Categories
GLOBAL

Angka korban serangan di Ghouta Timur meningkat lebih 800 mangsa

GLOBAL 8 MAC: Serangan udara berat dan pertempuran menggegarkan kubu kumpulan penentang Syria di Ghouta Timur semalam menjelang sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan peningkatan keganasan tersebut.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, seramai 805 orang termasuk sekurang-kurangnya 178 kanak-kanak maut sejak rejim Presiden Bashar Al-Assad yang disokong Rusia melancarkan serangan ke atas kubu kumpulan-kumpulan penentang di Ghouta Timur, pinggir Damsyik pada 18 Februari lalu.

Rusia turut berdepan kematian besar kelmarin selepas sebuah pesawat pengangkutnya terhempas semasa mendarat di sebuah pangkalan udara di barat Syria, mengorbankan semua 39 penumpang dan kru, lapor AFP.

Pengeboman dan pertempuran di Ghouta Timur yang merupakan kubu kuat terakhir kumpulan penentang dekat Damsyik, berterusan di sebalik tuntutan gencatan senjata selama sebulan oleh Majlis Keselamatan lebih seminggu lalu.

Sekurang-kurangnya 24 orang awam maut kelmarin, kata SOHR yang berpangkalan di Britain.

Serangan itu mendorong Britain dan Perancis meminta Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar tertutup semalam bagi membincangkan punca kegagalan gencatan senjata PBB.

Sementara itu, tentera Syria mara dengan cepat di tanah pertanian di Ghouta Timur sejak seminggu lalu dan menawan 40 peratus kawasan itu setakat kelmarin.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Rejim Bashar Al-Assad tiada ehsan, Ghouta digempur senjata kimia

DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 27 FEB: Senjata kimia dipercayai digunakan tentera rejim Basyar Al- Asad bagi menggempur Ghouta Timur di Syria selepas seorang kanak-kanak mati dan sekurang-kurangnya 13 lagi mengalami masalah kesukaran bernafas, kelmarin.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, mereka mengalami kesukaran bernafas selepas bedilan oleh pesawat tentera Syria di perkampungan Al-Shifuniyah di wilayah Ghouta Timur.

“Seorang kanak-kanak mati dan seorang wanita berada dalam keadaan kritikal,” kata pengarah agensi itu, Rami Abdel Rahman.

Seorang doktor, Yaqub, yang merawat mangsa memberitahu AFP, dia mengesyaki senjata kimia itu kemungkinan gas klorin.

Menurutnya, kanak-kanak berusia tiga tahun itu mati akibat kekurangan oksigen.

Sementara itu dilaporkan Rusia akan mewujudkan satu ‘koridor kemanusiaan’ dengan melaksanakan gencatan senjata selama lima jam setiap hari di Ghouta Timur.

Menurut Kementerian Luar Rusia, Presiden Vladimir Putin mengarahkan supaya gencatan senjata harian dilakukan dari jam 9 pagi hingga 2 petang bagi membolehkan penduduk tempatan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Kerajaan Syria bagaimanapun tidak menyatakan persetujuan atau sebaliknya berhubung arahan tersebut.

Kumpulan penentang mendakwa rejim Presiden Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia termasuk gas klorin, namun Moscow, sekutu kuat Bashar, menuduh pemberontak menggunakan bahan toksik untuk menunjukkan seperti ia dilancarkan tentera Syria.

Syria juga menafikan tentera negara itu memiliki senjata kimia.

Damsyik yang sering menafikan menggunakan senjata kimia dituduh melancarkan serangan gas klorin sejak beberapa minggu lalu termasuk dua kali pada Januari lalu di Ghouta Timur.

Wilayah itu yang terletak di pinggir Damsyik adalah kubu kuat terakhir kumpulan penentang dan diserang hebat oleh tentera rejim sejak pertengahan Februari lalu.

Laporan terbaru mengenai serangan kimia itu menyebabkan Perancis memberi amaran untuk menyerang Syria, manakala pegawai di Amerika Syarikat turut mengeluarkan kenyataan yang sama.

Agensi pemerhati melaporkan 21 kes kesukaran bernafas di Ghouta Timur pada 22 Januari lalu dengan penduduk dan sumber perubatan berkata, mereka mengesyaki ia serangan gas klorin.

Serangan yang sama menyasarkan pinggir Douma pada 13 Januari lalu.

Laporan serangan kimia itu dibuat sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak satu gencatan senjata bagi menamatkan serangan paling buruk dalam perang saudara selama tujuh tahun itu.

Lebih 500 penduduk dilaporkan terbunuh dalam serangan udara dan artileri yang dilancarkan rejim itu di Ghouta Timur.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Kanak-kanak maut terkena serangan kimia di Syria

OLEH NORHAYATI UMOR

BEIRUT, 26 FEB: Seorang kanak-kanak meninggal dunia, manakala 13 orang lagi mengalami kesukaran bernafas selepas serangan kimia dilancarkan di wilayah yang dikuasai kumpulan penentang.

Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman berkata, serangan kimia itu juga menyebabkan 14 penduduk awam sukar bernafas selepas pesawat juang rejim menyerang kampung Al-Shifuniyah, di Ghouta Timur.

“Seorang kanak-kanak maut dan seorang wanita berada dalam keadaan kritikal,” katanya yang bergantung kepada sumber untuk mendapatkan laporan.

Seorang doktor yang dikenali sebagai Yaqub memaklumkan, beliau mengesyaki senjata kimia itu berkemungkinan serangan gas klorin.

Katanya, kanak-kanak tiga tahun itu meninggal dunia kerana lemas.

“Kebanyakan pesakit mempunyai bau klorin pada pakaian dan kulit mereka. Ramai sukar bernafas dan mengalami sakit kulit juga mata,” katanya lapor AFP.

Categories
GLOBAL

PBB luluskan gencatan senjata 30 hari di Syria

NEW YORK 25 FEB : Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan gencatan senjata selama 30 hari di Syria, susulan serangan udara terbaru di Timur Ghouta yang meragut lebih 500 nyawa orang awam.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan keputusan itu yang mendapat sokongan Russia dilaksanakan serta merta bagi membolehkan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan disalurkan pada kadar segera.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, pesawat perang milik pasukan Syria yang dibantu Russia melancarkan serangan di Timur Ghouta sejurus selepas sesi pengundian oleh UNSC.

Ahad lalu, serangan di luar Damsyik oleh rejim Bashar Al-Assad mengorbankan sekurang-kurangnya 127 kanak-kanak manakala dalam serangan terbaru semalam, 41 orang awam disahkan maut,

Russia menafikan sebarang pembabitan dalam serangan berkenaan.

Undian oleh UNSC itu pada awalnya dijadualkan diadakan pada Khamis namun ditangguhkan beberapa kali kerana gagal mencapai kata sepakat dalam usaha mengelakkan penggunaan kuasa veto oleh Russia yang menyokong rejim Bashar.

Duta Besar Amerika Syarikat, Nikki Haley berkata, penderitaan penduduk Syria semakin bertambah setiap kali rundingan berkenaan ditangguhkan.

“Selagi tiada kata sepakat dicapai, bom dari jet pejuang Assad akan terus membunuh ratusan nyawa tidak berdosa.

“Sepanjang tempoh tiga hari majlis ini bersidang, berapa ramai ibu yang terpaksa kehilangan anak masing-masing,” katanya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Bersama bantu pelarian Syria hadapi musim sejuk

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 17 FEB: Musim sejuk yang bakal menjengah negara bergolak Syria terus memberi cabaran buat pelarian di sana yang kehilangan tempat berteduh.

Ketua Misi Bantuan Kecemasan RescueSyria (MAPIM), Sani Araby Al-Kahery berkata, pelarian Syria kini amat memerlukan pelbagai bantuan bagi menghadapi musim sejuk yang kritikal.

Katanya, atas keperluan itu, pihaknya mengajak masyarakat bersama membantu mereka dengan menghulurkan bantuan kewangan menerusi Misi bantuan Kecemaasan RescueSyria.

“Terdapat dua kaedah untuk menyumbang iaitu secara atas talian menerusi www.tabungsyria.com atau salurkan terus sumbangan menerusi Maybank Islamic SYRIA EMERGENCY APPEAL (DANA MAPIM) di akaun
562834636987,” tulisnya di laman facebooknya.

Sumbangan terkumpul akan digunakan untuk menyediakan bekalan perubatan, bekalan makanan. pembinaan khemah, kemudahan asas kepada pelarian Syria bagi menghadapi musim sejuk.

Categories
GLOBAL

Syria-Israel berperang: Jet pejuang F-16 terhempas, 12 sasaran dibom

GLOBAL 11 FEB: Tentera Israel dilaporkan menyerang 12 sasaran tentera Syria dan Iran di sempadan Syria yang disifatkan sebagai tindakan balas besar-besaran selepas saling melancarkan tembakan awal pagi semalam.

“Beberapa minit lalu, pesawat Israel menyasarkan Sistem Pertahanan Udara Syria dan beberapa sasaran kawasan tentera pertahanan Iran di Syria.

“Sebanyak 12 lokasi termasuk tiga kawasan pertahanan udara dan empat lokasi Iran menjadi sebahagian daripada sasaran serangan,” kata rejim Zionis itu dalam satu kenyataan, lapor AFP.

Beberapa peluru berpandu antipesawat turut dibedil ke arah Israel sekali gus mencetuskan serangan balas apabila turut kedengaran sehingga ke bahagian utara Israel.

Serangan balas itu berlaku apabila sebuah jet pejuang, F16 Israel terhempas akibat dibedil pasukan tentera udara Syria semasa pesawat berkenaan me­lancarkan serangan ke atas beberapa kawasan sasaran Iran.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat F16 itu dilaporkan terselamat, manakala salah seorang anak kapal cedera parah.

Pesawat tersebut bertindak selepas sebuah dron Iran didakwa masuk ke ruang udara Israel dari sempadan Syria.

Konfrantasi antara Israel dan Iran semakin buruk selepas perang saudara meletus di Sy­ria pada tahun 2011.

SUMBER: AFP / GAMBAR: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS tuduh Russia isu serangan kimia di Syria

GLOBAL 28 JAN: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson, menegaskan pendiriannya bahawa Russia bertanggungjawab atas serangan kimia di Syria, baru-baru ini walaupun dibantah keras Moscow, lapor AFP.

“Ini adalah serangan kimia yang tidak boleh diterima dan melanggar semua konvensyen yang ditandatangani Russia sendiri.

“Ia melanggar perjanjian yang dipersetujui Russia untuk mengenal pasti dan menghapuskan senjata kimia di Russia.

“Senjata kimia digunakan terhadap penduduk awam dan paling teruk adalah kanak-kanak, di Syria,” kata Tillerson.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan dengan Menteri Luar Poland, Jacek Czaputowicz, ketika lawatan ke Warsaw.

Tillerson membuat tuduhan itu buat kali pertama pada Selasa lalu, ketika diplomat dari 29 negara bertemu di Paris untuk menggesa sekatan dan dakwaan jenayah dikenakan ke atas dalang serangan kimia di Syria.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Letupan bom Syria korban 23 nyawa

BEIRUT, 8 JAN: Sekurang-kurangnya 23 maut, manakala 10 lagi termasuk orang awam cedera dalam satu letupan dipercayai serangan bom di Idlib, barat laut Syria.

Menurut laporan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, letupan itu disasarkan kepada ibu pejabat kumpulan pemberontak di Idlib.

“Letupan terbabit dipercayai berpunca daripada bom kereta atau serangan dron. Bagaimanapun, perkara itu masih belum dapat dipastikan,” katanya lapor Astro Awani.

Pasukan pemantau itu berkata, sehingga kini pasukan penyelamat masih meneruskan kerja mencari dan mengeluarkan mayat mangsa selain membantu mangsa yang cedera untuk keluar daripada runtuhan bangunan.

Katanya, kebanyakan mangsa yang maut adalah anggota pasukan pemberontak dan tujuh orang awam.

Wilayah Idlib ialah kubu kuat pemberontak di Syria dan bersempadan dengan Turki, salah satu penyokong kuat pasukan pemberontak yang menentang Presiden Bashar al-Assad.

Pasukan tentera Syria dengan rakan sekutu mereka memulakan serangan sejak Oktober lalu bagi menawan semula wilayah Idlib dan Hama.

Categories
GLOBAL

Putin arah tentera Rusia berundur dari Syria

MOSCOW 13 DIS: Rusia mula memanggil pulang sebahagian tenteranya di Syria, atas arahan Presiden Vladimir Putin, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.

Putin memanggil pulang sebahagian tenteranya di negara itu semasa melawat pangkalan tentera Hmeymim di Syria pada Isnin.

Agensi berita Tass melaporkan, fasa pertama pengunduran tentera itu termasuk 23 pesawat tempur, 2 helikopter jenis Ka-52, anggota separa tentera, pasukan operasi khas dan pasukan perubatan tentera, kata komander pasukan Rusia di Syria, Sergey Surovikin.

Surovikin berkata, pangkalan udara Hmeymim dan pangkalan tentera laut Tartus akan dikekalkan untuk menjamin kestabilan di Syria pada masa depan.

Media tempatan melaporkan, dengan sokongan tentera udara Rusia, tentera Syria berjaya membebaskan 98 peratus wilayah dikuasai kumpulan pengganas dalam tempoh dua tahun.

Rusia memperuntukan purata 156 juta Rubel (AS$2.6 juta) setiap hari untuk menempatkan 69 pesawat perang di Syria.

Selain itu, 40 askar Rusia terbunuh dan sekurang-kurangnya tujuh peralatan ketenteraan musnah sejak September 2015, ketika Moscow melancarkan operasi tentera ke atas kumpulan pengganas di Syria atas permintaan Damsyik.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Turki mohon bantuan sara pelarian Syria

ANKARA, 22 JUN: Turki memohon bantuan dan sokongan kewangan daripada masyarakat antarabangsa untuk membolehkannya terus membantu pelarian Syria yang kini sekitar 3.05 juta di negara itu.

Menurut Lembaga Pengurusan Bencana dan Kecemasan Kementerian Utama Republik Turki (AFAD), Kerajaan Turki membelanjakan US$ 5 bilion setiap tahun bagi membantu pelarian.

Presiden AFAD, Mehmet Halis Bilden berkata, sejak tercetusnya perang saudara di Syria pada 2011, Turki membelanjakan AS$25 bilion untuk menyara pelarian.

“Bagaimanapun, sumbangan antarabangsa kepada Turki dianggap kecil berbanding peruntukan negara ini iaitu kira-kira AS$526 juta,”katanya dipetik Bernama.

Presiden AFAD, Mehmet Halis BildenBilden berkata, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan negara Kesatuan Eropah adalah antara pihak yang memberi sumbangan kepada Turki.

Tambahnya, Kesatuan Eropah berjanji akan memberi 4 bilion kepada Turki, tetapi hingga kini, negara ini hanya menerima 811 juta.

Sementara itu, Ketua Pengarah Direktorat Umum Akhbar dan Penerangan, Mehmet Akarca berkata Turki memerlukan bantun antarabansga kerana negara ini telah membelanjakan sejumlah besar wang bagi menyokong pelarian.

“Kami berharap bukan Turki sahaja yang perlu menanggung beban ini, kami berharap negara lain juga akan tampil memberi bantuan kepada pelarian ini,” katanya.

syriaMenurut AFAD, kira-kira 4.9 juta pelarian Syria meninggalkan negara mereka sejak enam tahun lepas dan Turki menjadi tuan rumah kepada sebahagian besar daripada mereka, diikuti Lubnan (1.01 juta), Jordan (656,000), Iraq (233,000) dan Mesir (113,000).

Malaysia juga menyuarakan komitmen sukarelanya untuk menerima 3,000 imigran Syria atas dasar perikemanusiaan.

Menjawab soalan pemberita Malaysia bagaimana Malaysia boleh berkongsi kepakaran Turki dalam mengendalikan pelarian, Bilden mencadangkan agar Malaysia menghantar satu pasukan khas ke negara ini untuk belajar dan membuat pemerhatian.

“Kami sedia berkongsi kepakaran kami dengan Malaysia dan mereka boleh menghantar satu pasukan khas ke sini,” katanya.

Categories
GLOBAL

Perkampungan baru tempat 1,000 anak yatim Syria

ISTANBUL , 12 MEI: Sekurang-kurangnya 1,000 anak yatim Syria bakal ditempatkan di sebuah perkampungan baharu yang dibuka pasukan bantuan kemanusiaan Turki di selatan negara itu pada 19 Mei ini, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

Hasil kerjasama Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH), Yayasan Sheikh Thani Ibn Abdullah, Perkhidmatan Kemanusiaan Qatar (RAF) dan Kementerian Dasar Keluarga dan Masyarakat Turki, perkampungan itu mampu menampung 990 kanak-kanak dibina di kawasan seluas 100 ekar di daerah Reyhanli wilayah Hatay bersempadan Syria.

Inisatif itu bertujuan mendokong semua keperluan kesihatan, pemulihan, makanan, pakaian dan sokongan psikologi dengan suasana persekitaran seperti dalam sebuah rumah.

Ketua Jabatan Anak Yatim IHH, Murat Yilmaz berkata, untuk permulaan 250 kanak-kanak akan tinggal di pusat itu dan dijangka mencapai sasaran ditetapkan dalam tempoh setahun.

Anak SyriaSelain bekerjasama dengan Qatar, beliau berkata Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia, Indonesia, Afrika Selatan, Poland dan Britain turut menyumbang kepada projek yang menelan kos 80 juta lira (US$ 22.2 juta).

Katanya, kos operasi bulanan pusat itu pula membabitkan kira-kira 1.5 juta lira US$416,838) yang akan dibiayai menerusi sumbangan para dermawan, NGO dan kerajaan Turki.

Tambahnya, Kementerian Pelajaran akan bertanggungjawab mengupah tenaga pengajar dan menampung perbelanjaan pendidikan.

Setiap villa di pusat itu menampung 18 kanak-kanak mengikut kumpulan umur dan jantina, setiap perumahan dilengkapi bilik tidur, bilik mandi, dapur, ruang makan, bilik belajar, bilik bacaan dan bilik permainan.

Enam pegawai yang diiktiraf akan ditugaskan untuk menjaga setiap vila dan jumlah keseluruhan petugas ialah seramai 330 kakitangan untuk 55 buah rumah.

Perkampungan itu juga mempunyai kemudahan masjid, tiga buah sekolah rendah dan menengah, pusat pemulihan, klinik perubatan, pusat mesyuarat, dewan sukan dalaman dan luaran, pusat kemudahan sosial dan rumah kediaman kakitangan serta tetamu.

Menyentuh soal keselamatan Yilmaz berkata, pengawal keselamatan ditugaskan 24 jam dan kawasan sekitar turut dipasang kamera bagi membolehkan kanak-kanak bermain di taman terbuka.

Setakat kini, Turki membelanjakan kira-kira AS$25 bilion bagi tujuan membantu dan menyediakan perlidungan pelarian sejak perang saudara meletus di Syria. – Bernama

Categories
GLOBAL

Serangan ‘gas beracun’: 35 terkorban, 200 cedera

SYRIA 4 APRIL: Badan pemantau antarabangsa melaporkan berlaku kejadian serangan gas beracun sehingga menyebabkan 35 terkorban dan 200 cedera setakat ini.

Kejadian itu berlaku di Idlib ekoran serangan udara yang turut mengorbankan sembilan kanak-kanak.

Badan Hak Asasi Pemantau Syria melaporkan mereka yang terbunuh di bandar Khan Sheikhun disebabkan sesak nafas kesan daripada gas beracun itu.

Sesetengah aktivis melaporkan serangan gas beracun itu merujuk kepada serangan gas klorin yang tidak diklasifikasikan sebagai senjata kimia.

Berita Antarabangsa Middleeasteye.net melaporkan simptom serangan itu seumpama serangan gas sarin seperti dimiliki dalam simpanan senjata Kerajaan Syria.

 

C8jaau_W0AA1oLm
=EZY=