Categories
KENYATAAN MEDIA

Najib mesti hentikan penganiayaan terhadap aktivis hak asasi

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Sejak penahanan mengejut Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah pada 18 November lalu, kerajaan pimpinan Datuk Sri Najib Razak kini sedia untuk berperang melawan aktivis dan organisasi hak asasi manusia.

Kempen penindasan beliau dibuat berdasarkan teori konspirasi yang sengaja diada-adakan, kononnya aktivis Malaysia yang memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih, pemerkasaan wanita, kebebasan berucap dan hak asasi, telah menjalankan aktiviti menggugat demokrasi berparlimen mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Seksyen 124C menjadikan ‘aktiviti menggugat demokrasi berparlimen’ sebagai jenayah bagi kumpulan yang mahu menggunakan ‘keganasan dan perbuatan tidak berperlembagaan’.

Kuasa 124C dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah keterlaluan dan tidak relevan digunakan ke atas NGO seperti BERSIH, Lawyers for Liberty dan EMPOWER yang membantu golongan tertindas, lemah dan memerlukan menerusi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang luhur.

Kumpulan ini melakukan tuntutan aman untuk – pilihan raya adil dan bebas dan kebebasan berucap – yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Langsung tiada asas untuk menggunakan undang-undang kasar yang menindas seperti SOSMA dan 14C terhadap aktivis masyarakat sivil.

Tuduhan teori konspirasi tidak berasas oleh Najib dan UMNO diteruskan lagi dengan tuduhan bahawa aktivis ini adalah boneka kuasa luar dan kini kita lihat George Soros sekali lagi digunakan sebagai kambing hitam untuk meyakinkan orang ramai supaya kekal bersama UMNO demi keselamatan.

Aktiviti kumpulan sivil ini kemudiannya dipaparkan sebagai jahat dengan alasan mereka menerima ‘dana asing’.

azmin-parlimenNamun saya ingin bertanya, bukankah ekonomi Malaysia terbuka untuk pelaburan asing? Adakah dana organisasi ini hanya dipersoalkan sekiranya mereka menegur pencabulan UMNO/Barisan Nasional terhadap hak asasi dan hak demokrasi rakyat Malaysia untuk menikmati demokrasi berparlimen melalui pilihan raya bebas dan adil?

Kita juga boleh bertanya, mengapa deposit dana asing ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri tidak dianggap sebagai isu demokrasi berparlimen?

Di mana kebertanggungjawapan Perdana Menteri sekiranya kuasa luar berupaya mempengaruhi institusi politik tertinggi negara secara langsung menerusi ‘derma’

Penganiayaan terhadap organisasi hak asasi ini hanyalah sandiwara yang dimainkan bagi mengalih tumpuan terhadap krisis politik UMNO.

Mereka gagal mewujudkan suasana positif, maka kembali menggunakan taktik lapuk dengan menanam ketakutan dan kebencian berdasarkan pembohongan.

Bersempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, saya menyeru Najib dan UMNO supaya menghentikan pembulian ke atas aktivis hak asasi ini.

Mereka sebenarnya adalah orang yang cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.

*Mohamed Azmin adalah Dato’ Menteri Besar dan Timbalan Presiden KEADILAN

Categories
NASIONAL

BERSIH perlu konsisten walaupun kerajaan bertukar

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 DIS: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) perlu konsisten meneruskan perjuangan menuntut pilihan raya adil seperti yang diperjuangkan hari ini walaupun jika Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

Pengasas Akademi Pak Sako, Najwan Halimi berkara, tuntutan terbabit perlu diteruskan jika Kerajaan Persekutuan diterajui PAKATAN ketika itu turut gagal melaksanakan lapan tuntutan asas.

“Jika PAKATAN ketika itu juga gagal adakan pilihan raya bersih dan adil, maka BERSIH wajar melakukan perkara sama seperti yang mereka lakukan hari ini,” katanya ketika forum bertajuk ‘Demontrasi Jalanan, Baik dan Buruk?’ di Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini.

Najwan berkata, pihak lain juga bebas mengadakan demontrasi jalanan bagi menyuarakan pendapat mereka kepada Kerajaan Negeri di bawah PAKATAN.

Bagaimanapun, Najwan berkata, tuduhan bahawa BERSIH tidak berlaku adil kerana tidak mengadakan bantahan terhadap Kerajaan Negeri di bawah PAKATAN adalah tidak berasas.

“Ini kerana Kerajaan Negeri tidak memiliki kuasa menentukan perjalanan pilihan raya,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

PRU-14: Orang ramai diseru bawa 10 pengundi baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Orang ramai diminta mendaftarkan 10 orang yang layak sebagai pengundi baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, BERSIH 2.0 juga akan memastikan PRU-14 dijalankan secara bersih dan adil berbanding PRU lalu.

“Saya harap kita akan berkerjasama sehingga PRU-14 dengan membawa lebih ramai pengundi baru mendaftar supaya mereka boleh mengundi pada PRU-14.

“Saya harap anda semua boleh dapatkan 10 orang untuk mendaftar dan mengundi PRU-14 serta BERSIH 2.0 berjanji akan memastikan PRU-14 diuruskan dengan baik,” katanya di Dataran Merdeka, malam tadi.

Maria berkata, pelbagai perkara boleh diubah termasuk memansuhkan akta drakonian iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketika mengulas pembebasannya selepas 11 hari ditahan di bawah SOSMA, Maria percaya beliau dibebaskan atas faktor tekanan rakyat terhadap tindakan itu termasuk mengadakan perhimpunan setiap malam di Dataran Merdeka.

“Terima kasih kerana memberi sokongan. Kalau tidak kerana sokongan anda semua, tidak mungkin saya dibebaskan,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

BERSIH tiada kaitan dengan Soros

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Maria Chin Abdullah disoal siasat setiap hari untuk memberi tekanan kepada beliau berkenaan dakwaan menerima wang sumbangan daripada Yayasan George Soros.

Mengimbas kejadian ditahan selama 11 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Maria berkata, beliau tetap dengan pendirian bahawa BERSIH 2.0 tidak menerima dana daripada yayasan terbabit.

“Selepas dua hari ditahan, setiap hari saya dikenakan apa yang mereka panggil soal siasat.

“Sebenarnya itu bukanlah soal siasat tetapi mereka berulang kali tanya soalan sama supaya saya mengaku melakukan perkara yang saya tidak buat,” katanya ketika berucap di hadapan hampir 1,000 penyokong BERSIH 2.0 di Dataran Merdeka, malam tadi.

Maria berkata, beliau juga ditekan supaya mengaku BERSIH 2.0 mempunyai kaitan dengan perhimpunan BERSIH 5 yang diadakan di luar negara atau Global BERSIH.

maria chinKatanya, himpunan baju kuning yang berlangsung di luar negara bukan anjuran BERSIH 2.0 tetapi adalah inisiatif rakyat Malaysia yang menetap di negara terlibat.

“Tindakan cuba mengaitkan Global BERSIH dengan BERSIH 2.0 jelas hanyalah percubaan pihak berkuasa memburukkan kebangkitan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya.

Pada masa sama, Maria berkata, BERSIH 2.0 turut didakwa memiliki dana RM3.2 bilion yang disifatkan tidak berasas, malahan sukar dipercayai.

“BERSIH 2.0 tidak mengambil satu sen pun duit daripada Soros Foundation dan akaun kita ada dipamerkan di laman sesawang untuk diperiksa tetapi mereka tidak percaya kerana sangka kita ada RM3.2 bilion.

“Siapa yang boleh percaya?,” soalnya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pembebasan Maria Chin dirai penuh semangat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Hujan lebat tidak menghalang hampir 1,000 peserta berkumpul di Dataran Merdeka, malam tadi bagi menyambut ketibaan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Maria Chin Abdullah yang dibebaskan semalam.

Sambutan pembebasan Maria itu dimulakan dengan ucapan beberapa aktivis BERSIH 2.0 termasuk bekas Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Perhimpunan yang sarat dengan ucapan penuh bersemangat itu bertambah hangat apabila Maria tiba di tapak perhimpunan kira-kira jam 9.00 malam dengan laungan “hidup Maria” dan nyanyian “Maria Bebas” juga “Mansuh SOSMA”.

Maria yang kelihatan bersemangat turut menyampaikan ucapan sulungnya selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Antara yang hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; kartunis Zunar dan ramai lagi.

img_2125Pada 18 November lalu, Maria Chin ditahan dalam serbuan di pejabat BERSIH 2.0 di Petaling Jaya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya,

Beliau yang ditahan selama 11 hari disiasat di bawah SOSMA berdasarkan penemuan satu dokumen.

Beliau juga turut disiasat mengikut Seksyen 124c Kanun Keseksaan atas kesalahan menjalankan aktiviti yang dikatakan menjejaskan demokrasi berparlimen.

-AA-

Categories
NASIONAL

Siasat pengkhianat 1MDB, bukan Maria Chin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 NOV: Pihak berkuasa perlu lebih fokus menyiasat dalang yang menyebabkan negara kehilangan hampir RM60 bilion hingga memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan keselamatan, berbanding mereka yang terlibat dengan perhimpunan BERSIH 5.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, rakyat juga tertunggu-tunggu perkembangan kes membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ini yang rakyat tunggu kerana meletakkan negara dalam keadaan bahaya terhadap pelbagai aspek terutama ekonomi yang menjadi salah satu punca Ringgit terbenam, malahan susut paling teruk di rantau Asia.

“Inilah musibah sebenar berbanding Maria Chin yang hanya adakan perhimpunan aman. Mereka yang jadi penyangak dan pengkhianat termasuk pegawai dinamakan ‘Malaysia Official 1’ (MO1) oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat wajib disiasat polis,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas pembebasan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah daripada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), semalam.

Pada masa sama, Suee Lim berkata, selain menjejaskan ekonomi, situasi yang berlaku hari ini boleh memberi kesan terhadap keselamatan negara apabila mudah ditekan dan dipaksa memberi keistimewaan atau mengikut telunjuk negara asing.

Terdahulu, seramai 14 aktivis BERSIH 2.0 dan pemimpin Pakatan ditahan polis ekoran terlibat dalam himpunan BERSIH 5 di ibu negara, pada 19 November lalu.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bebas segera, Maria Chin bukan pengganas

SHAH ALAM, 25 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggesa pihak berkuasa segera membebaskan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dari tahanan tanpa sebarang syarat.

Katanya, Maria yang kini ditahan di bawah Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berada dalam sel kurungan seorang diri tidak bertingkap yang dikhususkan untuk pengganas.

“Sebelum mempengerusikan BERSIH, Maria mengasaskan EMPOWER dan berkempen, terutama menerusi internet untuk menghentikan keganasan ke atas wanita.

“Kini beliau adalah pemimpin gerakan pilihan raya bebas dan adil serta aktivis menghentikan keganasan atas wanita.

“Beliau bukan pengganas, beliau perlu dibebaskan segera,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Membebaskan Wanita Daripada Keganasan pada peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN turut menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada kempen pembebasan Maria.

Pada 18 November lalu, Maria ditahan mengikut SOSMA, diikuti pemimpin dan aktivis pro BERSIH.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anak Maria Chin sambung semangat ibu

OLEH SYASYA SUFIAN

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Tiga anak lelaki Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah menyuarakan rasa tidak wajar apabila pihak berkuasa menahan ibu mereka yang tidak melakukan sebarang kesalahan, bahkan bukan pengganas.

Anak sulungnya, Azumin Mohd Yunus, 23, berkata beliau kecewa, pilu dan marah dengan tindakan kerajaan yang menganaiya ibu mereka.

“Ibu kami pejuang, demi sebuah negara hanya untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

free-maria“Ibu kami yang tak buat apa-apa kesalahan dan berjuang demi keadilan untuk pilihan raya bersih, jadi kenapa dia perlu ditahan seperti pengganas?

“Bagaimanpun, kami tahu mereka menahan dia hanya untuk mematahkan semangat daripada terus menentang kerajaan, namun kami juga tahu semangat dia tetap ada dan itu yang kami akan terus perjuangkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Anak bongsunya, Azemi Maria Mohd Yunus, 20, berkata mereka tidak mendapat sebarang maklumat tentang keadaan Maria buat masa ini.

“Ketika kali terakhir kami bertemu ibu Sabtu lalu (19 November). Kami hanya dimaklumkan beliau ditahan di jel dengan lampu dipasang 24 jam. Dia tidak diberi bantal selimut dan hanya diberi dua pasang pakaian.

“Memang kami berasa sedih dengar keadaan ibu di sana, namun melihat ramai yang hadir memberikan semangat, sokongan moral dan bersoladiriti, kami lebih berkobar menuntut hak kebebasan ibu kami,” katanya.

Maria ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di pejabatnya di Petaling Jaya sehari sebelum perhimpunan aman Bersih 5.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Elak provokasi Baju Merah, patuh arahan penganjur Bersih

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 NOV : Peserta Bersih 5dinasihatkan tidak terpengaruh atau terlibat dengan tindakan berunsur provokasi dicetuskan mana-mana pihak bertujuan menganggu kelancaran proses penganjuran himpunan aman itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, peserta disarankan mematuhi arahan penganjur bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang penganjuran himpunan tersebut berlangsung.

“Peserta perhimpunan Bersih 5 diminta mematuhi arahan penganjur. Jangan sesekali terperangkap dengan provokasi kumpulan Baju Merah.

“Bersih 5 juga diminta mengawasi agar dapat dielakkan kumpulan menyamar (sebagai kumpulan bersih) menyelinap masuk,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menjelang penganjuran Bersih 5 di Dataran Merdeka Sabtu ini, perhimpunan aman itu menuntut sistem pentadbiran negara lebih telus dan pilihan raya bersih tanpa wujudnya campurtangan pihak berkepentingan.

Sebelum kemuncak pengajurannya, Bersih 5 sebelum ini mengadakan kempen dan konvoi di seluruh negeri mengajak seluruh masyarakat untuk turut sama hadir membuat gesaan tersebut.

Bagaimanapun, beberapa insiden dilaporkan berlaku sebelum ini susulan tindakan provokasi dan ancaman jenayah oleh kumpulan Baju Merah yang diketuai pimpinan Umno, Datuk Jamal Yunos.

Bersih 5 dianjurkan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdepan isu derma dan penyelewengan dana syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

EZY

Categories
NASIONAL

BERSIH tak minat layan geng baju merah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tidak pernah berniat melawan kumpulan baju merah, sebaliknya lebih berminat menuntut pembaikan sistem politik dan institusi negara.

BERSIH dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus fokus dengan perjuangan dan tuntutan yang dimahukan rakyat antaranya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu diselesaikan.

“Peserta konvoi BERSIH tidak berminat melayan mereka (baju merah). Mengapa? Kerana tujuan kami bukan untuk melawan gangster.

“Tujuan kami untuk menuntut akauntabiliti skandal korupsi 1MDB dan pembaikan sistem politik juga institusi negara,” katanya.

Baru-baru ini, berlaku insiden pertempuran antara peserta BERSIH dan baju merah di dua lokasi berbeza iaitu Pusat Beli-belah Ampang Point dan Hulu Langat.

jamalWalaubagaimanapun, peserta BERSIH diserang ketika mengedarkan risalah hingga menyebabkan kecederaan dan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa ditumbuk di hidungnya.

Mengulas lanjut, BERSIH berkata, mereka dihentikan Gerakan Baju Merah dan seorang petugas keselamatan juga ketua koordinator ditumbuk.

“Kekacauan turut berlaku di Rawang dan Ampang, diketuai ketua gangster negara Jamal Yunos selain kejadian sama di Labuan, Tanjung Malim, dan Bangi.

“Jelas sekali baju merah UMNO berani buat provokasi tetapi takut pula dirakam kamera, justeru kami menyeru pihak polis untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

BERSIH 5: Maria Chin terima ugutan bunuh kali kedua

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV: Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah sekali lagi menerima ugutan bunuh menjelang pengajuran himpunan BERSIH 5, pada 19 November ini.

Menulis di Twitter, Maria bagaimanapun berkata, ancaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengadakan demostrasi berkenaan.

“Kali kedua menerima ugutan bunuh. Himpunan Bersih akan diteruskan dan kita tidak akan henti membantah,” katanya.

Namun, Maria tidak mendedahkan butiran ancaman bunuh yang diterimanya.

Maria menerima ancaman bunuh kali pertama, pada pertengahan Oktober lalu menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali.

untitled-1Mesej itu turut melampirkan gambar Datuk S Ambiga bersama anggota sekretariat BERSIH, Mandeep Singh yang diacu pisau di leher mereka seperti dilakukan militan IS.

Ketiga-tiga mereka juga menerima ancaman bunuh secara bertulis berserta gambar.

Selain Maria, ahli keluarganya turut menerima ancaman sama oleh individu tidak dikenali selepas kereta anak lelakinya disimbah cat merah.

Laporan polis berkenaan insiden itu sudah dibuat, namun tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga kini.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

BERSIH enggan layan publisiti murahan Jamal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 OKT: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kekal dengan tuntutannya untuk menyaman Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos ekoran mendakwa badan itu diserapi IS.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, Bersih tidak perlu melayan tindakan tidak bertangungjawab Jamal, sebaliknya kekal fokus meneruskan tuntutan gabungan itu ke arah pentadbiran negara lebih telus.

“Saya tidak mahu respon lebih atau memberikan publisiti murahan secara terus kepada Jamal dan saya tidak perlu berhabis masa untuk perkara remeh ini.

“Kami akan terus fokus dengan matlamat dan tuntutan kami. Untuk Jamal, kita hanya perlu jumpa di mahkamah nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Jamal yang mengoyakkan surat tuntutan saman Bersih 2.0 dan bertindak membuangnya ke dalam lubang tandas.

Lebih memalukan, sidang media Jamal turut dibuat di tandas bangunan Umno Selangor di Shah Alam, semalam.

maria chinPada masa sama, Maria turut mempersoalkan kredibiliti Umno apabila melahirkan pemimpin gangster dengan tahap mentaliti sedemikian.

“Saya tiada perkataan untuk tindakan itu, cuma rakyat boleh fikir bagaimana seorang Datuk dalam kalangan ahli Umno boleh bertindak sedemikian.

“Adakah Umno melahirkan seorang gangster seperti Jamal?” soalnya.

Maria sebelum ini menuntut Jamal membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam berhubung dakwaannya yang mengaitkan Bersih dengan kumpulan militan IS.

Bagaimanapun Jamal enggan membuat permohonan maaf, kononnya mendakwa beliau memiliki sumber sahih berhubung dakwaannya terhadap Bersih.

-AA-