Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu China: Malaysia bakal senasib Sri Lanka, Zimbabwe?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Malaysia berisiko menerima nasib seperti Sri Lanka dan Zimbabwe yang terpaksa menyerahkan kepentingan strategik mereka kepada China ekoran kegagalan negara itu membayar pinjaman masing-masing.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal ini boleh berlaku sekiranya Kerajaan Malaysia gagal menjana keuntungan daripada projek Landasan Pantai Timur (ECR) untuk membayar hutangnya kepada China.

“Apa yang berlaku di negara seperti Sri Lanka adalah kerana hutang tak mampu dibayar dan perkara sama juga boleh berlaku kepada Malaysia.

“Maknanya, kita berhutang dengan China, hutang itu untuk menjalankan projek itu tetapi katakanlah jika keuntungan Landasan Pantai Timur (ECRL) ini tidak cukup untuk membayar hutang, China kata sebab kamu tak mampu bayar aku ambil projek ini. Kita terpaksa serahkan kepada China.

“Ini berlaku bukan sahaja di Sri Lanka tetapi juga di negara-negara Afrika dan negara-negara Caribbean,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kepentingan strategik Sri Lanka iaitu Pelabuhan Hambantota di selatan negara itu yang merentangi laluan perkapalan timur-barat tersibuk di dunia, terpaksa dipajak selama 99 tahun kepada China.

Katanya, pelabuhan laut dalam itu dibuat bagi membolehkan Sri Lanka membayar hutang mereka kepada China.

=EZY=

Categories
GLOBAL

AS bakal bina rangkaian 5G tangkis ancaman China

GLOBAL 29 JAN: Amerika Syarikat (AS) berhasrat membina rangkaian 5G bagi mempertingkatkan tahap keselamatan negara itu susulan tindakan China mengintip panggilan telefon.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan sumber berkenaan yang mengesahkan intipati laporan Axios.com berkata, perkara itu sedang dibahaskan pada peringkat bawahan dan bakal mengambil masa antara enam hingga lapan bulan sebelum diputuskan oleh Presiden.

Rangkaian 5G itu adalah sebahagian usaha diambil bagi menangani ancaman siber diberikan China terhadap aspek keselamatan siber dan ekonomi AS.

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan, Presiden Donald Trump dilihat mengambil pendekatan lebih keras untuk beberapa isu termasuk peranan Beijing dalam mempengaruhi Korea Utara dan usaha China dalam industri strategik AS.

Awal bulan ini, AT&T diarah membatalkan rancangan untuk membekalkan pelanggan mereka dengan telefon bimbit jenama Huawei buatan China selepas beberapa ahli Kongres melobi menentang idea itu.

“Kami mahu membina rangkaian sendiri untuk menghalang China daripada mendengar semua perbualan,” kata sumber berkenaan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Misi China tempatkan manusia di bulan

GLOBAL 28 JAN: Empat pelajar China menghabiskan masa selama 200 hari tanpa henti di dalam sebuah kabin ‘makmal’ di Beijing ketika China membuat persiapan melaksanakan misi jangka panjang menempatkan manusia di bulan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kesemua pelajar berhimpit-himpit tinggal di sebuah kabin seluas 160 meter persegi dipanggil “Yuegong-1” atau Istana Bulan di kampus Universiti Beihang bagi menguji tahap kemampuan manusia untuk tinggal dalam ruang terhad.

Menurut pegawai agensi berita Xinhua, sukarelawan itu tinggal dalam kabin makmal tertutup’ bagi simulasi misi angkasa lepas jangka panjang tanpa sebarang hubungan dengan dunia luar.

Ketua Pereka Modul makmal itu, Liu Hong berkata, pengalaman sukarelawan itu diuji sehingga kemuncaknya terutamanya dalam tiga keadaan ketika makmal berkenaan terputus bekalan elektrik.

A model of China’s lunar rover for unmanned explorations. Photo: China News Service

“Pengalaman itu turut menguji sistem dan status psikologi sukarelawan, mereka berjaya melepasinya,” kata Liu.

Kemudahan itu menguruskan najis manusia melalui proses bio penapaian dan sukarelawan mencuba menanam sayuran dengan bantuan produk sampingan makanan dan sisa.

Pada awalnya dua lelaki dan dua wanita memasuki kabin itu bagi tempoh ujian selama 60 hari sebelum digantikan dengan empat sukarelawan lain yang tinggal bagi tempoh 200 hari.

Menurut Xinhua, sukarelawan asal program itu kini kembali bagi meneruskan misi tambahan selama 105 hari.

Istana bulan mempunyai dua modul penanaman pokok dan ruang kabin sebenar berkeluasan 42 meter persegi yang mengandungi empat bilik tidur, bilik umum, bilik mandi, bilik rawatan sisa dan ruang untuk membiakkan haiwan.

SUMBER: AFP/XINHUA

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL SAINS & INOVASI

Menara pembersih udara terbesar dunia 100 meter di China

GLOBAL 21 JAN: China membangunkan menara pembersih udara terbesar dunia hampir 100 meter dalam usaha untuk menangani pencemaran udara di negara itu.

Menurut Mail Online memetik South China Morning Post, menara itu dikatakan mampu meningkatkan kualiti udara dalam kawasan seluas 10 kilometer persegi.

Laporan daripada Institut Alam Sekitar Bumi di Akademi Sains China mendakwa sistem pembersih udara itu boleh mengurangkan 15 peratus partikel halus dalam asap yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Satu lagi laporan daripada Xi’an Evening Post menyebut menara itu telah siap sepenuh­nya pada Mei 2016 dan kini menjalani ujian untuk melihat sama ada ia betul-betul meningkatkan kualiti udara di kawasan sekitarnya.

Menara tersebut dan bahagian mesinnya meme­nuhi kawasan seluas 2,580 meter persegi di Xi’an, ibu kota wilayah Shaanxi di barat laut negara itu.

Selain itu, menara berkenaan juga merupakan sistem pembersihan udara berskala besar yang dibantu dengan tenaga solar.

What has been called the world’s largest air purifier by its operators is now up and running in the Chinese city of Xian in Shaanxi province. – INHABITAT

Di tapak menara terbabit, terdapat beberapa rumah hijau yang berfungsi untuk menarik udara tercemar ke dalam menara itu dan membersihkannya sebelum melepaskannya kembali ke alam sekitar.

Menara tersebut mampu mengasingkan partikel halus termasuk nitrogen oksida, nitrogen dioksida serta sulfur dioksida.

Menurut ketua penyelidik program tersebut, Cao Junji, menara berkenaan mampu membersihkan le­bih 10 juta meter padu udara setiap hari.

SUMBER: MAIL ONLINE/ South China Morning Post

Categories
GLOBAL

China halau kapal pemusnah AS langgar kedaulatan

BEIJING 21 JAN: China menghantar kapal perang untuk mengusir kapal pemusnah peluru berpandu Amerika Syarikat yang didakwa ‘melanggar’ kedaulatannya dengan belayar berhampiran beting di Laut China Selatan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan USS Hopper belayar pada jarak 12 batu nautika dari Pulau Huangyan pada malam 17 Januari lalu tanpa memberitahu Beijing, kata Kementerian Luar, merujuk kepada beting itu dalam nama bahasa Cina.

Ia juga dikenali sebagai Beting Scarborough, gugusan batu karang terletak kira-kira 230 kilometer dari Filipina di Laut China Selatan, yang turut menyaksikan tuntutan Beijing dicabar beberapa negara lain.

Kapal perang AS itu ‘melanggar’ kedaulatan dan kepentingan keselamatan China’ dan meletakkan keselamatan kapal China berhampiran ‘dalam bahaya’, kata jurucakap Kementerian Luar, Lu Kang.

USS Hopper, photo by: WIKIPEDIA

Kementerian Pertahanan China, dalam kenyataan berasingan berkata kapal negaranya segera bertindak untuk mengenal pasti dan mengesahkan kapal AS dan mengusirnya dengan memberi amaran.

USS Hopper baru-baru ini memasuki kawasan operasi Armada ke-7 Tentera Laut AS, dengan kapal itu bertindak bebas, menurut kenyataan yang disiarkan awal bulan ini.

Misinya di Asia termasuk kerjasama keselamatan, membina kapasiti dan melakukan operasi rutin di kawasan itu.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Sri Lanka pajak pelabuhan kepada China 99 tahun bayar hutang

GLOBAL 10 DIS: Sri Lanka menyerahkan sebuah pelabuhan laut dalam kepada sebuah syarikat China pada Sabtu melalui satu perjanjian untuk meningkatkan kewangan negara itu yang mencetuskan kebimbangan di dalam dan luar negara berhubung peningkatan pengaruh Beijing.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan perjanjian bernilai $1.12 bilion yang julung kali diumumkan Julai lalu, membolehkan sebuah syarikat milik China mengambil alih Pelabuhan Hambantota di selatan negara itu yang merentangi laluan perkapalan timur-barat tersibuk di dunia, melalui pajakan 99 tahun.

“Dengan pemeteraian perjanjian hari ini, Perbendaharaan menerima $300 juta.

“Ini ialah permulaan untuk membayar hutang kami,” kata Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dalam satu majlis penyerahan di ibu negara itu.

Pelabuhan yang mengalami kerugian itu kini diuruskan secara bersama oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Sri Lanka milik kerajaan dan China Merchants Port Holdings.

Kerajaan pimpinan bekas presiden, Mahinda Rajapaksa meminjam $8 bilion daripada China untuk tujuan projek pembangunan infrastruktur, termasuk pelabuhan itu.

Perjanjian itu menimbulkan kebimbangan di dalam dan luar negara, di mana negara seperti India dan Amerika Syarikat khuatir pelabuhan laut dalam itu akan memberi Beijing kelebihan ketenteraan di Lautan Hindi.

Jumaat lalu, Parlimen Sri Lanka meluluskan pelbagai konsesi cukai untuk perjanjian pelabuhan itu, termasuk pengecualian cukai sehingga 32 tahun kepada syarikat China terbabit yang dibantah parti pembangkang.

“Tolong beritahu Dewan ini butiran konsesi cukai sangat baik yang anda berikan kepada China berhubung perjanjian itu. Apa yang anda dapat daripadanya?” tanya seorang wakil rakyat pembangkang, Anura Dissanayake di Parlimen, pada Sabtu.

Sri Lanka berhasrat mengurangkan hutang luar negara yang banyak melalui perjanjian Pelabuhan Hambantota dan menjual beberapa perusahaan lain untuk mendapat wang.

SUMBER: AFP

Categories
SELANGOR

ADN BN gagal faham misi pelaburan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan gagal memahami konteks pelaburan yang giat dilaksanakan Kerajaan Negeri kini.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar terbuka kepada China untuk menggalakkan pelaburan dari luar ke negeri ini.

“Kalau kita tidak faham, janganlah tunjukkan kejahilan kita. Kerajaan Negeri melihat, China sebagai sebuah negara berpotensi untuk merealisasikan misi pelaburan Selangor.

“Kita tidak boleh nafikan China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia, dan kita kini melihat wujudnya peluang pelaburan itu.

“Justeru, Selangor merancang melihat apakah jenis pelaburan bersesuaian di Selangor contohnya dalam pelaburan teknologi tinggi, Smart City, Aerospace atau E-Commerce,” katanya.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri tidak melaksanakan dasar penjualan tanah kepada pelabur luar sebagaimana yang berlaku di peringkat Persekutuan kini.

Beliau mendakwa, wujudnya penjualan tanah kepada pelabur luar yang dianggap taktik kotor dalam menggalakan pelaburan negara luar ke Malaysia.

“Kita tidak melutut kepada rakyat negara lain, Selangor mencari pelaburan. Apabila China memilih untuk melebarkan jaringan pelaburan mereka di luar negara, Selangor menggalakkan pelaburan di sini.

“Kita bukan ikut cara negeri lain, mereka jual tanah tanpa buat tapak perindustrian kepada pelabur. Mereka jual tanah, contohnya di Pahang ada tanah rakyat sendiri tak boleh masuk sebab tanah sudah dijual kepada pelabur,” katanya.

Terdahulu, Selangor berhasrat menjadi rakan kongsi dagangan aktif China memandangkan negara tembok besar itu merupakan antara pelabur utama dengan nilai terkumpul hampir RM3.2 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri mengalukan hubungan lebih kukuh memandangkan pelabuhan kontena tersibuk kedua di ASEAN, Pelabuhan Klang adalah kunci kepada pertumbuhan perdagangan strategik antara Selangor dan Guangdong.

Categories
GLOBAL

AS tamat kerjasama dengan bank China

WASHINGTON 3 NOV: Amerika Syarikat (AS) menamatkan kerjasama dengan Bank Dandong dari China atas dakwaan bank itu membantu Korea Utara, melanggar sekatan kewangan yang dikenakan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Washington pada Jun lalu telah memberi peringatan kepada cabang perniagaan lain bahawa mereka bercadang untuk mengambil tindakan dan ia akhirnya dikuatkuasakan, sejurus sebelum Presiden Donald Trump memulakan lawatan ke Asia.

Beliau sebelum ini menuntut Beijing melaksanakan lebih banyak pendekatan untuk mendesak Korea Utara menghentikan program peluru berpandu nuklear mereka yang berupaya untuk terbang sehingga ke Amerika.

Trump akan menyampaikan mesej ini kepada Presiden Xi Jinping di Beijing minggu depan, namun China dilihat keberatan untuk mengambil pendekatan seumpama itu ke atas Korea Utara.

Sumber kerajaan AS memberi amaran, Trump tidak memberikan sebarang arahan untuk membatalkan serangan ke atas Kim Jong-Un bagi menghalang program nuklear beliau, walaupun pada dasarnya lebih memilih untuk berunding.

Di sebalik penentangan terhadap Korea Utara, AS juga sebenarnya secara halus telah bertindak mengenakan sekatan kedua ke atas institusi asing, seperti Bank Dandong yang didakwa menyalurkan dana secara haram.

Langkah itu ternyata membangkitkan kemarahan China tetapi penganalisis berkata, ia petunjuk penting kepada Beijing untuk menimbangkan semula strategi mereka.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saya ke China bukan melutut seperti Najib di AS

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OKT: Kunjungan Kerajaan Negeri ke China adalah untuk menarik pelaburan masuk ke Selangor, tegas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, tindakan itu seharusnya dicontohi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak ketika mengunjungi White House.

Katanya, Putrajaya seharusnya lebih arif langkah Selangor berjaya meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaburan domestik dan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pencapaian ini semua diakui Jabatan Statistik Negara.

“Sebaliknya Najib umum mahu gunakan duit rakyat untuk bina infrastruktur di sana, buat apa, Amerika Syarikat tidak perlukan duit Malaysia.

“Itu beza saya dan dia, saya bukan melutut ke China,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas perbezaan kunjungan dilakukannya ke luar negara berbanding Najib yang juga Menteri Kewangan.

Semalam, Najib menerusi pembentangan Bajet 2018 menyindir kononnya lawatan Kerajaan Negeri bertujuan menjual Selangor kepada pelabur luar.

Pada September lalu, Mohamed Azmin mengetuai delegasi Selangor ke Guangdong, China menghadiri Majlis Pembukaan Forum Pembangunan, Kerjasama Industri dan Kewangan negara itu.

Kunjungannya juga bagi memenuhi jemputan berucap oleh 21st Maritime Silk Road untuk berkongsi polisi dan dasar Kerajaan Negeri di hadapan pelabur berpotensi di sana.

=EZY=

Categories
GLOBAL

China tegas tak bertolak ansur perangi rasuah

BEIJING 18 OKT: Presiden China, Xi Jinping, berkata kerajaannya tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan rasuah dalam Parti Komunis yang memerintah.

Beliau berkata demikian ketika berucap kongres parti itu di sini, hari ini, sambil memberi amaran kegiatan rasuah yang berleluasa mampu mengancam kewujudan parti, lapor REUTERS.

Jinping berkata, beliau sudah menyaksikan kesan rasuah terhadap ramai pemimpin tertinggi parti, kerajaan dan tentera.

Dalam ucapannya, beliau turut meminta supaya prinsip Satu China dikekalkan, iaitu merujuk kepada dasar Kerajaan China yang menetapkan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada negara itu.

“Kerajaan China menentang dan menghalang usaha Taiwan untuk mendapatkan kemerdekaan sejak lima tahun lalu,” katanya yang bersedia mengambil langkah sewajarnya untuk menguasai Taiwan jika perlu berbuat demikian.

Categories
GLOBAL

China bina sistem cam wajah ‘paling berkuasa di dunia’

BEIJING 15 OKT: China membina sistem pengecaman wajah ‘paling berkuasa di dunia’ bagi tujuan mengenal pasti setiap seorang daripada 1.4 bilion rak­yatnya hanya dalam masa tiga saat.

Matlamat utama sistem itu dibangunkan adalah untuk memadankan wajah seseorang dengan gambar kad pengenalan mereka pada ketepatan kira-kira 90 peratus, lapor AGENSI.

Sistem berkenaan boleh disambungkan kepada pusat penyimpanan dan pemprosesan data di seluruh China.

Projek yang dilancarkan oleh Kementerian Keselamatan Awam China pada 2015 itu masih dalam percubaan dengan kerjasama sebuah syarikat keselamatan beribu pejabat di Shanghai.

Menurut akhbar South China Morning Post, sistem pengecaman wajah 1.4 bilion orang itu dibangunkan oleh syarikat Isvision yang memenangi kontrak tahun lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor negeri bermaruah, berintegriti dan tarikan pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Pentadbiran Kerajaan Negeri tetap mempertahankan maruah negeri dan rakyatnya dengan tidak akan sesekali melutut kepada negara kuasa besar ekonomi dunia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban, berintergriti dan bebas rasuah sebagai daya tarikan untuk mendorong pelabur asing melabur di negeri termaju itu.

“Minggu lepas saya berada di India dan sebelum itu di Negara China bukan saya bawa duit orang Sabak Bernam dan Tanjong Karang melabur di India dan China kerana saya bukan macam sebuah kerajaan yang dekat dengan Selangor itu, bawa duit rakyat pergi membantu membangunkan infrastruktur di Amerika Syarikat (AS).

“Ini apa cerita? Rakyat masih susah. Pembangunan negara masih jauh ketinggalan tetapi ada pemimpin sanggup melutut kepada negara asing, bawa wang rakyat Malaysia melabur di AS.

“Berbeza dengan Kerajaan Selangor yang ada maruah, integriti, kita tidak melutut kepada mereka tetapi mereka yang datang ke Negeri Selangor meletakkan pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat di Selangor ini,” katanya.

IKEABeliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, Selangor hari ini semakin mendapat perhatian dan keyakinan pelabur antarabangsa dengan meletakkan pelaburan berbilion ringgit dan sekaligus membolehkan rakyat Selangor memperolehi kemahiran dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, antaranya syarikat terkemuka daripada Sweden, Ikea yang bersetuju melabur RM1 bilion di Selangor walaupun Kerajaan Negeri Johor turut melobi untuk mendapatkan pelaburan terbabit.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut membidas golongan yang mengaku sebagai pejuang Melayu bagi kepentingan politik sendiri.

“Saya tidak mahu menjadi seperti setengah orang, mengaku pejuang Melayu tetapi bawa lari duit berbeg-beg ke negara asing. Melayu mana yang dia tolong? Melayu dirinya dan keluarganya tetapi Melayu di bawah masih susah, Melayu di kampung masih susah.

“Orang ini nak mendabik dada sebagai pejuang Melayu semata-mata kepentingan politik. Saya tidak mahu jadi pengkhianat kepada rakyat Selangor sama ada Melayu, Cina atau India semuanya menjadi tanggungjawab saya untuk mengangkat martabat mereka sebagai rakyat yang ada maruah dalam negeri Selangor ini,” katanya.

=EZY=