Categories
SELANGOR

Tempoh Daftar TAWAS Dilanjutkan Sehingga Akhir Tahun

SELAYANG, 1 MEI : Ibu bapa yang belum mendaftar anak mereka untuk program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) masih boleh berbuat demikian sehingga akhir tahun ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Selangor telah melanjutkan tempoh pendafataran kerana permintaan yang tinggi untuk program itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sesungguhnya mahu seluruh rakyat Selangor terlibat dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu.

“Bagi ibu bapa yang terlepas mendaftar anak mereka yang lahir pada Mac 2008 dan selepas masih boleh mendaftar dalam Tawas hingga akhir tahun ini.

?Mereka boleh mendaftar dalam program ini tetapi tempohnya lebih singkat. Kalau bonus dia akan terima kurang.

“Kalau lahir 2008 dan daftar sekarang maka kita akan tolak empat tahun. Tempoh 17 tahun itu akan jadi 13 tahun sahaja,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja di Hospital Selayang di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Tawas kini mencatatkan pendaftaran melebihi 70,000 peserta dan ia terus meningkatkan setiap bulan.

Bagi memberi lebih manfaaat kepada peserta Tawas, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan program Jom Shopping Tawas bermula bulan lalu sama sepertimana Jom Shopping bagi warga emas.

ends

Categories
NASIONAL

Aziz Bari : Pembaziran Melampau BN Yang Akan Mufliskan Negara

SHAH ALAM, 12 APR : Dakwaan pemimpin Umno-BN bahawa negara bakal muflis dalam tempoh dua tahun sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memegang tampuk pemerintahan dan menunaikan tiga janji mereka adalah tidak tepat.

Sebaliknya Umno-BN ‘terlupa’ bahawa perkara yang menyumbang kepada negara muflis adalah pengurusan tidak telus, pembaziran melampau dan subsidi yang terlalu besar kepada kroni mereka.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pentadbiran Umno-BN sepatutnya mengambil iktibar daripada cara pemerintahan Pakatan terutamanya di Selangor.

Di negeri itu pengurusan yang lebih telus, berhemat serta berjimat telah mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.

“Sebagai contoh di Kedah, kerajaan PR menurunkan cukai tanah dan dapat meningkatkan hasil balak daripada pentadbiran yang telus.

?Begitu juga di Selangor, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tawas dan sebagainnya yang dilaksanakan untuk rakyat tidak menjadikan negeri itu muflis.

Bahkan kalau kita tengok, simpanan tunai di Selangor juga meningkat walaupun pelbagai program kebajikan dilaksanakan. Justeru, tidak timbul soal bangkrup,” ujarnya apabila ditemui di sini.

Tegasnya, tiga janji yang ditawarkan Pakatan, penghapusan kutipan tol, gaji minima RM1,500 sebulan dan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tidak akan merugikan negara.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini berhubung mekanisma untuk memansuhkan PTPTN juga meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara akan bertambah baik di masa hadapan.

“Sekiranya kerajaan berupaya membersihkan amalan rasuah dan kronisme yang diamalkan dalam pentadbiran negara, maka ekonomi dapat berkembang dengan baik, sekaligus menjadi jaminan untuk mengelakkan negara muflis,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, keadaan ekonomi negara yang merudum juga menunjukkan bahawa kerajaan sekarang kurang berdaya saing dengan negara luar sehingga mengakibatkan kos pentadbiran semakin tinggi.

“Saya tidak nampak bagaimana mereka (Umno-BN) boleh mengubah sikap mereka seperti yang dijanjikan kerana kita lihat sendiri program transformasi yang diwar-warkan juga gagal.

?Dari segi itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka bukanlah pemerintah yang baik.

?Jadi, rakyat sudah cukup jelas bahawa kerajaan sekarang perlu digantikan supaya Pakatan dapat tunjukkan satu formula dan pendekatan lebih baik, murah, kompetetif untuk mengurus tadbir negara,” katanya.

LAPORAN KHAS – TAWAS – Bantuan Masa Depan Anak-Anak


Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan rakyat di Selangor tanpa mengira usia tua mahupun muda.

Kini, pasangan suami isteri juga boleh menikmati program-program merakyatkan ekonomi selangor apabila mereka berdaftar di bawah tabungan anak warisan Selangor (TAWAS).

Sehingga kini, seramai 75,756 orang yang telah berdaftar di bawah TAWAS.

 

Categories
SELANGOR

Bonus Selangorku Diperuntuk RM7.5juta

KLANG 08 APRIL : Bagi meneruskan usaha memberi bantuan menerusi pelbagai program kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kerajaan negeri hari ini sekali lagi melancarkan program baru iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’.

Inisiatif tambahan itu diberikan kepada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.

Katanya, bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

” Insyaallah bantuan ini akan diteruskan untuk bayi-bayi yang lahir pada tahun-tahun seterusnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran program terbabit di Econsave Kampung Jawa, Klang.

Hadir sama, MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Exco Pendidikan, pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Pentadbir Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Tambah Khalid, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu.

“Oleh kerana publisiti yang meluas mengenai program TAWAS, ramai yang terlupa untuk mendaftar anak-anak, jadi kita memberi tempoh enam bulan hingga satu tahun sahaja bermula sekarang.

“Kita juga akan pergi ke hospital dan klinik bagi membantu anak-anak yang lahir supaya tidak ketinggalan dalam program ini,” katanya.

Setakat ini, jumlah yang mendaftar sebagai ahli TAWAS lebih 65 peratus berbanding 30 peratus semasa TAWAS diperkenalkan.

“Saya berasa berpuas hati kerana berjaya mengumpulkan wang simpanan negeri Selangor yang besar untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

Categories
NASIONAL

‘Jom Shopping Bonus SelangorKu’ Kepada TAWAS Di Perkenal

KLANG, 8 APRIL : Banyak program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, dasar kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mengutamakan kebajikan rakyat itu diberi tanpa mengira usia mahupun bangsa.

Program yang baru diperkenalkan iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’ umpamanya, membawa kegembiraan kepada ahli-ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di negeri ini.

Inisiatif tambahan itu diberikan kepada ahli TAWAS berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.

Ditemui SelangorKini pada Majlis Pelancaran program itu bagi kumpulan pertama di Econsave Kg Jawa, baru-baru ini, tiada kata-kata lain yang diucapkan penduduk, melainkan terima kasih kepada kerajaan PR dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

Seorang penerima, R.Sakulthala, 42, mengakui amat terharu dengan keprihatinan kerajaan kerana bantuan RM100 kepada anaknya itu dianggap amat besar.

Katanya, beliau berpuas hati seratus peratus dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak membantu membeli barangan keperluan anaknya bagi meringankan beban suaminya.

“Saya amat bersyukur kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira keturunan mereka.

“Wang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli makanan dan baju baru sebagai hadiah kepada anak saya yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya minggu depan,” katanya.

Penerima lain, Mohd Saifuddin Azlan, 35, program baru itu merupakan program yang baik kepada penduduk negeri Selangor.

Katanya, walaupun jumlah itu tidak seberapa banyak tetapi sedikit sebanyak membantu keluarga membeli keperluan anak masing-masing.

“Sebagai rakyat negeri ini, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini dan saya gembira dengan ‘hadiah’ untuk anak saya daripada Menteri Besar ini.

“Saya juga berharap kerajaan negeri dapat memerintah negeri ini dengan baik dan banyak lagi manfaat dapat diberikan kepada rakyat,” katanya.

Sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.

Bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun bermula kini.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

 

Categories
SELANGOR

Harga Rumah Mampu Milik Kurang Dari RM100,000

SHAH ALAM, 29 MAC : Semua  Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri Selangor tidak akan dijual melebihi RM100,000, kata Iskandar Abdul Samad.

Jelasnya, polisi ditetapkan bagi membantu rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri sejajar dengan pendapatan yang diperolehi.

Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan berkata, jika harga rumah RM150,000 maka setelah ditolak bayaran deposit 10 peratus iaitu RM15,000 ini bermakna pinjaman yang perlu dipohon adalah RM135,000.

“Jika bayaran balik pinjaman ini adalah selama 20 tahun bermakna bayaran bulanan secara kasar adalah RM1,015 sebulan.

Oleh itu, gaji minima pemohon mestilah sekurang-kurangnya RM3,045 sebulan,” kata Iskandar semasa penggulungan di Sidang Dewan Negeri Selangor.

Implilkasi kepada situasi ini ialah mereka yang gaji kurang dari RM3,045 tidak akan dapat membeli RMM jika dijual dengan harga lebih dari RM100,000.

Iskandar menjelaskan “Kajian Rumah Menyeluruh Berkenaan Jenis Kediaman Mampu Milik Berdasarkan Pendapatan Isi Rumah Di Kawasan Lembah Klang” yang dilakukan oleh Unit Perundingan Universiti Malaya untuk kerajaan negeri tahun lepas menunjukkan harga RMM perlu dipelbagaikan.

“Perlu ada RMM yang berharga RM70,000, RM90,000, RM100,000, RM120,000 dan RM150,000.

“Walau bagaimanapun RMM Negeri Selangor tidak sepatutnya berharga sehingga RM300,000.00 sepertimana RMM Kerajaan Persekutuan yang dijenamakan sebagai PRISMA,” ujarnya.

Sementara itu, tambah Iskandar sebanyak 10 peratus RMM akan diperuntukkan untuk ibu bapa peserta-peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di mana penjualan RMM dikawal oleh kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

“Pemaju-pemaju yang membina RMM tidak boleh menjual RMM kepada sesiapa sahaja tetapi nama-nama pembeli mestilah diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Iskandar, peruntukan khas 10 peratus kepada ibu bapa peserta TAWAS bermakna golongan muda terutamanya ibu bapa muda akan mendapat peluang yang lebih untuk memiliki RMM.

“Ini bermakna jika pada satu projek itu terdapat 500 unit RKR maka 50 diperuntukkan untuk ibu bapa peserta TAWAS,” katanya.