Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penggerak Belia Selangor agih makanan, bantu ringan beban mangsa bah

SHAH ALAM, 10 MAC: Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan 950 bungkus makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam.

Presiden Akmal Halim berkata inisiatif Dapur Selangor Bangkit itu dapat meringankan beban mangsa selepas rumah mereka dinaiki air pada petang Isnin.

“Agihan kepada mangsa yang mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan JKKK Kampung Permata selain penduduk yang sudah pulang ke rumah.

Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam. Foto Ihsan PeBS

“Mereka penat selepas bertungkus-lumus membersihkan rumah masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Akmal berkata ahli PeBS yang kini hampir mencecah 300 orang juga dalam keadaan bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir selepas ini.

“Semua ahli ada di setiap Dewan Undangan Negeri. Jika berlaku bah lagi kami akan turun membantu kebajikan mangsa termasuk pembersihan rumah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ guna fungsi infra merah, kawal jumlah pengunjung bazar Ramadan

PETALING JAYA, 10 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan Sistem Headcount (kiraan kepala) menggunakan fungsi infra merah di dua lokasi bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata sistem berkenaan diperkenal untuk mengawal jumlah pengunjung bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, dua lokasi itu adalah di bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya dan Seksyen 4 Kota Damansara.

“Sistem Headcount ini adalah bagi memastikan pengunjung terkawal iaitu tidak lebih dua orang pada satu-satu masa di setiap petak peniaga bazar. Dalam kiraan mudah, sekiranya MBPJ menyediakan 30 petak di sesuatu lokasi.

“…jumlah pengunjung dibenarkan masuk ke bazar hanya 60 orang pada satu-satu masa. Ini merupakan tatacara operasi piawai (SOP) kita bagi memastikan tidak berlaku kesesakan yang menjadi punca penularan wabak,” katanya.

Kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menunjukkan fungsi sistem Headcount (kiraan kepala) menggunakan fungsi infra merah. Foto: Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dan Sesi Cabutan Bertuah Undi Petak Bazar Ramadan 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Menurutnya, sistem itu turut dilengkapi paparan papan pemuka di pintu masuk bazar Ramadan bagi memaparkan maklumat jumlah keberadaan pengunjung di bazar pada tempoh tertentu.

Beliau menjelaskan setakat ini hanya dua lokasi bazar Ramadan dipilih untuk mengguna pakai sistem tersebut kerana kawasan itu yang sering menjadi tumpuan saban tahun.

“Pada tahun lalu, kedua-dua bazar ini mencatat jumlah tertinggi kehadiran pengunjung iaitu sejumlah 38,887 orang dari bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya manakala 29,187 individu di Seksyen 4, Kota Damansara,” katanya.

MBPJ meluluskan permohonan 611 peniaga bazar Ramadan pada tahun ini di 20 lokasi sekitar Petaling Jaya yang akan beroperasi mulai 3 April sehingga 2 Mei jam 4 petang hingga 7 malam.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ lulus permohonan 611 peniaga bazar Ramadan tahun ini

PETALING JAYA, 10 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meluluskan permohonan 611 peniaga bazar Ramadan pada tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata semua peniaga itu ditempatkan di 20 lokasi bazar yang ditetapkan mulai 3 April hingga 2 Mei.

“Peniaga bazar diingatkan supaya sentiasa sihat, mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan menjaga kebersihan gerai serta persekitaran.

“Pengunjung yang hadir ke bazar juga dinasihatkan segera pulang apabila urusan membeli selesai kerana kita tidak mahu wujud penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dan Sesi Cabutan Bertuah Undi Petak Bazar Ramadan 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Mohamad Azhan berkata pihaknya meneruskan lagi pemberian insentif kupon sebanyak RM15 kepada pengunjung yang membawa bekas makanan atau beg kitar semula ke bazar Ramadan.

“Individu ini boleh menebus kupon tersebut di gerai bazar Ramadan dan perlu membelanjakan ia pada hari yang sama mereka terima (kupon) manakala peniaga juga boleh menuntut wang tunai daripada MBPJ pada hari sama.

“Edaran kupon dibuat bagi meneruskan agenda Kerajaan Negeri melalui kempen bebas beg plastik di samping mendidik penduduk dan pengunjung bazar di Petaling Jaya,” katanya.

Berikut adalah 20 lokasi bazar Ramadan di Petaling Jaya:
1. Taman Medan PJS 2/3
2. SS 6/1 Kelana Jaya
3. Seksyen 17/1A
4. SS 8, Sungai Way
5. Taman Sri Manja PJS 1/30
6. Seksyen 14/27 (Pasar Seksyen 14)
7. Kampung Lindungan PJS 6/3
8. Desa Mentari PJS 6/5
9. Seksyen 51A, Kampung Baiduri
10. Seksyen 8, Sungai Jernih
11. Seksyen 3, Jalan Sentosa 3/57
12. Lembah Subang
13. Seksyen 4, Kota Damansara
14. Jalan Teknologi 3/1, Kota Damansara
15. Seksyen 7, Kota Damansara
16. Pangsapuri Meranti, Bandar Sri Damansara
17. Pangsapuri Vista Business Centre, Damansara Damai
18. Prima Damansara
19. Kampung Sungai Kayu Ara
20. Jalan Kenyalang 11/1, Kota Damansara

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kos pengurusan air, banjir Selangor libat dana RM7 bilion

SABAK BERNAM, 28 FEB: Kos pengurusan air dan banjir di Selangor melibatkan peruntukan RM7 bilion, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kos itu dibentangkan ketika program pemukiman EXCO di Langkawi, Kedah pada 23 Februari lalu.

“Dari segi dasarnya mesyuarat bersetuju, cuma proses untuk melaksanakan (secara) berperingkat dengan dana sebahagiannya melibatkan kerajaan pusat. Kita akan guna dana negeri dan anak syarikat untuk menyelesaikannya.

“Penyelesaian banjir melibatkan seluruh sistem, semua kolam takungan, parit, longkang, sungai, terowong dan pintu air, semuanya terlibat. Saya akan perincikan dan perkemaskannya serta diumumkan dalam sidang media,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini Ahad lalu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, seramai 13 individu turut terkorban.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Tapis Khas 2: Polis rampas dadah bernilai lebih RM10 juta

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10.3 juta dalam operasi, Op Tapis Khas Siri 2 di 125 kawasan penempatan rancangan Felda dan 222 kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam operasi selama tiga hari mulai Rabu lepas itu, polis turut menahan 3,668 orang termasuk 116 rakyat asing berusia antara 14 hingga 60 tahun, kata

“Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam selain enam pelajar sekolah menengah antara yang ditahan kerana memiliki bekalan dadah dan positif ujian saringan awal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata antara dadah yang dirampas dalam operasi itu adalah heroin seberat 5.79 kilogram (kg); syabu (279.16 kg); ketamin (29.8kg); ganja (1.03kg); pil erimin 5 (1.5kg); pil yaba (1.68kg); ekstasi (545.70 gram); serbuk ekstasi (71.20 gram); daun ketum (455.5kg); pil psikotropik (204.24gm); air ketum 269.05 liter; satu batang pokok ganja; dan 14.55 liter ubat batuk.

Menurutnya mereka yang ditahan dalam serbuan pada 23 hingga 25 Feb itu terdiri daripada 3,512 lelaki dan 156 wanita.

“Tangkapan itu turut melibatkan 572 pengedar dadah; 1,850 penagih dan 185 orang yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,Akta Racun 1952 serta ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ayob Khan berkata dalam serbuan di Jerantut, Pahang polis merampas sepucuk pistol tiruan, manakala selaras senapang berserta 17 butir peluru dirampas dalam serbuan di Selama, Perak dan selaras senapang patah dan senapang angin serta 18 butir peluru pula dirampas di Lawas, Sarawak.

Selain itu, JSJN turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta melibatkan wang tunai lebih RM159,000; barangan kemas bernilai lebih RM18,000; 22 kereta bernilai lebih RM553,000; 52 motosikal bernilai lebih RM276,000, selain sebuah topi keledar jenama Shoei bernilai RM700.

Sementara itu, mengulas mengenai penemuan kes berkaitan dadah di kawasan-kawasan Felda dan PPRT menerusi operasi khas itu, Ayob Khan berkata ia bukanlah sesuatu yang baharu dan tidak melibatkan semua kawasan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Persidangan halal platform pemain industri luaskan jaringan kerjasama

SHAH ALAM, 28 FEB: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) menjadi platform pemadanan perniagaan bagi pemain industri meluaskan jaringan kerjasama.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sebanyak 20 syarikat terdiri beberapa pasaraya tempatan dan luar negara serta dagangan eksport akan terlibat dalam sesi berkenaan.

“Sekarang agak sukar untuk pengguna mendapatkan sumber halal dengan harga berpatutan kerana mungkin disebabkan persaingan. Jadi, pastinya Selhac tempat terbaik mempertemukan mereka (pembekal dan pengguna).

“Pembekal produk halal dan pengguna boleh duduk bersama dan berbincang. Jika bersetuju mereka boleh memetarai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjadi rakan strategik sekali gus merancakkan industri ini,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri membelanja sejumlah RM300,000 bagi menjayakan penganjuran sulung Selhac yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mac di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Menurutnya, kos itu meliputi pengiklanan, persiapan lokasi dan keperluan lain manakala pempamer dikenakan sewa dari RM4,999 sehingga RM24,000 bergantung kepada keluasan gerai.

“Dengan keadaan pandemik Covid-19, kos itu mungkin tidak mampu menampung keseluruhannya, tetapi insya-Allah yang terbaik.

“Pempamer menyewa gerai sebagai komitmen untuk menjayakan Selhac. Jika diberi secara percuma, kita bimbang mereka akan buat sambil lewa yang akan memberi risiko kepada penganjur,” katanya lagi.

Bermula jam 10 pagi hingga 9.30 malam, Selhac melibatkan tiga komponen merangkumi forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Pempamer terdiri daripada enam kluster iaitu makanan dan minuman, kesihatan dan farmaseutikal, kecantikan dan penjagaan diri, hospitalisasi dan pelancongan serta fesyen sopan dan ramuan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Laman web Maybank2u alami kelambatan sekali-sekala

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Malayan Banking Bhd (Maybank) memaklumkan bahawa laman web Maybank2u kini mengalami masalah kelambatan sekali-sekala.

“Sementara itu, sila lakukan transaksi perbankan anda secara dalam talian melalui aplikasi MAE atau aplikasi M2U MY,” menurut Maybank menerusi Twitter.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Syarat dos penggalak sertai solat Jumaat dibuat atas perkenan sultan

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan Negeri menegaskan syarat dos penggalak Covid-19 bagi menyertai solat Jumaat di negeri ini berdasarkan perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

EXCO hal ehwal agama Islam dalam kenyataan hari ini berkata perkenan itu merupakan keprihatinan Baginda bagi mengelak jangkitan Covid-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri prihatin dengan keluhan dan rungutan umat Islam di Selangor yang tidak dapat menunaikan solat fardu Jumaat pada 25 Februari lalu berikutan belum menerima dos penggalak Covid-19.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa ketetapan tersebut adalah berdasarkan perkenan DYMM Sultan Selangor melalui surat arahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertarikh 21 Februari,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata Kerajaan Negeri yakin perkenan Baginda mewajibkan dos penggalak berasaskan kepada kaedah fikah iaitu mencegah perkara yang membawa kerosakan dan bahaya atau sadd adz-dzara’i.

Kata Mohd Zawawi pendekatan menggalakkan rakyat negeri ini mengambil dos penggalak turut bertepatan dengan salah satu prinsip maqasid syariah (tujuan syariah) iaitu memelihara nyawa.

Justeru, jelasnya Kerajaan Negeri menasihati rakyat negeri ini supaya segera mengambil dos penggalak bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam.

Tambahnya, dos penggalak boleh diambil secara percuma di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat jelata dan sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut,” katanya.

Semalam, Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan hanya jemaah lengkap dos penggalak dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Penyakit jarang jumpa: Sindrom gangguan genetik perlu intervensi awal

Oleh Muhammad Basir Roslan

Laporan ini bersempena Hari Penyakit Jarang Jumpa Sedunia yang disambut pada hari terakhir setiap Februari. Hari Penyakit Jarang Jumpa ini merupakan gerakan yang diselaraskan secara global mengenai penyakit jarang ditemukan, dalam usaha memberikan kesaksamaan peluang sosial, penjagaan kesihatan dan akses kepada diagnosis dan terapi kepada penghidap.

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Aisha Azhar mengalami obesiti sejak kecil, namun tidak seperti tanggapan umum, dia obes bukan kerana gaya hidup yang tidak sihat mahupun faktor pemilihan makanan.

Sebaliknya, gadis berusia 21 tahun ini menghidap Sindrom Prader-Willi (PWS) – satu gangguan genetik – yang didiagnosis ketika dia hanya berusia 10 bulan.

Mereka yang menghidap PWS ini mengalami hyperphagia – gejala paling ketara PWS – yang menyebabkan mereka mengalami rasa lapar ekstrem dan sentiasa ingin makan berikutan gangguan pada ghrelin. (Ghrelin yang turut dikenali sebagai “hormon lapar” adalah hormon yang dikeluarkan dalam saluran gastrointensinal.)

Jika tidak dikawal atau dirawat, masalah itu akan menyebabkan obesiti morbid yang berpotensi mengancam nyawa akibat komplikasi jantung dan paru-paru, hipertensen dan lain-lain komplikasi serius.

PWS juga dikenal pasti sebagai penyebab genetik utama obesiti yang mengancam nyawa dalam kalangan kanak-kanak yang biasanya bermula semasa mereka berusia antara tiga dan lapan tahun.

Menurut pakar genetik, PWS adalah gangguan yang disebabkan oleh ketiadaan bahan genetik aktif pada kromosom 15 salinan paternal.

Di Malaysia, PWS diklasifikasikan sebagai penyakit jarang jumpa dengan prevalens satu dalam setiap 15,000 penduduk. PWS boleh berlaku pada kedua-dua gender daripada semua kaum.

Menurut Persatuan Sindrom Prader-Willi Malaysia (PWSAM), pada masa ini terdapat 135 penghidap di Malaysia dengan 60 daripadanya adalah kanak-kanak berusia bawah enam tahun, 40 orang berusia antara tujuh dan 12 tahun, 21 pesakit berusia antara 13 dan 17 tahun, baki 14 lagi berumur 17 tahun ke atas.

Cabaran sepanjang hayat 

Bapa Aisha, Azhar Talib, 55, yang juga pengasas dan Presiden PWSAM serta terlibat sepenuhnya dalam mewujudkan kesedaran tentang PWS selain meningkatkan jaringan kerjasama antara pertubuhan, agensi serta pakar dalam menyediakan rawatan, latihan dan pendidikan kepada pesakit, berkata menjaga dan membesarkan anak yang menghidap PWS amat mencabar.

Bercerita tentang cabaran yang dihadapinya, Azhar berkata sejak anaknya didiagnosis dengan PWS, Hospital Kuala Lumpur menjadi rumah kedua beliau dan isteri kerana Aisha memerlukan perundingan dan sesi terapi dengan pakar setiap bulan.

“Biasanya, bayi yang menghidap PWS mengalami hipotonia atau kelemahan ketegangan otot. Tangisan mereka perlahan selain kemampuan untuk menghisap susu juga lemah di samping kuat tidur. Mereka selalunya tidak boleh menyusu badan dan memerlukan botol khas atau penyusuan secara tiub.

“Dalam kes Aisha, selain hipotonia, dia juga mengalami masalah kognitif yang menjejaskan keupayaan belajar. Perkembangan motor serta bahasa juga amnya lambat dalam kalangan kanak-kanak PWS. Hingga sekarang dia tidak boleh bercakap sebaik rakan seusianya, selain sukar mengawal emosi dan mudah mengamuk apabila tidak dapat makan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata hingga kini Aisha masih perlu menjalani rawatan susulan dengan pakar, cuma tidak sekerap dulu.

Menurut Azhar lagi, hampir keseluruhan sistem tubuh terkesan oleh PWS kerana penyakit itu menjejaskan hormon, komposisi badan, daya kawalan suhu, daya tahan sakit dan corak tidur.

Individu penghidap PWS juga berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, gangguan bipolar dan psikosis.

Jejas kualiti hidup penjaga

Selain itu, PWS turut memberi impak ke atas penjaga kerana penjagaan terhadap penghidap PWS adalah hampir sepanjang masa keran mereka tidak boleh berdikari. Ringkasnya, menjaga penghidap PWS adalah komitmen sepanjang hayat.

Menurut Azhar, antara yang perlu dilakukan setiap hari ialah memastikan penghidap bersenam kerana mereka boleh menjadi obes dalam masa yang singkat selain menyediakan jadual makan yang tetap dan mengawal pengambilan kalori.

“Sememangnya PWS turut menjejaskan kualiti hidup penjaga, ditambah lagi dengan kekurangan kesedaran awam tentang penyakit ini. Namun, ibu bapa atau penjaga penghidap PWS tidak perlu bersendirian menghadapi cabaran ini. Mereka boleh hubungi PWSAM untuk nasihat dan bantuan.

“Atau layari sahaja laman web kami di www.pwsam.org.my untuk maklumat lanjut tentang penyakit ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pesakit juga memerlukan program intervensi sepanjang hayat, pendidikan khas, peluang pekerjaan dan penerimaan dalam masyarakat.

Intervensi awal dan sepanjang hayat 

Sementara itu, Pakar Pediatrik Dr Melissa Anne Nunis berkata sekalipun tidak ada penawar bagi PWS, intervensi awal dan pematuhan terhadap terapi boleh meningkatkan kualiti hidup penghidap dan seterusnya membantu mereka berdikari.

“Pendekatan dalam merawat kanak-kanak penghidap PWS perlu dilaksanakan secara sistematik dan tersusun kerana melibatkan pelbagai bidang kepakaran termasuk genetik, pediatrik, ortopedik, endokrinologi, terapi percakapan, psikologi dan pemakanan,” jelasnya.

Beliau juga berkata rawatan harus diberikan mengikut keperluan pesakit kerana setiap penghidap mempunyai isu yang berbeza.

Mereka memerlukan bantuan awal (dari segi terapi fizikal, pendidikan khas dan terapi percakapan) bagi menilai dan menangani masalah kemahiran motor, masalah intelektual serta perkembangan pertuturan dan bahasa.

“Kesemua ini ditawarkan di hospital tertiari kerajaan dan hospital pengajar universiti,” tambah beliau.

Dr Melissa yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, berkata program rawatan juga harus merangkumi diet berkalori rendah, senaman dan pemantauan pengambilan makanan berdasarkan indeks jisim tubuh dan ketinggian pesakit.

“Sesetengah keluarga mungkin bertindak mengunci almari makanan dan peti sejuk. Kesemua inisiatif ini harus dimulakan seawal mungkin sebelum masalah obesiti berlaku. Ini kerana nafsu makan pesakit adalah aspek PWS yang paling sukar untuk ditangani.

“Selain masalah hormon, penghidap juga boleh mengalami apnea tidur obstruktif ketika masalah obesiti mereka memburuk,” katanya.

Tambah beliau, peranan pakar endokrin juga penting dalam pengurusan penghidap PWS kerana pesakit boleh mengalami pelbagai gangguan endokrin. Antara penyelesaiannya adalah rawatan hormon tumbesaran.

“Dalam pelbagai kajian, didapati rawatan hormon tumbesaran baik untuk mereka yang menghidap PWS kerana boleh menambah ketinggian, mengurangkan lemak tubuh, meningkatkan jisim tubuh tanpa lemak, mobiliti dan fungsi respiratori yang akhirnya akan meningkatkan kualiti keseluruhan hidup mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azhar berkata PWSAM berharap kerajaan dapat memberikan subsidi bagi rawatan hormon tumbesaran yang diperlukan pesakit yang layak selain meningkatkan akses kepada rawatan di hospital kerajaan.

“Pada masa ini, agak sukar untuk pesakit mendapatkan akses kepada rawatan hormon tumbesaran di hospital kerajaan kerana melibatkan proses yang panjang. Kos rawatan juga agak mahal iaitu kira-kira RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun bagi seorang pesakit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor hasrat tarik pelabur, pacu industri kereta elektrik

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan Selangor berhasrat menarik pelabur asing untuk melabur dalam industri pemasangan kereta elektrik (EV) pada masa hadapan.

EXCO Teknologi Hijau Hee Loy Sian berkata jualan EV di negara ini dijangka bertambah rancak dalam tempoh lima tahun akan datang susulan pengecualian cukai jalan 100 peratus diumumkan kerajaan.

“Bagi mencapai hasrat berkenaan, ada syarikat pembuatan EV akan datang ke Selangor untuk buat bateri kerana EV menggunakan bateri sepenuhnya.

“Ia menjadi salah satu faktor untuk galakkan lebih banyak pemasangan EV di Malaysia amnya dan Selangor khususnya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Selangor Journal baru-baru ini.

Beliau menjelaskan penggunaan EV mampu mengurangkan pelepasan karbon ke ruang atmosfera sekali gus mengelak risiko berlaku perubahan iklim.

“Kebanyakan negara Eropah sudah beralih kepada teknologi hijau dan ia mempunyai kaitan dengan perubahan iklim. Jadi, kita sebenarnya mahu ke arah itu (teknologi hijau).

“Oleh sebab itu kita mahu kurangkan penggunaan petrol dan galakkan penggunaan EV,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Kelantan, Terengganu meningkat pagi ini

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 19,626 mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri pagi ini berbanding 14,521 individu, malam tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat kepada 11,137 orang daripada 3,177 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 6,963 orang daripada 2,072 keluarga semalam dan ditempatkan di 157 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 44 di Besut, Setiu (30), Hulu Terengganu (27), Dungun (23), Kemaman (22), Kuala Nerus (lapan), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan cuaca di kebanyakan daerah di negeri berkenaan dijangka baik pada pagi ini manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan enam sungai masih di paras bahaya.

Enam sungai berkenaan adalah Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Kemaman, Sungai Nerus (Setiu), Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Terengganu (Kuala Terengganu).

Sementara itu, di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,489 orang daripada 2,750 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 7,558 orang daripada 2,449 keluarga, semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 68 PPS dibuka melibatkan tujuh daerah iaitu 18 di Pasir Mas, Kuala Krai (16), Tanah Merah (14), Jeli (lapan), Pasir Puteh (enam), Machang (lima) dan satu di Kota Bharu.

Portal JPS pula melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah, Sungai Kelantan di Temangan,Machang serta Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 840,000 kanak-kanak negara terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Sebanyak 846,486 individu atau 23.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,578,408 atau 62.0 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,948,424 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,228,204 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,800,661 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,894,898 atau 93 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 101,136 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 42,144 suntikan dos pertama, 537 suntikan dos lengkap dan 58,455 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 67,089,834 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 40 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Kedah mencatatkan lapan kes, diikuti Johor dan Pulau Pinang masing-masing lima kes, masing-masing empat kes di Perak dan Sabah, tiga kes masing-masing di Kelantan dan Pahang.

Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka pula merekodkan masing-masing dua kes dan satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Terengganu.

– BERNAMA