Categories
SELANGOR

MB : Tapak Perkuburan Bersepadu di Sepang Dipilih Berdasarkan Kajian


SHAH ALAM, 11 JUL : Tanah seluas 202 hektar di kawasan Labu dan mukim Sepang dipilih menjadi pusat tapak perkuburan bersepadu, berdasarkan kajian dijalankan golongan profesional dan bukannya perbincangan politik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kedua-dua kawasan ini sesuai dijadikan tapak perkuburan memandangkan kawasan itu tidak sesuai untuk pembangunan komersil, rumah dan berstruktur tinggi.

Katanya, kawasan itu akan dijadikan tapak perkuburan diĀ  selatan Selangor yang tidak mempunyai kawasan untuk pembinaan tapak berkenaan seperti Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

?Tapak itu dipilih kerana berdekatan kawasan ladang yang luas, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tertakluk kepada kawalan bangunan dari segi pembangunan dibenarkan serta mempunyai jaringan jalan raya yang baik.

?Terdapat juga tapak-tapak lain dikenalpasti di Hulu Selangor dan Sungai Buloh. Perancang Bandar sudah mengenalpasti tanah itu kerana boleh diambil alih pemilikannya itu secara menyeluruh daripada pihak swasta atau dimiliki syarikat ladang,” katanya ketika menjawab soalan daripada Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek).

Abdul Khalid berkata, Sepang memerlukan pembangunan untuk maju kerana daerah itu tidak mempunyai pembangunan besar, selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

?Terimalah pembangunan ini secara terbuka. Selepas ini, saya akan minta Yang Dipertua majlis daerah turun untuk menerangkan perkara ini nanti. Saya harap Sungai Pelek dapat terangkan kepada rakyat,? katanya.

Mengulas mengenai konsep tapak perkuburan bersepadu, Abdul Khalid berkata, ia melibatkan perkongsian kawasan bersama daerah berlainan dan konsep itu telah diterima sebelum 2008 lagi.

?Kuala Lumpur telah membeli tanah di Semenyih, Kajang dan Hulu Langat untuk dijadikan kawasan perkuburan bersepadu sebelum ini,? katanya

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Tambah Lagi Lori Kompaktor Sampah

SHAH ALAM 09 JULAI : Kerajaan Selangor akan membeli 50 lagi lori kompaktor sampah bagi menganti lori yang usang dan rosak agar sistem kutipan sampah di seluruh negeri dapat terus diperkasakan kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew.

“Kompaktor yang akan dibeli itu sebagai tambahan kepada 50 buah kompaktor yang sudah dibeli baru-baru ini oleh syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB),” katanya semasa menjawab soalan dari Dr Shafie Abu Bakar (Bangi-Pas).

Jelasnya, pembelian kompaktor baru itu terpaksa dibeli kerana sejak 13 tahun lalu, pentadbiran Umno-BN tak pernah mengantikan kompaktor yang lama.

Ronnie juga membidas Yap Ee Wah (Sungai Pelek-BN) kerana bertanya mengapa kerajaan negeri membeli kompaktor baru.

“Saya tidak faham kenapa sampai sekarang tidak faham. Kalau awak mahu semua kontraktor ada kompaktor, awak tahu berapa harganya?

“Kalau kita buat macam itu maksudnya hanya orang kaya saja boleh jadi kontraktor. Kenapa dulu Alam Flora pun buat sedemikian?

Ronnie menambah aduan mengenai sampah sudah berkurangan sejak pihak berkuasa tempatan mengambilalih sistem kutipan secara penuh pada Mac 2012.

Jelasnya, tindakan daripada beberapa Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya Yayasan Amal turut membantu PBT dalam memantau kutipan di kawasan setempat daripada sebarang aktiviti berunsur sabotaj.

“Masalah itu (kutipan) dapat diatasi walaupun terdapat unsur-unsur sabotaj daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menghalang lori serta mengancam pekerja untuk menggagalkan kerja-kerja kutipan sampah di negeri ini.

“Selain itu, tindakan melonggokkan sampah juga dilakukan sejurus selepas kutipan rutin dilakukan oleh pihak kontraktor untuk tatapan media,” katanya.

Categories
SELANGOR

465 Sekolah Di Selangor Terima Bantuan Kerajaan Negeri

 

SHAH ALAM, 9 JULAI : Sebanyak 465 buah sekolah di Selangor menerima bantuan pendidikan sejak empat tahun Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, sebanyak 256 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 112 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 97 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima bantuan itu.

Katanya, pengagihan peruntukan kepada sekolah-sekolah ini bertujuan memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berada di tahap optima.

“Peruntukan yang diberikan berbeza kerana bergantung kepada keperluan yang diperlukan sekolah-sekolah ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada Amirudin Shari (Batu Caves-PKR).

Sementara itu, bantuan fizikal yang dipohon termasuk bangunan tambahan, pembelian komputer, membaiki tandas dan mengecat sekolah.

Manakala bantuan bukan fizikal adalah seperti pembayaran yuran pelajar miskin dan penambahbaikan sistem pembelajaran.

“SJKT memohon bagi Kerajaan Negeri membayar yuran bagi pelajar miskin dan SAR memerlukan guru-guru pakar bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran,” jelasnya.

“Setiap permohonan perlu menyertakan laporan lengkap beserta gambar dan ia akan dinilai sebelum sesuatu peruntukan diberikan,” katanya lagi ketika menjawab soalan tambahan daripada Yap Ee Wah (Sungai Pelek-BN).

Categories
SELANGOR

Kerajaan BN Dahulu Tidak Peka Isu Kemiskinan

SHAH ALAM 27 MAC : Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dalam pergulungannya di Dewan Undangan Negeri hari ini mempersoalkan tindakan pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan kadar peratusan kemiskinan di negeri itu hanya 0.05 peratus pada tahun 2005.

Katanya, hal itu menunjukkan kerajaan dahulu tidakdan peka menjadikan isu kemiskinan sebagai satu permasalahan yang serius.

Persoalan itu ditujukan kepada Yap Ee Wah (Adun Sungai Pelek-BN), yang sebelum ini menimbulkan isu yang mempertikaikan seramai lebih 400,000 rakyat negeri Selangor menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

“Kenapa 400,000 yang menerima BR1M? Saya tidak pelik kerana rata-rata rakyat negeri ini berpendapatan bawah RM3,000 dan tidak hairanlah ramai yang perlukan bantuan kerana jika lihat 80 peratus rakyat mengalami kemiskinan bandar, memang wajar mendapat bantuan itu.

“Angka ini menunjukkan mereka masih mengalami taraf hidup yang rendah bukannya seperti yang diumumkan oleh Umno-BN dahulu. Sekiranya rakyat dalam kontek lima juta penduduk, maknanya hanya 2,500 sahaja rakyat miskin, itu tidak mungkin.

“Jadi jangan persoalkan mengapa mereka menerima BR1M,”katanya.

Tambahnya, sewajarnya Kerajaan Negeri memperkenalkan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan berbanding pendapatan golongan miskin tegar yang hanya mendapat RM450 semasa pentadbiran dahulu.

“Adakah itu dikatakan negeri maju? Jadi jangan persoalkan mengapa 80 peratus rakyat negeri ini mengambil BR1M. Persoalan ini adalah dimana kredibiliti kerajaan dahulu dan sekarang dimana perkiraan itu tidak tepat.

“Saya akui di sini isu kemiskinan bandar adalah tinggi dan tahap perbelanjaan patut dipertingkatkan dan oleh kerana itu Kerajaan Negeri melaksanakan gaji minimum dan banyak program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) diperkenalkan,”katanya.

Categories
SELANGOR

Persisiran Sg Kelang Dipertimbang Untuk Di Majukan

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri kini dalam pertimbangan untuk melaksanakan pusat kebudayaan yang lebih komprehensif merangkumi ketiga-tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India di persisiran Sungai Kelang selaras dengan Projek Pembangunan Sungai Kelang sepertimana yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurut Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, bagi memastikan projek ini benar-benar berjaya dan memberi manfaat kepada rakyat serta tidak menjadi projek terbengkalai, Kerajaan Negeri sentiasa meneliti perlaksanaan projek ini.

“Antara elemen yang perlu diambil kira dalam pembangunan pusat kebudayaan ialah konsep, aktiviti, kawasan persekitaran, kesan ekonomi dan sosial terhadap masyarakat.

“Perlaksanaan projek ini masih lagi dibincangkan oleh MMKN dan juga pandangan pihak profesional diambil kira bagi mendapatkan penyelesaian dan kaedah yang terbaik untuk melaksanakan projek pembangunan berkenaan,” jelas Rodziah menjawab soalan daripada Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam berkenaan rancangan pembinaan Pusat Kebudayaan Cina dan India di Selangor.

Selain itu, Rodziah turut menjelaskan Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam perlaksanaan projek ini terutama sekali dalam menangani isu pengambilan tanah.

“Lebih-lebih lagi usaha mendapatkan tanah yang bukan milik Kerajaan Negeri, namun kita akan memastikan supaya segala cabaran ini dapat diatasi dengan baik tanpa mengenepikan hak-hak rakyat.

“Di samping itu juga, kita sudah menjangkakan juga cabaran lain setelah pusat kebudayaan ini dibuka kelak iaitu dari segi sambutan orang ramai, penyelengaraan dan pengoperasian yang lestari,” kata Rodziah yang turut menambah pusat kebudayaan tersebut bakal menjadi mercu tanda baru Negeri Selangor.

Sementara itu, Rodziah menafikan dakwaan Adun Sungai Pelek, Yap Ee Wah bahawa jika Projek Pembangunan Sungai Kelang gagal, maka Projek Pusat Kebudayaan ini juga akan gagal.

“Sebanyak empat tapak cadangan telah dibentangkan MMKN iaitu Sungai Binjai, Kampung Pandan, Kampung Kuantan dan Kampung Jawa.

“Kerajaan Pakatan akan memberikan komitmen penuh bagi memastikan projek ini diteruskan,” tegas Rodziah.

Categories
SELANGOR

“Selangor Shines” Berjaya Menarik Lebih Pelancong

SHAH ALAM 20 MAC: Jumlah pelancong yang datang ke Selangor meningkat kepada 6.04 juta pada tahun 2011 berbanding 5.83 juta pada tahun 2010 selepas Kerajaan negeri melancarkan Tahun Melawat Selangor Selangor, “Selangor Shines”.

Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Yap Ee Wah, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata peningkatan itu merupakan satu rekod baru bagi Kerajaan Negeri berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, pada suku tahun 2012, jumlah kedatangan pelancong pula sebanyak 1.87 juta.

“Sepuluh kawasan khas yang menjadi tumpuan pelancong antaranya Masjid Negeri, I-City, Sunway Lagoon dan Hutan Lipur Congkak,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini Kerajaan Negeri turut memberi peruntukkan khas melalui Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kepada Sabak Bernam khususnya DUN Sekinchan.

“Dalam mesyuarat Exco Pelancongan baru-baru ini, kita mengesyorkan untuk menaiktaraf empat daerah yang menjadi tumpuan pelancongan antaranya Sekinchan dan Hulu Langat bagi kerja membaiki kawasan dan kemudahan.

“Kita juga akan mengindahkan kawasan Sekinchan sempena Bulan Melawat Sekinchan akan datang,” katanya ketika menjawab soalan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.