Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program harga ayam, telur murah terus mendapat sambutan

SABAK BERNAM, 28 FEB: Program Intervensi Harga Ayam dan Telur terus mendapat sambutan orang ramai apabila lebih 20,000 ekor ayam terjual sejak dilancar 7 Februari lalu.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata selain ayam, lebih 15,000 biji telur ayam terjual menerusi program dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kedua-dua barangan ini terjual di Wisma PKPS, Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Lori Ehsan yang digerakkan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan segar.

“Walaupun Program Jualan Prihatin Rakyat dilaksanakan, program ini tetap berjalan seperti biasa,”katanya selepas merasmikan program itu di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini semalam.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram menerusi program di bawah PKPS.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta bakal diperluas ke seluruh negeri jika mendapat sambutan orang ramai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong rasmi mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-14 hari ini

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat yang kembali bersidang selepas melabuhkan tirai pada 20 Dis lepas merupakan sidang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah dan berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 16 hari sehingga 24 Mac.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan tatacara operasi piawai bagi persidangan Parlimen kekal seperti sebelum ini.

Antaranya, Ahli Parlimen dan petugas perlu menjalani ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) tiga hari sebelum persidangan berlangsung serta penghadang lut sinar terus dipasang di tempat Ahli Parlimen sebagai langkah menetapkan penjarakan fizikal.

Selain itu, Azhar pada Sabtu (26 Feb) memaklumkan 146 kes positif dikesan hasil ujian saringan RT-PCR yang dijalankan dua hari bermula Khamis (24 Feb) di bangunan Parlimen melibatkan 1,474 individu terdiri daripada Ahli Parlimen, petugas dan wakil media.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

160 pelajar tingkatan lima di Kuala Berang ditempatkan ke pusat pemindahan sementara

KUALA BERANG, 28 FEB: Seramai 160 pelajar Tingkatan Lima yang tinggal di asrama di dua buah sekolah menengah di sini yang dilanda banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan lewat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Imtiaz dan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah itu dipindahkan ke PPS SMK Seri Berang yang setakat ini belum dinaiki air.

“Dalam tempoh sejam sahaja air naik dengan sangat cepat sehingga ke bumbung, jadi pelajar ini dipindahkan segera ke tempat selamat,” katanya malam tadi.

Beliau berkata operasi menyelamat telah digerakkan dengan dua bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wakaf Tapai serta bot pihak badan bukan kerajaan (NGO).

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir 29 Mac melibatkan lebih 401,000 calon.

Banjir besar di Hulu Terengganu disifatkan sebagai paling serius berlaku susulan bencana itu turut melanda kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dana jawatankuasa perubahan iklim manfaat untuk aktiviti kajian

SHAH ALAM, 28 FEB: Dana tambahan disalurkan Kerajaan Selangor kepada jawatankuasa khas perubahan iklim bakal digunakan untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan.

Hee Loy Sian yang dipertanggungjawab memegang portfolio baharu itu berkata pihaknya akan menjalin kerjasama dengan saintis dan pakar dari universiti untuk membuat kajian menyeluruh berhubung perubahan iklim.

Beliau menjelaskan kajian itu termasuk faktor Selangor dilanda hujan lebat luar biasa pada akhir Disember tahun lepas meskipun moratorium pembalakan sudah berkuat kuasa sejak 2010 untuk tempoh 25 tahun.

“Sekarang tiada pembalakan, jadi mengapa perubahan iklim kita (Selangor) luar biasa? Kemungkinan disebabkan pertambahan kenderaan berat dan pembebasan karbon dari kilang serta bangunan.

“Jadi, kajian-kajian seperti ini akan dibuat kerana dengan penjenamaan (portfolio), kita ada pertambahan peruntukan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Selangor Journal baru-baru ini.

Sementara itu, Loy Sian mengakui perubahan iklim bukan isu mudah untuk ditangani selain memerlukan perancangan jangka panjang sehingga hingga 30 tahun.

“Memang perlukan masa kerana ia merupakan perbincangan polisi jangka panjang. Kita kena kaji kenaikan paras laut setiap tahun dan (kajian) ini sangat penting.

“Biasanya kadar taburan hujan lebih kurang 70 hingga 90 milimeter(mm), tetapi kali ini (Disember 2021) mencecah sehingga 200mm. Keadaan ini agak aneh kerana tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.

Dua minggu lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan tambahan portfolio baharu perubahan iklim yang diketuai Loy Sian.

Penambahbaikan portfolio itu menjadikan jawatan disandangnya kini adalah EXCO pelancongan, alam sekitar, perubahan iklim, teknologi hijau dan hal ehwal orang asli.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang selenggara pokok besar, elak insiden tidak diingini

SEPANG, 28 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menyelenggara pokok besar di seluruh kawasan pentadbirannya bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata bagaimanapun perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira lokasi penanaman semula pokok berkenaan.

“Jika tiada pilihan, pokok bahaya kita akan buang, (tetapi) kalau boleh selamatkan kita akan laksanakan pemulihan memandangkan ada dua pihak berkuasa yang mengurus perkara ini selain majlis iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Di Sepang masih terdapat tanah pertanian yang mana pokoknya bersempadan dengan jalan JKR. Jadi, kita harap tiada konflik selain dapat duduk bersama dan cari penyelesaian sewajarnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih dekat sini semalam.

Pada 21 Februari lalu, sebanyak 18 kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley, Dengkil rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat.

Insiden jam 5 petang menyebabkan beberapa batang pokok besar di kawasan terbabit tumbang, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja lelaki korban kedua banjir Kelantan

KOTA BHARU, 28 FEB: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok di sini pada 7.15 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Mohamad Fazli Tamri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kiat di sini, dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu pada 6.20 petang.

“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Operasi mencari berjaya menemukan mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Muhamad Zaki berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang turut ditemukan lemas hari ini di Kampung Kuala Gris dekat Dabong, Kuala Krai pada 7 malam.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jualan barangan segar, murah di Taman Tasik Cyberjaya esok

SHAH ALAM, 25 FEB: Orang ramai dipelawa mendapatkan barangan segar dan murah pada program Selangor Agro Market (SAM), esok.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program jualan makanan keperluan harian itu diadakan di pekarangan Taman Tasik Cyberjaya bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Menerusi di Facebook, beliau memaklumkan, 30 pengunjung pertama juga bakal menerima sayur-sayuran secara percuma.

Sementara di ruangan komen pula Izham memberitahu, antara yang dijual termasuk daging lembu pada harga RM36 sekilogram, pelbagai jenis ikan RM10 dua kilogram dan tiga biji buah naga RM10.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyasarkan menambah jumlah lokasi SAM pada tahun ini dalam usaha membantu peniaga meningkatkan pendapatan.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sejak empat tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima sungai utama Kelantan pada paras bahaya, jumlah mangsa banjir terus meningkat

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan, mencatatkan peningkatan malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,237 orang membabitkan 339 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 975 orang daripada 269 keluarga pada petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 22 PPS beroperasi malam ini iaitu 12 di Kemaman, empat di Setiu dan masing-masing tiga di Hulu Terengganu dan Besut.

Di KELANTAN, mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli, meningkat kepada 400 orang daripada 113 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 52 orang daripada 17 keluarga petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak 11 PPS dibuka melibatkan masing-masing empat di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tiga di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (40.31m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.38m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (18.87m) dan Kampung Sungai Nal di Kuala Krai (25.01m).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem cuaca tekanan rendah itu untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

Sementara itu di SELANGOR, 10 buah rumah di Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa Permai, Sungai Buloh dilanda banjir kilat selepas tembok pagar perumahan di situ runtuh akibat hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata runtuhan tersebut menyebabkan laluan air longkang terhalang hingga berlakunya banjir kilat setinggi 0.45 meter kira-kira 6.02 petang, bagaimanapun tiada pemindahan mangsa banjir dilaporkan.

Katanya kawasan lain di Sungai Buloh turut dilanda banjir kilat membabitkan Stesen Komuter Sungai Buloh, Kampung Cempaka 2, Kampung Paya Jaras Hilir dan Kampung Batu Gajah, selain menyebabkan beberapa insiden kenderaan dinaiki air.

“Selain itu, beberapa lokasi berisiko banjir yang kini dalam pemantauan iaitu Kunci Air Sri Muda, Kunci Padang Air Jawa dan Seksyen 13 masing-masing di Shah Alam, Kampung Sungai Laksamana dan Kampung Sungai Kertas (Selayang); Kampung Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras (Cheras).

“Turut dipantau Jalan Semenyih, Kampung Sungai Kantan, Pekan Kajang, Jalan Mendaling, Kampung Jambu dan Taman Muhibah di Kajang serta Bayu Permai, Taman Velox, Bandar Country Homes, Kampung Bakau, Pekan Rawang, Taman Tun Teja dan Taman Jati (Rawang),” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa kuat di Utara Sumatera: Impak kepada Malaysia minimum – MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Impak daripada gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Ricther yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini, terhadap Malaysia adalah minimum, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Menurut Muhammad Helmi jabatan itu turut mengesan dua kali gempa bumi susulan selepas gempa bumi kuat itu, manakala gempa susulan yang dikesan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia setakat pukul 4.50 petang tadi adalah 27 kali.

Katanya MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan sebarang perkembangan sekiranya berlaku gempa susulan dan aktiviti seismik di sekitar kawasan terlibat.

“Sehingga kini, maklumat yang diterima menunjukkan impak atau kesan terhadap negara daripada kejadian gempa bumi ini adalah minimal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

MetMalaysia hari ini memaklumkan gempa bumi yang berlaku pada pukul 9.39 pagi dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu turut dirasai di kawasan barat Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Pada 12.02 tengah hari, gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter direkodkan di wilayah sama, bagaimanapun kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tujuh terkorban akibat gempa bumi di Sumatera Barat

JAKARTA, 25 FEB: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan 85 lagi cedera selepas gempa bumi melanda beberapa kawasan di Sumatera Barat pada Jumaat, menurut Lembaga Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB).

Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata lebih 5,000 orang telah ditempatkan di 35 pusat pemindahan di daerah Pasaman Barat.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota penyelamat, tentera dan polis masih diteruskan di kawasan terjejas, katanya dalam satu kenyataan.

Gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter memusnahkan berpuluh-puluh bangunan dan lebih 1,000 rumah rosak teruk.

Indonesia yang terletak dalam Lingkaran Api Pasifik menyaksikan kekerapan aktiviti seismik dan gunung berapi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sisipan Selangorkini mulai minggu depan, bahan menarik menanti pembaca

SHAH ALAM, 25 FEB: Selangorkini sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan mempelbagaikan isi kandungan dari semasa ke semasa.

Sejajar tujuan itu, akhbar mingguan ini menerbitkan sisipan lapan halaman mulai edisi 4-10 Mac dengan memperkenalkan personaliti hiburan dan sukan, selain penulis kolum isu sains, agama dan filem.

Dengan reka letak baharu, sisipan itu dengan nama Pancawarna mengekalkan halaman rencana, sastera dan infografik.

Penulis kolum antaranya Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Zamir Mohyedin (penyelidik fizik) dan Daniyal Kadir (pengkritik filem).

Mohd Farid Ravi, lulusan doktor falsafah tafsir al-Quran, adalah penulis buku berjudul Ustaz Apa Hukumnya dan penceramah popular.

Melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zamir popular dengan buku bidang fizik, psikologi dan sejarah.

Daniyal yang menjalankan kajian peringkat sarjana mengenai kebebasan seni dan politik pernah menghasilkan buku Membedah P Ramlee dan Membedah Wayang Gambar.

Selangorkini merancang memuatkan laporan menarik tentang kesihatan, kebudayaan, hal ehwal antarabangsa dan ekonomi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air 13 kawasan wilayah Petaling pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 25 FEB: Bekalan air di 13 kawasan wilayah Petaling yang terlibat pembaikan sistem elektrik di rumah pam Bukit Jelutong U8, di sini pulih sepenuhnya jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan yang belum menerima bekalan air.

“Sehingga jam 6 petang, pemulihan bekalan air di 41 kawasan yang terjejas telah mencapai 32 peratus.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi esok,” menurut kenyataan yang dikeluarkan jam 7 petang.

Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain
bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air disaran membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Orang ramai boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter bagi mendapatkan perkembangan semasa atau hubungi talian 15300 jika terdapat pertanyaan dan aduan.