Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Agong zahir tahniah, bangga kejayaan Pandelela raih emas kejohanan dunia

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita, pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun, semalam.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan dan mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Pada Temasya Sukan Olimpik London 2012, Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara yang sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir kegusaran kes Covid-19 meningkat

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan berterusan kes positif jangkitan harian Covid-19 di negara ini, yang mencecah lebih 3,000 kes.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan mengenai laporan penutupan beberapa sekolah akibat penularan wabak itu serta tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di beberapa majlis keraian serta bazar Ramadan yang tidak memuaskan.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru agar rakyat supaya sentiasa berdisiplin dalam mematuhi arahan serta SOP yang ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami Covid-19 seperti yang dialami beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.

“Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya tidak alpa dan mengambil sikap sambil lewa dengan arahan serta pematuhan SOP di bazar-bazar Ramadan, sekolah-sekolah dan majlis-majlis keraian umum seperti majlis berbuka puasa dan kenduri bagi memastikan penularan jangkitan wabak Covid-19 di negara dapat dikawal dan dibendung dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 3,332 kes baharu postif Covid-19 direkodkan di negara ini.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli keluarga serta masyarakat kerana sekiranya berlaku gelombang keempat penularan wabak Covid-19, ia akan mengancam dan meruncingkan ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat jelata.

Katanya, perkara yang turut membimbangkan Yang di-Pertuan Agong adalah laporan mengenai hospital swasta di Lembah Klang yang mengalami kekurangan katil bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes Covid-19, sejak dua minggu lepas.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

Katanya, Al-Sultan Abdullah bertitah agar rakyat sewajarnya jujur pada diri sendiri dan masyarakat dengan mematuhi arahan kuarantin dan SOP bagi mengelak kemudaratan kepada masyarakat serta negara.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, kadar penularan jangkitan Covid-19 ini dapat dilandaikan demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai.

“Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak Covid-19 ini dapat diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong bangga Dr Adeeba dilantik jadi anggota Majlis Sains WHO

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pakar penyakit berjangkit negara Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman atas pelantikan menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pelantikan berkenaan kerana majlis tersebut merupakan kumpulan penasihat peringkat tertinggi yang dianggotai sarjana-sarjana terkemuka dunia, sekali gus menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pelantikan Dr Adeeba bukan sahaja satu pengiktirafan kepada beliau sebagai individu yang berprestasi tinggi, malah kepada Malaysia.

“Ia juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook hari ini.

Seri Paduka Baginda juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Adeeba serta mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah turut berharap kejayaan itu akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Majlis Sains WHO bertindak sebagai suara kepemimpinan saintifik dalam memberi saranan dan nasihat mengenai kemajuan sains dan teknologi yang secara langsung dapat memberi kesan kepada kesihatan global.

Anggota majlis itu terdiri daripada pakar terkemuka di peringkat antarabangsa dengan rekod pencapaian dalam bidang masing-masing serta mempunyai kefahaman yang diiktiraf mengenai kesihatan global.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, Dr Adeeba juga memegang jawatan sebagai pengerusi Yayasan AIDS Malaysia dan ahli eksekutif Majlis AIDS Malaysia.

Beliau aktif di barisan hadapan dengan menjadi orang penting dan penggerak kempen kesedaran penyakit HIV dan AIDS, selain mengasaskan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS yang menjalankan kajian pelbagai disiplin tentang HIV dari segi klinikal, kesihatan awam dan dasar berkaitan.

Pada 2013 dan 2014, beliau telah diberi penghormatan dengan ditampilkan dalam jurnal The Lancet dan Science.

Tahun lepas, Dr Adeeba mencipta sejarah menjadi orang Asia pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pelajar Malaysia masuk Harvard, Agong ucap tahniah

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar Malaysia yang diterima masuk ke Kolej Harvard di Amerika Syarikat.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang kedua-dua pelajar terbabit yang menjulang nama negara ke peringkat global.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia, khususnya belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dan Jarell Cheong Tze serta mendoakan mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” kata Istana Negara dalam kenyataan di Facebook.

Muhammad Hamdi dan Jarell bakal memasuki kelas sarjana bagi tahun 2025. Masing-masing merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan ekonomi dan matematik.

Kedua-dua pelajar itu antara 1,968 pelajar yang terpilih dan melepasi tahap kelayakan ketat dari 57,435 permohonan seluruh dunia.

Muhammad Hamdi, anak kelahiran Pahang merupakan lulusan Sekolah Menengah Sains Alam Shah sebelum beralih ke A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar sebagai Cendikiawan Bank Negara Kijang.

Manakala Jarrell yang lahir di Kuala Lumpur menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dan A-Level di Sekolah Menengah Seri Bintang Utara dan Kolej Sunway, Petaling Jaya.

Selain hebat dalam bidang akademik, Jarell juga mewakili Malaysia dalam Sukan Sea Dancesport, Olimpik Matematik Pasifik Asia dan kejohanan catur antarabangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong mahu usaha lawan Covid-19, pulih ekonomi diutama ketika darurat

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah keutamaan dalam tempoh darurat hingga 1 Ogos ini wajar diberikan kepada usaha melawan wabak Covid-19 dan tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi.

Titah baginda, ini termasuk menerusi inisiatif kerajaan seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Pada masa sama, Seri Paduka menzahirkan jaminan sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari,” kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Titah baginda, pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak Covid-19, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka juga menasihati ahli-ahli politik negara agar merapatkan saf berganding bahu memerangi penularan wabak Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Seri Paduka menasihati ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang amat terkesan oleh ancaman wabak itu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Yang di-Pertuan Agong juga mahu ahli politik menjadi model peranan kepada rakyat dari segi penyatuan dan mengurus tadbir negara dengan baik, katanya.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong zahir takziah kepada keluarga bekas jaguh sukan tembak Sabiamad

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jaguh sukan menembak Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Olimpian negara itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, khususnya kepada sukan menembak negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan Istana Negara dalam laman Facebook hari ini.

Sebagai rekod, Sabiamad sebelum ini pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles di Amerika Syarikat pada 1984 dalam acara menembak dan beraksi sebagai penembak kebangsaan dari 1981 sebelum bersara pada awal 1990-an.

Ketika zaman kegemilangannya, Allahyarham mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara juga acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard Pistol.

Sabiamad pernah meraih pingat emas untuk negara dalam acara 50 m pistol lelaki individu pada Sukan SEA 1983 di Singapura.

Selepas persaraan, beliau aktif membantu sukan menembak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan negara dan pernah menjadi pengurus pasukan menembak Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan SEA 2017 di Singapura dan Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.

Sabiamad juga pernah menjadi Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Sultan kurnia Darjah Kerabat Selangor kepada Agong

SHAH ALAM, 8 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kerabat (DK) Selangor kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Darjah kebesaran Yang Amat Dihormati dikurniakan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pengurniaan itu sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-75.

Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin juga berkenan menerima Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (DK) dipersembahkan Al-Sultan Abdullah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat turut disaksikan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir ucapan Selamat Hari Polis ke-214

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Polis ke-214 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk veteran dan pesara polis.

Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada warga PDRM atas khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan anggota dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam terus terjamin.

Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan dan rasa bangga kepada seluruh warga PDRM di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19 sejak dari tahun lepas.

“Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia,” menurut kenyataan dimuat naik Facebook Istana Negara, hari ini.

Dalam hantaran sama, Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi Allah SWT dari segala bentuk ancaman dan musibah serta para pahlawan negara yang terkorban ditempatkan bersama para solihin.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA BUDAYA RENCANA

Potret Sultan, Tengku Permaisuri hiasi badan pesawat dijadikan restoran

Oleh MOHD AFIQ ZULKIFLI

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Dari jauh kelihatan susuk dua anak muda tekun melakar sesuatu pada badan pesawat sambil sesekali menyeka peluh di dahi kerana kerja itu dilakukan di bawah terik mentari.

Namun jangan salah sangka, mereka bukannya ‘kaki vandalisme’ yang menceroboh, sebaliknya pelukis mural yang dipertanggungjawabkan melukis mural potret insan-insan yang pernah dan menjadi ‘payung negara’ pada badan pesawat itu yang bakal diubah suai menjadi restoran tidak lama lagi.

Biarpun kadangkala badan pesawat tidak dapat disentuh kerana cuaca terlalu panas, dua anak muda itu Rushdi Ahmad, 32 Muhammad Syafiq Kholid, 26 tetap gigih membuat lakaran demi lakaran pada badan pesawat jenis Boeing 737 yang ‘diparkir’ berhampiran Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan.

Bagi Rushdi, kerja melukis mural pada badan pesawat itu bukan sesuatu yang mudah dan merupakan pengalaman yang berbeza serta baharu buat dirinya sejak berkecimpung dalam bidang tersebut pada 2010.

Anak jati Kuala Rompin, Pahang itu berkata selain cuaca tidak menentu, permukaan badan pesawat yang licin dan melengkung juga antara cabaran yang membezakan lukisan mural biasa kerana proses memindahkan imej daripada reka bentuk ke lukisan memerlukan kemahiran, penelitian dan kesabaran.

“Pemindahan imej pada permukaan melengkung lebih sukar daripada tempat yang rata, apabila kita tengok dari satu sudut tepi yang sama dengan kedudukan badan pesawat, ia okey, tapi apabila tengok dari sudut bawah ia (imej) itu ‘distort’ (herot-benyot).

“Jadi di sini memerlukan kerjasama dua orang, seorang artis melakukan kerja mengecat dan seorang lagi ‘standby’ memerhati dari kedudukan bawah badan pesawat yang akan memberikan arahan kepada artis sekiranya ada imej yang perlu dibaiki dengan segera,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Rushdi Ahmad menyiapkan lukisan mural pada sebuah badan pesawat model Boeing 737 yang terletak di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan di sini. Foto BERNAMA

Antara imej yang dilukis pada pesawat itu ialah potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut dilukis 15 potret bekas Yang di-Pertuan Agong dan juga wajah Ratu Elizabeth II yang merupakan antara tetamu VVIP yang pernah beradu di hotel tersebut semasa penganjuran Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Identiti hotel tersebut turut dipaparkan antaranya kuda, naga, burung phoenix, logo acara bertaraf dunia yang pernah berlangsung di hotel itu seperti Kejohanan Golf Piala Dunia, forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) selain imej berunsur kesihatan iaitu berlari dan berbasikal.

Sepanjang proses menyiapkan lukisan mural yang bermula pada pertengahan Disember tahun lepas itu, Rushdi dan Muhammad Syafiq yang bergerak bersama di bawah syarikat sendiri Tongkang Art Empire, turut dibantu secara sambilan oleh tujuh pelukis mural lain.

Bercerita lanjut, lepasan Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata pada permulaan semasa menerima pelawaan tugasan tersebut, beliau hanya menyangka ia adalah arca kapal terbang yang bersaiz lebih kecil.

“Apabila pertama kali melakukan lawatan ke tapak pesawat itu pada awal Disember tahun lepas, saya terkejut melihat rupa-rupanya ia sebuah pesawat yang sebenar, jadi ini peluang saya untuk menunaikan impian berkarya dengan menghasikan lukisan skala yang besar,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syafiq berkata kos menyiapkan lukisan mural itu jauh lebih mahal berbanding mural biasa kerana ia memerlukan beberapa peralatan tambahan termasuk pemasangan perancah besi, penyewaan skylift dan bayaran upah kepada pelukis lain.

Badan pesawat model Boeing 737 yang dipenuhi dengan lukisan mural dapat dilihat di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan di sini. Foto BERNAMA

“Saya tidak melihat kepada keuntungan semata-mata, apa yang lebih penting ialah kepuasan dari segi penghasilan karya itu supaya ia lebih dikenali,” katanya yang menggunakan hampir 30 tong cat minyak lima liter bagi mengecat kira-kira 5,000 kaki persegi keluasan keseluruhan pesawat itu.

Sementara itu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Country Heights Tan Sri Lee Kim Yew berkata pesawat Boeing 737 seberat 45 tan tersebut sebelum ini digunakan sebagai restoran di Bukit Bintang dan kemudian dibeli sebelum dibawa ke Mines Wellness City.

“Ia akan menjadi tarikan baharu dan memberikan nafas baharu kepada pelancongan domestik dan antarabangsa di kawasan berkenaan,” katanya yang menjangkakan restoran dapat dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi dengan pelbagai tawaran menarik.

Pensyarah Seni Halus UiTM Machang, Kelantan, Suhaidi Razi berkata lukisan mural kini menjadi trend dan mempunyai nilai komersial yang menjadi pilihan pelbagai pihak terutama syarikat korporat untuk dijadikan tarikan baharu.

“Kalau dulu pelukis mural banyak terima tawaran di bangunan biasa seperti sekolah, taska dan bayarannya pula tidak banyak, tapi kini seiring dengan perubahan zaman permintaan itu semakin bertambah dan ia memberi saingan yang sihat kepada industri ini.

“Lukisan itu mungkin perkara biasa, namun jika pada tempat yang strategik, itu akan memberi kelainan dan menarik perhatian ramai,” katanya sambil menambah cat minyak yang digunakannya boleh bertahan antara lima hingga tujuh tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong terima watikah pelantikan 10 perwakilan asing

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima watikah pelantikan 10 ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Menghadap itu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin.

Ketua perwakilan asing itu ialah Ouyang Yujing dari China, David Evan Malcomson (Afrika Selatan), Viengsavanh Sipraseuth (Laos), Archbishop Wojciech Zaluski (Holy See) (Vatican City) dan Chainarong Keratiyutwong (Thailand).

Yang lain Prof Dr Senaid Memic dari Bosnia Herzegovina, Herman Pule Diamonds (Namibia), Abdoulaye Barro (Senegal), Brian D Mcfeeters (Amerika Syarikat) dan Florentino Batista Gonzalez (Cuba).

Ouyang pernah berkhidmat sebagai pengarah Biro Hak dan Kepentingan Maritim, Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat CPC, manakala Malcomson adalah ketua pengarah Bahagian Organisasi Serantau.

Viengsavanh pula pernah berkhidmat sebagai sebagai ketua pengarah Jabatan Pemeriksaan, Kementerian Luar sementara Zaluski adalah Apotolik Nunciature atau wakil diplomatik di Burundi dari 2014 hingga 2020.

Sementara itu, Chainarong pernah berkhidmat sebagai duta besar di pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Luar manakala Memic berkhidmat sebagai Datuk Bandar IIIidza, Sarajevo.

Diamonds pernah menjadi timbalan ketua misi dan Kaunselor di Beijing, China dan Barro adalah timbalan wakil tetap Republik Senegal ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York.

Mcfeeters berkhidmat sebagai timbalan ketua misi, Kedutaan Amerika Syarikat, Baghdad, Iraq, sementara Gonzalez adalah pakar berstatus duta besar Bahagian Amerika Syarikat, Kementerian Luar Cuba.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN rayu Agong titahkan sidang Parlimen, bahas isu ekonomi

SHAH ALAM, 4 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan segera bagi membahaskan beberapa perkara penting berkaitan hak rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu yang perlu dibawa seperti langkah membendung penularan Covid-19, Belanjawan 2021 dan pemulihan ekonomi.

Menurutnya, ia selaras titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.

“Selaras kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, kami dengan rendah diri dan seikhlasnya merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong sekiranya diperkenankan untuk menitah sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua pembangkang turut menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah bahawa dewan rakyat boleh bersidang bagi menegakkan amalan demokrasi berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan.

“Maka berikutan titah Seri Paduka Baginda, nasihat Perdana Menteri kepada Duli Tuanku bagi membendung gejala wabak Covid-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu sentiasa peka ke atas prinsip tersebut bagi memastikan hak rakyat dapat disuarakan di Parlimen,” katanya.

Ahli parlimen Port Dickson juga kecewa terhadap kenyataan menteri di jabatan perdana menteri (parlimen dan undang-undang) bahawa tiada keperluan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh darurat.

Katanya, tindakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertentangan dengan pandangan dan titah Yang di-Pertuan Agong.

Categories
AGENDA NASIONAL

BN rayu sidang Parlimen diadakan segera

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Barisan Nasional (BN) hari ini merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Seri Paduka Baginda boleh memperkenankan perkara itu dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Seksyen berkenaan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Zahid berkata, sidang Parlimen itu dapat membentangkan perkara termasuk keberkesanan langkah-langkah membendung penularan wabak Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021, demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40), serta keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata BN juga mengesyorkan ahli Dewan Rakyat supaya menyeru Perdana Menteri serta Jemaah Menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda supaya sidang Parlimen diadakan segera, lebih-lebih lagi setelah pelaksanaan PKP dilonggarkan.

“Prinsip keluhuran perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar, dalam memastikan semak dan imbang,” katanya.

Istana Negara dalam kenyataan sebelum ini menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

– BERNAMA