Categories
NASIONAL

Rakyat Boleh Banding Keikhlasan PR dan Umno-BN

PETALING JAYA 8 JULAI : Walaupun Umno-BN meniru idea dasar dan program Pakatan Rakyat, rancangan dan niat mereka tidak nampak ikhlas tetapi sekadar meraih undi, kata Timbalan Speaker Dewan Negeri(DNS) Selangor Haniza Talha.

Menurutnya, Umno-BN juga tidak lagi mampu mempengaruhi pemikiran rakyat walaupun mereka menguasai media perdana dan tidak mengamalkan dasar kebebasan maklumat.

“Umno-BN tiada idea. Mereka bagi duit kepada rakyat bukan mereka nak bantu dan tolong rakyat macam bagi RM500 (BR1M).

?Dia bagi dengan tujuan untuk dapat undi bagi mengekalkan kuasa termasuk mendapatkan kembali Selangor. Kalau benar-benar ingin menolong kenapa ia tidak dibuat sejak dulu sebelum kita memerintah?,” soal Haniza.

Haniza berkata, sejurus Pakatan mengambilalih Kerajaan Selangor pada Mac 2008 ia bertindak segera dengan menyalurkan bantuan 20 meter padu air percuma kepada rakyat dalam tempoh 100 hari.

Kerajaan Pakatan Selangor juga memulakan bantuan di dalam program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada 2011.

Ini berbeza dengan Umno-BN di peringkat pusat yang hanya memulakan BR1M, pada April tahun ini semasa spekulasi pilihan raya umum memuncak.

Walaupun Umno-BN menguasai saluran media tradisional seperti televisyen, radio dan surat khabar, ledakan maklumat di internet dan rangkaian media sosial membolehkan rakyat berita tentang Pakatan.

“Apa dilakukan pemimpin Pakatan sekarang adalah pergi terus kepada rakyat di bawah dan rakyat dapat merasakan perubahan itu yang mana tidak dialami sebelumnya.

?Mereka (Umno-BN) boleh gunakan saluran media dikuasai mereka dengan membuat pelbagai dakyah tetapi rakyat akan tahu segalanya,? beliau berkata di dalam temu ramah eksklusif TVSelangor di dalam rancangan Fokus Isu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anak Gembira Hajat Arwah Ibubapa Tertunai Di Bawah Pakatan Rakyat Selangor

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Dangmega Abd Latip, 45, terharu dan gembira apabila usaha hampir 40 tahun kedua ibu bapa mendapatkan hak milik tanah tercapai apabila menerima notis 5A hari ini.

Dengan nada sebak, beliau mengimbau kembali pahit jerih kedua orang tuanya yang tidak pernah berputus asa menuntut hak mereka meskipun ketika itu beliau baru berusia 8 tahun.

“Kalau nak kira permohonan memang lama. Dari Pejabat Tanah Dataran Merdeka, kemudian arwah mak pergi ke Kajang dan Bangi. Waktu itu saya baru darjah dua.

“Alhamdulillah sekarang baru dapat. Rasa gembira tapi mak ayah dah tiada. Mereka tidak sempat untuk meraikan kegembiraan kami sekeluarga. Mana lagi nak dapatkan tanah di kawasan Kuala Lumpur,” luahnya lagi.

Menurut beliau, sebelum bapanya meninggal, Allahyarham turut bertanya mengenai permohonan hak milik tanah.

“Mak meninggal tahun 1992, ayah tahun 2011. Sebelum itu dia (ayah) ada bertanya bagaimana nasib permohonan sebab terlalu lama memohon. Dia pesan kepada saya untuk uruskan perkara ini. Kami tidak akan jual tanah ini,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat perlu diberi peluang memerintah memandangkan banyak lagi perkara yang perlu lakukan terutama dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi warga emas, Asiah Alwi, 60, kegembiraan menerima notis 5A umpama bulan jatuh ke riba setelah menanti hampir 33 tahun.

“Syukur Alhamdulillah. Kalau sudah tertulis hak kita tidak akan ke mana. Saya tinggal di sini daripada tahun 1979. Sebelum ini memohon dan bertanya kepada pejabat tanah tidak ada jawapan. Cuba memohon tidak diluluskan.

“Cuba bayangkan jiran di kiri kanan sudah dapat (notis hak milik), saya di tengah-tengah tidak dapat,” katanya.

Warga emas Hamisah Kawi, 60, menganggap penerimaan notis hak milik ini merupakan hadiah ulangtahun kelahiran yang paling indah bagi dirinya.

“Mohon dari tahun 1975 tapi tidak berjaya. Alasan yang diberikan berlaku masalah teknikal. Arwah suami dulu ada memohon namun gagal. Syukur sangat bila wakil rakyat membantu kami memandangkan jiran lain sudah ada hak milik,” katanya.

Sementara itu, bagi Abdul Ghani Mohd Nor, 63, percubaan permohonan kali ketiga akhirnya membuahkan hasil memandangkan beliau sebelum ini pernah cuba memohon sebanyak dua kali di zaman pemerintahan Umno-BN namun dipinggirkan.

Beliau yang telah menetap di Kuala Lumpur sejak tahun 1982 melihat gerak kerja kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat.

Katanya, Skim RM1,000 yang diperkenalkan untuk mendapatkan hak milik tanah nyata memudahkan penduduk di negeri ini terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Jauh berbeza pemerintahan dahulu dan sekarang. Mereka betul-betul ambil berat masalah rakyat. Dengan memperkenalkan skim ini nyata meringankan beban saya,” katanya.

Pada majlis penyampaian Notis Borang 5A Kampung Pandan Dalam dan Skim Mesra Usia Emas(SMUE) fasa-2, seramai 14 orang telah menerima notis hak milik tanah manakala 17 orang yang lain menerima sumbangan SMUE yang disampaikan sendiri oleh Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Beliau yang juga Adun Cempaka turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal,warga miskin, pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir serta sekolah rendah agama (SRA) dan surau di kawasan Chempaka.

Penerima SMUE yang ditemui sejurus majlis berakhir menyambut baik skim ini yang membuktikan keperihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat Selangor.

Categories
SELANGOR

75 Waris Terima Bantuan SMUE Di DUN Sri Muda, Kota Raja

KLANG, 12 MEI : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) hari ini menyampaikan bantuan RM1,500 kepada 75 waris warga emas bagi DUN Sri Muda dan Kota Raja.

Rata-rata waris yang hadir ditemui ternyata gembira dan mengucapkan terima kasih di atas usaha kerajaan negeri.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, SMUE ini adalah skim khairat kematian sebagai usaha menghargai warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka.

“Tujuan SMUE ini adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan beberapa perkara seperti proses pengurusan jenazah serta pengkebumian dan membantu melangsaikan hutang si mati,” katanya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Bayaran Manfaat SMUE Fasa Kedua di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Jalan Kebun hari ini.

Katanya, SMUE bertujuan memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bemilai RM2,500 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang mendaftar secara rasmi dengan urus setia SMUE.

Sejumlah RM1,500 seorang akan diberi selepas kematian, manakala RM1,000 akan diberikan setelah selesai proses pengebumian dan waris boleh menuntut di Pejabat Khidmat DUN di setiap kawasan.

SMUE dilancarkan pada Ogos 2008 dan merupakan salah satu daripada tujuh agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini sudah memasuki Fasa Kedua.

Selain itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang turut hadir berkata, kerajaan negeri ingin mengembalikan hasil yang diperolehi oleh negeri kembali kepada rakyatnya.

Shuhaimi turut menasihati waris si mati supaya menggunakan wang yang diperolehi daripada SMUE itu untuk kebajikan dan manfaat kepada si mati serta tidak sesekali menyalahgunakan wang berkenaan.

Sehubungan itu, semua warga emas yang belum menikmatinya hendaklah mendaftar dengan berpandukan kepada syarat-syarat seperti mesti berumur 60 tahun dan ke atas, lahir dan sedang menetap di Selangor, bermastautin di Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Categories
SELANGOR

Lagi 300 Warga Emas Menyertai Jom Shopping Sri Andalas

KLANG, 26 APR : Selama hampir 50 tahun, Ismail Abdullah, 69, merasa beliau tidak mendapat apa-apa faedah daripada pemerintahan Kerajaan Umno-BN Selangor.

Tetapi hari ini di bawah Pakatan Rakyat, situasi itu berubah apabila beliau dibawa oleh pejabat DUN Sri Andalas untuk membeli belah di Econsave Kampung Jawa di sini bawah program ?Jom Shopping?.

“Alhamdullilah, pakcik bersyukur sangat diberi baucer RM100 untuk membeli barang-barang keperluan rumah,” kata penduduk Kota Raja ini ketika ditemui.

Seorang lagi peserta program itu Jayabal Naidu, 73, berkata peruntukan itu dapat mengurangkan beban yang ditanggung olehnya kesan kenaikan harga barang runcit masa kini.

“Jika tiada bantuan ini, saya mungkin berfikir banyak kali jika ingin membeli sesuatu barang dan RM100 diberikan ini ternyata membantu saya,” ujarnya yang tinggal di Kampung Jawa.

Seramai 300 orang warga emas mengambil bahagian dalam program Jom Shopping Sri Andalas sudah memasuki fasa ke-11. menurut pegawai penyelaras Skim Mesra Usia Emas (SMUE) DUN Sri Andalas, Adaikalam Selvamary atau lebih dikenali sebagai ?Mary?.

Adaikalam berkata sehingga kini, seramai 1,400 warga emas sudah menyertai program Jom Shopping DUN Sri Andalas.

Selain itu, Salmah Ibrahim, 63, mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan dan keprihatinan kerajaan negeri membantu warga emas di Selangor.

“Sejak kerajaan ini diambil alih, terdapat banyak faedah yang dinikmati oleh semua rakyat,” katanya yang tinggal di kampung Dagang Jati.

Program Jom Shopping yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bermula tahun lalu terus mendapat sambutan menggalakkan di kalangan warga emas tanpa mengira latarbelakang politik, bangsa dan agama.

Melalui program ini, warga emas berusia 60 tahun keatas yang telah berdaftar di bawah SMUE diberikan baucer sebanyak RM100 untuk membeli belah di pasaraya terpilih.

ends