Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantu raih pendapatan, pemandu teksi digalak sertai Seldec

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri menggalakkan pemandu teksi menyertai Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi menambah pendapatan.

EXCO pembangunan usahawan berkata khidmat penghantar barangan ditawarkan kepada 6,318 pemandu berdaftar negeri ini yang bakal menerima latihan daripada Hijrah Selangor.

“Kerajaan Negeri telah memberi komitmen untuk program e-Bazar dan e-Dapur, jadi kita boleh serap mereka menjadi sebahagian daripada kumpulan e-panggilan bermula Ramadan ini.

“Ia tiada kos tertentu sebaliknya Hijrah akan sediakan gajet dan latih mereka menggunakan alatan tersebut sebelum dibenarkan mengambil pesanan,” kata Rodziah Ismail pada majlis pelancaran agihan bakul makanan di sini hari ini.

Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga menggalakkan ahli keluarga pemandu teksi menyertai khidmat e-panggilan bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

“Kebanyakan golongan itu berusia 50 tahun ke atas dan sukar melaksanakan dua kerja, jadi kita berusaha dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keluarga mereka untuk dibantu.

“Ini yang perlu dibuat, bukan sekadar beri bantuan sekali bayar. Kita akan manfaatkan data sedia ada untuk menambah baik kehidupan ahli keluarga pemandu teksi,” katanya lagi.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan melalui jualan secara dalam talian.

Diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Seldec menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan www.seldec.com.my/en.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ, Seldec jalin kerjasama bangun e-bazar Ramadan, Raya

SHAH ALAM, 23 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini membangunkan e-Bazar Ramadan dan Raya tahun ini.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik berkata inisiatif itu dilaksana dengan kerjasama Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menerusi platform e-dapur.

“Bagi merealisasikan perniagaan ini MBSJ sediakan kursus platform e-bazar Ramadan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Mac ini di Dewan Serbaguna MBSJ, Taman Puchong Indah.

“Usaha ini bertujuan membantu belia menjana pendapatan dalam situasi norma baharu sekali gus menggalakkan penyertaan lebih ramai peniaga dalam talian serta sebagai penghantar makan MBSJ/Seldec,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Beliau berkata kursus itu memfokuskan pengenalan kepada e-bazar, transaksi secara dalam talian, peluang pekerjaan sebagai penunggang Seldec dan pinjaman kredit Yayasan Hijrah Selangor.

Terhad kepada 100 orang dengan yuran penyertaan hanya RM15. Berikut tentatif kursus berkenaan:

25 Mac 2021 (Khamis)
Siri 1 : 9.00 pagi – 10.30 pagi
Siri 2 : 11.00 pagi – 12.30 tengah hari
Siri 3 : 2.00 petang – 3.30 petang
Siri 4 : 3.30 petang – 5.00 petang

26 Mac 2021 (Jumaat)
Siri 1 : 9.00 pagi – 10.30 pagi
Siri 2 : 11.00 pagi – 12.30 tengah hari

27 Mac 2021 (Sabtu)
Siri 1 : 9.00 pagi – 10.30 pagi
Siri 2 : 11.00 pagi – 12.30 tengah hari
Siri 3 : 2.00 petang – 3.30 petang
Siri 4 : 3.30 petang – 5.00 petang

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Platform Seldec sasar 10,000 jenis makanan, barangan sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 18 MAC: Penduduk di Subang Jaya dan dan Kuala Selangor boleh melayari platform Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang memaparkan hampir 10,000 menu dan barangan sepanjang Ramadan.

Pengurus besar pembangunan perniagaan Seldec berkata program e-bazar Ramadan itu melibatkan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Aplikasi Dapur Seldec dan Dapur Seldec Rider diwujudkan khusus untuk e-bazar Ramadan disertai 1,500 peniaga di bazar dan rumah yang dibahagikan kepada 40 zon.

“Penghantaran untuk setiap zon dibuat dalam lingkungan lima hingga tujuh kilometer, kita tetapkan pesanan dihantar dalam tempoh 30 minit hingga sejam,” kata Mohd Fauzan Elham kepada SelangorKini, semalam.

Beliau berkata aplikasi Dapur Seldec dan Dapur Seldec Rider akan kembangkan
untuk peniaga pasar malam, pasar pagi dan pasar awam.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Seldec digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Seldec perlu 500 khidmat penghantar, dapat perlindungan Perkeso

SHAH ALAM, 17 MAC: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menawarkan sehingga 500 kekosongan kerja bagi penghantaran makanan dan barangan menggunakan kereta serta motosikal.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi http://dapur.seldec.com.my/join/rider/.

“Penghantar makanan bernaung di bawah Seldec juga menikmati manfaat perlindungan Perkeso dan insentif perlindungan kemalangan.

“Pekerjaan ditawarkan antara usaha membantu menambah pendapatan kerana perkhidmatan penghantaran akan meningkat menjelang Ramadan dan hari raya,” kata Mohd Fauzan Elham kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata Seldec turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Daerah Kuala Selangor untuk memasarkan produk 1,500 peniaga di bazar dan rumah sepanjang Ramadan.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Seldec digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.

Categories
AGENSI SELANGOR

Khidmat pesanan makanan dapurSELDEC akan dilancar

SHAH ALAM, 8 FEB: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) akan melancarkan khidmat penghantaran makanan panas dapurSELDEC dalam tempoh terdekat.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata sebagai permulaan, inisiatif tersebut menawarkan pesanan makanan dalam talian untuk Subang Jaya dan Shah Alam sebelum memperluaskannya secara berperingkat ke seluruh negeri.

“Kita hanya mengambil pesanan makanan dari restoran, penjaja atau rumah terlebih dahulu. Insya-Allah selepas ini akan diperluaskan untuk pasar pagi dan pasar malam.

“Perkhidmatan dapurSELDEC menetapkan tempoh penghantaran kepada pelanggan antara 30 minit hingga dua jam,” kata Mohd Fauzan Elham kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata industri perkhidmatan dijalankan secara dalam talian di negara ini dijangka terus meningkat pada tahun ini dan dijangka berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus memperkasa sektor ekonomi digital.

Sebelum ini Seldec turut menawarkan khidmat penghantaran barangan basah antaranya daging segar tempatan, ikan, ayam dan ayam kampung selain kuih tempatan, beras, minyak dan kambing perap.

Pada 13 Julai tahun lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata landasan perniagaan itu akan digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en .

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Seldec sedia khidmat hantar barangan percuma dengan belian RM30

SHAH ALAM, 29 JAN: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan basah secara percuma ke depan pintu rumah dengan pembelian RM30.

Seldec berkata tawaran sempena Thaipusam itu boleh dinikmati pengguna hari ini di samping pelanggan membuat belian RM50 dan ke atas akan memperoleh hadiah percuma.

“Pada masa sama, anda juga boleh menggunakan kod promo PASAR8 bagi mendapatkan diskaun RM8,” katanya menerusi Facebook.

Seldec memaklumkan barangan basah tersebut antaranya daging segar 100 peratus produk tempatan, ikan, ayam dan ayam kampung serta yang lain seperti kuih muih tempatan, beras, minyak dan kambing perap.

“Selain melakukan pembelian di laman sesawang seldec.com.my , orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi Seldec menerusi Google Playstore dan Apple AppStore untuk membeli-belah secara dalam talian,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

PKNS optimis depani impak Covid-19, kekal daya saing

SHAH ALAM, 30 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis untuk kekal berdaya saing mendepani impak pandemik Covid-19 dalam sektor hartanah dengan menumpukan kepada pelaksanaan Pelan Strategi Pemulihan yang dilancarkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata ekoran ‘kesuraman’ sektor hartanah sejak tiga tahun lepas ditambah dengan impak pandemik Covid-19, antara cabaran terbesar dihadapi dalam penjualan hartanah pada masa kini adalah kadar pembatalan tempahan yang tinggi berikutan syarat kelulusan ketat pinjaman.

Siti Zubaidah Abd Jabar (dua, kiri) melihat model rumah yang dipamerkan ketika pelancaran kempen promosi 48 Jam Mesti Beli@Antara Gapi Antara Gapi. Foto BERNAMA

Kesannya kata Siti Zubaidah adalah, PKNS mencatatkan simpanan stok hartanah yang tinggi iaitu sebanyak 1,297 unit bernilai RM1.1 bilion pada awal tahun ini menyebabkan berlaku kelembapan aliran masuk tunai bagi perbadanan itu.

Bagaimanapun, dengan pelbagai usaha agresif dilakukan PKNS termasuk konsep pemasaran secara digital, sebanyak 53 peratus daripada jumlah stok hartanah itu berjaya dijual namun bakinya dilihat masih tinggi.

“Keadaan semasa memberi kesan sangat hebat terhadap semua industri termasuk sektor hartanah yang dilihat mengalami penurunan jualan sehingga 19 peratus.

“Bagi mempersiapkan perbadanan ini, kami mengambil langkah melakukan kajian komprehensif terhadap Pelan Strategik 10 Tahun yang bermula tahun ini dengan menghasilkan Pelan Strategik Pemulihan sebagai langkah menangani cabaran yang dijangka dihadapi pada tahun depan dan seterusnya bagi memulihkan kedudukan kewangan serta perniagaan PKNS,” katanya kepada Bernama.

PKNS Ambil Langkah Tingkat Prestasi Kewangan

Justeru, menerusi pelan pemulihan itu, PKNS mengambil langkah meningkatkan prestasi kewangannya secara sistematik termasuk berkemungkinan mencairkan beberapa aset sedia ada bagi menampung aliran keluar tunai untuk menjana semula pendapatannya.

Ia merupakan usaha perbadanan itu untuk menurunkan kos operasi bagi mengurus risiko kewangan dengan lebih baik dan efisen.

“Seterusnya, PKNS akan memperkasa pulangan pelaburan dengan teliti demi menjamin pendapatan pada masa depan dengan memastikan setiap anak syarikat dan projek penswastaan memberi pulangan pendapatan yang tinggi.

“Perbadanan juga akan memanfaatkan peluang sinergi Kumpulan PKNS sebagai sumber nilai tambah yang akan dijayakan menerusi enam langkah iaitu kerjasama pintar, inisiatif bersasar, dasar dan polisi bersama, pemantauan berterusan di peringkat anak syarikat, pelan perniagaan lebih jelas serta pembangunan bakat di peringkat kumpulan,” katanya.

Bangunkan Rumah Mampu Milik

Selain itu kata Siti Zubaidah, PKNS juga akan memperkasa pembangunan rumah mampu milik dengan kerjasama rakan strategik melalui Pelawaan Sebut Harga atau Permintaan untuk Cadangan; melaksanakan pembangunan bersasar khas bagi golongan M40 dan perumahan penjawat awam selain menambah simpanan tanah termasuk tanah rizab Melayu.

Katanya, tawaran khidmat perunding pinjaman oleh PKNS serta kerjasama dengan pihak bank turut dilihat dapat membantu pembeli khususnya golongan B40 memiliki rumah kediaman yang pada masa sama akan mengurangkan jumlah stok hartanah dibangunkan perbadanan itu.

Mengulas lanjut, Siti Zubaidah berkata walaupun sektor hartanah dikatakan akan pulih dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi namun PKNS percaya, kaedah pendigitalan hasil impak norma baharu kini adalah praktis terbaik untuk terus meningkatkan tahap kecekapan perbadanan itu selain mampu mengurangkan kos operasi.

Perhebat Konsep Jual Dan Bina

Selain itu katanya, PKNS juga akan memperhebatkan konsep Jual dan Bina untuk menggalakkan peralihan kepada teknologi moden supaya proses reka bentuk serta pembinaan dapat dipercepatkan, yang pada masa sama dapat mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti hartanahnya.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran baharu ekoran impak pandemik Covid-19, namun beliau yakin perancangan jangka pendek itu mampu menjadi ramuan terbaik dalam memperkukuhkan semula kedudukan kewangan perbadanan tersebut bagi mencapai aspirasi Pelan Strategik 10 Tahunnya.

Mengulas mengenai simpanan tanah pula, Siti Zubaidah berkata PKNS menyasarkan kawasan di daerah Sepang dan Hulu Selangor sebagai lokasi pembangunan baharunya.

“Fokus kami buat masa ini adalah di Sepang memandangkan rangka kerja ‘Selangor Business Capital’ sebagai hub perniagaan antarabangsa akan dibangunkan di situ.

“Ia dilihat sebagai potensi yang baik untuk PKNS membangunkan penempatan dan infrastruktur di Sepang bagi melengkapi rangka kerja berkenaan untuk menjadi tarikan pelabur dalam dan luar negara,” katanya.

Tekad Bangunkan Usahawan Tempatan Depani Covid-19

Dalam pada itu kata Siti Zubaidah, selain memperkasakan sektor hartanah, PKNS juga komited membantu usahawan tempatan mendepani impak Covid-19 dengan penganjuran Bazaar Lokal sebagai platform untuk merancakkan semula perniagaan golongan berkenaan.

Katanya, bazar secara dalam talian itu buat pertama kalinya diwujudkan oleh anak syarikat PKNS iaitu PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bagi membuka peluang kepada orang ramai berbelanja di pusat membeli-belah milik PREC.

PREC juga turut menyediakan servis sokongan, bimbingan dan informasi kepada peniaga yang kurang pengetahuan dan kemahiran bagi perniagaan secara dalam talian sebelum berdaftar dengan Bazaar Lokal.

Tambah beliau, sebuah lagi anak syarikat PKNS, Selangor Industrial Corporation (SIC) juga turut melancarkan portal SELDEC bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lengkap termasuk membolehkan orang ramai mendapatkan barangan segar secara terus dari luar bandar.

“SELDEC juga bekerjasama dengan Koperasi Hijrah dalam usaha untuk membantu peniaga mengembangkan perniagaan mereka menerusi fasiliti bantuan kewangan mencecah sehingga RM50,000 tanpa sebarang caj pendaftaran kepada usahawan yang berdaftar di portal mereka,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seldec perluas operasi, sasar 1,200 penghantar barangan

SHAH ALAM, 15 DIS: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bakal memperluas perkhidmatan e-panggilan ke seluruh Lembah Klang bermula tahun depan.

Berikutan itu, pengarah projeknya berkata syarikat tersebut memerlukan seramai 1,200 pemandu dan penunggang motosikal untuk menghantar pesanan.

Md Fauzan Elham memaklumkan ketika ini Seldec hanya memiliki 50 penghantar barangan berdaftar meliputi 36 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Rawang.

“Kita bakal meluaskan perkhidmatan ke Cyberjaya, Bangi, Kajang serta daerah lain sekitar Lembah Klang, justeru kita bercadang menambah bilangan penghantar barangan secara berperingkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Inisiatif RiDE di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Pada 13 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Seldec akan digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seldec tawar penghantaran percuma sehingga 12 Disember

SHAH ALAM, 3 DIS: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menawarkan khidmat penghantaran barangan basah secara percuma sehingga 12 Disember.

Dato’ Menteri Besar berkata pengguna hanya perlu membuat pembelian serendah RM50 untuk menikmati tawaran berkenaan melalui laman web seldec.com.my.

“Penghantaran percuma ini khas untuk warga Selangor yang memesan barang basah dan keperluan dapur dengan pembelian minimum RM50,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Sementara itu, Seldec dalam kenyataan di Facebook memaklumkan penghantaran meliputi 32 kawasan seluruh Lembah Klang.

Menurut agensi itu, pembelian juga boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi melalui Google Playstore dan App Store.

Landasan perniagaan yang memasarkan produk tempatan itu dilancarkan pada 24 Jun lalu dengan 500 usahawan berdaftar setakat September.

Categories
BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

500 usahawan daftar Seldec dalam tempoh tiga bulan

BAYAN LEPAS, 11 SEPT: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) memiliki 500 usahawan dalam tempoh tiga bulan sejak dilancarkan pada Jun lalu, kata EXCO usahawan.

Rodziah Ismail berkata jumlah tersebut melebihi sasaran awal seramai 300 usahawan untuk menjalankan perniagaan menerusi platform dalam talian itu.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail bercakap kepada media ketika hadir ke Pameran Perdagangan Antarabangsa (WHOLE 2020) di Pusat Arena SPICE, Pulau Pinang pada 10 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Salah satu inisiatif Kerajaan Negeri adalah untuk mencari mereka (usahawan) yang masih tidak tahu mengenai kaedah pemasaran produk dengan baik seterusnya meletakkan usahawan ini dalam satu medium supaya boleh membuat pasaran lebih luas.

“Ini berkemungkinan ada segelintir daripada usahawan yang takut dan fobia memasuki pasaran lebih luas sedangkan Seldec ada menawarkan banyak keistimewaan serta memberi keutamaan terhadap mereka,” katanya.

Beliau ditemui pada Pameran dan Persidangan Dunia, Hospitaliti, Gaya Hidup serta Hiburan (WHOLE PENANG 2020) yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di Pusat Konvensyen Arena SPICE Pulau Pinang di sini semalam.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata menteri terbabit memuji usaha Kerajaan Selangor mewujudkan kemudahan perniagaan secara maya itu berikutan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap platform sedia ada.

“Di sini (WHOLE PENANG 2020), menteri (Nancy) tertarik dengan kewujudan Seldec tatkala kebanyakan negeri lain masih bergantung pada platform perniagaan masa kini.

“Sebaliknya, Selangor tidak perlu bergantung pada akses luar. Jadi dengan ada kemudahan ini, banyak perkara yang kita dapat fikirkan untuk program pembangunan usahawan akan datang,” katanya.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en

Antara dijual ialah barangan basah segara, makanan proses, suplemen dan pakaian.

Categories
AGENSI

Seldec jaringan peniaga pasar produk, kukuh ekonomi

SHAH ALAM, 13 JULAI: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) memastikan hasil pertanian dan produk di negeri ini dipasarkan secara meluas termasuk kawasan luar bandar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jualan secara dalam talian dengan sistem penghantaran efektif dapat mengukuhkan ekonomi penduduk setempat.

“Usahawan kini mempunyai kuasa langsung dalam menguruskan hasil produk terutama di luar bandar serta menembusi perangkap kartel yang selama ini menyebabkan petani tidak mendapat hasil setara dengan keuntungan,” katanya ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Amirudin berkata Seldec menggabungkan agensi pembangunan usahawan seperti Koperasi Warga Hijrah Selangor bagi mengurangkan jurang capaian peniaga luar bandar terhadap ekosistem pasaran dalam talian.

Seldec yang diterajui oleh Selangor Industrial Corporation (SIC) dilancarkan pada 24 Jun lalu menyasarkan 7,800 peluang kerja pelbagai sektor dalam tempoh lima tahun.

Landasan perniagaan itu kini memiliki 395 peniaga dan menerima sambutan menggalakkan terutama belia yang hilang pekerjaan dengan sasaran sekurang-kurangnya 1,000 orang berdaftar dalam tempoh tiga tahun.

Categories
EXCO SELANGOR

Usahawan digalak sertai Seldec, tingkat upaya pasaran dalam talian

PETALING JAYA, 3 JULAI: Usahawan digalakkan menyertai program Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi meningkatkan keupayaan sistem perniagaan dalam talian.

EXCO Usahawan berkata peniaga tidak boleh bergantung penjualan gerai secara fizikal semata-mata sebaliknya perlu meneroka peluang perniagaan melalui medium itu.

“Mereka (usahawan) boleh mendaftarkan diri lebih-lebih lagi kita sudah memiliki platform tersendiri yang membantu memperluaskan rangkaian perniagaan.

“Kita mahu wujudkan lebih banyak pusat pengumpulan (barangan) misalnya di Petaling Jaya terdapat banyak hasil daripada biokompos dan mungkin akan dipasarkan ke tempat lain, jadi kena ada penghantar serta tempat pengumpulan yang sudah dibincangkan bersama Seldec,” kata Rodziah Ismail.

Bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Pagi SS2 MBPJ hari ini, Rodziah turut menjangkakan seramai 7,800 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi rangkaian Seldec Rider.

“Justeru, Seldec akan memastikan rangkaian lebih besar di seluruh Selangor dapat diwujudkan dan paling penting sistem ini boleh menampung barangan agak sensitif seperti pemprosesan antaranya aiskrim dan kek,” katanya.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) dilancarkan pada 3 Oktober tahun lalu bagi menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en

Manakala Seldec Rider dilancarkan pada 20 Jun lalu yang mempelawa belia berusia 21 tahun ke atas menyertainya bagi menambah pendapatan.