Categories
NASIONAL

Garis Panduan Pembiayaan Politik Tak Jamin Politik Bebas Rasuah

bn putrajaya

SHAH ALAM 9 JUN : Cadangan mewujudkan garis panduan pembiayaan politik di bawah Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0) tidak akan menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban untuk membanteras rasuah.

Pemimpin Pakatan Rakyat berkata garis panduan bagi mengesan sumbangan wang kepada parti politik tidak akan bermakna sekiranya butiran mengenai sumber dan perbelanjaan wang parti politik tidak dapat didedahkan umum.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata cadangan itu akan dipersetujui dari pihak Pakatan sekiranya tujuannya mestilah telus dan rakyat mengetahui dari mana sumbangan politik itu timbul.

“Kita dari pihak Pakatan tiada bantahan terhadap syor itu dengan syarat ia tidak digunakan oleh pihak BN untuk menindas atau menyalahguna kuasa untuk manfaat diri sendiri.

“Tetapi saya tidak percaya bahawa pemimpin BN akan dedahkan kepada orang awam pembiayaan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Umno-BN untuk benar-benar melakukan secara terbuka.

“Jika garis panduan itu sesuatu yang boleh digunapakai maknanya pembiayaan politik perlu dijaga dan lebih terbuka.

?Supaya orang boleh tahu dari mana wang itu datang. Saya pasti BN tidak akan setuju kerana mereka dapat wang daripada kerajaan”, kata MP Padang Serai itu apabila dihubungi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata kerajaan persekutuan sudah mendapat persetujuan daripada Umno-BN bagi melaksanakan garis panduan bagi pembiayaan wang politik.

Menurut laporan Bernama, Kerajaan Persekutuan mahu mendapatkan persetujuan daripada parti-parti lain termasuk komponen Pakatan bagi melaksanakan garis panduan.

Cadangan tersebut mahu memperkenalkan peraturan bagi mengawal wang sumbangan kepada parti politik.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata cadangan itu sudah tentu memberikan lebih manfaat kepada Umno-BN.

“Sudah tentu memberikan lebih manfaat kepada Umno-BN kerana akan ada orang berkepentingan dalam projek-projek akan salurkan kepada mereka seperti mana yang berlaku di Sabah.

“Contohnya, kes yang menimbulkan pertikaian kononnya wang itu diperolehi oleh Ketua Menteri Sabah, Musa Aman manakala kenyataan di Menteri Jabatan Perdana Menteri mengatakan masuk ke akaun Umno Sabah,” katanya ketika dihubungi.

Categories
NASIONAL

Bubar Dun Sebelum Parlimen Beri Implikasi Kewangan

BN PRU-13 bom 01

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tarikh pembubaran Parlimen dilihat sebagai situasi pelik dan tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia.

Keadaan ini dikhuatiri akan memberikan implikasi kewangan terutama apabila beberapa keputusan besar dibuat meskipun mandat pemerintahan telah berakhir.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tempoh mandat pemerintahan diberikan rakyat melalui pilihan raya hanyalah lima tahun iaitu sejak 8 Mac 2008.

Keadaan ini turut disokong melalui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meminta rakyat memberikan mandat lima tahun lagi kepada Umno-BN.

“Bila habis mandat, hak rakyat adalah memberikan mandat baru.

“Keadaan sekarang saya sifatkan sebagai satu rampasan kuasa rakyat tanpa senjata,” katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat PAS.

Menurutnya, sepanjang tempoh ‘tamat mandat’ sejak 8 Mac 2013, kerajaan perlu mengumumkan semua keputusan projek yang telah diberikan kelulusan selain beberapa perjanjian termasuk di dalam Pameran Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ’13).

Jelasnya, kerajaan sementara yang berkuasa selepas pembubaran Dun atau Parlimen bagi menguruskan urusan harian tidak boleh membuat keputusan yang melibatkan implikasi kewangan.

Dun Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama berhadpan pembubaran secara automatik pada tengah malam 27 Mac 2013.

Selain itu, Mahfuz turut mendesak agar pihak keselamatan terutama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk bertindak bagi mengawal ketat keselamatan sehingga pilihan raya berlangsung.

Ini ekoran dakwaan sebelum ini termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang menyatakan bakal wujud gangguan pihak tertentu bagi mengganggu kelancaran PRU-13.

“Kalau ada dokumen dan cukup maklumat, mengapa tidak ambil tindakan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu sedar sebelum ini ceramah PR diganggu.

“Saya berani katakan mereka ini mendapat perlindungan pihak tertentu termasuk ‘jaminan’ polis,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Pengguna Lebuhraya SKVE Disaman AES Diminta Serah Butiran kepada KASE

KUALA LUMPUR, 5 NOV – Pengguna jalan raya yang menerima notis saman berhubung kesalahan kelajuan yang melibatkan kamera AES khususnya di KM6.6 Jalan Kajang-Puchong SKVE diminta supaya menghantar butiran saman mereka kepada Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Ini kerana, butiran had kelajuan yang tertera pada notis yang dikeluarkan nyata bercanggah dengan had yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti dipaparkan di laman web rasmi mereka.

Penasihat Perundangan KASE, Zulhazmi Shariff berkata, terdapat pengurangan had laju kepada 80 kilometer sejam (km/j) di kawasan berkenaan sedangkan had kelajuan yang ditetapkan adalah 90 kilometer sejam.

Namun, berdasarkan aduan yang diterima, terdapat pemandu yang disaman pada kelajuan 91km/j walhal Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Jaafar Mohamed dalam kenyataan di New Sunday Times berkata, terdapat kelonggaran had kelajuan (buffer) 10km/j pada setiap kamera AES mengikut setiap had laju yang ditetapkan.

“Saman yang dikeluarkan 80km/j. ini bukan buffer tapi pengurangan had kelajuan.

“Buffer patut jika had kelajuan 90km/j, dianjak kepada 100km/j. Saman bermula pada kelajuan 101km/j. Di mana buffer?” soal Zulhazmi.

Jelasnya lagi, kekeliruan turut berlaku terhadap lokasi mahkamah kerana penerima notis berkenaan diarahkan ke Majistret Kajang sedangkan berdasarkan paparan JPJ sepatutnya dirujuk kepada Majistret Sepang.

Justeru, KASE mendesak semua saman tersebut ditarik balik dan saman yang dibayar dipulangkan kembali atau JPJ sendiri akan berhadapan saman balas atas kecuaian mereka.

Beliau turut membangkitkan keadaan paparan gambar yang disertakan pada notis saman AES yang tidak menyatakan butiran had laju berbanding notis saman yang dikeluarkan oleh polis trafik.

Setakat ini, lebih 20 orang pengadu mengemukakan aduan saman di kawasan berkenaan.

Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghantarkan butiran melalui email [email protected].

Dalam pada itu, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan ‘keengganan’ Kabinet untuk menagguhkan perlaksanaan AES yang dilihat seolah-olah Menteri Kabinet mempunyai ‘kepentingan’ dalam perkara ini.

Mahfuz sekali lagi mengulangi kesediaan KASE menyediakan pasukan guaman percuma bagi membantu mereka yang menerima saman AES.

Saman AES Kerajaan Pusat Diminta Dedah Peruntukan Perjanjian

KUALA LUMPUR 24 SEPT : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menuntut Kerajaan Pusat mendedahkan peruntukan dalam perjanjian untuk sistem saman trafik automatik (AES) bagi memastikan ia tidak berat sebelah dan memihak kepada yang terlibat.

Katanya, perkara itu dituntut ekoran kenyataan Kementerian Pengangkutan bahawa AES dimiliki kementerian dan bukannya oleh entiti persendirian.

Beliau berkata, perkara itu berbeza dengan pendedahan sebelum ini yang pernah melibatkan dua syarikat terlibat dalam kontrak melaksanakan sistem itu.

“Sedangkan kenyataan kementerian tidak menyebut mengenai Beta Tegap Sdn Bhd atau ATES Sdn Bhd yang dikatakan membina dan melaksana sistem tersebut.

“Apa peranan mereka dan jika mereka memang berperanan, apa terma perjanjian itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Mahfuz turut meminta kerajaan menjelaskan sekiranya Kerajaan Pusat perlu menampung baki kutipan sekiranya tidak mencapai sasaran RM6 juta setahun.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pemasangan kamera statik dan bergerak (mobile) di kawasan 60 hingga 70 kilometer (KM) yang terdapat dalam 14 lokasi AES itu.

Sebelum ini, lidah rasmi PKR, Keadilandaily.com mendedahkan kutipan saman jalan raya akan dikongsi antara kerajaan dengan dua syarikat pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd, yang mana kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun.

Categories
NASIONAL

Ayah Tahanan ISA Merintih Minta Anak Dibebaskan

KUALA LUMPUR 28 JUN : Perhimpuan membantah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) di depan bangunan Parlimen pagi tadi menyaksikan ayah seorang mangsa merintih meminta anaknya Fadulah Razak dibebaskan segera.

Menurut Razak Mohd, beliau dimaklumkan anaknya ditahan kerana mengancam keselamatan negara dan dinafikan hak untuk membela diri di mahkamah.

Perhimpunan hari ini disertai lebih kurang 50 wakil dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan turut kelihatan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Tian Chua.

Ia bertujuan mendesak kerajaan membebaskan tahanan ISA yang bertindak mogok lapar untuk hari kelapan dengan segera ekoran tahap kesihatan tahanan semakin merosot.

Razak ketika ditemui menggesa pihak kerajaan perlu mengambil serius perkara ini dengan tidak menyembunyikan fakta sebenar.

“Orang hanya tahu bahawa ISA sudah dimansuhkan tetapi kenapa ada tahanan lagi, ini seolah-olah pihak kerajaan hanya untuk mengaburi mata masyarakat yang hanya untuk piliharaya,” kata Razak.

Tambah Razak lagi, beliau mendesak pihak Kem Tahanan Kamunting (Kemta) agar memberi penjelasan sebab anaknya dikurung sejak ditahan sejak 2010.

“Saya pernah cuba untuk menghubungi pihak Kemta, tetapi seolah-olah mereka tahu saya yang menghubungi dan ia tidak berjawab,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Rakyat mendesak pihak kerajaan untuk mengeluarkan senarai penuh tahanan yang belum dan sudah dibebaskan pada kadar segera.

“Kita mahu pihak kerajaan agar konsisten dalam pemansuhan ISA. Perdana Menteri wajib menjawab perkara ini dengan tindakan mogok lapar oleh tahanan ISA kepada pihak keluarga,” kata Izzah.

Dalam pada itu pihak Sekretariat Gerakan Mansuhkan ISA (GMI),Syukri Razak berkata pihak Menteri Dalam Negeri disaran memberi jaminan bahawa tahanan yang melancarkan mogok lapar tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

“GMI menuntut agar pihak keluarga,peguam dan doktor akan diberi akses kepada tahanan tanpa sebarang halangan oleh pihak Kemta,” katanya.

Peserta himpunan aman itu juga menunjukkan lukisan penyeksaan yang dilukis sendiri oleh tahanan ISA.

Categories
NASIONAL

Semua Kaum Perlu Bersatu Tolak Umno-BN

SABAK BERNAM 21 JUN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari meminta semua kaum di negara ini bersatu dan menolak pentadbiran Umno-BN.

Katanya, hal itu kerana ramai pemimpin Umno-BN banyak mencetuskan masalah kepada rakyat dan akan berlagak hero untuk menyelesaikan masalah itu.

“Mereka ini pemimpin yang berpura-pura. Jadi kita mesti berubah untuk menolak dan membuang mereka.

“Contohnya, saya dimaklumkan, terdapat lebih 300 nelayan Cina di Sabak Bernam memohon untuk mendapatkan geran tanah tempat tinggal mereka tetapi tiba-tiba mereka dapati bahwa tapak rumah mereka itu dikenal pasti adalah tanah rizab melayu.

“Saya pelik bagaimana penempatan nelayan kaum Cina yang sudah berusia lebih 100 tahun boleh bertukar status. Kita dapat lihat, ini bukan kerja kita tetapi kerja Umno-BN yang mahukan pemimpin mereka bangunkan tanah terbabit,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penduduk dalam Program Merdeka Rakyat, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Turut hadir, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S Ke savan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sementara itu, Chua Jui Meng berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berani untuk mengumumkan Pilihan Raya Umum ke -13(PRU13) kerana khuatir Umno-BN akan tergugat.

“Saya diberitahu oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, jika Najib umumkan pembubaran parlimen, Johor bukan lagi kubu kuat Umno-BN tetapi akan jadi kubu kuat Pakatan Rakyat.

“Kerana di Johor sekarang angin sudah meniup, apabila Johor bergoyang maka Umno-BN di seluruh negara akan tergugat,” katanya.

Selain itu, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR memberitahu pemberian saguhati RM50 sebulan kepada wanita seluruh negara akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memenang PRU13.

Katanya, pemberian tersebut yang dinamakan Program Caruman Wanita Nasional adalah salah satu daripada program yang dirangka khusus bagi membela kaum wanita.

“Ia untuk membantu wanita tersebut sekiranya ditimpa perkara yang tidak diingini kepadanya, suami atau keluarganya. Maknanya wanita ada sesuatu untuk membantu mereka sekiranya ditimpa kesusahan,” katanya.