Pelajar PTRS 2013 Azam Untuk Cemerlang Dalam SPM

PTRS Halimah Ali 01

SHAH ALAM 2 MAC: Peluang tuisyen percuma yang disediakan Kerajaan Negeri tidak akan disia-siakan bahkan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Itulah azam pelajar seperti Syahmi Anis Shamsuddin, 17, yang terpilih pada tahun ini untuk menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bersama 2,270 pelajar yang lain di seluruh Selangor.

Katanya, beliau ingin berjaya sehingga melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan seterusnya membalas jasa ibu dan bapanya.

“Saya bukanlah daripada kategori pelajar yang pandai.

?Tapi bila dapat peluang seperti ini, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk masuk universiti dan membantu mak ayah saya satu hari nanti,” katanya yang bersekolah di SMK Bandar Banting.

Ahmad Yusri Zainurdin, 17, pula turut bersemangat dan berazam untuk menggunakan peluang PTRS ini untuk mendapatkan keputusan cemerlang pada SPM kelak.

PTRS Halimah Ali 02“Selama hampir sebulan program ini baru berjalan, saya rasa tuisyen seperti ini bagus kerana percuma serta dapat tunjuk ajar daripada cikgu-cikgu yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui.

Syahmi dan Ahmad Yusri ditemui ketika menghadiri Majlis Perlancaran PTRS bagi tahun 2013 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Majlis ini dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan dihadiri pelajar-pelajar yang menyertai PTRS bagi tahun ini.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata PTRS adalah untuk membantu ibubapa yang menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam SPM tetapi tidak mampu membayar tuisyen.

Jesteru itu, Dr Halimah berkata, objektif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan memperbaiki sahsiah atau akhlak pelajar.

Sejak dilancarkan pada 2009, PTRS berjaya membantu hampir 20,000 ribu pelajar di seluruh Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 17.25 juta sepanjang empat tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published.