakah bebola daging ini sebenarnya halal? Tetapi adakah bebola daging ini akan membuat dunia lebih aman? Tetapi adakah bebola daging ini akan menyelamatkan alam sekitar? Tetapi adakah bebola daging ini akan membuat Ameera lebih kaya dan popular? Tetapi adakah bebola daging ini sedap daripada segala jenis bebola daging?

Tetapi kalau Ameera menyumbat bebola daging ini ke dalam mulutnya, adakah Ameera kekal menjadi Ameera, atau Ameera bertukar menjadi seketul bebola daging?

Categories
BUDAYA RENCANA

Kulit moka tanah sekebun

keceroian titih kulit moka yang belum
dapat pengesahan; rampai sari
kerabu asalmula & anekaraya

usulpangkal: akulah sakar sukar—
sejarah syukur & sabar, masih lagi
belajar nama-nama seakaran angin

brehi yang memaniskan bahasa
pulang. antara pekan dipalu harum
tengkujuh; bandar diketuhari wangi

bahang utara berbau macam putih kopi—
di sinilah tempat lidah pelajari maksud
sebenar baca. dengan nama kepulangan.

dengan nama tuhanmu. dengan nama
serendah tanah sekebun.dengan nama
sebatang pokok:
aku kembali.
aku kembali.
aku kembali. kembali & kembali.

 

Jack Malik