Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Turki tamatkan kempen tentera di Syria

ISTANBUL, 30 MAC: Kerajaan Turki menamatkan kempen tentera di utara Syria, namun tidak menolak kemungkinan mewujudkan kempen ketenteraan baharu di negara bergolak itu dengan nama berbeza, kata Perdana Menterinya, Binali Yildirim, semalam.

Penamatan kempen tentera di utara Syria itu diumumkan tanpa menyatakan sama ada Turki akan membawa keluar askarnya dari negara jiran berkenaan.

“Euphrates Shield sudah berakhir. Jika perlu, operasi yang mungkin dilaksanakan selepas ini akan diberi nama lain.

PM Turki“Bermula dari sekarang, jika ada ancaman terhadap keselamatan kita sama ada Daesh atau kumpulan lain dan mahu tindakan diambil, maka ia adalah operasi baharu,” kata Yildirim kepada televisyen swasta NTV lapor AFP.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MGK) dipengerusikan Presiden Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan berkata, operasi setengah tahun di negara jiran itu dianggap berjaya.

“Operasi Euphrates Shield bertujuan memastikan keselamatan di sempadan negara dan membanteras ancaman Daesh serta serangannya yang menyasarkan Turki. Ia sudah tamat dengan jayanya,” kata MGK selepas mesyuarat di istana Erdogan di Ankara.

Namun, masih kurang jelas sama ada ia petanda membabitkan rancangan menarik keluar tentera Turki di Syria atau kempen itu bakal disambung di lokasi lain dengan nama berbeza.

Turki melancarkan kempen ketenteraan di Syria iaitu Euphrates Shield yang menyasarkan kumpulan militan Daesh dan Kurdis kerana Ankara menganggap mereka pengganas, pada Ogos 2016.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

RM2 juta bantu rakyat Syria beli keperluan asas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JAN: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mensasarkan sumbangan RM2 juta untuk membantu mangsa konflik di Syria bagi membeli keperluan asas.

Pengarah Strategiknya, Sani Arabi Abd Halim berkata, keperluan terbabit meliputi makanan, alat pemanas, pakaian dan selimut.

Katanya, MAPIM turut merancang untuk membina 1,000 rumah kontena bagi kemudahan pelarian di Syria dengan kerjasama Kerajaan Turki.

“Tinjauan mendapati banyak khemah pelarian yang digunakan sejak tiga tahun lalu rosak dan kurang sesuai daripada segi privasi dan kebersihan.

syria“Perkampungan pelarian yang akan diberi nama Kem Malaysia Turki ini akan dibina mulai Februari. MAPIM dan Turki akan menjadi operator selama tiga tahun,” katanya yang baru pulang selepas menyertai Misi Bantuan Kecemasan Syria siri ketujuh, baru-baru ini.

Sani merayu rakyat Malaysia tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa krisis di Aleppo sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.

Katanya, situasi kemanusian sangat genting di wilayah itu dan ketika ini dengan jumlah pelarian meningkat kepada 11 juta orang serta memerlukan bantuan makanan, perubatan dan tempat tinggal.

“Mereka kini berhadapan dengan cuaca sejuk di bawah enam darjah celcius dengan kebanyakan khemah yang dijadikan sebagai tempat berlindung sudah rosak dan uzur.

“Cuaca sejuk ini akan berlarutan hingga April ini, sekali gus mengakibatkan ramai kanak-kanak berhadapan dengan penyakit atau kematian,” katanya.

Pihak yang berminat memberi sumbangan boleh menyalurkan derma tersebut melalui akaun Maybank 562834636987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana MAPIM.

Kumpulan misi bantuan disertai tiga anggota lain itu ke Syria selama 10 hari bagi menghantar makanan, perubatan dan alat pemanas serta dua buah ambulans yang bernilai RM500,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Pada 15 Januari ini, MAPIM akan berlepas ke Syria bagi misi bantuan kelapan.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Maklumat terkini Misi Bantuan Kecemasan Aleppo dan Bantuan Musim Sejuk

OLEH 4.0 Malaysia Life Line for Syria (MLLFS)*

Assalamualaikum w.r.b.t & Salam Sejahtera,

“Dengan nama Tuhan yang satu, alhamdulillah tim bantuan kemanusiaan MLLFS telah berjaya memasuki Syria dan kini berada di pinggir bandar Aleppo bagi menyampaikan bantuan kecemasan kepada penduduk Aleppo yang dipaksa keluar dan kini berhadapan dengan keadaan yang sukar menghadapi musim sejuk serendah 3 darjah selsius dan hujan yang masih turun di beberapa kawasan.

Hampir 250,000 penduduk Aleppo telah dipaksa keluar dan mereka berada dalam keadaan yang sangat-sangat memerlukan. Malah projek-projek bantuan rakyat Malaysia di Aleppo telah dihentikan serta merta dan kami hanya berjaya membawa keluar trak agihan air bersih daripada bandar Aleppo yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk terus memberikan khidmatnya.

Bandar Aleppo kini sepenuhnya di bawah kawalan rejim Bashar alAssad dan mereka yang dipaksa keluar mencari perlindungan di beberapa kawasan pinggir bandar Aleppo dan Idlib yang berada di bawah penguasaan pejuang pembebasan Syria.

Sebahagian mereka terpaksa duduk di khemah-khemah, sebahagian mendiami kelas-kelas di bangunan-bangunan sekolah yang ditinggalkan dan sebahagian lagi menumpang di rumah-rumah yang sangat dhoif di sekitar pinggir bandar Aleppo tanpa kelengkapan yang secukupnya bagi menghadapi musim sejuk.

Tim bantuan kini sedang mengagihkankan bantuan keperluan musim sejuk khusus kepada pelarian yang diusir keluar dari Aleppo di kawasan-kawasan perkhemahan, sekolah dan juga rumah-rumah dan jumlah mereka yang memerlukan bantuan di sekitar pinggir bandar Aleppo dan juga Idlib.

Di samping itu, tim juga sedang mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk membina semula Sekolah-sekolah Malaysia yang terpaksa ditutup di Aleppo.

Sejumlah RM500,000 dana bantuan daripada rakyat Malaysia akan dimanfaatkan bagi pengagihan keperluan musim sejuk seperti kit pakaian musim sejuk, pemanas (heater), selimut, dan diesel (bahan bakar heater) termasuk agihan makanan.

Di samping itu dana awal akan turut disampaikan untuk digunakan bagi membina semula sekolah Malaysia yang terpaksa ditutup di Aleppo. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM500,000 dana tambahan diperlukan untuk misi fasa kedua pada akhir Januari kelak.

Sumbangan rakyat Malaysia ini dijangka dapat memberikan manfaat kepada hampir 15,000 penduduk Aleppo.

Di dalam perkembangan lain, perjanjian gencatan senjata yang telah termetrai, kami mendapat laporan masih ada serangan yang berlaku di beberapa kawasan di pinggir bandar Aleppo ini kelmarin.

Malah serangan di Sarmada, Idlib semalam menggambarkan gencatan senjata umpama sesuatu yang mustahil berlaku di Syria.

Justeru kami terus diperingatkan agar sentiasa berhati-hati dalam setiap pergerakan apatah lagi beberapa buah helikopter dikesan berlegar-legar di ruang udara pinggir bandar Aleppo ketika petugas MLLFS sedang menyampaikan bantuan.

Namun begitu keadaan secara amnya aman dan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

MLLFS menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengirimkan doa agar petugas kemanusiaan yang membawa sumbangan rakyat Malaysia ke Syria akan terus dipelihara dan berjaya menyempurnakan bantuan kepada rakyat Syria.
MLLFS juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan rasa terima kasih daripada rakyat Syria kepada rakyat Malaysia yang terus prihatin dengan keadaan mereka walaupun berada beribu-ribu kilometer jauhnya dari bumi Syria.

Berikut adalah maklumat untuk rakyat Malaysia menyampaikan sumbangan kepada rakyat Syria.

================
SUMBANGAN ONLINE
================
www.billplz.com/winteraidsyria

==============
DEPOSIT KE BANK
==============
MALAYSIAN LIFE LINE FOR SYRIA
1.BANK ISLAM: 14-210-01-000988-2
2.MAYBANK: 5648-1051-3971

Dan/Atau:

SALAM SURIAH RESOURCES
1. CIMB: 8602041215

Email : [email protected]
=================
Maklumat Perhubungan :
=================
Email : [email protected]
Website :www.malaysia4syria.org
No. Tel : +603-41416732 / 0122409173

Demi Syria, Untuk Ummah!

SYAHRIR AZFAR MOHD SALLEH,

(Nombor Perhubungan Whatapps :- +6013-222 6057)

(Facebook :- Syahrir Azfar Al-Halabi = https://www.facebook.com/abunourasofea)

Ketua Misi / Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Life Line for Syria

Categories
NASIONAL

Tandatangani perjanjian pelarian antarabangsa, bantu rakyat Syria

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM – Putrajaya perlu menandatangani perjanjian antarabangsa bagi mengiktiraf golongan pelarian yang dibawa masuk ke dalam negara ini, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presidennya, Mohd Raimi Abdul Rahim, berkata pemeteraian itu diperlukan sebagai jaminan keprihatian Kerajaan Malaysia terhadap isu kemanusiaan masyarakat Syria di negara bergolak itu.

raimi-abim“Bagi menjadikan Malaysia lebih cekap untuk mengurus dan membantu pelarian di Syria, maka Malaysia perlu menandatangani perjanjian ‘international convenant’ iaitu sebuah perjanjian tertinggi berkaitan pelarian antarabangsa.

“Sekarang, Malaysia masih belum memeterai perjanjian itu, jadi daripada segi istilah perundangan dan pelarian yang dibawa masuk ke Malaysia dianggap sebagai PATI (pendatang asing tanpa izin),” katanya.

Beliau mengulas keputusan Putrajaya untuk menerima kemasukan lebih 200 pelarian Syria di Lubnan dan Jordan selewat-lewatnya awal Jun ini.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan untuk membawa 3,000 pelarian ke negara ini.

syriaBagaimanapun, kata Raimi, Kerajaan Persekutuan juga disaran lebih komited menambah keperluan bantuan kemanusiaan ke negara itu.

“Kerajaan juga perlu mendukung usaha badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghantar bantuan misi kemanusiaan ke kota Aleppo, Syria.

“Selain itu, pentadbiran Perdana Menteri juga perlu lebih bijak mengambil pendirian diplomatik dan menyediakan pelbagai keperluan holisitik untuk membantu Syria,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perang di Syria: Malaysia jangan terlibat, syor langkah rundingan perdamaian

OLEH: DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Berita yang berkata Malaysia terlibat dalam satu siri latihan ketenteraan berkaitan peperangan di Syria baru-baru ini yang turut melibatkan 20 negara termasuk Arab Saudi amat membimbangkan.

Ini kerana tindakan ketenteraan yang dipelopori Arab Saudi ini bakal mendatangkan impak geopolitik yang cukup negatif, bukan sahaja dari segi keselamatan di rantau Timur Tengah, tetapi juga pendirian neutral Malaysia selama ini.

Syria ATMSaya menggesa agar Putrajaya mengkaji cara terbaik untuk mengundur (“disengagement”) dari situasi yang memasukkan Malaysia ke dalam kancah peperangan di Syria.

Pada masa yang sama, Malaysia perlu berhenti dari menyertai sebarang latihan ketenteraan berkaitan Syria, terutama yang tidak menggunakan saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Peperangan bukanlah perkara yang mudah mahupun murah, dan tatkala ekonomi Malaysia tidak begitu sihat serta dibelenggu pelbagai masalah dan skandal kepimpinan sedia ada, langkah ketenteraan di Timur Tengah tidak patut di ambil kira selagi jalan penyelesaian melalui meja rundingan belum berakhir.

Sebaliknya, Malaysia perlu tegas dan proaktif mengesyorkan langkah rundingan dan perbincangan untuk mencapai perdamaian di Syria dan Timur Tengah. Hanya penyelesaian politik melalui meja rundingan dapat mencapai perdamaian yang lebih mampan dan berkekalan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu turun harga bahan api ikut pasaran dunia

ron95

KUALA LUMPUR 31 OKT – Pakatan Rakyat (PR) mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan subsidi bahan api sebanyak RM2.326 bilion dalam pembentangan Belanjawan Negara 2014 kerana kerajaan mensasarkan penjimatan sebanyak RM3.3 bilion tahun hadapan.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, berkata pertambahan subsidi menjadikan jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM22.341 bilion, namun hanya RM20.015 diperuntukkan dalam Belanjawan Negara 2013.

“Subsidi minyak untuk tahun depan akan meningkat sebanyak 11.62 peratus iaitu daripada RM20 bilion ditingkatkan kepada RM22 bilion. Harga subsidi minyak perlu ditingkatkan bukan dikurangkan.

“Jadi kita ada persoalan besar, kenapa subsidi perlu meningkat secara mendadak kerana pengumuman Perdana Menteri menjelaskan bahawa RON95 dan Diesel ditingkatkan 20 sen membolehkan penjimatan RM3.3 bilion dicatat tahun 2014, pada September lalu,” katanya pada sidnag media, di Parlimen, di sini, hari ini.

Wei Aik berkata, harga minyak semasa dunia menurun berikutan keredaan krisis di Syria dan Iran ke paras USD102 satu tong dan beliau turut mendesak kerajaan menurunkan harga bahan api selaras dengan penurunan harga pasaran dunia.

“Harga bahan api adalah masalah besar yang membebankan rakyat kerana mereka ingin harga diturunkan bukan semakin bertambah,” katanya.

Antara negara yang mengurangkan harga minyak adalah India, Taiwan, Ghana, Vietnam, Bermuda, Afrika Selatan, Georgia dan China, dalam tempoh hampir tiga bulan lalu. -NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Manfaatkan Ramadan Dengan Amalan Mulia Yang Berkat

MB-Ramadan

SHAH ALAM 10 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru agar setiap guru agama dan jawatankuasa institusi masjid serta surau di seluruh negeri Selangor meningkatkan lagi peranan dalam usaha memanfaatkan bulan Ramadan menerusi pelbagai program keagamaan, intelektual dan kemasyarakatan.

Menurutnya lagi, umat Islam khususnya di negeri Selangor perlu  memanfaatkan setiap hari dalam bulan yang mulia dan penuh berkat ini dengan amalan-amalan murni dan bermakna kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

“Kita digalakkan mengambil peluang menambah pahala dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Terawih dan bertadarus al-Quran di sepanjang Ramadan.

“Kita juga digalakkan bersedekah bagi memupuk sikap kebertanggungjawaban, ambil berat dan saling membantu antara satu sama lain seiring dengan saranan baginda Nabi Muhammad S.A.W,” ujar Abdul Khalid.

Beliau dalam perutusan sambutan Ramadan juga berkata, amalan mengimarahkan malam-malam di bulan Ramadan di masjid dan surau dengan kelas takmir dan tadarus al-Quran perlu diteruskan sebagai wadah perpaduan dan kekuatan ummah, bukannya sekadar tuntutan agama semata-mata.

Dalam pada itu, Adun Pelabuhan Klang itu turut mengingatkan semua agar perbezaan ideologi politik dapat diketepikan dalam usaha meningkatkan kefahaman antara satu sama lain selain menginsafi nasib malang yang menimpa saudara Islam di Syria, Palestin dan pergolakan politik di Mesir.

“Akhir kata, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan Al-mubarak 1434 Hijrah bersamaan 2013 Masihi.

“Semoga amal ibadah dan jariah yang kita lakukan sepanjang Ramadan ini akan diterima dan mendapat keredaan daripada-Nya,” akhiri beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Cadang Tabung Kemanusiaan Rakyat Syria Di Masjid Seluruh Selangor

al saubani mb 01

SHAH ALAM, 19 DIS : Kerajaan Negeri Selangor akan merangka perbincang segera bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi membenarkan semua masjid di Selangor membuka tabung ‘Kemanusiaan Rakyat Syria’ sebagai usaha meringankan bebanan umat Islam Syria.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan ini akan diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

Menurutnya, sebagai umat Islam, semua pihak terutama rakyat Selangor perlu peka dengan nasib yang menimpa umat Islam di negara lain.

“Hasilnya saya meminta Dr Rani berbincang dengan Jais supaya mengadakan kutipan-kutipan (derma) dilakukan di setiap masjid seluruh Selangor sebagai salah satu usaha megingatkan masyarakat Islam juga mempunyai tanggungjawab membantu saudara Islam kita di Syria,” katanya.

Ketua Kesatuan Ulama Syam, Sheikh Dr Muhammad Ali As Soubuni dan deligasi Syria hari ini mengadakan kunjungan ke Pejabat Menteri Besar bagi menceritakan keadaan sebenar yang sedang berlaku di Syria.

Pertemuan hampir sejam ini menyasikan Sheikh Muhammad Ali menyampaikan surat yang ditulis sendiri kepada Abdul Khalid turut ditemani oleh deligasi Palestin, Timbalan Pengarah Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pelajaran, Pengajian Tinggi, Ahmed Ayesh Al Najjar dan Ustaz Nazmi Karim selaku penterjemah.

Jelas Abdul Khalid lagi, dua perkara yang perlu diberikan perhatian adalah bagaimana membawa kembali keamanan kepada Syria.

Dalam pertemuan itu, Sheikh Muhammad Ali menceritakan kekejaman yang dirasai rakyat Syria dan menggesa masyarakat Islam memperjuangkan kebebasan sehingga Islam mencapai kemenangan.

“Kami mengajak semua rakyat menentan semua bentuk kezaliman. Ini tanggjawab rakyat terhadap pemerintah zalim.

“Kami tidak mendapat bantuan Jordan dan negara Arab lain yang sebangsa dengan kami. Kami yakin Allah akan bantu kemenangan.

“Kami datang sini sebab rakyat Malaysia prihatin maka kami menceritakan keadaan di Syria,” katanya yang diterjemahkan oleh Ustaz Nazmi Karim.

Sehingga kini lebih 200,000 rakyat Syria menjadi mangsa kekjaman pemerintah yang rakus demi mempertahankan kuasa dan memesongkan umat Islam.

Sebagai rekod  Sheikh Muhammad Ali tidak dibenarkan masuk ke Syria sejak 35 tahun yang lalu dan sebagai ulama tafsir terkenal di dunia.

Categories
NASIONAL

Himpunan 16 Mac, Bantah Kezaliman Di Syria

SHAH ALAM,13 MAC : Gabungan Selamatkan Syria mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat Syria oleh rejim Bashar al-Assad.

Menurut gabungan itu yang mewakili lebih 21 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kenyataan medianya berkata kekejaman mereka lebih terserlah apabila mereka mencuri harta-harta rakyat, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.

Fakta kekejaman rejim Bashar terhadap rakyat di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang rakyat, seramai 39,000 orang awam cedera dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa.

Hal ini berlaku hanya kerana rakyat menuntut kebebasan, keadilan, keamanan, demokrasi dan hak asasi.

Kebangkitan di Syria tercetus pada 15 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak di Syria yang menulis perkataan (Rakyat menuntut kerajaan turun) di dinding, telah ditangkap dan diseksa dengan kejam oleh tentera rejim.

Akibat daripada tindakan tersebut, tercetuslah kebangkitan rakyat Syria yang inginkan kebebasan. Namun rejim membalas dengan peluru.

Kini, setelah hampir 12 bulan, penunjuk perasaan terus berjuang siang dan malam membela diri daripada kekejaman. Rejim Bashar al-Assad yang kejam telah menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya seperti penggunaan kereta kebal, senjata-senjata berat dan memusnahkan bangunan-bangunan termasuk rumah dan masjid.

Perkara ini telah menarik perhatian dunia sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil inisiatif mengutuk kekejaman rejim Bashar al-Assad yang tidak lagi dapat diselindungi.

Namun, pada 6 Februari 2012 kerajaan Russia dan China bertindak menggunakan kuasa veto masing-masing menghalang satu resolusi Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan mengutuk tindakan keras kerajaan Syria terhadap rakyatnya.

Dengan penggunaan kuasa veto mereka, Russia dan China sedang bersekongkol dengan sebuah rejim yang zalim di Syria. Kedua-dua negara Majlis Keselamatan PBB ini mestilah bersikap adil dan membela mereka yang ditindas oleh regim zalim Bashar al-Assad.

Menurut Gabungan Selamatkan Syria itu lagi, utusan baru PBB-Liga Arab ke Syria, Kofi Annan yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung PBB turut menggesa usaha antarabangsa secara sepadu untuk menghentikan keganasan di Syria.

“Dunia tidak harus membiarkan rakyat Syria terus ditindas dan dizalimi oleh Bashar al-Assad. Semua pihak, tanpa mengira kaum dan agama harus bangkit bagi menyatakan tentangan kepada Bashar al-Assad dan sokongan kepada perjuangan rakyat Syria.

Atas dasar itu, satu Gabungan Selamatkan Syria telah diusahakan di Malaysia untuk memobilisasi rakyat menunjukkan solidariti bersama-sama rakyat Syria menentang kezaliman rejim Bashar al-Assad,” katanya.

Gabungan ini terdiri daripada NGO pelbagai lapisan kaum dan agama yang bersatu hati bersama rakyat Syria menuntut kebebasan dan keamanan.

Gabungan Selamatakan Syria menuntut Bashar al-Assad menghentikan kezaliman dan pembunuhan rakyat Syria dengan serta merta ,Bashar al-Assad hendaklah berundur dengan serta-merta dan Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian mengutuk kezaliman Bashar al-Assad dan memanggil balik Duta Malaysia di Syria.

“Dengan ini juga diumumkan bahawa satu perhimpunan rakyat akan diadakan pada hari Jumaat, 16 Mac 2012 jam 2.45 petang di Kedutaan Syria, Jalan U-thant, Ampang, Kuala Lumpur. Memorandum rakyat Malaysia yang diwakili oleh Gabungan Selamatkan Syria akan diserahkan kepada Kedutaan Syria.

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama, kaum atau budaya dianjurkan untuk bersama-sama perhimpunan rakyat tersebut. Bagi umat Islam mereka boleh solat Jumaat di Masjid Tabung Haji atau Masjid Asy-Syakirin, KLCC dan terus bersama ke Kedutaan Syria selepas solat.” katanya.