Categories
NASIONAL

Menteri juga hantar anak ke luar negara

tian chua pc pkr 01SHAH ALAM, 11 SEPT :  Menteri Kerajaan Pusat yang menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara menunjukkan krisis keyakinan yang serius terhadap pelan pendidikan Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan pelan pendidikan negara boleh menghantar anak-anak mereka ke luar negara

“Itu sebab mereka tidak peduli tentang pembangunan pendidikan negara, sebab mereka lebih utamakan masa depan anak-anak mereka sendiri dengan pendidikan luar negeri,” tegas beliau.

Baru-baru ini Idris berkata, tiada bantahan dan kritikan yang boleh menghentikan rancangan Putrajaya meneruskan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM).

Pelan berkenaan menerima reaksi negatif daripada pertubuhan persatuan Cina seperti Dong Zhong dan juga parti politik Pakatan Rakyat (PR).

“Menteri Pendidikan sepatutnya mengadakan pusingan kedua perundingan dengan pihak awam secara intensif untuk mendapatkan pandangan daripada kumpulan berkepentingan yang berbeza untuk diterapkan dalam dokumen akhir pelan pendidikan seperti yang dijanjikan,” jelas ahli akademik, Ong Kian Ming dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang, menjelaskan banyak pihak yang prihatin telah meminta Kementerian supaya tidak tergesa-gesa melaksanakan PPPM, tetapi memberi lebih banyak masa untuk mengkaji rancangan itu.

Menurut Ong, pengkritik, antaranya seperti yang disebut dalam memo dalaman Panel Penilai Bebas Malaysia yang diketuai Naib Canselor Albukhary International Universiti, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berpendapat perubahan yang dinyatakan dalam PPPM bersifat ‘incremental’ dan bukan pembaharuan kritikal yang perlu untuk memulihkan sistem pendidikan negara.

Menurutnya lagi, cadangan seperti pembinaan sekolah-sekolah aliran seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) mengikut keperluan dan permintaan ibu bapa diabaikan dalam PPPM.

Antara yang diabaikan juga adalah penyelarasan sekolah-sekolah teknikal, vokasional dan kemahiran antara kementerian-kementerian, dan meluaskan peranan Kerajaan Negeri dan daerah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAR, SJKC, SJKT Terima Lebih RM76 Juta Dari Kerajaan Selangor- FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 08072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Selangor telah menyalurkan bantuan lebih RM 76 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri sejak 2009 hingga Mei tahun ini.

2. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenalpasti 19 projek perumahan terbengkalai di Selangor pada tahun ini yang berpotensi untuk dibaikpulihkan.

3. Tender terbuka untuk pembinaan Jambatan Ketiga Klang dijangka akan dikeluarkan pada Oktober tahun ini.

4. Selepas enam tahun, Selangor kembali menguasai pentas sukan negara apabila dinobatkan sebagai juara Sukan Malaysia XVI (Sukma XVI).

5. Mengakhiri Fokus petang ini, kita ikuti perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari Jabatan Alam Sekitar dari jam 12 Tengahari hingga 5 Petang tadi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Majlis Madrasah India Muslim Akan Diberi Bantuan

1 1

SHAH ALAM 23 FEB : Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memberikan bantuan kepada Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) yang memerlukan tapak tanah untuk membina sebuah pusat pengajian, masjid dan asrama sebagai usaha menyebarkan syiar Islam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan bantuan kepada semua yang layak, tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan politik.

“Insya Allah perkara ini kita boleh bincangkan lagi, saya akan pastikan MIM menerima bantuan daripada JAIS,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberikan ucapan di Majlis Maulidur Rasul bersama MIM di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

2Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Presiden MIM, Jamal Abdul Hamid, Setiausaha Kebangsaan MIM, Kamal Batcha Noor Mohideen, dan dihadiri hampir 1,000 orang.

Menurut Abdul Khalid, sejak lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam negeri ini yang memerlukan bantuan.

“Saya suka beri jaminan di sini, bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor sentiasa berusaha untuk mendengar masalah rakyat dan bersikap adil dan sama rata memberi bantuan kepada rakyat yang berbilang kaum, berbilang agama atau berbeza fahaman politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden MIM, Jamal Abdul Hamid menyambut baik maklum balas yang diberikan Kerajaan Negeri berkenaan bantuan tersebut.

“MIM dengan kerjasama masyarakat Islam keturunan India di Malaysia bersedia memberi kerjasama kepada pihak yang membantu MIM demi agama Islam,” katanya ketika ditemui.

Categories
SELANGOR

465 Sekolah Di Selangor Terima Bantuan Kerajaan Negeri

 

SHAH ALAM, 9 JULAI : Sebanyak 465 buah sekolah di Selangor menerima bantuan pendidikan sejak empat tahun Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, sebanyak 256 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 112 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 97 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima bantuan itu.

Katanya, pengagihan peruntukan kepada sekolah-sekolah ini bertujuan memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berada di tahap optima.

“Peruntukan yang diberikan berbeza kerana bergantung kepada keperluan yang diperlukan sekolah-sekolah ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada Amirudin Shari (Batu Caves-PKR).

Sementara itu, bantuan fizikal yang dipohon termasuk bangunan tambahan, pembelian komputer, membaiki tandas dan mengecat sekolah.

Manakala bantuan bukan fizikal adalah seperti pembayaran yuran pelajar miskin dan penambahbaikan sistem pembelajaran.

“SJKT memohon bagi Kerajaan Negeri membayar yuran bagi pelajar miskin dan SAR memerlukan guru-guru pakar bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran,” jelasnya.

“Setiap permohonan perlu menyertakan laporan lengkap beserta gambar dan ia akan dinilai sebelum sesuatu peruntukan diberikan,” katanya lagi ketika menjawab soalan tambahan daripada Yap Ee Wah (Sungai Pelek-BN).