Categories
EKONOMI SELANGOR

Sejarah dan keindahan Kuala Kubu Bharu jadi tarikan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 25 JAN :Keunikan Kuala Kubu Bharu sebagai bandar bersejarah dan memiliki keindahan semula jadi menjadikan ia sebagai kawasan tumpuan pelancong domestik dan luar di Selangor.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata pembangunan bandar terbabit dengan pengekalan keadaan asal memberikan kelebihan dan kelainan menjadikan ia sebagai pilihan kepada pengunjung berbanding bandar atau tempat lain di negara ini.

Sungai Chiling“Kuala Kubu Bharu menjadi tumpuan kerana mempunyai banyak tempat menarik seperti Bukit Fraser, Bukit Kutu, Air Terjun Sungai Chiling dan Air Terjun Lata Medang.

“Air terjun Sungai Chiling sendiri diakui sebagai kawasan perkelahan air terjun tercantik di Selangor,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu ia juga kekal dipenuhi bangunan lama dan bersejarah hasil peninggalan zaman British seperti pejabat pos, balai polis, menara jam dan sebagainya.

“Kuala Kubu Bharu juga adalah bandar pertama dirancang pihak perancang bandar di Malaysia pada 1930.

“Orang ramai juga boleh melawat Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sejarah bandar ini,” katanya.

galerikkb 4Bagi menarik perhatian umum, Kee Hiong menggerakkan pelbagai program seperti kebudayaan dan kesenian yang dijalankan dua bulan sekali dengan terbaharu, Program Seni dan Masyarakat 2 bersama Prof Dr Sti Zainon Ismail pada 25 dan 26 Disember tahun lalu.

Berdasarkan sejarah, pembinaan bandar itu dirancang arkitek New Zealand, Charles Compton Reade dengan menjadikan ia sebagai bandar dalam taman dengan idea reka bentuk menarik.

Ia berikutan tragedi banjir besar yang menenggelamkan bandar asal, Kuala Kubu.

EZY

Categories
EKONOMI SELANGOR

Galeri Seni 3D dan Muzium Nelayan tarikan baru Sekinchan

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JAN: Kehadiran pelancong dijangka meningkat di Sekinchan tahun ini dengan kewujudan produk pelancongan baharu di kawasan DUN berkenaan.

Terbaharu, Muzium Nelayan dan Galeri Seni 3D dibangunkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sekinchan dan Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan (PKPS) bagi menambah pilihan pelancong domestik dan luar mengunjungi kawasan eko pelancongan itu sambil menikmati keindahan alam semula jadinya.

Sekinchan 3DAdun Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata kewujudan kedua-dua produk baharu itu memberikan keunikan tambahan kepada Sekinchan yang semakin terkenal dan popular sebagai satu destinasi eko pelancongan unik di Selangor.

“Produk pelancongan yang baru ini sudah pasti melonjakkan Sekinchan di mata pelancong terutama bagi mereka yang berminat menerokai sendiri tentang keindahan dan keunikan Sekinchan,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau berkata, industri pelancongan di Selangor khususnya kawasan terbabit diyakini semakin berkembang dengan pertambahan jumlah pelancong hadir.

“Saya juga yakin kehadiran pelancong domestik dan luar terutama dari Singapura dan Taiwan akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Perkembangan menarik itu pastinya memberi impak positif kepada penduduk tempatan yang mengusahakan pelbagai aktiviti berkaitan ekonomi.

EZY

Categories
EKONOMI

HIJRAH: Konsep tabungan dalam pinjaman, sambil pinjam sambil menyimpan

Oleh: NORHAYATI UMOR

Program HIJRAH diperkenal Kerajaan Selangor bagi melonjak golongan miskin berhijrah memasuki kumpulan berpendapatan menengah melalui dana RM100 juta. Ikuti temu bual wartawan NORHAYATI UMOR bersama Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dr Monsor Othman.

Apakah falsafah dan misi penubuhan Hijrah?

Untuk membesarkan lagi golongan kelas menengah di Selangor. Sebab, kita tahu Selangor sebuah negeri kaya, paras kemiskinan angkanya kecil. Miskin tegar sifar, paras kemiskinannya empat peratus. Tidak tinggi berbanding dengan negeri lain. Jadi kita mahu hijrahkan mereka ke kelas menengah. Kerangka yang besar adalah untuk menbesarkan/ melebarkan kelas menengah di Selangor. Itu misinya.

Apa sasaran Hijrah tahun ini dan tiga tahun akan datang? Berapakah jumlah dana disediakan untuk program itu?

Pada dasarnya, masa mula-mula program dirangka untuk melebarkan golongan kelas menengah, mediumnya ialah memberi modal tambahan kepada peniaga kecil. Maknanya, skim ini ialah modal tambahan yang mudah, cepat dan tidak membebankan.

program-hijrahIsi borang, dalam 10 hari, peniaga boleh dapat pinjaman. Ia tidak membebankan seperti pinjam Ah Long, skim kita, skim tiga dalam satu itu. Dari segi sasaran, satu Dewan Undangan Negeri (DUN) 1,000 orang. Jadi maknanya RM56,000.

Pada permulaan Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM100 juta.
Jika mengikut sasaran, purata mungkin akan dapat pinjaman dalam RM40,000 hingga RM50,000 seorang.

Tahun ini, kita mula lancarkan pada tiga peringkat. Pertama 1,200 orang, peringkat kedua 2,350 orang dan peringkat ketiga lebih 3,000 penerima. Ini dalam masa dua-tiga bulan sahaja. Jadi, kalau hendak memenuhi sasaran, sebulan Hijrah kena memberi sekurang-kurangnya 2,000 penerima. Secara purata, dalam dua tahun.

Boleh jelaskan bentuk pinjaman yang disediakan, syaratnya, berapa lama kelulusan serta bagaimana tempoh bayaran balik?

Skim Tiga dalam Satu membabitkan mudah, cepat dan tidak membebankan. Mudah kerana tiada penjamin – hanya isi borang satu muka surat. Kemudian, panggil taklimat melalui wakil kita – pemimpin masyarakat setempat dan kumpulkan mereka serta beri taklimat mengenai konsep, skim pinjaman yang ditawarkan serta konsep dan keadahnya.

Sesiapa yang berminat, isi borang kemudian dalam 10 hari pinjaman lulus. Kita tawarkan skim pinjaman bermula RM3,000 hingga RM50,000.

Skim pinjaman dibayar mingguan. Ini berbeza dengan skim sebelum ini. Kali ini, kita kutip bayaran mingguan sendiri di premis perniagaan mereka.

MansorContohnya, peminjam akan memaklumkan tarikh dan waktu bila pembayaran dilakukan dan pegawai Hijrah datang kutip bayaran.

Cara kutipan ini menggalakkan interaksi lebih mesra dengan usahawan supaya kita boleh bentuk mereka menjadi usahawan berjaya. Contoh, kalau kita membuat bayaran di bank, kita akan ada masalah.

Seperti Tekun di USM, orang yang hendak bayar Tekun dulu, pergi ke bank, cari parking tak dapat dan balik. Datang semula esok, sampai bank pegawai tak ada pergi minum dan sebagainya. Dan seterusnya sehingga pinjaman tidak berbayar. Jadi lebih baik kita minta pegawai kita kutip.

Keduanya, pegawai datang kutip sambil ‘coaching’ (beri tunjuk ajar), bagaimana perniagaan, berniaga macam mana dan sebagainya. Ini yang kita panggil khidmat nasihat.

Kita juga beri taklimat dan kursus. Kaedah mengajar asas perakaunan, kaedah pemasaran, motivasi dan networking (rangkaian).

Apakah pinjaman Hijrah ini menepati syariah tanpa riba?

Kita sedaya upaya untuk tidak ada riba. Cuma kenakan kos perkhidmatan. Ia untuk beri khidmat nasihat secara profesional termasuk bengkel pembelajaran.

Ia membabitkan bimbingan anak-anak mereka untuk menjadi cemerlang seperti tips menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Maknanya, peminjam kita beri, anak mereka pun dapat faedah.

Berapa kos perkhidmatan yang dikenakan?

Kos perkhidmatan ialah lapan peratus dari jumlah pinjaman.
Kelebihan skim itu, walaupun kos perkhidmatan ditawarkan tetapi dalam skim ini terdapat simpanan.

Dalam bayaran setiap minggu, ia termasuk simpanan peminjam. Contohnya, bila selesai bayaran pinjaman, peniaga dapat wang simpanan mereka.

Contohnya, skim Hijrah 1, ambil pinjaman RM3,000, bayar mingguan RM42.30. Dalam nilai itu akan ada simpanan RM7.50. Jumlah bayaran 100 minggu, mereka dapat RM750 simpanan.

Kalau ambil RM50,000, peminjam dapat simpanan RM12,000. Kita tawarkan tempoh bayaran balik dari 50 minggu hingga 150 minggu.

Ini kelebihan dan keunikan Hijrah. Sambil pinjam sambil menyimpan. Inilah konsep tabungan dalam pinjaman.

Skim pinjaman dan tempoh bayaran balik terpulang pada pilihan peminjam, bukan kita yang tentukan.

Syaratnya berumur 18 tahun ke atas. Ada premis perniagaan, ada lesen perniagaan. Kalau berniaga guna lori bergerak, rumah mereka itu premis perniagaan.

Bagaimana dengan pemohon yang ada rekod tidak memuaskan dengan bank atau sebagainya?

program-hijrahKita tidak terima. Kerana jika pemohon ada rekod tidak memuaskan, ia menunjukkan disiplin mereka tidak bagus. Kita tidak mahu mengambil risiko. Kita mahu memberi peluang pada peniaga yang betul-betul memerlukan modal tambahan.

Kita tidak ambil apa-apa cagaran untuk dakwa mereka ke mahkamah. Kita lihat kepada ketulusan, kepercayaan, keupayaan. Kita kumpulkan peminjam, beri kursus. Kita tak lepas tangan. kita tidak mahu jadi seperti Mimbar. Kita tanam pokok, kita tidak letak baja, tidak siram air, macam mana pokok hendak tumbuh?

Dalam kerangka besar, kita mahu hijrahkan mereka ke status yang lebih baik. Kalau meniaga di gerai, lepas dua hingga tiga tahun, mereka ada restauran.

Apakah perancangan lebih terperinci?

Saya mahu kumpulkan peniaga dan membuka premis yang dinamai ‘Bazar Hijrah’. Kita bina bazar yang besar. Kita juga mahu wujudkan koperasi. Satu parlimen satu koperasi.

Selepas setahun, saya mahu membuat beberapa penambahbaikan. Mungkin kita boleh sediakan pinjaman kepada perniagaan atas talian.

Saya ingin buat koperasi, bazar dan khidmat bimbingan untuk anak-anak Hijrah. Juga adakan karnival besar-besaran setiap tahun.

Dalam dua tahun ini, saya mungkin akan mewujudkan koperasi dan mewujudkan karnival setahun sekali. Pemantapan mungkin mengambil masa lima tahun.

Bagaimana dengan respon sejak Hijrah dilaksanakan?

Sangat bagus. Sehingga ada individu jual borang Hijrah. Sebenarnya, program Hijrah tiada orang tengah. Kita bagi taklimat, konsep dan matlamat tanpa caj.

Ada individu ambil kesempatan dan janji masuk program dia lulus. Ada yang sampai RM300. Kita tegaskan, tidak pernah melantik mana-mana ejen. Borang mesti asli dan percuma. Boleh dapatkan di tiap-tiap cawangan.

Kita tidak kenakan bayaran untuk borang dan kelulusan dengan bayaran tertentu. Kita juga tidak pernah melantik sesiapa sampaikan taklimat hijrah. Ia hanya pegawai kita yang mempunyai identiti sah.

Apakah tindakan yang akan diambil jika mengesan ejen itu?

Kita akan buat laporan polis. Setakat ini, mereka dilapor aktif di Hulu Selangor, Serdang dan Shah Alam. Harapan supaya rakyat selangor tidak tertipu.

Ini menunjukakn sambutan itu bagus. Jika ada pertanyaan boleh hubungi 03-55212458. Bagi laporan, kita akan serahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Harapan kepada peniaga di negeri ini?

Kepada peniaga kecil, kita mahu bantu dengan salurkan modal untuk tingkatkan perniagaan. Jadi rebutlah peluang ini.

Kepada peminjam, kita harapkan mereka bayar semula mengikut jadual supaya peminjam lain dapat rasai manfaatnya.

Categories
EKONOMI

Panorama indah di Morib & kisah sejarah di antaranya

Oleh NAEEM RAFFI
Tidak sekadar keindahan pantai, bahkan memiliki pelbagai kesan sejarah yang sebahagiannya semakin dilupakan ramai.

Menyebut nama Morib, yang tergambar ialah suasana pantai  cantik, panorama indah tatkala matahari terbenam.

Namun, ramai tidak tahu, Morib suatu ketika dahulu pernah menjadi pintu masuk terawal bagi angkatan tentera British dan India pada Perang Dunia Kedua.

Tanggal 9 September 1945 menyaksikan tentera India dari Batalion ke-46 tentera marin British mendarat bagi mempertahan persisiran pantai dari kemaraan Jepun sekaligus menandakan pengakhiran Perang Dunia Kedua di rantau ini.

Genap 69 tahun kemudian, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri TS Tirumurti diiringi Kolonel Praveen Chhabra, Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi India melawat Tugu Peringatan Tentera.

Tugu itu sebagai peringatan pendaratan Bahagian Infantri Tentera India ke-23 dan ke-25 di pantai Morib. Kumpulan ‘46 Indian Beach’ memudahkan pendaratan 42,651 kakitangan, 3,968 kenderaan dan 11,224 tan barang.

Selain catatan itu, sekurang-kurangnya 13 tempat bersejarah ada di Morib, antaranya Balai Polis dan Penjara Jugra, Pejabat Daerah Lama Jugra dan Istana Jugra.

Basikal-klasik-MDKL-01

Jugra terletak kira-kira 12 kilometer dari pantai Morib adalah lokasi pemerintahan Kesultanan Selangor sebelum berpindah ke Bandar Klang, dan kini di Shah Alam.

Mengadap Selat Melaka, dengan jarak 15 kilometer dari Banting dan lebih sejam dari Kuala Lumpur, Morib menjanjikan pengalaman percutian mempesonakan.

Walaupun air tidak sejernih mahupun pasir pantainya tidak segebu di sebelah timur Semenanjung, namun badai ombak sederhana cukup membuatkan pengunjung menikmati ketenangan.

Ketika surut pula, pengunjung boleh berjalan di hamparan pasir landai sejauh 400 meter ke gigi air. Yang berminat menambah koleksi cangkerang laut pula, inilah masanya. Bagi kaki pancing pula, pastikan joran dibawa sekali. Mungkin gian memburu hasil laut boleh dilunaskan.

Pengunjung juga boleh merakam gambar kenangan di replika kumpulan burung Camar Putih di tengah-tengah Dataran Morib.

Sudut ‘The Gastrapods’ juga boleh dilawati. Pelbagai kerangan lengkap butiran maklumat beserta replika menambah pengetahuan pengunjung.

PANTAI-MORIB

Festival budaya juga sering dianjurkan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor. Boleh dikatakan, Morib menjadi lokasi penganjuran program budaya, dari peringkat kampung hingga antarabangsa.

Pantai itu juga dijadikan ‘port’ perhimpunan motorsikal retro, basikal dan kereta vintage – program anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi merangsang kehadiran pengunjung.

Buktinya tercatat alam Malaysia Book Of Recods – Perhimpunan Motorsikal Retro Terbesar 2014.

Program sukan tidak ketinggalan. Penganjuran Morib International Thriathlon, Morib Fun Run, kejohanan perahu layar, bola sepak pantai dan seni senam sihat mendapat sambutan hebat.

Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) juga menaik taraf beberapa pusat pelancongannya bagi merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Selangor 2015.

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata sejumlah RM7 juta dibelanja untuk menaik taraf prasarana dan lanskap pantai itu.

“Ia meliputi kemudahan pejalan kaki, papan info pelancongan, gerai jualan serta makanan, tandas awam, pentas utama, padang bola sepak pantai dan pencahayaan lampu.

“Parkir kenderaan juga diubah jadi lebih menarik sekaligus pantai Morib sesuai untuk perkelahan keluarga,” katanya yang yakin sasaran 500,000 pengunjung tahun ini bakal tercapai.

perahu-layar-(gambar-hiasan)

Kepedulian MDKL terhadap pantai Morib tidak dinafi, apatah lagi dianugerahi Tandas Terbersih peringkat kebangsaan 2013 sempena Hari Tandas.

Pantai itu sekali lagi menempa nama apabila muncul johan Pertandingan Pantai Angkat Negeri Selangor 2014.

Selain itu, makanan laut juga tidak kurang hebatnya. Pelbagai makanan laut yang lazat dengan harga berpatutan sedia terhidang, antaranya kerang rebus, sotong bakar dan jus buah gelas besar.

Struktur berbumbung medan selera seakan-akan ‘amfiteater Rom mini’ menjanjikan pengalaman menarik ketika menjamu selera sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.

Kehadiran ‘buskers’ dengan petikan gitar kapok tambah menceriakan suasana dengan alunan lagu hits mahupun klasik.

Pengunjung juga boleh ke bazar bermusim dan deretan gerai yang menawarkan pelbagai cenderahati dan makanan tradisi sebagai ole-ole apabila pulang kelak.

Categories
EKONOMI

Layang-layang kapal pencorak langit biru

Oleh AFIX REDZUAN

Layang-layang kapal antara seni permainan rakyat yang kian dilupakan ramai sekalipun ia begitu popular kira-kira 30 tahun lalu.

Namun, ia kembali mencorak langit biru hasil kesedaran sebahagian generasi muda yang tidak mudah hanyut dek arus kemodenan.

Melalui Persatuan Layang-layang Kapal Kampung Bukit Kuching, Jeram di Kuala Selangor, ia menggamit nostalgia selepas kali terakhir ia dilayangkan pada 1986.

Langit yang selama ini sepi, kembali meriah dengan karya kreatif anak jati Selangor yang memekari suasana dengan layang-layang kapal.

Istilah ‘kapal’ digunakan berikutan ekor layang-layang itu menyerupai bentuk sebuah kapal sebagai mercu tanda ke-unikan seni Selangor.

Meskipun Malaysia sinonim dengan wau bulan yang terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang, namun keunikan ‘kapal’ pada layang-layang anak Selangor juga tidak kurang hebatnya.

Mula dimainkan sejak 1940-an, permainan tradisional itu subur di hati generasi keempat Kampung Bukit Kuching. Mereka sering berkumpul setiap petang umpama pesta keramaian.

Tidak kira muda mahupun ‘otai’, keharmonian dikongsi bersama penduduk setempat sebagai aktiviti riadah di hadap
an Sekolah Menengah Bukit Kuching.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Layang-Layang Cagat Kampung Bukit Kuching Tengah, Mohd Nazri Abdul Samad, berkata dua bahan utama untuk menghasilkan layang-layang itu ialah buluh dan kertas.

Ada beberapa jenis buluh utama yang boleh digunakan antaranya buluh duri, buluh mata rusa, buluh minyak dan buluh tembaga.

Sebatang buluh berukuran enam kaki diperlukan untuk menghasilkan sebuah layang-layang pada harga RM15.

Bagaimanapun, tidak semua buluh tumbuh di hutan, lebih-lebih lagi dengan kepesatan pembangunan yang kian menghakis hutan.

“Buluh terbaik ialah buluh duri tetapi ia sukar untuk didapati sekarang. Na
mun, yang penting ia
lah keanjalan buluh.

“Kalau cuma guna buluh biasa, layang-layang hanya boleh dimainkan dalam saringan pertama dan kedua sahaja.

“Kalau menggunakan buluh yang baik, layang-layang boleh disimpan sehingga lapan tahun dan mampu bersaing dalam tempoh lama.

“Paling penting, kalau jatuh layang-layang tidak patah,” katanya kepada Selangor Kini.

Keunikan bentuk pula bergantung kepada kehalusan seni meraut buluh, selain kreativiti corak badan dengan aneka warna supaya nampak ‘hidup’ ketika di udara.

Ia memiliki corak dan reka bentuk tersendiri antaranya lukisan kasut, logo pasukan bola sepak dan jenama terkenal bidang sukan mahupun kecantikan.

Ada dua kategori pertan-
dingan iaitu tegak bermeter dan ponjot. Tegak bermeter biasanya dimainkan untuk layang-layang individu manakala ponjot untuk layang-layang yang banyak.

Mengikut undang-undang antarabangsa, badan layang-layang kapal biasa-nya diperbuat dengan kelebaran hampir enam kaki dengan berat kurang 100gram manakala ketinggiannya sekitar 17 inci – bergantung kepada kreativiti pembuatnya.

Layang-layang kapal biasanya dimainkan pada ketinggian lebih kurang 150 meter.

Bagi Mohd Nazri, kajian pendidikan layang-layang perlu diwujud di peringkat sekolah sehingga institut pengajian tinggi supaya warisan sedia ada tidak luput ditelan zaman.

“Di beberapa negeri seperti Kelantan dan Johor, kajian mengenai wau sudah dibuat. Kami cadangkan supaya inisia-tif itu diwujudkan,” katanya.

Beliau yakin permainan itu boleh dijadikan batu loncatan bagi menarik pelancong ke Selangor jika pelbagai pertan-
dingan seumpamanya diwujudkan di peringkat negeri.

Selain itu, nilai sesebuah layang-layang kapal mampu mencecah ratusan ringgit jika banyak memenangi pertandingan melalui cop penghargaan yang ditampal pada badan layang-layang.

“Kita akan terus kaji buluh, kertas, bentuk dan undang-undang permainan. Yang penting layang-layang dapat mengharmonikan masyarakat.

“Kalau kami jumpa buluh yang betul, ia akan dibawa pulang dan ditanam semula,” katanya yang berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
kerana memberi galakan kepada anak muda tempatan bermain layang-layang kapal.

Categories
EKONOMI

Naiki ‘Royal Royce’ rentasi panorama sawah

Oleh NAEEM RAFFI

Berbeza dengan Melaka dan Pulau Pinang yang mengetengah beca sebagai ikon pelancongan, Sekinchan mempersembah kereta antik berkuasa elektrik khusus kepada pelancong.

Lebih mengujakan, kereta antik itu berupa kereta mewah ‘Royal Royce’ yang sino-nim dengan kenderaan rasmi DiRaja dan bangsawan.

Ia digunakan untuk turun ke meninjau keindahan pa-norama sawah yang luas terbentang di daerah itu.

Royal Royce 1Lima buah semuannya. Setiap satu mampu memuatkan 11 penumpang dalam satu masa. Kenderaan berteknologi hijau itu turut dilengkapi kemudahan radio MP3, LCD di panel hadapan, malah kamera undur.

Pendingin hawa? Tidak ada. Sebaliknya, ‘Royal Royce’ itu berkonsep terbuka tanpa panel tingkap. Tujuannya supaya setiap penumpang menghirup hembusan segar angin desa.

Pendekatan unik dan tampak mewah itu antara inisiatif dan pelaburan Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan.
Bermodal RM300,000, kereta antik beraneka warna buatan China itu dibawa masuk.

Kenderaan rasmi pelancong itu memberi nilai tambah dalam produk pelancongan di Sekinchan. Malah, menjadikan aktiviti pertanian dijalankan serentak dengan acara pelancongan.

“Berdasarkan anggaran, setiap minggu lebih 50 bas pelancong datang ke Se-kinchan. Sawah antara destinasi mereka. Jadi, kita putuskan untuk guna kereta antik itu untuk kurangkan kesesakan.

kereta skinchan 1“Ia juga berteknologi hijau, sesuai dengan kawasan pertanian. Kita tidak mahu pencemaran dari asap ken-deraan,” kata Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Ternyata nilai tambah itu memberi aura magnet yang sangat kuat.

Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor tampil untuk merasai produk itu, sekaligus merasmikannya pada acara perasmian Tahun Melawat Selangor 2015 peringkat DUN Sekinchan, 9 Mac lalu.

Exco Pelancongan, Elizabeth Wong dan Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din juga tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menaiki ‘Royal Royce’.

“Saya teruja menaikinya, ruang penumpang yang terbuka tanpa unik tapi tampak mewah,” kata Elizabeth.

antik sekinchanTiket pula hanya RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Pelancong akan dibawa merentasi  sawah padi yang luas terbentang, selain mengunjungi Rumah Nenek – sebuah kilang pembuatan kuih tradisional masyarakat cina.

Selain menyaksikan secara dekat cara pembuatan kuih kapit dan aneka jenis tat, pelancong juga boleh membasahkan tekak dengan minuman sejuk Sarang Burung.

Kemudian, pelancong akan dibawa mengunjungi Galeri Padi, Perkampungan Nelayan dan beberapa lagi kawasan menarik.

Antara yang terkenal di Sekinchan ialah jeti pendaratan hasil laut, muzium padi, mangga Sekinchan, homestay dan kepelbagaian produk industri kecil sederhana (IKS) dan makanan kampung.

Categories
EKONOMI

CATATAN PERJALANAN (iii): Sempadan tanpa sempadan…

Siri 3: Siri ekspedisi kayuhan UK-Malaysia seperti diceritakan Badrul Hisham Baharuddin kepada wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM

Pada hari ke-18, kami melihat peta perjalanan. Tak syak lagi, kira-kira 300 meter akan memasuki Jerman. Kayuh punya kayuh tak nampak-nampak sempadannya.  Cuma ada sebuah jambatan merentasi sungai.

Rupa-rupanya, itulah sempadan Perancis-Jerman. Barulah kami tahu sempadan 26 negara yang menandatangani Perjanjian Kesatuan Eropah (EU) sudah dihapus.

Rakyat Perancis, Jerman, Austria, Slovenia, Netherland, Sepanyol, Italy dan banyak lagi bebas keluar masuk tanpa pasport.

DCIM108GOPROKami berselfie di ‘sempadan tanpa sempadan’ itu.

Di Jerman, banyak bangunan pencakar langit dan kereta mewah. Begitu juga orangnya. Kalau di Perancis, mereka peramah tetapi orang Jerman pemalu.

Namun, Jerman jauh lebih canggih berbanding Perancis. Internetnya laju tetapi harga bara-ngannya lebih mahal 20 peratus.

Sebelum tiba ke Stuggart, kami melalui Leipzig yang dikenali sebagai bandar Porche. Di situ, hanya ada empat jenama kereta sahaja  – BMW, Porche, Mercedes dan Wolksvagen.

Semuanya  model terkini yang mahal. Hairan, mereka mampu memiliki kereta semewah itu.

Pakai Porche

Kemudian ternampak papan tanda besar tertulis Porche – ibu pajabat dan kilang itu terletak.

Sambil berkayuh, saya tertinjau-tinjau. Parkir kereta pekerja kilang – hampir semuanya Porche kecuali dua, tiga Mercedes, Wolksvagen dan BMW yang ‘tersesat’.

Selepas 50 kilometer berkayuh,  kami tiba di bandar Mercedes Benz iaitu Stuggart. Boleh dikatakan seluruh ekonomi bandar itu bergantung kepada Mercedes.

DCIM108GOPROPersinggahan itu tidak lengkap kalau tidak mengunjungi Stadium Stuggart. Malangnya kami sampai pada sebelah malam.

Kami bermalam di sebuah bangunan letak kereta  bersebelahan Ibu Pejabat Mercedes Benz.

Awalnya tenang tetapi bertukar riuh-rendah pada lewat malam. Kami diganggu bunyi bising ‘drag’ lumba kereta haram di tingkat atas. Sesekali terdengar mereka melakukan ‘drift’.

Sistem audio pula menyebabkan kami sukar melelapkan mata. Semakin lama, semakin cemas. Bermacam-macam terbayang.

Bimbang kalau-kalau mereka terjumpa kami dan bertindak di luar dugaan. Risau jika polis serbu dan tak pasal-pasal dicekup .

Mujur, mereka bersurai tanpa sedari kehadiran kami. Pagi itu, awal-awal lagi kami berkayuh ke Stadium Stuggart.

Terserempak UFO

Orang Jerman suka bereksperimen. Mereka sangat inovatif. Kami ada terserempak sebuah kenderaan prototaip seperti dalam filem sains fiksyen.

Kenderaan seakan-akan UFO itu tidak mengeluarkan bunyi enjin. Kami hanya menyedari kehadiran ‘UFO’ di belakang apabila ia berdesup memotong kami.

3857114492Agaknya, mereka gemar menunjuk-nunjuk rekaan terbaru. Tidak pasti ia menyalahi peraturan atau tidak, tetapi  polis membiarkan sahaja.

Selepas bermalam di Stuggart, kami ke Munich. Melalui kawasan kampung dan ladang. Kami dapati peladang juga menggunakan kereta semahal BMW, Mercedes dan Porche.

Tertanya-tanya juga, adakah mereka kaya? Sebenarnya, ke-rajaan memberi subsidi besar kepada rakyatnya untuk pembelian kereta tempatan.

Sekaligus harganya jauh lebih murah berbanding kereta import. Ini antara faktor Jerman berjaya menyelamatkan industri automotif mereka ketika kebanyakan kilang kereta seluruh dunia bermasalah.

Tentang makanan, kami makan pasta dan tuna kerana makanannya mahal. Sekeping pizza sayuran bersaiz sembilan inci pun berharga RM30.

Paling ‘mewah’ makan te-ngah hari. Ada sejenis makanan bercampur ikan ataupun sebuku roti bersalut madu, itu sahaja termampu.

Masuk hari ke-20, kami  berkayuh ke Austria. Terbayang cabaran perit menanti lantaran  bentuk muka buminya.  Kami berkayuh dengan banjaran pergunungan Alps kian sayup-sayup kelihatan.

Siri 4: Tanggapan Islam Malaysia di sebalik keindahan Alps

Categories
EKONOMI

CATATAN PERJALANAN (ii): Hari-hari ‘telan’ pasta dan tuna

Siri 2: Siri ekspedisi kayuhan UK-Malaysia seperti diceritakan Badrul Hisham Baharuddin kepada wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM

Hari pertama kayuhan dari London ke Paris agak meletihkan. Terpaksa bawa barangan seberat lebih 40 kilogram. Saya dan rakan dari Kelab Sick Siders Malaysia, Hafidz Abdul Hamid hanya mampu berbasikal sejauh 60 kilometer.

Selain beg berat, terpaksa membiasakan diri tidur dalam khemah – sesuatu yang asing bagi saya. Terpaksa mendirikan khemah dan memasak.

Perkhemahan kali pertama agak unik. Terjumpa ladang anggur yang cantik dengan bayaran lima pound. Bayangkan, kami berkhemah dikelilingi anggur, juga lembu dan kambing. Pemandangan mengkagumkan.

DCIM108GOPROMenu kami setiap hari hanya pasta yang dimasak dengan tuna. Itulah yang kami ‘hadap’ siang malam sepanjang perjalanan merentasi pendalaman di Eropah.

Jika di bandar, mudah temui makanan halal seperti kebab, kentang goreng, daging tetapi di pendalaman, agak sukar. Kami kena masak sendiri.

Kalau di bandar kecil, saya ke Carefour untuk membeli makanan segera dalam cawan yang dipanggil kus-kus seperti nasi kecil berlauk sayuran.

Makanan antara cabaran besar kerana kami memerlukan 4,000 kalori berbanding orang biasa, 2,000. Pasta dan tuna murah dan mudah didapati serta membekal tenaga.

Pada hari kedua, kami memasuki Perancis sejauh 40 kilometer yang dipisahkan Selat Inggeris. Bermakna kami perlu berbasikal dari untuk mengambil feri merentasi selat itu.

10442382_1053812251312601_48313844007028978_nKami tiba pada malam kedua. Agak kekok kerana negara itu amalkan sistem pemanduan kiri. Beberapa kali tersalah lorong. Mujur tiada sebarang kejadian buruk.

Kemudian, terjumpa taman lalu berkhemah dan tidur. Pada paginya, sebelum matahari naik, kami segera beredar bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa.

Sebenarnya, penduduk Perancis sangat ‘friendly’. Bila berjumpa pelancong terutama yang berbasikal, mereka menyapa: “Bonjour” yang bermakna hai. Ada mengajak minum kopi dan berbual-bual.

Mereka bertanya hala arah dan terkejut apabila kami menjawab: ‘Malaysia’. Mereka makin terperanjat mengetahui perjalanan kami memakan masa enam bulan.

Tapi, hampir semua penduduk pedalamannya tidak mengetahui kewujudan Malaysia. Cuma tahu Singapura dan Thailand. Jadi, saya beritahu Malaysia terletak antara kedua-dua negara itu.
Kami tiba di Paris pada hari kelapan dan disambut pihak kedutaan di Paris yang memberi layanan baik. Makanan, tempat tinggal dan sokongan moral.

DCIM115GOPROPaling mengujakan, kami ditempatkan di bilik hotel lima bintang betul-betul berhadapan Eiffel Tower. Tentunya kami tidak mensia-sia peluang ke Ei-fel Tower.

Cabaran ketika itu cuaca berubah mendadak, dari panas sepanjang hari kepada hujan sepanjang hari. Iklim tiba-tiba berubah dengan hujan lebat.

Kami turut menghadapi keadaan sama ketika berkayuh ke Stuggart, Jerman. Hujan sepanjang perjalanan. Sejuk. Tangan juga kebas.

Hujan menyukarkan kami untuk mendirikan khemah. Strategi kami, cepat-cepat buka khemah dan barulah buka zip pintu khemah itu untuk masuk ke dalam.

Satu lagi ialah gangguan sejenis siput berlendir yang tiada cengkerang. Terlalu banyak hingga menimbulkan rasa tidak selesa. Ia menjalar di khemah, bahkan basikal dan peralatan kami.

Selain itu, Musée du Louvre iaitu tempat menyimpan artifak berharga dari serata dunia semasa Napoleon menjajah dunia, juga tidak kurang menariknya. Semua artifak dari Mesir, Jerman, England, Afrika ada di situ.

Paling tak dilupakan, roti croisant yang enak sekali. Walaupun mahal – RM4 satu tetapi berbaloi. Mereka betul-betul menguasai resepi pembuatan roti itu berbanding  England dan Jerman.

Dalam perjalanan, kami juga bertemu penganut Islam Nigeria di satu pangsapuri yang dijadikan masjid di Perancis. Rata-ratanya orang Afrika. Mereka memberi kami makanan dan tempat tidur.

Selepas 15 hari, kami pun berkayuh ke Jerman.

Siri 3: Berdiri di sempadan tanpa sempadan

Categories
EKONOMI

CATATAN PERJALANAN: Bermulanya sebuah kayuhan

Ekspedisi berbasikal UK-Malaysia seperti  diceritakan  Badrul Hisham Baharuddin

Siri 1

Ketika mula mengaturkan persiapan, barulah saya sedar impian ini lebih sukar daripada gambaran awal. Ia memerlukan persiapan rapi bukan sekadar duit, basikal dan peralatan perkhemahan tetapi persiapan fizikal dan mental yang kuat.

Lagipun, aktiviti lasak agak asing buat ulat buku seperti saya. Saya lebih gemar menghabiskan masa menelaah buku di perpustakaan berbanding menyertai aktiviti lasak yang memerlukan ketangkasan dan kecergasan fizikal.

Malah, berbasikal pun bukan aktiviti utama; sekadar suka-suka mengisi waktu lapang di petang hari. Tidak pernah tahu bagaimana menukar tayar basikal, tidak terfikir untuk mengenali alat ganti, jauh sekali jenama basikal terkemuka.

Semua berubah selepas saya kemalangan ketika berbasikal menuju ke arena IceSheffield pada musim sejuk lalu.

Kecederaan menyebabkan saya terpaksa berehat panjang di rumah dan menghabiskan masa depan televisyen. Ketika itulah, dokumentasi pengalaman seorang penunggang basikal menjelajah dunia mencuri tumpuan.10442382_1053812251312601_48313844007028978_n

Saya mula terdetik, kalau dia boleh, mengapa saya tidak?

Namun – belumpun memulakan kayuhan ekspedisi, saya menghadapi banyak cabaran. Mungkin disebabkan jarang menyertai aktiviti lasak. Akibatnya, saya mengalami kecederaan tendon. Sampai demam gara-gara cuba membuat kayuhan jarak jauh.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat saya. Sebaik pulih daripada kecederaan, latihan diteruskan. Malangnya, saya cedera lagi, cuma tidaklah sampai demam.

Aspek pemakanan sangat penting. Sebelum ini, saya tidak kisah sangat tetapi demi mencapai impian, saya mulai mengambil berat supaya kekal cergas dan memiliki tenaga mencukupi.

Saya juga mempersiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan perkhemahan. Ia pasti banyak membantu sepanjang penjelajahan kelak.

Antara cabaran lain, yang lebih penting ialah mendapatkan basikal bersesuaian. Masakan tidak, basikal yang ada; yang saya beli dengan harga 50 Pound melalui jualan lelong tentu tidak sesuai.

Saya memerlukan basikal ‘touring bike’ yang lazimnya berharga ribuan ringgit. Nasib baik – seorang rakan mahasiwa jurusan perubatan dari Dubai bermurah hati menghadiahkan basikal terpakai ‘touring bike’ berjenama Specialist berharga RM3,000.

Selain basikal, sumber kewangan juga antara masalah utama. Sebagai mahasiswa, saya tidak ada mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk menampung perbelanjaan ekspedisi.

Keadaan jadi bertambah rumit apabila saya tidak ada rekod melakukan ekspedisi berbasikal sebelum ini, sekaligus menyebabkan sukar memperoleh penajaan.

‘Bro Yunus’

Saya bersyukur kerana dapat mengumpul sedikit dana bagi membiayai misi melalui sumbangan orang ramai khususnya dalam kalangan rakan mahasiswa.

Lebih bernasib baik apabila saya secara kebetulan berkenalan dengan rakan kepada bapa saudaranya bernama Yunus dari Malaysia. Beliau ada datang melawat saya sebelum jelajah bermula.

Saya tidak kenal sangat Yunus yang saya dipanggilnya ‘bro’ itu.
Selepas berkenalan lebih rapat, barulah tahu lelaki itu sebenarnya (Datuk) Dr Ahmad Yunus Hairi, ketika itu memegang portfolio Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor.

Mungkin gaya dan penampilan Yunus yang ‘low profile’ dan bersahaja menyebabkan saya tidak mengecamnya sebagai seorang exco. Agak lucu juga.

Dr Ahmad Yunus ada menghulurkan sumbangan kewangan untuk membiayai ekspedisinya. Akhirnya saya dapat mengumpul RM8,000 untuk kegunaan sepanjang ekspedisi.

Walaupun jumlah itu sebenarnya agak kecil, saya berpuas hati dan yakin ia mencukupi jika dibelanja secara berjimat.

Selepas lapan bulan bertungkus lumus membuat persiapan, sayapun pada pagi tanggal 1 Ogos memulakan kayuhannya dengan ditemani rakan dari Kelab Sick Siders Malaysia, sayapun memulakan kayuhan.

Akan datang: Hari-hari ‘telan’ pasta dan tuna

 

Categories
EKONOMI

Jika Norhayu boleh berjaya, kita juga pasti boleh!

Oleh : AFEEQA AFEERA

KEMISKINAN bukan penghalang buat seseorang yang ingin mengecapi kejayaan di dalam hidupnya kerana ia sebenarnya adalah pemangkin membolehkan kita berusaha lebih kuat untuk mengubah nasib hidup.

Cekal dan gigih berusaha adalah ‘ubat’ yang harus sentiasa diambil dan dijadikan pegangan motivasi bahawa sesiapa sahaja boleh maju ke hadapan kerana hidup sentiasa punya pilihan.

photo (1)Bak kata pepatah “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan”.

Namun, dalam perjalanan menuju ke puncak pasti sesiapa sahaja akan berdepan pelbagai cabaran dan dugaan dari Yang Maha Esa sebagai ujian dalam mengenal erti hidup yang sebenar.

Bagi Norhayu Othman, 31, yang berasal dari Klang, hidupnya cukup lengkap dengan kehadiran suami tercinta bersama dua orang anak memberi keindahan tidak terperi buat dirinya.

Berkhidmat sebagai seorang kerani di syarikat swasta, sementara suami pula bekerja sebagai buruh binaan, pendapatan bulanan diperolehi cukup menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Namun, benar kata pepatah langit tidak selalunya cerah. Hidup Norhayu gelap tanpa cahaya apabila suaminya disahkan menghidap penyakit leukimia pada tahap empat.

Bagai hilang arah, Norhayu merasakan hidupnya kelam apatah lagi beliau pada ketika itu sedang sarat hamil anak ketiga dan terpaksa bekerja keras demi menampung keluarga tatkala suaminya tidak mampu lagi untuk bekerja.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hidup dengan memulakan perniagaan menjual makanan sejuk beku secara kecil-kecilan bagi menyara keluarga di samping menjaga suami yang sedang sakit.

Hampir enam bulan menjalankan perniagaan itu, Norhayu akhirnya nekad untuk berhenti kerja bagi membolehkan dirinya berniaga secara sepenuh masa.

“Saya mulakan perniagaan kuih muih dalam sejuk beku selama hampir enam bulan dan nekad berhenti kerja untuk mengembangkan perniagaan saya.

“Dalam masa sama, saya terus memberi semangat kepada suami untuk meneruskan rawatan sementara dua orang anak saya diasuh ibu saya,” katanya.

Selepas melahirkan anak ketiga, beliau dicadangkan oleh rakannya supaya memohon bantuan zakat termasuk zakat perniagaan bagi membolehkan perniagaannya diperluaskan.

Katanya berkat kesabaran akhirnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi bantuan bagi membolehkan beliau menjalankan perniagaan menjual mee, laksa, nasi lemak dan kuih muih.

“Pengalaman tapak gerai niaga diroboh dan barang niaga disita oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak mematahkan semangat saya dan suami untuk meneruskan perniagaan.

“Walaupun pendapatan kurang berbanding sebelumnya, saya nekad juga untuk berniaga bagi menyara keluarga,” katanya lagi.

Katanya siri perbincangan bersama zakat terus membuahkan hasil apabila mereka meluluskan bantuan bagi mendapatkan lori perniagaan.

Kini katanya beliau dalam proses untuk membuka restoran baru bersama abang iparnya yang dinamakan Restoran Selera Jumaat Ikan Bakar dan Tom Yam di Kampung Jawa, Klang.

Lebih menggembirakan, suaminya kian pulih dan kini bersama-sama membantunya meneruskan perniagaan makanan mereka sehingga melayakkan Norhayu menerima Anugerah Usahawan Cemerlang pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2014.

Nah, ini buktinya asnaf fakir dan miskin juga boleh berjaya jika punya kecekalan dan semangat untuk terus berjaya.

 

Categories
EKONOMI

Tiga tahun berniaga beri lebih kepuasan daripada 30 tahun bekerja

Oleh Norfarahidayu Baharudin

Mulanya, sekadar mengisi masa lapang. Kini, mendatangkan hasil lumayan.

Berusia 58 tahun, pesara tukang masak hampir 30 tahun di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Fatma Yunis kini usahawan berjaya.

Berbekalkan modal RM1,500 dan satu mesin jahit, beliau memulakan perniagaan menjahit pakaian wanita serta lelaki.

DSC_3801

“Asalnya sekadar penuhi masa dan minat, tapi akhirnya saya sedar ia dapat memberi pendapatan tambahan.

“Saya tidak berkira. Terima apa sahaja tempahan walaupun betulkan kaki seluar meskipun upahnya kecil.

“Selama tiga tahun, pengalamannya memang berbeza dengan bekerja. Seronoknya tidak dapat digambarkan,” kata Fatma Yunis.

Lebih-lebih lagi, minatnya itu mendapat galakan suami, Syafrul Aziz, 55, seorang pemandu teksi sekitar Klang dan Shah Alam.

Fatma kemudian mengambil keputusan untuk bersama rakannya menjadi sadiq kepada SKIM Mikrokredit Selangor (Skimsel).

fatmaPerniagaannya mendapat sambutan baik dan kian maju. Dari menjahit di rumah, kini Fatma memiliki kedai dan tujuh mesin jahit.

Fatma membuat pinjaman pertama berjumlah RM3,000 dan kedua RM5,000 untuk membeli peralatan menjahit.

“Terbaru, saya buat pinjaman RM10,000 untuk tambah peralatan menjahit dan membaiki kedai sewa,” kata ibu kepada lima anak itu.

Kedainya juga menerima tempahan pelbagai jenis songkok, selain menerima tempahan baju Melayu, baju kurung dan jubah.

DSC_3810

Kini, Fatma bukan sahaja memiliki syarikat enterprise tetapi juga mempunyai pembantu kedai.

Selain pakaian, beliau juga menjadi pengedar songkok kepada kedai terpilih, malah mengadakan kelas membuat songkok.

Fatma juga dipelawa Skimsel untuk menjadi tenaga pengajar kepada suri rumah yang mahu mempelajari cara membuat kek dan menjahit.

“Saya bersyukur diketemukan dengan Skimsel kerana memberi pinjaman tanpa faedah tetapi juga kursus serta peluang untuk maju ke hadapan,” katanya.

 

 

 

Categories
EKONOMI

Atuk semai semangat meniaga, MiMBAR bantu Zulaikha majukan kedai

Oleh Norfarahidayu Baharudin

USIA muda bukan halangan buat Siti Zulaikha Samsudin mengambil
langkah berani meluaskan perniagaan keluarga demi minat terhadap
dunia perniagaan.

Hasilnya, anak bongsu dari enam beradik berusia 24 tahun yang lebih
mesra dipanggil Ika kini menjual pelbagai peralatan mahupun pakaian Islamik di kedai Muhammad Setor di Pasar Jawa, Klang.

Antaranya, naskhah al-Quran, songkok, barangan haji dan umrah,  jubah lelaki serta perempuan.

DSC_7195

Ika sebenarnya mewarisi semangat dan kebolehan berniaga dari
keluarganya. Sejak 1985, keluarganya memulakan perniagaan
menjual songkok.

“Memang keluarga lama menceburi bidang ini. Sejak zaman arwah atuk lagi. Waktu itu, kami sekeluarga menjual songkok buatan sendiri,” katanya.

Tidak hairanlah Ika turut menyimpan cita-cita memiliki kedai pakaian sendiri dan menyampaikan hasrat itu kepada bapanya.

“Ayah ada kedai pakaian Islamik di Bangunan Mara, Klang. Sebelum
berniaga, saya beritahu niat kepada ayah. Alhamdulillah, ayah  sokong, bahkan membantu,” katanya.

Ika juga menjadikan kegigihan ayahnya, Samsudin Muhammad, 61, sebagai mentor untuk terus maju.

“Ayah mentor terbaik saya,” katanya pelajar yang abangnya, Muhammad Qahiruddin Samsudin, 26, juga membuka kedai menjual barangan Islamik.

“Dari kecil kami didedahkan pada dunia perniagaan. Kini saya dibantu ibu yang banyak mendorong kejayaan ini,” katanya yang pernah melalui pengalaman, pakaian jualannya dicuri orang lalu lalang di kaki lima kedainya.

DSC_7203

Ibunya, Siti Rahaya Sadli, 57, berkata mereka sekeluarga menyokong
usaha Ika kerana yakin Ika mampu menguruskan perniagaannya
sekalipun usianya masih muda.

“Saya yakin dengan usaha Ika. Ika juga banyak bertanya kepada ayah
sebelum ambil tindakan ataupun keputusan,” katanya.

Ketika berusia 22 tahun, Ika mengetahui Program Mikrokredit Miskin
Bandar (MiMBAR) yang memberi pinjaman tanpa faedah kepada peniaga Selangor berkelayakan.

mimbarTanpa buang masa, Ika pada 2012 membuat pinjaman MiMBAR RM3,000.

“Saya gunakan sebagai modal untuk penuhkan barang di kedai. Pada saya, tiada istilah try and error. Saya yakin pada rezeki Allah.

“MiMBAR bukan sahaja beri pinjaman tetapi beri ilmu. Paling suka,
MiMBAR beri pelbagai peluang dan kursus. Kursus itu sangat berguna, selain melonjakkan semangat berniaga,” katanya.

Sekalipun sibuk, Ika masih bercita-cita melanjutkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi tetapi mahu mengukuhkan perniagaan terlebih dahulu.

“Saya mahu kukuhkan perniagaan, tambah pekerja supaya ada orang yang boleh menjaga kedai sewaktu ketiadaan saya,” katanya.

Mereka yang berminat membeli barangan dari kedai Ika bolehlah melayari youbeli.com/muhammadstore atau terus ke kedainya di Klang atau hubungi 017-3927808 untuk sebarang pertanyaan.