Categories
AGENSI SELANGOR

Demokrasi matang lalui proses literasi politik

SHAH ALAM, 8 OGOS: Demokrasi matang dan subur terutama dalam kalangan rakyat memerlukan pemahaman melalui pendidikan atau proses literasi politik, kata Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), Senator Ismail Yusop.

Beliau berkata, demokrasi matang tidak boleh berlaku secara spontan atau kebetulan, sebaliknya memerlukan proses terancang.

“Elemen ini penting bagi membentuk suasana demokrasi matang dan kebebasan bersuara diberikan sebagai kesempatan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan agenda sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk Kebebasan Bersuara dan Tanggungjawab Mempertahankan Keharmonian ketika Persidangan Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush di Bilik Seminar IDE, di sini, hari ini.

Ismail berkata, perkara itu dapat dibuktikan melalui pengumuman tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Statue Rome termasuk Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mendapat tentangan pelbagai pihak.

“Masyarakat juga perlu didedahkan cara berfikir yang menepati hasrat maksud hidup kebersamaan atau Fiqh Ta’Ayush As Silmi.

“Fiqh Ta’Ayush As Silmi pula harus dikembangkan di tengah kemajmukan masyarakat Malaysia bagi menyuburkan perpaduan dan menghentikan kebencian antara kaum yang seharusnya tidak relevan dijadikan sebagai satu polemik,” katanya.

Terdahulu, pada persidangan itu turut diselitkan sesi pembentangan daripada beberapa panel dan antara tajuk dibincangkan adalah al-Ta’Ayush : Melihat dari Sudut Sirah; Peranan Universiti dalam Mempromosi Fiqh Ta’ayush dan Mengurus Kepelbagaian Kaum dan Agama dalam Majlis Belia Malaysia.

Categories
NASIONAL

Demokrasi terpimpin acuan demokrasi diktaktor era Sukarno

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 DIS: Demokrasi terpimpin yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia adalah acuan kepada demokrasi ala diktaktor ketika Indonesia masih di bawah pentadbiran Presiden Sukarno, hampir 50 tahun lalu.

Pengasas Akademi Pak Sako, Najwan Halimi berkata, langkah kerajaan mempraktikkan amalan demokrasi terpimpin adalah ke belakang, sekali gus membuktikan demokrasi di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara lain.

“Demokrasi di Malaysia masih belum matang seperti negara maju. Langkah kita mengamalkan demokrasi terpimpin sebenarnya sama seperti era Presiden Sukarno dahulu, secara diktaktor yang juga mengamalkan demokrasi terpimpin.

“Ini menunjukkan demokrasi kita masih jauh ketinggalan berbanding Indonesia, Filipina dan negara lain,” katanya dalam forum ‘Demontrasi Jalanan, Baik dan Buruk?’ di Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, semalam.

Selain Najwan, turut sama bertindak sebagai panelis adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Pusat (DAPSY), Dyana Sofya Mohd Daud dan Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

20161208_1504241Ketika menyentuh isu demontrasi jalanan, Najwan berkata, ia tidak semestinya bertujuan menjatuhkan kerajaan tetapi sebagai salah satu medium menyatakan bantahan terhadap sesuatu perkara.

Sementara itu, Dyana Sofya berkata, Umno adalah parti yang lahir daripada demontrasi orang Melayu yang menentang penubuhan gagasan Malayan Union, suatu masa dahulu.

Katanya, demontrasi anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) yang diadakan beberapa tahun kebelakangan ini juga berlangsung secara aman.

“Misalnya kita dapat lihat bagaimana Adam Adli bertindak menghalang dan meredakan kemarahan seorang warga emas yang mahu merempuh halangan polis dalam BERSIH 5, baru-baru ini.

“Adam menerangkan kepada pakcik itu tujuan demontrasi BERSIH bukanlah hendak mencetuskan huru-hara tetapi untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Obama: Kes Anwar tak telus, Malaysia perlu faham sistem demokrasi

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 JUN: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi amaran kepada Malaysia dalam isu pendakwaan berprofil tinggi membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan tidak mempunyai ketelusan.

Beliau berkata, Malaysia perlu memahami sistem demokrasi bukan sekadar mengadakan plihan raya supaya rakyat melihat keterbukaan dan ketelusan kerajaan terhadap sesuatu perkara.

AnwarKatanya, ia membabitkan kebebasan bersuara, media dan perhimpunan aman kerana perkara itu menggambarkan sistem demokrasi yang berjaya.

“Malaysia mempunyai sejarah demokrasi yang perlu dipelihara. Proses perbicaraan dan kes perlu dijalankan secara terbuka dengan bukti yang telus terutama jika kes itu membabitkan Ketua Pembangkang terkenal jika tidak mahu ia dipersoalkan.

“Apa yang anda tidak mahu ialah keadaan kesahihan proses itu dipersoalkan, jika tidak ia akan memberikan kesan buruk kepada demokrasi secara keseluruhannya,” katanya.

Obama berkata demikian selepas menjawab soalan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin yang menyertai Inisiatif Kepimpinan Asia Young Tenggara (YSEALI) di Rumah Putih, baru-baru ini.

121204_barack_obama_ap_605Bee Yin bertanya pandangan Obama berkenaan demokrasi di Malaysia terhadap penahanan Anwar, baru-baru ini.

Obama berpandangan, setiap orang perlu menghormati hak individu lain walaupun jika perkara itu tidak dipersetujui kerana demokrasi tidak boleh berkembang dalam jangka masa panjang.

“Di Amerika, demokrasi itu berjaya dilaksanakan kerana orang bebas menyatakan pendapat masing-masing tidak kira kerajaan atau pembangkang,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

MB jumpa Speaker Dewan Rakyat minta iktiraf peranan Ketua Pembangkang

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen, hari ini.

Mohamed Azmin tiba pada jam 2.05 petang dan menandatangani buku pelawat Parlimen sebelum masuk ke bilik utama untuk perbincangan ringkas.

Pertemuan berlangsung selama 50 minit itu adalah pertemuan rasmi pertama beliau selepas dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, pada September lalu.

IMG_6276Antara perkara yang dibincangkan termasuk kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke sesi Dewan Rakyat.

“Oleh kerana Tan Sri Speaker mengeluarkan kenyataan Datuk Seri Anwar masih lagi seorang Ahli Parlimen yang sah, maka beliau kekal sebagai Ketua Pembangkang yang dipersetujui bersama oleh Pakatan Rakyat.

“Sebagai sebuah Parlimen yang mempertahankan prinsip demokrasi, maka ia harus mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang dalam setiap sesi.

“Saya juga melahirkan kekecewaan apabila sehingga hari ini Datuk Seri Anwar tidak dibenarkan ke Parlimen sedangkan ada peruntukan yang membenarkan beliau keluar seperti ke mahkamah dalam kes saman terhadap Datuk Hanifah Aman.

“Mengapa di Dewan Rakyat menjadi halangan untuk beliau dibawa sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Speaker akan meneliti perkara berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan.

azminspekaer“Kami antaranya turut membincangkan bagaimana untuk meningkatkan prestasi perbahasan dan perjalanan Parlimen untuk menjadikan institusi ini benar-benar berwibawa kerana kita lihat masih ada tindakan di luar batasan sebagai Ahli Parlimen seperti yang berlaku pagi ini.

“Saya memberi jaminan, kita memang berpegang kepada prinsip untuk memastikan Dewan Rakyat dapat berjalan dengan baik.

“Kita turut mencadangkan Rang Undang-undang yang hendak dibentangkan di Parlimen harus melalui beberapa jawatankuasa kecil terlebih dahulu atau di peringkat negeri serta sebarang pertubuhan yang ada kaitan dengannya,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Demokrasi hancur, pimpinan PR dihalang masuk Sarawak berkempen

Oleh:  NORAZARIZAH RAHMAN
Solidariti Anak Muda Malaysia Sarawak (SAMM Sarawak) mengecam keras ke atas penafian pimpinan PR yang dihalang untuk memasuki salah satu negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Hak sebagai anak watan telah dinafikan dengan angkuh oleh seorang ketua menteri yang memerintah di atas mandat yang diberikan oleh rakyat demi kelangsungan politik yang sempit.
Setelah kita merdeka dan bersama dalam satu gagasan persekutuan, undang-undang dracornia masih dikekalkan oleh rejim pemerintah dengan alasan dangkal. Di dalam masa  yang sama, rakyat di seluruh negara di arah bersatu hati dalam menghadapi pelbagai maslahan yang kian meruncing namun, rejim penguasa begitu angkuh menggunakan undang-undang di zaman penjajah.
Tindakan pengusiran terhadap tiga pimpinan PKR iaitu Setiausaha Agung Dato Saifuddin Nasution, Naib Presiden Tian Chua dan Pengarah Strategi PKR Rafzi Ramli yang datang untuk bersama dalam Pilihanraya Kecil N51 Dun Balingian. Tindakan ini adalah jelas bahawa pihak rejim kini ketakutan setelah banyak kepincangan dan kelemahan yang didedahkan bagi membendung amarah kebangkitan rakyat setelah menyaksikan kebangkitan rakyat yang berlaku di PRK  N25 Kajang yang baru saja melabuhkan tirainya.
Sekali lagi, pihak SAMM Sarawak mengutuk dengan keras hak demokrasi yang seringkali dilaungkan oleh rejim pemerintah berlandaskan semangat demokrasi berparlimen yg didokong oleh seluruh rakyat negara ini.
# Norazarizah Rahman adalah Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Sarawak
Categories
NASIONAL

Raja Kamarul : PRU-13 Tsunami Nilai Bukan Politik Bangsa

Kamarul Bahrin

SHAH ALAM 16 MEI : Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah tsunami politik bangsa tetapi perubahan pengundi yang lebih memilih kepada perjuangan sistem nilai demokrasi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata masyarakat kini tanpa mengira bangsa bangkit dengan memperjuangkan nilai menentang rasuah dan ketidakadilan yang berlaku.

“PAS banyak menang di kawasan yang banyak institusi pendidikan dan bukan kepada sentimen bangsa, di Terengganu banyak isu berkenaan pengabaian hak orang Melayu.

“Kini masyarakat semakin sedar dengan soal kebergantungan kepada pihak kerajaan dan kerajaan (Umno-BN) amat suka orang Felda bergantung harap, kerajaan tidak ingin mereka berdikari dan merdeka daripada mencari nafkah atas usaha sendiri,” kata Raja Kamarul.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu, di sini.

Dalam pada itu Kamarul turut mempersoalkan sikap kerajaan pimpinan Umno-BN yang didakwa gagal dalam menangani isu professional Melayu apabila tidak menghargai peranan mereka dalam membangunkan negara.

Kata Raja Kamarul, beliau mengambil contoh mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican yang kini diambil bekerja oleh syarikat asing di Singapura.

“Orang-orang yang amanah tidak dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan dan tiada tempat , seorang Melayu lebih dipercayai oleh negara di Singapura dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Wacana ini turut mengetengahkan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Program ini dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin yang dihadiri kira-kira 500 orang.