SUARAM : Henti ‘Ganggu’ Pemberi Maklumat, Siasat Suspek Rasuah

 

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Umno-BN digesa untuk menyiasat suspek dalam skandal rasuah berhubung pembelian kapal selam Scorpene dan bukannya pihak yang menjadi pemberi maklumat.

Sekretariat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, ‘gangguan ‘oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan membuat pemeriksaan mengejut ke premisnya baru-baru ini adalah contoh yang mengejutkan berhubung keutamaan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Sebaliknya siasat segera aktiviti syarikat yang dipersoalkan seperti Perimekar dan Terasasi baru-baru ini yang didedahkan di Paris.

“Pihak berkuasa memutuskan untuk mengganggu Suaram, pemberi maklumat dalam skandal berterusan Scorpene, yang melibatkan sekurang-kurangnya RM500 juta komisyen,” kata Sekretariat Suaram dalam kenyataan media.

Jelas kenyataan itu, lawatan oleh SSM mengenai ‘pemeriksaan rutin’ mengurangkan kredibiliti agensi itu apabila jelas  bahawa sebelum ini Suaram mempunyai rekod yang cemerlang selama 23 tahun dan mengemukakan rekod kepada SSM sejak tahun 2002.

Pada 2011 Suaram dikurniakan dengan anugerah daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Kami mempersoalkan motif politik SSM apabila mereka melakukan pemeriksaan ‘rutin’ untuk kali pertama selepas lebih 23 tahun beroperasi.

“Suaram tiada apa yang hendak disembunyikan dan kami bersedia untuk mematuhi mana-mana kehendak yang dinyatakan di bawah undang-undang dalam mengemukakan rekod sepenuhnya pengauditan kami,” katanya.

Jelasnya, Suaram berkembang selama 23 tahun melalui derma oleh sumber-sumber awam dan swasta dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada penaja.

“Kami adalah sebuah pertubuhan bukan membuat keuntungan dan kami bangga perkhidmatan tidak mementingkan diri sendiri .

“Kami pembayar cukai di Malaysia dan sumbangan kami adalah untuk  keadilan demokrasi Malaysia, dan hak asasi manusia,” kenyataan itu dipetik.

Semalam, pegawai SSM sekali lagi mencuba tetapi gagal untuk menyampaikan notis pemeriksaan kepada Suaram.

Tiga pegawai SSM yang diketuai Timbalan Pendaftar, Azahari Ab Rahman tiba beberapa minit sebelum pejabat ditutup pada jam 5.53 petang dan mendapati tidak ada kakitangan yang layak menerima notis tersebut.

Categories
NASIONAL

LKS: Batal Panel Hanif, Beri SUHAKAM Siasat BERSIH

SHAH ALAM 29 MEI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam) perlu diberikan sokongan penuh untuk menyiasat aksi keganasan semasa perhimpunan aman BERSIH 3.0 28 April lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berpendapat Suhakam lebih layak berbanding ‘Panel Penyiasatan Bebas’ yang dikepalai Tun Hanif Omar.

Katanya, panel penyiasat ini seharusnya bebas dari tangan-tangan yang tidak sepatutnya apalagi sebelum ini bekas Ketua Polis Negara itu dilihat keras mengutuk perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil itu.

“Panel tersebut perlu dibatalkan. Dalam tempoh sebulan yang lalu, kerajaan giat melancarkan kempen fitnah untuk mencerca Bersih 3.0 dan Pakatan Rakyat pula dikaitkan secara meluas dan langsung dalam kempen fitnah ini.

“Hanif pula bertindak memegang ?watak utama? dalam kempen fitnah ini dari awal lagi dengan sokongan membuta tuli terhadap dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Malah, lebih hina apabila Hanif berkata yang beliau dapat mengenalpasti individu-individu pro-komunis di Bersih 3.0 dan mendakwa kanak-kanak digunakan dalam Perhimpunan Bersih 3.0 sebagai ?taktik komunis?.

Dengan dakwaan liar yang dikeluarkan Hanif sebelum ini, Kit Siang mempersoalkan integriti Hanif dilantik sebagai pengerusi panel penyiasatan tersebut.

“Jika Hanif tidak mahu menarik balik kenyataan prasangka mengenai Bersih 3.0, beliau perlu menjadi ?saksi utama? dihadapan mana-mana penyiasatan Bersih dan bukan mempengerusikan panel tersebut.

“Jika tiada bukti yang didapati selepas penyiasatan dijalankan, adakah beliau bersedia untuk mengumumkan secara terbuka yang kedua-kedua Perdana Menteri dan diri beliau mengaku salah dalam dakwaan yang perhimpunan tersebut adalah satu percubaan pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan?” soal Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Sehubungan itu, Kit Siang berpendapat, Najib selaku Perdana Menteri seharusnya bertindak dengan lebih tegas dalam menuntut penyiasatan yang saksama dan komprehensif berhubung keganasan Bersih 3.0.

“Kerajaan harus membatalkan sahaja panel Hanif dan seterusnya memberi sokongan padu terhadap penyiasatan Suhakam dalam Bersih 3.0,” tegas Kit Siang lagi.

Sebelum ini, kerajaan menubuhkan panel penyiasatan bebas yang dipengerusikan oleh Hanif untuk menjalankan penyiasatan terhadap keganasan Bersih 3.0 walaupun tiada kredibiliti, sokongan, keyakinan dan kepercayaan orang awam.

Categories
NASIONAL

Ditembak Gas Pemedih Mata, Dibelasah Ramai-ramai Oleh Polis

PETALING JAYA, 17 MEI : Dua lagi peserta BERSIH 3.0 tampil mendakwa mereka menjadi mangsa keganasan polis semasa himpunan gergasi itu di Kuala Lumpur pada April 28 lalu.

Babak-babak ngeri yang mereka alami itu dimuatkan di dalam dua laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling pagi tadi.

Pang Choy Wan, 27, berkata beliau ditembak dengan gas pemedih mata pada jarak kira-kira 10 meter di Jalan Yap Ah Loy selepas bersurai daripada perhimpunan itu.

“Tembakan pertama terkena di peha kiri dan tembakan yang kedua tevrkena belakang badan saya,” kata Pang semasa ditemui.

Tembakan itu katanya, meninggalkan kesan lebam kebiru-biruan di pehanya.

Ketika insiden itu beliau bersama beberapa orang wanita dan warga emas.

Seorang lagi mangsa, Abdul Razib Abu, 45, mendakwa beliau di belasah sekumpulan anggota polis lengkap beruniform di hadapan IPD Dang Wangi pada hari kejadian.

Dakwanya, dia diserbu kira-kira lapan hingga 10 orang anggota polis ketika sedang menunggang motosikal sewaktu pulang ke rumah selepas perhimpunan tersebut.

“Saya tidak diberikan arahan untuk memberhentikan motor dan mereka terus menyerbu dan memukul saya dari arah belakang badan,” katanya sambil menambah seorang anggota berpangkat Sarjan cuba menarik baju BERSIH yang dipakainya.

Beliau juga merayu untuk tidak dipukul dan mendakwa begnya diselongkar lalu dicampak ketepi jalan.

Abdul Razib berkata insiden tersebut berlaku selama 15 minit dan beliau diarahkan untuk beredar selepas itu.

Turut mengiri Pang dan Abdul Razib di IPD tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah dan peguam dari Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri.

Maria Chin mengesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya menyiasat siapa yang memberi arahan kepada pihak polis untuk menggunakan kekerasan dan keganasan walaupun peserta BERSIH 3.0 bersurai.

“Peserta himpunan ini tiada jalan untuk bersurai kerana semua jalan ditutup oleh pihak polis, macam mana mereka hendak bersurai?” soalnya.

Fadiah Nadwa menyatakan beliau telah menerima 70 laporan daripada peserta BERSIH yang mendakwa dikasari polis.

Laporan-laporan tersebut akan difailkan kepada SUHAKAM untuk menuntut satu siasatan bebas demi membela nasib mereka.

Categories
NASIONAL

BERSIH: SUHAKAM Perlu Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Kekasaran Polis

KUALA LUMPUR 16 MEI: BERSIH 2.0 mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat segera kekasaran yang dilakukan polis terhadap peserta himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu.

Satu memorundum diserahkan oleh Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam beserta enam dakwaan terhadap polis.

Turut hadir sama adalah Peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri dan Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Enam dakwaan tersebut adalah:

*Ketidak wajaran penggunaan gas pemedih mata dan semburan air kimia termasuk melepaskan tembakan secara terus kepada peserta himpunan.

* Kekasaran polis terhadap peserta himpunan termasuk mengasari mereka selepas ditahan.

*Menangkap, mencederakan petugas media selain merampat peralatan media.

* Menahan secara rambang peserta perhimpunan tanpa mendedahkan senarai nama mereka yang disyaki terlibat kepada umum.

*Kekasaran terhadap peserta perhimpunan selain menahan individu tanpa alasan yang memakai t-shirt BERSIH.

*Kegagalan polis mempamerkan butiran pengenalan peribadi seperti nama dan nombor identiti mereka.

Ambiga dalam sidang media berkata, penubuhan suruhanjaya bebas ini penting bagi menjelaskan kepada umum keadaan sebenar pada hari kejadian dan pihak SUHAKAM akan memutuskan perkara ini dalam masa terdekat.

Beliau mengulangi desakan BERSIH 2.0 yang mahu semua senarai nama mereka yang dikehendaki polis dipaparkan kepada umum melalui media dan bukannya memaparkan gambar kepada umum semata-mata.

“Mereka belum memutuskan sama ada akan mengadakan siasatan atau tidak. Ada kemungkinan mereka akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan untuk memutuskan perkara ini,” katanya.

Bersih 2.0 juga menuntut jaminan polis agar mana-mana individu yang menyerah diri bagi membantu siasatan berada dalam keadaan selamat tanpa dicederakan selain dibenarkan untuk membawa peguam.

Awal minggu ini menyaksikan seorang peserta BERSIH 3.0, Mohd Safuan Mamat @ Nordin tampil menyerah diri membantu siasatan di balai Polis Dang Wangi namun dicederakan menggunakan batang paip hitam di dalam lokap.

Lebih mengejutkan, seorang tahanan turut menampar beliau sebanyak empat kali dan polis hanya memerhatikan tindakan berkenaan.

Beliau diminta untuk mengaku bersalah atas kejadian memusnahkan kereta polis dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

Safuan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 turut diminta melaporkan diri di Balai Polis Merchang, Terengganu pada minggu pertama setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Categories
NASIONAL

SUHAKAM Kecewa Insiden Kekasaran Polis

SHAH ALAM,3 MEI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam BERSIH 3.0pada 28 April 2012.

Ini termasuk laporan pasukan pemantau Suhakam, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara membuta tuli oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media.

“Penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional,” katanya dalam kenyataan media.

Hasmy berkata, walaupun Suhakam telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak.

“Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.

“Suhakam juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima,” ujar beliau.

Tambah Hasmy,peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

“Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa,” katanya.

Hasmy menegaskan,hak-hak itu adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

“Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan serta pengemukaan maklumat dan dokumen, sila hubungi:

Kumpulan Aduan, Inkuiri dan Pemantauan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tingkat 11, Menara TH Perdana Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2612 5600; Faks: 03-2612 5694/5620
Emel: [email protected] / [email protected]

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peneroka Felda Serah Memo Kepada SUHAKAM

KUALA LUMPUR,3 MEI : Bukan sahaja ladang dipenuhi semak samun dan hutan belentara,malah pokok kelapa sawit yang ditanam tidak memenuhi spesifikasi sehingga membantutkan pengeluran hasil yang bermutu. Masalah itu ditambah apabila setiap peneroka dilonggokkan bebanan hutang sehingga RM150,000.00 seorang yang perlu dijelaskan.

Geram dan tidak berpuas hati dengan rungutan serta aduan yang telah diadukan selama ini , seramai 40 peneroka Felda Bukit Rokan Utara,Gemencheh, Negeri Sembilan yang mewakili 105 peneroka bertindak menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) terhadap kegagalan pengurusan Felda dalam mengurus dan menyelenggara ladang kelapa sawit milik peneroka itu.

Menurut Penyelaras Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felda Bukit Rokan Utara, Zainol Harin berkata, para peneroka tidak berpuas hati terhadap jumlah tanggungan hutang yang amat membebankan dan menuntut kajian semula terhadap jumlah hutang yang ditanggung,pemulihan semula ladang serta bayaran gantirugi.

” Kami telah kerap kali mengadu masalah kami kepada pihak pentadbiran Felda Wilayah Raja Alias dan Pejabat Felda Bukit Rokan Utara sejak 2004 melalui beberapa perjumpaan dan perbincangan namun sehingga kini tiada penyelesaian.

“Akibat daripada itu , jumlah hutang kami kian bertambah sehingga ada yang mencecah melebihi RM150,000.00 sementara ladang kelapa sawit kami tidak mengeluarkan hasil mengikut jumlah yang sepatutnya malah terdapat antaranya langsung tidak mengeluarkan hasil,” kata beliau semasa membuat aduan kepada pihak SUHAKAM di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail di sini semalam.

Tambah Zainol lagi,sejak penanaman kelapa sawit itu dijalankan,pihak pengurusan Felda Bukit Rokan Utara telah cuai dalam mengurus dan menyelenggara ladang dengan baik melalui pihak-pihak yang dilantik sehingga menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan dari kebanyakkan ladang mengikut jangkamasa dan jumlah yang sepatutnya.

” Mengikut perjanjian pemulihan ladang pada 2004,pihak Felda bersetuju untuk memberi pinjaman dalam bentuk bantuan Sara Hidup kepada peneroka terlibat maksima sehingga 36 bulan tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau mengharapkan agar SUHAKAM dapat membantu masalah peneroka terhadap kajian semula jumlah bebanan hutang pinjaman bantuan sara hidup yang ditanggung serta pelupusan sebahagian hutang tersebut mengikut tempoh persetujuan perjanjian ladang yang telah ditetapkan.

“Kami berharap agar kesengsaraan kami dalam menanggung bebanan hutan akibat kecuaian dan kegagalan pihak pengurusan Felda mendapat perhatian serius,” tegas Zainol.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata pihak SUHAKAM akan menjalankan siasatan berkenaan perkara berkenaan yang melibatkan hak warga Felda serta mengesorkan agar siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan bagi mengenalpasti salah laku dalam pengurusan Felda itu.

” Ini satu yang tidak adil apabila kos setiap tahun dilonggokkan dan bertambah ke atas peneroka ia disebabkan oleh pihak pengurusan, dan peneroka di bebani dengan hutang,” katanya.

Dalam majlis itu, Sha’ani menerima memorandum bagi pihak SUHAKAM yang diserahkan oleh wakil peneroka Zainol Harin bersama Timbalan Setiausaha Agung PKR,T.Kumar di sini.

Menurut peneroka Felda,Hajjah Munah Hasan,69, yang ditemui berkata beban hutang yang ditanggungnya amat berat memandangkan beliau adalah ibu tunggal dan hanya mengharapkan hasil daripada ladang untuk menyara kehidupan.

” Nak bayar dengan apa ?, hutang semakin bertambah,setiap bulan makcik hanya menerima hasil antara RM 400 – RM500 sebulan, jadi saya harap pihak yang berwajib ambillah tindakan sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

FELDA Bukit Rokan Utara telah dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada tahun 1969 dan mula didiami pada tahun 1972.

Ia terletak di antara Felda Bukit Rokan di sebelah timur dan Felda Bukit Rokan Barat di sebelah barat.

Categories
NASIONAL

PAS Mahu Suhakam Siasat Keganasan Polis

SHAH ALAM, 30 APR : Pakatan Rakyat menyokong saranan dibuat Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan wujudnya provokasi polis hingga tercetusnya tindakan ganas pihak berkuasa itu terhadap peserta yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Saranan tersebut dibuat Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung penubuhan jawatankuasa tersebut apabila berlaku insiden tidak diingini melibatkan peserta Bersih 3.0 dengan pihak polis dalam usaha mereka melepasi halangan untuk memasuki kawasan Dataran Merdeka.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi TVSelangor berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan dibuat jawatankuasa BERSIH supaya siasatan secara menyeluruh dapat dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Saya fikir tindakan ganas polis ini terhadap peserta yang menyertai Bersih 3.0 perlu diberi perhatian dan perlu ditubuhkan satu jawatankusa bagi menyiasat perkara ini. Saya bersetuju apa yang dicadangkan jawatankuasa Bersih untuk Suhakam menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat tindakan ganas polis yang di luar bidang kuasa dan batas perundangan,” katanya.

Menurutnya, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghalang rakyat daripada menggunakan Dataran Merdeka bagi tujuan perhimpunan Bersih 3.0 itu adalah menjadi punca terhadap segala kekecohan yang berlaku.

Katanya, polis melakukan provokasi terhadap rakyat yang berlegar di sekitar kawasan yang hampir dengan Dataran Merdeka.

“Suasana sebegini menimbulkan kemarahan rakyat dan tercetuslah keadaan kecoh yang dapat kita lihat polis bertindak di luar peraturan sedia ada. Sebenarnya rakyat dilarang masuk ke Dataran Merdeka tetapi rakyat tidak dilarang berhimpun di tempat-tempat lain. Kalau kita tengok tindakan polis seperti di kawasan Menara Maybank, Masjid Jamek dan Masjid Negara hingga mengejar dan menyemburkan gas pemedih mata kepada peserta adalah di luar kawasan yang telah digazetkan oleh mahkamah.

“Jadi kita tengok tindakan polis ini telah melampaui had yang dibenarkan mahakamah dan rakyat sendiri telah turun dan melihat suasana provokasi yang ditimbulkan oleh polis,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkuasa seperti DBKL tidak menghalang perhimpunan Bersih 3.0 dibuat  rakyat itu maka pastinya tiada sebarang insiden tidak diingini yang akan berlaku.

“Perhimpunan Bersih 3.0 ini adalah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya didalangi pihak pembangkang maka kerajaan sewajarnya memberi perhatian dengan mendengar suara rakyat yang inginkan perubahan di negara ini,” katanya.