Categories
NASIONAL

Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Runtuhan Susur Jambatan Kedua P.Pinang

SIM TZE

SHAH ALAM 12 JUN : Kerajaan Pusat didesak menubuhkan Jawatankuasa Bebas Siasatan Teknikal berhubung kejadian tragedi keruntuhan susur Jambatan Kedua Pulau Pinang bagi mencari punca kejadian ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, jawatankuasa perlu dianggotai oleh pakar teknikal terulung negara dan luar negeri yang mempunyai kuasa seperti jawatankuasa “Highland Tower”.

“Buat masa sekarang, siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa adalah sulit dan tidak akan dipaparkan kepada rakyat melainkan di mahkamah,” kata Sim dalam satu kenyataan media.

Tegas beliau, segala siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh menyentuh beberapa aspek seperti reka-bentuk, perancangan dan pembinaan.

“Jawatankuasa ini juga perlu menjalankan siasatan secara telus dengan mengadakan pendengaran awam semasa siasatan tersebut dijalankan.

“Pendengaran ini adalah penting untuk memastikan rakyat mengetahui segala-gala secara terus untuk memulihkan kepercayaan terhadap jambatan kedua,” kata beliau.

Katanya, pendengaran ini penting kerana projek di Pulau Pinang di mana kerajaan negeri telah meluluskan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dengan Kerajaan Persekutuan haruslah ‘masuk kampung, ikut adat’ mematuhi semangat ‘FOI’ ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kerjaraya, Datuk Fadilah Yusof diseru turun ke tapak kejadian dengan serta merta.

“Mereka mesti memikul tanggungjawab terhadap projek persekutuan dan bukan mengambil sikap lepas tangan,” kata beliau.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Kertas Undi Lebih Daripada Jumlah Sebenar

rafizi PC

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) mendedahkan penipuan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu dengan dakwaan undi melebihi kertas undi dikeluarkan dalam peti undi sepertimana terjadi di kawasan Parlimen Balik Pulau di Pulau Pinang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa bagi pengundian di saluran 2 di SRJK(C) Yu Chye tercatat perbezaan jumlah kertas undi yang berada di dalam peti undi selepas pengundian dijalankan.

“Borang 13 iaitu Penyata Kertas Undi bagi Parlimen Balik Pulau menunjukkan sebanyak 424 kertas undi dikeluarkan.

“Selepas pengiraan dibuat dan keputusan dipindahkan  ke Borang 14 iaitu penyata pengundian selepas pengiraan undi, keputusan menunjukkan terdapat 562 undi di dalam peti undi iaitu 138 undi melebihi daripada jumlah kertas undi yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jumlah undi di dalam peti undi yang lebih menyeleweng keputusan bagi parlimen dan DUN di antara 138 hingga 318 undi.

Katanya, dengan majoriti yang rendah dan undi rosak yang tinggi, keputusan di saluran 2 itu sahaja sudah cukup untuk mengubah keputusan bagi peringkat Parlimen Balik Pulau dan DUN Telok Bahang.

“Kejadian ini membuktikan bahawa peristiwa undi yang dikira melebihi daripada kertas undi yang mulanya dikeluarkan memang berlaku.

“Ia berlaku di Balik Pulau dan sudah tentu juga berlaku di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, PR juga mendakwa mempunyai bukti berlaku insiden membeli undi sepertimana di Pulau Pinang dalam PRU13 lalu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa wang tunai diberikan kepada pengundi selepas keputusan tidak memihak kepada PR dengan penukaran baucer yang diberikan sebelum itu.

“Ia berlaku di DUN Bayan Lepas,  Pulau Betong dan Tanjung Bungah. Mereka memberi wang secara tunai di tiga tempat iaitu selama tiga hari beroperasi iaitu pada 10, 11 dan 12 Mei lepas.

“Kita telah melakukan pemeriksaan ke tempat itu dan laporan polis telah dibuat mengenainya,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Memorandum Minta Singapura Beri Peluang Kedua Kepada 21 Rakyat Malaysia

DSC_0383

KUALA LUMPUR 23 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menyerahkan memorandum kepada kerajaan Singapura berhubung kes penahanan 21 rakyat Malaysia atas kesalahan mengadakan tunjuk perasaan menetntang penipuan terhadap Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Rakyat(PR) berharap kerajaan Singapura memberikan kerjasama dalam perkara itu dengan memikirkan nasib dan masa depan mereka.

“Mereka hanya mengharapkan pilihan raya yang adil di negara ini. Kita harap kerajaan Singapura mengambil kira peluang mereka untuk bekerja di negara itu.

“Tanpa permit untuk masuk ke Singapura, bagaimana mereka boleh meneruskan kerja?,” soalnya.

Nurul Izzah berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas penyerahan memorandum itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong menerusi wakilnya, Haris Rusdi Chai dan M Ramanathan.

Nurul Izzah disertai Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Idris Jauzi; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Dilaporkan, 21 rakyat Malaysia ditahan polis Singapura berikutan dakwaan melanggar undang-undang perhimpunan awam yang diadakan di Merlion Park, Singapura pada 11 Mei lalu berkaitan bantahan terhadap PRU13 Malaysia yang didakwa berlaku penipuan.

Berikutan itu, difahamkan seorang daripada mereka dibatalkan pas kerja manakala dua lagi dibatalkan pas lawatan selain pas kerja 18 orang yang lain akan dikaji selepas siasatan selesai.

Dalam memorandum tersebut antara lain menyatakan harapan supaya kerajaan Singapura memberi peluang kedua kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

Selepas PRU13 yang dipenuhi penipuan, berpuluh ribu rakyat Malaysia di seluruh dunia mengadakan bantahan dalam siri perhimpunan aman Black 505 seperti London dan Melbourne baru-baru ini.

Categories
NASIONAL

Dasar Automotif PKR Tidak Mengugat Proton

SHAH ALAM 25 OGOS : Dakwaan Umno-BN kononnya penurunan harga kereta akan memufliskan Proton menghina tenaga professional di syarikat automotif itu yang menunjukkan mereka mampu bersaing dengan jenama lain walaupun tidak dilindung Kerajaan Pusat.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata PKR mengiktiraf keupayaan Proton bertahan walaupun  tidak mendapat perlindungan rebat cukai eksais bermula 2005 yang ditamatkan pentadbiran Umno-BN.

“Sejak dari itu, kereta-kereta keluaran Proton dan perusahaan automotif nasional yang lain terpaksa membayar cukai eksais yang sama seperti kereta-kereta berjenama antarabangsa.

“Bantuan kewangan terbesar yang diperolehi Proton kini bukan lagi dalam bentuk perlindungan cukai.

?Tetapi geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membolehkannya menerokai rekaan dan teknologi yang lebih baik,” jelas kenyataan yang dibuat bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin.

Sebelum ini PKR mengumumkan dasar pemansuhan cukai eksais jika Pakatan Rakyat mentadbir negara.

Dasar itu dipercayai dapat mengurangkan harga kereta di pasaran dan merancakkan ekonomi negara apabila penurunan itu akan memberikan lebih kuasa berbelanja kepada masyarakat.

Penyata kewangan Proton bagi tahun 31 Mac 2011 menunjukkan ia mendapat geran R&D berjumlah RM 175 juta iaitu jauh lebih rendah dari rebat cukai eksais bernilai berbilion ringgit yang diberikan setiap tahun kepada Proton sehingga tahun 2005.

“Keupayaan Proton terus bersaing dan memperkenalkan beberapa model baru selepas tahun 2005 membuktikan bahawa Proton boleh terus kekal beroperasi tanpa dilindungi rebat cukai eksais.

“Dakwaan pimpinan Umno-BN yang menggambarkan seolah-olah Proton dan perusahaan automatif tempatan masih mendapat perlindungan cukai eksais adalah berniat jahat demi kepentingan politik mereka,” tambah kenyataan tersebut.

Di samping itu, semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP2012) oleh Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) memberi ruang kepada pengurangan cukai eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta.

PKR juga yakin pelan perniagaan Proton melalui kerjasama untuk memasang kereta-kereta berjenama lain akan berjaya mempertahankan pekerjaan sedia ada dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baru.

“Komitmen kita adalah mempertahankan peluang pekerjaan dan kebajikan puluhan ribu pekerja di dalam sektor automotif negara dan bukan mengikut karenah bekas pimpinan negara demi menjaga peninggalan pemerintahan beliau,” akhiri kenyataan tersebut.