Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 500 peluang kerja menanti asnaf Selangor

SHAH ALAM, 3 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada golongan asnaf negeri ini melalui penganjuran Karnival Penjana Kerjaya.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook berkata program bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berlangsung pada 5 dan 6 April mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Daftar segera di https://bit.ly/LZS2021. Ajak dan sebarkan kepada kenalan asnaf untuk hadir,” maklum LZS.

Menurut agensi itu, setiap calon perlu melayari portal www.myfuturejobs.gov.my untuk maklumat lanjut berhubung kekosongan dan permohonan jawatan.

LZS dan Perkeso kini dalam persiapan akhir bagi melancarkan program temu duga secara fizikal yang akan berlangsung kelak.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 019-6348385 (Helmy), 016-5003092 (Zaim), 019-2945266 (Isma), 019-2969846 (Hassan) dan 019-3720019 (Iqbal).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS anggar agih RM34 juta bantuan raya asnaf

SHAH ALAM, 24 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganggar sejumlah RM34 juta dibelanjakan bagi membantu kira-kira 63,000 asnaf sempena hari raya nanti.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu memandangkan ramai terjejas akibat penularan Covid-19.

“Bantuan ini meliputi semua golongan asnaf iaitu fakir, miskin dan mualaf negeri ini. LZS akan pastikan mereka dibantu dan dapat menyediakan keperluan raya selain menyambutnya dengan meriah,” kata Saipolyazan Mat Yusop kepada SelangorKini.

Menurutnya bantuan berupa sumbangan wang ringgit itu akan diagihkan sehari sebelum Ramadan menerusi transaksi dalam talian.

“Memandangkan negara masih berdepan pandemik Covid-19 ketika ini, kita tidak anjurkan program bantuan seperti selalu sebagai langkah mengekang penularan,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Tujuh keluarga asnaf Ulu Yam Baru terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 6 MAC: Tujuh keluarga asnaf fakir dan miskin dari Ulu Yam Baru menerima bantuan makanan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata sumbangan itu merupakan keperluan fidyah yang diamanahkan oleh syarikat gedung pakaian terkenal, Jakel.

“Zakat Selangor bersama penolong amil kariah Masjid Al Falah Ulu Yam Baru hadir menziarahi tujuh keluarga dari kalangan asnaf fakir dan miskin.

“Semoga dengan bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban keluarga terbabit dalam mengharungi suasana sukar ketika ini,” katanya menerusi Facebook.

LZS juga mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat yang menjadi penyumbang kepada pemberian sumbangan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lembaga zakat sahkan ibu curi makanan daftar asnaf sejak 2018

SHAH ALAM, 21 JAN: Ibu kepada tiga anak yang ditahan selepas mencuri ubat dan makanan untuk anak-anaknya merupakan asnaf berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak 2018.

Agensi berkata keluarga berkenaan menerima bantuan kewangan bulanan, bantuan hari raya dan keperluan sekolah.

“Namun begitu, prihatin dengan apa yang berlaku, Zakat Selangor akan melihat semula keperluan keluarga ini dan permasalahan mereka,” katanya menerusi Facebook.

Hari ini, seorang ibu dilaporkan terpaksa mencuri ubat dan makanan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya ekoran salah seorang anaknya demam.

Prihatin dengan masalah yang dihadapi wanita berkenaan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menyerahkan sumbangan barangan yang gagal dibeli wanita itu untuk anak-anaknya semalam.

Nik Ezanee juga berkata berkata wanita itu diberi nasihat supaya tidak mengulangi perbuatannya dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Categories
RENCANA WAWANCARA

Dibuang kerja selepas majikan ‘bungkus’, asnaf kini tauke

Penutupan syarikat percetakan yang tidak mampu bertahan akibat kegawatan ekonomi kesan penularan Covid-19 mengakibatkan Ahmad Humini Alias hilang kerja Mei lalu.

Dengan notis singkat, bapa lima anak meninggalkan pekerjaannya sebagai penghantar tempahan selepas lima tahun berkhidmat.

Sejak itu, keluarganya kerap kelaparan. Makan pun bercatu. Kadang kala, hanya mi segera mengalas perut anak-anak, berkongsi seorang sedikit.

Lebih buruk lagi, beliau sekeluarga terpaksa mengosongkan rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Mereka terpaksa menumpang teduh di bilik rakannya.

Kerana terdesak, beliau menebalkan muka mengunjungi pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS), langkah yang tanpa disedarinya pada ketika itu menjadi titik peralihan dalam hidupnya.

Berbekal bantuan modal Teraju Ekonomi Asnaf (Teras), Ahmad Humini, 41, kini pemilik pusat cuci kereta yang maju dan sedang berkira-kira mengembangkan lagi perniagaannya.

Ahmad Humini ketika ditemu bual Media Selangor, baru-baru ini. Foto SELANGORKINI

Anak kelaparan

Sebelum ini, beliau kerap memendam perasaan, bahkan mengalir air mata mengenangkan anak-anaknya kelaparan. Hatinya tersayat apabila anak bongsunya berusia lima tahun teringin menikmati makanan segera ayam goreng.

Namun, jangankan ayam goreng, saki baki makanan pun tiada buat dijamah. Wang di saku pula kehabisan. Ahmad Humini terpaksa meminta bantuan makanan dari LZS.

“Demi anak-anak saya tiada pilihan, tebalkan muka ke LZS dan berterus terang di rumah tiada apa nak makan, duit pun tidak ada.

“Mulanya pegawai itu beritahu LZS tidak beri duit, cuma makanan. Saya terima apa sahaja bantuan tetapi mungkin masa menunggu, tengok saya memang memerlukan, LZS beri RM150,” katanya dengan mata bergenang ketika berkongsi kisahnya dengan SelangorKini, baru-baru ini.

Modal niaga

Dalam kunjungan itu Ahmad Humini mendapat tahu LZS dengan kerjasama Teras dan SME Bank menyediakan bantuan modal kepada golongan asnaf yang mahu memulakan perniagaan.

Berbekal pengalaman bekerja sambilan pada hujung minggu di pusat cucian kereta, tempat keluarga Ahmad Humini sebelum ini menumpang bilik beberapa bulan, beliau berhasrat membuka perniagaan sama.

“Dengan bantuan teman rapat itu, kertas kerja saya diterima dan mendapat pembiayaan untuk memulakan perniagaan pusat mencuci kereta,” katanya.

Pembiayaan bernilai RM10,000 meliputi pembelian pelbagai mesin, deposit, sewa tapak, kos ubah suai dan kelengkapan lain.

Pada akhir Ogos, Ahmad Humini memulakan operasi pusat cucian kenderaan yang dinamakannya Legacy Cleaner di Kampung Jalan Kebun, Klang.

Ahmad Humini membersihkan kenderaan pelanggan di pusat cuci keretanya Legacy Cleaner. Foto SELANGORKINI

Perniagaannya bukan sekadar memberi perkhidmatan mencuci kereta dan motosikal tetapi berkonsep pusat hentian setempat merangkumi cucian permaidani rumah ke rumah, masjid dan pejabat.

Perkhidmatan lain termasuk cucian dalaman, mengilat, mencuci sofa dan permaidani kereta, rumah, pejabat dan masjid.

Dalam tiga bulan, hasil keuntungan Legacy Cleaner, beliau mampu memiliki 10 mesin dianggar bernilai RM20,000 antaranya alatan untuk mencuci permaidani, sofa rumah dan kereta, penyedut hampagas, penyembur air.

Pada masa ini, Legacy Cleaner yang menggaji tiga pekerja menerima kira-kira 30 kenderaan sehari selain perkhidmatan lain antaranya mengambil tempahan cuci permaidani rumah, pejabat dan masjid.

“Secara purata, kami mencuci 30 kereta dan dua cucian dalaman kereta disebabkan pusat cucian ini masih baharu dan sekarang pula musim hujan.

“Saya yakin dengan promosi yang betul, sasaran 50 kereta sehari boleh dicapai bila musim tengkujuh berakhir nanti,” katanya.

Ahmad Humini juga menyimpan cita-cita untuk membuka dua lagi cawangan dalam tempoh setahun sekali gus membuka peluang pekerjaan. Beliau mahu membantu mereka yang pernah senasib dengannya dahulu. Malah, beliau juga bercadang untuk melatih pekerjanya membuka perniagaan cucian kenderaan sendiri.

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN sumbang RM1 juta kepada keluarga asnaf terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memberi sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu 5,000 keluarga asnaf di Kuala Lumpur yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

PTPTN dalam kenyataan, berkata sumbangan zakat perniagaan itu disalurkan melalui Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) dengan RM500,000 adalah dalam bentuk barangan keperluan harian, manakala bakinya dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata pihaknya merasai keluh resah dan kesusahan rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat penularan wabak ini.

“Ada yang tidak dapat bekerja seperti biasa, malah ada juga yg diberhentikan kerja, apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan. Situasi ini pastinya memberi kesan kepada kehidupan seharian anak-anak.

“Sebagai agensi yang berperanan menjadi tabung pendidikan negara yang sentiasa dekat dengan masyarakat, PTPTN terpanggil untuk menyumbang agar dapat mengurangkan kesusahan rakyat yang terjejas,” katanya ketika majlis penyerahan sumbangan kepada Dana Kita yang disiarkan di Facebook rasmi PTPTN.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap keluarga asnaf akan menerima sumbangan berjumlah RM200 dengan RM100 berupa barangan keperluan harian manakala selebihnya akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Kami yakin Dana Kita sebagai pertubuhan kebajikan yang bergiat aktif dalam agihan sumbangan dan melaksanakan program amal akan dapat membantu PTPTN bagi merealisasikan hasrat murni ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Dana Kita Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata kerjasama ini merupakan salah satu program outreach Dana Kita untuk tahun ini.

“Diharapkan dengan penglibatan pihak kami dapat mengubah stigma masyarakat terhadap PTPTN yang hanya menguruskan pinjaman tetapi sebenarnya turut menyediakan skim simpanan pendidikan dan prihatin dalam membantu masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi melancarkan pemberian sumbangan ini, Skuad PTPTN Prihatin akan turun padang bersama sukarelawan Dana Kita bagi membantu mengurus agihan sumbangan ini.

Menurut PTPTN, agihan sumbangan ini dijangka bermula bulan ini dan berakhir pada Mac 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Asnaf fakir terlibat kemalangan dapat bantuan kerusi roda

SHAH ALAM, 5 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Hulu Selangor menyerahkan bantuan kerusi roda kepada seorang wanita asnaf fakir di Serendah, baru-baru ini.

Agensi itu melalui kenyataan di Facebook memaklumkan wanita dikenali sebagai Huda terlibat dalam kemalangan motosikal dan menjalani pembedahan kepala di Hospital Selayang.

Lebih menyedihkan, asnaf itu disahkan menghidap kanser payudara tahap empat dan memerlukan rawatan di Hospital Kuala Lumpur secara berjadual.

“Ketika ini beliau dijaga oleh Puan Hana yang juga asnaf fakir sebaik mungkin. Berdasarkan rekod terkini, dua insan istimewa ini merupakan penerima bantuan LZS sejak 2015,” maklum agensi itu.

Agensi tersebut berkata antara bantuan diterima ialah kewangan, makanan, sewa rumah, hari raya, perubatan bulanan dan tambang perjalanan ke hospital.

Pada masa sama, LZS berterima kasih kepada semua pengeluar zakat yang melaksana tanggungjawab bagi membantu insan memerlukan.

Bayaran zakat boleh dibuat di cawangan LZS berhampiran atau dalam talian melalui pautan ttps://fpx.zakatselangor.com.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS: Jumlah asnaf dijangka meningkat 10,000 kesan PKP

SHAH ALAM, 20 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan peningkatan  kira-kira 10,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf hingga hujung tahun ini akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan M Yusop berkata pihaknya menjangkakan seramai 70,000 golongan berkenaan akan berdaftar tahun ini namun angka itu dijangka bertambah susulan ramai yang hilang punca pendapatan.

Beliau berkata pihaknya sedang mengkaji bantuan yang akan disediakan kepada golongan itu bagi memaksimumkan penerima dengan kutipan zakat.

“Kita sedang mengkaji cara membantu mereka yang terkesan ini agar semua memperoleh manfaat dari LZS,” katanya dalam sidang media khas Facebook LZS hari ini.

Mengulas mengenai agihan Ramadan kepada golongan terbabit, Saipolyazan berkata sebanyak RM27.6 juta diagihkan kepada 60,312 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Jelasnya daripada jumlah itu RM19.1 juta diagihkan kepada 41,240 keluarga miskin, RM7.2 juta untuk 14,922 keluarga fakir dan RM1.3 juta bagi 4,150 keluarga mualaf.

“Setiap penerima mendapat bantuan zakat mulai Mei ini dan kadar diterima antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan,” katanya.

Wang zakat itu disalurkan menerusi pembayaran dikreditkan terus ke akaun asnaf atau kaedah V-Cash (Baucar Tunai) yang membolehkan ketua keluarga tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di cawangan Bank Islam.

Selain itu, kaedah tunai juga dilakukan tetapi hanya bagi kes tertentu seperti warga emas, individu yang sakit terlantar atau akaun bank bermasalah.

Categories
AGENSI SELANGOR

Asnaf gembira terima sumbangan mesin jahit

KLANG, 28 FEB: Sumbangan dua set mesin jahit oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada asnaf menyuntik semangat golongan itu untuk menjana pendapatan tambahan.

Salah seorang penerima, Norsyam Mohd Yaakob, 37, berkata minatnya terhadap jahitan bermula sejak usia 16 tahun, namun belum berpeluang membeli mesin jahit sendiri kerana kekangan kewangan.

Norsyam Mohd Yaakob

“Selama ini saya jahit pakaian menggunakan mesin jahit rakan kerana tidak mampu beli. Alhamdulillah sumbangan ini memudahkan kerja saya kerana tidak perlu meminjam lagi,” katanya.

Rafiah Rahmat, 44, pula berkata mesin jahit yang diterima menjadi pembakar semangat kepadanya untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

“Terima kasih kepada PKNS dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) atas sumbangan ini dan saya tekad untuk keluar dari kepompong kemiskinan dengan mengembangkan perniagaan serta mengikuti semua kursus disediakan selama enam bulan,” katanya yang menetap di Setia Alam.

Hasni Abd Wahab

Sementara itu, Hasni Abd Wahab, 41, tekad membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan tidak hanya membiarkan suaminya sahaja mencari pendapatan.

“Suami sokong saya bergiat aktif dalam bidang jahitan dan selama lebih dua tahun menceburinya, keuntungan jualan juga semakin meningkat,” kata ibu kepada enam orang anak.

Semalam, PKNS menyumbang RM50,000 kepada Teras bagi membantu meningkatkan taraf hidup 10 usahawan asnaf melalui pembelian dua jenis mesin jahit.

Categories
NASIONAL

Pemuda autisme agih kuih raya percuma bantu asnaf

KOTA BHARU, 25 MEI: Mempunyai autisme tidak menghalang Muhammad Farid Fakhruddin Md Fauzan, 21, untuk berkongsi rezeki apabila melancarkan kempen ‘Hamper Biskut Raya’ yang bertujuan mengagihkan biskut raya kuih kapit kepada golongan asnaf.

Beliau berkata kempen itu, yang bermula sejak April lepas, berjaya mengutip RM500 hasil sumbangan orang ramai bagi projek amalnya itu.

“Hasil sumbangan orang ramai itu digunakan untuk membeli barangan keperluan bagi menghasilkan biskut raya dan kuih kapit yang akan diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Farid berkata biskut raya dan kuih kapit yang akan diagihkan itu dibuat dan dibakar olehnya sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa.

“Saya memang tidak boleh tengok orang yang susah dan saya akan cuba membantu setakat yang saya mampu.

“Alhamdulilah, walaupun sumbangan yang diterima tidaklah banyak namun sedikit sebanyak ia dapat merealisasikan hasrat saya untuk melaksanakan projek amal pertama ini,” katanya sambil menambah idea projek berkenaan dicetuskan ibunya, Roselina Mohamad Mahiddin,45 tahun.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, bermula Khamis lepas beliau telah mengagihkan bantuan biskut raya kepada enam keluarga yang tinggal di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Bagi projek amal pertama ini saya menyasarkan dapat membantu sekurang-kurangnya 20 keluarga sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk menyiapkan empat hingga lima balang kuih kapit setiap hari dengan pelbagai perisa seperti nutella, coklat, mentega kacang dan cappucino.

Sementara itu, Roselina berkata, Muhammad Farid Fakhruddin mengalami masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan mempunyai minat yang tinggi dalam bidang masakan.

Minat itu turut menjadi terapi yang sangat bagus bagi membantu keadaan Muhammad Farid Fakhruddin untuk fokus dan menjadi lebih baik.

Roselina berkata, anaknya itu memiliki Sijil Kulinari dari Kolej Komuniti Selayang mula membuat kuih kapit secara suka-suka sahaja pada 2016 sebelum menerima tempahan sehingga ke hari ini.

“Muhammad Farid Fakhruddin berjaya membuat jualan melebihi RM3,000 pada Ramadan tahun lepas dan pada bulan lain pula purata jualan antara RM300 hingga RM600 dengan sebalang kuih kapit dijual antara RM20 dan RM30,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa, yang mempunyai anak yang menghidapi austisme, supaya memberi kebebasan kepada mereka untuk mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Asnaf Selat Klang gembira terima sumbangan ADN

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 MEI: Perasaan gembira jelas terpancar pada wajah 100 asnaf Dewan Undang Negeri (DUN) Selat Klang yang menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri bagi Fasa 1.

Ibu tunggal, Haida Diana Hairullah, 38, berkata, beliau amat bersyukur dengan bantuan yang diterimanya kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban dalam menyediakan persiapan Aidilfitri untuk kedua-dua anaknya.

“Syukur dipilih menerima sumbangan ini. Saya bukan orang senang, jadi dengan sumbangan ini dapat membantu keluarga saya,” katanya yang berkhidmat sebagai Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak 15 tahun lalu.

Haida adalah salah seorang daripada 100 asnaf DUN Selat Klang yang layak menerima bantuan tunai Hari Raya Aidilfitri Fasa 1.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dato’ Abdul Rashid Asari menyampaikan bantuan berkenaan dalam majlis berbuka puasa bersama asnaf di Masjid Darul Muttaqin, Sungai Udang, di sini.

Seorang lagi penerima, Abdul Karim Umar, 50, kerjanya yang tidak tetap membuatkannya sukar menyediakan persiapan Aidilfitri untuk tiga orang anaknya.

Beliau sebelum ini bekerja sebagai pemotong rumput, namun kini tidak melakukannya lagi ekoran kedua-dua matanya kabur.

“Kedua-dua mata sudah tidak lagi nampak sebab ada masalah dengan selaput mata, sekarang hanya bekerja mengemas rumah. Itu pun jika orang panggil.

“Isteri pula Suri Rumah, kadang-kadang menjual kuih jika ada permintaan. Pendapatan kami tidak menentu, kadang banyak kadang sedikit,” katanya yang turut menerima bantuan dari Lembaga Zakat Selangor.

 

Categories
SELANGOR

Ramadan lebih bermakna buat 50 keluarga asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Ketibaan Ramadan tahun ini memberi limpahan kegembiraan buat 50 keluarga asnaf di sekitar Zon 24, Petaling Jaya apabila diraikan dalam Majlis Bacaan Doa Selamat, Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya, di Masjid Al Islamiah, Kampung Lindungan, di sini semalam.

Program anjuran Pejabat Ahli Majlis Zon 24 itu turut disertai kira-kira 700 penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Ahli Majlisnya, Nurainie Haziqah berkata, keluarga asnaf terbabit menerima sumbangan daripada QSR Brands Sdn Bhd seperti beras, produk Life dan Ayamas, gula, tepung dan wang ringgit.

“InsyaAllah program sebegini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dan pejabat saya terbuka untuk menerima mana-mana syarikat korporat yang mahu menyumbang kepada golongan asnaf.

“Kawasan Zon 24 Petaling Jaya mempunyai ramai keluarga B40 yang memerlukan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama menjayakan program berkenaan adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pada masa sama, Nurainie berkata, QSR Brands juga bercadang membawa kanak-kanak asnaf dari Zon 24 yang merangkumi kawasan PJS 5, PJS 6, sebahagian kecil PJS 7, PJS 8 dan PJS 10 untuk membuat persiapan membeli baju raya, pada Ramadan ini.

“Kita mengalu-alukan sebarang kolaborasi daripada syarikat korporat ataupun mana-mana organisasi mengikut jejak QSR Brands Sdn Bhd untuk memberi kembali kepada masyarakat yang menyokong perniagaan mereka secara langsung,” katanya.