Categories
GLOBAL

Liga Arab desak siasat penggunaan senjata kimia di Syria

GLOBAL 16 APR: Pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak Liga Arab, semalam menggesa siasatan antarabangsa dilakukan ke atas penggunaan senjata kimia di Syria.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ia juga mengutuk apa yang dilihat sebagai campur tangan Iran dalam hal ehwal negara lain.

Arab Saudi dan Iran sudah lama terbabit dalam permusuhan dan kini berperanan sebagai proksi perang di beberapa negara termasuk Yaman dan Syria.

“Kami menekankan kecaman ke atas penggunaan senjata kimia terhadap penduduk Syria dan menuntut siasatan antarabangsa bebas untuk menjamin pelaksanaan undang-undang antarabangsa terhadap sesiapa terbukti menggunakan senjata kimia,” menurut kenyataan yang diedarkan kepada wartawan.

Ia menegaskan keperluan penyelesaian politik kepada perang di Syria.

Arab Saudi dan sekutunya menyatakan sokongan kepada serangan peluru berpandu oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis kelmarin terhadap kemudahan senjata kimia di Syria, manakala Iraq dan Lubnan mengutuk operasi itu.

Damsyik menafikan ia menggunakan atau memiliki senjata kimia dan menyifatkan serangan sebagai tindakan pencerobohan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS musnah keupayaan Syria bina senjata kimia, 71 peluru dipintas

WASHINGTON 15 APR: Pentagon semalam menyatakan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Syria berjaya membedil setiap sasaran yang dikehendaki sekali gus memberi isyarat kepada kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad agar tidak menggunakan senjata kimia pada masa hadapan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan serangan pada awal pagi itu didakwa berjaya melumpuhkan keupayaan rejim Bashar untuk menghasilkan senjata kimia, menurut pegawai-pegawai AS.

Pentagon tidak mempunyai maklumat berhubung insiden kematian orang awam akibat serangan operasi ketenteraan AS dan sekutunya.

Leftenan Jeneral Kenneth F. McKenzie menyatakan serangan dilakukan tepat dan secara efektif walaupun ada sejumlah infrastruktur senjata kimia Syria masih terselamat.

Sementara itu, AFP melaporkan Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan sistem pertahanan udara Syria berjaya memintas 71 roket yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad semalam.

“Sejumlah 103 peluru berpandu krus termasuk misil Tomahawk dilancarkan oleh sekutu Barat. Bagaimanapun, 71 peluru berpandu krus berjaya dipintas,” kata pegawai kanan tentera Rusia, Sergei Rudskoi dalam satu taklimat di Moscow.

Barat turut melancarkan sebanyak 12 misil ke sebuah lapangan terbang dekat Damsyik, namun ia gagal memusnahkan fasiliti itu selepas semua roket itu dipintas oleh sistem pertahanan udara Syria.

“Sistem pertahanan udara Rusia yang ditempatkan di wilayah Syria tidak digunakan untuk mengekang serangan misil (Barat),” menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Rusia.

AS, Perancis dan Britain mengumumkan satu operasi ketenteraan bersama untuk menyerang kerajaan Syria yang dituduh melakukan satu serangan senjata kimia yang mengorbankan lebih 40 nyawa di bandar Douma, dekat Damsyik di Syria.

SUMBER: REUTERS/ AFP

Categories
GLOBAL

Majlis Keselamatan PBB tolak kutuk serangan Syria

NEW YORK 15 APR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal mengguna pakai resolusi Russia semalam, untuk mengutuk ‘keganasan terhadap Syria oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan PBB’.

Hanya Russia, China dan Bolivia mengundi menyokong draf resolusi itu. Lapan negara mengundi menentangnya sementara empat negara berkecuali.

Satu resolusi memerlukan sembilan undi menyokong dan tanpa veto oleh Russia, China, Perancis, Britain atau AS untuk diluluskan.

Sebelum ini, Russia menuntut pengundian di Majlis Keselamatan untuk mengutuk AS dan sekutunya kerana menjalankan serangan terhadap Syria.

Duta Russia, Vassily Nebenzia memaklumkan majlis itu patut mengadakan rundingan lewat semalam, membabitkan satu resolusi Moscow untuk mengutuk keganasan dan menuntut semua negara sekutu AS tidak melakukan serangan lanjut.

SUMBER: REUTERS/ AFP

Categories
GLOBAL

Russia pertimbang bekal peluru berpandu S-300 ke Syria

MOSCOW 14 APR: Russia sedia membekalkan sistem peluru berpandu S-300 kepada Syria dan negara lain, kata jurucakap tentera, Kolonel Jeneral Sergei Rudskoi, hari ini selepas serangan dilancarkan ke negara itu oleh Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

Rudskoi berkata, tindakan AS di Syria bertujuan mencetuskan ketidakstabilan di rantau itu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Keadaan di Damsyik dan bandar serta bandar raya lain di Syria kini tenang, katanya.

Sementara itu, Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata serangan ke atas Syria yang dilancarkan Amerika Syarikat, Perancis dan Britain hari ini adalah satu jenayah dan tidak akan mencapai sebarang kejayaan.

“Serangan awal pagi hari ini ke atas Syria adalah jenayah. Saya mengisytiharkan Presiden AS, Presiden Perancis dan Perdana Menteri Britain sebagai penjenayah.

“Mereka tidak akan mendapat manfaat daripada serangan sama seperti dilakukan terhadap Iraq, Syria dan Afghanistan pada masa lalu dan melakukan jenayah dan tidak mendapat manfaat daripadanya,” kata Khamenei dalam ucapan, menurut akaun Twitter beliau.

Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melancarkan lebih 100 peluru berpandu cruise dengan sebahagiannya dipintas sistem pertahanan udara Syria.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia, peluru berpandu udara ke bumi itu dibedil AS, Britain dan Perancis dari laut dan udara mensasarkan kemudahan tentera Syria dan awam.

Peluru berpandu terbabit dilancarkan dari kapal perang AS di Laut Merah serta pesawat di ruang udara Mediterranean dan pesawat pengebom strategik AS dari pangkalan udara Al-Tanf di sempadan Syria-Iraq.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Lebih 100 peluru berpandu AS dan sekutu hentam Syria

MOSCOW 14 APR: Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melancarkan lebih 100 peluru berpandu cruise dengan sebahagiannya dipintas sistem pertahanan udara Syria.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia, peluru berpandu udara ke bumi itu dibedil AS, Britain dan Perancis dari laut dan udara mensasarkan kemudahan tentera Syria dan awam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Peluru berpandu terbabit dilancarkan dari kapal perang AS di Laut Merah serta pesawat di ruang udara Mediterranean dan pesawat pengebom strategik AS dari pangkalan udara Al-Tanf di sempadan Syria-Iraq.

Agensi berita Russia RIA Novosti melaporkan sejumlah peluru berpandu ditembak jatuh oleh Syria.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, sistem pertahanan udara Syria dihasilkan Soviet Union lebih 30 tahun lalu.

Sistem pertahanan udara Russia yang ditempatkan di Syria tidak digunakan bagi menangkis serangan hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly berkata, negaranya melancarkan peluru berpandu dari kapal frigate di Laut Mediterranean dan jet pejuang.

Parly berkata, aset berbeza digunakan untuk melancarkan peluru berpandu serentak dengan serangan AS dan Britain.

Britain pula menggunakan empat pesawat Tornado membedil peluru berpandu Shadow.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Serangan ke atas Syria berjaya capai sasaran

WASHINGTON 14 APR: Serangan terhadap Syria oleh Amerika, Britain dan Perancis hari ini mengenai tiga sasaran iaitu pusat penyelidikan saintifik, kemudahan simpanan serta pusat pemerintahan tentera dekat Damsyik dan simpanan senjata kimia di Homs.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis, berkata buat masa ini, serangan sudah selesai dan tiada serangan lanjut akan dilancarkan terhadap Syria melainkan Presiden Bashar al-Assad menggunakan lagi senjata kimia.

“Kami melakukan serangan pantas yang tepat dan ia juga serangan yang besar,” katanya.

Menurut Mattis, serangan itu berlangsung selama kira-kira sejam.

Dalam serangan terhadap Syria tahun lalu, Amerika hanya menggunakan peluru berpandu cruise Tormahawk yang mensasarkan satu lapangan terbang.

Kali ini, serangan turut menggunakan pesawat penggempur Tornado Britain yang membedil peluru berpandu Shadow serta jet penggempur Perancis, Rafael.

Ketua Turus Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Joseph Dunford, mengakui sistem pertahanan udara Syria, termasuk peluru berpandu bumi ke udara dilancarkan namun beliau menyatakan tiada laporan mengenai pesawat pihak bersekutu terkena tembakan.

Menurutnya, seperti serangan sebelum ini, tentera Russia diberi amaran mengenai serangan itu dan pesawat Barat akan berada di ruang udara Syria namun tidak diberitahu sasaran atau masa serangan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Syria tembak jatuh 13 peluru berpandu

BEIRUT 14 APR: Siaran televisyen Syria menyatakan sistem pertahanan udara negara itu menembak jatuh 13 peluru berpandu yang dibedil dalam serangan diketuai Amerika Syarikat.

Menurut laporan itu, peluru berpandu ditembak jatuh di Kiswah, selatan Damsyik.

Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Syria menyatakan serangan mengenai tiga pusat penyelidikan saintifik iaitu dua di Damsyik dan satu di Homs selain pangkalan tentera di Damsyik.

Menurut pertubuhan itu, semua pusat penyelidikan dan pangkalan tentera terbabit sudah dikosongkan oleh kerajaan Syria sejak beberapa hari lalu.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS, Perancis & Britain lancar serangan sasar senjata kimia Syria

WASHINGTON 14 APR : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan serangan yang secara spesifik disasarkan kepada kemudahan senjata kimia rejim Bashar al-Assad dilancarkan hari ini.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ia susulan serangan menggunakan gas klorin dibuat rejim Assad yang meragut sekurang-kurangnya 60 nyawa minggu lalu.

Menurut Trump, serangan menggabungkan pasukan tentera milik AS, Perancis dan Britain itu sedang dalam persiapan dan ia akan diteruskan sehingga Syria menghentikan penggunaan senjata kimia.

“Beberapa ketika yang lalu saya mengarahkan pasukan tentera AS melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran membabitkan kemudahan senjata kimia milik diktator Bashar al-Assad.

“Ini bukan tindakan manusia normal tapi satu jenayah yang dilakukan oleh syaitan bertopengkan manusia,” katanya dalam siaran secara langsung dari Rumah Putih.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada Assad dan peranan dimainkan pemerintah kuku besi itu dalam beberapa serangan membabitkan penggunaan senjata kimia.

Serentak dengan pengumuman dibuat Trump, beberapa letupan lain turut kedengaran di Damsyik.

“Tujuan tindakan kami ini ialah untuk mewujudkan kekangan yang kukuh terhadap pengeluaran, pengedaran dan penggunaan senjata kimia,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Ambulans penyambung hayat rakyat Syria, lebih 500,000 terkorban

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 APR: Lebih 500,000 nyawa rakyat Syria sudahpun terkorban dalam tempoh tujuh tahun peperangan lebih tinggi daripada peperangan dilalui rakyat Palestin dalam konflik selama 60 tahun dengan korban 40,000 nyawa.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sani Araby Al-Kahery berkata, jumlah kematian tinggi itu mengejutkan dunia antarabangsa  memerlukan perhatian serius bagi menghentikan konflik peperangan daripada meragut lebih ramai korban.

“Ini jelas menunjukkan bahawa krisis yang melanda Syria begitu menakutkan dan perlu dipandang serius oleh masyarakat dunia.

“Antara punca utama adalah disebabkan 40 peratus diantara mereka lewat menerima rawatan,” katanya kepada SelangorKini.

Sani yang juga Ketua Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria berkata, kini masalah berkenaan dapat dikurangkan setelah MAPIM melancarkan Kempen Wakaf Ambulans.

“Alhamdulillah kita dapat lihat ambulans yang telah diwakafkan oleh rakyat Malaysia menjadi penyambung hayat di Syria.

“Lebih membanggakan apabila lima buah ambulans yang sudah berada di Syria menjadi bualan masyarakat antarabangsa terutamanya mereka yang menyertai misi sukarelawan,” katanya.

Kempen yang sudah dijalankan sejak 2014 itu masih berterusan berikutan pengangkutan itu masih lagi diperlukan.

MAPIM kini memerlukan lima buah ambulans tambahan bagi menampung kes kecemasan yang terlalu banyak.

Selain membawa pesakit, kenderaan berkenaan juga menjadi klinik bergerak, farmasi bergerak dan juga membawa pelarian baru untuk mendapatkan rawatan segera.

Sani berkata, melalui maklumat yang diterima, kini terdapat 40,000 rakyat Syria yang sedang terkepung.

“Keadaan mereka dalam keadaan kurus kering kerana tidak mendapat bekalan makanan, jadi pengangkutan utama untuk membawa mereka mendapatkan rawatan segera ialah ambulans sahaja,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, anda boleh menghubungi talian 0174744030 atau layari laman web www.tabungsyria.com.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Israel mengaku serang loji nuklear Syria

GLOBAL 21 MAC: Tentera Israel mengaku buat kali pertama bertanggungjawab di atas serangan udara 2007 ke atas reaktor nuklear Syria.

Pengakuan itu, bersama-sama dengan penyiaran bahan yang baru didedahkan berkaitan serangan berkenaan dibuat ketika Israel meningkatkan amaran berhubung kehadiran musuh utamanya, Iran, di Syria.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, juga berulang kali menggesa perjanjian nuklear antara kuasa dunia dan Iran diubah atau dihapuskan.

Presiden Donald Trump, yang bertemu Netanyahu di Rumah Putih bulan lalu, berkata perjanjian nuklear perlu ditetapkan pada 12 Mei ini atau Amerika Syarikat menarik diri.

Jurucakap tentera Israel enggan memberi kenyataan kepada persoalan berkaitan pengakuan dan penyiaran dokumen, termasuk berhubung masa, yang dilihat sebagai amaran berhubung aktiviti Iran.

Bahan yang didedahkan itu termasuk rakaman serangan, video ucapan Ketua Turus Staf, Gadi Eisenkot, mengenai operasi itu dan gambar risikan rahsia mengenai lokasi.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Perang Syria: Puluhan maut, ribuan lari dari Timur Ghouta

ADRA 17 MAC: Puluhan orang awam terbunuh dalam serangan udara di Timur Ghouta semalam, memaksa ribuan lain melarikan diri ketika tentera rejim Syria meningkatkan serangan ke atas kubu kuat terakhir pemberontak berhampiran Damsyik.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kematian dalam tempoh hampir sebulan serangan kepada 1,364 orang, dengan kuasa dunia masih gagal menghentikan satu daripada krisis paling dahsyat konflik terbabit.

Perang Syria memasuki tahun kelapan dengan satu lagi siri serangan maut berlaku di utara di mana tentera diketuai Turki melancarkan operasi merampas rantau majoriti Kurdis di Afrin.

Operasi itu menyebabkan ribuan penduduk memenuhi jalanan, dengan pengeboman di Afrin membunuh 43 orang awam, satu pertiga daripadanya maut ketika serangan ke atas sebuah hospital.

Sementara itu, di pinggir Ghouta, kawasan separa pedalaman berselerak dalam jarak serangan mortar di tengah Damsyik, lebih 2,400 orang awam keluar dari bandar musnah, membawa bersama barangan.

Orang ramai memenuhi sebuah pusat kerajaan di pinggir Timur Ghouta semalam, tidak pasti tindakan seterusnya selepas bertembung pasukan bersenjata yang selama berminggu menyerang kediaman mereka tanpa henti.

“Kami takut untuk beredar, mereka memberitahu tentera akan menangkap kami. Kini kami pada asasnya tinggal dalam sebuah kem,” kata seorang pelarian, Abu Khaled, 35, pemilik kedai bajur di Ghouta.

Wakil Syria ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bashar al-Jaafari berkata, 40,000 orang lari dari Ghouta Khamis lalu dan perpindahan besar-besaran secara tiba-tiba menyebabkan kerajaan tidak bersedia.

Barisan panjang terbentuk di luar bilik mandi awam dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal mengadu kekurangan air atau tilam

Tentera rejim dalam mesej disiarkan di televisyen tempatan menggesa semua penduduk menggunakan ‘koridor’ diwujudkan untuk meninggalkan wilayah terkepung itu, mengatakan ia menawan 70 peratus daripada jajahan pemberontak itu.

SUMBER: AFP/ GAMBAR: CNN NEWS

Categories
GLOBAL

Perang Syria: Lebih 350,000 dilapor jadi korban

BEIRUT 13 MAC: Lebih 350,000 orang dilaporkan terkorban sepanjang tujuh tahun krisis di Syria, menurut jumlah terbaharu dikeluarkan oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia ke Syria.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan organisasi yang berpangkalan di Britain itu mengatakan, seramai 353,935 orang terbunuh sejak krisis tercetus pada 15 Mac 2011.

Konflik berkenaan yang bakal memasuki tahun kelapan pada Khamis ini, dilihat berterusan mengorbankan ramai nyawa termasuklah serangan tentera Syria di wilayah Ghouta Timur berdekatan Damsyik.

Daripada angka tersebut, seramai 106,390 penduduk tempatan termasuk 19,811 kanak-kanak serta 12,513 wanita terbunuh.

Dalam perkembangan berlainan, lebih 1,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, perlu dipindahkan dengan segera dari Ghouta Timur bagi tujuan perubatan.

Menurut bilangan yang disediakan hari ini oleh pejabat penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, OCHA, daripada jumlah tersebut, lebih 77 kes perlu diberi keutamaan.

SUMBER: AFP