Categories
SELANGOR

Bantuan asnaf: LZS tidak perketat syarat, hanya laksana pemutihan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 APR: Bagi memastikan bantuan zakat disalurkan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan proses pemutihan dan semakan kelayakan secara tahunan.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, hal itu ekoran peningkatan penerima bantuan setiap tahun di bawah kategori asnaf fakir dan miskin, masalah ekonomi, bilangan tanggungan selain faktor Selangor sebagai lokasi tumpuan untuk mencari pendapatan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pihaknya tidak memperketatkan syarat kelayakan kepada penerima memandangkan cadangan itu disifatkan zalim, sekali gus menafikan hak asnaf mendapatkan bantuan.

“Peningkatan asnaf ini memerlukan dana zakat yang tinggi, namun kita tidak akan berbuat demikian dengan perketat syarat kelayakan sebaliknya, golongan ini harus dibantu.

“Apa yang boleh kita lakukan adalah mengikut kaedah maqasid syariah, memberikan bantuan mengikut keutamaan keperluan daruriyyat (terdesak), hajiyyat (umum) dan tahsiniyyat (apa yang patut),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertambahan penerima bantuan persiapan menjelang Ramadan dan Hari Raya, pada tahun ini.

Semalam, LZS mengadakan program Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf, fakir miskin serta mualaf negeri Selangor 2019, di Dewan Alwi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Program dirasmikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Categories
SELANGOR

Komited bantu asnaf sertai bidang kemahiran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 15 MAC: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan usaha untuk bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi melihat pembangunan terhadap anak asnaf, seterusnya memberi peluang kepada golongan terbabit menyertai kursus dalam bidang kemahiran.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, meskipun LZS menyediakan bantuan kewangan kepada golongan itu, namun mereka menghadapi kesukaran untuk menghadiri kursus bidang berkenaan.

“Giat Mara boleh menyediakan latihan dalam bidang kemahiran, malahan institusi ini juga memberi elaun kepada pelajar. Cuma, mereka mungkin menghadapi kekangan pengangkutan untuk berulang alik.

“Saya harap pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat meneruskan perbincangan dengan mengadakan perjumpaan bersama LZS supaya tidak ada yang keciciran.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan golongan B40 kepada M40 yang boleh berpendapatan sejahtera,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan taklimat bersama beberapa pengurusan tertinggi Giat Mara cawangan Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Categories
SELANGOR

4 asnaf terima bantuan rumah

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 14 MAC: Seramai empat asnaf di Kampung Felda Gedangsa dan Kampung Felda Soeharto menerima rumah bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), pada 12 Mac lalu.

LZS melalui Facebook memaklumkan serahan kunci rumah disempurnakan Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerahnya, Ustaz Huzairi dan Penghulu Mukim Hulu Bernam Utara, Mohamed Jamil.

“Semoga dengan bantuan rumah baharu ini dapat memberi keselesaan kepada mereka sebagai tempat berlindung bagi menjalani kehidupan seharian,” kata LZS.

Pada masa sama, penerima bantuan menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pembayar zakat atas sumbangan itu.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Felda Gedangsa, Setiausaha MPKK Kampung Felda Soeharto, Nazir dan Ketua Penolong Amil Kariah Masjid Al Makmur Felda Gedangsa.

Categories
NASIONAL

JAWI jangka tempatkan mesin ATM beras di 85 masjid

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjangkakan 85 masjid, di kawasan itu bakal dilengkapi mesin ATM beras, khusus bagi membantu 23,000 asnaf yang berdaftar dengan pihaknya menerima beras secara percuma.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, rancangan penempatan mesin ATM beras di masjid itu akan dibincangkan lebih lanjut, pada persidangan antara Jawatankuasa Masjid Wilayah Persekutuan, bulan depan.

“Mesin ATM beras pertama dilancarkan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat malam ini (tadi),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesin ATM beras, di sini.

Mesin ATM berharga RM19,000 itu adalah kiosk pertama dalam negara dan mempunyai dua fungsi, iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti diperlukan dan mempunyai tabung derma bagi mereka yang ingin menyumbang wang untuk tujuan isian semula.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat untuk menjadi rakan strategik bagi bersama memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Badan korporat yang mempunyai bajet Tanggungjawab Sosial Korporat diharap dapat menjadi rakan strategik masjid dan JAWI, dalam usaha mempermudahkan penyaluran bantuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 10 asnaf dari kawasan Datuk Keramat menerima kad pintar mesin berkenaan, yang melayakkan mereka menerima dua kilogram beras seminggu secara percuma.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerjasama majikan sedia peluang pekerjaan untuk asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 13 JAN: Pihak industri khususnya majikan disaran tampil bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak asnaf, di negeri ini.

Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LSZ, Dr Adibah Abdul Wahab berkata, langkah itu disifatkan wajar kerana turut memberi peluang kepada semua pihak untuk bersama meringkankan beban keluarga golongan terbabit.

“Strategi kami adalah untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak yang boleh menyediakan pelbagai bidang kemahiran bukan sahaja kepada golongan asnaf, tetapi masyarakat lain yang memerlukan.

“Pendekatan ini secara tidak langsung membantu asnaf daripada terus dihimput belenggu kemiskinan, seterusnya berupaya membangunkan tahap ekonomi mahupun sosial keluarga apabila bekerja kelak.

“Selain menyediakan peluang pekerjaan, pembabitan semua pihak ini turut membolehkan golongan asnaf ‘sustain’ dalam setiap pekerjaan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Latih & Kerja Belia Selangor anjuran Skills Johor, di German-Malaysian Institute (GMI), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Skills Johor, Zakbah Harun dan Ketua Seksyen Pembangunan Perniagaan GMI, Mohd Tanwyn Mohd Khushairi.

Terdahulu, program yang mendapat penajaaan sepenuhnya daripada LZS itu membabitkan penyertaan seramai 31 pelatih lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdiri daripada golongan asnaf fakir, dari seluruh Selangor.

Sepanjang tujuh hari program berlangsung, pelatih didedahkan dengan beberapa modul latihan seperti ilmu peruncitan dan perkhidmatan, membuat resume, pembangunan jati diri dan strategi pengurusan kewangan.

Dr Adibah berkata, kesemua pelatih berkenaan juga berjaya menerima tawaran pekerjaan daripada beberapa rakan syarikat termasuk Family Mart, Jaya Grocer dan Golden Screen Cinema (GSC).

“Dalam masa terdekat mereka akan mula bekerja kerana sudah melepasi proses temuduga, malahan majikan yang mendapatkan pekerjaan kepada mereka turut memberikan respon positif semasa menjalani temuduga.

“Mereka datang dengan persediaan penuh rapi terutama daripada segi pengetahuan, kemahiran, pakaian dan komunikasi,” katanya.

 

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS makin ‘agresif’ bantu asnaf

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semakin aktif membantu asnaf fakir dan miskin, sekali gus bertekad mengeluarkan kumpulan berkenaan dari terus dibelenggu status sama.

Ketua Devisyen Pembangunan Asnaf LZS, Zaharudin Salim berkata, ia terbukti apabila lebih 126 anak asnaf yang tidak berjaya menempatkan diri di universiti tempatan berjaya mendapatkan pekerjaan melalui usaha institusi berkenaan.

Katanya, mereka dibantu menjalani program kerjasama bersama syarikat pembekal latihan terkenal, termasuk Naza Academy, CIDB Holdings Sdn Bhd dan SIRIM.

“LZS adalah agensi yang sentiasa memberi bantuan dan kami mengeluarkan mereka daripada status asnaf, salah satunya dengan membantu mendapatkan pekerjaan.

“Mereka akan diberi latihan kemahiran mengikut minat masing-masing selepas tamat pengajian, malah pekerjaan berkaitan disediakan mengikut sijil kursus diambil dan sehingga kini difahamkan gaji minimum mereka serendah RM1,800,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berharap LZS akan terus melahirkan anak asnaf cemerlang dan berkualiti mengikut pasaran kerja, sekali gus memberi manfaat kepada negeri, masyarakat serta keluarga.

“Harapan kami juga supaya bantuan ini mendatangkan manfaat kepada asnaf untuk cemerlang dunia dan akhirat, seterusnya mengeluarkan diri dari kepompong kemiskinan kemudian menjadikan mereka sebagai pembayar zakat bagi membantu yang lain,” katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS agih zakat lebih RM700 juta, santuni ummah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus komited dalam menyantuni ummah apabila berjaya menyempurnakan tanggungjawab menguruskan agihan zakat lebih RM700 juta tahun lalu.

Ketua Divisyen Pembangunann Asnaf, Zaharuddin Salim berkata, LZS bertanggungjawab dengan menyediakan kemudahan terbaik kepada umat Islam yang ingin menunaikan zakat di negeri ini.

“Setiap tahun LZS berusaha menyempurnakan amanah kepada lebih 278,000 pengeluar zakat dengan menyalurkan sejumlah RM124.5 juta bantuan zakat di bawah Program Pembangunan Asnaf.

“Kita mengutamakan pendidikan dan latihan kepada generasi kedua asnaf untuk mengubah diri dan kehidupan keluarga.

“Antara bantuan yang disalur setiap tahun ialah Bantuan Pendidikan Dalam dan Luar Negera, Dermasiswa Huffaz, Kursus Pembangunan Asnaf, Program Sekolah Angkat (PROSA) dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Agihana Pendidikan Pelajar Asnaf 2018 di Dewan Canselor, Management dan Science University (MSU), hari ini

Zaharuddin berkata, tahun lalu juga LZS menyalur bantuan pendidikan bagi 263 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah berjumlah RM7 juta.

Selain itu, katanya bagi Bantuan Wang Saku, LZS telah mengagihkan sejumlah RM15.2 juta kepada 6,000 pelajar asnaf di Selangor.

“Kesemua sumbangan dan bantuan ini adalah daripada penyalur zakat yang prihatin.

“Sekiranya pihak pengeluar zakat terus memberikan kepercayaan untuk menunaikan zakat dengan LZS, bantuan ini akan disalurkan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Zaharuddin berkata LZS memerlukan sejumlah peruntukan untuk pengurusan rumah-rumah perlindungan asnaf di Bait Al-Mawaddah (warga emas), Bait Al-Hasanah (pelajar), Baitul Salam (mualaf) dan Baitul Hikmah serta Pusat Latihan Asnaf Zakat Selangor.

Peruntukan zakat juga disalur kepada beberapa rumah perlindungan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi asnaf Riqab.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS salur RM1.2 juta santuni golongan asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 23 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan zakat sejumlah RM1.2 juta kepada 130 golongan asnaf fakir dan miskin melalui program Bantuan Asas, di daerah Petaling, hari ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkata, ia adalah kesinambungan daripada bantuan lain yang sudah diterima mereka sebelum ini selain memenuhi keperluan asasi asnaf zakat, di Selangor.

“Ia merangkumi bantuan sara hidup, makanan, perlindungan, perubatan dan pendidikan supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

“Namun, hari ini, dikhususkan pemberian kediaman kepada golongan asnaf fakir dan miskin dengan setiap tahun kami sudah memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan penginapan kepada mereka,”katanya pada sidang media selepas Majlis Program Bantuan Keperluan Asasi Asnaf Fakir dan Miskin di Dewan Pangsapuri Enggang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Zulkurnain Che Ali.

Abdul Basith berkata, sejumlah 26 rumah di Pangsapuri Enggang itu akan menjadi milik golongan asnaf fakir dan miskin berkenaan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

“Antara syarat yang dikenakan, golongan asnaf fakir dan miskin tidak boleh menjual atau menyewakan rumah berkenaan selama tempoh 10 tahun. Ini bermakna mereka perlu menetap, di situ. Tugas LZS adalah membantu golongan ini daripada segi membayar baki akhir rumah mereka dan membaik pulih kediamannya.

“Selain itu, ia juga selaras dengan usaha pihak LZS untuk memberi keselesaan serta semangat kepada golongan asnaf fakir miskin ini untuk berusaha dan keluar dari kepompong kemiskinan,”katanya.

Sementara itu, penerima bantuan zakat, Azlan Ahmad, 44, berkata, beliau berterima kasih kepada LZS kerana membantunya untuk memiliki rumah, sekali gus dapat meringankan bebannya yang hanya bekerja sebagai pemandu.

“Saya berasa gembira kerana terpilih untuk turut serta dalam program hari ini, terima kasih LZS,” katanya yang mempunyai tanggungan sembilan anak.

Selain itu, bagi penerima bantuan zakat, Zawiyah Nordin, 70, beliau gembira dan berharap LZS akan meneruskan program seperti itu, pada masa akan datang.

“Saya berharap LZS akan terus membantu golongan asnaf fakir dan miskin ini pada masa akan datang terutamanya di saat ekonomi yang kian merudum ini,”katanya.

Categories
SELANGOR

Keluarga asnaf akan dibantu dapat rumah sewa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Keluarga asnaf fakir miskin yang dihalau dari rumah, di Pangsapuri Pandan Jaya, dekat sini, tempoh hari akan dibantu bagi mendapatkan kediaman sesuai dalam tempoh terdekat.

Pegawai Khas ADN Chempaka, Hafiz Razak berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Chempaka akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.

“Kami akan cuba menawarkan mereka rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, di Shah Alam untuk mereka duduki buat sementara waktu.

“Kami juga akan memantau dan membantu keluarga berkaitan dari segi kewangan dan keperluan sehingga mereka berjaya memiliki rumah untuk diduduki,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keluarga itu pernah diberi bantuan wang ringgit dan barang dapur oleh Pejabat ADN Chempaka bagi meringankan beban.

Katanya, mereka juga mendapat bantuan daripada Pusat Zakat Selangor untuk membiayai sewa rumah.

“Keluarga ini pernah ditawarkan rumah PPR DBKL tetapi menolaknya atas faktor kawasan jauh dari sekolah anak mereka di Pandan Jaya,” katanya.

Keluarga berkaitan iaitu Yusaini Pungut, 39, bersama isteri dan enam anaknya diarah keluar atas beberapa masalah dengan tuan rumah.

Sebelum ini, mereka dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan ditempatkan sementara, di bilik penginapan Masjid Al Azim Pandan Indah, Ampang, dekat sini.

Tindakan itu dilakukan bagi mendapatkan rumah sewa baru untuk mereka.

Categories
AGAMA SELANGOR

Anak asnaf gembira, bersyukur dapat bantuan persekolahan

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 20 DIS: Anak-anak asnaf merasa gembira dan bersyukur apabila menerima sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan bagi sesi 2018 dalam program Penyampaian Sumbangan Projek Baju Sekolah 2017 di Pasaraya Mydin USJ, di sini.

Kegembiraan itu jelas terpancar di wajah Nurul Aqmar Asyiqin Said, 11, yang bersemangat untuk memilih kelengkapan persekolahan bersama rakan-rakan seusianya.

“Saya gembira dan bersyukur kerana ada pihak yang sudi memberikan bantuan untuk membeli barang-barang sekolah seperti baju dan kasut. Kalau tiada bantuan ini, mungkin saya akan memakai baju dan kasut sekolah yang sama sahaja,” katanya.

Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Fahrin Hazrain Khairul Nizam, 10, yang berpendapat, bantuan itu menaikkan semangatnya untuk kembali ke alam persekolahan pada tahun hadapan.

“Hari ini pelbagai kelengkapan sekolah yang mereka belikan. Saya rasa sangat ‘best’ dan tidak sabar nak masuk sekolah..terima kasih kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Affin Bank,” katanya dalam nada gembira.

Seramai 60 anak-anak asnaf fakir, miskin dan muallaf menerima sumbangan bantuan persekolahan dalam program tersebut di sini, hari ini.

Setiap anak-anak tersebut diperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM200 seorang yang diberikan kepada sukarelawan ABIM bagi membantu mereka membeli kelengkapan persekolahan.

Program tersebut adalah anjuran ABIM dan Affin Islamic Bank dengan kerjasama Pasaraya Mydin.

=EZY=

Categories
SELANGOR

175 usahawan disasar keluar kategori asnaf

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 175 usahawan disasarkan keluar daripada kategori asnaf dan fakir miskin, tahun ini.

Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) merangkap ahli jawatankuasa operasi agihan Zakat, Datuk Ibrahim Md Yusof, berkata jumlah itu daripada keseluruhan 500 usahawan asnaf di Selangor.

Katanya, tahun lalu, seramai 173 usahawan berjaya dibentuk menerusi pakej bantuan ekonomi daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Tahun ini kita jangkakan 150 usahawan. Di peringkat TERAS, kita mendidik mereka dan memberi latihan kepada mereka sehingga mereka berjaya meningkatkan pendapatan.

“Apabila berjaya, mereka ini juga mampu membayar zakat sekaligus keluar daripada kategori asnaf dan fakir miskin,” katanya selepas merasmikan program Transformasi Usahawan Asnaf (TUAS) 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Ibrahim berkata pihaknya turut memperkenalkan agensi yang besar untuk golongan ini mempertingkatkan perniagaan mereka selepas diberi latihan dan bimbingan.

Dalam program terbabit, seramai 300 usahawan asnaf berhimpun bersempena dengan program TUAS.

IMG_0378 aProgram terbabit menyasarkan usahawan asnaf zakat yang menerima bantuan ekonomi LZS dan berpotensi untuk keluar dari kategori asnaf.

Selain menyuntik motivasi dalam kalangan usahawan asnaf, ia turut menjadi platform untuk usahawan membina jaringan perniagaan lebih luas di samping memberi pendedahan berkenaan peluang pembiayaan kewangan dan pengembangan perniagaan dari agensi lain.

EZY

Categories
SELANGOR

407 asnaf, mualaf terima RM203,500

OLEH : SYASYA SUFIAN

CYBERJAYA, 23 JUN: Seramai 407 orang asnaf fakir dan miskin serta mualaf menerima sumbangan hari raya dengan jumlah keseluruhan RM203,500 dalam Masjis berbuka Puasa bersama rakyat dan sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri di Masjid Raja Haji Fi’ Sabilillah, semalam.

Majlis penyampaian sumbangan diserahkan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada 287 asnaf dan 120 saudara baru dengan bantuan tunai berjumlah RM500 seorang.

CP2A7807-800x533Baginda turut mencemar duli berbuka puasa dan solat maghrib, isyak serta solat sunat tarawih bersama rakyat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata masyarakat harus bersyukur keranaa berpeluang merasai nikmat dan rahmat Ramadan menerusi amalan berpuasa dengan ibadah sunat lain seperti bersedekah, berzikir, bertadarus al-Quran dan memberi makan kepada orang berpuasa.

“Hari-hari terkahir ini, contohilah Rasullah saw dengan beriktikaf walaupun baginda sibuk berjihad, mengajar dan berjuang demi kemaslahatan kaum muslimin untuk mendapatkan anugerah tuhan khususnya di malam al-Qadar,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis dan Ahli Dewan DiRaja.

-NFN-