Categories
SELANGOR

Selangor tegas larang warga asing berniaga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 APRIL: Selangor tegas menjalankan penguatkuasaan larangan terhadap warga asing daripada menjalankan perniagaan, di negeri itu.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, tindakan itu diambil bagi melindungi kepentingan peniaga tempatan.

“Kehadiran peniaga warga asing ini mampu menutup peluang warga tempatan untuk berniaga.

“Sejak awal tahun ini, kita sudah mula menjalankan operasi membanteras peniaga asing daripada terus berleluasa di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SACC Walk Fiesta Flea Market di perkarangan SACC Mall dan Wisma PKNS di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Rodziah berkata, perbuatan segelintir peniaga tempatan menyalahgunakan tapak dan lesen perniagaan dengan menyewakan kepada peniaga warga asing perlu dihentikan.

Katanya, kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan agensi penguat kuasa mampu membersihkan Selangor daripada kebanjiran peniaga warga asing.

Categories
SELANGOR

RM0.50, RM1 mungkin caj tambang bas warga asing

OLEH NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 5 MAC: Caj tambang Bas Smart Selangor kepada warga asing mungkin dikenakan pada kadar RM0.50 atau RM1 bagi satu perjalanan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kadar berkenaan masih diperingkat kajian dan perbincangan bersama Jawatankuasa Pengangkutan Awam negeri.

Katanya, ini kerana banyak aspek perlu diambil kira sebelum ia dilaksanakan.

“Kita menerima banyak aduan daripada penduduk Selangor bahawa warga asing menggunakan perkhidmatan itu.

“Dalam siasatan pihak kami juga mendapati, tidak semua laluan mereka guna, antara laluan yang digunakan adalah kawasan kilang,” katanya ketika ditemui.

Sze Han berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengenal pasti beberapa aspek dan mekanisme pelaksanaan itu dalam mesyuarat yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia termasuk mengambil kira sumbangan warga asing kepada pembangunan negeri.

“Warga asing juga menyumbang kepada ekonomi negeri kerana kebanyakkannya mereka menggunakan bas untuk ke kilang dan bekerja bukan makan angin.

“Oleh itu, kita tunggu perbincangan lanjut. Mungkin pada kadar RM0.50, RM1 atau per trip.

“Saya jangkakan paling lewat pelaksanaan ini adalah tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah itu selaras dengan dasar subsidi bersasar diamalkan Kerajaan Negeri untuk dinikmati pembayar utama cukai kerajaan iaitu rakyat tempatan.

Categories
NASIONAL

Imigresen Selangor tahan 149 warga asing di Klang

SHAH ALAM, 2 MAC: Jabatan Imigresen Selangor menahan 149 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi di sebuah asrama pekerja di Bandar Sultan Suleiman, Klang dekat sini, malam tadi.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, pihaknya memeriksa 679 warga asing dalam operasi yang bermula jam 11 malam dan berakhir 4.00 pagi.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lelaki warga Indonesia (tujuh orang), Bangladesh (82), India (25), Myanmar (24), Pakistan (empat) dan Nepal (tujuh), yang berusia antara 20-55 tahun dan bekerja di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, semasa serbuan terdapat sebahagian mereka cuba melarikan diri termasuk terjun melalui tingkap selain bersembunyi di dalam tong sampah, longkang dan siling asrama.

Semua mereka yang ditahan akan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih dekat sini untuk tindakan susulan.

“Mereka akan disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana pas atau permit mereka tamat tempoh.

“Majikan yang menggajikan warga asing secara tidak sah ini juga akan disiasat dan dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Jabatan Imigresen Selangor akan meneruskan operasi bagi membendung gejala pendatang tanpa izin dan majikan yang dipercayai melakukan kesalahan berkaitan imigresen.

Categories
NASIONAL

Imigresen tahan 15 wanita asing terbabit pelacuran melalui WeChat

PUTRAJAYA, 22 FEB: Jabatan Imigresen menahan 15 wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran melalui aplikasi WeChat selepas menggempur sebuah premis di Puchong, Selangor, malam semalam.

Selain 10 wanita Vietnam dan lima warga Indonesia, serbuan yang bermula jam 7 malam itu turut menyaksikan dua lelaki Myanmar serta seorang warga tempatan ditahan, dipercayai menjadi penjaga dan penyelia premis itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, wanita berkenaan disediakan tempat tinggal di premis terbabit di mana bilik yang digunakan untuk perkhidmatan seks dilengkapi bilik mandi sendiri.

Katanya, premis dua tingkat itu dilengkapi kamera litar tertutup selain pintu bermagnet yang boleh dikawal melalui alat kawalan jauh dan bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan laluan di antara tingkat satu dan dua, pintu ke tingkat dua premis dilindungi dengan cermin.

“Setelah pasukan serbuan memasuki tingkat dua, penjaga premis mematikan bekalan elektrik dan lampu di tingkat itu sebagai amaran kepada wanita warganegara asing yang berada di dalam bilik bersama pelanggan,” katanya, lapor BERNAMA.

Khairul Dzaimee berkata, premis yang menawarkan perkhidmatan seks pada harga bermula RM178 bagi tempoh 45 minit itu kerap dikunjungi pelanggan asing antaranya warga Belgium, Iran, Jepun dan Korea.

Beliau berkata, premis itu turut mempunyai tonto yang selalu berada di luar bangunan bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa dan akan memberi maklumat jika wujud pergerakan pasukan serbuan dan operasi.

“Aktiviti pelacuran itu giat dijalankan walaupun telah beberapa kali diserbu pihak berkuasa dan warga asing yang terbabit mampu mengumpul wang yang banyak tanpa ada rasa takut kepada pihak berkuasa dan undang-undang,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, seramai 11 pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menyalahgunakan pas atau permit, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Categories
NASIONAL

BN lepas tangan isu warga asing, PAKATAN janji penyelesaian komprehensif

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 2 MEI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersifat lepas tangan apabila tidak menyelesaikan isu warga asing secara efektif.

Calon P99 Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, lebih daripada 10 tahun isu berkenaan diutarakannya kepada Parlimen, namun tiada tindakan komprehensif.

Katanya, lebih aneh apabila BN terus ingin membawa lebih ramai warga asing dengan alasan pembangunan, namun tiada langsung pemantauan sehingga jelas telah merugikan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya yakin sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini, kami akan mewujudkan sistem lebih efisien dan realistik untuk mengawal kemasukan warga asing.

“PAKATAN juga akan memastikan setiap warga asing dibawa masuk secara sah diwajibkan melalui proses integrasi supaya mereka menghormati masyarakat, undang-undang, budaya dan adat kita di Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Ketua Wanita PAKATAN itu juga berkata, menurut statistik, terdapat lebih 3.3 juta warga asing yang sedang bermastautin di Malaysia terutamanya di kawasan-kawasan bandar besar.

Katanya, pihaknya tidak menolak adanya keperluan untuk pekerja asing terutama bagi skop kerja 3D (Dirty, Difficult & Dangerous).

“Permintaan untuk sektor 3D semakin meningkat dan sejujurnya kurang diminati warga tempatan. Namun begitu, dengan jumlah sebegitu ramai sudah pastinya ia memberi kesan kepada ekonomi, sosial dan budaya.

“Dari sudut ekonomi, jumlah wang pekerja asing dihantar dari Malaysia ke negara asal meningkat kepada RM34.7 bilion pada 2015 membuktikan pengambilan pekerja asing besar-besaran kerajaan menambah beban ekonomi rakyat,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan perlu serius tangani kebanjiran warga asing

OLEH AFIX REDZUAN

PANDAN, 29 NOV: Beberapa warga asing yang ditemui dalam aktiviti pemantauan semula kawasan Pangsapuri Taman Pandan Mewah mendapati masih banyak warga asing tidak berdaftar dan hanya memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Lebih mengejutkan salah seorang warga asing dari etnik Rohingya, Myanmar berkenaan hanya mempamerkan salinan kad UNHCR dengan alasan kad asal disimpan di rumah kerana dikhuatiri akan hilang jika dibawa keluar.

Sanggup mengaku beragama Islam tetapi gagal untuk membaca surah Al-Fatihah ketika disoal Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Hasil tinjauan hampir satu jam di kawasan itu semalam mendapati kebanyakkan mereka bekerja di premis perniagaan di aras bawah pangsapuri dan memberitahu mereka hanya bekerja dan perniagaan dimiliki warga tempatan yang digelar ‘bos’.

Dalam sidang media sejurus lawatan Iskandar menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak untuk menyelesaikan masalah ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu memikirkan langkah mendaftarkan warga asing khususnya pelarian yang hanya memiliki kad UNHCR kerana kebanyakkan mereka yang memasuki Malaysia tidak mempunyai kad pengenalan diri.

“Mereka yang masuk didaftarkan dan disahkan sebagai pelarian. Ada yang mengaku muslim Rohingya tapi tidak boleh membaca Al-Fatihah.

“Difahamkan hampir 1,000 yang berada di sini tiada sebarang kad pengenalan dari Kerajaan Malaysia. Kalau ada antara mereka melakukan jenayah, pastinya tidak dapat dijejak dan boleh melarikan diri.

“Saya harap Kerajaan Malaysia lakukan sesuatu. Mereka didaftarkan dan direkodkan. Mereka tiada pasport. Ada yang guna salinan kad UNHCR. Saya gesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak,” katanya.

Katanya, bidang kuasa terhad yang dimiliki MPAJ mengakibatkan mereka tidak boleh bertindak lanjut.

Sebelum ini, beliau menerima aduan daripada persatuan penduduk berhubung masalah warga asing yang berniaga di tepi jalan selain menjadi punca kawasan sekitar kotor dan mengadakan lawatan pertama pada 6 Oktober lalu.

Pada 15 November lepas, penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Imigresen Malaysia dan polis melakukan operasi bersepadu dan berjaya menahan beberapa warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri selain menyita barangan perniagaan.

Difahamkan kebanyakkan warga asing yang memiliki kad UNHCR diseludup masuk ke Malaysia dari negara Thailand melalui agen dengan bayaran RM6,000 seorang dan dibawa menaiki van Hiace yang mampu memuatkan 11 orang.

“Dalam keadaan rakyat kian tertekan dengan kos sara hidup selain kesukaran mendapatkan pekerjaan, semakin ramai warga asing yang masuk ke negara kita.

“Kita boleh lihat perkara ini di beberapa kawasan seperti Taman Medan, Pasar Selayang dan Chow Kit,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPK pantau salah guna premis jadi asrama warga asing

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan pemantauan terhadap pejabat dan kilang yang dijadikan asrama pekerja asing tanpa kelulusan, di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tindakan itu bagi mengawal dan memastikan aspek keselamatan serta kebersihan dipatuhi pihak berkaitan.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan itu melaksanakannya di beberapa lokasi antaranya Indah Point, Jalan Sungai Chandong 9 dan Jalan Sungai Pinang, Pulau Indah, manakala di Klang Utara di Jalan Pelaburan, Klang Sentral serta Aman Perdana.

“Melalui program ini, surat pentadbiran dikeluarkan Jabatan Bangunan kepada pihak majikan dan pemilik bangunan serta sesi taklimat dijalankan berkaitan Garis Panduan Tukarguna Premis kepada Asrama Pekerja.

“Pemantauan juga mendapati tahap kebersihan di kawasan asrama kurang memuaskan terutama dari segi pembuangan sampah dan boleh menyebabkan risiko penyakit bawaan vektor seperti nyamuk Aedes serta tikus juga mencacatkan pemandangan kawasan sekitar.

“Isu berkaitan juga membabitkan penyalahgunaan bangunan dengan premis diduduki adalah pejabat dan kilang selain memberi risiko kebakaran serta memerlukan kelulusan tukar guna daripada MPK dengan pematuhan syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat juga Indah Water Konsortium (IWK),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPK memberi peluang kepada pemilik bangunan dan majikan untuk memajukan permohonan tukar guna bagi kawasan berkenaan dengan tempoh akhir pemutihan antara Disember ini sehingga Mac tahun depan.

Katanya, tindakan lanjut akan diambil MPK antaranya pengeluaran notis salah guna bangunan dan tambahan tanpa kelulusan serta pendakwaan ke mahkamah terhadap premis yang gagal mendapatkan kelulusan selepas tempoh berakhir.

“Langkah ini adalah usaha MPK meningkatkan tahap keselamatan dan kebersihan kawasan pentadbiran serta memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perlu tegas tangani warga asing kuasai dunia perniagaan

OLEH WILLIAM LEONG

Saya ambil maklum situasi semasa mengenai lambakan warga asing yang semakin rancak melakukan aktiviti premis perniagaan peruncitan di ibu negara, mereka bukan lagi sebagai pekerja malah berani mengusahakan perniagaan di negara ini.

Jika sebelum ini Jalan Silang, Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Bukit Bintang ‘dikuasai’ warga asing terdiri daripada warga Nepal dan Bangladesh, namun kini ia telah merebak dan menguasai di Pasar Borong Selayang yang cukup popular sebagai lokasi pemborong barangan keperluan harian.

1. Dengan kebanjiran warga asing di Selayang, ia sudah pasti amat membimbangkang penduduk tempatan. Malah, lambakan yang tidak terkawal akan memberi kesan yang cukup negatif bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi yang mampan dan keselamatan sosial tetapi juga kepada keselamatan negara.

Kebanjiran pekerja asing di negara kita seringkali menjadi polemik. Menurut Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan sebanyak 6.7 juta pekerja asing berada di negara ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit dan bakinya adalah imigran haram.

2. Sekarang kita melihat warga asing bukan sahaja lagi sebagai pekerja tetapi mereka sendiri mengusahakan perniagaan sendiri. Ditambah pula dengan tindakan peniaga tempatan menyewakan premis kepada warga asing turut menyumbang kepada kebanjiran mereka.

Mengapa pendatang asing memperoleh peluang perniagaan di negara ini sedangkan mereka sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan?

3. Oleh itu, saya menggesa pihak yang berwajib supaya lebih tegas dalam isu ini dan jangan membiarkan warga asing ini menutup peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Saya juga agak kecewa dengan senario ini, kerana tiada pihak yang memandang serius mengenai perkara ini yang akan berlarutan sehingga menjejaskan mata pencarian anak tempatan.

Sehingga hari ini begitu banyak peniaga warga asing yang jelas menunjukkan pihak berkuasa gagal bertindak terhadap golongan itu. Ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, termasuk tanggapan berlaku rasuah dalam melindungi peniaga asing itu.

4. Isu monopoli oleh warga asing ini bukan hanya tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur sahaja tetapi di seluruh negara. Malaysia adalah untuk rakyat Malaysia, hak atas semua aktiviti ekonomi adalah untuk rakyatnya.

Kebanjiran pendatang asing tidak seharusnya dipandang ringan kerana mereka mampu menguasai ekonomi negara sekiranya terus diberi peluang.

Warga asing itu sepatutnya hanya bekerja di sektor yang dibenarkan dan bukan menjalankan perniagaan atau menjadi kontraktor kecil.

5. Meskipun pelbagai usaha agresif dijalankan pihak berkuasa termasuk penghantaran pulang ke negara asal, bilangan mereka tidak juga berkurangan, malah bertambah tahun demi tahun.

6. Saya mencadangkan agar satu badan bebas atau jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji dan menyelesai masalah buruh asing dengan lebih berkesan.

# William Leong adalah Ahli Parlimen Selayang

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Warga asing tak diberi hak milik penempatan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Negeri menegaskan tidak akan memberi sebarang hak milik penempatan kepada warga asing walaupun ada yang menetap lebih 20 tahun di Selangor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun diakui sumbangan tenaga pekerja asing diperlukan terhadap ekonomi negara dan negeri tetapi kini kerajaan akan lebih selektif dan memberi tumpuan kepada kemajuan teknologi semasa.

“Kita tidak akan beri hak milik kepada warga asing yang menetap di beberapa daerah di Selangor.

AZMIN“Jika mereka ini masuk ke dalam negara sudah tentu memerlukan dokumen sah yang diperlukan undang-undang tetapi jika tidak, saya percaya pihak polis dan imigresen akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berkaitan isu penempatan warga asing yang lebih 20 tahun menetap di Selangor di beberapa daerah ketika Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Incorporated (MBI), pada 29 Julai lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengambil langkah untuk lebih bersifat kecanggihan teknologi dan inovasi daripada segi pelaburan asing.

“Kita akan mengurangkan tenaga kerja yang ramai kepada meluaskan penggunaan teknologi tinggi dan industri berintensif modal.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga harus menyiapkan tenaga kerja dan modal insan yang mahir dan mempunyai ilmu. Peranan ini dimainkan Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) untuk melahirkan graduan yang mampu memenuhi permintaan pasaran hari ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Penguatkuasaan undang-undang mesti diperketat kekang warga asing tak sah

OLEH : HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 APR: Kerajaan Persekutuan perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang kebanjiran ramai warga asing secara tidak sah di negara ini.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamruddin, berkata situasi berlaku ketika ini adalah sistem dan penguatkuasaan peraturan lemah dipraktikkan mengakibatkan kemasukan golongan itu dilihat menjadi begitu mudah.

warga asing -sosial“Ia adalah polisi Kerajaan Persekutuan yang dilihat lemah dari segi urusan membabitkan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis dan sebagainya.

“Sudah tiba masanya untuk kita uruskan warga asing ini dengan cara betul melalui penguatkuasaan undang-undang lebih ketat,” katanya

Zuraida berkata, beberapa cadangan pernah disuarakannya di Parlimen membabitkan golongan itu terutama soal sewaan rumah seperti di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka perlu mendaftar diri bagi tujuan berkenaan.

Dengan itu, katanya, jumlah golongan itu yang masuk secara sah boleh diperoleh dan pemantauan dapat dilakukan terhadap mereka.

“Bagi tidak berdaftar maka kita boleh mengandaikan mereka masuk dengan jalan tidak sah dan tindakan boleh diambil.

“Ia perlu dilakukan kerana jumlahnya semakin ramai dan membabitkan beberapa kumpulan seperti warga asing, pendatang asing, pekerja asing serta pelarian dan yang lain,” katanya.

Beliau menjelaskan, kemasukan mereka juga mendatangkan saingan kepada rakyat tempatan apabila majikan mengambil jalan mudah menggunakan perkhidmatan mereka dengan bayaran gaji rendah berikutan kurangnya komitmen dalam kehidupan.

“Kawasan Ampang tidak terkecuali dengan kehadiran warga asing dari Myanmar, India, Indonesia, Korea, Afrika dan macam-macam.

“Isu membabitkan golongan pelarian pula mengakibatkan status sosial dan ekonomi rakyat tempatan semakin menurun dan negara akan kian mundur.

“Kita tidak menghalang kemasukan mereka tetapi perlu ada mekanisme tertentu bagi menanganinya,” katanya yang menyatakan jumlahnya di Selangor kini adalah kedua tertinggi selepas Pulau Pinang.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Tak lulus tanah kepada warga asing

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan tidak ada kelulusan pemberian pemilikan tanah kepada permohanan individu bukan warganegara Malaysia.

Katanya, dasar pemberian milikan tanah hanya kepada individu warganegara Malaysia seperti yang diselaraskan pekeliling Pengarah tanah dan galian (PTG) Selangor Bil 6 tahun 2011 yang berkuatkuasa, 1 Jun 2011.

“Pelabur asing yang datang ke Selangor tidak diberi milikan tanah perumahaan dengan skim yang sama seperti warganegara tetapi diberi pertimbangan secara tender terbuka untuk perindustrian.

IMG_5864“Kelulusan permohanan kepada warganegara juga adalah mengikut dasar pemilikan tanah yang ditetapkan dan khusus kepada pemohan yang mengusahakan tanah kerajaan sebelum 2008,” katanya ketika menjawab pertanyaan Adun Taman Medan, Haniza Talha pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri sememangnya berusaha dalam mempertimbangkan permohonan mereka yang mengusahakan tanah itu.

“Menurut laporan statistik, 812 jumlah permohonan milikan tanah di beberapa daerah bagi 2014.

“Bagi mereka yang baru meenceroboh tanah dan ingin membuat permohanan sudah tentu tidak akan dipertimbangkan kerana kita mengutamakan pemohan yang mengusahakan tanah itu bagi tempoh yang lama,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sewa premis pada warga asing, lesen perniagaan dibatal

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 29 MEI: Exco Kerajaan Tempatan Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) membatalkan serta-merta lesen perniagaan peniaga temapatan yang menyewakan premis kepada warga asing.

Hian Wah berkata, tindakan tegas itu perlu diambil bagi mengelakkan kebanjiran warga asing.

IMG_7591“MPK diminta mengadakan operasi penguatkuasaan yang lebih ketat dan menarik balik lesen perniagaan mereka,” katanya selepas program lawatan tapak di Kompleks Pasar Meru, di sini, semalam.

Isu warga asing antara antara keluhan yang dibangkitkan persatuan pemilik gerai pasar berkenaan dalam pertemuan ituu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPK, Long Shalawati Mohd Sahit berkata, pihaknya mengadakan operasi setiap tahun bagi memantau masalah terbabit.

“Masalah warga asing berlaku di banyak tempat termasuk di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Setiap tahun kita adakan operasi dan tindakan akan diambil jika ada aduan,” katanya.

mpkPada masa sama, Long Shalawati memaklumkan, MPK akan membuka semula tandas awam yang ditutup sementara di pasar berkenan selepas mencapai penyelesaian alternatif.

MPK terpaksa menutup sebahagian tandas kerana tersumbat ekoran pembuangan sisa perniagaan barangan basah.

Keadaan itu menimbulkan rasa tidak selesa pengunjung dan peniaga kesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

-NFN-