Categories
SELANGOR

Exco: Kerajaan Negeri peruntuk RM26.8 juta untuk Skim Ceria

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 MAC: Sejumlah RM26.8 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri sehingga kini bagi pelaksanaan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria) di seluruh Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu sebanyak 103 kawasan dibaik pulih pada penggal pertama, manakala 54 kawasan lagi diluluskan pada penggal kedua.

Katanya, kebanyakan pangsapuri kos rendah dibina kurnag berkualiti sehingga memaksa Kerajaan Negeri untuk tampil membantu dan mengeluarkan peruntukan bagi usaha baik pulih.

IMG_7363a“Kerajaan Negeri keluarkan peruntukan 80 peratus bagi pangsapuri kos rendah dan penduduk hanya perlu bayar balik 20 peratus sahaja secara ansuran.

“Satu rumah cuma perlu bayar RM5 dan kita sedang mempertimbangkan 50 kawasan lagi untuk mendapat bantuan Skim Ceria ini,” katanya dalam segmen Selangorku, di sini, baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Negeri turut melancarkan program Seroja iaitu sebuah skim rondaan keselamatan dan kejiranan di kawasan pangsapuri, selain Skim Ceria.

Iskandar berkata, program Seroja mensasarkan 50 tempat untuk menjayakannya dengan diberi peruntukan RM5,000 bagi membeli peralatan dan baju pantulan cahaya.

Pangsapuri Ceria 01“Rukun tetangga adalah di bawah kerajaan pusat, tetapi program Seroja adalah milik kita. Kalau ada musibah kepada petugas ketika membuat rondaan, kita akan beri saguhati,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan 254 kawasan pangsapuri sudah menikmati pemberian air percuma hasil migrasi daripada meter pukal kepada meter individu.

“Dalam lima tahun, kita berjaya beri air percuma kepada kira-kira 60,000 unit rumah, yang mana hampir suku juta penduduk dapat nikmat air percuma melalui migrasi meter paip air,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor lulus RM13 Juta untuk Skim CERIA 2014

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 FEB : Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM13 juta bagi merealisasikan pelaksanaan Skim CERIA (Program Baik Pulih Negeri Berkebajikan) bagi tahun 2014.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata kesinambungan program itu adalah usaha berterusan kerajaan negeri bagi mewujudkan persekitaran sihat, aman dan harmoni kepada penduduk Selangor.

Katanya, usaha itu juga bagi meringankan beban penduduk dan pembeli dalam menanggung kos tinggi bagi membaik pulih kediaman pangsapuri mereka.

iskandar“Sehingga kini, kita berjaya mengenal pasti kawasan yang perlu dibaik pulih dan sebahagian besarnya boleh diklasifikasikan sebagai kerosakan sangat kritikal.

“Antaranya adalah masalah berhubung dengan bumbung, lif dan tangki air serta kerosakan serius lain yang berupaya mengancam keselamatan penduduk,” katanya sidang media di Bangunan SUK, di sini, semalam.

Iskandar berkata, kerajaan negeri mensasarkan lebih 50 kawasan kemajuan pangsapuri untuk dibaik pulih pada tahun ini.

“Sehingga kini, kita menerima 149 jumlah permohonan dan semuanya masih di dalam proses penilaian.

ceria iskandar selayang 03“Jika ada keperluan, peruntukan untuk program ini akan ditambah kerana RM13 juta adalah had siling yang akan ditambah apabila jumlah dana yang diperuntukkan habis digunakan,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, kerajaan negeri memperuntukkan RM16.1 juta bagi membaik pulih 104 kawasan pemajuan di seluruh Selangor, sehingga tahun lalu.

Bagi sebarang pertanyaan berhubung Skim Ceria, orang ramai boleh menghubungi pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-55102122.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM100,000 Baiki Lif Rosak di Pangsapuri Desa Mentari

Iskandar Samad

SHAH ALAM, 24 JULAI : Penghuni empat blok Pangsapuri Desa Mentari boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM100,000 bagi membaiki lif yang rosak.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih kesemua lif itu akan menggunakan peruntukan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria).

Katanya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membantu penduduk di situ ekoran maklumbalas daripada pihak pemaju yang mengatakan pungutan penyelenggaraan pangsapuri berkenaan adalah tidak mencukupi.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap nasib penduduk yang terpaksa menggunakan tangga sebanyak 18 tingkat dalam bulan Ramadan ini.

“Kita mengambil keputusan untuk mempercepatkan proses menggunakan Skim Ceria tanpa mengikut prosedur biasa kerana ia perlu dibaikpulih dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini.

Dalam sidang media sama, Iskandar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau, membaikpulih serta menyelesaikan masalah kersoakan lif di kawasan pangsapuri kos rendah seluruh Selangor.

Jelasnya, pasukan ini akan bertindak untuk memantau keadaan lif di pangsapuri supaya sebarang masalah atau kerosakan dapat dikesan lebih awal.

“Kerajaan Negeri memandang serius tentang kerosakan lif di seluruh Selangor, justeru penubuhan pasukan khas ini dapat mengesan sebarang kerosakan sebelum ia berlaku lebih serius,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Cadangan Skim Baikpulih Rumah Kediaman Luar Bandar

SABAK BERNAM, 26 FEB : Kerajaan Negeri akan dicadangkan mewujudkan satu lagi tabung khas sepertimana Skim Ceria bagi program membaikpulih rumah kediaman di kawasan luar bandar di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akan megemukakan cadangan itu kepada Kerajaan Negeri di dalam mesyuarat exco akan datang.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian sama sepertimana rumah kediaman di kawasan bandar di mana kebanyakan pangsapuri dibaikpulih menerusi skim Ceria atau Caring Goverment For Residence Improvement Aid dengan peruntukan RM9.7 juta.

“Kalau kita telah menunaikan tanggungjawab kita kepada mereka di bandar, mungkin kita perlu lihat satu program yang sama di luar bandar. Sekarang kita ada program rakyat termiskin iaitu juga CSR tetapi saya akan membangkitkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan satu lagi tabung untuk baik pulih sepertimana tabung bagi rumah-rumah di pangsapuri-pangsapuri.

“Saya melihat bahawa ada keperluan seperti Ceria ini tetapi di kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Program CSR Perbadanan Kemajuan Negeri Sselangor (PKNS) – Baikpulih Rumh Asnaf Fakir Miskin di Bagan Terap di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Peembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sabak Bernam, Jasman Syazry Mohd Saari dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Azril Hakim Nohd Yazid.

Dalam majlis itu, PKNS menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan bantuan kepada asnaf fakir dan miskin kepada Zamri Sakiman, 39, di mana rumahnya dibaikpulih kembali.

Menyentuh perkara itu, Iskandar berkata, usaha PKNS itu wajar dipuji dan pihaknya merakamkan perhergaan terima kasih kepada PKNS di mana telah menyediakan satu peruntukan yang besar bagi tujuan itu.

“Dalam program ini PKNS telah memperuntukkan RM396,000 untuk membaikpulih 22 buah rumah di daerah Sabak Bernam. Kawasan-kawasan yang dibaikpulih adalah di Tebuk Pulai, Kampung Bagan Terap, Kampung Tok Khalifah, Bagan Nira, Sepintas dan Jalan Masjid,” katanya.

Iskandar berkata, PKNS akan memberikan pengagihan dalam RM15,000 hingga RM118,000 bagi setiap sebuah rumah.

 Tahun ini juga, katanya, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta wang zakat bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf dan fisabilillah.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan PKNS dalam memberikan semula keuntungan kepada rakyat Selangor melalui aktiviti sosial dan kebajikan itu sangat dihargai dan ini membuktikan PKNS tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawabnya walaupun perniagaan utamanya adalah dalam sektor hartanah.

Tambahnya, diharapkan langkah diambil PKNS itu akan dicontohi oleh perbadanan mahupun anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

“Keseluruhan untuk rumah kos rendah sama ada pengurusan atau pembinaan dan subsidi, PKNS telah membelanjakan lebih kurang RM30 juta setahun.

“Cuma saya harap PKNS dapat melihat di kawasan seperti luar bandar ini ada usaha untuk kita membaiki lebih banyak kerana yang kita lihat masih ada banyak lagi rumah-rumah yang memerlukan baik pulih,” katanya lagi.