Categories
GLOBAL

Turki lancar serangan ke atan Afrin, kekang militia Kurdish

GLOBAL 21 JAN: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengulangi gesaan bahawa serangan Turki ke atas bandar Afrin wilayah yang dikawal Kurdish adalah langkah yang perlu diambil bagi mengusir kumpulan militia YPG.

Militia YPG merupakan kumpulan pengganas yang disokong Amerika Syarikat (AS) berpangkalan di selatan sempadan Syria di wilayah Afrin, lapor AGENSI.

Erdogan menegaskan bahawa Turki akan melancarkan serangan susulan dan operasi ke atas wilayah yang dikuasai Kurdish itu.

Bercakap di bandar Kutahya, beliau menegaskan sasaran seterusnya Turki ialah bandar Manbij di Syria, yang terletak di sebelah barat sungai Euphrates dan pasukan yang dikuasai Kurdish yang disokong AS dari kumpulan Negara Islam pada 2016.

Presiden Turki itu sekali lagi mendakwa AS tidak menunaikan janji untuk memaksa militia Kurdish meninggalkan Manbij.

Memandangkan janji-janji itu tidak dipenuhi Erdogan menjelaskan tiada pihak yang berhak mempertikaikan tindakan Turki untuk melakukan serangan tersebut.

Gambar Oleh: ANADOLU NEWS AGENCY

Malah beliau juga mendakwa bahawa tindakan itu adalah kerana mengikut keperluan semasa.

Turki telah menguasai wilayah sempadan kedua-dua negara itu di mana tentera dan kereta kebal ditempatkan di sepanjang pintu masuk dan laluan sempadan.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

2018: Turki pertingkat kawalan, kekang serangan pengganas

ISTANBUL 31 DIS: Turki meningkatkan kawalan keselamatan menjelang sambutan tahun baru, dibayangi serangan ganas tahun lalu di kelab malam elit yang menyebabkan 39 maut.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan lelaki berketurunan Uzbekistan mengamuk menggunakan raifal Kalashnikov, 45 minit sebelum memasuki 2017 di kelab malam Reina di Bosphorus, membunuh secara rawak dan kemudian melarikan diri dengan teksi.

Serangan itu menjadi satu lagi tamparan kepada Turki di bawah kepemimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, selepas serangan ganas setahun sebelum itu oleh militan dan pemberontak Kurdis, selain cubaan rampasan kuasa.

Bagaimanapun, tiada serangan besar di Turki sejak kes Reina dan pasukan keselamatan tahun ini mengambil semua langkah berjaga-jaga, untuk memastikan sambutan tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian.

Seramai 37,000 anggota polis ditempatkan di Istabul sahaja pada malam ini, lebih dua kali ganda jumlah tahun lalu, kata gabenor bandar raya itu, Vasip Sahin.

Kira-kira 4,000 anggota polis tentera dan pengawal pantai turut diarah bertugas.

Sementara itu, pihak berkuasa membatalkan atau melarang sebarang sambutan tahun baru di sebahagian kawasan paling popular, termasuk di Dataran Taksim.

Semua jalan masuk ke kawasan itu disekat sejak tengah hari.

Agensi berita Anadolu melaporkan, polis yang menyamar sebagai penjual tiket loteri dan buah berangan ditempatkan di seluruh Taksim untuk memastikan keselamatan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Erdogan: Tarik balik sekatan ekonomi Sudan

GLOBAL 26 DIS: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa sekatan ekonomi terhadap Sudan ditarik sepenuhnya.

Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY melaporkan Turki komited untuk memberikan sokongan terhadap Kerajaan Sudan dan terus berdiri bersama-sama rakyat negara itu.

Erdogan dalam ucapan pada majlis penganugerahan Doktor Kehormat Undang-Undang kepadanya oleh Universiti Khartoum menyatakan sekatan itu merompak masa depan Sudan.

“Kasih sayang saudara kami di Sudan membuatkan kami berasa seperti berada di Istanbul, negara kami, bukan di Khartoum,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Amerika Syarikat memutuskan menarik balik sekatan ekonomi ke atas Sudan tetapi masih mengekalkan negara itu dalam senarai negara menyokong keganasan.

Erdogan tiba di ibu negara Sudan itu kelmarin sebagai persinggahan pertamanya dalam lawatan ke Afrika yang turut membawa beliau ke Chad dan Tunisia.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua negara dapat diperkukuhkan dalam bidang pelancongan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Turki: Israel negara pengganas, Palestin mangsa tak bersalah

ANKARA 12 DIS: Hubungan antara Israel dan Turki bertukar tegang kelmarin ketika pemimpin masing-masing saling melemparkan tuduhan terlibat dalam keganasan, beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Rejim Zionis.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata dalam ucapannya di Istanbul bahawa beliau akan menentang deklarasi kontroversi itu dan melabelkan Israel negara pengganas yang membunuh kanak-kanak, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Beberapa jam kemudian, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula membidas Erdogan sebagai pemimpin yang mengebom kampung-kampung puak Kurdis dan menyokong pengganas.

Kedua-dua negara itu menjalinkan hubungan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun perang lidah kelmarin tercetus selepas Turki berang dengan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Langkah Trump itu mencetuskan bantahan selama empat hari di negara Arab dan Islam.

“Palestin ialah mangsa yang tidak bersalah. Bagi Israel pula, ia sebuah negara pengganas, ya, pengganas,” kata Erdogan.

“Kami tidak akan membiarkan Baitulmuqaddis menjadi mangsa negara yang membunuh kanak-kanak,” tambahnya.

Erdogan menggunakan gilirannya sebagai Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memanggil sidang tergempar OIC esok.

Semasa ucapannya, Erdogan memegang sekeping gambar yang, katanya, memaparkan seorang kanak-kanak lelaki Palestin berumur 14 tahun dari Hebron, Tebing Barat sedang diseret oleh askar-askar Israel.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Turki tawar diri ketuai jadi pembela Baitulmaqdis

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 10 DIS: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan untuk terus memperjuangkan hak kemanusiaan yang tertindas di seluruh dunia.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan Erdogan menyatakan kesungguhan demikian sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Disember setiap tahun.

Katanya, Kerajaan Turki bersama-sama dengan mereka yang tertindas sama ada di Palestin sehingga ke Syria, dan dari Afrika sehingga ke Asia.

Erdogan juga menawarkan diri untuk mengetuai dunia Islam dalam tindak balas terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Erdogan yang sering menonjolkan dirinya sebagai juara pembela Palestin, menentang keras tindakan Presiden Donald Trump itu selepas beliau membuat pengumuman minggu ini.

Beliau turut menyifatkan bahawa sebarang usaha mengiktiraf bandar yang terletak di timur Palestin itu sebagai ibu negara Israel menjadi satu ‘garisan merah’ kepada umat Islam.

Presiden Turki itu berkata, beliau akan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan sidang kemuncak negara-negara Islam.

OIC yang merupakan sebuah pertubuhan diasaskan pada tahun 1969 selepas satu serangan ke atas Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis kini membuka peluang kepada Erdogan untuk menonjolkan kedudukannya sebagai pe­mimpin Islam.

Sementara itu sumber Istana Presiden Turki memberitahu hubungan antara Turki dan Perancis diperkukuhkan dalam isu Baitul Maqdis.

Dalam hubungan telefon kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu prihatin dengan perkembangan terkini keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara rejim Zionis.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Turki mengecam tindakan rejim Zionis yang mengenakan tindakan kekerasan terhadap penduduk Palestin yang menentang keputusan polisi Amerika Syarikat.

“Kami sangat sedih dan bimbang tentang kehilangan empat nyawa dan kecederaan ratusan orang Palestin akibat campur tangan tentera Israel terhadap Palestin yang membantah wilayah diduduki berikutan pengumuman ke atas Jerusalem bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan semua yang berkaitan Keputusan PBB.

“Kami mengutuk penggunaan kekuatan yang tidak seimbang oleh Israel,” katanya.

=EZY=

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tindakan AS provokasi semarak krisis dunia

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR membantah sekeras-kerasnya pendirian Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Presiden Donald Trump yang telah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim Israel.

Tindakan Amerika Syarikat ini ternyata menjadi suatu provokasi yang disengajakan yang menyentuh hak dan sensitiviti rakyat Palestin dalam membebaskan bumi mereka dan menjadikan bumi tersebut sebaga negara mereka sendiri.

Kita bimbang, provokasi ini juga akan menjadi satu faktor baru merebaknya ekstrimisme yang sukar di kawal. Akhirnya, ketegangan dan konflik di Timur Tengah akan berterusan dan berpanjangan tanpa kesudahan.

Keberanian luar biasa Donald Trump memberi pengiktirafan Baitulmuaddis sebagai ibu negara Israel secara tiba-tiba sekarang ini, adalah manifestasi kepada kelemahan dan perpecahan pimpinan politik umat Islam sejagat pada masa ini, khususnya pimpinan negara-negara Arab.

Adalah amat jelas secara psikologinya bahawa, musuh-musuh umat Islam telahpun berjaya menjadikan pimpinan politik negara-negara Islam dilihat semakin hilang izzah dan keyakinan diri, tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri dan terlalu berharap kepada ihsan dan lindungan kuasa-kuasa Barat.

Gejala mentaliti terjajah, kehilangan izzah dan yakin diri ini, wajiblah dirawat dan dibanteras.

Seluruh gerakan massa umat hendaklah bangkit serentak menimbulkan kesedaran dan memperjuangkan DUA agenda perdana umat:

Pertama mengembalikan perpaduan umat Islam merentasi sempadan politik dan perbezaan fikrah dan mazhab;

Keduanya, kembali menjadikan Pertubuhan Persidangan Islam sebagai wahana pertemuan dan muafakat bagi semua umat Islam dalam menyelesaikan sebarang masalah dan konflik yang dihadapi oleh umat Islam dari semasa ke masa.

Sehubungan dengan hal ini, BiPPA menyokong pendiran tegas Presiden Turkey Racep Tayyib Endorgan yang menentang pendirian Presiden Donald Trump tersebut.

BiPPA juga amat mengharapkan agar inisiatif Turki yang proaktif memimpin pakatan baru negara-negara Islam dengan menganjurkan Mesyuarat Khas OIC 12 dan 13 Disember 2017 di Istanbul, berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat dan tujuannya.

 

OLEH: Senator Dr Mohd Nor Manuty
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) PKR

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Turki beri amaran terhadap AS & Israel mahu jadi Baitul Maqdis ibu negara

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 6 DIS: Kerajaan Turki memberi amaran terhadap pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu sedia mengambil tindakan tegas serta menamatkan hubungan diplomatik Israel jika AS mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara rejim Zionis.

Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY melaporkan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mahu mengadakan sidang tergempar negara Islam di Istanbul dalam masa terdekat jika Presiden AS Donald Trump mengubah dasar negara itu berhubung status Baitul Maqdis.

“… Trump, Baitul Maqdis adalah garis merah bagi umat Islam,” kata Recep Tayyip Erdogan semasa mesyuarat kumpulan Parlimen PartikKeadilan dan Pembangunan (AK), semalam.

Media AS sebelum ini melaporkan Trump sedia memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis dan mengiktirah kota suci itu sebagai ibu negara rejim Zionis Israel.

Sementara itu kumpulan pejuang pembebasan Palestin menyeru agar ‘Hari Kemarahan’ dilancarkan pada Rabu membantah tindakan itu.

Antara yang berkumpul mengadakan mesyuarat pada Selasa termasuk kumpulan pejuang Hamas di Gaza.

Mereka menyeru agar demonstrasi diadakan di negara Arab dan kota utama negara Islam sebagai tanda protes terhadap keputusan AS, termasuk hasrat Presiden Donald Trump memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Menurut Ketua Barisan Demokratik Pembebasan Palestin Talal Abu Zarefa, negara Islam sepatutnya memainkan peranan dalam isu ini.

=EZY=

 

 

Categories
GLOBAL

Turki terus hantar bantuan mangsa gempa bumi Iraq-Iran

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 NOV: Pertubuhan Bulan Sabit Merah Turki terus menghantar bantuan kecemasan kepada mangsa terlibat dalam tragedi gempa bumi kuat di Iraq dengan angka korban meningkat kepada lebih 500 mangsa manakala lebih 8,000 cedera.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan sembilan trak penuh dengan keperluan seperti selimut, tilam dan pakaian musim sejuk dihantar ke kawasan paling terjejas di sempadan Iraq dan Iran.

Jurucakap rasmi Kerajaan Iran mengumumkan sebanyak 536 kampung musnah dengan kira-kira 12,000 rumah musnah serta menjejaskan sekurang-kurangnya 70,000 penduduk tanpa kediaman.

Gempa bumi pada kekuatan 7.3 magnitud menurut Agensi Geologi Amerika Syarikat berlakiu pada jam 9.48 p.m waktu tempatan pada Ahad dengam pusat gegaran dikesan berhampiran Ezgeleh Iran iaitu 135 batu Utara Baghdad.

Sementara itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani, memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa gempa bumi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan beliau yang tiba di Kermanshah dengan menaiki helikopter turut berjanji untuk meningkatkan usaha membantu mangsa yang kehilangan kediaman masing-masing.

“Saya beri jaminan kepada semua mangsa bahawa kerajaan sudah mengerah segala usaha untuk menangani masalah yang timbul secepat mungkin,” katanya.

Hassan berkata, semua bantuan disalurkan menerusi Yayasan Perumahan, iaitu dana amanah yang berperanan penting dalam ekonomi Iran.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Bom trak Somalia: Angka korban melonjak 300, Turki hulur bantuan

GLOBAL 17 OKT: Angka korban letupan bom trak di Mogadishu melonjak kepada lebih 300 mangsa manakala 300 lagi cedera kata pihak Kerajaan Somalia.

Angka itu adalah korban paling buruk di ibu negara Somalia berbanding anggaran awal polis sebelum ini iaitu 20 orang.

“Kerajaan Persekutuan Somalia mengesahkan seramai 300 orang terkorban dalam letupan… 300 lagi cedera dan dirawat di beberapa hospital di Mogadishu,” menurut Kementerian Informasi Somalia dalam satu kenyataan.

“Operasi menyelamat masih berterusan,” kata kenyataan sama sambil menyatakan tempoh berkabung peringkat kebangsaan dan solat untuk mangsa akan dilakukan dalam beberapa hari akan datang.

Pegawai polis, Ibrahim Mohamed memberitahu agensi berita AFP bahawa sejumlah besar mangsa ‘rentung sepenuhnya dan sukar untuk dikenal pasti’.

Sementara itu Kerajaan Turki menghantar bantuan ambulan udara ke Somalia bagi membantu memberikan rawatan kepada mangsa cedera dalam serangan itu.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Recep Akdag berkata seramai 35 rakyat Somalia termasuk tiga kanak-kanak yang cedera tiba di Ankara bagi menerima bantuan.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menawarkan ucapan takziah terhadap serangan Sabtu dalam perbualan telefon dengan Mohamed pada Isnin, kata sumber presiden Turki.

Erdogan mengecam letupan itu, dan mengesahkan solidariti Turki dengan rakyat Somalia, dan sokongannya terhadap Somalia dalam menentang keganasan.

Presiden Turki pada hari Ahad menghantar mesej ucapan takziah kepada rakan di Somalia.

=EZY=

 

 

Categories
GLOBAL

Erdogan arah mangsa pengeboman di Somalia dirawat di Turki

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 16 OKT: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengarahkan mangsa yang cedera dalam serangan bom terburuk sejarah Somalia yang berlaku di Mogadishu di bawa ke Turki untuk menerima rawatan perubatan.

Perkara demikian dimaklumkan menurut jurucakap Istana Presiden Turki pada Ahad, lapor Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS.

Dalam mesej di akaun Twitternya, Ibrahim Kalin berkata: “Sebuah ambulan udara tentera berlepas hari ini untuk memberi bantuan perubatan dan membawa cedera orang [dari Somalia] ke Turki atas perintah Presiden kami [Recep Tayyip Erdogan]. ”

Media melaporkan seramai 231 dilaporkan terbunuh manakala lebih 275 lagi cedera selepas berlaku pengeboman terbesar di Mogadishu dalam sejarah di Somalia.

Pihak berkuasa negara berkenaan menjangka jumlah kematian akan meningkat selepas kejadian bom menggunakan lori.

Dalam kejadian berhampiran sebuah kementerian utama kerajaan, sebuah lori yang sarat dengan bom diletupkan sehingga menyebabkan ramai terkorban.

Presiden Somalia, Mohamed Abdullahi menyeru rakyat negara itu tampil untuk membantu.

“Saya merayu semua rakyat Somalia untuk tampil menderma darah. Keluarlah membantu mangsa,” katanya.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Krisis visa AS-Turki bakal selesai

WASHINGTON 12 OKT: Krisis diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Turki yang membawa kepada penggantungan mengeluarkan visa kepada warga masing-masing terlalu diperbesar-besarkan dan akan diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Mehmet Simsek, ketika berucap dalam satu majlis di sini bagi mendamaikan kedua-dua negara berkata, Turki meletakkan keselamatan dan kesejahteraan diplomat serta kakitangan di negara itu sebagai keutamaan.

Beliau menjelaskan penahanan kakitangan misi AS di Turki hanyalah satu siasatan rutin, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Ketegangan antara dua sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini, susulan penahanan dua kakitangan tempatan yang mendorong AS menggantung perkhidmatan visa bukan imigran di kedutaan dan konsulatnya di Turki, Ahad lalu.

Beberapa jam kemudian, Turki mengarahkan penggantungan visa yang sama untuk warga AS.

Hubungan AS-Turki sekian lama tegang berikutan sokongan ketenteraan AS ke atas pejuang Kurdis di Syria.

Ia diburukkan lagi dengan keengganan AS untuk mengekstradisi ulama Islam, Fethullah Gulen, bekas sekutu Erdogan yang didakwa menjadi dalang di belakang rampasan kuasa tentera yang gagal tahun lalu.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Turki gesa AS kaji semula gantung visa

ANKARA 10 OKT: Turki menggesa Amerika Syarikat (AS) mengkaji semula penggantungan perkhidmatan visa selepas kakitangan konsulat negara itu ditahan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS ketegangan antara dua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menjejaskan mata wang Turki dan bursa saham negara itu.

Hubungan antara Ankara dan Washington mula dibelenggu perselisihan selepas AS secara terang-terangan menyokong pemberontak Kurdis di Syria, permintaan untuk membawa pulang ulama Turki, Fethullah Gulen yang berpangkalan di AS tidak diendahkan dan pendakwaan terhadap bekas menteri Turki di mahkamah AS.

Bagaimanapun minggu lalu penahanan kakitangan konsulat AS di Istanbul memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Ankara mendakwa kakitangan terbabit mempunyai hubungan dengan Gulen yang dituduh menjadi dalang kepada rampasan kuasa gagal pada Julai 2016.

Gulen menolak sekeras-kerasnya mempunyai hubungan dengan rampasan kuasa itu.

Dakwaan Ankara itu mendapat kutukan kedutaan AS dan menganggap ia sebagai tidak berasas. Susulan itu perkhidmatan visa bukan pendatang Turki digantung serta merta.

Tindakan Washington itu serta-merta di balas Ankara yang turut membuat pengumuman terhadap warga AS yang cuba mendapatkan visa Turki.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, kecewa dengan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menggantung perkhidmatan visa di negara itu.

Beliau menambah, pihak berkuasa Kementerian Luar Turki sudah menghubungi rakan sejawatannya berhubung perkara itu.

“Pada akhirnya, keputusan itu amat mengecewakan,” kata Erdogan ketika kunjungannya ke Ukraine.

=EZY=