Categories
SELANGOR

RM41.8 juta duti hiburan setakat September

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sejumlah RM41.8 juta berjaya dikutip Kerajaan Negeri menerusi Duti Hiburan, setakat 30 September lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, ia meliputi 74 peratus daripada jumlah diunjurkan tahun ini, RM56.5 juta.

Katanya, kutipan RM38.4 juta diperolehi daripada duti hiburan panggung wayang sementara baki RM3.4 juta daripada taman tema, pertunjukan pentas, konsert, perlumbaan kereta dan motosikal serta lain-lain.

“Kutipan hasil duti hiburan pada tahun semasa mengalami penuruan sebanyak RM2.5 juta berbanding 2016.

“Antara faktor utama ialah kurangnya sambutan penonton terhadap tayangan filem tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung prestasi kutipan duti hiburan.

Ean Yong yang juga ADN Seri Kembangan berkata, Kerajaan Negeri bercadang menyediakan garis panduan berhubung pengeluaran lesen hiburan kepada pusat sukan rekreasi yang menyediakan permainan sukan lasak.

Katanya, ia termasuk All Terrain Vehicle (ATV) dan aktiviti sukan air serta ‘indoor theme park’ dengan permainan seperti ‘water climbing’ dan ‘trampolines’.

“Pengusaha premis ini mengenakan bayaran fi kepada pengunjung yang menggunakan fasiliti mereka.

“Premis diberi lesen Pusat Sukan Persendirian dan tidak tertakluk kepada Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103),” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor sedia laksana pengangkutan awam komprehensif

 

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri bersedia melaksanakan satu sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan efisien menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri turut mengadakan mesyuarat khas teknikal berkenaan projek berkaitan pengangkutan awam seperti pembinaan LRT3 bagi mengatasi masalah yang timbul.

“Kita membuat mesyuarat khas teknikal di peringkat PBT bagi pihak pelaksanan pengangkutan awam yang dilaksanakan sekiranya pihak pemaju menghadapi masalah dalam proses pembinaan tersebut.

“Pelan Induk Pengangkutan Awam (PIPA) sudah siap dan telah diserahkan salinan kepada agensi-agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dato’ Mohd Shamsudin Lias di Dewan Negeri Selangor, Penggal ke 13, hari ini.

Chang Kim berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelesaikan masalah kesesakan di bandar-bandar utama Selangor termasuk melaksanakan bas Smart Selangor dengan menyambungkan laluan bas tersebut di semua stesen KTM, LRT dan MRT sedia ada.

“Penyelidikan dari pelbagai aspek juga di ambil kira supaya pelan ini dilihat relevan pada masa hadapan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Selangor terus tarik keyakinan pelabur asing

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 6 NOV: Amalan dasar pentadbiran Kerajaan Negeri yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti memberi keyakinan kepada pelabur asing melabur di Selangor selain mengembangkan pelaburan sedia ada.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, antara langkah diambil ialah meningkatkan usaha promosi di luar negara seperti menggalakkan pelaburan ke luar negara di samping mempromosikan peluang pelaburan melalui media cetak dan elektronik.

“Hubungan ‘networking’ dengan agensi berkaitan juga akan diwujudkan serta menganjurkan ekspo dan forum bertaraf antarabangsa. Kawasan perindustrian akan dikelaskan mengikut standard kawasan perindustrian bagi menyediakan kawasan perindustrian kondusif mengikut keperluan industri,” katanya.

Katanya, peranan Unit Pelaburan PBT turut diperkasakan bagi membantu pelabur selain menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan kawasan perindustrian di setiap PBT.

“Bagi membantu menyelesaikan isu-isu kawasan perindustrian dihadapi pelabur di peringkat PBT, Mesyuarat Industrial Park Management Committee (IPMC) juga akan diadakan.

“Hala tuju pembangunan perindustrian itu dirangka melalui majlis mesyuarat ditubuhkan seperti Selangor Information Technology & E-commerce Council (SITEC), Halal International Selangor Council, Selangor Aerospace Council dan Bio Tech Council,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan di Dewan Negeri Selangor, Penggal ke 13, pagi ini.

Categories
SELANGOR

ADN BN gagal faham misi pelaburan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan gagal memahami konteks pelaburan yang giat dilaksanakan Kerajaan Negeri kini.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar terbuka kepada China untuk menggalakkan pelaburan dari luar ke negeri ini.

“Kalau kita tidak faham, janganlah tunjukkan kejahilan kita. Kerajaan Negeri melihat, China sebagai sebuah negara berpotensi untuk merealisasikan misi pelaburan Selangor.

“Kita tidak boleh nafikan China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia, dan kita kini melihat wujudnya peluang pelaburan itu.

“Justeru, Selangor merancang melihat apakah jenis pelaburan bersesuaian di Selangor contohnya dalam pelaburan teknologi tinggi, Smart City, Aerospace atau E-Commerce,” katanya.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri tidak melaksanakan dasar penjualan tanah kepada pelabur luar sebagaimana yang berlaku di peringkat Persekutuan kini.

Beliau mendakwa, wujudnya penjualan tanah kepada pelabur luar yang dianggap taktik kotor dalam menggalakan pelaburan negara luar ke Malaysia.

“Kita tidak melutut kepada rakyat negara lain, Selangor mencari pelaburan. Apabila China memilih untuk melebarkan jaringan pelaburan mereka di luar negara, Selangor menggalakkan pelaburan di sini.

“Kita bukan ikut cara negeri lain, mereka jual tanah tanpa buat tapak perindustrian kepada pelabur. Mereka jual tanah, contohnya di Pahang ada tanah rakyat sendiri tak boleh masuk sebab tanah sudah dijual kepada pelabur,” katanya.

Terdahulu, Selangor berhasrat menjadi rakan kongsi dagangan aktif China memandangkan negara tembok besar itu merupakan antara pelabur utama dengan nilai terkumpul hampir RM3.2 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri mengalukan hubungan lebih kukuh memandangkan pelabuhan kontena tersibuk kedua di ASEAN, Pelabuhan Klang adalah kunci kepada pertumbuhan perdagangan strategik antara Selangor dan Guangdong.

Categories
SELANGOR

Skim Bantuan Am Kebajikan naik mulai Januari lalu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor (JKMS) menyalurkan Skim Bantuan Am Negeri dengan tiga kadar bantuan baru iaitu RM250, RM300 dan RM350 sebulan kepada penerima yang layak.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, kadar maksimum bantuan yang disalurkan kepada setiap penerima bantuan adalah RM350 sahaja bagi satu keluarga.

Katanya, JKMS berpandukan kepada Garis Panduan Pengurusan Bantuan Am Negeri yang menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi seisi keluarga adalah RM1,500 atau per kapita RM350 sebulan.

“PGK dan kadar Bantuan Am Negeri baru ditingkatkan dan berkuatkuasa mulai Januari 2017.

“Bagi individu atau keluarga yang tidak mempunyai keupayaan sara diri dan tiada pendapatan, maka mereka sememangnya layak menerima bantuan itu berdasarkan kelayakan semasa.

“Kerajaan Negeri tidak bercadang menaikkan lagi kadar Bantuan Am Negeri dalam masa terdekat kerana ia baru dinaikkan mulai awal 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San berhubung Skim Bantuan Am Kebajikan, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Daroyah yang juga ADN Sementa berkata, penerima bantuan am juga layak menerima manfaat daripada bantuan kebajikan Kerajaan Negeri menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Antaranya, Skim Peduli Sihat, Bantuan Kesihatan Sihat Selangor, Bantuan Bulanan Smart Selangor Food Stamp, Program Mikrokredit Bersepadu Hijrah Selangor dan banyak lagi,” katanya.

Categories
SELANGOR

23 projek hotspot gantian paip lama seluruh Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : 23 projek hotspot gantian paip lama di seluruh negeri giat dibangunkan dengan kesemua projek berkenaan bakal siap pada suku tahun pertama 2018.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, untuk tempoh sehingga September lalu, 24 projek hotspot baru diberikan kepada kontraktor berjaya menerusi tender terbuka.

“Baki 27 hotspots lagi akan dilaksanakan pada 2018 tertakluk kepada baki pinjaman RM93.70 juta yang dikeluarkan lebih awal oleh Kerajaan Negeri pada 2018 dan bukannya pada tahun 2019 seperti yang dijadualkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak di Dewan Negeri Selangor, Penggal ke 13, pagi ini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri kini berjaya mengatasi masalah Non Revenue Water (NRW) seluruh negeri.

Katanya, pengambilalihan Air Selangor bagi pengurusan air negeri sejak 2015, 32.56 peratus penjimatan NRW dapat dikurangkan.

Jumlah berkenaan berkurang berbanding 31.4 peratus bagi tempoh sehingga September 2017.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan perbelanjaan RM50 juta, bagi mengatasi masalah kebocoran paip.

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menanggung kerugian air tidak berhasil (NRW) sebanyak RM1.821 juta akibat kecurian air dari 1 Januari sehingga 24 Mei, tahun lalu.

Jumlah itu diperoleh hasil daripada 261 notis dikeluarkan SYABAS membabitkan kes kecurian air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Pada masa sama, jumlah tersebut meliputi pengunaan air sebanyak 587,011.67 meter padu bagi tempoh sehingga Mei.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan NRW sebanyak 25 peratus mampu dicapai bagi tempoh 2016 lalu.

Iskandar : Keuntungan Projek Mewah Biayai Rumah Mampu Milik

datum-jelatek-pix

SHAH ALAM 2 JULAI : Keuntungan daripada projek mewah Datum Jelatek yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan disalurkan bagi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata PKNS menggunakan keuntungan yang diperoleh daripada projek seperti Datum Jelatek bagi membiayai projek seperti perumahan terbengkalai Bukit Botak.

“Secara keseluruhannya seperti di Bukit Botak, PKNS telah membelanjakan RM 70 hingga RM 80 juta untuk selesaikan masalah di kawasan itu.

“PKNS juga telah selesaikan masalah di Bangi dengan pembinaan RMM di mana subsidinya sahaja menjangkau RM 12 juta.

“Bagi dua projek di Bukit Botak dan Bangi, PKNS telah membelanjakan subsidi hingga RM 82 juta.

?Maka itu sebabnya PKNS perlu membuat rumah dengan kos yang lebih tinggi di kawasan lain,” katanya kepada media selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ditangguhkan di sini hari ini.

Iskandar menjelas kos jualan sebuah unit RMM adalah RM 99,000 sedangkan kos membinanya adalah RM 130,000.

Projek Datum Jelatek menjadi hangat apabila terdapat pihak yang mempertikaikannya dengan mendakwa Kerajaan Negeri membelakangkan kepentingan rakyat kerana projek itu dianggap mewah.

Hari ini satu memorandum diserahkan Badan Bertindak Datum Jelatek diketuai Salleh Samad kepada Kerajaan Negeri bagi membantah projek tersebut.

Mengenai perkara itu, Iskandar berkata, sewajarnya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberi ruang bagi menjelaskannya dengan lebih lanjut.

“Isu ini berkaitan PKNS. Saya rasa biarlah Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS memberikan jawapan,” katanya.