Categories
AGENDA NASIONAL

USM saran pelajar dari Sabah, zon merah tangguh pulang ke kampus

GEORGE TOWN, 29 SEPT: Universiti Sains Malaysia (USM) menyarankan semua pelajar universiti itu yang datang dari Sabah dan zon merah di negeri lain menangguhkan perjalanan balik ke kampus memandangkan penempatan kuarantin di dalam kampus sangat terhad.

Menurut USM dalam kenyataan hari ini, pelajar dari Sabah termasuk zon merah atau tidak dan zon merah bagi negeri-negeri lain boleh mengikuti pengajian secara dalam talian.

“Pelajar baharu (selain dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain) boleh mendaftarkan diri pada 2, 3 dan 4 Okt secara pandu lalu (di kampus USM), manakala pelajar baharu dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain boleh mendaftarkan diri pada 5 Okt secara dalam talian melalui laman web pohon.usm.my atau aplikasi Hebat@USM (Android).

“Bagi pelajar senior selain dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain boleh mendaftar kursus secara dalam talian mengikut jadual yang ditetapkan dan dibenarkan masuk kampus mulai 9 Okt,” menurut kenyataan itu.

USM juga meminta semua pelajar membuat deklarasi kesihatan secara dalam talian tiga hari sebelum datang ke kampus dan mereka juga diminta mematuhi panduan pentadbiran dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan oleh universiti.

Menurut kenyataan itu, ibu bapa dan pelajar sahaja dibenarkan datang dengan kenderaan yang akan mendaftar secara pandu lalu dan hanya pelajar sahaja dibenarkan turun bersama bagasi serta barangan manakala ibu bapa tidak dibenarkan sama sekali turun dari kenderaan.

“Bagi semua pelajar dari Sabah dan zon merah negeri-negeri lain, mereka boleh kembali ke kampus apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengumuman rasmi tentang status kawasan-kawasan tersebut. Bagi pendaftaran secara dalam talian, SOP berkenaan perkara tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan urusan pendaftaran pelajar baharu, boleh menghubungi Unit Pengambilan Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar di talian 1 300 888 876 / 04-653 3196 / 4663 / 3425 / 2688 atau emel [email protected], atau Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) di talian 04-653 3106 / 5825 / 5823 / 3482.

Pelajar senior boleh menghubungi BHEPA untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: UiTM tangguh daftar pelajar di zon merah secara bersemuka

SHAH ALAM, 28 SEPT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama dari Sabah dan kawasan zon merah secara bersemuka bagi sesi pengajian yang dijadualkan bermula bulan depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata arahan yang sama turut dikeluarkan kepada pelajar dari Semenanjung yang akan mendaftar di kampus UiTM Sabah.

“Pelajar baharu dan lama boleh mendaftar secara dalam talian. Notis mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan hari ini. Proses pembelajaran juga akan dijalankan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan peralatan pengajaran dan pembelajaran oleh Kedutaan China kepada UiTM di sini, hari ini.

Ditanya mengenai istiadat konvokesyen UiTM yang dijadual berlangsung pada November ini, Mohd Azraai berkata pihaknya sedang berbincang mengenai perkara tersebut sama ada ia diteruskan seperti biasa atau secara kebiasaan baharu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

KPT mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zon merah: IPT disaran tangguh daftar pelajar secara bersemuka

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sebaliknya, proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.

“Para pelajar boleh pulang ke kampus masing-masing mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada setelah keadaan kembali pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah, kemasukan ke IPT kekal mengikut kalendar akademik IPT masing-masing.

Noraini turut menasihati pelajar agar mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 ketika berada di kampus masing-masing sekalipun semua IPT telah diarah memastikan pelaksanaan aktiviti akademik di kampus mematuhi sepenuhnya SOP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes aktif di mukim Hulu Langat turun, zon jingga hanya empat

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kes aktif Covid-19 di mukim Hulu Langat menurun kepada 42 kes, kurang dua kes untuk keluar daripada zon merah.

Menurut data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) setakat 12 tengah hari semalam, kes sedang dirawat di mukim itu berkurang 10 berbanding 52 kes yang direkodkan kelmarin.

“Zon merah masih satu, zon jingga berkurangan kepada empat. Kajang bertambah baik kepada kuning hari ini,” kenyataan ringkas STFC di Twitter dipetik.

Empat mukim dalam zon jingga yang merekodkan antara 21 hingga 40 kes adalah Damansara dan Sungai Buloh, masing-masing 33 kes diikuti Petaling (32) serta Klang (30).

Kementerian Kesihatan Malaysia menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya Hulu Langat zon merah Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 22 APRIL: Hanya Hulu Langat masih berada di bawah zon merah di Selangor dengan 52 kes aktif, menurut angka Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis negeri setakat 12 tengah hari semalam.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 1,356 kes dengan 1,012 pesakit berjaya sembuh dan 13 orang meninggal dunia setakat ini.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Twitter menasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kawasan zon merah (mukim) sudah tinggal satu, namun warga Selangor tetap perlu berwaspada. Patuhi PKP. Tentukan mukim anda dan rujuk infografik,” kenyataan ringkas STFC dipetik.

KKM menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pertimbang kajian penularan Covid-19 dalam komuniti

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang pertimbangkan pelaksanaan kajian penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti terutamanya di kawasan zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian tersebut akan melibatkan saringan terhadap penduduk setempat bagi mengukur antibodi individu yang telah dijangkiti Covid-19.

“Jadi kalau mereka terdedah kepada virus tersebut, maka dalam tempoh seminggu akan terbinanya antibodi atau IgG (Immunoglobulin G) dengan IgM (Immunoglobulin M).

“Jadi ini mungkin kajian yang baik yang boleh kita pertimbangkan, mungkin kita akan lihat masa yang sesuai untuk kita melaksanakan ujian tersebut dan ujian ini akan menggunakan kit ujian antibodi yang cepat (dapat keputusan) iaitu kita dapat ukur antibodi atau IgG atau IgM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata menerusi kit ujian tersebut, hanya perlukan setitis darah untuk mengukur antibodi tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ujian itu bukan untuk diagnosis tetapi bagi mengetahui berapa ramai dalam kalangan komuniti yang telah dijangkiti Covid-19.

Katanya, kajian itu juga memerlukan kerjasama rapat dengan pihak swasta bagi memastikan maklumat yang dikumpul adalah terkini dan sebarang tindakan sewajarnya dapat diambil.

Sebelum ini seorang pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar mencadangkan KKM mengukur kadar jangkitan dalam komuniti bagi mengesan antibodi terhadap sejumlah orang awam secara rawak dari seluruh negara, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.

Mengenai kekurangan penutup hidung dan mulut jenis N95 di Hospital Umum Kuching, Sarawak, Dr Noor Hisham berkata penggunaan penutup hidung dan mulut jenis itu diutamakan kepada petugas kesihatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad rawatan Covid-19.

Jelasnya, petugas kesihatan di klinik biasa pula boleh menggunakan penutup hidung dan mulut tiga lapisan sekiranya tidak berdepan dengan pesakit Covid-19.

“(Petugas) bukan di wad Covid-19 boleh guna (penutup hidung dan mulut) tiga lapisan, penutup hidung dan mulut jenis N95 kena jimat untuk mereka yang memerlukan di wad ICU dan wad Covid-19.

“Tetapi kalau tidak ada N95, petugas boleh guna alat pelindung muka dan penutup hidung dan mulut tiga lapisan untuk mereka yang kerja di klinik dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lahad Datu daerah ke-30 zon merah Covid-19

SHAH ALAM, 19 APRIL: Lahad Datu menjadi daerah ke-30 diisytihar zon merah Covid-19 selepas merekodkan 42 kes setakat jam 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat ini terdapat 16 kawasan zon jingga, 76 zon kuning serta 25 zon hijau di seluruh negara.

“Walaupun berlaku penurunan kes baharu Covid-19, jangan kita ambil mudah dan langgar Perintah Kawalan Pergerakan,” kenyataan ringkas KKM dipetik di Twitter hari ini.

Menurut angka CPRC, jumlah kes Covid-19 di seluruh negara ketika ini sebanyak 5,305 berbanding 5,251 kes kelmarin.

KKM menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Categories
AGENDA NASIONAL

Zon merah Covid-19 naik, Kulai daerah ke-29

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kulai menjadi daerah ke-29 diisytihar sebagai zon merah Covid-19 selepas merekodkan 41 kes setakat 12 tengah hari semalam.

Mengikut angka Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daerah itu mencatatkan pertambahan tiga kes, dengan jumlah kes di seluruh negara ketika ini 5,251.

“Terus patuhi Perintah Kawalan Pergerakan, duduk di rumah, (amalkan) penjarakan sosial termasuk di tempat kerja dan kerap basuh tangan,” kenyataan ringkas KKM dipetik di Twitter.

Lembah Pantai terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 604, meningkat 12 kes berbanding kelmarin diikuti Hulu Langat (446) dan Petaling (371).

Setakat ini, hanya Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Terengganu belum merekodkan zon merah di daerah masing-masing.

Selangor masih mencatat bilangan kes Covid-19 tertinggi di seluruh negara iaitu 1,338 berbanding 1,329 kes, kelmarin.

KKM menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Categories
AGENDA NASIONAL

Muar zon merah ke-27, catat 44 kes semalam

SHAH ALAM, 15 APRIL: Muar menjadi daerah ke-27 diisytihar sebagai zon merah Covid-19 di seluruh negara setakat 12 tengah hari semalam.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada 4,987 kes positif seluruh negara, Muar mencatatkan 44 kes semalam berbanding 40 kes kelmarin.

“Terdapat pertambahan zon merah menjadi kepada 27. Daerah terbaharu zon merah ialah Muar.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula hari ini. Penting untuk kita terus duduk rumah dan penjarakan sosial untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Berdasarkan infografik CPRC KKM, Lembah Pantai masih merekodkan kes positif tertinggi iaitu 572 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatatkan daerah kedua dan ketiga tertinggi masing-masing 433 dan 359 kes.

Menurutnya, keseluruhannya terdapat 16 kawasan zon jingga, 77 zon kuning serta 28 zon hijau di seluruh negara.

Selangor masih mencatat bilangan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 1,299 berbanding 1,249 kes kelmarin.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Zon merah Covid-19 kekal 26 daerah

SHAH ALAM, 13 APRIL: Zon merah Covid-19 di seluruh negara kekal 26 daerah setakat 12 tengah hari semalam, dengan Lembah Pantai masih mencatatkan kes tertinggi.

Berdasarkan infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kawasan tersebut merekodkan 496 kes, meningkat 37 kes berbanding kelmarin.

Daerah Hulu Langat dan Petaling di Selangor masing-masing mencatatkan kes kedua dan ketiga tertinggi iaitu 388 dan 356 kes.

Terdapat satu kes baharu di Kampar, Perak menjadikan daerah itu diisytiharkan zon hijau kuning.

Keseluruhannya, terdapat 15 kawasan zon jingga di seluruh negara, 79 zon kuning serta 28 zon hijau.

Selangor masih mencatat bilangan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 1,236 berbanding 1,183 kes kelmarin.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.

Berikut adalah senarai lokasi zon merah seluruh Malaysia:

Perak
Hilir Perak – 64
Kinta – 93

Selangor
Sepang – 66
Petaling – 356
Hulu Langat – 388
Gombak – 132
Klang – 172
Hulu Selangor – 48

Kuala Lumpur
Cheras – 71
Kepong – 121
Lembah Pantai – 496
Titiwangsa – 115

Putrajaya – 52

Negeri Sembilan
Seremban – 219
Rembau – 53

Melaka
Jasin – 68
Melaka Tengah – 48

Pahang
Kuantan – 80
Jerantut – 70

Johor
Batu Pahat – 51
Kluang – 193
Johor Bharu – 177

Kelantan
Kota Bharu – 89

Sarawak
Kuching – 221
Kota Samarahan – 49

Sabah
Tawau – 71

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua kawasan di Kuala Lumpur zon merah, Cheras terbaharu

SHAH ALAM, 6 APR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengklasifikasikan Cheras sebagai zon merah yang terbaharu bagi wabak Covid-19 sekali gus menjadikan semua kawasan di Kuala Lumpur sebagai zon bahaya.

Sehingga semalam, kawasan itu merekodkan 44 kes serta Lembah Pantai (376), Kepong (112) dan Titiwangsa (90).

KKM menerusi Twitter memaklumkan keseluruhan terdapat 18 zon merah di Malaysia termasuk Hulu Langat (318), Petaling (292), Kuching (165), Seremban (156) dan Kluang (147).

Turut mencatatkan kes tinggi ialah Johor Baharu dengan 139 kes positif, Gombak (100) dan Klang (109).

Ia disusuli Kinta dengan 84 kes, Kota Bharu (82), Tawau (67), Hilir Perak (65), Jerantut (60) dan Batu Pahat (47).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini jumlah keseluruhan kes positif ialah 3,662 sementara berjaya sembuh 1,005 dan kematian 61 orang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Empat zon merah di Selangor catat kenaikan 24 kes

SHAH ALAM, 1 APRIL: Empat daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di Selangor mencatatkan kenaikan kes baharu sebanyak 24, setakat semalam.

Mengikut angka di Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, empat zon merah berkenaan mencatatkan 635 kes dengan pecahan Hulu Langat (265 kes), Petaling (234), Klang (74) dan Gombak (62).

“Bagi yang berada di zon merah, anda perlu meningkatkan langkah-langkah pencegahan bagi memastikan diri terhindar dari jangkitan Covid-19.

“Amalkan nasihat KKM termasuk cara mencuci tangan menggunakan air dan sabun yang betul, duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial,” kata KKM.

Kawasan Sungai Lui di Hulu Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 30 Mac lalu susulan banyak kes di sebuah maahad tahfiz.

Selain kawasan tersebut, kerajaan juga menguatkuasakan PKPD di Simpang Renggam, Johor mulai 27 Mac lalu dan Menara City One, Kuala Lumpur mulai 30 Mac.

Sehingga kini, zon merah di seluruh negara masih kekal 15 lokasi iaitu Lembah Pantai (238 kes), Seremban (119), Johor Bahru (112) dan Kluang (107).

Sementara itu, Kuching merekodkan 97 kes, Kepong (84), Kota Bharu (80), Kinta (77), Titiwangsa (75), Tawau (63) dan Hilir Perak (57).

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.