Categories
SELANGOR

Remaja lemas ketika berkelah bersama tiga rakan di Batang Kali

SHAH ALAM, 17 JAN: Seorang remaja lelaki mati lemas ketika berkelah dan mandi-manda bersama tiga rakannya di Sungai Balak, Batang Kali semalam.

Mangsa, Muhamad Hamirul Abdullah, 19, dari Segambut Tengah, Kuala Lumpur ditemui lemas kira-kira jam 10.30 malam tadi selepas dipercayai terjun ke dalam air pada kedalaman kira-kira tiga meter.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.07 malam tadi sebelum tujuh anggota digerakkan bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu untuk operasi mencari serta menyelamat.

“Mangsa bersama tiga rakannya ke lokasi itu untuk berkelah sebelum mandi-manda di kawasan takungan air di sungai rekreasi berkenaan,” kata Norazam Khamis seperti dilapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan selepas lebih tiga jam pencarian dijalankan, mayat mangsa akhirnya ditemui dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terjejas banjir bukan halangan sambut Thaipusam

SHAH ALAM, 17 JAN: Biarpun terlibat musibah banjir baru-baru ini, perayaan Thaipusam tetap disambut penganut Hindu walaupun dalam keadaan sederhana.

Suri rumah P Paruvathy, 60, berkata banjir yang melanda Selangor terutama kawasan kediamannya di Taman Sri Muda menjadi satu peristiwa yang menginsafkan.

“Kami sekeluarga memang berasa sedih dengan kejadian menimpa terutama ketika menyambut Thaipusam kerana rumah masih belum selesai kemas sepenuhnya.

“Bagaimanapun kami terima dan bersyukur sambutan Thaipusam masih boleh disambut meskipun perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

P. Paruvathy bersama keluarganya membuat persiapan perayaan Thaipusam di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 16 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ibu kepada lima anak itu turut berkata kejadian banjir beri pengajaran kepada semua supaya hidup secara sederhana, bersatu padu dan tidak menganiaya sesama insan.

“Pada tahun ini, saya berdoa supaya kita semua diberi kesihatan yang baik dan mendoakan anak-anak mendapat pelajaran sempurna demi masa depan mereka,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’ pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Jenis pelitup muka dan keberkesanan daripada rebakan Covid-19

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Ketika negara mengharungi asakan varian Delta pada tahun lepas yang menyaksikan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 10,000 kes hampir setiap hari, sesetengah ahli masyarakat mula memakai respirator, bukan lagi pelitup muka perubatan biasa.

Nana, 45, antara yang berbuat demikian, dan ketika ditanya Bernama faktor yang menyebabkannya beralih kepada respirator, wanita itu menjawab dia mahukan perlindungan yang lebih baik selain pemakaian tidak renyah.

Respirator pilihan wanita itu ialah KF94 keluaran Korea Selatan, iaitu dalam kategori sama dengan N95. Pasaran turut menawarkan respirator KN95 dari China dan FFP2 yang berdasarkan piawaian Eropah.

“Pakai respirator ni mudah, saya tak perlu lagi susah-susah nak pakai dua lapis pelitup muka setiap kali hendak keluar rumah. Selain itu, ibu saya juga penghidap kanser. Saya tak mahu dia dijangkiti Covid-19 yang dibawa pulang oleh saya,” jelasnya kepada Bernama.

Kini, tatkala ledakan Delta memperlahan dan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit pula muncul, Nana yakin keputusannya memakai respirator itu adalah yang terbaik bagi melindungi keluarganya yang kesemuanya telah lengkap divaksinasi.

Polemik pelitup muka dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan dan pihak berkuasa berkaitan di Amerika Syarikat dan Eropah, memperkuat keyakinan Nana, apabila masing-masing menyarankan pemakaian pelitup muka berkualiti tinggi bagi mengekang jangkitan Omicron yang semakin mengganas di benua terbabit.

Malaysia bagaimanapun tidak menuruti langkah negara berkenaan. Garis panduan pemakaian pelitup muka yang diguna pakai sejak 23 Ogos tahun lepas tidak dikemas kini. Saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar orang ramai memakai pelitup muka berganda – pelitup muka perubatan dan pelitup muka fabrik berserta pelindung muka masih terpakai.

Pakar perubatan yang dihubungi Bernama juga berpandangan tidak ada keperluan untuk orang ramai beralih memakai respirator.

Pengunjung memakai pelitup muka semasa membeli barangan keperluan di Pasar Pagi Jaya Gading, Kuantan pada 4 Disember 2021. Foto BERNAMA

Pencegahan

Selain menyifatkan respirator mungkin terlalu mahal bagi kebanyakan ahli masyarakat, pakar juga melihat pemakaian pelitup muka perubatan tiga lapis secara betul sudah memadai, termasuk untuk mencegah jangkitan Omicron, asalkan pelitup muka tersebut memenuhi keperluan minimum piawaian.

Pakar Perunding Pulmonologi Dr Wong Chee Kuan berkata ini kerana rata-rata penduduk di Malaysia berpelitup muka apabila keluar rumah.

“Masalahnya ialah di luar negara, mereka tidak mengamalkan pemakaian pelitup muka. Hal ini meningkatkan jangkitan dalam komuniti mereka. Malaysia pula kuatkuasakan arahan, iaitu kita mesti memakai pelitup muka apabila mahu ke tempat awam,” katanya.

Pelitup muka N95 merupakan respirator berstandard premium, menjanjikan penapisan kira-kira 95 peratus zarah di udara seperti debu, kabus dan wasap. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), pemakaian N95 menghalang kemasukan zarah sekecil 0.3 mikron dan titisan. Selain itu, N95 juga mempunyai mekanisme elektrostatik yang berfungsi memerangkap zarah bercas dan tidak bercas.

Perlindungan serupa atau hampir sama turut ditawarkan oleh KN95, KF94 dan FFP2 – ini jauh lebih baik berbanding pelitup muka biasa.

Pemakaian pelitup muka, walaupun sehelai, dapat mengurangkan peluang penyebaran virus korona kerana perlindungan yang diberikan meliputi individu lain dan juga si pemakai. Menurut pakar, paling penting adalah cara pemakaian yang betul.

“Pemakaian KN95 atau N95 akan memberikan perlindungan yang lebih kepada si pemakai, terutama dalam mendepani ancaman Omicron yang sangat mudah berjangkit. Bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah pelitup muka dipakai dengan betul,” kata Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki, pakar perubatan kesihatan awam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ringkasnya, apa juga jenis pelitup muka yang dipakai, pastikan sebarang ruang di antara pelitup dan muka si pemakai bertutup serapat mungkin.

“Ramai yang sudah mula memakai N95 atau KF94, malah sebelum kewujudan Omicron lagi, namun perlu diingat, kesemua pelitup muka ini perlu dipakai secara kemas. Jika terlalu longgar, tak ada gunanya pakai pelitup muka,” kata Dr Wong.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Prof Dr Victor Hoe yang menguji N95 untuk petugas penjagaan kesihatan di PPUM, berkata sukar untuk memakai pelitup muka dengan kemas kerana alat itu amnya dikeluarkan hanya dalam satu saiz.

Pada masa sama, di sebalik janji perlindungan unggul terhadap zarah bawaan udara, pemakaian respirator juga tidak akan mencapai matlamat jika si pemakai menanggalkan alat itu ketika berbual atau bernafas.

“Kerana itulah saya tidak menyarankan orang ramai memakai pelitup muka jenis ini. Alat ini menyukarkan pernafasan dan percakapan. Sebab itu kami dapati ramai yang membuka pelitup muka mereka apabila bercakap,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong penggunaan pelitup muka jenis itu dalam keadaan tertentu seperti ketika berada di dalam ruang tertutup bersama-sama orang lain yang status vaksinasinya tidak diketahui, seperti di dalam pesawat. Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menggantikan pelitup muka yang dipakai dengan yang baharu apabila alat itu basah atau lembap akibat berpeluh dan sebagainya.

Orang ramai mematuhi arahan dengan mengenakan pelitup muka ketika berada di tempat awam bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketulenan

Pemakaian pelitup muka N95 gred perubatan akan meninggalkan bekas pada muka si pemakai seperti yang dapat dilihat pada wajah pekerja kesihatan, namun tidak semua respirator yang ada di pasaran itu produk tulen.

Di Amerika Syarikat, produk tulen akan mempunyai simbol Niosh pada alat serta tarikh luput pada kotak memandangkan cas elektrostatik merosot seiring dengan masa. Di Malaysia pula, pelitup muka perubatan akan mempunyai pensijilan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Sumber MDA memberitahu Bernama, agensi itu tidak menjamin keberkesanan produk N95 bukan gred perubatan dan lain-lain respirator yang ada di pasaran.

Pakar pula berkata sama ada tulen atau tidak, pelitup muka masih dapat mengurangkan kadar transmisi di tempat awam.

“Orang ramai tidak perlu menggunakan peranti perubatan tulen kerana mereka tidak terdedah secara langsung kepada pesakit yang disahkan telah dijangkiti. Selagi pelitup muka itu terletak dengan elok di muka dan dipakai dengan betul, maka sudah memadai,” kata Dr Wong kepada Bernama menerusi WhatsApp.

Ada beberapa ujian yang boleh dilakukan oleh orang ramai untuk memastikan keberkesanan pelitup muka mereka, antaranya menguji dengan nyalaan api (cuba padamkan nyalaan api dengan menghembus dari jarak 30 cm), hidu bau (cuba kesan bau pemanis tiruan seperti Sweet and Low), dan ujian cahaya (regangkan pelitup muka di hadapan cahaya yang terang dan cuba lihat menerusinya).

Jika kesemua ujian berjaya dilakukan, bermakna pelitup muka itu tidak dapat melindungi anda, kata penyelidik di Stanford University School of Medicine yang bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam membangunkan piawaian pelitup muka.

Pelitup muka fabrik pula amnya tidak berkesan kerana mempunyai kemampuan menapis yang sangat rendah. Bagaimanapun, pakar berkata jika digandingkan bersama pelitup muka perubatan, pemakaiannya berkesan kerana ruang yang terbuka pada sisi muka akan bertutup rapat.

Menurut Dr Rafdzah, pelitup muka pembedahan tidak boleh menapis zarah yang lebih kecil daripada bakteria, namun “jika semua orang yang berada di kawasan awam memakai pelitup muka pembedahan atau fabrik, ini sudah memadai untuk mencegah penularan virus di kawasan itu, sekali gus mengurangkan peluang jangkitan.”

Di sebalik jaminan yang diberikan oleh pakar terbabit, Nana tidak berhasrat untuk kembali memakai pelitup muka pembedahan dalam masa terdekat.

“Selain menjaga ibu yang menghidap kanser, saya juga ada seorang anak lelaki dan saya tidak mahu perkara buruk berlaku padanya,” kata wanita itu.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ anjur pembersihan menyeluruh sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 16 JAN: Orang ramai boleh melupuskan kelengkapan rumah mereka kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena kedatangan Tahun Baharu Cina awal bulan depan.

MBPJ berkata program ‘spring cleaning’ anjurannya menerima barangan seperti perabot yang masih baik, barangan elektrik, basikal terpakai, barangan besi dan kaca.

“Hanya barangan yang mengikut spefikasi yang diberi akan diterima pada hari kutipan dibuat. Barangan kaca yang pecah, majlis tidak akan terima.

“Juga diingatkan agar penduduk membungkus, melabel dan menyusun barangan dengan elok supaya tidak pecah serta maklumkan kepada kontraktor kutipan bagi mengelakkan kemalangan kecil berlaku kepada pekerja,” katanya di Facebook.

MBPJ juga mengingatkan orang ramai mengeluarkan barangan sebelum pukul 10 pagi kerana kontraktor kutipan akan melalui kawasan yang ditetapkan sekali sahaja.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam MBPJ di talian 03-7954 1440.

Jadual kutipan dan lokasi seperti berikut:

Categories
BUDAYA RENCANA

Teringin nasi daun pisang? Tujuh restoran ini patut anda kunjungi

Oleh Tourism Selangor

Nasi daun pisang sering menjadi pilihan makan tengahari yang menyelerakan untuk seisi keluarga.

Tahukah anda? Menu nasi daun pisang ini sebenarnya berasal dari India Selatan, di Negeri Tamil Nadu, Kerala. Hidangan nasi daun pisang ini diperkenalkan di Malaysia semasa zaman penjajahan British dahulu. Makanan ini sangat terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya pada waktu tengahari kerana ia merangkumi satu set makanan yang lengkap dan lazat.

Tourism Selangor menyenaraikan lokasi di sekitar negeri ini bagi anda mendapatkan sajian nasi daun pisang yang enak dan lazat.

1. Yap Kee Banana Leaf, Klang

Yap Kee Banana Leaf. Foto Tourism Selangor

Yak Kee Banana Leaf adalah satu restoran yang menawarkan sajian nasi daun pisang. Ia sangat terkenal dalam kalangan pelancong mahupun penduduk tempatan. Menu yang wajib anda cuba di restoran ini adalah ayam goreng berempah, ikan goreng, kari ayam, kari ikan, kari kambing dan lebih enak lagi jika anda makan bersama papadom dan sayur kubis. Selain itu, minuman yang harus anda cuba pula adalah jus ambra, yang memberikan gandingan yang mantap.

2. Kanna Curry House, Petaling Jaya

Kanna Curry House. Foto Tourism Selangor

Sekiranya anda berada di Seksyen 17, Petaling Jaya, anda wajib untuk mencuba hidangan nasi daun pisang yang sangat menyelerakan di Kanna Curry House. Restoran ini menawarkan menu ini sejak 1976 lagi. Seperti restoran lain, anda boleh menikmati nasi daun pisang dengan pelbagai lauk sampingan termasuk sotong goreng, kari ikan dan pelbagai lagi.

3. Restoran Sri Nirwana Maju, Subang Jaya

Restoran Sri Nirwana Maju. Foto Tourism Selangor

Restoran ini berkemungkinan akan menjadi kegemaran anda dan rakan-rakan. Restoran Sri Nirwana Maju yang terletak di USJ 9, Subang Jaya ini menyajikan hidangan nasi daun pisang yang unik.

Ianya turut menghidangkan pilihan lauk seperti peria goreng yang cukup rangup. Selain itu, restoran ini turut menghidangkan menu seperti mi goreng, nasi goreng dan banyak lagi.

4. Laxmi’z Kitchen, Rawang

Laxmi’z Kitchen. Foto Tourism Selangor

Terletak di Rawang, Laxmi’z Kitchen menghidangkan juadah nasi daun pisang yang lazat untuk para pelanggannya. Anda peminat ketam? Jika ya, di sini lah tempatnya untuk anda menikmati menu ketam masala yang enak. Pastikan anda singgah ke restoran ini sekiranya anda berada di Rawang.

5. Acha Curry House, Petaling Jaya

Acha Curry House. Foto Tourism Selangor

Acha Curry House merupakan sebuah restoran yang menawarkan menu nasi daun pisang yang lazat di kawasan Petaling Jaya. Restoran ini menyajikan pelbagai jenis masakan kari yang terdiri daripada kari ayam, kari ikan masin, kari ikan dan kari ketam. Bukan itu sahaja, pelbagai jenis sayur turut dihidangkan antaranya labu puree, acar timun, sayur taugeh dan banyak lagi. Jangan lepaskan peluang untuk mencuba nasi daun pisang di sini.

6. Matahariis Banana Leaf, Seri Kembangan

Matahariis Banana Leaf. Foto Tourism Selangor

Terkenal sejak 2004, Matahariis Banana Leaf yang terletak di Seri Kembangan ini sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan. Hidangan nasi daun pisang dihidangkan dengan nasi putih atau nasi kuning, lauk-pauk dan sayur-sayuran yang sangat menyelerakan. Di samping hidangan nasi daun pisang, anda juga boleh mencuba menu thosai yang juga terkenal di restoran ini.

7. Macha & Co, The Curve

Macha & Co. Foto Tourism Selangor

Restoran yang dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin ini menjadi satu tarikan kepada pelanggan. Restoran yang selesa ini turut menyajikan hidangan nasi daun pisang yang lazat. Resepi yang digunakan adalah resipi turun-temurun untuk beberapa generasi, dan bagi mereka yang ingin menjaga berat badan, Macha & Co juga menyediakan nasi beras perang yang tentunya mengandungi lebih banyak khasiat.

Pasti hidangan nasi daun pisang ini membuat anda terliur, bukan? Tunggu apa lagi? Ajak kawan-kawan atau keluarga anda untuk Pusing Selangor Dulu bagi menikmati hidangan yang cukup lazat dan mengenyangkan ini di restoran yang tersenarai di atas.

Ketahuilah nasi daun pisang ini adalah antara hidangan yang sangat terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia tidak kira umur dan bangsa.

Namun, adalah diingatkan kepada para pelanggan untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk fasa empat Pelan Pemulihan Negara yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggal kepala ibu, penganggur positif dadah ditahan

SHAH ALAM, 16 JAN: Polis menahan seorang penganggur selepas disyaki memenggal kepala ibunya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat Kuala Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata pihaknya menerima maklumat mengenai seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan anak lelakinya berusia 28 tahun pada kira-kira 5.45 petang.

Beliau berkata anggota polis yang tiba di rumah tersebut menemukan mayat seorang wanita di ruang tamu selain terdapat kesan darah di dalam rumah.

“Kejadian disedari oleh seorang anak mangsa yang pergi ke rumah berkenaan selepas gagal menghubungi mangsa. Apabila sampai di rumah, anak mangsa nampak keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut dengan kehadiran seorang daripada adik-beradiknya itu terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata suspek yang bersembunyi di dalam belukar tersebut kemudian berjaya ditahan dengan bantuan penduduk kampung.

Menurut Ramli pihaknya merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian, yang ditemukan di tandas rumah tersebut.

Beliau berkata suspek menetap di rumah itu bersama ibu dan bapanya manakala adik-beradik lain menyewa di kawasan berhampiran.

“Hasil laporan awal ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek di Hospital Tanjong Karang mendapati dia positif terhadap methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Suspek kini direman hingga 22 Jan depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor lupus al-Quran rosak akibat banjir

SHAH ALAM, 16 JAN: Seramai 50 sukarelawan Team Selangor melakukan pelupusan naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir semalam.

Agensi menerusi Facebook berkata proses tersebut dilakukan dengan tertib di Pusat Pelupusan al-Quran, Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

“Proses pelupusan al-Quran dimulakan dengan meleraikan helaian al-Quran dan dikeringkan.

“Selepas kering, helaian al-Quran akan dibakar sehingga menjadi abu dan dikumpulkan sebelum dihanyutkan ke laut,” katanya.

Menurutnya lagi, proses pelupusan diteruskan hari ini dan menjemput mana-mana individu yang berkelapangan untuk turut sama membantu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS santuni keluarga datuk remaja curi tabung masjid

SHAH ALAM, 16 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni datuk kepada remaja yang ditahan kerana cuba mencuri wang tabung masjid yang kononnya mahu membeli ubat untuknya.

Agensi menerusi Facebook berkata pihaknya menemui lelaki dari Kuang itu yang juga salah seorang asnaf sejak 2019 bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah tersebut.

“Kami menziarahi datuknya semalam (Jumaat) bagi mendapatkan pengesahan sama ada beliau memerlukan bantuan perubatan untuk penyakit kencing manisnya.

“Pak Rosli mengesahkan yang beliau tidak memerlukannya sebagaimana yang dilaporkan,” katanya, menambah lelaki itu juga memaklumkan ibu remaja terbabit kini tinggal bersamanya selepas hilang pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

LZS menjelaskan pihaknya membuat bancian semula kerana berlaku pertambahan tanggungan Pak Rosli selain bantuan makanan bulanan akan disalurkan kepada mereka sekeluarga.

“Tindakan lanjut untuk membantu remaja tersebut untuk proses pemulihan sedang diuruskan bersama agensi yang berkaitan bagi mendapatkan pandangan dan status perundangan terlebih dahulu,” katanya.

Khamis lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas remaja tersebut mengaku cuba mencuri tabung masjid pada 8 Januari.

Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial video selama satu minit 25 saat yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah serta melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa SPRM beri ruang badan bebas siasat Azam Baki

SHAH ALAM, 11 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi ruang kepada badan bebas menyiasat isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki.

Ketua pembangkang itu menegaskan siasatan badan bebas perlu berikutan kes melibatkan pimpinan tinggi suruhanjaya tersebut harus ditangani institusi berwibawa.

“Mereka (SPRM) harus berundur sementara ada siasatan bebas. Tidak mungkin ada siasatan bebas sekiranya dikendalikan jabatan yang sama. Saya tidak bercadang untuk menghukum tetapi hormati proses tetapi ini tidak berlaku.

“Apabila Suruhanjaya Sekuriti hendak siasat SPRM, mereka pula siasat dakwaan pelanggaran peraturan dan rasuah Suruhanjaya Sekuriti,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook malam ini.

Azam didakwa memiliki saham dua syarikat pada 2015 berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, beliau pengarah bahagian siasatan SPRM.

Azam dalam sidang media pada 5 Januari kemudian mendakwa akaun sahamnya digunakan adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kemudian menyatakan setiap akaun sekuriti mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.

Sebaliknya, SPRM hari ini mengesahkan menerima laporan daripada kumpulan masyarakat sivil yang mendakwa terdapat dakwaan rasuah terhadap pegawai kanan SC.

Categories
AGENDA NASIONAL

Arkib Negara bantu pusat pertanian urus fail ditenggelami banjir

SHAH ALAM, 11 JAN: Jabatan Arkib Negara menerusi Pasukan Tindakan Bencana Rekod membantu Pusat Pertanian Labu Lanjut, Sepang menguruskan fail ditenggelami banjir.

Pejabat Pertanian daerah Sepang menerusi Facebook memaklumkan banjir yang melanda Selangor tempoh hari menjejaskan segala rekod rasmi kerajaan.

“Atas keprihatinan dan bantuan, Jabatan Arkib Negara memberi penerangan serta cara mengendalikan rekod fail kepada kakitangan Pejabat Pertanian Daerah Sepang.

“Semoga kerjasama antara kedua-dua agensi ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Taburan hujan luar biasa di antara 100 ke 400 milimeter secara berterusan mengakibatkan kejadian banjir di 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam yang mana seramai 4,276 mangsa banjir berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 16 kluster Covid-19 libatkan jemaah umrah

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Sebanyak 16 kluster Covid-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi dikesan bagi tempoh 25 Nov lepas hingga hari ini dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Beliau berkata punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

“Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi.

“Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

Sementara itu, beliau berkata kumulatif kes sembuh Covid-19 di negara ini kini berjumlah 2,720,399 kes selepas 2,977 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, manakala kes baharu pula sebanyak 3,175, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 kini 2,792,035.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dilaporkan sejak 3 Jan lepas sehingga semalam dengan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 2,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Seramai 2,327 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka, Pahang dan Johor setakat petang ini.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 112 orang daripada 33 keluarga pada 4 petang berbanding 124 orang daripada 36 keluarga pada 8 pagi dan kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

Di Pahang, jumlah mangsa sedikit menurun pada sebelah petang kepada 61 orang berbanding 66 pagi tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Mereka terdiri daripada 12 keluarga yang masih berada di Sekolah Kebangsaan Temai di Pekan, PPS terakhir di Pahang.

Di Johor, jumlah mangsa juga merosot kepada 2,154 orang setakat 4 petang berbanding 2,298 individu pada sebelah pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 35 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 772 orang diikuti Segamat (746), Tangkak (555) dan Batu Pahat (81).

“Sebuah PPS iaitu Kompleks Sukan Pagoh di Muar telah ditutup namun PPS kawasan lapang Kampung Chodan di Segamat telah dibuka semula atas faktor keselamatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah.

Laman Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat pula memaklumkan Jalan Pogoh-Bukit Kepong di Kampung Limau Manis, Segamat dibuka semula susulan banjir yang surut sepenuhnya.

“Bagaimanapun, Seksyen 14.7 hingga 16.4 di Felcra Pogoh Jalan Segamat-Bukit Kepong masih ditutup untuk semua jenis kenderaan susulan banjir sedalam 0.5 meter,” menurut JKR.

-BERNAMA