Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan pegawai SPRM, bantu siasatan kes rompak berkumpulan

PUTRAJAYA, 12 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa itu, petang semalam.

SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.

“Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” menurut kenyataan itu.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ, SPRM siasat video tular lesen ‘gerenti lulus’

PUTRAJAYA, 4 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat siasatan segera dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan seorang pempengaruh media sosial bernama Azrul Affandi Sobry mengenai ‘Lesen Terbang’.

JPJ dalam satu kenyataan menyatakan perkara itu dipandang serius, dan individu berkenaan akan dipanggil bagi mendapatkan kenyataan lanjut dan membantu siasatan.

“JPJ ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang melibatkan warga kerja JPJ sekiranya benar yang diuar-uarkan oleh saudara Azrul Affandi Sobry, di mana anggota penguatkuasa JPJ terlibat dalam aktiviti menjual lesen terbang,” menurut JPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan JPJ itu menyatakan sehingga kini beberapa siri siasatan SPRM telah dijalankan contohnya pada 2018.

Menerusi hantaran di media sosial, Azrul Affandi mendakwa terdapat pegawai JPJ yang terlibat secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu secara haram, dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian yang ditetapkan di institut memandu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI sertai polisi integriti SPRM

SHAH ALAM, 26 NOV: Semua kakitangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bakal terlibat dengan polisi integriti dan tadbir urus yang dibentuk bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dato’ Menteri Besar berkata pembudayaan dan penguatkuasaan polisi itu turut melibatkan pemegang taruh, vendor serta pihak yang mempunyai kepentingan dengan MBI.

“Sejak Januari tahun ini, MBI dan kumpulan anak syarikat menerima pakai tujuh polisi bersama SPRM.

“Kerjasama strategik yang terjalin juga sebagai langkah melahirkan pegawai integriti bertauliah serta bimbingan mengurus isu integriti,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu beliau memberitahu sebuah unit yang mengukur dan menilai tahap prestasi dan pencapaian khidmat Kerajaan Negeri kepada rakyat bakal ditubuhkan.

Jelas Amirudin, Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Prestasi Selangor diletakkan bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memudahkan proses pantauan dan laporan.

“Tindakan mengelakkan ketirisan di samping meningkatkan kecekapan akan dibuat secara berkala untuk memastikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah urus jenazah: Lima kakitangan hospital direman lima hari

SHAH ALAM, 7 OKT: Lima kakitangan sebuah hospital direman lima hari mulai hari ini selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.

Perintah reman kelima-lima suspek yang bermula hari ini sehingga 11 Oktober depan itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber (sumber SPRM), kesemua suspek berusia antara 34 hingga 44 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah itu sejak 2019 hingga tahun ini membabitkan jumlah suapan RM22,000.

Difahamkan kesemua suspek itu ditahan sekitar 3 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah pengurusan jenazah, lima kakitangan hospital ditahan

SHAH ALAM, 6 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan lima kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.

Menurut sumber SPRM, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2021 dan melibatkan jumlah suapan lebih RM20,000.

Katanya difahamkan, kesemua suspek lelaki yang berusia lingkungan 34 hingga 44 tahun itu ditahan kira-kira 3 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kesemua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM: Jawatan, pengaruh punca penjawat awam terlibat rasuah

SHAH ALAM, 1 OKT: Berjawatan tinggi dan berpengaruh merupakan punca penjawat awam terlibat dengan rasuah, kata pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Dato’ Alias Salim berkata berdasarkan statistik keseluruhan dalam tempoh lima tahun sejak 2016, seramai 2,285 daripada 4,811 tangkapan merupakan penjawat awam.

“Hampir separuh atau 47.5 peratus tangkapan terdiri daripada penjawat awam. Penjawat awam perlu ambil perhatian kerana mereka mempunyai kuasa dalam menguruskan dana kerajaan, perolehan, sebut harga dan kontrak.

“Mereka seharusnya menjadi mata dan telinga SPRM dengan memberikan maklumat. Kita pelawa mereka beri maklumat kerana SPRM hanya mempunyai lebih 2,000 anggota dan tidak mampu tangani 32 juta penduduk,” katanya dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah malam tadi.

Alias memaklumkan, penjawat awam yang memberi maklumat tidak perlu khuatir kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Penjawat awam ini mengetahui dengan tepat apa yang berlaku dalam jabatan masing-masing sekaligus mahu mengurangkan peratusan tangkapan melibatkan mereka. Dengan maklumat orang awam ditangkap kerana mereka yang sogok terutama pegawai penguat kuasa.

“Kita hendak kurangkan penjawat awam ditangkap dan mahu menuduh orang yang menyogok. Ini yang kita kena didik penjawat awam dengan melaporkan kegiatan rasuah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa tubuh badan bebas siasat kes curi wang tunai USD6 juta

SHAH ALAM, 20 SEPT: Badan bebas perlu menyiasat dakwaan kecurian wang tunai bernilai USD6 juta (RM24 juta) semasa siasatan kes rasuah yang dikaitkan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli parlimen Puchong berkata adalah tidak telus sekiranya siasatan dilakukan SPRM sendiri yang mengeluarkan kenyataan telah menahan tiga pegawainya manakala polis pula menjelaskan tiada laporan diterima mengenai kes berkenaan.

“Ini perkara serius dan kita perlu tunjuk kepada rakyat bahawa ada ketelusan, kalau kerajaan hendak tunjuk kerajaan reformis maka keputusan dibuat segera.

“Kes ini harus disiasat badan bebas untuk tunjukkan siasat tepat dan telus bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Gobind Singh Deo dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, tular dakwaan penangkapan pegawai SPRM kerana dituduh mencuri barang kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab Hamid yang didakwa di mahkamah atas pecah amanah USD12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan dalam perbicaraan kes pada April lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM siasat kegiatan rasuah doktor untuk sijil vaksin

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan berlakunya kegiatan merasuah doktor bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan berhubung perkara itu sedang dilakukan dan jika ia benar-benar berlaku, perbuatan tersebut bukan saja menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan malah mencalarkan imej mereka.

“Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow pada Rabu mendakwa beberapa ahlinya ditawarkan RM1,000 oleh beberapa individu untuk memalsukan sijil digital vaksin.

Menurut Dr Steven, tidak semua individu yang membuat tawaran itu adalah golongan antivaksin malah terdapat segelintir yang memerlukan sijil berkenaan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh segera.

Susulan pendedahan itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Prof Datuk Dr M Subramaniam semalam menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan media berkenaan beberapa individu cuba merasuah doktor untuk mendapatkan sijil digital lengkap vaksinasi Covid-19 tanpa disuntik vaksin.

Azam dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku tersebut untuk menghubungi SPRM di talian utama (hotline) 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM belum kenal pasti pemilik nombor telefon tawar ‘durian RM30’

SHAH ALAM, 9 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan setakat ini belum dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej tawaran rasuah kepada ahli parlimen DAP.

Menerusi kenyataan, SPRM berkata pihaknya memandang serius dakwaan tiga ahli parlimen DAP yang ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga kini SPRM sudah menemui tiga ahli parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.

“Setakat ini SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ahli-ahli parlimen berkenaan,” katanya.

SPRM juga memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan.

Pada 7 Ogos, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii mendakwa menerima mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali dan menawarkan dua kekosongan jawatan menteri.

Poay Tiong berkata nombor berkenaan menawarkan jawatan menteri tenaga dan sumber asli dan menteri pengajian tinggi selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletakkan jawatan pada 3 dan 6 Ogos lalu.

Katanya, individu tersebut menawarkan “durian RM30” secara tunai dan jawatan menteri. Bagaimanapun beliau tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan “durian RM30”.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM nafi petugas PPV terima sogokan untuk benar vaksin

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kesesakan di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Midlands, dekat sini adalah berpunca daripada tindakan pekerja asing yang hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya telah membuat risikan susulan satu video tular dalam media sosial yang mendakwa segerombolan individu bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang dengan tidak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

SPRM memberitahu tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu diberi kepada penjaga pintu untuk memasuki PPV itu juga adalah tidak benar.

“SPRM telah menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit, hasil risikan mendapati, kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC dan tohmahan mengenai bayaran rasuah RM80 juga tidak benar,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, PPV Pusat Konvensyen Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), dan terdapat masalah pada sistem iaitu janji temu untuk individu juga terselit di PPV tersebut.

SPRM menasihatkan orang ramai untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan menerusi media sosial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan: Teliti siasat kes rasuah, jangan ada terlepas

SHAH ALAM, 5 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara telus dan teliti kes rasuah di negeri ini.

Dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah siasatan itu bagi memastikan pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

Baginda juga menyeru perbicaraan sedemikian disegerakan manakala mahkamah tidak melayan penangguhan kes tanpa alasan kukuh berikutan rakyat muak dan bosan melihat pendakwaan yang berlarutan terlalu lama.

“Baginda turut menyasarkan agar gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya tidak menjadi masalah lebih besar yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin menzahirkan perkara itu ketika menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan di sini selama dua jam.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah.

Pada 28 Julai, Sultan Selangor memberi amaran akan menarik semula darjah, bintang kebesaran dan pingat yang diberi kepada pegawai atau ahli politik negeri itu jika didapati terlibat rasuah.

Baginda bertitah tindakan tegas perlu dikenakan kerana perbuatan rasuah boleh mencemar nama baik seluruh pegawai Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM menjunjung kasih titah Sultan Selangor

PUTRAJAYA, 28 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan penghargaan kepada SPRM kerana melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata titah Sultan Sharafuddin itu melambangkan keprihatinan dan ketegasan baginda terhadap pembabitan beberapa pegawai kerajaan di Selangor yang terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di negeri itu.

Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani hari ini menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di Selangor dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah.

Baginda menitahkan mana-mana pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Baginda turut menitahkan mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor dan jika didapati melakukan kesalahan rasuah, kurniaan itu akan ditarik balik.

“Saya sangat mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Sultan Sharafuddin terhadap SPRM dalam menjalankan tugas untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dengan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya,” kata Azam dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya SPRM menyeru orang ramai termasuk rakyat Selangor agar mengambil perhatian khusus terhadap titah Sultan Sharafuddin itu supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah.

— BERNAMA