Categories
SELANGOR

Peruntukan pengurusan pejabat ADUN Selangor kekal

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk menaikkan peruntukan pengurusan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada RM10,000 kepada RM30,000 setahun.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan mesyuarat exco bertarikh 4 September 2013 meluluskan bayaran RM10,000 sebulan yang dibayar terus melalui Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penyelarasan bayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tiga pembantu tadbir termasuk bayaran utiliti.

DUN wide 01 Selain itu, katanya, peruntukan RM20,000 untuk pengubahsuaian pejabat diberikan lima tahun sekali dengan peruntukan ADUN.

“Melalui peruntukan ADUN, siling bagi perbelanjaan pengurusan mereka adalah RM10,000 setahun seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 tahun 2013 Garis Panduan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan Ahli Dewan Negeri.

“Peruntukan itu boleh digunakan untuk sewa ruang pejabat, penyewaan mesin fotostat, pengubahsuaian pejabat, pembelian mesin cetak dan lain-lain.

azmin“Kerajaan Negeri tidak bercadang menaikkan peruntukan seperti yang dicadangkan,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Noor Hanim Ismail (PAS-Sri Serdang).

Tegas Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian untuk tidak mengemukakan bajet tambahan untuk tahun 2015.

Sebelum itu, Gan Pei Nei (PKR-Rawang) dan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) turut bangun mencadangkan perkara sama kerana bayaran sewa pejabat mereka sahaja kira-kira RM1,700 sebulan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri bakal tempatkan sektor ekonomi di luar bandar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Negeri dalam perancangan menempatkan sektor perindustrian di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam dan Sekinchan dalam usaha melonjakkan ekonomi luar bandar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata usaha itu pasti membuka banyak peluang kepada golongan muda mendapat pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandar.

Beliau berkata, pihak pengusaha dan pengilang mula memberi reaksi positif dengan mengambil kira kemudahan infrastruktur dan prasarana yang akan dibangunkan di kawasan berkenaan walaupun masih dalam perancangan.

SIDANG DEWAN UNDANGAN“Mereka jangka apabila jalan raya Banting-Taiping mula siap dalam tiga hingga lima tahun akan datang, kawasan Sabak Bernam dan sekitarnya pasti akan membangun.

“Tetapi, kita perlu memastikan bahawa pembangunan yang ingin dilakukan di sana tidak menyentuh tanah tanaman padi yang berkeluasan 19,000 hektar supaya pendapatan daripada hasil padi tidak terganggu,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkenaanrancangan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan ekonomi luar bandar.

pertanianAbdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan perancangan melengkapkan rumah petani di kawasan luar bandar dengan barangan pertanian lengkap.

“Seperti di Taiwan, setiap petani lengkap di rumahnya dengan alat seperti generator, traktor dan alatan lain yang mampumenambah produktivi hasil pertanian.

“Namun, perkara ini perlu mengambil kira isu pelaburan kerana harga produk pertanian tidak menentu, adakala naik dan turun. Jadi ramai takut melabur,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DNS usul Kerajaan Negeri tuntut tunggakan dividen FELCRA

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Negeri digesa menjalankan usaha menuntut dividen daripada FELCRA demi kepentingan rakyat miskin yang tertunggak sejak 1997.

Usaha itu dijalankan selaras dengan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ketika memberikan kebenaran kepada FELCRA bagi memulihkan tanah terbiar untuk diusahakan sebagai ladang kelapa sawit dan getah.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Basmi Kemiskinan Selangor, Saari Sungib (PAS-Hulu Klang) berkata, tunggakan dividen itu nanti akan digunakan bagi membiayai program basmi kemiskinan di negeri berkenaan.

saari sungib sidang dun blue 01“Terdapat 932.45 hektar yang diusahakan FELCRA dengan tanaman sawit dan getah kerana sepatutnya dividen itu perlu diagihkan kepada rakyat Selangor yang layak.

“Bagaimanapun, ini tidak dilakukan tetapi hasilnya hanya masuk ke akaun atau tabung milik FELCRA,” katanya ketika ditemui Selangor Kini, di sini, semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri dicadangkan supaya menyalurkan kepada 761 keluarga miskin bagi dividen bagi tahun semasa pula.

Beliau menjangkakan keluarga peserta yang layak akan menerima dividen hasil tanaman lot masing-masing sehingga proses penanaman semula yang dijangka, pada tahun 2025.

“Jumlah dividen tahunan bagi tanah seluas 1.22 hektar dianggarkan lebih kurang RM1,200 hingga lebih RM2,000 bergantung kepada jenis tanaman dan harga semasa,” katanya.

Saari berkata, Kerajaan Negeri akan menggariskan beberapa kriteria bagi memastikan peserta yang benar-benar layak tanpa dipengaruhi unsur politik seperti amalan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Yaakob MB petani buah 01aari juga menganggap kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyatakan bahawa usul itu adalah praktikal sebagai isyarat positif daripada Kerajaan Negeri.

Terdahulu dalam persidangan DNS, Saari membentangkan usul di bawah dasar membasmi kemiskinan rakyat, menggesa Kerajaan Negeri untuk menjayakan program pembangunan ladang dengan mengagihkan kepada golongan miskin setempat yang layak ke atas lot kosong yang dimajukan FELCRA di Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kawasan lapang, tanah rizab pangsapuri kos rendah jadi tempat letak kereta

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Penduduk pangsapuri kos rendah boleh memohon kawasan lapang atau tanah rizab berhampiran untuk dijadikan tempat letak kereta.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mempertimbangkan permohonan yang dihantar.

Katanya, permohonan itu akan dipertimbangkan mengikut kesesuaian dan keperluan serta bukan diluluskan secara automatik.

iskandar samad dun“Contohnya, sebelum ini Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meluluskan kawasan lapang Pangsapuri Seri Tanjung menjadi tempat letak kereta.

“Pembinaan kemudahan itu juga dibuat menggunakan peruntukan CERIA (Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan) berjumlah RM317,998,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkenaan sama ada kawasan lapang boleh dimohon menjadi kawasan letak kereta.

Pada masa sama, Iskandar turut memaklumkan peraturan baru dengan menetapkan satu unit tempat letak kereta disediakan bagi setiap satu unit kediaman kos rendah termasuk peraturan menambah 20 peratus untuk tetamu.

“Ini berbeza dengan peraturan lama yang tetapkan satu tempat letak kereta bagi dua unit kediaman selain tambahan 20 peratus untuk pelawat. Peraturan baru ini adalah untuk memastikan masalah kesesakan tidak berulang,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

BN berlagak hero, halang usaha Kerajaan Negeri bantu rakyat miskin

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APRIL: Pemimpin Barisan Nasional (BN) cuba mengelabui mata rakyat Selangor dengan berlagak sebagai pendekar yang memperjuangkan hak rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Sue Lim, berkata realitinya BN hanya berjuang untuk keuntungan diri sendiri dan kepentingan politik.

“Isu ini berlaku sudah 40 tahun. Kita jangan lupa Sungai Panjang ketika itu adalah mantan Menteri Besar tetapi kenapa isu ini tidak diselesaikan.

sidang dun bersidang 4“Ini kerana, cara penyelesaian BN mengambil kepentingan politik, bukan menyelesaikan masalah tanah bagi jangka masa panjang untuk kepentingan rakyat.

“Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) cuba menyelesaikan secara profesional, mereka cuba jadi hero dan pendekar konon perjuangkan rakyat miskin,” kata Sue Lim di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sue Lim berkata demikian ketika mengulas dakwaan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi bahawa Kerajaan Negeri mengambil alih tanah yang diterokai penduduk sejak 40 tahun lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri wajar bertindak memastikan tanah terbiar diberikan kepada rakyat miskin yang mampu mengusahakan projek pertanian.

pertanian1jambatanBeliau berkata, langkah itu dapat membantu golongan miskin yang berminat menjalankan kegiatan pertanian bagi meningkatkan sumber pendapatan, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan tegar.

“Kalau tidak, kita asyik memberi wang sumbangan dan tidak membantu mereka. Cara terbaik adalah didik mereka berdikari.

“Langkah memberi wang hanya sekejap sahaja dan selepas itu sudah habis,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ADUN perlu pantau kawasan, elak pembangunan di tempat tidak sepatutnya

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor diingatkan menjaga dan memantau kawasan masing-masing bagi memastikan tidak berlaku sebarang pembangunan (Rancangan Tempatan) kawasan luar bandar di tempat yang tidak sepatutnya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia berikutan banyak laporan yang diterima daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak kebelakangan ini berhubung masalah ‘salah buat pembangunan’ di kawasan yang tidak dibenarkan.

Katanya, Kerajaan Negeri menetapkan tidak ada sesiapa boleh mengguna atau membenarkan tanah digunakan untuk tujuan pembangunan di luar kawasan ‘zoning’ selaras dengan Seksyen 18 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 atau Akta 172.

sidang dun bersidang 5“Saya mengingatkan ADUN apabila menjaga kawasan perlu juga melihat perancangan bandar (rancangan tempatan) yang terkini untuk mengetahui sama ada kawasan itu mempunyai hak untuk dibangunkan atau tidak kerana ramai orang tidak mengikut peraturan ‘zoning’.

“Rancangan Tempatan ditentukan sama ada kawasan itu adalah kawasan bandar atau luar bandar dan setiap kali perubahan ‘zoning’ berlaku, terdapat pengumuman serta pendengaran awam supaya pemilik tanah dapat memberikan pandangan mereka berkenaan ‘zoning’ yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Lai Nyuk Lan (DAP-Sungai Pelek) berhubung ‘zoning’ pembangunan luar bandar pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, kebiasaannya tanah yang dizonkan di kawasan bandar untuk kegunaan komersial dan perumahan adalah lebih tinggi daripada tanah kawasan pertanian.

“Cukai tahunan juga adalah berbeza untuk setiap tanah yang dizonkan ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan negeri beri tempoh hingga 21 April cari tapak baru buang sampah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga 21 April ini kepada kilang pelupusan sampah di Kampung Pasir Baru, Semenyih untuk memindahkan lokasi pembuangan ke tempat lain kerana menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata terdapat kerosakan yang berlaku dalam kilang pemprosesan sampah terbabit sehingga menyebabkan sampah terpaksa dikumpulkan di luar kilang.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengarahkan kilang terbabit supaya menjalankan kerja pembaikan supaya masalah itu tidak berlarutan untuk jangka masa panjang.

khalid“Kita akan meminta kilang itu meneruskan pembaikan, tetapi kita terpaksa alihkan sampah bertimbun di kilang itu ke tempat lain kerana jika tidak, ia akan mengakibatkan kerja memproses sampah memakan masa yang lama.

“Kosnya (pembaikan) akan ditanggung oleh kilang berkenaan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj),” katanya.

Terdahulu, penduduk di Kampung Pasir Baru, Semenyih bertindak menghalang lori sampah daripada menggunakan laluan di kampung itu untuk ke sebuah kilang pelupusan yang didakwa menyebabkan masalah bau busuk dan kotor.

Difahamkan, kira-kira 100 penduduk bertindak sedemikian bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang yang menyebabkan pihak polis terpaksa mengawal keadaan.

Media melaporkan, lori berkenaan tidak berjaya melalui jalan terbabit dan terpaksa berpatah balik ekoran sekatan daripada penduduk.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Rampasan Bible dilaksana mengikut undang-undang, tidak ada agenda lain

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekali lagi menegaskan tindakan Kerajaan Negeri berhubung isu rampasan Bible dilakukan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, keputusan semasa dibuat berasaskan kedudukannya sebagai ketua pentadbiran negeri dan bukan atas agenda lain.

Katanya, tindakan merujuk kepada Peguam Negara (AG) juga dilakukan atas nasihat pegawai undang-undang negeri sementara menunggu sebarang keputusan selanjutnya.

IMG_8932“Saya menjalankan satu tugas, sebagai orang yang memimpin negeri kena ambil kira kepentingan undang-undang dan pentadbiran.

“Keputusan juga perlu mengambil kira peranan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) dan MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) dalam kerja yang kita lakukan,” katanya pada sidang media di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu Kerajaan Negeri bertindak lebih tegas seterusnya memulangkan semula kitab Bible yang dirampas.

Pada awal tahun ini, JAIS bertindak merampas lebih 300 kitab Bible dalam Bahasa Melayu daripada premis Persatuan Bible Malaysia (PBM).

bible bahasa melayuMenjawab soalan lain, Abdul Khalid juga menafikan tindakan menanti keputusan AG dibuat sebagai satu teknik ‘permainan selamat’ dalam menghadapi pemilihan PKR yang bermula hujung bulan ini.

“Saya jalankan tugas ini dan tidak ada kaitan dengan pemilihan, sebab kalau tidak betul, ada juga tidak marah dan sokong. Jadi, saya akan buat secara tertib dan teratur dalam menangani isu ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor belanja RM1.93 juta biaya Program Kesihatan Rakyat Miskin

Oleh:NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntukkan sRM500,000 setahun bagi membiayai Program Bantuan Kesihatan Rakyat Selangor yang disalurkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan dilaksanakan, sejak 2009.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi, berkata sehingga kini Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM1.93 juta bagi tujuan berkenaan.

“Antara bantuan rawatan yang diberikan adalah dialisis, katarak, pembedahan kecil dan rawatan lain serta kaki palsu.

Dr Daroyah DNS“Kerajaan Negeri lebih memfokuskan program ini kerana didapati berjaya memberi kesan kepada rakyat miskin,” katanya ketika menjawab soalan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Statistik jumlah penerima bantuan juga menunjukkan peningkatan sejak program itu mula dilaksanakan apabila pada 2010 sejumlah 114 penerima dengan pembiyaan RM211,308 disalurkan dan 201 orang penerima dengan membabitkan pembiayaan RM408,660, pada 2011.

Manakala, pada 2012 sejumlah 255 orang dengan jumlah pembiyaan RM561,000 dan 2013 pula membabitkan 298 penerima dengan pembiyaan RM611,823 disalurkan.

Sementara itu, sehingga kini Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM139,780 bagi membiayai bantuan kesihatan seramai 61 penerima daripada golongan miskin di Selangor untuk tahun ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pembantu khas isteri MB dilantik bantu lancar tugas

SHAH ALAM, 16 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengaku isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) mempunyai pembantu khas yang digaji Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saari Sungib (PKR-Hulu Klang) yang inginkan pengesahan berkenaan sumber peruntukan yang digunakan bagi tujuan pembayaran gaji pembantu khas itu.

Abdul Khalid berkata, terdapat peruntukan kepada pembantu khas berkenaan sebagai sebahagian daripada kemudahan yang diberi kepada Ahli Lembaga Pengarah MBI.

sidang dun 02“Pembantu khas berkenaan dilantik bertujuan membantu tugas isteri menteri besar membabitkan program kemasyarakatan dan sosial. Tidak salah isteri menteri besar mempunyai pembantu khas untuk membantu melancarkan tugas beliau,” katanya di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, jawatan pembantu khas berkenaan adalah lantikan secara kontrak selama dua tahun dan akan disemak setiap dua tahun berikutnya, namun tidak mendedahkan jumlah gaji yang diterima.

Abdul Khalid berkata, PEKAWANIS yang dianggotai wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan Dewan Negara termasuk speaker DUN serta isteri wakil rakyat menjalankan pelbagai aktiviti, yang mana maklumatnya boleh diperoleh daripada laman web Kerajaan Negeri.

saari sungib sidang dun blue 01Saari kemudian memuji ketelusan Abdul Khalid dan turut mengajukan soalan sama ada pembantu khas terbabit menerima bonus selaku kakitangan MBI.

Abdul Khalid secara berseloroh berkata, pembantu khas itu tetap menerima bonus seperti kakitangan MBI yang lain walaupun isterinya tidak bercadang berbuat demikian.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM lawat Sidang DNS

SHAH ALAM, 16 APRIL: Dewan Negeri Selangor (DNS) menerima lawatan sambil belajar 20 orang pelajar tahun akhir Syariah dan Undang-Undang dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, semalam.

Lawatan terbabit bertujuan untuk mendalami proses pembelajaran teori subjek berkenaan Sistem Perundangan Di Malaysia, Undang-Undang Perlembagaan dan Falsafah Perundangan.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Dr Muzaffar Syah Mallow, berkata pelbagai faedah berjaya diperoleh pelajar terbabit sepanjang sesi lawatan antaranya melihat sendiri proses perjalanan sesi persidangan DNS serta memperlajari pengunaan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan negeri.

dewan-dun-selangor“Melalui sesi lawatan ilmiah ini, pelajar juga dapat membezakan segala peruntukan yang diperuntukkan untuk kerajaan persekutuan serta negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Ia adalah satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.

Katanya, pelajar terbabit diharap dapat meningkatkan lagipemahaman mereka berkenaan perjalanan pentadbiran negara yang mengamalkan konsep federalisme melalui peruntukan undang-undang yang wujud di Malaysia melalui sesi lawatan ilmiah terbabit.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: ‘Saya tidak campur urusan editorial Selangor Kini’

Oleh: LiZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau tidak mencampuri urusan editorial akhbar rasmi Kerajaan Negeri, Selangor Kini.

Beliau memaklumkan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pengurusan editorial Selangor Kini selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri yang sentiasa menjunjung dasar kebebasan akhbar.

Katanya, Kerajaan Negeri juga bersedia melakukan ‘indicator’ bagi menunjukkan pecahan berita yang dikeluarkan akhbar berkenaan.

03“Secara kerjanya, saya tidak mencampuri urusan editorial kerana kita percaya pada dasar kebebasan akhbar.

“Tetapi, saya akan mengadakan perbincangan bersama ahli lembaga pengarah untuk mengesyorkan penyediaan data berhubung berapa banyak (berita) Menteri Besar keluar dan membentangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafie berhubung dakwaan terdapat dasar yang bersifat selektif dalam pemilihan berita dengan mengenepikan berita yang disebut sebagai ‘kritikal’.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang berkata, beliau akan mencadangkan kepada pihak pengurusan Selangor Kini mewujudkan ruangan khas untuk memberi peluang setiap wakil rakyat muncul dalam akhbar itu.

Sementara itu, menjawab soalan lain, beliau berkata akan mengarahkan kos lewat bayar disertakan bersama bayaran tunggakan kos pengedaran akhbar Selangor Kini.

“Saya akan minta diselesaikan kos lambat bayar kerana daripada segi peruntukan ada, maka kita mesti kenakan kos untuk kelewatan ini sebagai satu bentuk disiplin.

02“Kita mahukan perkhidmatan pengedaran terbaik, tetapi tidak bayar, tatacara ini mesti diubah,” katanya.

Terdahulu, ADUN Taman Medan, Haniza Talha mengemukakan aduan bayaran kos pengedaran Selangor Kini di pejabat Khidmat DUN tertunggak sejak beberapa bulan.

Abdul Khalid sebelum itu memaklumkan bayaran RM0.10 diberikan kepada setiap edaran nashkah akhbar rasmi berkenaan yang kebiasannya diletakkan di masjid dan Pusat Khidmat DUN.

-NFN-