Categories
NASIONAL

AMK saran turunkan umur layak mengundi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 JAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan had umur daftar pengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Perkara itu disuarakan Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin sebagai galakan supaya anak muda keluar mengundi.

“AMK mencadangkan SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik apabila mereka mencecah umur layak mengundi.

“SPR juga boleh mempercepatkan pewartaan daftar pemilih dan memperkenalkan polisi mewajibkan tanggungjawab mengundi seperti dilaksanakan di Belgium dan Australia,” katanya dalam kenyataan.

Afif berkata, SPR digesa untuk mempromosikan pendidikan politik secara meluas berkenaan kepentingan mengundi dan pembabitan dalam proses demokrasi supaya dapat menarik golongan muda mengundi.

AMK turut menyokong gesaan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) Shanghai supaya tarikh pilihan raya diumum dua bulan lebih awal bagi memudahkan pengundi mengatur jadual perjalanan pulang bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Categories
NASIONAL

Noh, letak jawatan jika minat jadi agen propaganda

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Tindakan Tan Sri Noh Omar mempertikaikan akhbar rasmi Kerajaan Negeri, SelangorKini tidak mencerminkan tahap pemikiran seorang menteri.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, tuduhan dilemparkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu yang mengatakan SelangorKini melaporkan berita berunsur politik adalah tidak berasas.

Katanya, SelangorKini adalah lidah rasmi Selangor dan akan sentiasa melaporkan pencapaian utama Kerajaan Negeri.

“Setiap usaha untuk rakyat akan dijadikan bahan berita dan tentunya perkara ini menyebabkan Noh tidak senang duduk.

“Adakah Noh mahu hasil kerjanya di Parlimen Tanjung Karang diselit dalam SelangorKini, namun kerja yang tiada hasil kepada rakyat tentunya tidak akan mendapat tempat di dada akhbar itu,” katanya.

Justeru, Naqib menasihatkan Noh untuk menumpukan kepada kerja bermanfaat demi rakyat daripada menjadi agen propaganda.

Beliau secara sinis turut mencadangkan Noh meletak jawatan sebagai menteri dan memberi tumpuan sebagai penulis blog.

Terdahulu, Noh Omar memohon Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau dan menghentikan pengedaran SelangorKini kerana mendakwa akhbar itu melaporkan berita politik, khususnya membabitkan aktiviti Pakatan Harapan.

Categories
NASIONAL

Rohingya: AMK cadang sidang Parlimen tergempar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencadangkan sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu keganasan di Myanmar, ketika ini.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semua rakyat Malaysia pasti terkesan dengan keganasan dan kesengsaraan yang berlaku ke atas wilayah Rakhine di Myanmar, terutama tindakan ganas yang dikenakan ke atas Rohingya.

Katanya, keganasan dan krisis kemanusiaan itu bukan sahaja berkemungkinan mengganggu kestabilan Myanmar dan negara jiran tetapi rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

“Saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan membenarkan ahli Parlimen membahaskan isu ini apabila dewan bersidang semula nanti.

“Sememangnya ini masa paling sesuai untuk memanggil sidang Parlimen tergempar membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil Malaysia mengakhiri malapetaka ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, pihak berkuasa perlu lebih berhemah ketika berurusan dengan penunjuk perasaan Rohingya yang ditahan tempoh hari berdekatan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dalam lunas undang-undang.

Nik NazmiPada masa sama, katanya, penyelesaian berkekalan ke atas status kaum Rohingya perlu dicapai termasuk mempertahankan hak kerakyatan mereka di Myanmar dengan segera.

“Suatu ketika dahulu, beberapa tokoh daripada Kerajaan Persekutuan dan parti politik tertentu mengambil bahagian dalam perhimpunan sama menegakkan hak Rohingya.

“Justeru, seluruh rakyat Malaysia harus bersatu menggesa kerajaan dan masyarakat antarabangsa, termasuk institusi seperti PBB, OIC dan Asean untuk mengambil segala tindakan diplomatik yang boleh mengakhiri keganasan di Rakhine,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menafikan berlaku rusuhan membabitkan sekumpulan warga Rohingya di sekitar Kuala Lumpur seperti rakaman video yang tular.

Categories
NASIONAL

Penahanan 15 anggota AMK bukti Najib tak hormati prinsip demokrasi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 OGOS: KEADILAN menyifatkan penahanan 15 anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pulau Pinang membuktikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Naijb Razak tidak menghormati prinsip demokrasi, di negara ini.

Dalam kenyataannya, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil menyatakan rasa kesal terhadap tindakan polis kepada kumpulan anak muda yang mengadakan ‘flashmob’ di pintu masuk Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang, dekat sini, hari ini.

Katanya, tangkapan itu adalah satu tamparan hebat terhadap amalan demokrasi di Malaysia dan menjadi bukti pentadbiran Najib tidak menghormati prinsip demokrasi dan hak bersuara seperti termaktub di dalam Perlembagaan khususnya dalam kalangan anak muda.

“Anak muda yang berkumpul ini tidak membaling kerusi, suar juga selipar terhadap sesiapa, malahan hanya memegang plakad secara aman untuk menyatakan pendirian politik mereka.

FAHMI“Adakah ini ditakrif pihak berkuasa sebagai satu ‘ancaman’ sehingga perlu menangkap peserta ‘flashmob’ aman?.

“Adakah Najib dan pentadbiran beliau sudah begitu panik juga takut dengan sentimen rakyat hingga peserta ‘flashmob’ aman juga dilihat sebagai ‘musuh politik’ yang perlu ditahan?,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya semua anggota AMK itu segera dibebaskan.

Katanya, perdana menteri juga perlu memohon maaf kepada mereka kerana apa yang dilakukan kumpulan itu tidak salah, malahan hanya mengukuh dan mematangkan politik di Malaysia.

Dalam kejadian pagi ini, 15 anggota AMK ditahan polis selepas menyertai ‘flashmob’ di pintu masuk Politeknik Seberang Prai sementara menanti lawatan Najib ke Permatang Pauh bagi menghadiri Majlis Kenduri Rakyat, di kawasan itu.

Tindakan kumpulan anggota AMK itu hanya mahu membawa sepanduk ‘Bebaskan Anwar Segera’ supaya Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera dibebaskan dari tahanan.

Categories
NASIONAL

‘Hadiah’ veteran ATM terlalu kecil – AMK

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 OGOS: Bantuan elaun sara hidup kepada pesara tentera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini bukanlah penyelesaian terbaik terhadap kemelut membabitkan golongan itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, insentif itu dianggap masih terlalu minimum berbanding masalah sebenar dihadapi veteran itu.

“Bantuan Bakti Negara (BBN) merupakan bantuan tahunan kepada veteran tentera tidak berpencen, manakala Bagi mereka yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ia berjumlah RM1,200 setahun.

“Ini bermakna mereka hanya menerima RM100 sebulan sedangkan bantuan sara hidup nelayan pun RM200 sebulan.

“RM1,200 ibarat sama nilai sekali Rosmah Mansor potong rambut,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, kiraan pencen veteran masih dibuat berdasarkan gaji pokok ketika mereka bekerja puluhan tahun lalu dengan hanya sedikit pelarasan.

nik-nazmiKatanya, alasan kemampuan kerajaan yang terhad untuk menaikkan kadar bagi semua pesara kerajaan juga disifatkan tidak wajar.

“Veteran tentera umumnya bersara lebih awal dan mempunyai prospek pekerjaan terhad selepas meninggalkan perkhidmatan.

“Itu sebab ramai yang hadir ke majlis bersama Najib meninggalkannya lebih awal,” katanya.

Terdahulu, dalam Perhimpunan Veteran ATM, Najib mengumumkan sumbangan RM5 juta kepada Tabung Pahlawan.

Najib turut mengumumkan lima insentif yang akan diperoleh veteran ATM tidak berpencen sempena Hari Pahlawan, semalam.

Categories
NASIONAL

Kelemahan pengurusan, apa nasib 15,420 guru duka lara?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Pendidikan diminta membuat penstrukturan semula prosedur pertukaran guru supaya mekanisme lebih jelas dan telus boleh dilaksanakan, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, wujud keraguan dalam kalangan guru berhubung pelaksanaan mekanisme sedia ada yang disifatkan kelemahan di peringkat kementerian kini.

Katanya, kegagalan itu turut memberi kesan kepada permohonan pertukaran guru khususnya mereka yang berstatus ‘guru duka lara’.

“Kebelakangan ini timbul segelintir guru yang baru ditempatkan di sesebuah sekolah tidak sampai tiga bulan mendapat keizinan bertukar, kononnya guru berkenaan mempunyai kabel di kementerian.

“Adakah kementerian berusaha memenuhi permohonan guru untuk berkhidmat di negeri masing-masing atau mengikut pasangan supaya berada dekat dengan keluarga tercinta?

“Bagi saya, kementerian tidak mungkin meluluskan kesemua pertukaran itu dalam jangka masa pendek kerana permohonan di beberapa negeri setiap tahun akan melebihi kekosongan jawatan di negeri tertentu,” katanya dalam kenyataan.

NIK-NAZMiNik Nazmi berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengumumkan 2,261 permohonan guru duka lara sudah diluluskan dari 6,636 permohonan bagi kategori itu.

Beliau berkata, kelulusan berkenaan adalah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini membabitkan 1,421 guru ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah seluruh negara.

Pada masa sama, Nik Nazmi turut merujuk kelemahan aplikasi sistem pengurusan guru (EGtukar) yang digunakan guru bagi tujuan permohonan perpindahan.

“Berdasarkan sistem itu, keputusan kelulusan permohonan guru dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu pilihan sahaja.

“Berbanding jumlah sebenar, jumlah permohonan sekitar 15,420 orang dan masih ramai guru yang menanti permohonan diluluskan kementerian.

“Namun, dalam menyelesaikan isu guru duka lara ini, apakah inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan?” soalnya.

Categories
NASIONAL

Skandal RM9.5 juta: AMK lapor polis

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima wang SRC International berjumlah RM9.5 juta daripada Perdana Menteri.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan sisatan serta-merta sementara Shafee harus ‘berehat’ daripada kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, terdapat empat persoalan berkaitan dakwaan itu yang perlu dijelaskan, jika benar berlaku transaksi seperti dibuat Sarawak Report.

“Apa sebenarnya tujuan pembayaran RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Shafee dan adakah ia berkait dengan kis liwat Anwar?

“Siapa lagi yang menerima pembayaran daripada duit SRC melalui akaun peribadi Najib?” katanya dipetik MalaysiaKini.

Nik NazmiTerdahulu, Nik Nazmi hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil dan Ketua Biro Agama AMK, Wan Ji Wan Hussin sekitar jam 11 pagi.

Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa Najib membayar wang daripada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu kepada Shafee, pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Nik Nazmi berkata, AMK juga bersedia mempertimbangkan untuk mengadukan dakwaan sama terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Peguam.

Katanya, Najib dan Shafee juga berkemungkinan akan terus membisu terhadap dakwaan itu.

“Beliau (Shafee) merupakan peguam dan peguam ada kod etika dia sebagai seorang profesional,” katanya.

Categories
NASIONAL

“Tawaran” PAKATAN mampu atasi TN50 BN

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) bakal memperkenalkan Tawaran Anak Muda (Tawaran) dalam tempoh dua bulan lagi khusus untuk memberdaya belia di negara ini, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu akan diumumkan bersama manisfesto PAKATAN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan diyakini mampu mengatasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, Tawaran lebih menyeluruh merangkumi cadangan dasar seperti pendidikan percuma untuk semua dan perubahan kepada dasar perumahan memudahkan golongan belia memiliki kediaman sendiri.

“TN50 berkata Bangsa Malaysia bakal menjadi kenyataan pada 2050 tetapi PAKATAN menawarkan Bangsa Malaysia sekarang, dalam 2017 atau 2018.

“Tiada keperluan menunggu sehingga 2050 kerana kami akan melakukannya sekarang jika dipilih, bersama pendidikan, perumahan dan pekerjaan yang lebih baik,” katanya dipetik MalaysianInsight.

Nik NazmiPada masa sama, Nik Nazmi yang juga Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi yakin rakyat akan menerima kekuatan dimiliki Tawaran berbanding TN50.

“Tawaran juga memasukkan usul untuk menjadikannya lebih berkemampuan bagi peminat bola sepak menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris dan Sepanyol La Liga.

“Manifesto biasa mempunyai dasar pendidikan, pekerjaan dan perumahan jadi kami akan mengambil komponen belia serta menjadikan ia pakej dalam Tawaran untuk diberi kepada Pemuda PAKATAN,” katanya.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) memulakan inisiatif TN50 untuk mendapatkan idea golongan muda berkenaan dasar diingini mereka dalam tempoh tiga dekad akan datang selepas 2020.

Categories
NASIONAL

Najib dan Shafee digesa jawab isu RM9.5 juta

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa menjelaskan isu pindahan RM9.5 juta ke akaun peribadi pendakwaraya khas kes Anwar Ibrahim, Tan Sri Shafee Abdullah dalam kes fitnah II seperti didakwa Sarawak Report.

Ketua Angkata Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pendedahan terbaru itu memberi kejutan besar kepada negara ekoran Najib didakwa memindahkan wang kepada akaun Shafee melalui dua bayaran, termasuk satu bayaran dilakukan dua minggu sebelum Anwar didapati bersalah.

Katanya, duit berkenaan dipindahkan daripada akaun AmBank persendirian Najib, iaitu akaun sama yang diberikan dana oleh anak syarikat 1MDB, SRC International yang juga meminjam wang daripada Kumpulan Wang Pesaraan (KWAP).

“Shafee sangat dikenali sebagai seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor, malah perlantikan beliau sebagai pendakwaraya kes fitnah II Anwar menjadi tanda tanya.

“Ini kerana kerajaan memutuskan untuk melantik seoarang peguambela sebagai pendakwaraya khas sedangkan Shafee juga diketahui ramai seakan-akan mempunyai agenda tersendiri terhadap Anwar dengan berulang kali membuat kenyataan menghina, mengutuk serta memfitnah Ketua KEADILAN itu.

“Bukan itu sahaja, Shafee juga dilaporkan berada di kediaman Najib ketika Saiful Bukhari bertemu Perdana Menteri untuk membuat “aduan” terhadap Anwar,” katanya dalam kenyataan.

NIK-NAZMiNik Nazmi berkata, Shafee turut meneruskan penjelajahan untuk menerangkan kes sodomi dengan membuat fitnah baru terhadap Anwar yang langsung tidak dibangkitkan di dalam mahkamah.

Katanya, perbuatan jahat memburukkan Anwar bukan sahaja menghina mahkamah, malah ia jelas menunjukkan niat peguam terbabit menjatuhkan bekas ketua pembangkang itu bagi pihak Najib.

“Dengan pendedahan Sarawak Report ini, jelas terdapat urusan mencurigakan antara Najib dan Shafee serta perlantikan beliau sebagai pendakwaraya khas hanyalah bermotifkan politik.

“Jika tidak, mengapa Perdana Menteri perlu pindahkan wang dengan jumlah begitu besar kepada akaun peguam itu?

“Saya menggesa Najib dan Shafee menjelaskan perkara ini dengan jujur termasuk Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali mesti menjelaskan tindakan yang akan diambil,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pimpinan AMK bebas bukti kemenangan hak berhimpun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Pembebasan dua pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) daripada tuduhan menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika bantahan #PecatIGP, pada Mac 2015 disifatkan sebagai kemenangan rakyat untuk berhimpun.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau mengalu-alukan keputusan pembebasan Setiausaha Agungnya, Chang Lih Kang dan Naib Ketua, Tan Kar Hing serta empat Orang Kena Tuduh (OKT) lain.

“Keputusan ini mengesahkan demonstrasi itu sah di sisi undang-undang dan tidak sepatutnya dirumitkan pihak berkuasa.

“Kami melihat ini sebagai kemenangan untuk hak berhimpun, bertentangan dengan usaha sesetengah pihak yang hendak menghadkan hak ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi juga menyeru pihak pendakwa dan kerajaan untuk tidak merayu keputusan kes itu.

“Mereka sepatutnya berbincang dengan pertubuhan masyarakat madani untuk menjalankan reformasi ke atas pelbagai undang-undang dan prosedur bagi memastikan hak berhimpun diberikan dengan sewajarnya,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Henti sebar fitnah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 MEI: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggugat kestabilan Kerajaan Selangor dengan penyebaran berita palsu.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyebaran fitnah itu membuktikan pihak lawan tergugat dengan keupayaan PAKATAN memerintah negeri berkenaan.

Beliau mendakwa perbuatan pihak lawan itu adalah Barisan Nasional (BN) yang menggunakan laman sesawang picisan dan ‘cybertrooper’ untuk menyebarkan spekulasi yang langsung tidak berasas.

“Perlu diingatkan bahawa Kerajaan Selangor sedia ada diberi mandat besar pada 2013 untuk mentadbir negeri,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan politik di negeri itu tidak menghalang Kerajaan Selangor menumpukan kepada isu rakyat.

“Selangor adalah negeri majmuk yang kian makmur dengan kejayaan tadbir urus Kerajaan Negeri.

“Berpegang pada amanah ini, kita berjaya melaksanakan tugas berdasarkan manifesto dijanjikan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal media BN mendakwa Kerajaan Selangor boleh berubah tampuk pemerintahan kepada BN dengan hanya satu ‘deal and accept’.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

AMK kecam Speaker, ingatkan Umno jangan jadikan RUU 355 modal politik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 APR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik saranan etua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima usul Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

dr-afifBagaimanapun, Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, polemik RUU 355 yang dimainkan Umno sebelum ini tidak wajar digunakan sebagai modal politik dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“AMK menyambut baik saranan Datuk Seri Anwar yang menerima usul RUU 355 dan secara prinsipnya bersetuju bahawa RUU355 yang diperjelaskan Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai salah satu usaha memperkasakan sistem perundangan Mahkamah Syariah di negara ini.

“AMK juga beranggapan, polemik berkenaan RUU355 yang dimainkan Umno sebelum ini tidak harus lagi digunakan sebagai modal politik dan menimbulkan keresahan di dalam masyarakat.

“Kami juga mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menafikan perbahasan RUU355 dengan menangguhkan sidang lebih awal daripada kebiasaan,” kata Afif dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Katanya, tindakan Pandikar membuktikan Barisan Nasional dengan sengaja dan terancang menggunakan isu itu bagi mewujudkan kontroversi dan polemik berpanjangan.

Terdahulu, Abdul Hadi membentangkan RUU355 pada persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Bagaimanapun, RUU355 tidak sempat dibahaskan ekoran tindakan Pandikar menangguhkannya hingga ke persidangan akan datang.

-NFN-