Categories
AGENDA NASIONAL

BNM: 500,000 mohon bantuan bayaran balik pinjaman

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Industri perbankan menerima kira-kira 500,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman dan meluluskan 98 peratus daripadanya, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata bank berkenaan juga secara berasingan bertindak menghubungi lebih dua juta peminjam menerusi telefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas untuk menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman berikutan berakhirnya moratorium secara automatik pada hari ini (30 Sept).

“Bagi permohonan yang masih diproses, bank-bank terbabit memberi komitmen untuk memaklumkan keputusan permohonan tersebut dengan secepat mungkin,” kata BNM.

Pada masa sama, BNM turut memberi jaminan untuk memantau rapi amalan bank-bank dalam perkara tersebut dan peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank boleh menghubungi BNMTELELINK melalui [email protected].

Selain itu, jumlah peminjam yang memilih untuk menyambung semula bayaran ansuran bulanan masing-masing juga didapati terus meningkat.

Malah, BNM turut menasihati peminjam yang mampu menyambung semula bayaran balik pinjaman bulanan agar terus berbuat demikian kerana ini dapat mengurangkan kos hutang dan pinjaman mereka secara keseluruhan.

“Meskipun keadaan ekonomi secara amnya bertambah baik, sesetengah peminjam mungkin menghadapi cabaran membuat bayaran balik pinjaman jika keadaan mereka sebaliknya berubah pada bulan-bulan akan datang. Sekiranya ini berlaku, peminjam masih boleh berurusan dengan bank untuk berbincang mengenai pengaturan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Menurutnya, semasa tempoh tersebut, institusi perbankan akan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam.

BNM juga memberi jaminan permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021, tidak akan dipaparkan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam.

Selain itu, peminjam juga boleh mendapatkan panduan dan pilihan bantuan alternatif daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Bank pusat itu berkata, industri perbankan juga telah bertindak aktif dan terus komited membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan susulan berakhirnya kemudahan moratorium itu.

Bank terbabit juga memperkenalkan pelbagai pakej untuk membantu peminjam terjejas termasuk lanjutan moratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka.

Menurut BNM, sesi ini termasuk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan-persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Bagi melancarkan proses permohonan ini, institusi perbankan memudahkan langkah permohonan seperti membolehkan permohonan secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank (termasuk hujung minggu),” kata BNM.

Menurut bank pusat itu, pendekatan bersasar ini akan memastikan lebih banyak sumber tersedia untuk membantu mereka yang mudah terjejas selain membolehkan sektor perbankan menyokong ekonomi secara lebih meluas menerusi pemberian pinjaman yang berterusan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara ambil pendekatan seimbang bagi kemasukan bank digital

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan yang seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital dengan tawaran nilai yang kukuh dan berkeupayaan memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

“Melalui pendekatan ini, BNM menetapkan had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana oleh bank digital agar tidak melebihi RM2 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun awal operasi.

“‘Fasa asas’ ini bertujuan untuk bank digital menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka, manakala di pihak BNM, tempoh tersebut adalah bagi memantau prestasi dan sebarang risiko yang mungkin timbul,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee yang ingin tahu mengenai cadangan BNM untuk mengeluarkan lesen bank digital bagi urusan perbankan konvensional dan secara Islam serta status semasa dan bagaimana kementerian akan mengawal selia perbankan digital.

Mohd Shahar berkata tempoh rundingan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital telah tamat pada 30 Jun 2020.

Katanya, BNM menerima hampir 50 maklum balas dan kini sedang mengkaji semua maklum balas itu sebelum memuktamadkan dokumen dasar pelesenan bank digital dan membuka permohonan bagi lesen tersebut.

Beliau berkata bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), termasuk keperluan berkaitan standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Sepanjang tempoh fasa asas yang dinyatakan, bank digital berlesen juga tertakluk kepada keperluan pengawalseliaan yang lebih mudah berbanding institusi perbankan sedia ada berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan dan keperluan penzahiran awam.

“Ini bersesuaian dengan objektif untuk menggalakkan pertumbuhan dan inovasi oleh bank-bank digital terutamanya dalam usaha meningkatkan akses kewangan kepada segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1630/1680 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Urus niaga ringgit dibuka tinggi sedikit pagi ini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9.10 pagi, mata wang tempatan disebut harga 4.1630/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1700/1740 ketika ditutup petang semalam.

Bank pusat telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) empat kali tahun ini, menjadikannya kepada 1.75 peratus, paras terendah direkodkan sejak 2014.

Mesyuarat MPC akan diadakan hari ini dengan kali terakhir ialah pada 3 Nov.

Ketua strategi pasaran global AxiCorp Stephen Innes berkata peniaga tempatan mungkin seperti kebiasaan akan mengambil sikap tunggu dan lihat sambil menantikan keputusan mengenai kadar itu oleh BNM hari ini.

“Bagaimanapun, dengan risiko global semakin baik, begitu juga dengan harga minyak mentah yang disokong oleh kenaikan pasaran semalaman, mata wang tempatan boleh diniagakan dengan lebih tinggi lagi,” kata beliau kepada Bernama

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent turun 0.49 peratus kepada AS$40.59 setong.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan BNM akan menangguhkan penurunan OPR kerana data ekonomi yang agak baik baru-baru ini seperti data penjualan kenderaan, eksport dan indeks Pengurus Pembelian (PMI).

Beliau berkata ini menunjukkan BNM tidak perlu bertindak tergesa-gesa memandangkan kadar penanda aras itu telahpun dikurangkan sebanyak 125 mata asas antara Januari dan Julai tahun ini dan ia telahpun berada pada paras terendah.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4086/4163 daripada 5.3985/4053 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.9165/9228 daripada 4.9060/9124.

Unit tempatan itu jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0501 daripada 3.0447/0487 sebelumnya tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.9203/9254 daripada 3.9314/9363.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga dalam jajaran kecil, semakan OPR jadi fokus

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Ringgit dijangkakan terus terperangkap dalam jajaran kecil, minggu depan dengan tumpuan diberikan kepada semakan semula kadar dasar semalaman (OPR).

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) harus diberi perhatian dengan teliti terutama mengenai bagaimana bank pusat melihat tempoh pasca-moratorium yang akan berakhir pada akhir bulan ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dijadual berlangsung pada 10 Sept, 2020, dengan sebilangan penganalisis menjangkakan penurunan sebanyak 25 mata dalam OPR.

“Data terbaharu agak bercampur-campur. Kami melihat eksport Julai lebih baik daripada yang dijangkakan apabila ia berkembang 3.1 peratus tetapi Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada bulan Ogos turun di bawah 50 mata,” katanya kepada Bernama.

Eksport Malaysia meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai, walaupun pada kadar yang lebih perlahan daripada 8.0 peratus bulan Jun.

Daripada segi nilai, ia adalah yang kedua tertinggi pada RM92.5 bilion, selepas rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2018, berbanding dengan RM82.8 bilion pada bulan Jun, yang memberi petunjuk bahawa ekonomi secara beransur-ansur telah pulih daripada kemerosotan ekonomi direkodkan pada suku kedua, kata Kenanga Research.

Pada suku kedua, ekonomi menguncup 17.1 peratus daripada pertumbuhan marginal 0.7 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

PMI Malaysia IHS Markit, yang menjadi petunjuk prestasi perkilangan, turun 49.3 pada Ogos daripada 50.0 pada Julai.

IHS Markit berkata pengeluaran pembuatan stabil pada bulan Ogos, tetapi kehilangan beberapa momentum yang dilihat semasa pemulihan awal daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan petunjuk terkini adalah susulan daripada peningkatan pada bulan Jun dan pertumbuhan yang dicatat pada bulan Julai.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.1470/1520 daripada 4.1630/1680 pada minggu sebelumnya.

Ia mencapai paras 4.1400, tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada Selasa lepas selepas cuti selama tiga hari termasuk sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin (31 Ogos).

Ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0410/0458 daripada 3.0581/0629 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.9393/9444 berbanding 3.9561/9583.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5143/5213 daripada 5.5251/5322 dan naik berbading euro kepada 4.9150/9214 daripada 4.9486/9562 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM keluar duit syiling peringatan ulang tahun ke-50 UKM

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia ke-50 (UKM50).

Duit syiling peringatan itu dilancarkan oleh Pro-Canselor UKM, Tunku Laxamana Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar pada 21 Ogos, 2020 di UKM.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata duit syiling itu terdiri daripada tiga spesifikasi – Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf), Duit Syiling Peringatan Emas Nordic (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Briliant Uncirculated (B.U).

Duit Syiling Peringatan Perak diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9, berat setiap keping ialah 31.1 gram dengan nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM253 sekeping. Sebanyak 1,000 keping ditempa.

Foto: Bank Negara Malaysia

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic diperbuat menggunakan tembaga dan beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM60.50 sekeping dengan sebanyak 1,000 keping ditempa.

Manakala Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Briliant Uncirculated (B.U) diperbuat terutamanya menggunakan tembaga dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping.

Jumlah tempaan duit syiling ini adalah sebanyak 25,000 keping, termasuk 10,000 keping dalam bungkusan eksklusif yang dikeluarkan khas untuk dijual kepada pelajar dan alumni UKM, kata bank negara.

“Duit syiling ini juga boleh didapati dalam set dua dalam satu yang mengandungi satu duit syiling pruf perak berwarna dan satu duit syiling pruf emas Nordic. Setiap set dijual pada harga RM308 dan terdapat 1,000 set sahaja,” kata BNM.

Menurut bank pusat, bagi memberi peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap pembelian akan dihadkan (satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna (pruf), satu syiling duit emas Nordic (pruf) dan maksimum sehingga lima duit syiling emas Nordic (B.U).

Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.

Bagi maklumat lanjut mengenai tempahan, pembayaran dan pengambilan, satu pengumuman akan dibuat kepada orang ramai pada 25 September, 2020, kata BNM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: PKS boleh mula bincang dengan bank struktur pinjaman

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan penstrukturan semula pembiayaan untuk menyokong aktiviti perniagaan mereka sementara perlahan-lahan pulih daripada pandemik Covid-19, boleh mula berbincang dengan bank, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata bantuan kewangan yang disediakan bank termasuk pengurangan kadar faedah, lanjutan moratorium bersasar atau mengambil pinjaman baharu untuk menjana aliran tunai baharu bagi perniagaan baharu masing-masing.

Sejak Januari tahun ini, BNM telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR), secara kumulatif sebanyak 125 mata asas kepada 1.75 peratus, kadar paling rendah selama ia ditetapkan sejak 16 tahun lepas.

Sementara itu, moratorium yang berkuatkuasa pada 1 April, menyaksikan lebih 90 peratus peminjam memanfaatkan bantuan berkenaan dan setakat 31 Julai, berjumlah sehingga RM66.6 bilion.

Daripada jumlah itu, RM23.3 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala sejumlah RM43.3 bilion oleh rakyat.

Pembayaran semula secara fleksibel itu akan berakhir pada 30 September, 2020 tetapi institusi perbankan dijangka menyediakan peminjam yang terjejas dengan cara lain atau bantuan bersasar.

“Bank-bank telah lama menyokong para pelanggan dan mereka tahu kekuatan pelanggan masing-masing. Mereka juga boleh menyesuaikan produk kewangan mengikut keserasian bagi membolehkan pelanggan terus berdaya maju,” kata beliau dalam taklimat kepada editor kanan pada Khamis.

Sehubungan itu, Nor Shamsiah menggesa PKS, tulang belakang ekonomi untuk menghubungi bank masing-masing dan mengadakan perbincangan,

Sebagai contoh, beliau berkata pandemik yang berlaku sekarang ini telah memberi peluang kepada mereka yang bergiat dalam sektor penjagaan kesihatan untuk menghasilkan alat pelindung diri bagi meningkatkan perniagaan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan logistik turut memainkan peranan penting bagi mempercepatkan proses penghantaran.

Untuk suku kedua sahaja, bank telah menyediakan sokongan kewangan kepada perniagaan pada kadar yang rendah, mengagihkan sekitar RM181 bilion dengan RM56 bilion untuk PKS.

Sementara itu, ketika mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua, gabenor berkata, berkuatkuasa 1 September, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan mula menawarkan penyelesaian khusus bagi membantu PKS, termasuk PKS mikro untuk menguruskan hutang mereka dan mempromosikan pengurusan kewangan yang mantap.

Ini berikutan pemindahan fungsi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) daripada BNM kepada AKPK.

“Dengan pemindahan ini, AKPK akan bertindak sebagai platform sehenti untuk kedua-dua individu dan PKS yang mencari perkhidmatan penyusunan semula hutang serta pendidikan dan nasihat kewangan,” kata Nor Shamsiah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa AS$104 bilion setakat 15 Julai

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat tinggi sedikit kepada AS$104.0 bilion pada 15 Julai, berbanding AS$103.4 bilion pada 30 Jun.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan paras rizab memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa (setakat 15 Julai, 2020) terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$95.7 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$2.2 bilion), dan aset rizab lain (AS$3.7 bilion).

Katanya, aset terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM445.37 bilion; kertas kerajaan Malaysia (RM10.47 bilion); deposit oleh institusi kewangan (RM2.27 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM16.41 bilion); tanah dan bangunan (RM4.17 bilion); dan aset-aset lain (RM12.31 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM174.49 bilion), mata wang dalam edaran (RM124.48 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM133.67 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM17.40 bilion), deposit lain (RM14.70 bilion), kertas Bank Negara (RM13.32 bilion), peruntukan SDR (RM7.93 bilion), dan liabiliti lain (RM4.91 bilion).

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

OPR: Ringgit dijangka cecah 4.35 pada akhir 2020 – RHB Investment

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: RHB Investment Bank Bhd menjangkakan ringgit diniagakan pada paras 4.35 berbanding dolar AS menjelang akhir 2020 susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) lagi kepada 1.75 peratus, semalam.

Bank pusat berkenaan melaksanakan pengurangan OPR sebanyak empat kali berjumlah 125bps sejak awal tahun ini.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Ahli Ekonomi RHB Investment Bank Bhd Ahmad Nazmi Idrus berkata langkah bank pusat itu sepatutnya kurang memberi tekanan kepada ringgit untuk terus mengukuh.

“Selain itu, risiko kemungkinan berlakunya gelombang kedua jangkita Covid-19 kekal tinggi sepertimana yang dialami banyak negara lain.

“Jika itu benar-benar berlaku, kita mungkin menyaksikan pengukuhan dolar AS kerana pelabur lebih memilih aset yang lebih cair,” katanya.

Namun, Ahmad Nazmi berkata ringgit telah menokok sedikit kepada 4.29 berbanding dolar AS pada Jun 2020 berbanding 4.35 dalam bulan sebelumnya.

“Ringgit dapat mengatasi kerugian sebelum ini susulan peningkatan sentimen selepas ekonomi dibuka semula selain kelemahan yang dialami dolar AS,” katanya.

Mengulas rizab antarabangsa BNM yang berjumlah US$103.4 bilion setakat 30 Jun, 2020 berbanding US$102.9 bilion pada 29 Mei, 2020, beliau berkata peningkatan itu masih berlaku walaupun sebahagian besar daripada peningkatan nisbah liputan import itu berpunca daripada penyusutan permintaan berkaitan.

“Pengukuhan ringgit juga sebahagiannya disebabkan oleh pertambahan jangkitan Covid-19, khususnya di AS manakala keadaan di sini sebaliknya semakin baik,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan ringgit dijangka berterusan walaupun keadaan ekonomi sebaliknya kekal tidak menentu.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit diniagakan rendah pada 4.2800/2860 berbanding dolar AS daripada paras 4.2750/2800, semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MTUC gesa kerajaan, BNM lanjutkan moratorium enam bulan lagi

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah untuk memastikan pihak bank melanjutkan tempoh moratorium sedia ada kepada sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha Agung, J. Solomon berkata lanjutan itu perlu diberikan terutama kepada kumpulan pekerja sasaran yang masih tidak mampu untuk membayar balik pinjaman.

Ini akan merangkumi majoriti daripada 800,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan sehingga April tahun ini dan ribuan lagi yang terpaksa mengalami pemotongan gaji atau diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing, katanya.

Beliau berkata untuk bank mengamalkan sikap ‘perniagaan seperti biasa’ serta mengharapkan pekerja yang masih dibelenggu kehilangan pekerjaan dengan memiliki sedikit atau tiada pendapatan kembali membayar balik pinjaman adalah tindakan kejam selain tidak berperikemanusiaan terhadap peminjam.

“Perangkaan rasmi jelas menunjukkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan disebabkan kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pembukaan semula ekonomi pula satu proses yang perlahan, justeru, masa yang lebih panjang diperlukan untuk pekerja dapat kembali bekerja dan membayar balik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan dan BNM tidak seharusnya meragui bahawa sebilangan besar tenaga kerja adalah jauh daripada bersedia untuk membayar balik pinjaman kereta dan rumah mereka.

Sekiranya bank-bank terus bertegas untuk ‘mengutip’, maka dijangkakan peningkatan kehilangan kenderaan dan kediaman dalam kalangan golongan pekerja sekali gus mengakibatkan penderitaan yang tidak tergambarkan akan dialami mereka dan keluarga mereka, katanya.

Solomon berkata kementerian dan BNM tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka untuk memastikan moratorium itu dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi seluruh kumpulan B40 dan M40, serta semua pekerja yang kehilangan pekerjaan tanpa mengira skala gaji mereka.

Lanjutan tempoh moratorium itu juga perlu diberikan kepada syarikat yang mempunyai pinjaman kerana mereka turut mengalami kesukaran untuk kekal bertahan semasa tempoh pandemik ini, katanya.

Beliau berkata tidak wujud persoalan mengenai bank mengalami kerugian susulan moratorium, ini kerana pinjaman tidak dihapus kira sebaliknya hanya pembayaran ansuran bulanan ditangguhkan sehingga ekonomi kembali normal.

“Sekiranya berlaku, hanya keuntungan sahaja yang mungkin berkurangan disebabkan kerugian faedah pelaburan semula dan kos mudah tunai. Kerugian faedah pelaburan semula, bagaimanapun, tidak dapat dielakkan berikutan kemerosotan akibat pandemik ini,” katanya.

Pada 2019, semua bank di Malaysia mencatatkan keuntungan berbilion ringgit, seperti yang direkodkan selama bertahun-tahun.

Dalam menghadapi Covid-19, Menteri Kewangan dan BNM berulang kali mengatakan bahawa sektor perbankan tetap kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.

Solomon berkata angka BNM menunjukkan kedudukan mudah tunai dan modal lebihan sistem perbankan masing-masing berjumlah RM199.6 bilion dan RM159 bilion, melebihi tahap minimum peraturan.

Menurut BNM, ini telah membolehkan bank-bank di Malaysia memainkan peranan utama dalam membantu isi rumah dan perniagaan untuk pulih daripada kejutan pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan sektor perbankan kukuh dan rancak yang dengan mudah dapat memberikan lanjutan enam bulan lagi kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Semalam, BNM berkata tempoh moratorium enam bulan pembayaran ansuran bulanan untuk pinjaman kenderaan dan rumah yang akan berakhir 30 September ini mungkin tidak dilanjutkan.

Ia berkata setakat 19 Jun, 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak ia berkuat kuasa pada 1 April 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM30.9 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium oleh institusi kewangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rizab rasmi Malaysia AS$102.95 bilion pada akhir Mei

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna pada akhir Mei 2020, dengan aset rizab rasmi berjumlah AS$102.95 bilion, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata aset mata wang asing lain berjumlah AS$895.8 juta.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk antaranya pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM apabila matang, berjumlah AS$7.94 bilion,” katanya.

Bank pusat berkata kedudukan hadapan pendek berjumlah AS$11.40 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang ialah sebanyak AS$865.0 juta pada akhir bulan Mei 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek,” katanya.

Menurut BNM, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.37 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Katanya, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang mata wang asing luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$277.7 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada sindiket tipu guna nama LHDN kembali aktif

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini mengingatkan orang ramai agar berwaspada berikutan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai LHDN kembali aktif sejak akhir-akhir ini.

Dalam kenyataannya, LHDN berkata antara modus operandi sindiket ialah memaklumkan kepada mangsa ada tunggakan cukai dan mangsa dikehendaki membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDN bagi menjelaskan tunggakan itu.

“Selain itu, mangsa juga menerima panggilan memaklumkan dia terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Ada juga segelintir mangsa dihubungi sindiket menyamar pegawai polis memaklumkan mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi palsu Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan penyiasatan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, sindiket menghubungi mangsa menerusi talian telefon mirip nombor telefon LHDN menggunakan teknik “spoofing”.

Orang ramai turut dinasihati agar menyemak panggilan, mesej, e-mel atau surat meragukan daripada LHDN dengan menghubungi Hasil Care Line di 03-89111000/ 603-89111100 (luar negara), Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDNM atau hadir ke cawangan LHDNM berdekatan.

“Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan, jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel meragukan, pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDN, jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta pemanggil yang tidak dikenali, jangan buat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali serta semak nombor telefon LHDN di portal rasmi LHDN,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Ringgit berdepan perjalanan yang sukar

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Tahun 2020 menjalani tempoh perjalanan yang getir setakat ini dengan prospek suram terus menyelubunginya susulan penularan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi di seluruh dunia dengan banyak negara bakal berdepan dengan kemelesetan yang teruk.

Kadar pengangguran meningkat pada April dan Mei terutamanya di Amerika Syarikat (AS) apabila lebih daripada 40 juta penduduknya kehilangan pekerjaan ekoran penutupan perniagaan dan kurangnya peluang pekerjaan bekerja secara bebas harian.

Malaysia juga, turut terkena tempiasnya apabila syarikat-syarikat menggantung operasi mereka untuk membendung penularan virus tersebut yang menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 3.9 peratus.

Prospek mencabar bagi mata wang tempatan

Krisis yang memuncak antara Washington dan Beijing boleh membantutkan pemulihan ekonomi, menyebabkan penghindaran risiko dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dan komoditi, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Bagi syarikat-syarikat, perkara yang wajar untuk dilakukan adalah dengan mengelak daripada terjebak dalam konflik itu menerusi pengalihan perdagangan.

“Dalam hal ini, penting bagi Malaysia untuk mengambil kesempatan sepenuhnya daripada situasi tersebut dengan menjadi lebih kompetitif untuk menjadi destinasi pelaburan.

“Mempermudahkan insentif pelaburan perlu menjadi keutamaan segera kerana syarikat global yang mahu membuka operasi mereka di sini pastinya mahu proses mereka menjadi lebih mudah, lancar dan terjamin,” katanya.

Pada Jumaat, Presiden AS Donald Trump mengumumkan beberapa langkah tindakan balas terhadap China yang didakwanya melakukan pengintipan serta mencabul hak kebebasan di Hong Kong, yang telah menegangkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu.

Trump juga mengumumkan pengunduran AS daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan mendakwa China mengawal pertubuhan itu.

Prestasi Ringgit, mata wang EM berbanding dolar AS

Pasaran sedang pesat membangun (EM) termasuk Malaysia berada dalam tekanan sejak awal tahun ini disebabkan harga minyak dunia yang tidak menentu, pandemik serta kemelesetan.

Peningkatan ketegangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu telah memburukkan lagi keadaan yang telahpun sukar.

Setakat ini pada tahun ini, ringgit telah susut daripada paras 4.0850 pada Januari kepada 4.3450 pada Jumaat lepas.

Ringgit bukan satu-satunya mata wang negara sedang pesat membangun yang berdepan penurunan penilaian mata wang sejak tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ramai pelabur menyuarakan kebimbangan terhadap prospek kewangan awam negara-negara sedang pesat membangun kerana penurunan nilai mata wang mereka akan meningkatkan bebanan hutang denominasi dolar mereka.

Bagaimanapun, para penganalisis yakin perniagaan akan pulih semula perlahan-lahan di bawah normal baharu.

“Ketika normal baharu diamalkan di seluruh dunia, termasuk Malaysia, syarikat-syarikat semakin dapat membiasakan diri dengan konsep kerja dari rumah manakala membeli belah dalam talian telah menjadi rutin bagi hampir setiap orang.

“Justeru itu, perniagaan pasti akan pulih semula perlahan-lahan,” kata Mohd Afzanizam, sambil menambah ringgit diunjur meraih kembali momentum menghala ke hujung tahun disokong oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan korporat yang lebih baik.

Pemulihan semakin kelihatan

Ketika kerajaan di seluruh dunia mula membukakan semula ekonomi masing-masing bermula pertengahan Mei selepas hampir dua bulan terhenti seketika, petunjuk ekonomi telah menunjukkan petanda penstabilan.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi bulan Mei meningkat bagi AS (36.4, April: 27.0), Zon Eropah (30.5, April: 13.6), United Kingdom (28.9, April: 13.8) dan Jepun (27.4, April: 25.8).

“Di AS, tuntutan pengangguran bagi minggu yang berakhir pada 16 Mei turun kepada 21.0 juta daripada 24.9 juta pada minggu sebelumnya, membayangkan lebih ramai rakyat Amerika mendapat semula pekerjaan susulan pembukaan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu memberikan prospek positif bagi eksport Malaysia kerana permintaan luaran dijangka meningkat secara perlahan-lahan.

“Pembukaan semula ekonomi secara berperingkat bermakna akan lebih banyak aktiviti ekonomi, permintaan terhadap buruh akan meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kadar pengangguran Malaysia dijangka mengambil sedikit masa untuk turun kembali selepas kegawatan pada suku kedua dan menjangkakan kadar itu kekal di paras 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Langkah-langkah proaktif perlu diambil

Memandangkan pandemik Covid-19 telah membantutkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan langkah-langkah rangsangan ekonomi dan terbuka untuk menambah bantuan kewangan sekiranya situasi memerlukan tindak balas dasar seumpama itu.

Dengan menjadikan usaha merancakkan semula ekonomi dengan segera sebagai matlamat utamanya, kerajaan Malaysia telah merangka dasar-dasar bagi memastikan kejayaan berterusan usaha membendung penularan Covid-19 tanpa menjejaskan lagi ekonomi.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalamannya kepada dua peratus — yang paling rendah sejak 2009, dan lebih banyak mudah tunai telah disuntik ke dalam ekonomi bagi memastikan ketersediaan kredit dan menurunkan kos pinjaman bagi memudahkan pemulihan ekonomi.

Data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan selepas mencatatkan pertumbuhan terendahnya sejak krisis kewangan global 2009, ekonomi negara dijangka berada dalam kemelesetan dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Seorang penganalisis berkata memandangkan kemelesetan tidak dapat dielakkan, penting bagi kerajaan untuk menyediakan langkah-langkah meningkatkan mudah tunai kewangan dalam isi rumah bagi meningkatkan perbelanjaan.

Bagaimanapun, BNM berkata sektor perbankan tempatan dijangka mampu bertahan dengan tekanan kerana ia kini mempunyai jumlah nisbah modal 18.4 peratus dengan lebihan modal RM121 bilion – berupaya bertahan daripada potensi kerugian kredit dan pasaran.

“Dengan kekuatan sektor perbankan dan sokongan kerajaan, perniagaan – terutamanya perusahaan kecil dan sederhana – boleh bangkit semula dengan teguh pasca Covid-19, mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masa diperlukan untuk pulih kembali daripada penurunan sebelumnya dan ekonomi serta kestabilan politik menjadi faktor kritikal untuk menarik pelaburan langsung asing berkualiti.

“Langkah-langkah proaktif perlu diambil, dan menyediakan pelan bagi membina semula ekonomi terutamanya dalam tempoh penting setahun akan datang,” katanya.

– BERNAMA