Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia di landasan betul – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 20 MEI: Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha melihat angka kes positif baharu Covid-19 berada pada jumlah kurang dari 10, tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya masih terus memburu sasaran itu, dan melihat kepada tempoh dua minggu sejak awal bulan ini, kes-kes baharu Covid-19 memang tidak menampakkan kenaikan ketara, namun ia juga tidak berkurangan sepantas yang diharapkan.

“… tapi kita masih bertahan, selagi kita boleh kekalkan angka sekitar 20 kes.., jadi dari segi kepentingan kesihatan awam, satu pasukan boleh mengambil tindakan terhadap kes-kes yang telah dikenal pasti. Lebih penting lagi, tindakan boleh diambil bagi menghalang jangkitan daripada merebak,” katanya dalam sidang media harian berhubung Covid-19 di sini, semalam.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap pada hari-hari akan datang Malaysia dapat mengekalkan angka dua digit kes baharu positif Covid-19.

Menurutnya ketika ini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membolehkan angka jangkitan baharu kes postif penyakit itu berada pada dua digit, dan yang lebih penting ialah tiada lonjaklan secara tiba-tiba dalam jumlah kes positif baharu yang dikesan.

“Selagi jumlahnya kurang daripada 50, saya puas hati, namun sasaran kita adalah lebih dari angka ini, dan kita boleh mencapainya jika dapat bekerjasama. Orang ramai boleh tampil dan patuh kepada SOP (tatacara operasi piawai), ini penting,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Dr. Noor Hisham berkata daripada 35 kes jangkitan tempatan baharu hari ini, 22 melibatkan warga asing.

“Kita masih ada dua kawasan aktif yang sedang diberi perhatian rapi; iaitu kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Chow Kit, dan di sekitar Pudu.

“Jadi kedua-dua kawasan aktif ini kita sedang pantau dengan rapi dan kita buat ujian keatas ramai warga asing di kawasan itu, jadi walaupun ia jangkitan tempatan, namun majoriti melibatkan warga asing,” katanya.

Sementara itu beliau berkata ketika ini terdapat lebih 1,436 tahanan di Pusat Depoh Tahanan di Kuala Lumpur, dan 1,000 daripada mereka telah menjalani saringan Covid-19, dan menurutnya ujian saringan itu masih diteruskan sehingga kini.

Dr. Noor Hisham berkata demikian sebagai respons kepada satu laporan dari Myanmar mengenai satu kes positif Covid-19 melibatkan pekerja asing yang dihantar pulang dari Malaysia yang pernah ditempatkan di Blok A, Pusat Tahanan Depoh di Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 147 pekerja asing lari dari pusat kuarantin

SHAH ALAM, 6 MEI: Seramai 147 pekerja asing dikesan melarikan diri dari pusat kuarantin, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka dari kumpulan pembinaan tetapi keputusan saringan mendapati mereka negatif Covid-19.

“Bagaimanapun mereka perlu dikuarantinkan kerana terdedah dengan kes positif.

“Ini (lari dari pusat kuarantin) bukan disebabkan tatacara operasi piawaian (SOP). Gelombang pertama pun ada warga China lari dari pusat kuarantin,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Tambah Dr Noor Hisham, susulan kejadian itu pihaknya membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.

Setakat hari ini, sebanyak 6,428 kes positif Covid-19 dilaporkan dan 4,702 disahkan pulih dan dibenarkan keluar wad.

Categories
PBT SELANGOR

MPS sita 92 barangan penjaja haram warga asing

SHAH ALAM, 8 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita 92 barang perniagaan yang dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa permit di tepi Pasar Borong Selayang, kata timbalan yang dipertuanya.

Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata barangan ditinggalkan penjaja haram warga asing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kawasan itu kotor dan menimbulkan kacau ganggu.

“MPS konsisten menjalankan operasi bersepadu melibatkan semua agensi kerajaan berkaitan untuk membendung kegiatan perniagaan tanpa kebenaran terutama warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juhari berkata pihaknya memberi amaran kepada penjaja haram tidak lagi menjalankan perniagaan di situ dan meletakkan penghadang batu konkrit selepas tamat tempoh PKP.

Operasi pembersihan dan sitaan kali keempat melibatkan 90 anggota MPS dengan kerjasama polis dan wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bermula jam 9 pagi serta menggunakan sembilan jentera.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Tangguh sementara perjalanan ke Arab Saudi

PUTRAJAYA, 27 FEB: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan langkah negara itu menggantung sementara kemasukan warganegara asing termasuk dari Malaysia berikutan wabak Covid-19.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan setelah pengesahan rasmi berhubung perkara itu diterima daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur hari ini.

“Pihak Berkuasa Arab Saudi mengambil langkah ini bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak Covid-19. Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa langkah-langkah itu adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggantung sementara kemasukan warganegara asing ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah ke Masjid Nabawi di Madinah.

“ …juga menghentikan kemasukan ke Arab Saudi oleh pengunjung dengan visa pelancong dari negara mengalami wabak COVID-19, berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi. Menurut Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dimaksudkan,” katanya.

Wisma Putra berkata pihaknya serta Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

“Rakyat Malaysia di Arab Saudi yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri tetap harga ambang hartanah untuk warga asing

BATU CAVES, 24 JAN: Harga ambang bagi pembelian hartanah oleh warga asing dikurangkan kepada RM1.5 juta bagi jenis strata dan RM2 juta untuk banglo atau rumah berkembar berkuat kuasa 1 Januari lalu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri menetapkan penurunan harga selepas membuat penilaian data dibentangkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

“Harga ditawarkan hanya untuk unit hartanah yang mendapat sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) sehingga 2018 dan ia unit belum terjual sehingga 31 Disember tahun yang sama.

“Langkah ini dijangka membantu menyelesaikan masalah lambakan hartanah tidak terjual di Selangor,” katanya dalam sidang media di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata harga ambang ditetapkan masih tinggi di Malaysia berbanding RM600,000 diputuskan kerajaan Persekutuan dan RM1 juta di Kuala Lumpur.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sebarang peratusan penurunan jumlah lambakan hartanah tidak terjual dan akan menilai semula dasar ini dalam tempoh setahun selepas dilaksana.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri boleh tetapkan had harga rumah dibeli warga asing

GEORGE TOWN, 14 OKT: Setiap kerajaan negeri masih boleh menetapkan had harga kediaman yang boleh dijual kepada pembeli warga asing berdasarkan keadaan semasa di negeri masing-masing, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini.

Katanya cadangan penurunan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, pada 11 Oktober lalu masih boleh diteliti semula mengikut keperluan sesebuah negeri.

“Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut untuk rumah-rumah yang diberikan (harga) jualan RM600,000 itu kerana ada lambakan kediaman sebanyak RM8.3 bilion dan juga untuk dihabiskan stok dan akan dilaksanakan pada tahun (hadapan) mulai 1 Januari 2020 hingga Disember 2020.

“Saya percaya jika kita melihat kepada statistik Pulau Pinang umpamanya, negeri ini mempunyai satu gambaran analisis statistik yang berbeza dengan Johor, Kedah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan Kedua, di sini, hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan hasrat Kerajaan Pulau Pinang yang mahu mengkaji dan meneliti terlebih dahulu berhubung penurunan had harga daripada RM1 juta kepada RM600,000 seperti mana yang diumumkan Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020.

“Saya menyokong hasrat kerajaan Pulau Pinang mengkaji dan melihat perkara ini sekiranya tidak bersesuaian dengan keadaan di negeri itu, ini kerana Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang lebih maju maka sudut keperluannya berbeza, pencapaiannya juga berbeza,” katanya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang turut hadir pada majlis itu berkata, mesyuarat exco yang akan berlangsung 18 Oktober akan membuat keputusan berhubung had harga baru itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPKT-MoF bincang harga kondominium untuk warga asing

PONTIAN, 13 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung cadangan menurunkan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata ia bagi mengkaji semula cadangan tersebut memandangkan terdapat suara rakyat yang tidak bersetuju dengan had penurunan berkenaan.

“Saya akan rujuk balik dengan Kementerian Kewangan sekiranya perlu dikaji semula. Mungkin melihat respons rakyat harus diberi pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, ramai yang tidak jelas mengenai cadangan berkenaan dengan beranggapan ia dikeluarkan KPKT sedangkan ia di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, KPKT kini lebih menumpukan usaha mempromosikan Malaysia My Second Home (MM2H) dengan menyediakan pakej menarik bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan rancangan itu bagi membantu mengurangkan lambakan unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku 2019.

Beliau menjelaskan pengurangan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 dan tidak merangkumi projek baharu yang belum dilancarkan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

1,401 warga asing terbabit pelacuran ditangkap sehingga Jun

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Polis menahan 1,401 warganegara asing sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019, kerana terbabit dengan kegiatan pelacuran dalam serbuan dibuat di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu, 1,167, perempuan dan 234 (lelaki).

“Warganegara Vietnam merupakan pecahan terbesar yang ditangkap, iaitu seramai 317 orang merangkumi 309 perempuan dan lapan lelaki, diikuti Thailand seramai 275 orang, merangkumi 266 perempuan dan sembilan lelaki, sementara China seramai 227 orang merangkumi 213 perempuan dan 14 lelaki.

“Polis Kuala Lumpur turut membuat 569 tangkapan ke atas warga tempatan yang terdiri daripada 242 orang perempuan, yang terbabit dengan kegiatan pelacuran dan 327 lelaki yang merupakan penjaga premis yang menjalankan kegiatan pelacuran, sepanjang Januari hingga Jun 2019,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mazlan berkata tindakan saman untuk premis yang tidak mempunyai lesen dan melanggar syarat pusat hiburan di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan turut dikeluarkan iaitu sebanyak 136 saman.

Untuk tempoh sama, pihak polis juga turut giat memerangi kegiatan perjudian dalam talian (JOL) dan berjaya menangkap seramai 794 orang, kerana terlibat dengan kegiatan itu.

Sebanyak 89 serbuan telah diadakan dan pihak polis berjaya merampas wang tunai RM98,357 dan 111 buah tablet, 1,100 buah telefon, dua buah Ipad, 333 buah komputer riba, 522 buah komputer, 101 modem, 55 router serta tiga simulator.

Sementara itu, sebanyak 388 tangkapan dalam tempoh sama melibatkan kegiatan lain-lain jenis perjudian dengan nilai barang rampasan berjumlah RM97,393 telah diperolehi dalam serbuan berkenaan.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengenal pasti dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah Undang-Undang Pencegahan Jenayah sedia ada, terhadap tauke judi dan orang tengah (runner) dalam usaha memerangi aktiviti JOL selaras dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM.

Polis Kuala Lumpur turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian dan kegiatan pelacuran, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Imigresen tahan 130 warga asing

KAJANG, 15 JUN: Seramai 130 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di Kajang dan Puchong, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di 53 unit pangsapuri di Kajang, pihaknya menahan 78 rakyat Nigeria, enam Filipina dan masing-masing seorang India dan Pakistan serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

Beliau berkata, seramai 40 lagi rakyat asing ditahan dalam operasi di sebuah kawasan kediaman di Puchong, iaitu dari Nepal, Myanmar, Nigeria, Sierra Leone, Guinea, Tanzania dan Kenya.

“Kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, salah guna pas, tamat tempoh pas pelajar dan pelancong serta menjalankan perniagaan.

“Kami juga mendapati ada antara warga asing ini disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian susulan penemuan komputer riba yang mengandungi maklumat mencurigakan.

“Perkara ini akan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi Bersepadu itu.

Operasi yang disertai 96 pegawai imigresen, 15 pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu bermula 10.30 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Khairul Dzaimee berkata, anggota terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu ketika operasi kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Beliau berkata, semua rakyat asing yang ditahan berusia satu hingga 66 tahun itu dibawa ke lokap imigresen di Putrajaya sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil atau Semenyih. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kos tinggi balik kampung, warga asing pilih beraya di perantauan

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Tatkala warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri, ada dalam kalangan pekerja asing beragama Islam tidak berpeluang berbuat demikian.

Hal ini kerana selain tiket penerbangan mahal untuk pulang ke negara asal mereka, mereka terpaksa mengorbankan masa untuk bersama keluarga untuk mencari rezeki bagi menampung kos sara hidup tinggi di tengah-tengah ibu kota.

Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan mereka dipaksa menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada majikan sebelum diberi cuti Hari Raya dan jika tidak gaji mereka akan dipotong.

Seorang pekerja restoran kedai mamak yang hanya mahu dikenali sebagai Shahbudeen, 34, berkata tahun ini merupakan tahun kedua beliau beraya di tempat kerja kerana mahu mengumpul duit untuk membeli tiket penerbangan pulang ke India.

“Hari Raya pun tetap kena kerja, lepas solat raya di Masjid India terus saya datang kerja kerana dapat ‘double pay’,” kalau dah cukup duit baru boleh beli tiket balik (negara asal).

“Saya pun ada isteri dan seorang anak di sana (India), selagi tak cukup duit untuk mereka saya tak boleh balik,” katanya ketika ditemui Bernama.

Warga Indonesia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, Yasral Anddal, 28, berkata kos balik kampung yang mahal memaksanya untuk membatalkan hasrat pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

“Tahun ini merupakan tahun pertama tidak pulang berhari raya kerana cuti yang diberi hanyalah dua hari dan tiket pun mahal…. saya dan isteri hanya berkesempatan menunaikan solat raya dan makan juadah raya di masjid pada Raya pertama.

“Walaupun tidak pulang ke kampung, suasana Aidilfitri di sini sebenarnya sangat meriah kerana banyak rumah terbuka terutamanya di masjid-masjid dan kami dijamu dengan makanan yang sedap, tidak perlulah kami berbelanja lebih untuk masak pada Hari Raya,” katanya.

Buruh pembinaan Naw Myitsu, 30, dari Myanmar pula berkata dokumen pengenalan dirinya terpaksa diserahkan kepada majikan kerana dikhuatiri dipotong gaji sekiranya tidak berbuat demikian.

“Kami hanya diberi cuti dua hari, jadi sebelum cuti kami terpaksa serahkan pasport kepada majikan dan ia hanya dipulangkan selepas kami pulang ke tempat kerja esok.

“Mereka takut kami akan melarikan diri… Jika tidak, gaji kami akan dipotong,” katanya.

Walaupun tidak menyambut Hari Raya, dia berasa gembira kerana dapat bersiar-siar di sekitar ibu kota bersama-sama dengan rakan-rakan senegara dalam tempoh cuti dua hari itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Puduraya, Pasar Seni dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dibanjiri warga asing yang tidak pulang ke kampung halaman pada hari lebaran.

Fenomena ini dilihat sudah menjadi kebiasaan buat warga asing yang bekerja di sini yang mengambil kesempatan cuti dua hari ini untuk bersiar-siar atau ‘melepak’ secara berkumpulan di ‘ruang lompang’ sekitar ibu kota.

Bagaimanapun, bukan semua menyenangi kehadiran mereka.

Pengawal keselamatan bank Siti Ramlah Ibrahim, 45, berkata beliau terpaksa menghalau warga asing yang melepak di sekitar kawasan bank, terutamanya di ruang mesin ATM bagi menjaga kebersihan.

“Mereka duduk di atas lantai secara beramai-ramai kerana di sini ada ‘aircond’, jadi saya memarahi mereka yang degil kerana ada yang sudah dihalau tetapi datang balik duduk di sini.

“Selain menyebabkan bau busuk, mereka juga meninggalkan sampah sarap di tepi-tepi bangunan dan tidak tahu membuang sampah ke dalam tong,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

KDN perlu tangani lambakan warga asing

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mencari formula, sistem mahupun prosedur baharu untuk mengekang lambakan kemasukan warga asing ke negara ini khususnya dari negara Afrika.

Bekas Ketua Imigresen Operasi KLIA, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata antara sistem yang boleh digunakan ialah “Advance Passengers Clearance”, iaitu satu sistem bagi mengenalpasti rekod-rekod jenayah melibatkan pelawat luar yang memasuki Malaysia.

Katanya, pendekatan baharu perlu dicari memandangkan jumlah kemasukan warga asing khususnya dari benua Afrika ke negara ini semakin bertambah sejak 1999 hingga kini, dan ia amat membimbangkan berikutan peningkatan jumlah kes jenayah kecil dan besar yang melibatkan warga asing itu.

“Sebab antara ancaman dia adalah jenayah, kes-kes militan…sekarang ini kita lihat banyak warga negara kita kena tangkap dan ada warga asing. Ini ancaman kepada keselamatan kita,” katanya dalam program Upsound terbitan Bernama News Channel (Astro 502).

Dalam pada itu, Shahul Hamid turut menggesa agar kerajaan mengguna pakai sistem “Psikometrik” di setiap pintu masuk negara, terutamanya di lapangan terbang, bagi memudahkan pihak penguatkuasa mengenalpasti niat dan tujuan para pelancong masuk ke negara ini.

Katanya, psikometrik adalah suatu instrumen pentaksiran yang direka bagi mendapatkan maklumat secara kualitatif dan kuantitatif secara tepat dan terlaksana tentang keupayaan seseorang bertindak balas.

“Maknanya, langkah je masa dia lalui depan pintu imigresen itu, kita boleh tahu sama ada dia ni pelancong tulen atau tidak. Beberapa soalan akan kita kemukakan kepada mereka, dan daripada jawapan yang menimbulkan keraguan, mereka tidak dibenarkan masuk,” tambah beliau.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia, sepanjang 2018 sehingga hari ini, seramai 282 warga Afrika ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Terbaru, seorang lelaki Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang mayatnya ditemui dalam unit kondominium dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahu untung mudah punca warga asing monopoli niaga

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Gejala mahu mendapat untung mudah dengan menyewakan lesen atau tapak perniagaan kepada warga asing oleh warga tempatan menjadi faktor perniagaan di ibu negara kini dimonopoli warga asing.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, isu ini lebih meruncing apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu mengambil tindakan terhadap warga asing berkenaan, segelintir warga tempatan tampil dan mendakwa perniagaan itu milik mereka dan warga asing berkenaan adalah pekerja mereka.

DBKL juga, katanya, tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing kerana mereka tidak layak mendapat sebarang lesen untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

“Tetapi sukar untuk diambil tindakan sebab pemilik (warga tempatan) mengaku mereka adalah pekerja.

“Justeru, kami terpaksa benarkan mereka teruskan aktiviti perniagaan asalkan memiliki semua dokumen sah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini semalam.

Khalid mengulas kebimbangan yang disuarakan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun mengenai warga asing yang memonopoli (dalam sektor perniagaan di Kampung Baru).

Dalam pada itu Khalid menggesa warga tempatan membuka mata mengapa terdapat pihak ketiga (termasuk warga asing) yang sanggup menyewa lesen atau tapak perniagaan mereka walaupun pada harga tinggi.

“Kita kena faham mengapa orang sanggup sewa lesen atau tapak kita itu, ini kerana mereka boleh memperoleh keuntungan yang jauh lebih besar.

“Seperti tapak di bazar Ramadan, banyak peniaga kata tidak laku dan sebagainya tapi difahamkan ada yang sanggup menyewanya pada harga RM7,000. Jika mereka sanggup membayar pada harga itu sudah pasti dia tahu boleh memperoleh pulangan tiga ke empat kali ganda,” katanya. – BERNAMA