Categories
SELANGOR

Exco: MPAJ perlu segera turap jalan punca hakisan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PANDAN, 21 APR: Kelewatan kontraktor menyelesaikan kerja menurap jalan berhampiran Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini menyebabkan hakisan tanah merah yang diletakkan di bahu jalan.

11149380_1004621212890209_2479653088752444160_nExco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, keadaan itu menyebabkan longgokan tanah merah memasuki longkang dan mengotori jalan.

“Kerja menurap masih belum selesai di jalan menghubungkan Pandan Indah dan Taman Kencana hingga meyebabkan hakisan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Iskandar menjelaskan, beliau akan memohon MPAJ mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah terbabit.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Dua lagi projek Rumah Selangorku akan dilancarkan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 MAC: Dua lagi projek rumah mampu milik di bawah program Rumah Selangorku akan dilancarkan Kerajaan Negeri, pada 20 dan 22 Mac ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pelancaran dua projek terbaru itu adalah sebahagian daripada program Rumah Selangorku di bawah ‘Skim Insentif Galakan Rumah Selangorku 2015’ yang akan dibangunkan pemaju swasta.

Katanya, pelancaran serta pendaftaran Rumah Selangorku itu membabitkan Sime Darby Property (Klang) di Bandar Bukit Raja dan Bandar Rimbayu Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, Banting.

Rumah Bukit Botak“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperbanyakkan penyediaan kediaman selesa dan berkualiti supaya dapat meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Selangor seperti yang digariskan dalam objektif ‘Dasar Rumah Selangorku,” katanya.

Iskandar berkata, sembilan projek Rumah Selangorku diluluskan Kerajaan Negeri yang mengandungi 11,833 unit rumah, sehingga kini.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk rumah yang bakal dibina anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

“Kerajaan Selangor mensasarkan 15,000 unit Rumah Selangorku akan diluluskan dan dilancarkan tahun ini,” katanya.

yb iskandar 1Beliau berkata, syarat permohonan baru sudah dilonggarkan dengan membenarkan golongan bujang berusia 25 tahun ke atas membeli kediaman terbabit sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberi peluang kepada rakyat memiliki Rumah Selangorku.

Rumah Selangorku adalah rumah yang wajib dibina pemaju dengan harga kawalan antara RM42,000 sehingga RM250,000 seunit bergantung kepada keluasan lantai minimum 700 kaki persegi hingga 1000 kaki persegi.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03-55447950 atau layari http://lphs.selangor.gov.my untuk keterangan lanjut.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Mustahil bersatu, PAS tak lupa kenangan pahit bersama Umno-BN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 MAC: Pengalaman panjang PAS di pentas politik negara menjadikan parti itu mustahil menyertai Barisan Nasional (BN) seperti yang berlaku pada tahun 1973.

Dakwaan kononnya PAS adalah parti paling mudah diumpan untuk bekerjasama dengan Umno berbanding parti Pakatan Rakyat (PR) lain juga tidak berdasarkan fakta sebenar.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, pemimpin dan ahli PAS paling ramai dizalimi, ditindas dan ada yang dibunuh ketika bersama BN dari 1973 hingga 1977.

umno-dan-pas-565x376“Antara tiga parti PR, pimpinan dan ahli PAS yang paling ramai ditindas dan dizalimi Umno-BN.

“Bukan sahaja pemimpin PAS pernah dipenjarakan dan dibunuh, tetapi ahli PAS di peringkat akar umbi turut dinafikan hak sebagai rakyat selain dihambat serta ditindas.

“Peristiwa Memali yang mengorbankan ahli PAS masih segar di dalam ingatan kita,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, golongan petani yang menyokong PAS juga kerap dinafikan bantuan seperti subsidi baja, manakala kampung yang kuat menyokong PAS pula tidak mendapat jalan berturap.

YB Iskandar 2“Guru yang dikesan memberi sokongan kepada PAS ditukar ke Sabah dan Sarawak atau dipecat. Gerai dan warung yang menyokong PAS juga diroboh,” katanya.

Iskandar berkata, dakyah kononnya PAS mudah dipikat Umno sengaja disebarkan pihak tertentu sebagai sebahagian strategi menjatuhkan pemimpin tertentu di dalam parti itu.

-NFN

Categories
NASIONAL

Mursyidul Am PAS: Haron Din mampu teruskan perjuangan Nik Aziz

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 MAC: Mursyidul Am PAS baru, Datuk Dr Haron Din diyakini mampu meneruskan tugas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan baik.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, panduan dan nasihat Mursyidul Am penting dalam memastikan perjuangan parti itu kekal pada landasan Islam.

nikaziz haron“Untuk kekal relevan, dasar PAS harus jelas terutama dalam suasana politik negara yang makin mencabar.

“Saya juga berharap Datuk Dr Haron Din dapat bersikap tegas seperti Tok Guru Nik Aziz,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Astro Awani melaporkan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS sebulat suara melantik Haron Din sebagai Mursyidul Am parti itu dalam satu mesyuarat, pada 8 Mac lalu.

Mesyuarat sama turut memutuskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS.

Perlembagaan PAS menyatakan jawatan Mursyidul Am boleh dipilih oleh 15 anggota MSU untuk tempoh lima tahun.

Jawatan Mursyidul Am tidak terikat dengan penggal muktamar seperti Jawatankuasa PAS Pusat.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Exco Selangor sedia isytihar harta, pimpinan BN-Umno bila?

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 MAC: Exco Selangor bersedia mengisytihar harta mereka pada bila-bila masa seperti yang dilakukan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam.

Mereka juga meminta kepimpinan Umno mencontohi Kerajaan Selangor yang sentiasa bersedia mengisytihar harta tanpa perlu melindungi sebarang bentuk kepentingan peribadi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya tiada masalah berhubung perkara itu, bahkan pernah dilakukannya sejak menggalas jawatan Exco, bermula 2008.

yb iskandar 1“Kami bersedia untuk itu. Malah ia sudah jadi polisi dalam kepimpinan Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR), Menteri Besar dan barisan Exco perlu isytihar harta yang dimulakan sejak 2008.

“Sebaliknya, mereka (Umno) yang perlu mulakan. Jangan suruh perkara yang mereka sendiri teragak-agak untuk lakukan kerana itu amat memalukan,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau berikrar akan memastikan seluruh barisan Exco negeri itu mengisytiharkan harta mereka seperti yang dilakukan Rafizi atas kapasiti individu.

“Ia akan dilaksanakan kerana sudah menjadi dasar kami sejak 2008,” katanya di Parlimen, semalam.

pc dr daroyah 2Beliau berkata demikian sebagai respon kepada cabaran Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee supaya Adun dan Ahli Parlimen PR mengisytihar harta.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Umno perlu berasa malu kerana PR sudah lama melaksanakan pengisytiharaan harta.

“Ini adalah bukti Kerajaan Selangor telus. Sudah tentu kami sebagai Exco tiada masalah dan bersedia untuk itu seperti yang dicadangkan Dewan Negeri Selangor (DNS),” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PAS Selangor kutuk serangan ke atas Dr Dzulkefly

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 MAC: PAS Selangor mengutuk kejadian serangan ke atas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang diserang individu tidak dikenali sewaktu pulang daripada solat subuh pagi tadi.

Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan ganas itu tidak seharusnya dibiarkan berlaku ke atas mana-mana pihak atau individu.

dr dzul green 01“Kami berharap pihak polis akan mempercepatkan siasatan supaya pihak yang bertanggungjawab dapat dikenalpasti dan didakwa,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Iskandar berkata, pihaknya juga akan mengarahkan supaya kawalan keselamatan ke atas pimpinan PAS Selangor dipertingkatkan serta-merta.

Katanya, ia bagi memastikan tindakan segelintir pihak yang cuba mencetuskan provokasi dapat dihalang.

iskandar“Dewan Pemuda PAS Selangor akan melaksanakan tugas itu,” katanya.

Dzulkefly dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di depan rumahnya dekat Shah Alam, awal pagi ini.

Kesan kejadian itu, beliau mengalami pecah di bibir dan bengkak di kepalanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Sewa atas sewa, Kerajaan Negeri serbu PPR

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 MAC: Kerajaan Negeri memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab penyewa tempatan yang menyewakan unit mereka kepada warga asing.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Samad berkata, beliau akan meminta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menjalankan serbuan di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) ekoran sikap mengaut keuntungan atas angin itu.

iskandarKatanya, terdapat unit kediaman penyewa tempatan dirampas kerana ‘sewa atas sewa’ sebelum ini.

“PPR di bawah dua pentadbiran iaitu Kota Damansara, Hicom dan Serdang di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Manakala, Lembah Subang di bawah MBPJ. Saya akan minta MBPJ dan Lembaga Perumahan turun buat operasi gerak gempur.

“Memang ada yang sudah dikeluarkan kerana sewa atas sewa,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bertindak tegas dalam kes itu dan kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir penyewa tempatan yang mengambil kesempatan.

PPRT“Ini adalah rumah sewa dan tidak boleh dijual. Terdapat empat projek iaitu di Kota Damansara, Lembah Subang, Hicom dan Serendah.

“Rumah ini tidak akan disewakan kepada warga asing. Penyewa juga tidak boleh menyewa kepada orang lain.

“Jika berlaku sewa atas sewa, kontrak sewaan akan dibatalkan serta-merta. Kerajaan Negeri akan tawarkan kepada penyewa yang menyewa daripada penyewa asal,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

5 projek Rumah Selangorku bawah RM250,000 mulai April

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan Negeri dijangka melancarkan lima projek rumah mampu milik di bawah RM250,000 selewat-lewatnya April ini.

8,401 unit rumah akan dibina dalam lima projek itu selaras dengan sasaran Dato’ Menteri Besar pada ucapan Belanjawan 2015 yang meletakkan sasaran 15,000 unit Rumah Selangorku dengan kerja pembinaannya tahun ini.

rumah mampu milik iklan 01Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, perkara itu dimaklumkan melalui satu perbincangan tertutup yang diadakan di Johor Bahru dan beliau yakin sasaran projek perumahan terbabit mampu dicapai.

Pemaju yang bertanggungjawab dalam projek di Klang adalah Sime Darby Property (Klang) Sdn Bhd membabitkan Bandar Bukit Raja (2,403 unit), Gemilang Waras Sdn Bhd di Bandar Bukit Tinggi 2 (695 unit) dan Gabungan Efektif Sdn Bhd di Bandar Parklands (1,041 unit).

Selain itu, Bandar Rimbayu Sdn Bhd di Bandar Rimbayu, Tanjung Dua Belas, Kuala Langat (2,330 unit) dan Lakefront Residence Sdn Bhd di Cyberjaya, Sepang  (1,932 unit).

yb iskandar 1“Dalam perbincangan tertutup (retreat) itu, kita bersetuju pemaju yang mendapat kelulusan membina Rumah Selangorku dan Rumah Mampu Milik dari tahun 2011 hingga 2014 perlu mengemukakan permohonan kebenaran merancang (KM), sebelum 1 Mei ini.

“Kegagalan mengemukakan permohonan itu akan mengakibatkan syarikat dan lembaga pengarah terlibat disenarai hitam.

“Ini bermakna mereka tidak akan dibenarkan mengemukakan permohonan KM baru sehingga permohonan projek Rumah Selangorku atau rumah mampu milik mereka dikemukakan,” katanya.

Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan mengeluarkan arahan berhenti kerja bagi -projek mereka yang sedia ada.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Walaupun Anwar dalam penjara, semangat tetap bersama

Oleh : AFEEQA AFEERA

AMPANG, 10 FEB: PAS Selangor memberi jaminan akan terus berjuang bersama Pakatan Rakyat (PR) walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak memihak kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, semangat Anwar akan terus dibawa walaupun beliau bakal menjalani hukuman penjara selama lima tahun, berkuatkuasa hari ini.

ISKANDAR STRATA“Kalau kita lihat BN mungkin mengharapkan PR akan lumpuh selepas keputusan itu. Saya rasa ini tidak akan berlaku walapun Anwar di dalam penjara, tetapi semangatnya ada bersama kita di luar.

“Keputusan itu tidak akan melumpuhkan semangat PR, perjuangan akan diteruskan,” katanya kepada Selangor Kini.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan luar Mahkamah Persekutuan apabila Anwar yang juga Ketua Pembangkang didapati bersalah dan gagal menolak rayuan dalam tuduhan Fitnah 2.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap Anwar, sekali gus menyaksikan status beliau selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh terlucut secara automatik.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor tubuh jawatankuasa khas tangani isu geran strata

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 FEB: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mempercepatkan pemilik unit rumah bertingkat di Selangor memperoleh geran strata masing-masing.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, jawatankuasa itu akan berfungsi seperti yang dibentuk bagi mempercepatkan sijil menduduki (CF) sebelum ini.

rumah mampu milik sept 2012 01“Sebelum ini banyak juga yang berjaya diselesaikan. Ada yang dah 15 tahun belum dapat status starata lagi.

“15 tahun itu kira belum cukup lama, ada yang sampai 25 tahun masih menunggu,” katanya ketika menghadiri Majlis Penerangan Majlis Perundingan Rakyat Pandan (MPRP) di Dewan Ahli Majlis Pandan Indah, di sini, baru-baru ini.

Iskandar berkata, isu pemilikan geran starata adalah salah satu isu yang menjadi keutamaan beliau kerana kegagalan memiliki geran starata menimbulkan pelbagai kerumitan kepada pemilik seperti isu menukar nama.

Katanya, antara masalah yang mengakibatkan kesukaran pemprosesan geran strata seperti,pemaju yang sudah menghilangkan diri dan isu struktur bangunan akibat dibina secara tergesa-gesa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PPR: Dulu pusat batal peruntukan, bila ada terkorban baru nak bagi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 FEB: Kerajaan Pusat diingatkan tidak sewenang-wenangnya bermain tarik tali dalam memberi peruntukan membaik pulih pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, perkara itu pernah berlaku di beberapa buah PPR termasuk di Kota Damansara.

ppr kota damansara 01“Pusat ada berjanji nak baik pulih projek PPR di beberapa tempat. Mereka janji nak cat PPR Hicom, Shah Alam tetapi kemudian tarik balik, tak tahu kenapa.

“Begitu juga di PPR Kota Damansara, dulu kata nak beri peruntukan tapi akhirnya tarik balik tetapi bila berlaku satu kes kematian, kini baru umum semula nak beri peruntukan.

“Saya harap kalau dah kata nak bagi peruntukan, bagi sahaja jangan main tarik-tarik tali pula.

“Kenapa dah ada masalah, dah ada yang meninggal baru nak bagi sedangkan dulu tarik balik,” katanya, di sini, baru-baru ini.

iskandarBeliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang bantuan dari Kerajaan Pusat bagi meningkatkan keselamatan dan taraf hidup penduduk PPR.

“Kalau nak bagi, bagi sahaja. Kita sama-sama bantu penduduk PPR ini. Kalau mereka tak bagi kita tetap bagi dan di Subang termasuk Kota Damansara sendiri Kerajaan Negeri dah salur peruntukan RM5 juta.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri seharusnya boleh bekerjasama dalam memberikan kehidupan lebih baik kepada penduduk PPR di Selangor,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PAS Selangor: Pilihan raya tak beri penambaikan sistem penyampaian PBT

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 8 FEB: Pilihan raya kerajaan tempatan dilihat tidak mampu membantu dalam penambahbaikan sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada masyarakat.

Pengerusi PAS Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, hal itu berikutan langkah terbabit hanya melibatkan pemilihan Ahli Majlis sahaja dan tidak meliputi kakitangan PBT.

logo PBT“PAS Selangor bersama pusat kerana fokusnya bukan pemilihan Ahli Majlis tetapi penambahbaikan perkhidmatan.

“Kini, Ahli Majlis dari segi akauntabilitinya memang tinggi dan kita kena pastikan kakitangan PBT serta sistem penyampaiannya diberi penambahbaikan lagi.

“Penyampaian diperbaiki bukan melalui Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tetapi melalui usaha yang lain,” katanya yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Kerajaan Selangor.

Iskandar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penerangan Majlis Perundingan Rakyat Pandan (MPRP) di Dewan Ahli Majlis Pandan Indah, di sini, semalam.

yb iskandar 1Katanya, PBT dan Kerajaan Negeri perlu fokus berkenaan bagaimana meningkatkan keberkesanan terhadap sistem penyampaian agensi itu sendiri.

Terdahulu, DAP menuntut Kerajaan Selangor mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan seperti terkandung dalam manifesto antara parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, perkara itu belum diputuskan Kerajaan Negeri sehingga mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) hari ini.

-NFN-