Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Batal Projek Kondominium Batu Caves – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 25012013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 25 JANUARI 2013 :

1. Kontroversi berhubung pembinaan kondominium 26 tingkat di Batu Caves akhirnya selesai apabila Kerajaan Selangor membatalkan kebenaran merancang yang telah diberikan kepada pemaju hartanah Dolomite Properties Sdn Bhd.

2. SAT1M : Tanah untuk pembinaan Kompleks Sukan Rekreasi dan Pusat Komuniti di Sri Muda bertukar menjadi Pangsapuri Mewah.

3. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memberikan kerjasama sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan RCI berhubung isu pendatang asing di Sabah yang diberikan kerakyatan.

4. Bawani nafi bersikap biadap sewaktu forum di UUM pada 8 Januari lalu sebaliknya hanya mahu memberi pendapat berhubung pendidikan percuma.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Forum Kebebasan Akademik : 12,000 Saksi Siaran Langsung di TV Selangor

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 23 JAN : Lebih 12,000 penonton menyaksikan siaran langsung secara dalam talian Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi dipancarkan TV Selangor dari Dewan Perhimpuan Cina di sini malam tadi.

Jumlah dicatatkan adalah memberangsangkan kerana penonton selain Malaysia, adalah dari seluruh dunia seperti Brunei, Singapura, Britain, Arab Saudi, Switzerland dan yang lain.

Forum berlangsung lebih empat jam itu menampilkan panelis terdiri dari Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, Dr Maszlee Malik dan pelajar undang-undang Univerisiti Utara Malaysia (UUM) KS Bawani serta moderator, Muhammad Kamil Abdul Munim dari Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Forum anjuran Kumpulan Anak Muda Indipenden (Kami) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga berjaya dengan lebih 200 penonton hadir menyaksikannya.

Forum kebebasan akademik berkenaan dianjurkan bagi memberi penjelasan berkenaan insiden yang membabitkan Bawani dinafikan hak untuk bersuara oleh Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia(UUM) pada 8 Januari lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Fenomena ‘Listen’ Kerana Universiti Hanya Tempat Cari Makan

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 23 JAN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menjelaskan ahli akademik perlu membebaskan diri dari sebarang kongkongan dan bukan hanya menjadikan universiti sebagai tempat cari makan.

“Sebab itu sekarang kita dengar macam-macam, orang tak layak jadi profesor dapat jadi profesor, orang tak layak dapat PhD tapi dapat PhD, maka anda boleh bayangkan macam mana kualiti pelajar.

“Itu yang berlaku macam Listen, Listen, Listen. Yang lebih parah dia tak mahu dengar cakap orang lain tetapi dia nak orang dengar cakap dia sahaja,” katanya sebagai panelis dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Katanya, kebebasan akademik seharusnya ahli akademik itu dibenarkan bercakap, mengajar dan menyebarkan ilmu mengikut disiplin dan pendekatannya sepertimana dirinya sebagai pengajar undang-undang dan perlembagaan yang mempunyai pendekatan tersendiri.

“Perkara yang berlaku kepada Bawani bukan satu yang baru. Saya sendiri tidak dibenarkan masuk ke UIA bila dijemput menjadi panelis dalam satu forum anjuran pelajar.

“Selepas berlaku insiden sebegini, semua pihak termasuk menteri, reaktor tak mengaku dan dekan cabut lari. Ini watak yang berlaku di universiti sekarang,” katanya.

Panelis lain, Dr Maszlee Malik berkata, univerisiti dalam negara hari ini hanya bertindak sepertii kilang bagi menghasilkan tenaga kerja diperlukan pasaran.

“Pasaran perlukan jurutera, doktor dan akitek sebanyak ini maka dihasilkan sebanyak dikehendaki tanpa mengambilkira kualiti dan kesan ilmu terhadap masyarakat.

“Maka masyarakat miskin terus miskin, papa terus papa manakala golongan kaya akan terus kaya dengan mendapat projek melalui ketirisan, korupsi dan sebagainya.

“Graduan universiti dihasilkan terus membisu dan hanya terpendam dalam sektor pekerjaan masing-masing,'” ujarnya.

Menurutnya, universiti yang sepatutnya melahirkan golongan berilmu tidak lagi memainkan peranannya.

“Bagi ahli akademik yang ada kepentingan, mereka hanya melihat kepada master politik mereka untuk dapat gelaran dan pangkat. mereka takut terima surat teguran,” katanya.

Selain Dr Aziz Bari dan Dr Maszlee, seorang panelis lagi ialah Bawani KS, pelajar UUM yang mendapat tumpuan berhubung isu video klip “Listen, Listen, Listen” di Youtube.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Categories
NASIONAL

‘Saya Tidak Biadap Tetapi Hanya Minta Beri Pendapat’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 04

KUALA LUMPUR 23 JAN : Aktivis Pelajar, KS Bawani menafikan bersikap biadap sewaktu forum di Universiti Utara Malaysia(UUM) pada 8 Januari lalu sebaliknya hanya mahu memberi pendapat berhubung pendidikan percuma.

Pelajar Undang-undang UUM itu berkata, pendapat diberikan selepas Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin melontarkan pertanyaan seandainya terdapat solusi mengenainya.

“Dalam masa isu PTPTN itu Puan Sharifah ada tanya, mansuh PTPTN ada solusi ke? Jadi saya angkat tangan kerana saya ada pendapat saya,” katanya yang merupakan Penyelaras Gabungan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Tambahnya, dia hanya bertindak menyatakan pendapat selepas tidak diberi peluang semasa sesi soal jawab.

Dakwanya, sesi soal jawab yang sepatutnya berlangsung dalam beberapa peringkat seperti disingkatkan oleh penganjur.

“Ramai yang kata saya biadap tetapi saya tidak diberi peluang masa sesi soal jawab. Jadi saya nyatakan pendapat saya selepas itu dengan pergi ke pembesar suara.

“Saya pun tidak faham kerana forum itu ada bacaan ikrar kerana saya sudah banyak hadiri forum tetapi tak pernah diminta untuk baca ikrar,” katanya.

Forum tersebut juga disifatkan sebagai medan bagi ‘brainwash’ mahasiwa kerana katanya, ketika memperkatakan tajuk “Wanita Dan Politik” banyak dipaparkan video demo Bersih dan gambar protes PTPTN mahasiswa di Dataran Merdeka.

“Ditunjukkan Nurul Izzah dengan isu kebebasan agama dan Datuk S Ambiga dikatakan sebagai pencetus anarki negara.

“Forum semuanya memaparkan tentang pembangkang. Walaupun mereka tak menyatakan parti politik mana tetapi secara langsung kita boleh lihat sendiri. Isunya berkaitan satu pihak iaitu pembangkang,” katanya.

Categories
NASIONAL

‘Saya Bukan Hero, Saya Cuma Mahu Rakyat Dapat Pendidikan Percuma’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 03

KUALA LUMPUR 18 JAN : Pendidikan adalah hak setiap rakyat sama seperti tempat tinggal dan makanan dan saya juga bukan hero yang perlu disanjung tinggi kerana saya percaya ramai lagi pejuang yang melakukan pelbagai usaha, lebih hebat dari saya demi rakyat, ungkap KS Bawani dengan rendah diri.

Bawani yang kini menuntut di tahun kedua jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat atas keberaniannya menyuarakan idea pendidikan percuma dalam satu forum.

Rakaman forum tersebut menyaksikan bagaimana hujah Bawani dimatikan oleh tindakan moderator forum, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang bertindak menarik mikrofon di hadapan Bawani yang sedang menyampaikan hujah-hujahnya.

Susulan insiden itu, beliau kini menjadi sebutan dan diangkat sebagai ikon mahasiswa yang dilihat berani dalam menyuarakan pandangan yang nyata bertentangan dengan polisi kerajaan pemerintah.

“Jangan pandang saya seolah-olah saya di langit kerana saya hanyalah insan kerdil yang hanya bersuara untuk menuntut keadilan buat semua.

“Saya yakin Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma sepertimana yang dlaksanakan negara-negara seperti Cuba, Brazil, Argentina yang mempunyai pendapatan negara kurang daripada Malaysia.

“Pendidikan bukanlah satu bentuk perniagaan, komoditi atau barangan untuk dijual beli, ia adalah hak setiap insan,” tegas Bawani.

Beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menghadiri sidang media anjuran pertubuhan yang dinaunginya sendiri, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi tadi.

Menurutnya lagi, mahasiswa perlu dibebaskan daripada kepompong pemerintah atau kerajaan bagi menjamin hak mahasiswa dalam menyuarakan pandangan serta idea baru demi kemajuan negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Ia perlu dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari kita dan bukan sekadar di atas kertas sahaja.

“Pihak universiti juga perlu neutral dan bebas tanpa diselimuti usaha-usaha ‘brainwash’ pihak tertentu.

“Biarkan mahasiswa sendiri menilai mana baik, mana buruk,” ujar Bawani.

Berusia 28 tahun, Bawani begitu konsisten dalam perjuangannya malah begitu aktif dalam pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak rakyat sejak berusia belasan tahun lagi.

Sejak terlibat dalam NGO seperti Communication Development Center (CDC); iaitu sayap utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada usia 19 tahun lagi, Bawani secara aktif memberi kelas tambahan secara percuma di estet-estet dan kampung-kampung.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 02

Categories
NASIONAL

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 01

KUALA LUMPUR 18 JAN : Kumpulan mahasiswa daripada seluruh tanah air hari ini menyatakan sokongan terhadap KS Bawani yang semakin dikenali ekoran satu rakaman video petikan forum ‘Seiringkah Mahasiswa dan Politik?’ di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini pagi tadi, pelbagai wakil kumpulan mahasiswa memenuhi ruang sidang media ‘Solidariti Mahasiswa Bersama Bawani’ anjuran Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) bagi menzahirkan sokongan padu terhadap pelajar tahun kedua jurusan Undang-undang UUM itu.

“Kami mengucap tahniah kepada saudari Bawani atas semangat sosialismenya yang tinggi dalam menentang budaya pembodohan yang dibentuk rejim kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi sejak sekian lama.

“Semangat beliau juga kita anggap sebagai salah satu pencetus kebangkitan rakyat secara seluruhnya untuk melawan kezaliman dan penindasan rejim,” ujar seorang aktivis mahasiswa, Khalid Ismath dalam ucapan solidaritinya pagi tadi.

Sementara itu, wakil Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Lee Kok Wai menuntut Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin memohon maaf secara terbuka kepada Bawani atas tindakannya merampas hak bersuara Bawani sebagai seorang mahasiswa.

“Kami menuntut beliau memohon maaf atas sikap sombong dan angkuhnya itu.

“Kami juga berharap agar mahasiswa seluruh negara mempunyai semangat yang sama seperti Bawani untuk menentang budaya ‘dengar’ ini,” jelas Kok Wai.

Bagaimanapun, Bawani dalam ucapannya berkata, secara peribadi beliau tidak pernah berniat menuntut sebarang permohonan maaf daripada Sharifah, malah beliau meminta agar komen-komen negatif terhadap Sharifah dihentikan.

“Ini bukan isu Bawani, bukan isu Sharifah dan saya minta tolong jangan kaitkan dengan isu perkauman pula.

“Sebaliknya, kita perlu bersatu untuk memperjuangkan isu yang lebih penting iaitu isu pendidikan percuma dan hak mahasiswa dalam bersuara,” tegas gadis yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Baru-baru ini, warga maya khususnya dihidangkan dengan rakaman forum tersebut yang jelas menunjukkan Bawani dinafikan hak untuk bersuara serta menyatakan pandangannya ekoran tindakan kurang matang diperlihatkan Sharifah Zohra yang bertindak selaku moderator forum.

Susulan pendedahan rakaman itu, Sharifah Zohra menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Umno-BN sendiri yang menyifatkan tindakannya itu sebagai keterlaluan.

Sebaliknya, Bawani diangkat sebagai ikon mahasiswa, seterusnya menerima ribuan ucapan tahniah serta solidariti atas keberaniannya berhujah mengenai pendidikan percuma dalam forum anjuran bersama SW1M, yang dilihat sebagai satu bentuk program ‘brainwash’ golongan mahasiswa.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 04 Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 05