Categories
NASIONAL

Seleweng PRU13 : SPR Perlu Bersemuka Dengan Rakyat

rafizi 01

PETALING JAYA, 29 MEI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersemuka dengan rakyat bagi menjelaskan semua dakwaan dan laporan polis berkaitan penyelewengan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kesediaan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar  bertemu dengan mana-mana pihak termasuk jawatankuasa #siasatPRU13 adalah suatu yang lucu.

“Saya agak lucu apabila tiba-tiba Datuk Wan Ahmad beriya-iya nak jumpa dengan saya dan wakil-wakil dari Pakatan Rakyat (PR) untuk berbincang,” katanya.

Rafizi mendakwa, pimpinan PR  mengadakan perbincangan bersama SPR berkali-kali tetapi tiada perubahan dilakukan sehingga PRU-13 berakhir.

“Dulu dia kata dakwat kekal boleh kekal, bila tak kekal sebab tak goncang, bila dah goncang tapi masih tak kekal dia cakap kalau kekal tak boleh solat.

“Dia ada lima versi yang berbeza untuk setiap satu penyelewengan yang kita sudah tunjukkan bukti.

“Dulu dia kata tak ada satu pun ‘blackout’ di Malaysia ini, bila tunjukkan laporan polis semalam, dia kata tak apalah nanti kita bincang,” sindirnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

“Saya sendiri hanya bersetuju berjumpa dengan beliau (Wan Ahmad) dalam satu forum rakyat yang mana beliau (Wan Ahmad) mengambil dan menerima soalan daripada rakyat.

“Terutama mereka yang melalui sendiri pelbagai penyelewengan ini dan kami akan kumpulkan dalam satu forum, biar dia (Wan Ahmad), saya, Datuk Johari Abdul, YB Fuziah duduk, biar rakyat tanya dan dia jawab, itu lebih baik,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Rafizi : PR Kumpul Laporan Dakwat Tak Kekal

rafizi ramli

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menggerakkan kempen  mengumpulkan laporan polis dari seluruh negara mengenai dakwat tidak kekal yang didakwa berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu sebagai bahan bukti wujudnya penipuan dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menjelaskan #siasatpru13 menggesa rakyat turut serta dalam kempen tersebut dengan membuat laporan polis.

Menurutnya, #siasatpru13 mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenai dakwat kekal sebagai bukti kemarahan rakyat terhadap kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendalikan PRU13 dengan telus dan bersih.

“Satu salinan laporan polis itu boleh diemailkan ke [email protected] atau serahkan kepada mana-mana wakil rakyat PR atau di pejabat PKR, PAS serta DAP atau ibu pejabat PKR di A-1-09, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, 47410 Petaling Jaya atau faks : 03 – 7885 0531.

“Dakwat kekal yang tidak kekal bakal menjadi petanda bahawa PRU13 dikendalikan SPR adalah tidak telus dan dipenuhi penipuan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hakikatnya SPR tidak dapat menunaikan janjinya bahawa dakwat tersebut akan kekal sekurang-kurangnya lima hari dari tempoh pengundian melunturkan keyakinan rakyat terhadap SPR di bawah pimpinan sedia ada berwibawa untuk mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil.

“Kegagalan pelaksanaan dakwat kekal adalah satu simbolisme kegagalan SPR yang perlu ada pertanggungjawaban,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Rafizi Kemuka Saksi Wujud Pengundi Hantu Dalam PRU-13

rafizi

PETALING JAYA, 20 MEI: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini  mengemukakan lapan saksi yang dinafikan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Kesemua mereka ini mendakwa  nama mereka terlebih dahulu digunakan orang lain untuk mengundi.

Menurut Rafizi selain membuat laporan polis, mereka juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Lapan individu tersebut, setiap seorang merupakan pengundi bagi Parlimen Sungai Petani, Rembau, Kuala Selangor, Kemaman, Tumpat, Shah Alam dan dua di Serdang.

“Mereka yang buat laporan ini tidak diarahkan, mereka juga bukan orang parti, tetapi bertindak disebabkan marah terhadap penipuan ini,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square di sini.

Rafizi turut menolak andaian bahawa kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal, disebabkan semasa cuba mengundi semakan dua, tiga orang kerani di tempat mengundi, semuanya menunjukkan nama mereka sudah dipotong, bermakna seseorang sudah mengundi menggunakan nama mereka.

“Kalau cuma seorang sahaja kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong namanya, mungkin kita boleh percaya ia kesilapan teknikal kerani yang seorang itu, tetapi semua kerani dah potong nama pengundi terbabit.

“Ini sekaligus membuktikan bahawa Mykad palsu dan pengundi hantu itu memang wujud,” katanya lagi.

Rafizi turut memberitahu pihak yang membuat laporan tersebut sebelum ini tidak pernah kehilangan Mykad masing-masing.

SPR tidak wajar menjadikan alasan lapan pengundi tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana menurut Rafizi ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara ini.

Selain pengundi yang tampil membuat laporan polis, #Siasatpru13 yang diketuai Rafizi turut menerima video dan foto dari orang ramai yang boleh dijadikan bukti penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Rafizi menambah, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan dua badan yang bertanggungjawab terhadap penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13 lalu.