Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas boleh dapat vaksin tanpa janji temu mulai esok

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas boleh jumpa terus (walk-in) di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang mulai esok (17 Julai), untuk menerima suntikan Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kaedah tersebut hanya dikhususkan kepada golongan warga emas yang sehingga kini masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19.

“Warga emas yang hadir akan dibenarkan masuk ke PPV menggunakan laluan khas yang disediakan,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK secara maya bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Pelaksanaan kaedah vaksinasi secara jumpa terus bagi warga emas berusia 60 ke atas itu diumumkan oleh Dr Adham dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan, semalam.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata petugas di PPV akan mendaftarkan warga emas berkenaan secara manual sekiranya mereka belum mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Petugas PPV juga akan mendapatkan maklumat waris atau keluarga untuk dihubungi bagi tujuan peringatan vaksinasi dos kedua, katanya.

Bagaimanapun, Khairy mengingatkan warga emas yang telah diberikan tarikh janji temu agar tidak datang ke PPV secara jumpa terus bagi mendapatkan vaksinasi sebaliknya menunggu tarikh yang telah ditetapkan.

“Kaedah ‘walk-in’ ini hanya untuk warga emas yang belum menerima tarikh janji temu sahaja. Yang sudah terima tarikh melalui MySejahtera, sila ikut tarikh yang ditetapkan. Saya beri jaminan, mereka akan terima suntikan dos pertama sebelum 1 Ogos ini,” katanya.

Kira-kira 2.68 juta warga emas telah mendapat sekurang-kurangnya suntikan dos suntikan vaksin Covid-19 melalui fasa kedua PICK yang dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah komorbid selain Orang Kurang Upaya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas boleh ‘walk-in’ untuk suntikan, PPV industri dibuka 24 jam

SHAH ALAM, 15 JULAI: Individu berusia 60 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur boleh terus mendapatkan suntikan di pusat pemberikan vaksin (PPV) tanpa perlu pendaftaran, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kaedah itu dilaksana berikutan masih ada individu lingkungan usia berkenaan belum menerima suntikan pelalian.

“Untuk (warga emas berumur 60 tahun ke atas) di Selangor dan Kuala Lumpur, mereka boleh ‘walk in’ dan kita berikan mereka vaksin.

“Data menunjukkan masih ada lagi golongan ini yang masih belum divaksinasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata projek rintis bermula di Selangor dan Kuala Lumpur akan dikembangkan ke negeri lain dalam masa terdekat. Tarikh pelaksanaannya akan diumumkan kelak.

Setakat ini, kira-kira 2.47 juta daripada 2.98 juta warga emas yang mendaftar telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata pusat pemberian vaksin (PPV) industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pula dibuka 24 jam.

“Sekiranya PPV industri ini ingin melaksanakan program vaksinasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Seremban (Negeri Sembilan) boleh 24 jam sekarang,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan warga emas menangis gembira selesai lengkapkan dua dos vaksin

KUALA KRAI, 8 JULAI: Pasangan suami isteri warga emas tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila selesai melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 yang dilaksanakan pasukan vaksinasi bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai di Kampung Sungai Takut, Pasir Kelang, di sini.

Siti Haminah Abdullah, 74, berkata dia bersama suami Manaf Mamat, 86, pernah terfikir tidak akan menerima suntikan vaksin memandangkan mereka tinggal di kawasan pedalaman serta tidak mampu untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) di masjid kampung berkenaan yang terletak dua kilometer dari kediaman mereka.

Siti Haminah berkata suaminya tidak boleh bergerak kerana uzur dan hanya berharap kepada dirinya untuk membantu sebarang urusan berikutan anak mereka bekerja di luar Kelantan.

“Kami terima dos pertama pada 16 Jun lepas, bersyukur kerana ‘misi’ (jururawat) datang lagi hari ini bersusah payah hingga terpaksa mengharungi sungai menaiki feri bagi memastikan kami menerima dos kedua suntikan,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Pasangan suami isteri warga emas itu antara 548 penduduk di Pasir Kelang yang terletak di kawasan pedalaman Kelantan menerima dos kedua suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kampung berkenaan.

Manaf pula tidak dapat menahan tangisan kesyukuran kerana tidak sangka jangkaannya sebelum ini tersasar apabila proses vaksinasi yang dilalui sangat pantas dan mudah, tidak seperti khabar angin yang didengari sebelum ini.

“Ada orang kata suntikan vaksin lambat terutamanya di kawasan pedalaman, sekarang tidak betul kerana saya dan penduduk kampung ini telah selesai suntikan kedua, tiada apa masalah, sakit dan sebagainya.

“Saya bangga kerana kesungguhan kerajaan terutamanya petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai sudi datang rumah ke rumah untuk memberikan suntikan kepada penduduk seperti saya yang uzur tidak boleh bergerak,” katanya.

Manaf turut mengingatkan orang ramai terutamanya golongan muda supaya memberanikan diri mengambil suntikan vaksin.

“Jangan takut untuk ambil vaksin, penyakit ini datang daripada Allah dan kita perlu berusaha untuk memutuskan rantaian wabak ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Warga emas dibantu wakil rakyat lepas dua jam kibar bendera putih

SHAH ALAM, 8 JULAI: Demi kelangsungan hidup, seorang suami sanggup melakukan pelbagai kerja termasuk menjual barangan terpakai dan mengutip sampah untuk menyara isterinya.

Mesra disapa Pakcik Man, lelaki berusia 63 tahun itu menggunakan segala kudrat yang ada untuk mencari rezeki selepas diberhentikan kerja sejak Mei tahun lalu.

“Saya pernah bekerja di sebuah syarikat pengurusan perniagaan tetapi diberhentikan susulan pandemik. Saya juga mencari kerja di lebih lima syarikat tetapi tiada kekosongan.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengutip sampah dan menjual barangan terpakai. Menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki buat isteri dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, pendapatan Pakcik Man mula terjejas selepas kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lebih parah apabila PKP Diperketat pula dikuat kuasa.

Beliau yang buntu akhirnya mengambil keputusan untuk mengibar bendera putih kerana bimbangkan keadaan isterinya yang menghidap penyakit kencing manis.

“Saya mengibar bendera putih adalah cadangan daripada jiran yang memberitahu kempen tersebut. Alhamdulillah selepas dua jam, tiba bantuan daripada pusat khidmat masyarakat,” katanya yang turut menghidap penyakit tekanan darah rendah.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunarajah menyeru penduduk yang memerlukan supaya tidak malu untuk meminta bantuan sekiranya terputus bekalan makanan.

“Penduduk boleh terus menghubungi pusat khidmat masyarakat DUN Sentosa menerusi talian 011-26406910 sekiranya memerlukan bantuan.

“Setiap hari kita menerima lebih 80 panggilan dan setiap hari juga kita agihkan bantuan kepada masyarakat memerlukan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagai halangan dihadapi, akhirnya warga emas dapat vaksin

IPOH, 7 JULAI: Seorang warga emas, Mohd Ghazaly Md Yusoff akhirnya mendapat suntikan selepas dua kali membatalkan janji temu berikutan faktor pengangkutan dan lokasi penerimaan vaksin yang jauh.

Mohd Ghazaly, 62, mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Kegiatan Masyarakat Gopeng yang mula beroperasi semalam tanpa perlu ke PPV di Dewan Bandaran Kampar kira-kira setengah jam dari rumahnya.

“Saya tinggal berseorangan malah keadaan saya yang tidak boleh berjalan akibat kemalangan ketika membuat kerja mesin rumput pada tahun lepas membataskan pergerakan saya ke PPV yang jauh dari kediaman saya.

“Kini PPV baharu itu hanya dua kilometer berhampiran rumah saya yang memudahkan pergerakan dan saya terus mendapatkan bantuan rakan bagi membawa saya mendapatkan suntikan,” katanya yang menaiki kerusi roda itu kepada Bernama selepas menerima suntikan tersebut.

PPV itu antara dua pusat yang mula dibuka semalam selain Dewan Besar Felcra Seberang Perak sekali gus menjadikan keseluruhan PPV awam di negeri ini sebanyak 22, selain sembilan PPV Khas di hospital dan 61 PPV swasta.

Tinjauan Bernama di dua PPV baharu tersebut mendapati, proses vaksinasi berjalan lancar dalam suasana pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang dipantau petugas Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain dibantu Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia (MyVac) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),

Seorang lagi warga emas Lam Soon Hoon, 64, berasa lega dan gembira setelah menerima vaksin dos pertama bersama-bersama isteri Chau Yok Yeng, 53, dan mereka kini rasa lebih selamat untuk berada di tempat awam.

Sementara itu di Kuala Nerus, Terengganu, dua beradik warga emas bersyukur kerana hasrat mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama Covid-19 tercapai.

Zalillah Muda, 85, berkata lebih menggembirakan apabila beliau terpilih untuk menerima vaksin itu bersama adiknya, Aminah, 80, kedua-duanya berasal dari kampung Balai Maras di sini, di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Alhamdulillah, dapat juga saya dan Aminah menerima vaksin bersama-sama sebab kami memang dah janji untuk pergi berdua jika dapat janji temu tarikh yang sama.

“Kami berdua sangat akrab sejak kecil…memang akan bersama ke mana-mana sahaja seperti pergi kenduri kahwin, menziarahi keluarga, malah pergi mengundi pun bersama,” katanya yang turut ditemani anaknya Zadil Hayat.

Walaupun dua beradik warga emas itu terpaksa menggunakan kerusi roda, mereka kelihatan sangat tenang dan ceria sepanjang proses mendapatkan vaksin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Beri maklumat tepat kesan vaksin Covid-19 kepada ibu bapa

ALOR SETAR, 3 JULAI: Anak-anak perlu menyediakan persekitaran positif dan memberikan sebanyak mungkin maklumat tepat tentang keberkesanan vaksin Covid-19 kepada ibu bapa untuk mempengaruhi serta menggalakkan mereka mendaftar sekali gus menerima suntikan vaksin.

Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Abdul Razak Abd Manaf berkata penceritaan kebaikan vaksin itu perlu disampaikan secara meluas kepada ibu bapa dalam usaha meyakinkan mereka untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

Beliau berkata anak-anak boleh menceritakan kelebihan mengambil vaksin Covid-19 dengan pertuturan yang baik dan lemah lembut tanpa paksaan.

“Cerita orang tua (lain) yang telah berjaya ambil vaksin dan sihat sewajarnya digembar-gemburkan untuk menjadi testimoni kepada ibu bapa yang enggan ambil vaksin bahawa kawan mereka yang lebih teruk keadaannya dari segi kesihatan sudah ambil dan gembira saja dengan pengambilan vaksin tersebut,” katanya kepada Bernama.

Abdul Razak berkata pengalaman manis yang diceritakan sebelum, semasa dan selepas pengambilan vaksin oleh warga tua lain juga boleh membantu mewujudkan keyakinan ibu bapa yang enggan divaksinasi untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka sebelum ini.

“Anak-anak juga boleh menggunakan pendekatan psikologi dengan memaklumkan akibat tidak mengambil vaksin kepada ibu bapa, antaranya seperti tidak boleh merentas daerah atau negeri sekali gus tidak boleh berjalan atau melawat cucu,” katanya.

Beliau berkata selain itu, orang luar daripada lingkungan keluarga seperti doktor atau individu berpengaruh yang selalu ibu bapa temui atau hormati juga boleh membantu meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk segera mengambil vaksin.

Sementara itu, Noor Asmin Mohd Khassim, 43, dari Jitra yang berjaya memujuk ibunya Rahmah Ahmad, 79, mendaftar dan sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin itu pada Mei lepas berkata beliau sering berkongsi cerita kebaikan vaksin itu kepada ibunya melalui pembacaannya daripada sumber sahih.

“Pada mulanya mak saya macam payah (nak daftar) sebab dapat tahu info negatif yang tak sahih tentang kesan vaksin. Tetapi alhamdulillah, saya daftar untuk mak saya dulu, dan mak dah terima vaksin ini…keadaan mak sihat sahaja.

“Selepas mak saya selesai terima kedua-dua dos vaksin, baru saya daftar untuk ayah saya pula, dan ayah telah dapat dos kedua suntikan pada 22 Jun lepas. Ayah saya sejak dari awal lagi memang dah bersetuju untuk ambil vaksin,” katanya.

Noor Asmin berkata peranan anak-anak begitu penting untuk mempengaruhi keputusan ibu bapa dan keperluan itu telah mendorong beliau membuat pembacaan sendiri serta memahami fakta tepat berkaitan vaksin untuk menangkis segala maklumat tidak sahih tentang vaksin Covid-19.

Mohd Zulhelmi Mohd Sayutti, 33, dari Guar Chempedak dekat Yan pula berkata ibunya Salmiah Shaari, 56, pada mulanya enggan mendapatkan vaksin itu akibat cerita negatif tentang vaksin namun akhirnya bersetuju mendaftar pada 25 Jun lepas dan telah menerima suntikan dos pertama vaksin itu semalam.

Beliau berkata persekitaran ibunya yang positif juga mempengaruhi keputusan Salmiah untuk mendapatkan vaksin itu apabila mendengar perkongsian cerita baik daripada anak saudara dan kakak kepada ibunya yang telah pun menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Saya yang daftar untuk mak melalui aplikasi MySejahtera. Sebelum ini mak tidak mahu (daftar) sebab terpengaruh cerita negatif (kesan vaksin), tetapi bila persekitaran mak yang berikan maklum balas positif, mak sendiri jadi sukarela untuk suntik vaksin ini. Orang tua-tua ini payah sikit, ada sikap ‘degil’ yang mereka akan buat ikut cara mereka,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas akui lebih takut Covid-19 banding penjajah Jepun

KANGAR, 1 JULAI: Di sebuah rumah tradisional Melayu, kelihatan seorang wanita warga emas sedang duduk di atas kerusi kayu usang memandang ke arah sawah padi sambil menyanyikan lagu Jepun yang dipelajari ketika zaman penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu dahulu.

Mengimbau detik kehidupan zaman tersebut, Dah Cha, 95, atau lebih dikenali sebagai Nek Dah, berkata pada masa itu tentera Jepun sangat garang sehingga orang kampung takut untuk keluar rumah terutamanya anak dara.

Namun berbanding dahulu katanya, sekarang beliau lebih takut berhadapan dengan musuh tidak nampak, iaitu wabak Covid-19.

“Dahulu orang takut tentera Jepun sebab mereka kejam sehingga sanggup membunuh, sekarang ini pula anak cucu semua takut wabak Covid-19 yang juga boleh membawa maut… malah wabak berkenaan lebih kejam kerana ‘membunuh’ tanpa memilih orang.

“Ini membuatkan nenek sendiri pun lebih takut kerana berbanding askar Jepun kita boleh lari dan bersembunyi apabila bertembung, tetapi wabak ini (Covid-19) musuh yang tidak nampak,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Kampung Padang Jawa di sini, baru-baru ini.

Biarpun ingatannya semakin pudar dan ‘ingat-ingat lupa,’ Nek Dah, sering dibantu anaknya ,Gayah Ahmad, 66, dalam mengimbau kenangan lama, selain turut mengikuti perkembangan semasa.

“Zaman itu nak pergi sekolah pun takut. Nenek sempat sekolah sampai darjah tiga saja, emak suruh berhenti takut tentera Jepun potong kepala, sekarang anak cucu pula takut ke sekolah sebab Covid-19, sekolah pun ditutup,” katanya.

Beliau tidak pernah menyangka anak cucu dan generasinya yang keempat sekarang perlu berhadapan dengan situasi hampir sama ketika zaman Jepun.

“Dahulu tak boleh keluar rumah sembarangan kalau tak ada tujuan, emak cakap tentera Jepun akan tangkap perawan (anak gadis). Sama juga seperti sekarang, tidak boleh keluar rumah jika tidak ada urusan penting kerana tidak tahu bahaya yang menanti,” katanya.

Bercerita lanjut, ibu kepada empat orang anak itu berkongsi pengalaman bagaimana rakan baiknya dibawa lari tentera Jepun.

Katanya, tentera Jepun suka pada gadis sunti untuk dijadikan ‘habuan’ mereka dan beliau bernasib baik kerana ibunya melarang keluar rumah.

Ketika itu, bagi mengelakkan dikenali tentera Jepun, Nek Dah berkata wajahnya akan diselubung dengan kain batik.

Beliau berkata, perkara itu tidak ada bezanya dengan keadaan sekarang apabila semua orang diminta memakai pelitup muka bagi mengelak daripada penularan wabak Covid-19.

Katanya, seperti penjajah, biarpun wabak Covid-19 ini adalah musuh tidak nampak, semua orang perlu sama-sama memeranginya dan ‘memerdekakan’ semula negara tanpa ancaman wabak berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan takut ambil vaksin, pesan warga emas 120 tahun

KOTA BHARU, 30 JUN: “Hok mano yang nak suntik vaksin tu, jangan takut-takut, marilah ambil vaksin” (yang mana nak suntik vaksin tu, jangan takut datanglah dapatkan vaksin).

Itulah pesanan Siti Liah Mamat warga emas berusia 120 tahun yang dipercayai tertua di Kelantan, selepas melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian hari ini.

“Rasa gembira dan bersyukur, kerana sudah selesai menerima suntikan dos kedua. Orang ramai juga tidak perlu takut untuk dapatkan suntikan vaksin,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan tersebut di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) menerusi kaedah pandu lalu di HUSM.

Sementara itu Pengarah HUSM Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, Siti Liah antara 84 orang penerima suntikan vaksin dos kedua, menggunakan kaedah pandu lalu di SPPV HUSM hari ini.

“Selain 84 orang yang menerima suntikan vaksin secara pandu lalu, lebih 204 dos suntikan pertama turut diberikan kepada pelajar perubatan hari ini.

“Kita berterima kasih kepada Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin, kerana memberi vaksin dan membolehkan kita perluaskan skop suntikan kepada pelajar perubatan,” katanya.

Seorang pelajar perubatan Muhammad Firdaus Ahmad Tarmizi, 24, melahirkan rasa syukur kerana menerima dos pertama vaksin.

“Selepas mengetahui janji temu vaksin pada Isnin lalu, pada mulanya agak berdebar kerana selalu dengar tentang kesan sampingan selepas suntik vaksin, seperti demam dan loya-loya.

“Bagaimanapun saya gembira dan bersyukur kerana rasa lebih selamat untuk berjumpa dengan pesakit-pesakit selepas ini,” kata Firdaus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas 105 tahun lega lengkap dua dos vaksin

KUALA KRAI, 29 JUN: Seorang warga emas berusia 105 tahun dari Kampung Bahagia lega apabila berjaya melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 manakala ada juga yang sebak kegembiraan menerima ‘pendinding’ daripada pandemik yang membawa maut itu.

Lebih menggembirakan Mamat Mat Ali dan isterinya Sharipah Samat, 79, apabila proses suntikan vaksin terus dipermudah setelah petugas kesihatan datang ke rumah mereka sekali lagi untuk memberikan suntikan dos kedua.

“Lega apabila selesai cucuk dos kedua hari ini, pak cik mahu berterima kasih kepada kerajaan terutamanya petugas kesihatan yang datang ke rumah kami yang terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa dua atau tiga jam untuk sampai sekiranya menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD).

“Pak cik dan mak cik sudah uzur kalau mereka tidak datang ke rumah kemungkinan besar kami tidak dapat suntikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mamat dan Sharipah antara 400 penerima suntikan menerusi Program Outreach Vaksinasi anjuran Pejabat Kesihatan Kuala Krai di kampung tersebut.

Bercerita lanjut, Mamat berkata beliau tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot sejak dua tahun lepas disebabkan faktor usia.

Sharipah berkata sepatutnya mereka perlu menghadiri janji temu suntikan vaksin dos pertama di Hospital Kuala Krai pada April lepas, namun terpaksa menolak disebabkan masalah kesihatan selain kesukaran untuk menaiki bot.

Sementara itu, di Shah Alam, Selangor, Latifah Sa’ad, 71, yang ditanya pemberita mengapa dirinya sebak, beliau hanya mampu menjawab, “mak cik terlampau gembira, (dapat cucuk)” sambil menyapu air mata yang mengalir.

Menurutnya, beliau tidak menyangka pengalaman mendapat suntikan vaksinasi pertamanya hari ini berjalan sangat mudah dan cepat, tidak seperti khabar angin yang didengarnya.

“Rasa lega, perjalanan vaksin lancar. Saya datang tadi tepat pukul 11 pagi. Cepat urusan dan petugas sangat membantu…tidak rasa sakit dan tiada kesan. Syukur Alhamdulillah,” katanya di pusat pemberian vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Bagi bekas pesakit Covid-19 Mohd Alias Md Yusof, 71, penerimaan dos pertama vaksin bagi dirinya hari ini merupakan detik yang dinanti-nanti oleh beliau kerana sepatutnya menerima suntikan pada April, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dijangkiti wabak itu pada tempoh tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Janor berkata setakat Ahad, lebih 7,000 orang menerima suntikan Covid-19 yang 10 peratus daripadanya merupakan warga emas sejak PPV itu beroperasi pada 21 Jun lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Warga emas patah paha gagahkan diri dapat suntikan vaksin

GOMBAK, 28 JUN: Seorang warga emas yang menghidap penyakit kronik nekad hadir ke Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) hari ini walaupun tulang paha kanannya patah.

Menurut Fatimah Long, 71, beliau hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Taman Selayang kerana ingin memastikan dirinya mendapat vaksin sebagai perlindungan.

Jelasnya, sebagai penghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, risiko dijangkiti Covid-19 lebih tinggi dan boleh mengalami gejala atau kesan yang teruk.

“Walaupun susah hendak bergerak tetapi makcik tetap kuatkan semangat datang kerana sudah mendapat janji temu suntikan vaksin hari ini.

“Memang awal-awal takut juga kerana bimbang kesannya tetapi kalau orang lain berani, mengapa saya tidak boleh?” katanya.

Muhammad Ali Mohd Repin

Seorang lagi warga emas, Muhammad Ali Mohd Repin, 77, berkata beliau tidak pernah termakan dengan dakwaan kononnya vaksin berbahaya terutama untuk golongan berusia.

“Saya hairan mengapa ada orang kata vaksin tidak bagus, ramai kawan-kawan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selepas disuntik,” katanya.

SCVP dilaksanakan secara besar-besaran sebagai sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 memaklumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan inisiatif berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Enggan terpengaruh berita palsu, warga emas nekad terima vaksin

MARANG, 21 JUN: Sebelum ini apabila disebut sahaja tentang vaksin, Maimun Abu Bakar akan gementar dan takut kerana terpengaruh dengan pelbagai berita palsu yang disebarkan, sehinggakan beliau tidak hadir pada janji temu suntikan vaksin Covid-19, awal bulan lepas.

Namun pendirian warga emas berusia 78 tahun itu berubah, setelah dipujuk ahli keluarga dan mendengar pengalaman tiga daripada lima orang anaknya, yang menerima kedua-dua dos suntikan vaksin tanpa mengalami kesan sampingan yang serius.

Apatah lagi Jumaat lepas, wakil daripada Pejabat Daerah Marang menghubunginya semula, bukan sekadar untuk memujuk malah menawarkan bantuan pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Justeru Maimun yang mempunyai 24 cucu dan 15 cicit itu, tidak ingin lagi melepaskan peluang kedua yang diberikan itu dan terus bersetuju untuk menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech, semalam.

“Sebenarnya giliran tok pada 4 Mei lepas, tapi tok minta tangguh sebab tiada semangat untuk pergi vaksin dan dengar macam-macam cerita, termasuk ada yang sakit selepas disuntik. Lagipun masa itu bulan puasa jadi tok tidak larat nak pergi mana-mana.

“Tetapi bila tengok ramai sahaja yang divaksin tiada apa-apa masalah pun, jadi tok minta adik (Sarimah Abu Bakar, 55,) untuk daftarkan semula nama tok di telefon (aplikasi MySejahtera),” katanya ketika ditemui Bernama di PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang semalam.

Seperti dijanjikan, warga emas itu dijemput kakitangan Pejabat Daerah Marang, menggunakan kenderaan serba guna (MPV) pada pukul 10 pagi semalam di rumahnya di Kampung Seberang Marang dan dibawa ke PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.

Beliau yang hadir berkerusi roda kerana telah uzur, selain menghidap kencing manis serta mempunyai masalah pendengaran sejak setahun lalu itu, bersyukur kerana proses vaksinasi berjalan lancar dan mengambil masa kurang 30 minit.

“Lagi tok gembira apabila adik tok (Sarimah) juga terima suntikan vaksin bersama tok hari ini (semalam). Inilah kenangan yang tidak akan kami lupakan dan kami pun ada tangkap gambar bersama tadi,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang Mohd Kamal Abdul Rahman berkata, pihaknya membuka sebuah bilik gerakan bagi melancarkan proses vaksinasi di daerah itu dan menyediakan tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah MPV, pacuan empat roda dan van, bagi memudahkan penerima yang menghadapi masalah pengangkutan.

“Setiap hari petugas di bilik gerakan akan menghubungi penerima vaksin sehari atau dua hari sebelum janji temu, untuk mengingatkan mereka dan bertanya sekiranya mereka perlukan kenderaan. Senarai nama mereka kami terima daripada Pejabat Kesihatan Daerah Marang.

“Kami juga minta keempat-empat pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan agensi kerajaan lain di daerah ini seperti Jabatan Kerja Raya Marang, untuk menyediakan kenderaan juga. Ini kerana setiap hari mesti ada penerima vaksin yang perlukan kenderaan. Macam hari ini sahaja lima orang penerima yang akan kita jemput di rumah. Kebanyakan mereka adalah warga emas dan penduduk di kawasan yang agak jauh dari PPV,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini dua PPV dibuka di Marang iaitu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang dan Dewan Sivik Bukit Payong, yang masing-masing mempunyai kapasiti sehingga 1,000 penerima vaksin sehari.

“Setakat ini PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang setiap hari memberi suntikan kepada kira-kira 600 penerima vaksin (300 penerima dos pertama dan 300 penerima dos kedua), manakala PPV Dewan Sivik Bukit Payong yang baru dibuka 1 Jun, setakat ini memberi suntikan kepada 300 penerima bagi dos pertama setiap hari,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dekati warga emas, golongan ‘atas pagar’ untuk yakinkan vaksin selamat

SHAH ALAM, 17 JUN: Seorang pengamal perubatan mencadangkan kerajaan mengubah pendekatan bagi memujuk warga emas dan golongan ‘atas pagar’ yang ragu-ragu untuk mengambil vaksin Covid-19.

EXCO perancangan strategik kempen vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia berkata kaedah memberi penerangan di khalayak ramai dilihat kurang berkesan mengubah persepsi mereka kerana ia tidak menjawab persoalan khusus.

“Pendekatan secara menyeluruh ini tidak lagi sesuai dan lebih baik sekiranya kita masuk ke keluarga dan kumpulan kecil membabitkan golongan atas pagar itu.

“Kita jawab persoalan dan kebimbangan mereka dengan menjelaskan sebaik-baiknya bahawa vaksin selamat diambil,” kata Dr Megat Mohamad Amirul Amzar.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Vaksinasi: Warga emas selamat?’yang disiarkan secara langsung di Facebook Yayasan Warisan Anak Selangor semalam.

Forum turut menampilkan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli sebagai panel manakala penyampai berita TV3, Mior Abdul Malek Raiyani sebagai moderator.

Dr Megat Mohamad berkata masyarakat harus diyakinkan bahawa vaksin selamat digunakan supaya lebih ramai mendaftar bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.

Jelasnya, vaksin digunakan di negara sudah melalui proses kajian rapi dan dapat mengurangkan kesan jangkitan termasuk risiko kematian.