Categories
GLOBAL

Thailand jamin kelancaran sidang kemuncak ASEAN

BANGKOK, 21 JUN: Thailand, selaku Pengerusi ASEAN memberi jaminan sidang kemuncak tahunan yang mengumpulkan 10 pemimpin negara anggota kumpulan serantau itu akan berjalan dengan lancar.

Ketua Polis Diraja Thai, Jen Pol Chakthip Chaijinda berkata agensi keselamatan dan berkaitan sudah melakukan persediaan dan mengambil langkah diperlukan sepanjang sidang kemuncak empat hari itu.

“Semua agensi berkaitan yang terlibat sudah bersedia. Kami yakin mesyuarat akan berjalan lancar. Kami 100 peratus bersedia untuk menjaga keselamatan pemimpin-pemimpin, “ katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan satu mesyuarat keselamatan bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2019 ke-34, di sini semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan o-cha mengarahkan kesemua agensi berkaitan bagi memastikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 itu berlangsung dengan lancar, dalam semua segi.

Sidang kemuncak yang bertemakan “Advancing Partnership for Sustainability” akan berlangsung di The Athenée Hotel, di Wireless Road, di sini.

Kira-kira 10,000 pegawai polis dan keselamatan akan diatur kedudukan di sekitar tempat mesyuarat dan lokasi strategik di sekitar ibu negara.

Sedekad lalu, Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung di Pattaya tetapi ia terpaksa dibatalkan selepas penunjuk perasaan baju merah yang antikerajaan menyerbu pusat persidangan.

Ketua Pengarah Hubungan ASEAN Thailand Suriya Chindawongse mengesahkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN akan menghadiri sidang kemuncak itu.

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha akan mempengerusikan sidang kemuncak itu biarpun belum mengumumkan barisan kabinet baharu, hampir tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum.

Media melaporkan krisis pelarian Rohingya antara isu panas yang dijangka dibincangkan semasa sidang kemuncak itu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia manfaatkan perang dagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Perang perdagangan yang berlaku membuka peluang unik kepada negara Asia Tenggara dan Malaysia bersedia untuk mengeksploitasi pelbagai peluang ekonomi yang mungkin wujud.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, persaingan antarabangsa sentiasa tidak tetap, justeru, perniagaan secara lazimnya mencari destinasi pelaburan alternatif untuk menangani halangan perdagangan yang dikenakan.

“Kami bersedia untuk menerima pelaburan baharu yang ingin mengambil peluang daripada infrastruktur moden kami, hubungan ke rantau ini, kestabilan politik dan kumpulan tenaga kerja kami yang mahir dan berpengetahuan,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam dan Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Perniagaan dan Pencapaian Sepanjang Hayat Asia semalam.

Acara itu diadakan sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia:“The Future Of Asia In A New Era Of Disruption And Trade Wars” di sini.

Mohamed Azmin berkata ekonomi yang lebih kecil dijangka menanggung akibatnya apabila dua ekonomi terbesar dunia menghadapi konflik dan terlibat dalam perang perdagangan yang berlarutan.

Tindak balas sementara yang normal itu, katanya untuk menjangka aliran perdagangan yang negatif dan kesan ke atas pertumbuhan ekonomi, dengan pasaran kewangan biasanya memberi tindak balas dengan mengurangkan pendedahan mereka dalam ekonomi yang terjejas,” katanya.

Beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk meneruskan dasar mesra perniagaannya walaupun kerajaan memperkenalkan perubahan dasar untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih baik.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata imbangan perdagangan dalam kerjasama subserantau dalam ASEAN, dikenali sebagai BIMP-EAGA, naik 39.2 peratus dengan nilai sebanyak US$54.7 bilion dalam tempoh 2016 – 2017.

“Nilai eksport meningkat kepada US$79 bilion dalam tempoh sama. Kami yakin ini akan terus memacu pembangunan ekonomi untuk rantau ini,” katanya.

Oleh itu, Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang akan terus mengukuhkan kerjasama serantau untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk negara anggota, katanya.

-BERNAMA

Categories
PELANCONGAN

Pelancongan mampu pacu ekonomi ASEAN – Mohamaddin

PUTRAJAYA, 27 APR: Industri pelancongan ASEAN mempunyai peranan yang penting untuk membantu rantau ini membangunkan ekonomi dan memacu pelaburan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, industri pelancongan ASEAN, menampilkan beberapa destinasi paling pesat berkembang di dunia dengan jarak penerbangan yang kurang daripada empat jam, akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN.

“ASEAN adalah destinasi impian. Dan apabila kita terus memacu momentum, ia akan terus mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan.

“Industri ini membantu kita menjual ASEAN, membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan membantu memacu pelaburan,” katanya pada perasmian Konvensyen Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Zulkifly Md Said.

Konvensyen selama dua hari, yang diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia, dihadiri seramai 160 delegasi dari Singapura, Thailand, Myanmar, Filipina, Kemboja dan Malaysia sebagai tuan rumah.

Mohamaddin berkata, persaingan yang lebih besar bagi pelancongan global akan terus meningkat, menambah kepada cabaran sedia ada yang perlu ditangani seperti ancaman bencana alam dan keganasan.

Beliau berkata,cabaran dalam pelancongan global dan industri pelancongan turut didorong oleh trend ekonomi yang tidak menentu, serta corak perjalanan yang berubah dan pilihan yang boleh memberi kesan kepada industri.

Mohamaddin berkata bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan dan semua peserta industri perlu terus berinovasi, terutamanya dengan tarikan baharu dan acara untuk mengekalkan sektor pelancongan.

Katanya semua pihak perlu bekerjasama untuk membina industri penting ini bagi peluang yang lebih besar dan menghapuskan halangan kepada pertumbuhan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia, ASEAN anjur aktiviti perdagangan berprofil tinggi di Eropah

FRANKFURT, 28 MAC: Satu rangkaian aktiviti berprofil tinggi bagi mempromosi pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia akan berlangsung di Jerman, Belgium dan Belanda.

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Yusri Hasnan Chu berkata, aktiviti itu sebahagian daripada usaha promosi bagi menarik pelaburan dan perniagaan dari negara terbabit.

“Kami menjangkakan satu misi projek khas anjuran ibu pejabat MIDA pada pertengahan April yang akan menjadi misi khusus dalam menangani produk jentera dan kejuruteraan.

“Delegasi ini akan berkunjung ke Frankfurt, Amsterdam dan Stuttgart untuk bertemu syarikat pelaburan yang berpotensi,” katanya kepada Bernama.

Yusri menonjolkan peluang pelaburan kepada perusahaan Belgium dan Eropah, di Malaysia semasa Forum Pelaburan dan Perdagangan ASEAN (ATIF) 2019 di Brussels, pada 4 April ini.

Acara bertema “Forging Partnership for Economic Sustainability” itu bakal menyaksikan Datuk Hasnudin Hamzah, Duta Besar Malaysia ke Belgium dan Luxembourg merangkap ketua Misi Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU), menyampaikan ucapan alu-aluan dalam kapasitinya sebagai pengerusi Jawatankuasa ASEAN, di Brussels.

Wakil pelaburan dan perdagangan ASEAN bersama pelabur, akan mengetengahkan pengalaman mereka di rantau ASEAN termasuk menjalankan perniagaan dan membentangkan perkembangan terkini untuk memajukan integrasi ekonomi, selain mengemas kini masyarakat perniagaan serta pegawai EU berkenaan peluang dan manfaat setiap negara anggota ASEAN.

Satu lagi Forum Perniagaan ASEAN, yang dijangka berlangsung di The Hague, Belanda pada 24 Jun, akan menonjolkan hubungan ASEAN dengan Belanda.

Ia adalah anjuran bersama Kedutaan Besar Diraja Thailand dan Kedutaan Besar Malaysia di The Hague.

Antara tema yang ditampilkan ialah logistik, inovasi, pengurusan air, ekonomi pusingan, biokimia, pertanian dan inovasi makanan. -BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

ASEAN raih manfaat ketegangan perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 23 FEB: ASEAN, terutama Malaysia, Thailand dan Vietnam, adalah penerima manfaat berpotensi daripada perpindahan syarikat antarabangsa dari China, ekoran ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Pakar Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng Singapura, Chua Hak Bin berkata, negara ASEAN akan meraih manfaat daripada potensi peralihan perdagangan dan pelaburan.

“Misalnya, syarikat teknologi multinasional memindahkan sebahagian daripada pengeluaran mereka dan mewujudkan kilang baharu di Asia Tenggara.

“Ini menunjukkan syarikat besar memilih untuk berpindah keluar berbanding menghadapi perang perdagangan itu,” katanya pada sesi Prospek Pasaran Separuh Pertama 2019 Maybank Investment Bank (Maybank IB), di sini hari ini.

Katanya, ASEAN mempunyai potensi untuk mendapat manfaat daripada pertikaian perdagangan terbabit yang membantu meningkatkan modal dan aliran masuk bersih.

Sementara itu, Maybank IB Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak 4.9 peratus bagi 2019, naik berbanding 4.7 peratus pada 2018, ekoran pemulihan dalam sektor pertanian dan perlombongan serta potensi perjanjian perdagangan AS-China.

“Aliran dana asing turut menunjukkan tanda peningkatan yang menggalakkan dengan aliran masuk bersih bernilai RM1 bilion dalam ekuiti Malaysia, pada Januari 2019, sekali gus meraih jualan bersih asing selama tiga bulan,” katanya.

Berkenaan pasaran saham, Maybank IB berkata ia dijangka kekal dalam jajaran kecil untuk sepanjang tahun ini, sambil menambah pelabur perlu berhati-hati dalam pilihan saham mereka ekoran keadaan yang mencabar, pada masa ini.

Pilihan utama termasuk Tenaga Nasional Bhd, Genting Bhd, Astro Malaysia Holdings Bhd, UMW Holdings Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Mega First Corporation Bhd dan Cahya Mata Sarawak Bhd.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tangguh hubungan dialog ASEAN-EU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, menyuarakan pendapat untuk menangguhkan peningkatan hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah kepada status ‘perkongsian strategik’.

Beliau berkata, ia harus ditangguhkan pada satu tarikh akan datang ekoran pertikaian perdagangan minyak sawit yang berterusan.

“Harapan Malaysia bahawa ASEAN dan EU terus berusaha mengukuhkan hubungan antara kedua-dua organisasi berasaskan kerjasama erat yang sedia ada seperti yang digariskan Pelan Tindakan ASEAN-EU (2018-2022).

“Semua menteri luar bersetuju untuk menaiktaraf hubungan itu, namun butiran dan masa akan ditentukan kelak ekoran isu yang dibangkitkan Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Saifuddin berkata, tindakan melabel minyak kelapa sawit sebagai suatu ancaman adalah ‘tidak adil’, memandangkan Malaysia mempunyai lebih daripada 60 undang-undang dan peraturan yang meliputi hidupan liar dan perlindungan alam sekitar sebagai tambahan kepada penekanan keselamatan serta kebajikan pekerja.

“Itu sebabnya tidak adil untuk menyebarkan minyak kelapa sawit Malaysia sebagai ancaman kepada alam sekitar dan bertentangan dengan (Tujuan Pembangunan Mampan PBB). Yang kami masukkan dalam manifesto (Pakatan Harapan), Rancangan Malaysia ke-11 dan Rangka Kerja Dasar Asing kita antara lain.

“Memandangkan kesan buruk terhadap keadaan ini terhadap Malaysia dan negara pengeluar minyak sawit ASEAN lain. Malaysia dan Indonesia bersama-sama sokongan negara anggota ASEAN lain berpendapat bahawa peningkatan hubungan dialog ASEAN-EU ke arah perkongsian strategik seharusnya ditangguhkan ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, dalam bidang anti-keganasan, Menteri Luar menggariskan peranan yang dimainkan oleh Malaysia melalui program pembinaan keupayaan di bawah Pusat Serantau Asia Tenggara bagi mencegah keganasan.

Pada Januari 2018, Parlimen Eropah meluluskan resolusi untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam pengeluaran biofuel di EU pada tahun 2020 dalam usaha untuk menghentikan penebangan hutan di Indonesia dan Malaysia iaitu dua pengeluar komoditi terbesar minyak sawit.

 

Categories
EKONOMI GLOBAL

Perjanjian ASEAN bagi e-dagang buka laluan ke arah ekonomi digital

SINGAPURA, 13 NOV: Perjanjian ASEAN mengenai e-dagang membuka laluan bagi ekonomi digital untuk terus berkembang di rantau ini dan pada masa sama memperkukuh peraturan perdagangan dan pembangunan kesambungan digital serantau.

Ekonomi internet ASEAN dianggarkan mencapai US$200 bilion menjelang 2025.

“Negara Anggota ASEAN (AMS) komited untuk mengekalkan, atau menerima guna secepat yang boleh dilaksanakan, undang-undang dan peraturan yang mentadbir urus transaksi elektronik dengan mengambil kira konvensyen antarabangsa atau model undang-undang berkaitan e-dagang yang terpakai,” menurut Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu yang ditandatangani pada Isnin telah disahkan oleh Menteri-menteri Ekonomi ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-50 pada 29 Ogos, 2018.

ASEAN kini mempunyai 330 juta pengguna internet – jumlah pengguna internet ketiga terbesar di dunia. Secara purata pengguna internet di ASEAN meluangkan masa 3.6 jam sehari di internet mudah alih – lebih daripada pengguna lain di dunia.

Kementerian itu berkata lebih 50 peratus penduduk ASEAN berusia di bawah 30 tahun dan mempunyai daya tarik yang lebih besar kepada teknologi dan transaksi berasaskan internet.

Selain perjanjian itu, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-17 tersebut juga memuktamadkan Perjanjian Perdagangan ASEAN bagi Perkhidmatan.

Ia akan memperkukuh penyepaduan pasaran perkhidmatan ASEAN dan memperkenalkan komitmen berkaitan perdagangan perkhidmatan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih liberal, stabil dan boleh dijangka untuk pembekal perkhidmatan di rantau ini.

Mesyuarat itu juga memuktamadkan Protokol Keempat untuk Meminda Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN yang akan memperkenalkan komitmen yang lebih kuat, yang melarang pengenaan keperluan prestasi ke atas pelabur, dan membantu ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tingkat perdagangan serantau ASEAN

SHAH ALAM, 9 OGOS: Negara ASEAN perlu merebut peluang dalam usaha meningkatkan perdagangan antara satu sama lain ekoran kemelut perdagangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking berkata, fokus kerjasama itu harus membabitkan pengukuhan ekonomi ASEAN, khususnya pasaran digital yang dijangka berjumlah AS$200 bilion (AS$1 =RM4.07) menjelang 2025 berbanding AS$31, pada 2015.

Katanya, kerjasama itu juga mampu dilaksanakan kerana blok itu mempunyai populasi besar, kira-kira 642 juta orang.

“Fokus kepada apa yang kita (ASEAN) ada ketika negara lain (seperti AS dan China) berdepan hari sukar mereka. Dengan bakat yang ada, kita perlu melaksanakan lebih banyak interaksi menerusi Google, Facebook, e-portal dan media sosial lain.

“Kita perlu bersedia untuk menyokong pasaran digital dan meningkatkan ekonomi,” katanya lapor BERNAMA selepas menyampaikan ucapan alu-aluan serta pembentangan mengenai “Memanfaatkan Potensi E-Dagang” sempena sambutan Hari ASEAN ke-51, semalam.

Leiking berkata, perjanjian ASEAN bagi e-Dagang sedang dimuktamadkan dan dijangka selesai akhir tahun ini bagi memudahkan transaksi e-dagang rentas sempadan, di rantau ini.

“Kita akan memaklumkan perkembangan terkini perjanjian itu apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata, selain sambil memacu pertumbuhan terangkum dan mengecilkan jurang dalam rantau terbabit, antara objektif perjanjian itu adalah bagi mewujudkan persekitaran yang diyakini dan dipercayai ketika menggunakan e-dagang.

Beliau juga memaklumkan, akan ke Jakarta untuk bertemu rakan sejawat di Indonesia bagi berbincang dan meningkatkan hubungan dua hala, pada 10 hingga 12 Ogos ini.

Sementara itu, beliau berkata, tidak tahu sama ada transaksi secara dalam talian akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Saya tidak baca yang ia akan (tertakluk kepada SST), namun jika benar, maka ia akan dibincangkan dengan sewajarnya.

“Buat masa ini, kerajaan tidak menyentuh isu itu tetapi saya tidak pasti sama ada rakan dagangan kita yang lain (ASEAN) sudah melaksanakan perkara sama,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Tiga negara ASEAN tunjuk minat bida jadi tuan rumah Piala Dunia 2034

KUANTAN, 16 JUN: Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah bersama jika bersepakat dengan tiga negara Asia Tenggara yang lain untuk melakukan bidaan bagi menganjurkan pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2034.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kerajaan untuk memutuskan jika mahu menyertai Indonesia, Thailand dan Vietnam, yang sudah menyatakan hasrat bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun berkenaan.

“Asia Tenggara mempunyai peluang dan kekuatan untuk membida secara bersama seperti gandingan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanda yang memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah edisi 2026,” kata bekas presiden FAM itu kepada media pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Istana Abdul Aziz di sini, hari ini.

“Memang hakikatnya sudah sampai masa negara rantau Asia Tenggara diberi peluang dan masih mempunyai masa yang cukup mempertingkatkan infrastruktur dan memperkuatkan pasukan kebangsaan masing-masing,” katanya.

Tengku Abdullah, yang baru pulang dari menyertai Kongres FIFA di Moscow, semalam, yakin Malaysia juga mampu menjadi salah sebuah negara tuan rumah berdasarkan kelengkapan infrastruktur yang ada.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Australia dipelawa sertai ASEAN

GLOBAL 17 MAC: Presiden Indonesia, Joko Widodo mahu Australia menjadi anggota penuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), isyarat bahawa beliau mahu Canberra memainkan peranan serantau lebih besar dalam bidang pertahanan, perdagangan dan hal-ehwal keselamatan.

Beliau yang mesra dengan panggilan Jokowi, membuat pelawaan itu sempena penganjuran sidang kemuncak khas ASEAN oleh Australia di Sydney hari ini.

Jokowi berkata demikian ketika China mempamerkan kekuatannya, manakala ancaman keganasan turut meningkat di Asia Tenggara.

“Saya berpendapat ini idea yang baik kerana rantau kita akan menjadi lebih baik untuk kestabilan seperti kestabilan ekonomi dan juga politik. Pasti, ia akan menjadi lebih baik,” kata Jokowi kepada akhbar Sydney Morning Herald, merujuk kepada penyertaan Australia dalam ASEAN.

Ini adalah kali pertama seorang Presiden Indonesia menyokong Australia untuk menyertai ASEAN.

Australia sejak sekian lama merupakan rakan dialog ASEAN merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam sejak tahun 1974.

Dalam satu laporan bulan lalu, Institut Dasar Strategik Australia mengusulkan supaya Canberra menganggotai ASEAN menjelang tahun 2024, sempena ulang tahun ke-50 Australia sebagai rakan kongsi serantau.

Selain itu, ia turut menggesa Australia menggunakan sidang ASEAN di Sydney sebagai platform untuk melancarkan inisiatif itu.

“Memandangkan tekanan geostrategik dan geoekonomi meningkat di Asia, maka, ASEAN selaku kumpulan kuasa pertengahan memerlukan kuasa tambahan yang ditawarkan oleh Australia dan New Zealand,” kata Jokowi.

Tambahnya, sidang kemuncak di Sydney merupakan detik untuk memulakan perbincangan panjang mengenai penyertaan Australia dalam ASEAN.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata, beliau berbesar hati dengan kenyataan Jokowi, namun menekankan bahawa ‘masalah ASEAN adalah masalah untuk ASEAN’.

“Kami sangat menghormati ASEAN, cara mereka mencapai keputusan mereka,” katanya selepas mesyuarat dua hala dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen.

“Kami merupakan rakan dialog ASEAN dan kami menghormati keutuhan ASEAN dan signifikannya serta kepentingannya di rantau kita,” ujarnya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Projek Terusan Segenting Kra RM120 bilion ancam kestabilan ASEAN?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL: Bakal cetus konflik jejas kestabilan ASEAN. Itu persepsi awal apabila cadangan Projek Pembinaan Terusan Segenting Kra sepanjang 135 kilometer (km) bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion) dihidupkan semula.

Nikkei Asian Review pada 7 Ogos lalu melaporkan beberapa individu berpengaruh Thailand termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chanocha untuk meneruskan projek berkenaan.

Rancangan dicadang sekumpulan jeneral dan ahli perniagaan Thailand itu adalah salah satu mega projek infrastruktur paling bercita-cita tinggi dan transformasi besar di Asia – pembinaan terusan perkapalan sepanjang 135 kilometer (km)untuk menghubungkan lautan Pasifik serta India.

Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, maka pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek terbabit akan membelah bahagian selatan Thailand iaitu kira-kira 800km di selatan Bangkok dan kira-kira 200km di sempadan Thailand dengan Malaysia.

https://selangorkini.my/2017/08/cadangan-terusan-segenting-kra-muncul-lagi-ancaman-selat-melaka/

Apabila siap, ia bakal menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan Pulau Phuket.

Terusan itu adalah laluan pintas dari Selat Melaka yang menghubungkan China, Jepun dan negara Asia Timur selain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan.

Di manakah lokasi Segenting Kra?

Segenting Kra adalah bahagian genting dan sempit di selatan Thailand dan di utara Semenanjung Tanah Melayu. Bahagian barat Segenting Kra menjadi milik Myanmar.

Bahagian timur menjadi milik negara Thailand. Segenting Kra menghadap Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pantainya menerima kesan yang teruk akibat dari tsunami Acheh, pada 26 Disember 2006.

Muara Sungai Kra menjadi daratan paling sempit dengan lebar 44 kilometer. Tingginya 75 meter dari aras laut. Bandar utama ialah Kra Buri dalam wilayah Ranong, Thailand.

Segenting Kra12Segenting Kra adalah sebahagian daripada rantaian gunung yang menganjur dari Tibet. Selatannya digelar rantaian kepulauan Phuket. Bahagian utara ialah Banjaran Tenasserim sepanjang 400 km dan dikenali sebagai “Banjaran Tiga Pagoda”.

Cadangan pembinaan bermula lebih 340 tahun lalu

Sejak tahun 1677  iaitu ketika era pemerintahan Raja Narai, beberapa pihak mencadangkan satu terusan dibina di Segenting Kra yang terletak di selatan Thailand tetapi langkah untuk menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan melalui terusan itu masih belum menjadi kenyataan hingga kini.

Rancangan itu menemui jalan buntu kerana kerajaan Siam tidak memiliki dana untuk menampung kos pembinaannya serta tiada kepakaran teknologi untuk meneruskan projek berkenaan, namun tidak pernah dibatalkan.

Apabila British bertapak di Singapura pada 1819, pulau itu ditransformasikan daripada sebuah kampung nelayan kepada pelabuhan utama di rantau Asia. Oleh itu, British tidak pernah bersetuju dengan projek terusan itu kerana khuatir pangkalan maritim mereka di Singapura terjejas.

Siam yang menjadi negara boneka Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, dianggap musuh British dan pihak tentera Berikat. Apabila Jepun menyerah kalah pada 1945, kerajaan Siam terpaksa menandatangani perjanjian dengan pihak British untuk menamatkan status perang di antara dua negara.

Artikel 7 Perjanjian ini mencegah Siam daripada menggali terusan menembusi wilayahnya untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Telukan Siam bagi melindungi kepentingan British di Singapura. Perjanjian ini dibatalkan pada 1954.

Selat Melaka antara laluan terpenting laut dunia

Menurut analisis angka STRAITREP Jabatan Laut Malaysia oleh Nippon Maritime Centre (NMC) yang disediakan secara eksklusif untuk Seatrade Maritime News menyatakan lalu lintas di lorong perkapalan tersibuk di dunia – Selat Melaka dan Singapura (SOMS) naik 3.4 peratus ke tahap tertinggi dengan 83,740 transit, pada 2016 .

Jumlah purata pemindahan harian yang dilaporkan kepada Port Klang VTS di Malaysia pada 2016 adalah 229, naik tujuh dari 2015, dan dibandingkan dengan 201, pada tahun 2011.

Jumlah Aliran trafik lautMemimpin pertumbuhan jumlah transit dalam peratusan pada 2016 adalah VLCC dengan 5,973 transit di Selat, peningkatan sebanyak 649 atau 12.19 peratus lebih 5,324 transit oleh kapal tangki lebih daripada 150,000 dwt pada tahun sebelumnya. Ini jauh melebihi purata pertumbuhan tahunan 4.8 peratus dalam transit VLCC yang dilihat sejak 2007.

Sebagai keseluruhan akaun VLCC adalah enam peratus daripada semua transit Selat.

VLCC yang dimeterai menuju ke Singapura dan Timur Laut Asia mengangkut lorong laut dalam yang hanya 1.3 km lebarnya di “Pos” di Selat Melaka Satu Fathom di Selat Melaka dan hanya selebar 800 meter di satu saluran di Selat Philip di Selat Singapura, jika pelayaran Timur ke luar Singapura.

RUJUK: http://www.seatrade-maritime.com/news/asia/malacca-and-s-pore-strait-traffic-hits-new-high-in-2016-vlccs-fastest-growing-segment.html

Kekuatan ekonomi Singapura ‘kiamat’

Antara negara yang paling menerima kesan pelaksanaan projek Segenting Kra adalah negara berasaskan sumber terbesarnya kepada aktiviti pelabuhan dan perkapalan. Dalam hal ini Singapura dilihat antara negara yang paling terkesan.

Setakat 2013, Singapura diiktiraf sebagai pelabuhan tersibuk di dunia. Menurut sumber Institut Maritim Malaysia (MIMA), lebih kurang 75 peratus kapal dagang yang menelusuri Selat Melaka tidak berlabuh di pelabuhan Malaysia. Kebanyakannya akan berhenti di Singapura atau meneruskan pelayaran ke destinasi terakhir.
peta-singapuraEkoran kekuatan dan kemakmuran ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri perkapalan dan diandaikan terusan Segenting Kra ini bakal memberi implikasi buruk kepada Singapura, pada masa hadapan.

Apa masalahnya laluan di Selat Melaka kelak?

Pada tahun 2025, dianggarkan 122,500 kapal dijangka melalui Selat Melaka. Institut Pengangkutan Antarabangsa Jepun (JITI) menganggarkan bahawa terdapat 140,000 kapal pada 2020.

Menurut pengiraan yang dibuat oleh HM Ibrahim dan Mansoureh Institut Maritim Malaysia (MIMA), Selat Melaka dapat menampung 122,640 kapal setiap tahun [ Kadar tamat pada (TFR = 0.27 = 7vessel / jam cc = 7 x 24 x 365 x 2 = 122,640)] (9).

Menjelang 2024, laluan Selat Melaka akan lebih padat. Ia tidak akan dapat memastikan laluan yang tepat untuk kapal laut dan tidak menjamin laluan selamat mereka.

Kapal itu tidak mempunyai pilihan lain selain memilih laluan alternatif yang lebih lama melalui Selat Sunda dan Selat Lombok.

Bagaimanapun, dianggarkan kos navigasi di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik pasti akan meningkat.

Maka, dengan jangkaan Selat Melaka bakal menjadi laluan laut sesak akan datang, maka ia meningkatkan risiko kemalangan kapal dan tumpahan minyak. Oleh itu, alternatif laluan laut baharu perlu diwujudkan.

RUJUKAN: http://kracanal-maritimesilkroad.com/en/story/the-malacca-straits/

Malah, isu lanun di Selat Melaka serta kejadian tumpahan minyak menjadi ancaman kelestarian hidupan laut disebabkan kesesakan di Selat Melaka dan pada masa sama menjadi tumpuan industri perikanan dan nelayan, di Malaysia dan Indonesia.

Jadikan Segenting Kra projek kerjasama ASEAN

Dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$ 2.6 trilion, ASEAN adalah ekonomi keenam terbesar di dunia dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2050 dengan sesetengah pihak menganggarkan bahawa ASEAN mencapai kedudukan itu, menjelang 2030.

ASEAN juga meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini. Atas semangat ini, maka adalah wajar projek terusan Segenting Kra ini menjadi projek ASEAN dengan dana pelaburan dibiayai  negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand serta negara ASEAN lain yang berminat.

ASEANDengan sumber dana kewangan daripada ASEAN maka kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama secara menang-menang semua negara ASEAN tanpa membabitkan campur tangan kuasa besar dunia yang dibimbangi mempunyai agenda perluasan kuasa dan pengaruh tersendiri.

Melalui terusan ini negara penyumbang dana boleh memperoleh keuntungan berdasarkan nilai sumbangan dana melalui cukai dan tol dikenakan terhadap kapal yang melalui terusan Segenting Kra serta pembangunan wilayah setempat.

Adalah sangat penting semangat ASEAN diterap dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai projek memakmurkan ASEAN secara bersama.

Kesimpulan

Tiada gunanya jika isu Segenting Kra ini hanya merenggangkan keutuhan dan keakraban negara ASEAN. Adalah penting kemakmuran ekonomi dan pembangunan ASEAN dapat dinikmati semua demi generasi masa hadapan.

Kita perlu meninggalkan legasi kemakmuran ekonomi dan kehidupan lebih baik untuk generasi ASEAN masa hadapan bukan menambah konflik serta pertikaian yang hanya memusnahkan kasih sayang juga persaudaraan sesama manusia demi kesejahteraan lebih 630 juta rakyat ASEAN.

 
* Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi SelangorKini.

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Duterte mohon Turki dan Mongolia dibenar sertai ASEAN

MANILA 17 MEI: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata semalam bahawa beliau akan meminta supaya Turki dan Mongolia dibenarkan menganggotai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sekali gus menolak isu tentang kedudukan geografi negara berkenaan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Duterte berkata, pemimpin Turki dan Mongolia memberitahunya tentang niat mereka untuk menyertai ASEAN semasa beliau menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa di Beijing, minggu lalu.

Filipina merupakan pengerusi ASEAN pada tahun ini secara penggiliran.

Duterte mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Mongolia, Jargaltulga Erdenebat dalam acara sampingan semasa menghadiri sidang kemuncak itu.

“Mereka mahu menyertai ASEAN. Mereka juga mahu saya menaja kemasukan mereka ke dalam blok ini. Saya berkata, ya, mengapa tidak,” Kata Duterte kepada wartawan di Filipina.

ASEAN dianggotai oleh 10 buah negara terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ASEANTurki yang bersempadan dengan rantau Asia Barat merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara. Ankara juga berdepan masalah untuk menyertai Kesatuan Eropah sejak sekian lama.

Mongolia pula merupakan sebuah negara dikelilingi daratan dan terletak di antara Rusia dan China.

Kedudukan geografi merupakan kriteria pertama untuk menganggotai ASEAN di samping penerimaan oleh semua anggota blok ber­kenaan.

Duterte berkata, pemimpin Myanmar, Aung Sang Suu Kyi yang juga menyertai forum tersebut di China telah bertanya sama ada beliau mempertimbangkan kedudukan geografi dalam memutuskan untuk menaja Turki dan Mongolia sebagai anggota ASEAN.

Duterte bagaimanapun bertegas bahawa kedua-dua negara itu merupakan sebahagian daripada rantau Asia.

“Mereka (Turki dan Mongolia) adalah negara Asia.

Turki“Turki dilihat berbelah bahagi sama ada mahu menjadi jambatan kepada Eropah dan Asia atau menjadi anggota Asia. Kadang kala mereka menyatakan mereka sebahagian daripada Asia dan kadang kala mereka berkata, mereka ialah jambatan Asia ke Eropah,” kata Duterte.

Setakat ini, tiada ulasan daripada Sekretariat ASEAN yang beribu pejabat di Indonesia berhubung perkara tersebut.

Beberapa negara serantau seperti Timor Timur dan Papua New Guinea telah memohon keanggotaan ASEAN sejak beberapa tahun lalu tetapi hanya diberikan status sebagai pemerhati.

=EZY=