Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Negara kekal OPR pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata MPC juga menyifatkan keputusan serta pendirian membabitkan dasar monetari tersebut sebagai wajar dan akomodatif.

Ia menegaskan, berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negara.

“Bank Negara Malaysia akan terus komited untuk menggunakan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan,” kata bank pusat itu.

Menurut BNM, di peringkat domestik, penunjuk terkini menunjukkan permintaan luaran bertambah baik manakala perbelanjaan pengguna berterusan.

Malah, katanya, walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan penularan Covid-19 akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang pernah dialami pada suku kedua 2020.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan diunjurkan meningkat mulai suku kedua dan seterusnya, didorong oleh pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar serta langkah-langkah pembendungan yang lebih bersasar,” katanya.

BNM berkata, pertumbuhan itu akan turut disokong oleh aktiviti pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sektor perkilangan yang sedia ada dan baharu, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas.

“Pelaksanaan program pemvaksinan Covid-19 di peringkat dalam negara akan terus meningkatkan sentimen dan kegiatan ekonomi.

“Bagaimanapun, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi rendah. Keadaan ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian berterusan mengenai perkembangan berkaitan pandemik serta cabaran yang akan dihadapi dan boleh menjejaskan (usaha) vaksinasi pada peringkat global dan dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, purata inflasi keseluruhan pada 2021 diunjurkan lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga minyak.

Menurut BNM, dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun ini berikutan asas lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negara pada suku sama 2020 yang menyederhana selepas itu.

“Inflasi asas juga dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi, namun prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi,” kata BNM.

Selain itu, ia juga menyifatkan pemulihan ekonomi global semakin rancak meskipun tidak sekata, disokong oleh peningkatan stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan.

Pada masa sama, program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di kebanyakan negara-negara berserta sokongan dasar akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan swasta dan pasaran tenaga kerja, katanya.

“Meskipun pasaran kewangan telah mengalami turun naik, keadaan kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi.

“Risiko terhadap prospek pertumbuhan juga telah berkurangan sedikit tetapi terus cenderung ke arah pertumbuhan lebih perlahan yang disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian mengenai pandemik Covid-19 serta keberkesanan program vaksinasi,” kata BNM.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM: Moratorium menyeluruh automatik jejaskan ekonomi, rakyat

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Pelaksanaan moratorium menyeluruh secara automatik tidak akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bercakap pada sidang media pengumuman prestasi KDNK suku keempat 2020 secara maya pada Khamis, beliau berkata pertama, langkah itu akan mengurangkan penampan bank dan sekali gus menyukarkan individu serta perniagaan untuk memperoleh pinjaman baharu.

“Kedua, kekukuhan dan keuntungan bank penting untuk jutaan rakyat Malaysia, yang bukan sahaja sebagai pendeposit malah sebenarnya pemegang saham secara langsung (dari segi) simpanan dan pegangan mereka dalam institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Amanah Saham Bumiputera, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji.

“Ketiga, pendekatan bersasar adalah lebih baik berbanding dengan moratorium menyeluruh memandangkan ia memberi pilihan kepada peminjam, (membolehkan mereka) membuat keputusan kewangan masing-masing,” katanya.

Nor Shamsiah berkata 1.4 juta rakyat Malaysian memohon bantuan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan, dengan kadar kelulusan 95 peratus.

Beliau berkata kira-kira 45 peratus peminjam memilih bagi pengurangan ansuran bulanan.

“Peminjam membuat pilihan bijak dalam menguruskan hutang mereka berlandaskan kemampuan mereka. Jadi, mereka tidak meminta moratorium, mereka tidak mahu satu penyelesaian untuk semua keadaan atau peminjam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM naik kepada US$108.6 bilion pada 29 Jan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$108.6 bilion pada 29 Jan, 2021, berbanding US$107.8 billion pada 15 Januari.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Bank pusat berkata komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$100.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (US$1.2 bilion), emas (US$2.4 bilion) dan aset rizab lain (US$3.2 bilion).

Aset-aset ini terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR berjumlah RM436.59 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.14 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.95 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM18.47 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM17.07 bilion).

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM169.96 bilion), mata wang dalam edaran (RM137.68 bilion), deposit oleh institusi kewangan RM140.61 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM8.5 bilion), deposit-deposit lain (RM11.91 bilion), kertas Bank Negara (RM10.22 bilion), peruntukan SDR (RM7.79 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.62 bilion).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM peruntuk RM2 bilion kemudahan bantuan, pemulihan bersasar

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan tambahan kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) berjumlah RM2 bilion serta penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) 2021 sebanyak RM200 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata peruntukan tambahan TRRF itu meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM4 bilion dan ia akan disediakan sehingga 31 Disember, 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, yang mana terdahulu.

“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kini boleh memohon TRRF, tertakluk pada jumlah had pembiayaan tidak melebihi RM500,000.

“Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan berkaitan pelancongan, bantuan terus disediakan di bawah Kemudahan Pelancongan Penjana yang ada,” katanya.

Sementara itu, DRF 2021 dengan peruntukan sebanyak RM200 juta ditubuhkan untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir.

Bank pusat berkata DRF 2021 bertujuan membantu PKS menampung kos membaik pulih dan menggantikan aset untuk kegunaan perniagaan yang mengalami kerosakan.

“Dana ini ditawarkan kepada PKS Malaysia termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

“Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun, termasuk moratorium selama enam bulan bagi bayaran pokok dan faedah. Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.50 peratus setahun, termasuk fi jaminan,” jelas BNM.

Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Julai, 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.

Bank pusat berkata perniagaan yang terjejas boleh memohon pembiayaan pada kadar konsesi daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

PKS dalam sektor lain boleh mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan di bawah Dana BNM untuk PKS, tambahnya.

Keterangan lanjut mengenai dana ini boleh didapati di www.bnm.gov.my/covid19/ atau orang ramai boleh menghubungi BNM di bnm.my/LINK .

Maklumat lanjut mengenai DRF 2021 boleh didapati di www.bnm.gov.my/sme-financing .

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM dijangka rendahkan kadar dasar semalaman kepada 1.5 peratus

KUALA LUMPUR, 18 JAN: OCBC Bank menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan merendahkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR), kemungkinan kadar pengurangan itu sehingga 1.5 peratus daripada 1.75 peratus ketika ini pada mesyuarat Rabu ini susulan beberapa peristiwa yang berlaku baru-baru ini.

Dalam Prospek Ekonomi 2021, Ketua Ekonomi Selena Ling berkata bergantung kepada situasi semasa yang sedang bergelut menghadapi pandemik pada minggu-minggu berikutnya, penurunan kadar mungkin berlaku lagi hingga 1.25 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mac ini.

“Dengan prospek bantuan fiskal berskala besar yang agak malap, maka adalah tanggungjawab dasar monetari untuk menanggung beban kewangan. Ketika BNM mengekalkan OPR pada 1.75 peratus untuk kali kedua dalam mesyuarat MPC terakhirnya pada 3 November, Bank Negara dilihat yakin dengan prospek pertumbuhan.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan keadaan itu mungkin berubah ketika ini setelah mengambil kira peristiwa baru-baru ini,” katanya.

Secara keseluruhan, Ling berkata bank itu tetap yakin dengan prospek ekonomi Malaysia yang lambat laun akan pulih pada akhir 2021.

“Ini terutama kerana sektor pembuatannya telah bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam pemulihan elektronik global, misalnya. Tetapi, untuk beberapa bulan akan datang, mungkin berlaku beberapa kelembapan,” kata beliau.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan Bursa Malaysia berhati-hati menjelang umum OPR

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Dagangan di Bursa Malaysia dijangka berhati-hati menjelang pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Rabu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata kemungkinan satu lagi pengurangan kadar oleh bank pusat yang tidak dapat dielakkan, berdasarkan situasi yang tidak dapat dijangka berikutan peningkatan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Sebarang pengurangan OPR dijangka menyebabkan harga saham perbankan merosot, yang kemudiannya akan mempengaruhi bursa tempatan berikutan saham perbankan membentuk wajaran yang tinggi dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

“Dengan mengambil kira perkara ini, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,620 hingga 1,640 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

BNM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang pertama bagi 2021 pada 22 Januari. Pada masa ini, OPR berada pada paras terendah sebanyak 1.75 peratus selepas empat pengurangan, membawa kepada pengurangan sebanyak 125 mata asas, pada tahun lepas.

Secara keseluruhannya, sentimen dalam pasaran kebanyakannya berpusat pada pengisytiharan darurat di seluruh negara berikutan peningkatan kes Covid-19, pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri bermula 13 Januari, pakej rangsangan AS dan perang perdagangan AS-China.

Pada Selasa lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa aktiviti perniagaan akan kekal seperti biasa walaupun terdapat pengisytiharan darurat.

Pada Khamis, bakal Presiden Joe Biden mengumumkan cadangan bantuan pandemik bernilai US$1.9 trilion dalam usaha membendung kes Covid-19 yang meningkat dan menstabilkan ekonomi AS. Selain itu, pasaran global bergolak selepas pentadbiran Presiden Donald Trump menyenaraihitam syarikat China seperti Xiaomi.

Jabatan Pertahanan AS semalam menambah Xiaomi dalam senarai syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera China.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 6.18 mata kepada 1,627.01 daripada 1,633.19 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 68.89 mata kepada 11,706.34, Indeks FBMT 100 naik 32.73 mata kepada 11,440.54, FBM 70 menambah 340.30 mata kepada 14,828.41, Indeks FBM Emas Shariah menokok 50.75 mata kepada 13,204.69 dan Indeks FBM ACE naik 298.70 mata kepada 10,796.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.37 mata kepada 15,031.38 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 4.22 mata kepada 178.80, manakala Indeks Perladangan merosot 52.93 mata kepada 7,365.36.

Indeks Tenaga naik 14.79 mata kepada 859.05, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 18.97 mata kepada 3,608,82 dan Indeks Teknologi meningkat 8.72 mata kepada 75.44.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 34.50 bilion unit bernilai RM25.36 bilion daripada 37.90 bilion unit bernilai RM26.49 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 21.58 bilion saham bernilai RM21.07 bilion daripada 22.51 bilion saham bernilai RM21.52 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.52 bilion unit bernilai RM403.12 juta daripada 2.56 bilion unit bernilai RM373.54 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 10.40 bilion saham bernilai RM3.89 bilion daripada 12.91 bilion saham bernilai RM4.59 bilion sebelum ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM: Rizab rasmi Malaysia AS$105.3 bilion pada akhir November

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$105.3 bilion pada akhir November 2020, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$1.51 bilion, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Menurut bank pusat, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang yang termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah AS$8.47 bilion.

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$6.425 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$1.485 bilion pada akhir November 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

“Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.438 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

BNM berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$327.6 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu terjejas kekal dapat bantuan – gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Semua yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan menerima bantuan, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sambil menafikan salah tanggapan mengenai bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.

“Salah tanggapan umum ialah tanpa moratorium menyeluruh, peminjam yang dalam kesusahan tidak akan menerima bantuan (sebaliknya) bantuan itu adalah untuk semua yang terjejas akibat pandemik itu termasuk lanjutan moratorium,” katanya.

Mereka yang kehilangan pekerjaan terutamanya dalam sektor pelancongan menerima moratorium menyeluruh selama tiga bulan dan lanjutan akan diberikan sekiranya mereka menganggur.

Beliau berkata bantuan itu dikekalkan untuk mereka yang memerlukan dan peminjam mempunyai pilihan kepada lebih banyak penyelesaian khusus untuk disesuaikan mengikut keperluan kewangan mereka.

“Satu lagi salah tanggapan umum ialah mereka memerlukan terlalu banyak dokumen. Bukan begitu. Bagi golongan B40, bank mempunyai akses kepada penerima BSH (Bantuan Sara Hidup) dan BPR (Bantuan Prihatin Rakyat). Oleh itu, bank dapat mengenal pasti (mereka),” katanya dalam taklimat kepada editor kanan pada Khamis.

Perusahaan mikro tidak perlu menyerahkan sebarang dokumen dan hanya dokumen minimum diperlukan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membantu bank memberi nasihat bersesuaian kepada peminjam.

Setakat ini, seramai 640,000 permohonan bantuan diterima dengan kadar kelulusan 98 peratus dengan 40 peratus menerima lanjutan moratorium, manakala 60 peratus lagi mendapat pengurangan ansuran.

Beliau turut menegaskan permohonan bagi semua bantuan bayaran balik pinjaman bersasar sebelum 30 Jun 2021 tidak akan terpapar dalam rekod CCRIS peminjam.

Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah pangkalan data berpusat yang memberi gambaran kepada keadaan kewangan individu.

“Sekiranya mereka tidak berpuas hati terhadap apa-apa sahaja, mereka boleh sentiasa membuat aduan kepada Bank Negara. Saya boleh memberi jaminan Bank Negara bertindak terhadap setiap aduan yang diterima,” kata Nor Shamsiah.

Ketika ditanya sama ada moratorium menyeluruh itu adalah satu kesilapan dan langkah moratorium bersasar sepatutnya diambil sejak awal lagi, beliau berkata: “Tidak. Pada masa itu, itulah keputusan yang tepat memandangkan semua perkara terhenti sepenuhnya.

“Oleh itu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah tepat untuk melaksanakan penilaian yang lebih meluas dan menyediakan bantuan serta-merta dari segi moratorium menyeluruh kepada semua isi rumah dan peminjam PKS.

“Ketika ekonomi anda menguncup hampir 30 peratus, itu adalah dasar yang tepat untuk meredakan kebimbangan yang sentiasa ada dalam ekonomi,” katanya.

Ekonomi Malaysia merosot sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020 susulan pelaksanaan sekatan perjalanan keluar masuk di negara ini dengan mekanisme penguatkuasaan yang tegas untuk membendung penyebaran Covid-19.

Impak sekatan perjalanan keluar masuk itu dirasakan pada April 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun 28.6 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, kini semuanya telah meningkat semula.

Selepas PKP, sebahagiannya telah mula pulih dan dibayar semula.

“Jadi, wujud pemulihan, tetapi ada yang masih memerlukan (seperti sektor pelancongan) dan mereka menerima bantuan yang diperlukan dari segi bantuan bersasar,” katanya.

Beliau berkata mengimbangkan keperluan pihak berkepentingan yang berbeza adalah kritikal dan peminjam perlu diberikan pilihan mengikut keadaan individu.

“Ramai peminjam mula membuat bayaran balik sebelum moratorium ditamatkan,” kata Nor Shamsiah.

Beliau berkata 89 peratus daripada peminjam PKS mula melunaskan bayaran balik pada September 2020 berbanding suku pertama tahun ini, manakala 73 peratus pula bagi isi rumah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM, industri perbankan tambah baik pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pihaknya telah bekerjasama dengan industri perbankan untuk menambah baik pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.

Katanya bagi peminjam M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional, yang pendapatan isi rumah mereka telah berkurangan akibat pandemik, bank-bank akan menerima permohonan mereka bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan.

“Permohonan ini akan berdasarkan pengisytiharan peminjam sendiri tentang pengurangan pendapatan mereka dan/atau pendapatan isi rumah mereka untuk mempercepatkan lagi pemberian bantuan.

“Bank-bank akan terus menghubungi para peminjam dalam kategori ini untuk mengkaji semula keadaan kewangan mereka,” menurut BNM dalam kenyataan hari ini.

Bantuan ini akan disediakan untuk kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada masa peminjam memohon bantuan bayaran balik.

“Peminjam B40 dan perusahaan mikro yang pernah menerima apa-apa bentuk bantuan bayaran balik bersasar yang lain, dan ingin memohon bantuan lanjutan di bawah langkah-langkah tambahan yang diumumkan pada hari ini, masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi bank mereka,” menurut BNM.

Bantuan bayaran balik pinjaman bersasar akan terus tersedia untuk peminjam yang terjejas sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Selain menghubungi bank, satu saluran tambahan akan disediakan untuk perusahaan mikro memohon bantuan bayaran balik pinjaman melalui pusat bantuan khas untuk perusahaan mikro di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bermula 9 November 2020 melalui www.akpk.org.my/microhelpdesk.

Pusat bantuan maya ini menyediakan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan memudahkan permohonan bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman.

BNM berkata bagi peminjam individu yang memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran mereka, amalan di seluruh institusi perbankan telah diperkemas untuk mengambil kira bukan hanya pendapatan peminjam tetapi juga pendapatan pasangan masing-masing yang turut terjejas akibat pandemik.

“Amalan ini telah pun dilakukan oleh kebanyakan bank dan kini telah dilaksanakan oleh semua bank bagi membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh dibuat terhadap keadaan kewangan peminjam.

“Penambahbaikan baharu ini berlandaskan usaha institusi perbankan yang sedia ada untuk memberikan bantuan yang lebih baik kepada peminjam yang menghadapi cabaran luar biasa ini,” katanya.

BNM turut memberikan keyakinan kepada peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan akibat pandemik bahawa bantuan bayaran balik pinjaman akan terus tersedia untuk individu daripada semua kumpulan pendapatan dan semua saiz PKS yang memerlukan bantuan.

Bagi kebanyakan peminjam, bantuan yang disesuaikan dengan keadaan khusus masing-masing akan lebih membantu memenuhi keperluan mereka pada masa kini dan juga pada masa hadapan, katanya.

Meskipun pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, penyambungan semula kegiatan ekonomi telah membolehkan banyak peminjam menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka.

Katanya setakat ini, kira-kira 85 peratus peminjam telah mula membayar ansuran bulanan mereka.

“Bagi peminjam yang mampu berbuat demikian, tindakan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri kerana tindakan mengurangkan atau menangguhkan bayaran ansuran akan menyebabkan hutang keseluruhan menjadi lebih tinggi, yang akhirnya perlu ditanggung oleh peminjam pada masa hadapan.

“Pada masa sama, peminjam yang masih berhadapan dengan cabaran kewangan akan terus dibantu melalui bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.

“Bantuan ini seterusnya membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi bergantung pada keperluan dan matlamat pengurusan kewangan mereka sendiri,” menurut BNM.

BNM turut menggesa peminjam yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman mereka untuk berhubung dengan bank masing-masing, AKPK atau BNMTELELINK untuk mengetahui pilihan yang tersedia bagi membantu mereka mengurus hutang masing-masing.

Bantuan bayaran balik tambahan ini akan disediakan untuk peminjam yang layak antara 23 November 2020 dan 30 Jun 2021.

Peminjam boleh menyatakan bantuan bayaran balik tersebut mulai 23 November 2020 melalui talian khidmat pelanggan bank-bank, perbankan dalam talian atau dengan melawat cawangan bank.

“Industri perbankan akan memberikan butiran terkini mengenai penambahbaikan ini minggu depan,” menurut BNM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM: Bantuan bersasar kekalkan daya tahan sektor perbankan

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Bantuan bersasar akan membolehkan bank menilai situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19 dan menyalurkan dana kepada sektor-sektor yang memerlukan dan membantu pemulihan ekonomi.

Pelbagai langkah termasuk Kemudahan Bantuan Khas (SRF) berjumlah RM10 bilion diperkenalkan untuk menyediakan bantuan sementara kepada perniagaan, menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Jessica Chew.

Selain SRF yang dimanfaatkan sepenuhnya, dana lain seperti Pembiayaan PKS Penjana (PSF), Geran Sepadan Pendigitalan PKS dan Geran Automasi Pintar (SAG) masih tersedia untuk memberi sokongan kepada perniagaan untuk beroperasi semula dan menjalani pemulihan.

Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) bernilai RM1 bilion masih ditawarkan untuk perniagaan dalam sektor pelancongan. Dana itu membolehkan sektor berkenaan menyesuaikan kepada norma baharu, sekali gus membolehkan perniagaan untuk bangkit semula dan pulih dengan cepat.

Bagaimanapun, untuk perniagaan berupaya mempertahankan pemulihan mereka dan isi rumah terus mendapat akses kepada pembiayaan, sektor perbankan haruslah dalam keadaan yang baik.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual, Chew berkata daya tahan sektor perbankan adalah penting dan bantuan bersasar itu adalah kaedah yang terbaik pada masa depan.

“Bantuan bersasar membantu orang ramai untuk kembali ke landasan dan mengurangkan keseluruhan hutang mereka. Maklumat yang ada mengenai sejarah pembayaran balik peminjam turut menggalakkan bank untuk memberi pinjaman.

“Sebaliknya, ketiadaan data pembayaran balik berikutan moratorium menyeluruh akan menjejaskan keupayaan sistem kewangan untuk menggerakkan pinjaman baharu yang penting kepada pemulihan ekonomi,” kata beliau.

Hutang isi rumah di Malaysia adalah 87 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Sehubungan itu, mengekalkan budaya kredit yang sihat adalah penting bagi memastikan aktiviti perantaraan yang berterusan.

Peminjam yang berkemampuan untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman, adalah dinasihatkan berbuat demikian.

Bagi peminjam yang mempunyai kemampuan kewangan, mereka memilih untuk meneruskan semula pembayaran kerana enggan membuat penangguhan dan menanggung kos pinjaman yang lebih tinggi.

Sehingga Ogos 2020, jumlah pembayaran balik pinjaman mencapai 70 peratus seperti pada tahap pramoratorium.

“Orang ramai tampil ke hadapan khususnya semasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) apabila mereka merasakan dalam kedudukan yang lebih baik. Mereka mula membayar kembali pinjaman meskipun moratorium belum berakhir,” kata Chew.

Bank pula terus membantu peminjam menerusi penyusunan bantuan pembayaran balik yang disesuaikan untuk meringankan beban kewangan peminjam.

Ditanya mengenai tempoh pembayaran balik yang berbeza-beza, Chew berkata sekiranya peminjam dapat mengekalkan bayaran bulanan asal dengan beberapa pelarasan disebabkan faedah terakru, tempoh pembayaran balik tidak akan mengalami banyak perubahan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, sekiranya jumlah pembayaran bulanan mereka mendapat banyak pengurangan dan distruktur semula akibat keadaan kewangan semasa peminjam, tempoh tersebut mungkin perlu dilanjutkan.

Selain itu, adalah penting untuk mengekalkan daya tahan sektor perbankan dan kewangan negara, kata Chew ketika ditanya sama ada moratorium menyeluruh adalah tidak wajar berikutan sektor perbankan dilihat berada di landasan kukuh.

“Sistem perbankan berada di landasan kukuh sejak bertahun-tahun dengan mematuhi standard pinjaman yang sihat dan membina penampan modal.

“(Bagaimanapun), ketidaktentuan akan terus wujud sehinggalah vaksin tersedia dengan meluas,” katanya sambil menambah penampan sektor perbankan dan kewangan adalah penting kepada bank untuk menyokong ekonomi sepanjang tempoh ketidaktentuan ini dan memastikan sumber disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Timbalan Gabenor BNM itu meyakinkan peminjam bahawa semua usaha dilakukan untuk mempermudahkan proses permohonan bantuan pembayaran balik.

Pelbagai saluran sokongan turut disediakan kepada peminjam yang berdepan dilema misalnya BNMTELELINK dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Bank pusat juga mengadakan sesi keterlibatan yang berterusan dengan PKS untuk menangani sebarang isu yang dihadapi.

Peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau AKPK di 03 2616 7766.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tekanan kewangan, hutang isi rumah kian meningkat

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Segelintir isi rumah sedang mengalami peningkatan tekanan kewangan walaupun mengamalkan pendekatan lebih berhati-hati sebagaimana dipaparkan menerusi penyusutan pertumbuhan pinjaman selain sekatan pergerakan dan pertimbangan belian yang rendah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat Jun 2020, hutang isi rumah menyederhana kepada 4.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2019.

“Ini dapat dilihat dalam penyusutan pertumbuhan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020 (masing-masing 7.2 peratus dan -0.9 peratus; 2019 : 8.5 peratus dan -0.4 peratus),” demikian menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan — Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut bank pusat itu, leveraj atau hutang isi rumah meningkat paling ketara dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan pada separuh pertama 2020, di tengah-tengah prospek ketidaktentuan pendapatan serta ketika penampan mudah tunai untuk peminjam berpendapatan kurang RM3,000 sudah di paras ketara.

BNM berkata, peningkatan leveraj itu kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah pada awal tahun ini dan Jun selepas pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah.

Selain itu, walaupun persekitaran pasaran tenaga kerja dijangka bertambah baik di masa depan, peminjam dengan pelbagai pendapatan dan/atau bekerja dengan sektor yang terjejas, diunjur terus berdepan cabaran.

Bagi peminjam terbabit, bantuan bersasar yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 dilihat dapat memberi bantuan kewangan sementara.

Selain itu, langkah diperkenalkan kerajaan seperti subsidi upah dan program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran, akan menjadikan aspek penggajian dan prospek pendapatan lebih baik yang dapat menyokong kebolehmampuan membayar hutang.

Mengikut kerangka kewangan yang dipertingkat, BNM menganggarkan peminjam isi rumah yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang akibat kejutan pendapatan dan pengangguran, tidak mewakili lebih 15 peratus daripada jumlah peminjam.

Dalam kelompok peminjam terbabit, kira-kira satu peratus daripada jumlah peminjam dengan 3.0 peratus hutang isi rumah tertunggak, dijangka terus berdepan kesukaran itu selepas mengambil kira penampan kewangan dan bantuan bayaran balik bersasar yang diberi kepada mereka yang memerlukannya.

Menurut BNM, kira-kira 40 peratus daripada kemungkinan tunggakan hutang isi rumah dengan purata pinjaman kepada nilai adalah sebanyak 70 peratus, sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan bagi peminjam terbabit serta kerugian bagi sistem perbankan.

Kualiti aset isi rumah juga dijangka susut sedikit pada separuh kedua 2022 dan sepanjang 2021 selepas berakhirnya tempoh moratorium secara automatik walaupun bank-bank berada di kedudukan baik untuk menyerap kerugian peningkatan kredit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Isi rumah mampu bertahan kejutan melampau pasaran ekuiti – BNM

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sebilangan besar isi rumah mampu bertahan dengan kejutan melampau pasaran ekuiti seperti yang dialami semasa Krisis Kewangan Asia kerana pelaburan dibiayai oleh lebihan rizab tunai dan bukan pinjaman, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata perkembangan ketara pada separuh pertama 2020 adalah peningkatan penyertaan runcit dalam pasaran ekuiti yang menyaksikan pelabur runcit membeli saham syarikat tersenarai bernilai RM113.1 bilion..

“Pemantauan kami menunjukkan peningkatan penyertaan runcit tidak dibiayai pinjaman.

“Pinjaman yang dikeluarkan dan tertunggak bagi pembelian saham, termasuk pembiayaan margin, masih kekal rendah dan stabil semasa tempoh ini,” kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Menurut bank pusat pinjaman itu terus menyumbang kepada sebahagian kecil jumlah hutang isi rumah (0.5 peratus) dan berian pinjaman bank kepada isi rumah (0.6 peratus).

Tidak ada perubahan ketara dalam profil peminjam isi rumah dengan kemudahan margin saham, kerana kebanyakannya kekal dalam segmen pendapatan tinggi dengan penampan kewangan yang besar.

BNM berkata pandangan anekdot menunjukkan sesetengah isi rumah menggunakan lebihan rizab tunai daripada bantuan dan simpanan untuk melabur dalam ekuiti.

Ini, katanya, boleh meningkatkan risiko kepada isi rumah menerusi impak ke atas kapasiti membayar faedah hutang dan kesan harta sekiranya nilai ekuiti turun dengan ketara apabila isi rumah perlu menyambung semula pembayaran pinjaman mereka.

“Seperti yang dinyatakan di atas, risiko sedemikian dinilai rendah memandangkan pelabur runcit biasanya mempunyai penampan kewangan yang besar,” kata bank pusat.

Jumlah pegangan ekuiti oleh isi rumah sebagai sebahagian daripada Aset Kewangan Cair (LFA) juga sebahagian besarnya kekal tidak berubah.

-BERNAMA