Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam: Hanya Agong boleh batal Ordinan Darurat, Kabinet tiada kuasa

SHAH ALAM, 26 JULAI: Peguam Mohamed Hanipa Maidin menegaskan pembatalan Ordinan Darurat hanya boleh dilakukan Yang di-Pertuan Agong, bukan anggota Kabinet.

Beliau berkata hanya Baginda memiliki kuasa untuk membatalkannya berdasarkan peruntukan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan berikutan undang-undang itu digubal bawah Artikel 150 (2B).

“Pembatalan itu mesti disahkan atau diperkenan melalui tandatangan Yang di-Pertuan Agong. Dan selepas itu ia wajib diwartakan. Setelah diwarta, ia baru boleh dikatakan sah dibatalkan,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Mohamed Hanipa yang juga ahli parlimen Sepang juga difahamkan pembatalan ordinan berkenaan sehingga kini belum diwarta.

“Oleh itu jika benar, ia mengesahkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah gagal membuktikan pembatalan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Dalam sidang khas Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan semua ordinan darurat yang dijadual berakhir pada 1 Ogos ditarik balik pada 21 Julai lalu.

Pengumuman itu mengakibatkan ahli parlimen Pakatan Harapan mempertikai tindakan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir penghargaan Amerika Syarikat sumbang sejuta vaksin Pfizer

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan 1 juta dos vaksin Pfizer bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi laman rasmi Facebook Istana Negara hari ini turut menyampaikan ucapan terima kasih Al-Sultan Abdullah kepada Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters atas sumbangan itu.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” titah baginda menerusi laman sosial itu hari ini.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara Malaysia dan AS dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat di negara ini supaya bersama-sama berdoa agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Semalam, sebanyak 1 juta dos vaksin jenis Pfizer BioNTech sumbangan AS tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 8.10 pagi menerusi penerbangan Raya Airways, sehari selepas negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-245 tahun.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada 80 juta dos dijanjikan oleh Presiden AS Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir penghargaan Parlimen sedia bersidang ‘secepat mungkin’

SHAH ALAM, 29 JUN: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan atas kesediaan Parlimen untuk bersidang “secepat mungkin” seperti titah baginda dua minggu lalu.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan persidangan itu perlu disegerakan bagi membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata baginda mengambil ketetapan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

“Susulan sesi menghadap ini dan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin mengikut garis panduan dan tatacara operasi piawai Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentangkan di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata baginda juga menzahirkan pandangan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga bahawa pandangan dan seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berdasarkan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Umno beri tempoh 14 hari adakan sidang Parlimen

SHAH ALAM, 21 JUN: Umno memberi tempoh selama 14 hari kepada kerajaan persekutuan untuk mengadakan sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong agar ia diadakan secepat mungkin.

Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kegagalan kerajaan melaksanakan titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.

“Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Covid-19 selain memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Tidak perlu berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan dalam kenyataan berhubung sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” katanya dalam kenyataan.

Pada 16 Jun, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu berpandangan Parlimen wajar segera bersidang bagi membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan juga peruntukan untuk membantu rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah ‘secepat mungkin’ adakan sidang Parlimen

SHAH ALAM, 16 JUN: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

“(Sidang) ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja hari ini.

Menurut Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin lagi, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat menyedari peranan Parlimen untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Seri Paduka Baginda turut bertitah agar angka jangkitan wabak dilandaikan segera dengan program vaksin sebagai “satu-satunya jalan keluar” daripada Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindakan tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin,” kata Ahmad Fadil lagi.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa perlunya kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan berkesan dalam menangani wabak dan memulihkan ekonomi.

Perbincangan khas petang tadi yang dihadiri Raja-Raja Melayu bagi meneliti pandangan pemimpin parti politik ketika sesi menghadap Seri Paduka Baginda sejak minggu lepas.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong terima menghadap Tun Arifin, tokoh politik isu Covid-19 dan darurat

SHAH ALAM, 15 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Tun Arifin Zakaria dan tokoh politik berhubung isu Covid-19 dan darurat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Negara semua pandangan yang diterima akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bermula jam 2.30 petang esok.

 

BERITA LANJUT MENYUSUL

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir rasa bangga kejayaan ‘Damok’ harum nama negara

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah di atas pencapaian pelumba motosikal negara, Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita serta bangga di atas kejayaan itu yang sekali gus melakar sejarah buat sukan permotoran negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencapaian Syarifuddin sebagai kejayaan amat bermakna kepada Malaysia dan menjadi suntikan semangat untuk pelumba yang lebih dikenali sebagai “Damok” itu dalam memburu kejayaan di masa hadapan.

“Pencapaian cemerlang Syarifuddin ini sekali lagi turut membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Ia juga membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah berharap kejayaan dan semangat perjuangan Syarifuddin akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Syarifuddin dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di persada dunia,” menurut kenyataan itu.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar usul rayuan tamat darurat kepada Agong

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau mengemukakan rayuan penamatan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Usul berkenaan antara perkara yang dibawakan ketika lebih satu jam sembah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada Rabu, lapor portal Sinar Harian.

Anwar berkata, beberapa isu semasa berkaitan pandemik Covid-19 turut dibawakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus keluar dari pintu Istana Negara pada jam 11.54 pagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir takziah kepada keluarga jaguh sepak takraw negara

KUALA LUMPUR, 8 JUN : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda sepak takraw negara, Sahak Md Yassim yang meninggal dunia, semalam.

Istana Negara menerusi laman media sosial rasminya menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan sepak takraw negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Al-Sultan Abdullah.

Allahyarham yang mesra disapa Pak Sahak, 74, meninggal dunia pada pukul 3.30 petang semalam di kediamannya, Taman Bunga Raya, Setapak di sini.

Berasal dari Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan, bekas apit kanan negara itu pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEAP (Sukan SEA), Piala Emas Khir Johari, Piala Tuanku Abdul Rahman, Piala Tun Razak, Piala Tan Seri Jamil Rais dan Piala Raja Thai dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Allahyarham, yang merupakan bekas anggota tentera ketika zaman kegemilangannya dari tahun 1971 hingga 1979, merupakan legenda sepak takraw negara yang digeruni regu Thailand dan dilantik sebagai perunding Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) tahun lepas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir dukacita, terkejut berita insiden LRT bertembung

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan terkejut dengan berita kemalangan membabitkan pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) semalam.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana kesemua penumpang dalam kemalangan tersebut dapat dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga semua mangsa kemalangan itu termasuk enam orang yang dilaporkan kritikal dan 15 yang separa kritikal dan kini menerima rawatan di HKL (Hospital Kuala Lumpur) dikurniakan kesembuhan segera,” menurut kenyataan Istana Negara itu.

Menyifatkan kejadian itu sebagai serius, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas keselamatan dan kecemasan atas kepantasan serta kesungguhan mereka dalam usaha menyelamat dan merawat mangsa-mangsa kemalangan terbabit.

Pada masa yang sama Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar pihak-pihak berkaitan memberikan keutamaan kepada mangsa-mangsa kemalangan, khususnya dalam bentuk keperluan rawatan menyeluruh dan kebajikan mereka.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar insiden itu dijadikan iktibar kepada semua pihak berkaitan untuk memastikan ia tidak berulang pada masa hadapan demi memastikan keselamatan penumpang terjamin dan dipelihara dengan sebaiknya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong dukacita Israel serang Masjid Al-Aqsa, rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.

Sehubungan itu, lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin semalam, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui serta bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim zionis Israel ke atas Palestin.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.

Sejak itu, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera setakat ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan dan sikap hormat-menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara itu.

“Ini juga adalah selari dengan pendirian dan prinsip kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau serta rakyat di negara ini mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat maghrib esok, bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Agong nasihat duduk rumah kecuali ada keperluan mendesak

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihati rakyat agar berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun depan.

Titah baginda tindakan itu akan membantu petugas barisan hadapan mengekang rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini dengan lebih berkesan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seri Paduka Baginda turut mengulangi titah nasihat baginda baru-baru ini supaya rakyat mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan sentiasa berdisiplin mematuhi larangan-larangan dan arahan-arahan terkini yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.

“Titah nasihat Al-Sultan Abdullah itu adalah bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami Covid-19 seperti yang dialami oleh beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat bahawa mereka dilarang sama sekali melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah mengikut keputusan MKN dan Kementerian Kesihatan, yang mana perkara itu selaras dengan prinsip menjaga kemaslahatan ummah dan hifzu an-nafs.

Yang di-Pertuan Agong juga amat memahami keluh-kesah rakyat di peringkat akar umbi yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19, dan sehubungan dengan itu, baginda menzahirkan harapan agar masalah dan kelangsungan hidup rakyat ditangani serta dipelihara oleh kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab, katanya.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan dengan situasi terkini wabak Covid-19 yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan mendadak sejak kes positif harian dicatatkan mencecah 4,000 kes di negara ini sejak minggu lalu.

“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat melipatgandakan lagi usaha yang sedang dan akan dilakukan untuk melandaikan kes positif harian wabak ini yang telah memberikan kesan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Ahmad Fadil berkata baginda turut menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan dan kepentingan diri masing-masing untuk bersama-sama berganding bahu membantu kerajaan serta para petugas barisan hadapan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan usaha-usaha memerangi wabak tersebut.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama padu dan komitmen tinggi daripada semua pihak, negara mampu melandaikan penularan jangkitan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang dicintai.

“Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini dan menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri, Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama baginda berdua mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak Covid-19 ini dapat diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA