Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM syor akta wajibkan ahli parlimen isytihar harta

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya satu akta digubal di Parlimen bagi mewajibkan anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan Dewan Negara mengisytiharkan harta masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata ini kerana sehingga kini, tiada sebarang hukuman jelas boleh diambil terhadap mereka yang tidak berbuat demikian.

Beliau berkata pada 2019, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan sesalinan diberikan kepada SPRM.

“SPRM hanya bertindak sebagai penjaga maklumat dalam hal ini. Suruhanjaya kemudian akan memaparkan di Portal Pengisytiharan Harta dalam tempoh tiga bulan selepas diisytihar,” katanya kepada pemberita berhubung pencapaian sektor pencegahan SPRM secara maya di sini hari ini.

Katanya sehingga 6 Julai, seramai 97 anggota pentadbiran, 198 Ahli Parlimen dan 39 Ahli Dewan Negara telah mengisytiharkan harta masing-masing manakala enam anggota pentadbiran, 22 Ahli Parlimen dan 26 Ahli Dewan Negara belum berbuat demikian.

Shamshun Baharin berkata buat masa ini, tiada undang-undang khusus berkaitan pengisytiharan harta terhadap pihak terbabit dan SPRM tidak boleh melakukan sebarang pengesahan berhubung dokumen pengisytiharan yang diterima.

“Siasatan hanya dilakukan secara langsung terhadap individu yang dilihat hidup mewah melebihi pendapatannya di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata akta itu boleh digubal dengan merujuk kepada Kod Etika Anggota Pentadbiran di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan pada Januari 2019.

Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang telah mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan pengisytiharan harta.

Shamshun Baharin juga berkata SPRM berjaya meningkatkan tanda aras amalan terbaik dalam usaha memerangi rasuah sehingga mendapat pengiktirafan pelbagai organisasi antarabangsa antaranya Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC), Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC) dan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

Beliau berkata suruhanjaya itu sentiasa menjadi tempat rujukan dan rakan kongsi pengalaman selain boleh dijadikan model kepada negara yang bercadang menubuhkan institusi pencegahan rasuahnya sendiri.

Katanya SPRM juga menerima pengiktirafan daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah yang memberi penilaian berdasarkan mekanisme semak dan imbang dalam suruhanjaya itu menjalankan tugas secara bebas, telus serta profesional.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

SPRM bongkar sindiket bolot 22 projek di sebuah kementerian

PUTRAJAYA, 26 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket yang disyaki membolot 22 projek bernilai RM135 juta di sebuah kementerian sejak 2017.

Ia hasil siasatan suruhanjaya itu terhadap seorang penolong setiausaha bahagian kementerian berkenaan, pemilik-pemilik syarikat dan pengurus syarikat yang ditahan sejak 21 Jun lepas.

Hasil siasatan berhubung kes itu membawa kepada penahanan terbaharu iaitu seorang pegawai bahagian perolehan di kementerian berkenaan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dan kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut.

Menurut sumber itu, projek bernilai RM2.6 juta itu adalah projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi kerajaan.

Perintah reman terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

“Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut,” kata sumber itu.

Pada 21 Jun lepas, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin ditahan reman kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin yang dianggarkan bernilai RM10 juta daripada agensi kerajaan.

Esoknya, penolong setiausaha bahagian kementerian berkenaan pula ditahan dan diikuti dengan penahanan seorang pengurus syarikat.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, kata sumber.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM tahan enam kakitangan bank minta suapan RM18 juta lulus pinjaman

SHAH ALAM, 8 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam kakitangan sebuah bank, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon-pemohon pinjaman peribadi, melibatkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta antara 2018 hingga 2020, petang tadi.

Kesemua suspek lelaki berusia 36 hingga 45 tahun yang bertugas di beberapa cawangan bank itu sekitar Lembah Klang, ditahan 4.45 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor, dekat sini.

Menurut sumber, kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada 110 pinjaman pembiayaan peribadi, bernilai lebih kurang RM18 juta.

“Wang rasuah tersebut ialah sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan dari pemohon-pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman,” menurut sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi, mengesahkan penahanan terhadap keenam-enam individu berkenaan.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM pantau jabatan disyaki terlibat monopoli kartel projek kerajaan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memantau penglibatan jabatan-jabatan kerajaan yang disyaki terlibat memonopoli kartel projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pemantauan menerusi kerjasama Kementerian Kewangan itu, akan membuat penelitian ke atas sebarang proses perolehan dibuat jabatan-jabatan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu sedang dipantau terhadap jabatan-jabatan yang SPRM dapat maklumat wujudnya bentuk monopoli kartel ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut Azam berkata, sebarang penemuan penglibatan jabatan lain akan dimaklumkan suruhanjaya itu kemudian.

“Setakat ini, tiada penemuan kerana pemantauan sedang dijalankan dan kami memandang serius kes monopoli kartel projek dan cara untuk mengatasinya,” katanya selepas ditemui pemberita pada program kerjasama strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama SPRM di sini, hari ini.

Dalam pada itu Azam berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan Peguam Negara berhubung pembabitan seorang individu yang juga pengerusi Prasarana Berhad, dipercayai menyalahguna kuasa membuat perubahan signifikan di dalam syarikat terbabit.

“Kami dah kemukakan kertas siasatan itu dua minggu lepas, dan masih menunggu keputusan mereka untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Azam menghadiri program kerjasama SPRM dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Program kerjasama yang terjalin sejak 2019 itu, mengetengahkan seni budaya sebagai medium yang berkesan dalam mendidik serta mendapatkan sokongan masyarakat dalam usaha memerangi rasuah.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN Mesran Mohd Yusop yang turut hadir di majlis itu berkata, aktiviti seni budaya mudah diterima segenap lapisan masyarakat, sekali gus meningkatkan lagi kesedaran orang ramai dalam memerangi rasuah.

Mesran berkata melalui kerjasama ini, JKKN dengan kerjasama SPRM akan menganjurkan tiga program seni kebudayaan, antaranya Kolokium Antirasuah ‘Adat Pepatih Melingkari Hidup Berintegriti’, pertandingan Battle of The Bands ‘Tak Nak Rasuah’ dan Pertandingan Dondang Sayang Pantun Bertema Antirasuah.

Mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh melayari laman web rasmi atau Facebook JKKN untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tahap kerjasama masyarakat perangi rasuah meningkat

PUTRAJAYA, 4 MEI: Tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah meningkat setiap tahun sejak 2018, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Menerusi kajian Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dilakukan oleh SPRM, tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 direkodkan pada kadar 82 peratus dan ia meningkat kepada 82.7 peratus pada 2019 dan 86.3 peratus pada tahun lepas, katanya.

Bagi tahap kesediaan masyarakat pula, pada 2018 adalah sebanyak 81.1 peratus dan meningkat kepada 82.1 peratus pada 2019 dan 85.6 peratus pada tahun lepas.

“Tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, pada 2018 adalah sebanyak 81 peratus diikuti 81.8 peratus pada 2019 dan 84.6 peratus pada tahun lepas,” katanya ketika berucap pada program Strategic Engagement dengan media Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia di sini semalam.

Menerusi kajian itu juga, katanya tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun iaitu pada 2018 sebanyak 72.5 peratus, 2019 (74.3 peratus) dan 2020 (77.7 peratus).

Pada majlis itu, beliau berterima kasih kepada media atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM dan pencegahan rasuah yang meluas dengan sebanyak 32,132 artikel dan laporan berkaitan SPRM dan rasuah telah disiarkan menerusi medium media cetak, televisyen, radio dan portal berita sepanjang tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,486 disiarkan di media cetak, 4,266 di televisyen, 345 di radio manakala 19,035 pula menerusi portal berita, katanya.

Shamshun Baharin berkata setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan lagi kepada umum secara berterusan supaya tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM terus meningkat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat Geng Nicky ditahan

JOHOR BAHRU, 27 APRIL: Seramai 12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang yang didalangi ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee ditahan di beberapa negeri setakat hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berusia lingkungan 35 hingga 49 tahun.

Beliau berkata mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, pada 21 April hingga hari ini menerusi Ops Pelican 3.0 Fasa 2.

“Tangkapan melibatkan dua pegawai berpangkat Superintendan (Supt) yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Inspektor di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Tiga lagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, masing-masing berpangkat Deputi Superintendan (DSP) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Superintendan (ASP) (Cawangan Khas) dan Inspektor di JSJ IPK manakala seorang bertugas sebagai Inspektor di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata tangkapan turut melibatkan seorang pegawai berpangkat DSP yang bertugas di JSJ, IPD Melaka Tengah manakala di IPK Kuala Lumpur pula melibatkan dua pegawai berpangkat ASP masing-masing bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di IPD Sentul.

Menurutnya, tangkapan di IPK Negeri Sembilan pula melibatkan pegawai berpangkat Inspektor bertugas di Pulapol Air Hitam sementara tangkapan di SPRM pula melibatkan dua pegawai berpangkat Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa SPRM di Putrajaya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA.

Tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 64 individu sudah ditahan disyaki terlibat dengan kumpulan Geng Nicky, tambahnya.

“Polis Johor akan terus menjalankan siasatan susulan, untuk mengenal pasti saki-baki individu yang terlibat, kami percaya akan ada lagi dari agensi penguatkuasaan yang akan ditangkap,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan disyaki bersekongkol dengan kumpulan Geng Nicky.

Dalam sidang akhbar sama, Abdul Hamid turut dilaporkan sebagai berkata seramai 68 ahli kumpulan jenayah terbabit diberkas termasuk lapan orang kenamaan bergelar Datuk Seri dan Datuk.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket kartel projek: Lapan disambung reman

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Lapan individu yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket kartel projek kerajaan disambung reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata tujuh daripada mereka disambung reman sehingga 15 April manakala seorang lagi sehinga 16 April ini.

“Tujuh daripadanya disambung hingga Khamis ini dan seorang lagi sehingga pada Jumaat ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 4 April lalu, SPRM berjaya membongkar sindiket kartel yang dipercayai memonopoli sejumlah 354 tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion sejak tujuh tahun lalu

Setakat ini, lapan individu berusia antara 35 dan 47 tahun termasuk seorang juruukur bahan gred 48 daripada sebuah agensi kerajaan telah ditahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel tender projek: SPRM tahan pegawai kanan kerajaan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Seorang pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki turut terlibat dalam sindiket kartel tender projek kerajaan.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di kediamannya di Ampang tengah malam tadi.

“Lelaki itu dipercayai menerima rasuah sebanyak RM1.2 juta membabitkan empat kali transaksi pembayaran bagi membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek-projek kepada ketua sindiket kartel bagi memudahkan penyediaan dokumen tender.

“Hasil risikan juga mendapati beliau dipercayai terlibat dalam kerja-kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) bagi projek-projek yang ditawarkan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Semalam, SPRM berjaya melumpuhkan sindiket kartel tender projek kerajaan dengan penahanan tujuh individu termasuk ketuanya dalam operasi yang dijalankan.

Kesemua mereka dilaporkan memonopoli sejumlah 354 tender beberapa kementerian serta agensi kerajaan di seluruh negara melibatkan projek berjumlah RM3.8 bilion sejak 2014 hingga kini dan modus operandi sindiket dipercayai menggunakan lebih 150 syarikat bagi memasuki tender atau sebut harga di kementerian serta agensi terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kakitangan Invest Selangor lafaz ikrar, lancar pelan anti rasuah

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris mengetuai 66 kakitangan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Beliau berkata selaku organisasi penggalakan pelaburan, semua kakitangan perlu mengamal serta mengekalkan tahap integriti sekali gus menjadi contoh kepada syarikat lain.

“Invest Selangor menjadi cermin kepada Kerajaan Negeri kerana syarikat ini berurusan dengan pelabur, justeru pegawai dan kakitangannya perlu menonjolkan amalan murni.

“Kita tidak mahu lafaz IBR hanya di bibir sahaja, sematkan dalam hati untuk menolak rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Melafazkan dan Menandatangani IBR yang disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim.

Pada majlis sama, Invest Selangor turut melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2023, menjadi anak syarikat pertama Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif itu.

OACP bertujuan menangani kelemahan urus tadbir, integriti dan rasuah dalam kalangan warga Invest Selangor ke arah menjadi organisasi korporat cekap, bertanggungjawab serta amanah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa SPRM siasat isu wakil rakyat diugut alih sokongan

SHAH ALAM, 23 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat percubaan seorang menteri kanan yang didakwa mengugut ahli parlimen untuk lompat parti.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tekanan terhadap wakil rakyat pembangkang bagi memastikan pemerintah sedia ada terus berkuasa.

“Isu rasuah dan salah guna kedudukan adalah isu yang sangat penting kerana ia akan menentukan jatuh bangun bangsa ini, tergantung pada tekad dan iltizam kita dalam menyanggahnya.

“SPRM wajar diberi kebebasan dan kepercayaan bahawa badan itu mempunyai integriti serta keupayaan untuk menyiasat kes-kes rasuah tanpa rasa gentar dan pandang bulu,” tulisnya di Facebook.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Azam Baki bagi menyampai dan menyuarakan kebimbangan berhubung salah guna kuasa.

Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba mengugut wakil rakyat pembangkang untuk mengalihkan sokongan.

Kenyataan itu berkait tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar yang meninggalkan parti itu pada 13 Mac dan menyokong kerajaan PN.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM jamin bertindak profesional laksana tugas

PUTRAJAYA, 22 MAC: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki memberi jaminan agensi itu akan melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional berlandaskan undang-undang.

Katanya SPRM juga akan menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diberikan.

Jaminan itu diberikan pada pertemuan beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat kunjungan ke pejabatnya hari ini.

“Dalam pertemuan tersebut, saya telah mendengar beberapa isu semasa berbangkit dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar yang menjadi keprihatinan beliau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena kunjungan itu.

Azam berkata SPRM juga menghargai sokongan yang diberikan oleh Ketua Pembangkang itu terhadap agensi berkenaan dalam usaha membanteras rasuah secara berkesan di negara ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata beliau menyokong tindakan SPRM mengekang rasuah di negara ini ekoran Indeks Persepsi Rasuah 2020 yang dikeluarkan oleh Transparency International menunjukkan amalan itu masih pada tahap membimbangkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Syarikat sewa kapal kes pertama didakwa bawah Seksyen 17A Akta SPRM

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Sebuah syarikat penyewaan kapal menjadi organisasi komersial pertama di negara ini yang didakwa mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sejak seksyen itu dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas.

Menurut kenyataan SPRM semalam, pendakwaan akan dibuat terhadap pengarah syarikat tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Untuk rekod, Seksyen 17A akta itu (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

Menurut kenyataan itu, terdahulu hari ini SPRM menahan bekas pengarah syarikat tersebut kerana disyaki terbabit rasuah sebanyak RM321,350 sebagai imbuhan memberikan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Lelaki berusia 64 tahun itu ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 bagi kesalahan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal.

Menurut kenyataan itu, perbuatan rasuah tersebut dilakukan antara 29 Jun hingga 14 Oktober tahun lalu membabitkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM1 bilion.

Susulan itu, SPRM memanggil dan mengambil keterangan pengarah syarikat tersebut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

– BERNAMA