Categories
AGENDA SUKANKINI

Footsouls, Negeri Sembilan Women’s idam juara sulung Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 18 JAN: Pemenang separuh akhir Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengimpikan kejuaraan sulung di pentas akhir pada 26 Januari ini.

Ketua Pasukan The Footsouls Gan Lay Pin berkata beliau bangga dengan semangat juang rakan sepasukan sepanjang kejohanan meski mereka terpaksa berjuang hingga penghujung permainan sebelum layak ke peringkat akhir.

“Walau mulanya rentak kami agak perlahan dan mendapat tentangan hebat pasukan lawan, kami bangkit dengan menyusun taktik permainan lebih kemas hingga berjaya ke perlawanan akhir.

“Secara keseluruhannya, saya kagum dengan perkembangan pasukan serta semua pemain wanita yang menyertai liga ini,” katanya kepada Selangorkini.

Lay Pin juga yakin pasukannya akan berusaha keras memberikan cabaran sengit sekalipun menyifatkan pesaingnya Negeri Sembilan Women’s (NSW FC) sebagai pasukan hebat lagi berpengalaman.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong malam tadi, The Footsouls melalui jalan cukup berliku sebelum mengesahkan slot itu apabila terpaksa bertarung hingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan First 11 FC.

Dalam penentuan penalti, The Footsouls menang menerusi keputusan 6-5.

Sementara itu, NSW FC melakar kemenangan selepas membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta Justine, Noor Hartini dan Malini Nordin.

Pengurus pasukan Mohammad Harfat Rusman berkata beliau berharap pasukannya terus mengekal momentum permainan pada perlawanan akhir kelak.

Meski dianggap pilihan juara, beliau berpendirian peluang kedua-dua pasukan terbuka, apatah lagi The Footsouls memiliki barisan pemain berpengalaman.

“Semangat juang dan komitmen tinggi yang ditonjol pemain pada latihan dan perlawanan menunjukkan mereka layak berada di perlawanan akhir.

“Kami tidak memandang rendah akan pihak lawan kerana mereka juga pasti berikan saingan hebat untuk merangkul kejuaraan edisi sulung ini,” katanya.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan benar gunakan sepenuhnya ruang masjid untuk solat Jumaat

SHAH ALAM, 18 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat dan ruang limpah masjid dan surau bagi menunaikan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan membenarkan penetapan jarak satu meter antara jemaah.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan surat ketetapan berhubung kebenaran itu akan dikeluarkan dan diedarkan kepada 427 masjid serta 316 surau terlibat dalam tempoh terdekat.

“Ketetapan ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir Jais pada November lalu.

“Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kepada jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berharap ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda dalam mengerjakan solat Jumaat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus gandakan pasukan bantu pelanggan guna RFID di plaza tol

KUALA LUMPUR, 18 JAN: PLUS Malaysia Berhad (Plus) menggandakan pasukan petugasnya di plaza tol untuk membantu melicinkan pergerakan pengguna lebuh raya Utara-Selatan yang berhijrah menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

PLUS dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pihaknya juga meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

“Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan. Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan pengguna jalan raya meluahkan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di beberapa plaza tol, dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID untuk mengesan tag yang dipasang pengguna.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Plus memaklumkan perlaksanaan RFID sejak 15 Jan lalu mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan iaitu sebanyak 10 peratus transaksi di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan pada hujung minggu.

Plus turut berharap peningkatan peralihan kepada pembayaran tol menerusi RFID yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan lebih lancar kepada pengguna.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambil iktibar simbolik pengorbanan demi kebaikan semua

SHAH ALAM, 18 JAN: Simbolik pengorbanan penganut Hindu dalam sambutan Hari Thaipusam harus diambil iktibar semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Merujuk sebahagian upacara perayaan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengajak semua pihak berkorban demi kebaikan dan kemaslahatan rakyat keseluruhan.

“Justeru simbolik pengorbanan ini dapat diambil iktibar oleh segenap warga tanpa mengira latar agama dan bangsa,” katanya dalam perutusan Hari Thaipusam hari ini.

Beliau menjelaskan perayaan itu dirai dengan pergerakan terbatas susulan pandemik Covid-19 yang masih berterusan selain kesan tragedi banjir yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta-benda.

“Iltizam setiakawan atas dasar manusiawi yang ditunjukkan oleh semua sukarelawan yang datang dari pelusuk negara membuktikan betapa pengorbanan semua pihak diperlukan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

22.9 juta dewasa lengkap vaksin, 41 peratus terima dos penggalak

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Seramai 237,703 individu dewasa menerima dos penggalak vaksin Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 9,609,454 atau 41 peratus setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 22,906,072 atau 97.8 peratus populasi dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 23,185,749 individu atau 99 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,775,059 individu atau 88.2 peratus telah melengkapkan vaksinasi sementara 2,862,198 individu atau 91 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan 242,705 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 1,912 dos pertama, selain 3,090 dos lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,135,763 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 16 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu lima kematian diikuti Terengganu tiga kematian serta Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan dua kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Negeri Sembilan Women’s, Footsouls mara ke pentas akhir Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 18 JAN: Pasukan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC) dan The Footsouls akan membuat perhitungan di pentas akhir Liga Super Wanita FAS selepas menyingkirkan lawan masing-masing malam tadi.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong, NSWFC melakar kemenangan selepas membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta Justine, Noor Hartini dan Malini Nordin.

Sementara The Footsouls pula melalui jalan cukup berliku sebelum mengesahkan slot itu apabila terpaksa bertarung hingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan First 11 FC.

Dalam penentuan penalti, The Footsouls menang menerusi keputusan 6-5.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet Sukma Selangor sertai beberapa siri kejohanan pemanas badan

SHAH ALAM, 18 JAN: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Selangor menyertai beberapa siri kejohanan pemanas badan sebelum ke temasya terbesar tanah air yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur tahun ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata kejohanan bermula 7 Januari lalu hingga 26 Mac depan membabitkan acara memanah, angkat berat, tinju, boling, sepak takraw, ragbi dan skuasy.

“Pertandingan yang sedang dan bakal disertai dalam tempoh terdekat ini menjadi medan terbaik untuk kita menilai sejauh mana prestasi semasa atlet sekali gus mencari ruang memperbaiki setiap kelemahan.

“Justeru, kita berharap agar atlet dapat memanfaatkan kejohanan ini sebaiknya dengan menampilkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menasihati atlet supaya menjalani latihan secara berterusan bagi memantapkan stamina di samping mengekalkan kemahiran sedia ada.

“Pada masa sama, atlet juga diingatkan menjaga tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak dijangkiti Covid-19 kerana dikhuatiri menjejaskan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Oktober tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan Sukma 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 ditangguhkan ke 2024.

Bagaimanapun, KBS bersetuju supaya MSN menganjurkan temasya dwitahunan di Kuala Lumpur tahun ini, namun tiada sebarang pengumuman berhubung tarikh tepat setakat ini.

Berikut beberapa siri kejohanan disertai atlet Selangor:

1. Kejohanan Memanah Terbuka Kebangsaan
– 8 hingga 13 Februari di Kompleks Sukan MPKJ Bangi

2. Kejohanan Angkat Berat Jemputan
– 10 hingga 12 Februari di Ipoh, Perak

3. Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan Kebangsaan
– 21 hingga 27 Februari di Ipoh, Perak

4. Kejohanan Lawn Bowls Classic Triples
– 9 hingga 13 Februari di Ipoh, Perak

5. Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Kuala Lumpur
– 4 hingga 6 Februari di Kuala Lumpur

6. Liga Sepak Takraw
– 7 Januari hingga 26 Mac di Stadium Titiwangsa, Ipoh, Pulau Pinang dan Kelantan

7. Liga Ragbi KRS
– 15 Januari hingga 19 Mac di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang

8. CIMB Foundation Skuasy 17th National Junior Championship
– 24 hingga 28 Februari di Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM180 juta diperuntuk baiki jalan, cerun rosak akibat banjir

DENGKIL, 17 JAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan peruntukan segera berjumlah RM187.87 juta bagi kerja pembaikan kritikal di 303 lokasi jalan raya dan cerun yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM133 juta diperuntukkan untuk pembaikan cerun di 181 lokasi dikenal pasti, manakala bakinya bagi membaik pulih jalan raya.

“Kerja-kerja pembaikan kritikal telah dimulakan. Kita mahu sekurang-kurangnya jalan terjejas boleh dibuka untuk satu lorong dan mestilah boleh dilalui.

“Itu sasaran peringkat awal hingga kita dapat peruntukan sepenuhnya dan bakinya boleh disiapkan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kira-kira 80 peratus atau 943 daripada 994 lokasi jalan raya terkesan banjir di seluruh negara dibersihkan, dan bakinya kini dalam tindakan Jabatan Kerja Raya negeri masing-masing.

“Kerja baik pulih akan terus digiatkan dalam usaha pemulihan infra pasca banjir KKR,” katanya.

Mengenai proses pembaikan Jambatan Dengkil, Fadillah berkata sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk membaiki jambatan yang ditutup sejak 17 Dis, ekoran hakisan dan runtuh akibat banjir.

Menurutnya, proses pembaikan jambatan itu berjaya disiapkan lebih awal oleh Roadcare (M) Sdn Bhd berbanding sasaran asal iaitu siap pada akhir bulan ini.

“Alhamdulilah, pembaikan jambatan telah dapat disiapkan awal dan ia kini dibuka untuk laluan orang ramai,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Video mata pelajaran tambahan antara tambah baik portal tuisyen percuma

SHAH ALAM, 17 JAN: Video pembelajaran beberapa subjek tambahan antara penambahbaikan dalam portal ePTRS.my pada tahun ini, menurut Dato’ Menteri Besar.

Infografik dikongsikan Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan video yang dimuatkan ialah mata pelajaran sains tulen seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia selain Pendidikan Islam serta Moral.

“Kerajaan Negeri terus mengutamakan agenda pendidikan anak-anak Selangor menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“Dianggarkan 60,000 pelajar akan menerima manfaat merangkumi pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan juga tahun enam dengan peruntukan RM7 juta,” tulisnya di Twitter hari ini.

Sebelum ini, portal berkenaan memuatkan 81 video pembelajaran merangkumi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik.

Pada 11 Januari lalu, Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri memberitahu seramai 60,000 pelajar tingkatan lima dan tahun enam di Selangor disasar menyertai PTRS kali ini.

Jawatankuasa itu berkata 50,000 peserta membabitkan calon SPM manakala baki pelajar tahun enam yang mengikuti kelas secara maya dan bersemuka selain mendapat modul pembelajaran percuma.

Jelas jawatankuasa terbabit, seramai 10,000 calon SPM dari keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan guru bimbingan menerima manfaat kelas tuisyen berserta modul pembelajaran, manakala 20,000 pelajar kategori sama tetapi mampu belajar sendiri menerima modul pembelajaran.

Pada 26 November tahun lalu, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan 2022 mengumumkan peruntukan RM7 juta untuk meneruskan PTRS bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perangkaan: Kerugian banjir cecah RM6.5 bilion, aset awam tertinggi

SEPANG, 17 JAN: Penilaian impak disebabkan banjir yang berlaku di 50 daerah di Malaysia pada bulan lepas (Disember) menganggarkan kerugian yang dialami adalah antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion, demikian menurut dapatan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata daripada jumlah itu, kerugian melibatkan aset awam dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah yang tertinggi iaitu RM2 bilion.

Kerugian lain meliputi kerosakan tempat kediaman antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion; kenderaan RM1 bilion hingga RM1.3 bilion; pembuatan (RM800 juta hingga RM1 bilion); premis perniagaan (RM500 juta hingga RM600 juta); dan pertanian (RM40.9 juta hingga RM49.9 juta).

“Ini anggaran, saya minta DOSM untuk memurnikan angka-angka ini. Ini adalah tugas perangkaan iaitu buat anggaran, maka dari segi bantuan kami cuba sesuaikan dengan jumlah kehilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 hari ini.

Mengenai HIES/ BA 2022 itu, Mustapa berkata survei berkenaan dilaksanakan secara temu ramah bersemuka melibatkan kira-kira 93,000 isi rumah atau 500,000 penduduk di seluruh negara, bermula pada Januari hingga Disember nanti.

Antara objektif survei adalah untuk mengkaji dan menyediakan maklumat pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah; menyediakan statistik kemiskinan terutamanya kadar kemiskinan sehingga ke peringkat daerah pentadbiran, katanya.

“Ia membantu kerajaan merancang dan memantau keberkesanan pelaksanaan rancangan pembangunan negara khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang turut hadir berkata dapatan survei HIES/BA 2022 itu akan menjadi penanda aras baharu bagi kerajaan menggubal polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.

Dapatan juga akan menjadi input yang akan digunakan kerajaan untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja curi tabung masjid diperintah jalani khidmat sosial enam bulan

SHAH ALAM, 17 JAN: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kepada seorang remaja kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini yang dibuat Mahkamah Majistret Selayang sebelum ini.

Hakim Datuk Abd Halim Aman berkata sebaliknya hukuman penjara dan denda ke atas Daniel Iskandar, 19, digantikan dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang akan dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.

Hakim turut menyarankan agar pihak masjid, pihak yang merakam dan yang menularkan video Daniel untuk membuat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Daniel dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.

Abd Halim juga menegur dan mengingatkan masyarakat untuk tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri dan mengambil iktibar diatas kes ini demi masa depan Keluarga Malaysia.

“Mahkamah menyedari akan tempoh penjara yang telah dijalani oleh tertuduh selama 10 hari dan denda RM4,000 yang telah dijelaskan, namun demi masa depan tertuduh serta untuk mempunyai rekod kesalahan yang bersih, keputusan ini perlu disampaikan,” katanya ketika membacakan semakan berhubung hukuman yang dijatuhkan di Mahkamah Majistret sebelum ini hari ini.

Susulan itu, katanya Daniel perlu melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh tujuh hari dari hari ini dan wajib hadir mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pesalah muda ini dikehendaki mematuhi setiap aktiviti atau program yang telah ditetapkan atau lain-lain arahan oleh JKM dan hendaklah dikhususkan khidmat masyarakat itu di masjid-masjid sahaja,” katanya.

Beliau berkata perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 293 (1)(e) Kanun Acara Jenayah (Akta 593) dan sekiranya Daniel tidak melakukan perintah itu, pesalah muda itu boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal.

Mengulas mengenai hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret terdahulu, Abd Halim berkata berdasarkan hujah timbalan pendakwa raya, barisan peguam dan tertuduh serta nota catitan dan keterangan ketika prosiding di Mahkamah Majistret, pihaknya mendapati hukuman yang direkodkan adalah silap dan keterlaluan.

“Pada masa yang sama hukuman itu tidak menunjukkan bentuk pemulihan dengan fakta jelas menunjukkan tertuduh adalah pesalah pertama dan telah mengaku salah. Apa yang dilakukannya hanyalah cubaan mencuri dan tiada kerugian yang dialami pihak masjid,” katanya.

Terdahulu ketika prosiding semakan, Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Daniel memaklumkan anak guamnya semasa kejadian berusia 18 tahun empat bulan iaitu masih muda, mempunyai masa depan dan kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukannya.

“Jadi pihak kami memohon hukuman ditukarkan mengikut Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” katanya dan menambah walaupun anak guamnya akan dibebaskan hari ini, namun rekod penjara 10 hari berpotensi mencemarkan masa depan anak guamnnya yang masih muda.

“Saya mohon budi bicara yang Yang Arif untuk bagi bon di bawah Seksyen 173A dengan diberi teguran dan amaran. Saya juga mohon rekod penjara dipadamkan kerana boleh membawa risiko kepada masa depannya,” katanya.

Kata Mohamad Rafique, anak guam dan keluarganya merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah yang mengambil inisiatif memanggil sendiri untuk semakan itu.

Daniel turut diwakili Peguam Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khuszairy.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat menegaskan pihaknya membantah untuk membenarkan bon di bawah Seksyen 173A (CPC) dengan tiada kesilapan semasa tangkapan.

“Tidak perlu semak keputusan ini memandangkan hukuman telah dijalankan, denda telah dibayar dan pesalah juga akan dibebaskan hari ini,” katanya.

Selain itu, dua peguam pemerhati adalah Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie mewakili Masjid Al Islahiah.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

1,476 usahawan wanita dibantu, MB ajak lebih ramai sertai skim mula niaga

SHAH ALAM, 17 JAN: Dato’ Menteri Besar mengajak lebih ramai usahawan wanita negeri ini menyertai Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI).

Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengucapkan tahniah kepada 1,476 golongan terbabit yang berjaya memperoleh dana tersebut bagi memulakan perniagaan mereka.

“Semoga urusan keluarga dipermudahkan dengan sokongan skim ini,” tulisnya di Facebook hari ini.

Jumaat lalu, Amirudin berkata jumlah penerima manfaat itu membabitkan nilai pembiayaan bernilai RM6.07 juta setakat ini.

Menurutnya, skim itu membantu wanita memulakan perniagaan dengan mudah, cepat dan tidak membebankan.

Terbuka kepada wanita dan semua kaum, individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang http://www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah Selangor.