Categories
NASIONAL

Kerajaan Dan Kroni Didakwa Bolot Untung Saman Pengangkutan

PETALING JAYA 04 JULAI : PKR hari ini mendakwa Kementerian Pengangkutan berkongsi kompaun saman yang dikenakan ke atas rakyat bersama dua syarikat yang diberikan kontrak projek ‘Automated Enforcement System’ (Aes).

Bendahari Agung PKR, William Leong berkata mengikut kedua-dua laporan syarikat Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd menyatakan setiap RM16 bagi satu saman yang dikeluarkan akan diberikan kepada kedua-dua syarikat terbabit.

Katanya, RM16 itu akan diberikan sehingga saman yang dikeluarkan mencecah lima juta.

Manakala, selepas mencecah lima juta saman, Kementerian akan mendapat 50 peratus manakala 50 peratus lagi akan diberikan kepada syarikat terbabit sehingga syarikat itu mendapat keuntungan RM272 juta setahun.

“Oleh kerana itu, kedua-dua syarikat terbabit mensasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 juta saman setiap tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Disebabkan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah Akta Pindaan Pengangkutan yang menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Ini satu angka keuntungan yang besar kerana apabila selepas jumlah itu, mereka akan berkongsi sebanyak 7.5 peratus lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Selayang itu juga mendakwa, salah satu pengarah syarikat Beta Tegap Sdn Bhd iaitu Datuk Arianta Alikusno mempunyai hubungan dengan pemimpin MCA.

“Ini kerana Arianta ini pernah diberikan satu kontrak yang besar pada tahun 2005 daripada Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

“Dalam senarai pemegang saham syarikat Beta Tegap Sdn Bhd yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Arianta dan anaknya Dr Andres Teoh serta isterinya, Yap Kim See @ Yap Ai Lin dan seorang iaitu Datuk Mohd Yunus Othman merupakan antara pemegang saham syarikat itu.

“Begitu juga dengan syarikat Mediharta Sdn Bhd, adalah orang yang sama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bidang kepakaran kedua-dua syarikat itu.

“Apakah kepakaran dan pengalaman mereka dalam Aes?. Apa yang kita tahu teknologi yang digunakan oleh syarikat Beta Tegap hanya daripada sebuah syarikat Australia iaitu Reflex Pty Limited dan apakah kepakaran mereka dalam ‘security hologram’ yang diberikan kontrak daripada Kementerian Kesihatan?” katanya.

Justeru, beliau meminta Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek memberi penjelasan berhubungan kaitan dengan nama-nama terbabit.

“Kenapa Kementeria Pengangkutan tidak memberi kontrak terus kepada syarikat Reflex? Kenapa guna wakil? Ini kerana mereka mahu mengaut keuntungan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hanifa Maidin: Dokumen Umno Jual Tanah Sedang Di Teliti

SHAH ALAM, 13 MAC : Peguam PAS Mohamed Hanipa Maidin berkata beliau perlu meneliti fakta kes dan dokumen-dokumen berkaitan sebelum membuat sebarang rumusan daripada segi perundangan berkenaan unsur salah laku berhubung penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor oleh Umno Bahagian Tanjung Karang.

Umno Tanjung Karang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

“Hendak memberi pandangan daripada segi perundangan tanpa kita melihat dokumen itu susah juga untuk membuat keputusan.

“Saya tidak pasti daripada segi perundangan samada boleh ataupun tidak tanah ini diberikan kepada parti politik,apa yang saya tahu,ia mesti diberi kepada pemegang amanah, jika pindah milik tanah kepada parti politik daripada segi undang-undang tidak boleh.” kata beliau yang juga bekas calon Parlimen Tanjung Karang ketika PRU 2008 lalu.

Hanipa yang dihubungi TVSelangor menjelaskan adalah menjadi kesalahan jika pihak yang membuat keputusan pemberian tanah jika ada kepentingan dalam penjualan tanah itu yang bertentangan dengan undang-undang.

” Jika contohnya si A hendak memberi tanah kepada si B. Tiba-tiba si A ini ada kepentingan dalam tanah yang hendak dapat ini maknanya di sini ada kepentingan pecah amanah dan rasuah serta sebagainya,” katanya.

Sebelum ini,menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman, PAS Tanjung Karang ketika ini sedang mengumpulkan fakta kes terbabit sebelum menyerahkan kepada pihak guaman yang dilantik untuk tindakan selanjutnya.

?Sekarang PAS Tanjung Karang sedang kumpulkan fakta berkaitan kes ini.

?Kebanyakkan fakta kami dah perolehi, cuma tinggal beberapa perkara yang masih diteliti sebelum kami bawa kepada pihak guaman untuk tindakan selanjutnya buat laporan SPRM,? beritahu beliau.

Terdahulu, TVS dan Selangor Kini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor ketika di bawah pentadbiran BN telah menganugerahkan sebidang tanah milik kerajaan negeri kepada Umno bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun pada sekitar 2007, tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional telah dijual oleh Umno Tanjung Karang kepada dua buah syarikat swasta, Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada harga yang tidak diketahui.

Carian yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang memiliki kepentingan di salah satu syarikat terbabit.

Syarikat tersebut turut membuat permohonan untuk mendirikan hotel di atas tanah seluas 4,370 meter persegi yang turut terdapat sebuah gimnasium yang telah dikosongkan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno Tg Karang Jual Tanah Kerajaan bakal Ke SPRM

SHAH ALAM, 13 MAC: Selepas kontroversi pertunangan anak Perdana Menteri, satu lagi penyelewengan pemimpin Umno dijangka turut dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedikit masa lagi.

Isu yang membabitkan penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor itu turut membabitkan Umno Bahagian Tanjung Karang yang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman, PAS Tanjung Karang ketika ini sedang mengumpulkan fakta kes terbabit sebelum menyerahkan kepada pihak guaman yang dilantik untuk tindakan selanjutnya.

“Sekarang PAS Tanjung Karang sedang kumpulkan fakta berkaitan kes ini.

“Kebanyakkan fakta kami dah perolehi, cuma tinggal beberapa perkara yang masih diteliti sebelum kami bawa kepada pihak guaman untuk tindakan selanjutnya buat laporan SPRM,” beritahu beliau.

Terdahulu, TVS dan Selangor Kini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor ketika di bawah pentadbiran BN telah menganugerahkan sebidang tanah milik kerajaan negeri kepada Umno bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun pada sekitar 2007, tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional telah dijual oleh Umno Tanjung Karang kepada dua buah syarikat swasta, Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada harga yang tidak diketahui.

Carian yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang memiliki kepentingan di salah satu syarikat terbabit.

Syarikat tersebut turut membuat permohonan untuk mendirikan hotel di atas tanah seluas 4,370 meter persegi yang turut terdapat sebuah gimnasium yang telah dikosongkan.

Bagaimanapun, permohonan syarikat terbabit telah ditolak dalam mesyuarat Ahli-ahli Majlis Daerah Tanjung Karang.

Dalam isu yang sama, Noh Omar turut menghantar seorang wakil untuk membuat rayuan kepada Misran agar beliau menarik kembali kenyataan terdahulu beliau berkaitan isu ini.

Bagaimanapun rayuan tersebut tidak dilayan oleh Misran.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tekanan PR Paksa Najib Batal SPBA

SHAH ALAM, 8 MAC: Kesan tekanan hebat dari Pakatan Rakyat yang mahukan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) dihapuskan kerana tidak membantu golongan berpendapatan rendah akhirnya tercapai apabila Perdana Menteri bertindak memansuhkannya hari ini.

MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata PKR mengalu-alukan pembatalan skim terbabit dengan mengguna pakai kembali Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Katanya pembatalan ini jelas menunjukkan kegagalan berterusan Kerajaan Umno-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan sesuatu dasar.

“Kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah. Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

“Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya ?sudah terhantuk baru terngadah? diambil oleh Perdana Menteri hari ini.” Jelas beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah turut menggariskan lima prinsip yang seharusnya diterima pakai bagi membantu nasib golongan pekerja.

1) SSM yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji “sara hidup” (“living wage”), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2) SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3) SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4) SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5) SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Pagi tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman membatalkan SPBA yang dijangka dilaksanakan Januari lalu dan menerima kembali SSM.