Categories
PBT SELANGOR

Kuala Langat dapat satu lagi Bas Smart Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri menambah sebuah lagi bas Smart Selangor di kawasan seliaan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk kemudahan penduduk setempat.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, penambahan itu akan menjadikan Kuala Langat mempunyai empat Bas Smart Selangor termasuk sebuah gantian.

Katanya, penambahan itu adalah untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, sekali gus mengatasi kesesakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar.

“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk daerah ini, MDKL diberikan tambahan sebuah Bas Smart Selangor bagi kemudahan pengangkutan, sekali gus menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sebagai alternatif pengurangan penggunaan kenderaan, di daerah ini.

zain mdkl“Menurut rekod sejak Mei 2016 sehingga Jun tahun ini, jumlah penumpang bagi perkhidmatan bas percuma mencatatkan peningkatan 266,249.

“Manakala dari Januari sehingga Jun lalu pula mencatatkan 156,957 penumpang,” katanya dalam kenyataan.

Zain berkata, perkhidmatan bas percuma bermula dari jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam dengan kekerapan perjalanan selama 67 minit dan antara laluan baharu dilalui adalah seperti Banting–MDKL–Hospital Banting–IPD Kuala Langat–Taman Banting Baru yang berakhir di Hentian Banting.

Sementara itu, sembilan pondok menunggu bas sedia ada seperti di Jalan Kiambang 5, hadapan Sheng Leong Cycle, Hospital Banting, berdekatan IPD Kuala Langat, Taman Sri Putra, Sungai Raba, Kolej Matrikulasi Selangor dan Kampung Kathong turut akan memberikan kemudahan kepada pengguna.

Manakala tambahan tempat baru yang akan dilalui pula adalah di Pasaraya Econsave, Jalan Kiambang 5, IPD Kuala Langat, Pejabat Majlis Daerah Kuala Langat, hadapan Medan Selera Majlis, hadapan Taman Kemuning, kawasan Perniagaan Jalan Sungai Lang, hadapan Sheng Leong Cycle Trading, Hospital Banting, IPD Banting, Pawagam My Cinema, Masjid At-Taqwa, Taman Mulia dan Taman Seri Putra.

Selain itu adalah Persimpangan Jalan Serdang Belah, IKBN Kuala Langat, ILP Kuala Langat, Sekolah Kebangsaan Jugra, bulatan Taman Banting Baru, Sungai Raba, Kolej Matrikulasi Selangor, Kampung Kathong, Sekolah Menengah Sains Banting, Kuarters TUDM, Kem TUDM, Sekolah Menengah Kebangsaan Jugra, ILP Kuala Langat, IKBN Kuala Langat, sebelum Persimpangan Jalan Serdang Belah, hadapan Restoran Madina Seafood dan Taman Mulia.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 3.15 juta penumpang sudah nikmati Bas Smart Selangor

NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Lebih 3.15 juta penumpang menikmati manfaat dari kemudahan Bas Smart Selangor bagi tempoh 1 Julai 2015 hingga 30 September 2016.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatkan sebanyak 62 peratus.

Katanya, angka itu juga menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas sekaligus menepati sasaran Kerajaan Negeri meningkatkan kualiti perkhidmatan itu.

“Memandangkan populariti dan penumpang semakin meningkat, maka bagi 2017 sejumlah RM20 juta diperuntukan bagi memperluaskan perkhidmatan ini,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

teng-dunSelain itu, Chang Khim berkata perkhidmatan itu sentiasa dikaji dan dinilai bagi memastikan perkhidmatan bas ditambah baik dari masa ke masa.

“Sambutan sangat memberangsangkan ini memberikan isyarat positif kepada Kerajaan Negeri untuk sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015 sehingga 30 September 2016, perkhidmatan itu sudah beroperasi di 11 daripada 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan jumlah sebanyak 34 buah bas.

bas-smart Manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga menyediakan perkhidmatan bas percuma iaitu PJ CityBus sebanyak 22 buah beroperasi di sekitar Petaling Jaya.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM8.82 juta setakat 15 Oktober 2016. Manakala 2015, Kerajaan Negeri membelanjakan RM6 juta bagi tujuan yang sama.

Jumlah terbabit merangkumi kos sewaan, wrapping, penyelenggaraan dan cukai barangan dan perkhidmatan.

-nR-

Pendapat Orang Ramai : Bas Smart Selangor dimonopoli warga asing?

TVSelangor mendapatkan reaksi orang ramai berkenaan isu warga asing yang dikatakan menguasai perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor.

Bas Percuma Selangor Mesra OKU, Wifi percuma


MBPJ kini mempunyai 22 buah bas percuma, dilengkapi kemudahan Wifi dan mesra OKU. Kerajaan Negeri sasar seluruh PBT laksana sepenuhnya bas percuma pada Julai ini.

Seluruh Selangor nikmati bas percuma, Julai ini


Kerajaan Selangor mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di semua daerah sebelum Julai ini.

Categories
SELANGOR

452,000 sudah guna bas percuma Smart Selangor

OLEH: NORHAYATI UMOR

AMPANG, 5 JAN: Lebih 452,000 pengguna menggunakan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor sejak diperkenalkan Julai 2015.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata statistik itu bermula Julai hingga November 2015.

“Dari statistik yang kita terima, jumlah ini menunjukkan peningkatan setiap bulan sejak dilancarkan. Pada Julai sebanyak 26,709 pengguna dan meningkat kepada 57,246 pengguna pada November,” katanya di Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor, di Ukay Perdana 2, di sini.

basMPAJ 1Chang Khim berkata Kerajaan Negeri turut merancang untuk menambah satu laluan baru di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyediakan perkhidmatan itu.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja membekalkan laluan bas tapi juga rangkaian bas secara menyeluruh di LRT, MRT dan BRT,” katanya.

Tahun ini, penduduk sekitar Ampang dan Kajang bakal menikmati perkhidmatan bas percuma susulan penambahan lapan lagi ‘Bas Smart Selangor’ bermula esok.

Sebelum ini, perkhidmatan bas percuma oleh Kerajaan Negeri dilancarkan pada 1 Julai lalu membabitkan 11 buah bas yang beroperasi di tiga kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan perkhidmatan bas secara percuma bagi meningkatkan keselesaan dan kepentingan rakyat selaras dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk di Selangor.

Beliau berkata, ia juga satu bentuk usaha sama antara Kerajaan Negeri dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat bas terpilih iaitu Rapid Bus Sdn Bhd.

Semua Bas Smart Selangor mempunyai ciri yang lengkap dengan kemudahan tempat duduk keutamaan, berkapasiti 60 orang penumpang, kemudahan Wifi dan mesra orang kelainan upaya (OKU).

Inisiatif perkhidmatan bas percuma itu bakal diperluaskan ke kawasan luar bandar seperti pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPSj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) secara berperingkat mulai 2016.

EZY

Categories
SELANGOR

MBPJ maju setapak lagi dalam pengangkutan awam

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 OKT : Usaha berterusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menambah baik pengangkutan awam dalam belanjawan 2016 pihak berkuasa tempatan (PBT) itu disambut baik.

Ahli Majlis MBPJ, Ir Lee Suet Sen, berkata PBT itu mengambil langkah besar ke arah meningkatkan pengangkutan awam apabila memperkenalkan perkhidmatan bas percuma pada 2014.

Katanya, perkhidmatan dikenali sebagai PJ City Bus itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Petaling Jaya dengan anggaran 9,000 penumpang sehari.

MBPJ“Saya mengucapkan tahniah kepada MBPJ kerana mengiktiraf kepentingan pengangkutan dalam bandar dengan memperuntukkan RM9.275 Juta pada bajet 2016.

“Dengan kemajuan ini, ia memberi keyakinan dan jaminan kepada masyarakat bahawa lebih banyak laluan dapat ditingkatkan pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, memandangkan MBPJ tidak mampu mengekalkan pertumbuhan rangkaian bas percuma pada masa akan datang, enam laluan bas transit bakal dimuktamadkan.

Cadangan itu adalah merangkumi Damansara Damai ke Sg Way, Kota Damansara ke Ara Damansara, Damansara Damai ke Sg Way, Bandar Utama ke Kelana Jaya, Bandar Utama ke PJS 3/2 dan SS2 ke Jalan Othman.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mempunyai halangan untuk MBPJ menjalankan tender bagi laluan bas transit itu dan kita hanya menunggu persetujuan rasmi mereka,” katanya.

bas selangorku 1Selain itu, Suet Sen juga mencadangkan maklumat berkenaan perkhidmatan bas percuma itu ditunjukkan dengan jelas di semua perhentian bas selain menyediakan akses mudah kepada pengguna.

“Bas percuma memainkan peranan penting untuk meningkatkan penyertaan penduduk terhadap pengangkutan awam sekaligus memudahkan sasaran 35 peratus penggunaan kemudahan itu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tukar laluan Bas Selangorku, lebih mesra rakyat

Oleh: NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 30 JULAI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengesyorkan supaya laluan ‘Bas Selangorku’ ditukar dan lebih bersifat mesra rakyat.

Yang DiPertuanya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata hal itu ekoran bas percuma terbabit kurang mendapat sambutan bagi penduduk kawasan pentadbirannya.

Katanya, ketika ini dianggarkan penumpang yang menaiki bas itu sekitar 70 hingga 80 orang sahaja termasuk warga asing setiap hari.

hisham“MPSJ akan menghantar beberapa syor kepada Kerajaan Negeri bagi cadangan penambahbaikan. Antara syornya adalah mengubah laluan perjalanan termasuk ke Seri Kembangan, Puchong dan Kinrara.

“Kita faham terdapat beberapa masalah antaranya pihak Rapid mungkin tidak membenarkannya Bas Selangorku melalui laluan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan, di sini, semalam.

Nor Hisham berkata, bagaimanapun perlaksanaan perkhidmatan itu masih terlalu awal untuk dinilai.

“Buat masa ini terlalu awal untuk dinilai. Kita bagi masa setahun dan lihat bagaimana. MPSJ juga mencadangkan ia diperluas secara berperingkat,” katanya.

Beliau menjangkakan perkhidmatan bas percuma itu akan mendapat sambutan meluas selepas projek Bas Elektrik siap.

Bas Selangorku“Setakat ini, kami sudah mengedarkan lebih enam ribu risalah sebagai pemberitahuan berkenaan perkhidmatan itu,” katanya.

Pelaksanaan perkhidmatan Bas Selangorku itu mula beroperasi pada 1 Julai lalu mengikut laluan ditetapkan setiap PBT dengan kekerapan perkhidmatan setiap 15 minit.

Perkhidmatan itu disediakan kepada semua lapisan rakyat setiap hari secara berjadual bermula pada jam 6.00 pagi dan berakhir 10.00 malam.

Perkhidmatan bas secara percuma itu disediakan di tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

Seronoknya naik bas percuma Selangorku

Oleh: LIZAWATI MADFA

Lebih lima tahun tidak menaiki bas, perasaan semestinya berdebar-debar untuk menggunakan perkhidmatan awam itu. Entah apa rupa bas percuma, Bas Selangorku. Sedangkan yang berbayar pun tidak selesa. Yang percuma ini macam mana.

Demi tugas, aku dan sahabat, Remy menunggu di pintu masuk utama Bangunan SUK. Jam menunjukkan 11.40 pagi. Tidak sampai lima minit, kelihatan bas Rapid dengan tag elektronik, ‘Bas Selangorku’. WB 3284 N. Bas baru. Detik hatiku.

Kami masuk disambut senyuman pemandu bas yang kemudian aku dapat tahu namanya Roslan Ramli berusia 48 tahun.

DSC_9836 Terdapat dua penumpang sedia ada dalam bas. Dari pakaian mereka, aku yakin mereka berdua pelajar. Kalau di Shah Alam sama ada Unisel atau UiTM.

Kemudian mata aku terus meliar memerhatikan perut bas. Memang betul bas baru. Bau kilang. Aku berjalan perlahan dari ruang hadapan ke belakang.

Tempat duduknya berwarna biru. Bahagian hadapan siap dengan ‘seat belt’. Ruangan tengah sa-ling menghadap dan lebih rendah daripada tempat duduk lain. Bahagian belakang tempatnya lebih tinggi.

Ada juga ruangan yang agak luas. Betul-betul berhadan pintu keluar di bahagian tengah bas. Oh untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) atau untuk mereka yang berkerusi roda. Bagaimana si OKU dan yang berkerusi roda mahu naik bas. Fikirku. Aku biarkan persoalan itu dahulu.

Aku ke hadapan semula, menghampiri pemandu bas yang sedari awal tidak lokek senyuman.

DSC_9818“Kalau masa begini, memang orang agak kurang, tapi kalau waktu puncak pagi dan petang memang ramai. Begitu juga Sabtu dan Ahad,” kata Roslan yang nampaknya peramah, menyenangkan kerja kami.

Tidak dinafikan, perkhidmatan yang disediakan Kerajaan Selangor itu memang selesa, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ada pemadam api, peti pertolongan cemas, CCTV, ruangan luas, dan akan datang sistem perkhidmatan Wifi.

Di bahagian hadapan, terdapat skrin yang memaparkan laluan dan perhentian bas. Terdapat 22 perhentian. Antaranya, SUK, UiTM, Unisel, Jakel, Hospital Shah Alam, Pasar Seksyen 6, Dataran MBSA dan Hentian Komuter Seksyen 19.

Nampaknya penumpang agak ramai di kalangan pelajar, bukan sahaja pelajar universiti, ada juga pelajar sekolah menengah.

“Percuma dan selesa, siapa tidak mahu. Lagi-lagi dalam keadaan ekonomi kurang baik sekarang,” kata pelajar jurusan Akaun Unisel, S. Kokilavani ketika diminta komen ringkas.

“Tetapi tidak ramai yang tahu, rasanya Kerajaan Selangor perlu perhebat lagi promosi. Jika tidak rugilah peruntukan berjuta-juta,” sambungnya.

Setuju. Memang nampaknya orang kurang tahu. Orang mungkin nampak ‘Bas Selangorku’ terpampang depan bas, tetapi orang tidak tahu ke mana laluan bas ini sebenarnya. Apakah lalu dekat dengan tempat tinggal mereka.

bas selangorku 2Apapun, Roslan harus dipuji. Dia bertindak mempromosi bas. Setiap kali berhenti di perhentian, dia akan membuka pintu hadapan dan menyapa orang ramai untuk masuk. Malah menerangkan perhentian mana dilalui bas. Inisiatif terpuji.

Sepanjang perjalanan, kami hanya melihat satu banner sahaja di Hentian Komuter Seksyen 19. Itupun banner pelancaran pada 1 Julai lalu. Selain dari itu tidak ada pemberitahuan atau promosi lain di speanjang jalan. Benar. Promosi sangat diperlukan.

Kami berhenti lama di Seksyen 19. Sambil menunggu penumpang, kami berborak panjang dengan Roslan.

Lebih 11 tahun bekerja di Rapid Sdn Bhd, Roslan menerangkan setiap kemudahan dalam bas berkenaan.

Katanya, segala pergerakan bas dipantau rapi oleh Rapid di ibu pejabat di Cheras Selatan melalui sistem GPS. Perhubungan atau sebarang panggilan juga dilakukan secara ‘walkie talkie’ yang diletak bersebelahan stereng, memudahkan pemandu.

“Kita ada CCTV (Kamera Litar Tertutup). Jadi saya dapat lihat dari tempat duduk sahaja pergerakan para penumpang, sama ada mereka selesai turun bas atau sebagainya,” katanya yang sentiasa bersemangat, walaupun berpuasa. Menunjukkan beliau cintakan kerjayanya.

Selepas 15 minit menunggu, tiada penumpang baru. Kekal kami berdua dan Roslan. Roslan mula menutup pintu masuk bas dan bergerak meneruskan ‘trip’ seterusnya. Sebanyak 16 trip dilakukan Roslan dan pemandu lain setiap hari, bermula jam 6 pagi hingga 9 malam.

Katanya terdapat lima buah bas, empat yang digunakan sementara satu sebagai simpanan jika berlaku masalah kepada bas lain. Ini bagi menjamin kelancaran perkhidmatan.

Sewaktu meluncur untuk ke SUK, terserempak Bas Selangorku yang lain berlawanan arah. Lajunya. Tegur Remy yang sejak tadi asyik mengambil gambar.

“Bas Rapid hanya boleh pergi setakat 80 kilometer sejam, tidak boleh lebih. Tengok ni,” tepis Roslan sambil menekan pedal minyak, namun memang benar hanya setakat itu sahaja.

“Kalau ada cakap laju itu sama sekali tidak benar,” sambungnya. Remy tersengih cuma.

Bas SelangorkuSesampai di SUK, sebelum turun bas aku melihat kawasan pintu masuk bas sebelum turun. Memikirkan bagaimana seorang OKU atau berkerusi roda dapat masuk bas.

Roslan faham. Dia senyum dan melakukan sesuatu. Aku melihat bas itu tampak lebih rendah kedudukannya, memudahkan orang melangkah masuk, tidak terlalu tinggi seperti aku masuk awal tadi.
“Kita boleh ‘adjust’ bagi tinggi rendah. Itulah dikatakan mesra OKU.

“Untuk yang berkerusi roda pula di bahagian pintu tengah ini. Kita buka ini dan turunkan, jadi mereka boleh sorong naik, kita pun sedia bantu,” katanya sambil melakukan demo.

Tepat jam 12.40 tengah hari. Tamatlah perjalanan kami untuk kembali ke SUK.

Kalau begini perkhidmatan bas yang ada, kami pun mahu menggunakan pengangkutan awam sahaja. Lagilah dalam keadaan nilai ringgit terendah dalam sejarah, minyak naik, GST, tol juga bakal naik. Memang jimat sangat kalau ada bas percuma.

Malangnya kami tiada peluang itu. Tempat tinggal kami begitu jauh dari laluan Bas Selangorku.
Benar kata Exco Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim pada hari pelancaran minggu lepas. Rugilah jika rakyat Selangor tidak memanfaatkan perkhidmatan ini.

Tetapi nampaknya sekarang ramai lagi rakyat tidak tahu. Sesuatu harus dilakukan Datuk.

Dan untuk aku sendiri, pengalaman menaiki Bas Selangorku bukan seperti bas henti-henti yang lain. Rasanya lebih selesa daripada menaiki kenderaan sendiri. Aku takkan keberatan untuk naik hari-hari. Tak mungkin berdebar lagi.

# Lizawati adalah wartawan SelangorKini

Categories
SELANGOR

Selangor lancar bas percuma, BN naik harga minyak

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JUL: Rakyat Selangor dihadiahkan perkhidmatan bas percuma, Bas Selangorku ketika Kerajaan Persekutuan menambah beban dengan menaikkan harga petrol, hari ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata RM3.6 juta diperuntukkan bagi perkhidmatan berkenaan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

IMG_3835“Secara kebetulan, hari ini minyak naik lagi. Kita pula melancarkan bas percuma yang terbuka kepada semua tanpa mengira status, usia, dan bangsa.

“Sekurang-kurangnya, rakyat ada pilihan untuk hadapi tekanan akibat kenaikan harga minyak,” katanya selepas merasmikan Bas Selangorku di perkarangan Stesen Komuter Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad; Yang DiPertua MPK, Datuk Mohammad Yacob dan Yang DiPertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

IMG_3955Chang Khim berkata, perkhidmatan itu juga akan diperluas ke pihak berkuasa tempatan lain untuk mengurangkan tekanan kesesakan trafik.

“Terutama di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Kita juga melihat keperluan untuk meluaskan perkhidmatan di kawasan luar bandar bergantung kepada permintaan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bas sekolah percuma di Petaling Jaya

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 12 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk pelajar sekolah mulai tahun hadapan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata perkhidmatan itu diperkenalkan bagi kemudahan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar bandar raya itu untuk perjalanan pergi juga balik setiap hari.

“Perkhidmatan ini dirancang kerana kita dapati pelajar menghadapi kesulitan dan terpaksa berpindah laluan bagi mendapatkan bas sekolah setiap hari.

murid blog meru“Dengan pendekatan ini, maka pergerakan akan menjadi lancar dan mempercepatkan anak kita pergi dan balik sekolah di samping menjimatkan perbelanjaan ibu bapa,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, MBPJ akan mengadakan perbincangan susulan dengan Rapid Bus Sdn Bhd selain menetapkan lalua yang akan digunakan.

Katanya, MBPJ akan menentukan waktu bagi perkhidmatan iaitu pada awal pagi juga tengah hari dan bas terbabit dibolehkan mengangkut orang awam selepas tempoh itu berakhir.

“Bas digunakan adalah bas sama untuk ‘PJ City Bus’ tetapi mempunyai masa bagi perkhidmatan kepada pelajar sekolah,” katanya.

Mohd azizi mbpjMBPJ merancang menambah bilangan bas dan laluan bagi meningkatkan perkhidmatan ‘PJ City BUS’ tahun hadapan.

Dijangka pertambahan akan membabitkan dua atau tiga bas termasuk bas eletrik bersesuaian dengan status Petaling Jaya sebagai bandar raya karbon rendah dan berkonsep teknologi hijau.

Ketika ini, ‘PJ City Bus’ menyediakan 10 bas dengan dua laluan manakala perancangan tahun hadapan sekurang-kurangnya 12 bas dengan dua laluan tambahan.

Perkhidmatan dengan perbelanjaan RM2.9 juta itu bermula 11 April lalu dengan laluan PJ01 dari hab Jalan PJS 3/2 ke Stesen LRT Taman Jaya manakala laluan PJ02 dari Stesen LRT Taman Jaya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bas percuma diperluas hingga Ampang Jaya, Selayang & Kajang

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 MEI : Perkhidmatan bas percuma untuk kemudahan rakyat ditumpukan di kawasan bandar sebagai usaha memperkasa pengangkutan awam di negeri itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS dan Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata kawasan penumpuan masa kini adalah di Shah Alam, Klang dan Subang Jaya.

bas komunitiKatanya Kerajaan Negeri kini dalam proses rundingan untuk mendapatkan harga terbaik bagi pelaksanaan perkhidmatan itu.

“Petaling Jaya sudah mulakan perkhidmatan ini dengan baik begitu juga di Shah Alam tetapi kita perluaskan lagi.

“Tetapi disebabkan kekangan bajet, maka buat masa ini kita bercadang untuk perluaskan di Shah Alam dan mulakan servis di Klang dan Subang Jaya,” katanya kepada Selangor Kini.

Chang Khim berkata Kerajaan Negeri turut bercadang memperluaskan perkhidmatan bas percuma ini di Ampang Jaya, Selayang dan Kajang.

Katanya bagi merealisasikan hasrat ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bersedia memperuntukkan sejumlah dana di samping mendapat tajaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“PBT perlu bantu dari segi dana supaya kita boleh mulakan program ini dengan cepat supaya rakyat dapat merasai kemudahan pengangkutan awam percuma.

” Kita juga mulakan kajian mengenai perkara ini untuk lihat segala aspek sebelum ia diperluaskan di kawasan lain,” katanya lagi.

EZY