Categories
SELANGOR

Petanda baik bila Skimsel capai 90 % bayar balik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 SEP: Statistik bayaran balik pinjaman Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) dalam kalangan peserta luar bandar mencatat lebih 90 peratus setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan, Saari Sungib berkata, statistik terbaru itu memberi petanda positif dalam mencapai objektif membasmi kemiskinan.

SAARI_SUNGIB“Ini petanda baik dengan terdapat anjakan taraf hidup peserta skim ini apabila mereka dapat membayar balik pinjaman dengan disiplin.

“Ini juga menunjukkan kemahuan dan kesungguhan mereka berusaha meningkatkan pendapatan,” katanya.

Saari berkata demikian kepada Selangor Kini selepas mempengerusikan pendengaran tertutup Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan di Bilik Mesyuarat, Bangunan Annex di sini, semalam.

Saari yang juga merupakan Adun Hulu Kelang berkata, ini berbeza dengan peratusan bayar semula peserta Program Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) yang dianggap masih rendah.

Jelas Saari, pihaknya turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk cadangan menambahbaik sistem penyampaian bagi meningkatkan penyertaan dan keupayaan bayaran balik peserta Mimbar.

“Antara punca peratusan bayaran balik rendah termasuklah sikap sesetengah peserta yang cuma mengambil kesempatan menggunakan dana terbabit untuk tujuan lain selain mengembangkan perniagaan,” katanya.

-NR-

Bantuan berterusan untuk mangsa banjir Pantai Timur

Semua peserta Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) menyumbang untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur. Majoriti penerima bantuan Skimsel merupakan dari masyarakat desa berpendapatan rendah dan amat memahami kesukaran yang dialami mangsa.

SKIMSEL : Pinjaman wang TANPA faedah/cagaran!

Sinopsis

Pinjaman Maksimum RM3,000.
Tempoh bayaran balik – 12 bulan.
Berpendapatan bawah RM1,500.
Tinggal di luar bandar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Awas” Usaha Komprehensif Tambah Baik Pelan Tindakan Wanita

skim tunas halimah haniza teresa 01

Kerajaan Negeri disarankan supaya melaksanakan “Agenda Wanita Selangor” atau Awas yang bertujuan menambahbaik program-program bantuan kepada wanita di negeri ini.

Antara program agenda itu yang dicadangkan ialah memperkenalkan Caruman Wanita Selangor yang bertujuan mengiktiraf sumbangan wanita terhadap pembangunan keluarga di negeri Selangor.

Haniza juga menyeru Selangor mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak harian (Day Care Centre) bagi membolehkan wanita berkerjaya menghantar anak-anak mereka.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, agenda pemberdayaan wanita ini dilihat sebagai satu saluran untuk memberi manfaat secara langsung kepada golongan wanita.

“Apabila dilihat daripada cadangan yang dikemukakan, ia sangat berbeza dengan program-program Kerajaan Negeri sedia ada seperti si Kembar, Tunas, Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) mahupun Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel).

“Awas adalah satu program khusus dan terus kepada wanita sesuai dengan konsep Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap wanita khasnya dan rakyat amnya,” kata Haniza dalam sidang media selepas sesi perbahasan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penambahbaikan terhadap program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sedia ada seperti memberikan Hadiah Anak Masuk Universiti kepada semua keluarga tanpa mengira paras berpendapatan.

Selain itu, beliau juga memohon supaya pemberian biasiswa negeri kepada pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) diperluaskan bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tambahnya, program menangani kemiskinan bandar juga perlu diberi perhatian seperti menyediakan makanan asasi kepada mereka yang mempunyai pendapatan di bawah garis minima.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Skim Mikrokredit Juga Beri Peluang Kepada Belia

SHAH ALAM, 26 NOV : Kerajaan Negeri Selangor memberi peluang kepada semua pihak termasuk golongan belia untuk memulakan perniagaan di bawah Program Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) Niaga.

Exco Wanita, Kebajikan, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, selain memberikan perkhidmatan kepada mereka yang sudah memulakan perniagaan, Mimbar Niaga turut membuka ruang kepada individu yang ingin menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata, golongan belia yang ingin memulakan perniagaan akan diberikan modal, peralatan asas serta bimbingan secara konsisten.

“Di bawah program Mimbar Niaga, Kerajaan Negeri menyediakan modal asas dan bimbingan kepada para peserta. Program ini juga bertujuan membantu individu yang tiada perniagaan tetapi ingin mencuba dengan tempoh percubaan selama enam bulan. Sekiranya berjaya, perniagaan mereka boleh dikembangkan di peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

Rodziah berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Amirudin Shari (PKR-Batu Caves) berhubung Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) dan Mimbar.

Tambah Rodziah, sehingga Oktober tahun ini, seramai 12,175 peserta layak menerima bantuan kedua-dua skim tersebut, di mana 6758 sadiq bagi Skimsel, manakala 5417 peserta bagi Mimbar.

Daripada jumlah itu, seramai 2,962 peserta terdiri daripada golongan muda (Skimsel), sementara bagi Mimbar ialah seramai 2,331.

“Skimsel berjaya mencapai bayaran balik sebanyak 97.02 peratus, manakala Mimbar ialah 83.03 peratus. Kebanyakan pinjaman ini dibayar secara konsisten oleh peserta menggunakan perkhidmatan bank yang disediakan,” katanya lagi.