Categories
AGENDA JENAYAH

Tentera rampas syabu nilai RM16.08 juta di Kelantan

PASIR MAS, 9 FEB: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah selepas merampas 402 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM16.08 juta di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang di sini semalam.

Panglima 8 Briged Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata pasukan rondaan daripada Batalion Ke-4 Rejimen menjumpai dadah berkenaan di dalam 10 guni hitam berlabel teh jenama ‘Guanyinwang’ yang ditinggalkan dua individu mencurigakan di tebing Sungai Golok, kira-kira 10 pagi.

“Bagaimanapun, kedua-dua individu itu terus melarikan diri ke sebelah Thailand dengan menggunakan bot selepas menyedari kehadiran pasukan rondaan di tebing sungai berkenaan dan identiti mereka juga tidak dapat dikenal pasti.

“Kesemua barangan rampasan ini akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, malam tadi.

Menurut Zamsari, barangan rampasan itu dipercayai diseludup dari Thailand dan ia adalah rampasan terbesar dilakukan menerusi Op Benteng Zon Utara (Kawasan Op Merpati) Markas 8 Briged Kelantan, setakat ini.

Katanya, kejayaan rampasan itu memberi impak signifikan terhadap kejayaan keseluruhan Op Benteng dalam memperkukuhkan sempadan negara ketika pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.

“Ia juga adalah selari dengan hasrat Panglima Tentera Darat (PTD) melalui Perintah Ulung PTD dalam menentukan sesuatu operasi itu dilaksanakan dengan baik dan efektif,” katanya.

Beliau turut menyeru penduduk setempat serta semua agensi berkaitan agar terus berkongsi maklumat dan berganding bahu untuk mencegah sebarang bentuk jenayah rentas sempadan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Angkatan Tentera Malaysia nafi anggota dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan terdapat kes Covid-19 di Pangkalan Udara Subang dan Kementerian Pertahanan (Mindef), di sini.

Perkara berkenaan disahkan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang semalam.

“Perkara itu tidak benar. Sebenarnya Panglima Operasi TUDM ada mengadakan lawatan di sebuah hospital swasta di Subang yang terdapat kes pesakit Covid-19 ditempatkan di situ.

“Bagaimanapun, beliau sudah diperiksa dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga dan disahkan bebas daripada jangkitan. Perkara ini disalah tafsir,” katanya.

Dalam pada itu, Affendi turut menafikan terdapat kewujudan mesin pengimbas suhu badan di bangunan Mindef.

“Saya sendiri ada di Mindef, takkan saya tidak tahu mengenai perkara berkenaan (pengimbas suhu badan). Jadi ia tidak tepat,” katanya.

Terdahulu, tersebar di aplikasi WhatsApp kononnya berlaku penularan wabak Covid-19 dalam kalangan anggota ATM yang mengambil langkah berjaga-jaga khususnya di Pangkalan Udara Subang serta kewujudan mesin pengimbas suhu badan di tingkat 18 bangunan Mindef.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Panglima ATM baharu terjawab pada 2 Januari

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diterajui panglima baharu pada 2020 apabila Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin akan bersara tidak lama lagi.

Persoalannnya siapa yang bakal dilantik sebagai Panglima ATM ke-21, adakah daripada Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Berdasarkan rekod, sejak 2011, jawatan Panglima ATM diisi oleh pegawai tertinggi daripada Tentera Darat. Kali terakhir jawatan itu diisi TUDM ialah pada 2009 menerusi Tan Sri Azizan Ariffin manakala TLDM pada 2005 menerusi Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Pelantikan jawatan nombor satu ATM ditentukan menerusi Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Panglima Tentera Darat sekarang ialah Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawi manakala Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang.

Affendi, 57, telah berkhidmat sebagai Panglima TUDM sejak 21 Disember 2016, manakala Ahmad Hasbullah, 58, dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 3 September 2018 dan Mohd Reza, 56, dilantik sebagai Panglima TLDM pada 30 November 2018.

Bernama difahamkan tanda tanya siapa yang bakal dilantik menjadi Panglima ATM ke-21 akan terjawab pada satu majlis yang dijadual pada 2 Januari 2020.

Sementara itu, Zulkifli,61, anak kelahiran Port Weld, Perak dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 pada 20 Jun 2018 menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara wajib.

Pada 26 Dis Zulkifli telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman sempena persaraannya itu.

Satu majlis makan malam rejimental penghargaan diadakan pada 18 Disember lalu sebagai tanda penghargaan ATM kepada Zulkifli atas perkhidmatannya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

ATM tahan 3 lelaki bunuh penyu di Semporna

SEMPORNA, 6 FEB: Angkatan Tentera Malaysia melalui Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menahan tiga lelaki warga asing kerana menangkap dan membunuh penyu di perairan Pulau Ligitan dekat sini, awal pagi ini.

Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata, satu Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) dari 18 RAMD diketuai Kapten Mohd Azuan Arif Mohd Nizam digerakkan ke lokasi kejadian dan mengesan bot mencurigakan sebelum menahan suspek berumur antara 25 hingga 45 tahun, pada jam 4.30 pagi.

“Pemeriksaan awal turut menemukan kesemua suspek bersama enam cengkerang penyu yang telah dipotong-potong,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Katanya, kesemua suspek yang tiada pengenalan diri itu turut ditahan atas faktor melanggar perintah berkurung yang ditetapkan di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah, antara jam 6 petang hingga 6 pagi.

Katanya, kesemua suspek serta barang rampasan diserahkan ke Markas Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor sokong operasi pemutihan Pati terbesar – MB

exco

SHAH ALAM 28 OGOS : Kerajaan Negeri menyokong langkah pihak berkuasa memburu kira-kira 500,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara, bermula 1 September.

Operasi itu merupakan operasi pemutihan terbesar yang pernah digerakkan oleh Jabatan Imigresen.

Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur menjadi negeri tumpuan operasi ini yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor dilaporkan mempunyai jumlah pendatang asing yang sangat tinggi.

Jelasnya Kerajaan Negeri berharap operasi ini mampu membantu pihaknya mengenal pasti jumlah sebenar Pati di Selangor.

“Kita amat memerlukan kerjasama supaya darinya kita boleh menguruskan soal keselamatan dan segala sumber berkaitan dengan pendatang asing,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Dilaporkan Jabatan Imigresen akan mengetuai operasi ini, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 135,000 anggota akan terlibat dalam proses pemutihan yang digerakkan di seluruh negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Artikel Berniat Jahat, Nurul Izzah Ambil Tindakan Undang-undang Ke Atas NST

Nurul Izzah-SAMM

SHAH ALAM, 21 MAC : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar New Straits Times (NST) ekoran penyiaran artikel yang mendakwa beliau memperlekeh usaha anggota keselamatan di Lahad Datu.

Nurul Izzah menyifatkan rencana yang bertajuk “Nurul Izzah hits out at police” adalah berniat jahat kerana didakwa memutarbelit ucapan ceramah beliau di Jemapoh, Negeri Sembilan pada 19 Mac lalu.

Rencana tersebut diterbitkan di dalam NST hari ini.

“Integriti kewartawanan yang bertanggungjawab adalah mercu tanda demokrasi di negara kita.

“Sedang kita melalui krisis yang mengancam keselamatan negara, saya berpendapat bahawa laporan yang tidak tepat dan menyeleweng itu harus ditarik balik.

“Saya menuntut New Straits Times memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan, isu sebenarnya yang diketengahkan di dalam ceramahnya adalah tindakan ahli-ahli politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu, Sabah.

Katanya, beliau bersependapat dengan Lt Gen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid yang menyatakan kegagalan risikan mencegah pencerobohan Lahad Datu berlaku kerana risikan difokuskan ke arah pengintipan perkembangan politik negara sejak tahun 2000.

Beliau turut mengulangi pendirian konsisten Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar, di samping kertas putih bagi mendalami krisis di Lahad Datu demi keselamatan negara.

“Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya menyokong sepenuhnya pihak keselamatan, khususnya anggota-anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pada waktu ini sedang berjuang di perbatasan mempertahankan kedaulatan negara di bumi Sabah.

“Saya tidak pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pahlawan Sedia Khidmat Guaman Percuma Kepada Tentera Dituduh Sertai HKR112

Pahlawan Guaman Percuma 01

PETALING JAYA, 6 FEB: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) menyediakan khidmat guaman percuma kepada anggota tentera yang dikenakan tindakan atas pertuduhan menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112).

Ini ekoran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenalpasti beberapa anggota yang hadir dalam perhimpunan tersebut dan kini akan disabitkan dalam pertuduhan dibawah Akta ATM.

Pengerusi Pahlawan, Asri Buang berkata, kehadiran mereka adalah atas kapasiti individu tanpa menyertai mana-mana pergerakkan NGO atau parti politik.

Ini disebabkan perasaan ingin tahun tentang perkembangan politik semasa secara langsung.

Tambah Asri, mereka ini akan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 87 Akta Memudaratkan Perkhidmatan.

“Pahlawan memandang serius perkara tersebut.

“Ini kerana menurut undang-undang yang ada, anggota tentera yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan bebas menyertai mana-mana perhimpunan yang dibenarkan oleh undang- undang Malaysia dengan syarat tidak menyertai mana-mana NGO atau parti politik serta tidak membahayakan keselamatan negara,” katanya.

Difahamkan seramai lima anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang anggota tentera darat bakal berhadapan tindakan berkenaan.

Sementara itu, setakat ini tidak ada aduan dilaporkan mengenai jumlah anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikenakan tindakan.

Beliau menambah, kesemua mereka dikesan menghadiri himpunan berkenaan melalui paparan gambar di laman sosial Facebook dan kemudiannya dimaklumkan oleh keluarga masing-masing berhubung perkara berkenaan.