Categories
NASIONAL

Penetapan harga siling air sukar dilaksanakan – Xavier

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 APR: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli tidak berhasrat menetapkan harga siling air bagi setiap negeri buat masa ini dan menyifatkan ia sukar dilaksanankan di Malaysia.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, kesukaran itu disebabkan struktur dan komponen utama kos dalam penyediaan perkhidmatan air iaitu kos rawatan dan pengagihan air adalah berbeza mengikut negeri.

“Kos ini secara lazimnya akan meningkat saban tahun selari dengan peningkatan permintaan air bagi menyokong pembangunan ekonomi negara dan pertumbuhan penduduk dalam membawa Malaysia menjadi negara maju,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, cadangan pelarasan tarif melalui Tariff Setting Mechanism (TSM) bertujuan mengimbangi pelaburan dalam penyediaan bekalan air bagi memenuhi keperluan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna.

Xavier menjelaskan, tarif air yang rendah pada masa ini tidak melambangkan kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air malahan telah menjejaskan prestasi perkhidmatan beberapa operator air, seperti di negeri Perlis dan Pahang.

“TSM dalam konteks ini dapat memastikan operator air mempunyai kedudukan kewangan yang membolehkan mereka terus melabur bagi penyediaan perkhidmatan secara berterusan kepada rakyat Malaysia….”

“…Tambahan lagi, kenaikan kos operasi tahunan tidak diimbangi dengan kenaikan tarif yang setara sekaligus meletakkan beberapa operator air dalam kedudukan kewangan yang sukar untuk memberikan perkhidmatan air yang berkualiti,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

JMG, SPAN kaji punca pencemaran Sungai Rui, Gerik

LENGGONG, 7 APRIL: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan melakukan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca pencemaran air yang berlaku di Sungai Rui, Gerik.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, JMG sudah mewujudkan ‘task force’ untuk mengenal pasti langkah penyelesaian dan pengawalan terhadap isu pencemaran air di sungai berkenaan dengan melakukan persampelan secara berkala di beberapa lokasi yang ditetapkan.

Katanya, JMG akan menyediakan data lokasi dan pemetaan terhadap maklumat lombong, pembalakan, pertanian, industri, Loji Rawatan Air (LRA) Lembaga Air Perak dan telaga air JMG di Hulu Perak.

“Keputusan akan diketahui sekurang-kurangnya seminggu selepas selesai kajian dilakukan dan kita tidak mahu menuding kepada satu pihak sahaja tanpa mengenal pasti secara terperinci punca pencemaran itu berlaku,” katanya.

Xavier bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang Eucalyptus yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Akhirrudin Mahmud serta beberapa duta asing di Bukit Sapi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sungai itu adalah sumber air mentah kepada LRA Air Ganda dengan membekalkan air kepada 1,000 penduduk kampung tersebut dengan kapasiti 0.68 juta liter sehari.

Beliau berkata secara umumnya, struktur geologi di kawasan Klian Intan, Hulu Perak dikenal pasti sebagai zon permineralan yang kaya dengan pelbagai mineral seperti bijih timah dan pada masa sama wujud mineral sulfida seperti ‘arsenopyrite’ dan ‘pyrite’.

“Sebarang aktiviti kacau ganggu tanah atau batuan seperti pembukaan tanah dan perlombongan dijalankan, kewujudan mineral sulfida ini secara langsung menjadi punca berlakunya fenomena penghasilan larutan asid secara semula jadi sebagai saliran lombong berasid.

“… ia akan menyebabkan proses tindak balas kimia yang akan melarutkan logam oksida yang akhirnya membebaskan elemen logam berat seperti arsenik, besi, plumbum, zink dan nikel ke dalam air dan sekiranya tiada kawalan, ia akan masuk ke dalam sungai yang berhampiran,” katanya.

LENGGONG, 7 April — Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (kanan) menunjukkan sebatang pokok Eucalyplus yang akan diproses menjadi papan lapis ketika mengadakan lawatan kerja ke ladang Eucalyplus di Lenggong hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAKCIPTA TERPELIHARA

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata pencemaran sungai itu berlaku kerana dipercayai mengandungi kandungan arsenik hasil pemantauan pihak JMG negeri di sungai berkenaan, baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata kualiti air di Sungai Rui mengalami tahap kekeruhan atau kelodakan, nilai pH dan kehadiran logam berat di sungai tersebut berpunca daripada aktiviti perlombongan selain aktiviti pertanian, pembalakan dan pembinaan yang berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai lawatannya hari ini, Xavier berkata pokok Eucalyptus dilihat berpotensi sebagai satu daripada spesies yang ditanam melalui Program Pembangunan Ladang Hutan.

Beliau berkata ini kerana tempoh pulangan yang singkat antara tujuh hingga lapan tahun menjadikan ia satu peluang yang baik untuk para pelabur yang berminat untuk membangunkan penanaman pokok tersebut yang mampu memberi pulangan yang lumayan.

“Kita akan buat kajian mengenai penanaman pokok Eucalyptus ini yang boleh dijadikan pelbagai produk seterusnya menjadi sumber pendapatan negara pada masa akan datang dan kita tidak hanya bergantung kepada kelapa sawit semata-mata. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Air Selangor operator tunggal bekalan air di Lembah Klang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 4 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bakal beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 1 April ini.

Ia susulan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air melalui perjanjian tambahan ketiga kepada perjanjian utama penstrukturan semula industri berkenaan yang ditandatangani di Grand Ballroom, Hotel Marriott di sini, hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, melalui perjanjian itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersetuju menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion bagi membantu Air Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Pembiayaan PAAB dengan kadar faedah kompetitif dan jangka bayar balik yang panjang mampu mengurangkan tekanan ke atas tarif air ke atas pengguna.

“Air Selangor juga berjaya melaksanakan obligasinya di bawah Perjanjian Utama ditandatangani pada 2014 untuk mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan SPLASH.

“Pengambilalihan PNSB, ABASS dan SYABAS juga sudah selesai dilaksanakan sebelum ini dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM1.68 bilion,” katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Raja Puji; Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Dato’ Dr Tan Yew Chong dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad, Dato’ Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Dr Xavier berkata, kejayaan pengambilalihan itu membolehkan Air Selangor beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, ia dikawal selia melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).

“Melalui sistem ini, prestasi syarikat dalam melaksanakan perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan bekalan air akan dikawal selia melalui petunjuk prestasi utama serta syarat perlesenan lain ditetapkan SPAN.

“Oleh yang demikian, kepentingan semua pihak berkepentingan khususnya pengguna akan sentiasa terjaga serta terjamin dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hanya beri AP kepada syarikat terlibat kosong stockpile bauksit

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bersetuju mengeluarkan lesen permit eksport (AP) dalam tempoh munasabah kepada syarikat terlibat mengosongkan stockpile bauksit yang berada dalam kawasan pelabuhan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara itu dicapai dalam satu sesi pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertujuan membincangkan isu berkaitan moratorium dan mendapatkan gambaran lebih holistik daripada Kerajaan Pahang berkenaan hala tuju industri tersebut, pada 7 September lalu.

Katanya, hasil daripada perbicangan itu, keputusan dibuat untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit.

“Apabila moratorium ini ditarik balik kelak, semua pihak termasuk pelombong diberikan AP perlu menandatangani suatu Piagam untuk mematuhi semua syarat ditetapkan demi memastikan industri perlombongan bauksit Pahang berjalan secara mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada masa sama, Xavier berkata, moratorium perlombongan bauksit bermula pada 15 Januari tahun lepas bertujuan mengawal isu pencemaran akibat aktiviti tersebut dan disambung beberapa kali dengan yang terkini bakal berakhir pada 31 Disember depan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang merangka penyelesaian menyeluruh dalam menangani aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang, dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat dalam industri tersebut.

“Perbincangan itu bagi mencari jalan penyelesaian bersifat menang-menang serta mendapatkan konsensus hala tuju yang dapat memberi harapan baharu terhadap industri bauksit di negeri itu,” katanya.

Terdahulu, kementerian turut mengadakan sesi perjumpaan bersama penggiat industri perlombongan bauksit di Pahang dan mendengar pandangan serta mendapatkan input dalam menentukan hala tuju industri perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri berkenaan.

Satu sesi libat urus membabitkan wakil rakyat dari Pahang dengan pihak kementerian diadakan yang dihadiri anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari kawasan terlibat dalam pengeluaran bauksit di Pahang pada 30 Julai lepas.

Categories
NASIONAL

Kereta nasional ketiga bukan keutamaan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Pelaksanaan projek kereta nasional ketiga negara disifatkan bukan keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), buat masa ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pelbagai perkara perlu diambil perhatian oleh kerajaan jika mahu projek berkenaan dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih menunggu kajian yang sedang dilakukan terhadap pelaksanaan projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak rasa ia keutamaan kepada negara tetapi biar mereka buat kajian dan kita tentukan nanti.

“Banyak perkara perlu dilihat sebelum buat keputusan. Setuju atau tidak, kena tengok kajian. Adakah ia bagus untuk negara atau adakah ia akan beri lebih masalah kepada negara,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata, kerajaan percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara.

Katanya, kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020, seperti dibayangkan Tun Dr Mahathir.

Perdana menteri mengesahkan aspirasi membina projek kereta nasional ketiga dalam lawatannya ke Jepun, pada Jun lalu selepas PAKATAN memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei lalu.

Categories
NASIONAL

Xavier jamin isu air selesai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberi jaminan, isu air berlarutan di negeri itu akan diselesaikan segera dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, perbincangan sudah diadakan dengan pihak terbabit, termasuk Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berhubung perkara itu, dan sehingga kini tidak banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan.

“Ada sedikit lagi perkara yang belum dipersetujui, namun kita percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya juga akan minta jemaah menteri lanjutkan tempoh sebulan lagi,” katanya dipetik Free Malaysia Today, pada sidang media di hari ini.

Terdahulu, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat itu melapor diri di Wisma Sumber Asli hari ini selepas mengangkat sumpah menerajui kementerian itu, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’Seri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan serta agensi di bawah kementerian yang baru diwujudkan itu.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, tarikh akhir untuk mengetahui kedudukan berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu sepatutnya berakhir esok.

Bagaimanapun katanya, semua pihak terlibat turut komited menyelesaikan isu itu dengan segera.

“Jangan kita bincangkan tentang masa lalu, tetapi lihat ke masa depan, saya rasa kita bersedia menyelesaikan masalah ini yang telah berlarutan. Semua pihak bersedia menyelesaikannya dalam masa sebulan,” katanya.

Sebelum itu, jaminan untuk menyelesaikan isu air dalam tempoh 100 hari turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Categories
SELANGOR

Lebih 500 penyokong iringi calon PAKATAN di Kuala Langat

OLEH NAEEM RAFFI

KUALA LANGAT, 28 APR: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Langat hadir bersama lebih 500 penyokongnya di Dewan Seri Jugra, Telok Datuk, Banting.

Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar yang dahulunya Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis (dahulu dikenali Seri Andalas) bertanding di Parlimen Kuala Langat bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara calon BERSATU, Datuk Hamidi Abu Bakar (DUN Sijangkang); Ahli DAP, Lau Weng San (DUN Banting) serta mengekalkan penyandang daripada calon AMANAH terdahulu, Hasnul Baharuddin bagi DUN Morib.

Kesemua mereka masuk ke dalam dewan bagi menyempurnakan proses penamaan calon sekitar jam 8.50 pagi tadi.

Proses penamaan calon PRU-14 bagi Parlimen Kuala Langat dan DUN bagi Sijangkang, Banting serta Morib bermula pada jam 9 pagi.

Tempoh sejam dibenarkan bagi mengemukakan kertas penamaan calon sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Jusni Hashim mengumumkan nama calon yang bertanding pada PRU-14.

Xavier bertukar daripada kerusi DUN ke kerusi Parlimen Kuala Langat sementara penyandang kerusi Parlimen Kuala Langat untuk dua penggal, Datuk Abdullah Sani pula berpindah ke kerusi Parlimen Kapar.

Untuk Rekod, Xavier memenangi kerusi DUN Seri Andalas dengan majoriti 15,633 undi sekali gus menewaskan empat pencabarnya (1 BN, 3 Bebas) dalam PRU13 lalu.

Categories
SELANGOR

KEADILAN letak calon di 21 kerusi

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: KEADILAN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) depan.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, calon lain diikuti 16 (DAP), 10 (AMANAH) dan 9 (BERSATU).

“Calon yang akan bertanding ini memenuhi permintaan daripada calon muda, wanita dan calon lama.

“Kita akan menampilkan calon baru dan calon lama. Ada yang dikekalkan kerusi dan ditukarkan kerusi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Terdahulu, PAKATAN mencapai kata sepakat memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi memberikan perkhidmatan cemerlang dan terbaik untuk merealisasikan aspirasi rakyat Selangor.

Dalam kenyataan bersama, PAKATAN yakin perpaduan pimpinan akan melonjakkan sokongan rakyat untuk mengekalkan pentadbiran dalam Kerajaan Selangor bagi meneruskan pembangunan ekonomi dan agenda peduli rakyat.

PAKATAN akan memberi fokus sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya dan memantapkan jentera.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Merdeka Unity Fun Run 2017 DUN Seri Andalas 16 September

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Seri Andalas bakal menganjurkan Merdeka Unity Fun Run 2017 sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-60 dan Hari Malaysia Ke-54, pada 16 September ini.

Ahli Dewan Negeri Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, buat julung kalinya pihaknya menganjurkan program itu dan mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“1,000 peserta terawal akan menerima T-Shirt percuma dengan mendaftar di laman sesawang larian-uniti.com.

Banner12x5“Orang ramai khususnya penduduk sekitar kawasan Seri Andalas dijemput menyertai program ini yang akan diadakan di Dataran Kolam Rekreasi Bandar Puteri, Klang,” katanya dalam kenyataan.

Xavier berkata, program akan dimulakan seawal jam 6.30 pagi dengan jarak sejauh lima kilometer diikuti aktiviti tanam pokok, pelepasan ikan dan konsert merdeka.

“Antara acara lain yang bakal menarik perhatian pengunjung ialah penanaman kapsul masa (time capsule) iaitu dengan menghantar surat, gambar, mesej dan pesanan kepada orang yang disayangi.

“Pesanan yang dihantar akan dimasukkan ke dalam kapsul masa dan ditanam di kawasan kolam rekreasi. Kapsul ini akan dibuka 60 tahun kemudian iaitu pada tahun 2077.

“Kesempatan ini adalah untuk kita menyampaikan mesej dan menceritakan bagaimana kehidupan sekarang serta mengharapkan Malaysia yang lebih baik untuk generasi masa depan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Cincin isteri MO1, mampu tanggung kos Skim Peduli Sihat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JULAI : Nilai pembelian cincin milik isteri individu yang dikaitkan sebagai Malaysia Official One (MO1) hampir menyamai perutukan dasar berkebajikan Skim Peduli Sihat yang dilancarkan Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar mendakwa, ia membuktikan pembaziran jelas Kerajaan Persekutuan mengamalkan pentadbiran boros tanpa memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan rakyat.

“Nilai pembaziran ini seperti didedahkan Department Of Justice (DOJ) termasuk pembelian hotel, rumah mewah juga harga cincin ‘pink diamond’ yang telah diberi kepada isteri MO1 dengan harga USD27.3 juta.

Xavier“Jika ditukar dengan Ringgit Malaysia (RM) sudah jadi RM115 Juta menyamai nilai Peduli Sihat di Selangor.

“Ini fakta dan ia tidak boleh dinafikan,” katanya ketika persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke 13, petang ini.

Sebelum ini, Reuters menamakan individu isteri MO1 sebagai Datin Seri Rosmah Mansor dalam laporannya, ‘Malaysia’s first lady linked to jewellery worth $30 mn bought 1MDB funds.

Akhbar berkenaan turut meletakkan tajuk kedua pada artikel, ‘Almost $30 million from the scandal-hit 1MDB’ merujuk kepada skandal penyelewengan dana awam itu.

Ia turut melaporkan ‘pink diamond’ 22 karat yang digunakan individu berkenaan pada rantai leher.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menawarkan bantuan perubatan kepada rakyat memerlukan.

Categories
SELANGOR

15,000 warga DUN Seri Andalas terima manfaat IPR

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JUL: 15,000 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas menerima pelbagai manfaat daripada pelaksanaan dasar Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sejak ia dilaksanakan.

Ahli Dewan Negerinya (ADN), Dr Xavier Jayakumar berkata, pencapaian itu diraih hasil usaha keras pentadbiran negeri dan pusat khidmat DUN turun padang menyantuni rakyat.

“Kita banyak mencapai perubahan terutamanya pelaksanaan di bawah program IPR membabitkan penglibatan masyarakat Seri Andalas.

XAVIER TURUN PADANG“Berpandukan jangkaan, seramai 15,000 warga Seri Analas sudah dibantu di bawah program kebajikan IPR bersama Kerajaan Negeri.

“Tentunya ini pendekatan yang sangat bermanfaat kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelumnya, Dr Xavier ditemui pada program Aidilfitri peringkat DUN Seri Andalas, baru-baru ini.

Terdahulu, IPR merupakan penjenamaan dasar baru yang dulunya dikenali sebagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Untuk rekod sebanyak 17 program IPR ditawarkan kepada rakyat Selangor sejak ia mula dilaksanakan pada 2008.

Antaranya dasar pemberian air percuma, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Kesihatan Wanita, Skim Hijrah dan Insentif Perkahwinan Belia.

Selain itu, pelaksanaan program bantuan Food Stamp, Rumah Selangorku, khidmat Bas Smart Selangor, Wifi Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

Categories
NASIONAL

Halang Azmin, ‘drama besar’ Adenan selindung kegusaran – Xavier

OLEH NAEEM RAFFI

KUCHING, 6 MEI : Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar menyifatkan tindakan menghalang pemimpin Pakatan memasuki Sarawak sebagai ‘drama besar’ Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem yang menyalahguna kuasa dengan menjadikan autonomi sebagai alasan.

Katanya, penahanan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali daripada memasuki Sarawak pagi tadi jelas mencerminkan kegusaran pemerintah terhadap kemaraan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

xavier-jayakumar“Di penghujung waktu berkempen, Mohamed Azmin dihalang masuk atas alasan apa?

“Kalau autonomi menjadi alasan pemerintah, ini adalah sebuah ‘drama besar’ kerana mereka melaungkan demokrasi, beri masa berkempen tetapi sekat pemimpin politik untuk masuk Sarawak,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pagi tadi.

Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KEADILAN dihalang memasuki Sarawak sehingga tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Beliau yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, jam 10.10 pagi tadi ditahan di kaunter pemeriksaan imigresen dan diarahkan pulang serta merta dengan penerbangan ke KLIA, jam 10.50 pagi.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Zakaria Abdul Hamid yang tiba bersamanya dibenarkan masuk.

Dalam satu kenyataan, Mohamed Azmin menggesa Adenan bertanggungjawab terhadap situasi itu.

“Seperti saya sebut seminggu lalu, pendirian angkuh Adenan terhadap rakan senegaranya ini adalah tindakan melampaui batas dan ia mempamerkan wajah sebenar beliau yang menggunakan kuasa eksekutif secara sesuka hati.

“Adenan perlu bertanggungjawab terhadap situasi yang amat dikesali ini. Pada masa sama, saya bersimpati dengan beliau kerana terpaksa menggunakan taktik sebegini dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Mohamed Azmin sebelumnya dijadualkan menghadiri beberapa sesi Walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang, Voon Shiak Ni sebelum menghadiri ceramah Grand Finale di Dun Serembu, kira-kira jam 7.30 malam ini.

-nR-